SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, August 31, 2012

NOVEL "DI SEBALIK WAJAH" KOMSAS TINGKATAN DUA (THE ALBINO BOY)

dalam proses penulisan, harap bersabar...

Watak utama:  Doktor Fikri bin Saiful (pesakit albino / balar)
Watak pembantu:  Cikgu Saiful bin Bohari / ayah Doktor Fikri (guru / pegawai syarikat swasta)
                          :  Puan Halipah binti Abdul Rahman / ibu Doktor Fikri / isteri Cikgu Saiful

Watak sampingan:  rakan-rakan Doktor Fikri:  Suriani, Dayang Mahani, Aziz Gemuk, Sanin / murid tingkatan 2 Mawar
                           :  Josy (murid 2 Melati / gadis Dusun)
                           :  Puan Hamidah (pengetua SMK Menggatal, Sabah)
                           :  Cikgu Girlie Tan  (penolong kanan hal ehawl murid)
                           :  Cikgu Fatmawati  (guru matematik)
                           :  Cikgu Wahab  (guru kanan disiplin)
                           :  Cikgu Asnawi  (guru kelas 2 Mawar)
                           :  Cikgu Jasmi  (guru rumah sukan Tun Ismail)
                           :  Cikgu Shukri  (guru disiplin)
                           :  Cikgu Kamarudin  (guru Pendidikan Jasmani)
                           :  Dr. Vasuthevan (pegawai perubatan yang melakukan pembedahan Puan Halipah)
                           :  Dr. Fikri  (doktor yang soleh, punca nama Doktor Fikri)
                           :  pak cik 50 tahun
                           :  jururawat
                           :  Sarjan Ahmad (m.s. 114)
                           :  ayah Narius
                           :  jurupandu ekspidisi mendaki Gunung Kinabalu

Watak penentang / antagonis:  Narius, Jais, Jamadi (murid tingkatan 4)

Sinopsis

Novel Di Sebalik Wajah mengisahkan tentang kegigihan seorang remaja pesakit albino dalam persahabatan. Namanya Doktor Fikri, juga menjadi usikan dan juga ejekan.

Tema

Kandungan / susunan plot

Perwatakan

Latar masyarakat

Nilai murni

Persoalan

Pengajaran

kbkk

Peristiwa penting

Contoh tugasan

Thursday, August 30, 2012

MOTIVASI BELAJAR: TUMPUAN TERHADAP AKTIVITI BILIK DARJAH (WORKING SMART RATHER THAN WORKING HARD)

Pelajar cemerlang tidak akan membiarkan kesempatan terbaik memperoleh kemahiran generik pembelajaran daripada setiap guru mata pelajaran. Mereka akur bahawa agak mustahil untuk menyimpan semua maklumat yang disampaikan justeru bahawa otak manusia bukan suatu sistem stor yang boleh disumbat begitu sahaja tanpa proses yang sesuai. Maka, perkara yang lebih diperhatikan ialah susunan atau tertib penjelasan, sama ada berbentuk lisan, grafikal dan pelbagai jenis data.

Pelajar cemerlang akan berusaha untuk kekal berfikiran positif dan mengelakkan diri daripada sebarang bentuk perbuatan yang tidak menyumbang terhadap pembelajaran, atau tidak produktif. Pelajar cemerlang maklum bahawa bertukar-tukar cerita dan mengusik kawan-kawan memang seronok, tetapi hanya bersifat jangka pendek. Keseronokan jangka pendek tidak sepatutnya mengatasi kepentingan jangka panjang, iaitu kecemerlangan dalam pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang akan menjadi bekalan masa kini dan hari-hari muka. 

Pelajar cemerlang juga sentiasa memujuk diri sendiri supaya menerima reka bentuk aktiviti pembelajaran yang dikelolakan oleh guru berdasarkan pendekatan amalan terbaik dan terkini. Mereka percaya bahawa proses pembelajaran menerusi himpunan pengalaman generasi demi generasi akan meningkatkan kebolehan memahami segala bentuk fenomena, peristiwa dan ketekalan tingkah laku dalam tempoh yang singkat, lalu diungkapkan menerusi istilah atau konsep tertentu mengikut disiplin mata pelajaran. Pelajar cemerlang sentiasa sanggup bersabar, di samping tekun dalam segala tugasan spontan atau bawa balik ke rumah.

Ada pendapat mengatakan bahawa tanpa murid yang tidak berpencapaian tinggi dalam pembelajaran, siapakah yang akan sanggup bekerja sebagai buruh kasar, jurujual di pasar raya, pengawal keselamatan, tukang angkut sampah dan pemandu kenderaan berat? Memanglah semua kerja yang halal itu bersifat mulia dan sangat penting, serta sangat besar sumbangannya terhadap masyarakat. Malah, kerja seperti pengawal keselamatan dan jurujual di pasar raya memerlukan tahap kesabaran dan stamina yang mencukupi kerana kemungkinan tuntutan tugas yang menghendaki mereka berdiri lama, selain sentiasa peka dengan gerak geri para pengunjung premis mereka.

...

...

...

...

...

...

SEWA EKONOMI, PEROLEHAN PINDAHAN, SEWA KUASI (THE THEORY OF DISTRIBUTION)

Definisi umum bayaran / ganjaran kepada faktor

(Nota: hanya ubah perkataan yang bergaris, yang lain kekalkan seadanya)

Upah ialah bayaran kepada faktor buruh atas sumbangan (fizikal dan mental) dalam aktiviti pengeluaran (barang dan perkhidmatan).

Sewa ialah bayaran kepada faktor tanah / semula jadi yang terhad penawarannya atas sumbangan dalam aktiviti pengeluaran (barang dan perkhidmatan).

Bunga ialah bayaran kepada faktor modal atas sumbangan dalam aktiviti pengeluaran (barang dan perkhidmatan).

Untung ialah bayaran kepada faktor usahawan atas sumbangan dalam aktiviti pengeluaran (barang dan perkhidmatan).

Definisi khusus 

Sewa ekonomi ialah lebihan perolehan yang diterima oleh faktor dalam aktiviti pengeluaran berbanding dengan kegunaan / pilihan kedua terbaik.

Perolehan pindahan ialah bayaran minimum kepada pemilik faktor bagi mengekalkan faktor untuk pilihan kegunaan yang pertama / mengelakkan faktor berpindah kepada kegunaan kedua terbaik.

Sewa kuasi ialah bayaran lebihan kepada faktor yang tidak anjal sempurna dalam jangka pendek /
perbezaan antara jumlah hasil dengan jumlah kos berubah  (TR - TVC).

Contoh Sewa Ekonomi, Perolehan pindahan

Andaikan tanah mempunyai dua kegunaan, iaitu sebagai tapak bangunan kedai dengan sewa bulanan RM5,000, berbanding dengan tapak kegunaan pertanian dengan sewa bulanan RM4,000.

Sewa ekonomi = RM5,000 - RM4,000 = RM1,000 (perbezaan sewa antara dua kegunaan tanah)

Perolehan pindahan = RM4,000  (nilai kegunaan kedua terbaik)

Analisis Gambar Rajah: Penentuan SE, PP 

Permintaan faktor adalah tetap, manakala penawaran faktor boleh jadi anjal, anjal sempurna atau tidak anjal sempurna. Keluk permintaan faktor sama seperti keluk permintaan di pasaran barang, iaitu bercerun negatif. Kawasan SE terletak antara bahagian bawah garis harga keseimbangan dengan bahagian atas / kiri keluk penawaran faktor, manakala kawasan PP terletak antara bahagian bawah / kanan keluk penawaran faktor dengan bahagian kiri garis kuantiti keseimbangan.

Jika penawaran faktor tidak anjal sempurna, semua sewa ialah SE, manakala jika anjal sempurna, semua sewa ialah PP. Untuk penawaran faktor yang anjal, sila lukis kedua-dua keluk permintaan dan penawaran faktor hingga menyentuh paksi harga faktor (sewa) supaya kawasan SE, PP dapat ditunjukkan dengan tepat. 

Semakin anjal penawaran faktor: semakin kurang SE, semakin banyak PP.

SE tidak wujud jika penawaran faktor anjal sempurna, PP tidak wujud jika penawaran faktor tidak anjal sempurna.

Analisis keluk bagi sewa kuasi

Sediakan keseimbangan jangka pendek bagi kes untung lebih normal firma persaingan sempurna dengan memasukkan keluk kos berubah purata (AVC) sekali. Tunjukkan titik keseimbangan dan kuantiti keseimbangan. Tanda AR dan AVC pada tingkat kuantiti keseimbangan. Kemudian, nyatakan kawasan jumlah hasil (TR), iaitu AR X Q, serta kawasan jumlah kos berubah purata (TVC) = AVC X Q.

Setelah itu, nyatakan kawasan kawasan sewa kuasi, iaitu antara garis AR dengan garis AVC pada tingkat kuantiti keseimbangan. 

Hubungan sewa kuasi dengan kos tetap

Bagi kes untung lebih normal, saiz sewa kuasi melebihi kos tetap.
Huraian merujuk keluk: kawasan kos tetap ialah antara garis AC dengan AVC pada tingkat kuantiti keseimbangan. 

Kes untung kurang normal / rugi: SK < FC

Kes untung normal:  SK = FC

Wednesday, August 29, 2012

PRINSIP TANGGUNGJAWAB KEPIMPINAN SUKAN (PERFOMANCE SPEAKS LOUDER)

Para peminat sukan tanah air nampaknya sudah naik bosan dan muak dengan telatah pemimpin organisasi sukan yang berlagak serba tahu, berdolak-dalik dan sangat liat untuk berundur walaupun pencapaian mereka sangat teruk. Semakin banyak mereka membuka mulut atau mengumumkan sesuatu keputusan yang dibuat oleh sekumpulan orang yang tidak pernah dikenali sebagai jagoan sukan, peminat semakin menyampah. Namun, seperti biasa, pemimpin syok sendiri sedemikian tidak pernah mengambil pusing tentang betapa dia sudah tidak dikehendaki lagi kerana sikap kuku besi dan tidak digemari itu.

Sepatutnya apabila sesuatu sasaran yang ditetapkan gagal untuk dicapai, maka seluruh kepimpinan persatuan sukan yang berkenaan mesti secara sukarela mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan serta-merta. Tiada sesiapapun yang akan merayu supaya tindakan sedemikian ditarik balik, kecuali oleh kaki kipas dan pihak yang memiliki agenda yang tersembunyi. Kalau sasaran pingat emas gagal dicapai, tidak usah memberi pelbagai alasan macam budak hingusan sebagai helah bela diri.

Di negara kita ini, terlalu banyak muka yang tidak tahu malu. Dahulu, kepimpinan belia dibolot oleh "belia" senja yang sudah melepasi usia 60 tahun, sudah bertongkat dan menghisap curut. Hanya apabila dasar penetapan umur belia ditetapkan, baharulah kita dapat melihat kemunculan tunas kepimpinan belia yang baharu sebagai pemimpin pelapis yang berwibawa.
Zulfadli, 19, bekas juara remaja badminton dunia tiada dalam senarai projek Olimpik 2016
sumber foto: Berita Harian online

Banyak negara yang lebih maju telah memiliki dasar yang jelas tentang kepimpinan sesebuah organisasi belia dan sukan supaya terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. Sudah sampai masanya dasar kepimpinan organisasi sukan juga digubal supaya hanya mereka yang memiliki kelayakan dan merit dibenarkan terbabit. Kalau sekadar ketokohan korporat, politik atau akademik semata-mata, mungkin boleh dilantik dalam panel penasihat sahaja, bukan pemimpin yang membuat keputusan.

...

...

...

...

...

...

Tuesday, August 28, 2012

PIDATO ERTI MERDEKA KEPADA GENERASI MUDA (NURTURE YOUR LOVE FOR YOUR NATION)

Kemerdekaan sesebuah negara pada amnya bererti kebebasan daripada belenggu penjajahan. Negara memiliki kedaulatan pemerintahan, wilayah dan keselamatan demi kebajikan, kelangsungan, kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan, pembangunan dan pertumbuhan yang bakal dikecapi oleh rakyat jelata seluruhnya. Sesebuah negara yang merdeka diterajui oleh para pemimpin yang amanah dan adil, tanpa berlaku penindasan dan pengkhianatan terhadap kepercayaan yang disandarkan oleh rakyat jelata.

Kemerdekaan sebenar, sejati dan tulen bukan sahaja indah dari segi kata-kata dan retorik, bahkan suatu sistem rasa yang meresap ke dalam jiwa pemimpin dan rakyat jelata. Hubungan yang harmoni antara pemimpin dengan rakyat jelata dizahirkan menerusi perasaan senang dan tenang, iaitu agihan nilai dan sumber yang menjunjung tinggi prinsip keadilan. Semangat cinta negara dan jati diri sentiasa berkobar-kobar bagi membawa negara ke mercu kegemilangan, di samping bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang cuba mencalar nikmat kemerdekaan yang diperoleh menerusi proses perjuangan yang panjang.

Setelah lebih 400 tahun dijajah silih berganti oleh kuasa asing, negara kita mula mengecapi kemerdekaan dengan turunnya bendera Union Jack, dan berkibar megah bendera kebangsaan yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang. Teriakan keramat merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, iaitu 55 tahun yang lalu, ialah kemuncak kemenangan yang telah dirintis sekian lama oleh pejuang-pejuang yang kental seperti Dato' Sagor di Pasir Salak, Dol Said di Negeri Sembilan, Mat Kilau di Pahang, Tok Kenali di Kelantan, Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan banyak lagi. Bermula dengan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, pembentukan negara Malaysia telah bertambah kukuh menerusi kemasukan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963, walaupun negara telah kehilangan Singapura dua tahun kemudian.

Generasi yang sempat menyaksikan peristiwa bersejarah kemerdekaan negara 55 tahun yang lalu kita sudah meniti usia emas, 60-an dan 70-an, selain telah ramai yang telah tiada lagi bersama generasi pascamerdeka. Orang-orang muda dan pelajar remaja hanya menelusuri kisah dan sejarah kemerdekaan negara menerusi pembelajaran di bilik darjah, pembacaan dan paparan media yang lain. Namun, semangat patriotik atau cinta negara hendaklah sentiasa bersemi kerana jika cuai, leka dan alpa, tidak mustahil bahawa sejarah pahit penjajahan secara fizikal akan berulang tanpa diduga, moga dijauhkan oleh Allah.

Walaupun penjajah telah lama pergi, hakikatnya berlaku pula penjajahan bentuk baharu yang lebih dahsyat, iaitu penaklukan minda, psikologi, budaya, cita rasa dan cara berfikir. Mentaliti penjajah Barat berjaya dikekalkan menerusi rasa kagum yang keterlaluan terhadap apa-apa sahaja yang datang daripada bangsa bekas penjajah, termasuk sikap, bahasa, fesyen, makanan dan jenama. Sebaliknya, masih ada perasaan rendah diri terhadap segala yang berasal dari punca tempatan, termasuk dalam urusan penggunaan barang dan perkhidmatan.

Generasi muda hendaknya tidak hanya taksub terhadap citra hiburan dan sukan yang dijaja oleh kuasa besar bekas penjajah, tetapi berusaha untuk bersaing dengan kelompok remaja terbaik mereka dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran, kepimpinan, inovasi, kreativiti dan reka cipta yang termaju. Walaupun dari segi pencapaian teknologi, negara kita mungkin ketinggalan 50 tahun di belakang, kita mesti mesti mula mengorak langkah dengan cepat dan teratur supaya dapat mengejar mereka. Dalam kata lain, tahap daya saing generasi muda kita mesti digembleng ke tahap optimum supaya suatu hari kelak negara kita akan lebih dihormati dan disegani, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan entiti politik, ekonomi dan sosial yang telah lama meniti kematangan.

Semangat kemerdekaan yang meluap-luap perlu dilengkapkan dengan pengisian erti kemerdekaan yang tepat. Sumbangan generasi muda antara lain ialah kesungguhan dalam meningkatkan akses ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang menjurus terhadap proses penjanaan modal insan minda kelas pertama acuan sendiri. Generasi muda harus sentiasa bersiap sedia menempuh cabaran dan pancaroba dalam persekitaran yang sentiasa mengalami perubahan yang begitu pesat.

Nikmat kemerdekaan yang paling unggul ialah pembebasan daripada perhambaan sesama manusia, sebaliknya hanyalah pengabdian kepada Yang Maha Esa, min 'ibadati'i-'ibad, ila 'ibadati'-llah. Marilah kita berdoa agar nikmat kemerdekaan negara yang kita kecapi selama ini akan berterusan. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-55.

Merdeka, merdeka, merdeka!

Monday, August 27, 2012

PERSEDIAAN MENDAFTAR DI UNIVERSITI, IPT (FRESHIE AND WINDOW SHOPPING)

Hanya tinggal empat hari sahaja lagi sebelum pelajar universiti awam tempatan menjejakkan kaki ke kampus sebagai mahasiswa semester pertama tahun pertama. Landasan untuk menuju kecemerlangan dalam kehidupan sudah terbentang luas di hadapan mereka. Kini, langkah selanjutnya ialah bagi memastikan bahawa matlamat itu terus digenggam dan dijulang tinggi tanpa menghiraukan sebarang bentuk saranan negatif yang mungkin mengakibatkan perjalanan yang bakal dilalui tergendala atau menjadi sukar.

Memang banyak pengalaman kemahasiswaan yang perlu ditimba sepanjang tempoh pengajian di menara gading, asalkan tidak sampai lupa bahawa pencapaian akademik yang terbaik hendaklah dalam radar keutamaan masing-masing. Pelajar boleh aktif dalam kegiatan organisasi dan kokurikulum di kampus, hingga membawa nama baik universiti ke persada antarabangsa, tetapi tapak kekuatan pelajar masih lagi pencapaian akademik, antaranya purata nilai gred kumulatif (PNGK, CGPA) yang dihitung secara pakej.
Kebiasaannya tempoh kuliah ialah 14 minggu, diikuti dengan seminggu cuti belajar dan peperiksaan akhir semester. Dalam jangka masa sesingkat itu, pelajar juga harus bersedia dengan segala macam tugasan bertulis, pembentangan dan seminar, di samping kuiz bertulis dan peperiksaan pertengahan semester yang dijalankan secara tidak rasmi (di luar jadual peperiksaan terselaras). Peperiksaan akhir semester biasanya hanya mewakili 40 - 60 peratus markah keseluruhan, manakala selebihnya ialah markah pentaksiran secra berterusan semasa sesi kuliah dan tutorial seperti yang tersebut.

Untuk semester pertama, pelajar tidak mempunyai banyak pilihan, selain harus akur dengan senarai kursus yang ditetapkan oleh fakulti dan penasihat akademik masing-masing (ditentukan oleh pihak universiti). Maka, perkara yang paling kritikal dan segera ialah membuat perancangan pembelajaran yang cekap dan berciri impak tinggi. Sebaik sahaja mendapat senarai bahan rujukan, pelajar perlu bersegera ke perpustakaan, khususnya bahagian tanda merah (red spot) yang mengizinkan pinjaman bahan dalam tempoh satu atau dua jam untuk urusan fotokopi.
kompleks pentadbiran Universiti Malaya

Pelajar juga harus cepat-cepat mencari koleksi kertas soalan kursus yang sama yang telah diuji pada semester dan tahun-tahun yang terdahulu. Bahagian rujukan jurnal dan akses bahan atas talian juga hendaklah dikenal pasti secepat mungkin. Pelajar akan lebih beruntung jika berbaik-baik dengan petugas perpustakaan universiti untuk memperoleh maklumat yang berkaitan tanpa unsur potong jalan atau 'rasuah'.

...

...

...

Sunday, August 26, 2012

NEIL ARMSTRONG LEGENDA PENCETUS INSPIRASI MODEN (THE DEBT OF ADVANCED TECHNOLOGY)

Walaupun kontroversi tentang kesahihan manusia mendarat di permukaan bulan masih misteri, mendiang Neil Armstrong (5.8.1930 – 26.8.2012) akan tetap dikenang sebagai legenda misi penerokaan ke angkasa lepas. Pelbagai versi cerita dan hujah tentang pendaratan Apollo 11 pada 20.7.1969, termasuk ulasan teknikal kemungkinan penggambaran video dilakukan di sebuah kawasan gurun di Arizona. Keadaan bendera yang berkibar dan terdapatnya bayang-bayang menjadi sandaran kecurigaan versi berkenaan.
Tidak kurang hebatnya ialah cerita bahawa Amstrong mendengar azan di angkasa lepas, kemudian beliau menganut Islam dan menyertai jemaah tabligh, termasuk hadir dalam ijtimak di Malaysia, tersebar dengan meluas. Kini, Neil Armstrong telah tiada lagi untuk memberi pengesahan atau penafian tentangnya. Hanya yang pasti ialah cerita Apollo dan Neil Amstrong telah memberi ‘kemenangan besar’  propaganda Amerika Syarikat ke atas Soviet Union (Rusia) dalam era perang dingin pasca-Perang Dunia Kedua.

Sejak peristiwa bersejarah Neil Armstrong, penyelidikan tentang angkasa lepas mendapat perhatian universiti di seluruh dunia, termasuk di negara sedang membangun. Malaysia sendiri telah berjaya ‘menumpangkan” angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar dalam misi Rusia pada 10.10.2009. Pelaburan dalam kajian angka lepas memang teramat tinggi, tetapi pulangannya sangat berbaloi dari segi teknologi maya dan penderiaan jauh untuk maksud ketenteraan dan kegiatan ekonomi komersial.

Neil Armstrong lebih banyak bersikap mengunci mulut daripada menjaja cerita, peristiwa dan pengalaman sebenar yang beliau lalui sebagai angkasawan yang mencetuskan anjakan paradigma dalam pemikiran dan pendekatan saintifik tahap tinggi. Selepas bersara daripada perkhidmatan angkasa lepas Amerika Syarikat (Nasa), Armstrong memberi kuliah kejuteraan angkasa lepas di Universiti Cincinnati selama satu dekad sebelum menyertai beberapa buah syarikat yang berkaitan dengan industri penerbangan. Beliau juga sudi berkongsi input secara bersemuka dengan angkasawan generasi baharu, termasuk Dr. Sheikh, sebagai sumber inspirasi yang kuat.

Sikap terpuji Armstrong yang patut diteladani oleh generasi muda ialah sikap rendah diri dan kesederhanaan. Walaupun diangkat dengan pelbagai gelaran hebat, Amstrong masih mengungkapkan bahawa beliau hanya menjalankan tugas untuk negara beliau dan manusia seluruhnya. Tiada kebanggaan peribadi dilafazkan secara berlebihan.

Teman beliau dalam misi Apollo 11, Edwin ‘Buzz’ Aldrin masih ada untuk menjadi rujukan hidup tentang pengalaman yang dilalui oleh mereka berdua. Nama besar angkasawan seperti John Glenn (Amerika Syarikat) dan Yuri Gagarin (Rusia) akan terus disebut-sebut dalam sejarah kemajuan penerokaan angkasa lepas. Pengapungan makmal angkasa dan satelit (buatan manusia) di orbit bumi oleh beberapa buah negara, termasuk Malaysia (RazakSat) telah meningkatkan perkembangan teknologi termaju untuk manusia mencapai tahap kualiti hidup yang lebih baik.

Sikap rendah diri dan kesederhanaan Neil Armstrong boleh difahami kerana Nasa diperkasakan menerusi kepakaran otak terbaik seluruh dunia, termasuk saintis Islam dari Palestin, India dan lain-lain. Sumbangan mereka dalam reka bentuk kejuruteraan kenderaan ke angkasa lepas, bahan api dan bahagian kapsul kapal ialah kerja-kerja di sebalik tabir yang jarang-jarang diberi perhatian. Sesuatu projek mega atau raksasa yang bertaraf pencetus lembaran sejarah yang baharu seperti itu membabitkan proses perancangan dan sumber kepakaran yang sangat imaginatif.

Walaupun masih belum berlaku peristiwa ulangan pendaratan manusia di permukaan bulan selepas tahun 1972 (jumlah angkasawan yang mendarat di bulan dilaporkan berjumlah 12 orang), kisah Neil Amstrong (kalau diterjemahkan ialah Neil si lengan gagah) sebenarnya ialah titik tolak penting dalam pemikiran sains dan teknologi termaju. Kita tinggalkan perdebatan teknikal tentang kesahihan peristiwa itu kepada mereka yang ahli. Hakikatnya, masih terlalu banyak khazanah rahsia tentang penciptaan alam jagat raya yang belum dapat dijangkau oleh manusia sebagaimana perumpaan ilmu yang tidak akan habis walaupun berkali-kali air lautan menjadi kering untuk berbuat demikian.

Wallahu a’lam...

UCAPAN RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI (A BRIEF VERBAL GREETING)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillahirabbil alamin, Alhamdulillahi'-ladhi arsala rasulahu bi'l-huda wa din'il-haq
liyuzhirahu ala'd-dini kullih, wa kafa billahi syahida

Wassolatu wassalamu ala rasulihi'l-amin wa ala alihi wasahbihi waman wa lah

Terima kasih saudara pengacara majlis

Saya dahului ucapan ringkas saya pada petang ini dengan kalimah taqaballahu minna wa minkum, semoga Allah menerima amal ibadat kita semua, iaitu kita berjaya mencapai segala matlamat berpuasa sepanjang bulan Ramadan yang telah berlalu. Mudah-mudahan kita telah beroleh makam atau tingkatan taqwa yang lebih tinggi, rahmat yang melimpah ruah, keampunan Ilahi atas segala dosa yang kita ada, dan dikurniakan pembebasan daripada azab api neraka, Insya-Allah. Panjang umur murah rezeki, kita diberi kesempatan lagi untuk bersama Ramadan tahun 1444 Hijriyyah pula, Insya-Allah.

Hari raya ialah hari kemenangan dan kegembiraan bagi mereka yang berjaya menjalani ibadah puasa dengan kesabaran, iaitu berjaya mengawal diri masing-masing daripada segala perkara yang boleh menjejaskan kualiti ibadah puasa. Pembelajaran daripada madrasah atau universiti Ramadan itu hendaknya dibawa ke dalam amalan kehidupan kita pada bulan-bulan yang lain. Marilah kita terus istiqamah dengan pembaharuan sikap kecemerlangan dan penambahbaikan amal merangkumi juga tanggungjawab rasmi dalam organisasi dengan seikhlas mungkin.

Kepada rakan-rakan lain (yang bukan Islam), saya bagi pihak tuan rumah mengalu-alukan kehadiran tuan puan dalam majlis yang tidak sepertinya ini. Sesungguhnya kesudian tuan puan dalam majlis ini menandakan ikatan muhibah penduduk Malaysia yang berbilang-bilang latar belakang budaya dan kepercayaan. Betapa pihak tuan rumah sangat terharu dan menghargai tuan puan.

Hadirin yang dimuliakan,

Majlis rumah terbuka hari raya seperti ini tidak lain tidak bukan bertujuan mengeratkan jalinan ukhuwwah, persaudaraan dan perpaduan sesama kita dan organisasi. Kita saling bermaafan bagi melupakan kesilapan yang lalu, di samping bersedia membuka lembaran baharu menuju tahap permuafakatan yang lebih tinggi. Perbezaan pendapat yang sentiasa berlaku ialah lumrah dan hendaklah dimanfaatkan sebagai percambahan fikiran untuk memilih segala perkara yang terbaik, insya-Allah.

Sudi-sudikan tuan puan menikmati juadah yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Menu tradisional ada, menu moden juga ada. Sambil menikmati juadah, tuan puan sudah pasti boleh bertanya khabar dan berbual-bual secara santai.

Ikatan perpaduan yang kukuh ialah insurans untuk kemajuan sesebuah organisasi dan masyarakat. Interaksi silang budaya dalam majlis seperti ini amat besar ertinya terhadap kehidupan yang harmoni dan sentosa. Generasi muda yang turut hadir pasti beroleh pengalaman pembelajaran yang amat berguna demi masa hadapan mereka yang bakal memasuki dimensi baharu dalam komunikasi masyarakat.

Sekadar inilah ucapan ringkas saya. Sebelum mengundur diri, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:
         
          Jamah nangka tulis merata
          Cari peria serah bertali
          Rumah terbuka majlis kita
          Hari raya meriah sekali

Sekian. Wabillahit-taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Saturday, August 25, 2012

BEZA UNIVERSITI TEMPATAN, LUAR NEGARA (LOCAL AND ABROAD CAMPUS)

Penghantaran pelajar ijazah pertama (sarjana muda) Malaysia ke seberang laut secara besar-besaran berlaku hingga dekad tahun 1990-an. Sebahagian besar pelajar, khususnya pelajar Melayu ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan beberapa buah agensi kerajaan yang lain. Negara yang menjadi tumpuan pelajar Malaysia ialah Amerika Syarikat, Australia, Britain, Kanada dan Mesir. Mereka dihantar seawal usia 17 tahun bagi mengikuti pengajian di peringkat A Level, foundation dan matrikulasi sebelum diterima masuk sebagai pelajar prasiswazah.

Puluhan ribu pelajar Malaysia berkelana di pelbagai ceruk rantau dunia bagi menimba ilmu di universiti terkemuka. Di Amerika Syarikat dan Britain, pelajar Malaysia ialah antara kumpulan warga asing terbanyak berdaftar sebagai calon prasiswazah. Pembinaan lebih banyak universiti awam tempatan kemudiannya telah mengurangkan keperluan menghantar pelajar ijazah pertama ke seberang laut, sebaliknya lebih tertumpu kepada calon ijazah tinggi sarjana dan doktor falsafah.

Seterusnya, bilangan profesor dan penyelia ijazah tinggi di universiti tempatan juga bertambah berlipat kali ganda. Maka, penajaan biasiswa ke luar negara untuk ijazah tinggi juga berkurangan, kecuali bagi kursus kritikal dan sarjana kepakaran perubatan dan kejuruteraan termaju. Kini, lima buah universiti premier tempatan (UM, UKM, UPM, USM, UTM) diangkat sebagai universiti penyelidikan, iaitu dengan nisbah 60:40 pengambilan bagi ijazah tinggi berbanding dengan ijazah pertama.

Mengapakah belajar di seberang laut dianggap sebagai tuah yang sangat istimewa? Apakah kurangnya universiti tempatan kita dari segi bidang pengajian, kepakaran para profesor dan kemudahan kampus? Adakah negara maju berjaya menginjak maruah universiti negara sedang membangun menerusi sistem penarafan yang berat sebelah dan tidak telus?

Kesempatan belajar di seberang laut sudah pasti suatu pengalaman yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Pendedahan tentang persekitaran pembelajaran yang berbeza, budaya yang berbeza dan ciri-ciri antarabangsa mungkin tidak terdapat di universiti tempatan. Kehidupan luar kampus dan berurusan di sebuah negara asing tidak mungkin diperoleh menerusi pembacaan semata-mata.

Namun, dari segi reka bentuk kampus, universiti luar negara tidak menghimpun semua fakulti dan sekolah pengajian di kawasan yang sama seperti di Malaysia. Universiti mereka terbentuk daripada gabungan sekolah dan fakulti yang berselerak dalam sesebuah bandar. Dalam kata lain, universiti bersekali dengan bandar dan masyarakat, bukan berasingan secara total seperti di negara kita.
salah sebuah kampus Harvard di bandar Cambridge, Massachusette

Harvard yang ditubuhkan pada tahun 1636 misalnya memiliki kampus induk dengan keluasan tidak sampai 200 ekar, tetapi memiliki sekolah dan fakulti yang berselerak di dalam bandar Cambridge, Massachusette. Begitu juga Oxford dan Cambridge yang merupakan gabungan banyak kolej hingga tiada satu kawasan pun yang boleh dikenal pasti oleh penduduk tempatan di sana sebagai kampus induk Cambridge atau Oxford. Keadaan yang sama juga menjadi ciri universiti di Russia, malahan jarak antara sesebuah fakulti bagi sesebuah universiti terletak dalam jarak satu jam perjalanan dengan kenderaan awam.

Di Malaysia, hampir semua universiti, sama ada awam atau swasta, menempatkan semua sekolah pengajian dan fakulti dalam satu kawasan kampus, termasuk kampus cawangan yang terletak dalam satu kawasan pagar yang dikawal dengan ketat. Konsep universiti bergabung dengan hiruk-pikuk bandar dan masyarakat masih asing di negara kita, kecuali mungkin kampus universiti terbuka OUM dan kampus pengajian jarak jauh. Maka, pengalaman belajar di universiti tempatan juga memberi pengalaman yang istimewa dan unik, berbanding dengan kampus universiti luar negara dalam kompleks bangunan bandar, tepi sungai atau menyewa rumah kedai yang bersesuaian...

Friday, August 24, 2012

TRANSFORMASI BANDAR DUNGUN (REGAIN MARITIME ATTRACTION)

Sesebuah daerah yang diwakili oleh ahli dewan undangan negeri yang menduduki kerusi empuk menteri besar atau ketua menteri pada amnya mencatat kemajuan yang jauh lebih pesat daripada daerah-daerah yang lain. Demikian cakap-cakap orang politik yang juga sudah menjadi suatu rahsia umum yang sukar untuk dinafikan. Namun, keputusan tentang sebarang projek di peringkat negeri bukan kuasa mutlak menteri besar atau ketua menteri, sebaliknya menerusi majlis mesyuarat kerajaan negeri yang dianggotai oleh para exco, termasuk ex-officio, iaitu pegawai tinggi kerajaan negeri yang lebih berperanan dari segi rujukan pentadbiran.

Dungun ialah daerah ketua terbesar di negeri Terengganu Darul Iman, tetapi agak ketinggalan dari segi pembangunan prasarana fizikal dan kegiatan ekonomi. Hanya baru-baru ini, zon perdagangan Sura Gate fasa pertama telah menjadikan bandar Dungun yang sepi mulai mengalami kesesakan dan kekurangan tempat meletak kenderaan. Terkini, pasar raya borong Sakan milik usahawan bumiputera bergelar Dato' mula beroperasi untuk memberi saingan kepada Mydin, Aneka, Ten Ten dan beberapa buah pasar raya bertaraf sederhana yang lebih dahulu dibuka.

Bank terkemuka negara, Maybank juga baharu dibuka berbanding dengan cawangan bank yang sama yang  telah lama beroperasi di Paka dan Kemaman. Butik aksesori sukan bumiputera, iaitu Mizi dan al-Ikhsan juga telah membuka cawangan masing-masing. Kini, penduduk daerah Dungun sudah menikmati pelbagai pilihan barang dan perkhidmatan yang setanding dengan bandar-bandar utama di negara kita.

Sebagai bandar ilmu, Dungun memang boleh dibanggakan. Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Sura Hujung ialah antara kampus terpenting milik UiTM yang lebih fokus kepada pengajian perakaunan dan perniagaan. Proses naik taraf UiTM Dungun dijangka bermula apabila projek kampus Bukit Besi yang berhampiran susur masuk Lebuh Raya Pantai Timur (Jerangau - Jabor) bagi menggantikan kampus yang sedia ada. Kawasan berkenaan yang dahulunya dianggap ceruk dan pedalaman dijangka muncul sebagai sebuah pusat pertumbuhan yang berdaya maju.
Ura-ura bagi mengembalikan era kegemilangan Kuala Dungun sebagai sebuah pelabuhan penting di sebelah pantai timur juga merupakan berita baik kepada penduduk di sana. Sebagai permulaan, pelabuhan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bakal mengalami proses naik taraf dengan peruntukan RM75 juta. Usaha mendalamkan pinggir sungai untuk pembinaan dermaga yang dirancang sedang rancak berjalan.

Sumber memberitahu jika projek itu berjalan lancar, fasa seterusnya ialah membina pelabuhan komersial bagi membolehkan kapal dagang yang bersaiz besar dapat berlabuh dan urus niaga skala besar dapat dilaksanakan. Muara Sungai Dungun yang bercantum dengan Laut Cina Selatan memang sangat luas untuk mengalu-alukan kemasukan kapal dagang. Selain itu, pinggir sungai di sepanjang Seberang Pintasan sudah tersedia untuk perkhidmatan baik pulih kapal dan kemudahan kegiatan maritim yang lain.
Ancaman hakisan pantai yang sekian lama menghantui badar Dungun, khususnya di sepanjang jajaran Teluk Lipat ke Sura Hujung sudah diberi perhatian yang serius. Peruntukan kewangan yang besar membolehkan kerja menambak pantai giat dilakukan, kali ini dengan penggunaan teknologi pemulihan pantai yang lebih canggih. Kejadian jalan raya ditelan laut dan risiko kemalangan dapat diminimumkan.

Daerah Dungun memiliki saiz keluasan geografi, serta sumber daya manusia yang besar. Rancangan tanah Felda dan Ketengah Jaya misalnya berpotensi untuk dimajukan sebagai zon tanaman buah-buahan tempatan seperti limau, dokong dan salak. Bagi mengekalkan pembangunan yang lestari, aktiviti hiliran seperti zon perkilangan hendaklah dikekalkan di daerah berdekatan seperti Kemaman...

Thursday, August 23, 2012

MOTIVASI BELAJAR: MENCIPTA PELUANG KECEMERLANGAN (THE SEED OF SUCCESS)

Bijak pandai mengatakan bahawa pengalaman ialah guru yang paling berkesan. Sudah tentu pengalaman yang dimaksudkan tidak terhad kepada pengalaman diri sendiri semata-mata yang mungkin lebih banyak berdasarkan proses cuba jaya. Usia seseorang insan hanya sebentar bagi menimba begitu banyak khazanah pengalaman manusia sejak zaman-berzaman seperti yang tercatat dalam kitab suci, buku, manuskrip, monograf, jurnal, koleksi atas talian dan segala sumber lain yang boleh diakses, termasuk media lisan dan multimedia.

Pengalaman yang autentik diklasifikasi dan disaring begitu rupa hingga disampaikan dalam kuliah pengajian tinggi dan diuji menerusi proses penyelidikan supaya tidak kekal sebagai pendapat atau dakwaan semata-mata. Falsafah, kata-kata hikmat, peribahasa, retorik, ujaran dan klise sebagai contoh, mewakili pengamatan generasi silam terhadap persekitaran dan tingkah laku lewat zaman masing-masing. Pola asas cara berfikir dan bertindak individu dan kumpulan manusia sentiasa sama, tetapi magnitud dan skala setiap satunya mungkin mengalami perubahan akibat perkembangan kepakaran dan teknologi.

Kecemerlangan disambar menerusi peluang, bukan kebetulan. Tiada individu hebat dalam sejarah hanya menunggu peluang muncul dengan berpeluk tubuh dan berharap, umpama menunggu bulan jatuh ke riba atau panjang angan-angan. Mereka menetapkan matlamat, fokus, membuat imbasan persekitaran, merancang, memimpin, mentadbir, mengurus dan menilai kembali setiap pencapaian sebelum membuat percaturan seterusnya.

Tiada istilah tunduk kepada saranan negatif yang cuba melemahkan perjuangan, atau berundur serta-merta setiap kali halangan atau kesusahan muncul tiba-tiba. Sirah Nabi dan kisah suka duka para pencipta teknologi tersohor boleh dibaca dan diteladani supaya pelajar juga berjaya mencipta kecemerlangan di tengah-tengah godaan keseronokan jangka pendek yang sangat kuat. Keseronokan jangka pendek yang harus dikorbankan merangkumi segala aktiviti yang kurang produktif seperti melayani gajet komunikasi tanpa wayar, melekat di hadapan skrin televisyen, sembang kosong dan berhibur secara melampau.

Pelajar cemerlang tidak mudah dipengaruhi oleh pendapat-pendapat peribadi yang menjurus kepada status quo dan zon selesa. Rasa hormat kepada rakan, orang dewasa dan personaliti lain tidak menyebabkan pelajar cemerlang sentiasa berusaha menjaga hati mereka sahaja, sebaliknya iltizam dengan keputusan bijak tentang matlamat kendiri yang sudah ditetapkan. Kritikan, pandangan dan teguran masih dialu-alukan, tetapi dalam konteks penambahbaikan taktikal dan teknikal sahaja.

Bimbingan pakar seperti guru, pensyarah, kaunselor dan sebagainya ibarat untuk mendapatkan kunci dan lesen bagi memulakan pergerakan kenderaan. Setelah beroleh kunci dan lesen yang dihajati, pakar tidak lagi akan menemani pelajar untuk menuju destinasi seterusnya. Hakikatnya, waktu hubungan dengan pakar hanya sebentar, tetapi penting supaya dengan berbekalkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang merupakan himpunan khazanah pengalaman manusia lain, pelajar cemerlang akan memulakan perjalanan sendiri.

Menunggu peluang datang tanpa berbuat apa-apa ialah sifat si corot atau pelajar berjiwa kecil, walaupun tubuh badan mungkin besar. Mencari peluang ialah petanda pelajar yang bersikap positif, tetapi masih tergolong dalam kategori kerja keras, bukan kerja bijak. Maka, mencipta peluang ialah ciri sebenar pelajar cemerlang, iaitu menggembleng segala potensi kepimpinan kendiri supaya tidak terlalu bergantung kepada orang lain, tetapi pandai mengenal pasti dan memanfaatkan segala sumber yang berkemungkinan.

Selain media pembacaan dan pengajian, insan juga belajar daripada rangsangan persekitaran yang begitu kaya dengan pelbagai rahsia andai kata dapat diamati dengan cermat dan teratur. Insan mengenali Pencipta bukan sahaja menerusi kitab suci, bahkan menerusi tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi, ayatu'llah fi'l-kaun. Proses tadabbur al-Qur'an dilengkapkan dengan pengamatan terhadap ciptaan langit dan bumi, siang dan malam silih berganti, lalu diikuti dengan doa, Wahai Tuhan Kami, tidak Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, jauhkan kami daripada azab api neraka, Rabbana ma khalaqta hadha batila, Subhanaka faqina adhabb'an-nar (ali Imran, 3: 191-192)...

Wednesday, August 22, 2012

NOVEL 'ISTANA MENANTI' KOMSAS TINGKATAN 1 (THE UNSEEN BEING)

Pengenalan novel

Sebagai penerbitan siri Balai Sejarah, novel Istana Menanti setebal 107 halaman (termasuk biodata pengarang, tetapi tidak termasuk butiran percetakan) dan 14 bab memaparkan fakta sejarah tanah air menerusi karya karya kreatif. Pembacaan secara cepat mengambil masa satu jam. Walau bagaimanapun perincian dan penelitian tentang pembelajaran komsas tentu sekali mengambil masa, iaitu sepanjang tempoh persekolahan tingkatan satu.
Biodata pengarang

Abdul Latip bin Talib, 58, bekas pegawai ladang Felcra, kini penulis sepenuh masa. Sebagai penulis yang prolifik, Abdul Latip memenangi pelbagai anugerah, termasuk kategori karya berunsur Islam. Novel 'Istana Menanti' berlatarkan tempat kelahiran pengarang, iaitu Kampung Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan.

Tema novel:  kisah keberanian tiga orang sahabat membongkar misteri peninggalan sejarah

Watak utama

Fadhil, Ramasamy, Ah Seng: murid tingkatan 3 (usia 15 tahun). Mereka melambangkan ikatan perpaduan kaum, selain memiliki naluri ingin tahu yang kuat. Semangat patrotisme dalam diri mereka juga begitu kuat.

Watak sampingan

Tuk Ngah: berusia hampir 80 tahun. Senang berkongsi pengalaman hidup dan kisah sejarah negara dengan remaja. Suka melayan tiga sahabat itu bagi mengisi kesunyian hidup berdua dengan Nenek Timah, justeru semua anak cucu tinggal berjauhan.

Khairil: Pemuda 30 tahun yang mendakwa sebagai pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM). Sama-sama terperangkap dengan tiga sahabat di istana dan ditawan oleh kumpulan Dolah, 'pejuang' berfahaman komunis. Lebih matang dan tenang untuk menghadapi situasi cemas.

Dolah:  ketua kumpulan bekas komunis yang datang ke puncak Gunung Datuk dengan menyamar sebagai pelancong asing. Misi Dolah ialah untuk menggali semula peti besi yang mengandungi khazanah yang dirampas dari tentera Jepun yang dianggarkan bernilai RM1 juta. Dia bekas sahabat Tuk Ngah yang pernah lari ke negara China sebelum dibenarkan pulang semula ke Malaysia.

Encik Karim / Mak Joyah:  ibu bapa Fadhil. Encik Karim seorang kerani. Tidak dimaklumkan tentang Tuk Ngah menemankan ekspedisi tiga sahabat. Cekap dalm tindakan.

Encik Leong / Puan Lily:  ibu bapa Ah Seng. Encik Leong ialah peniaga runcit

Encik Shanti / Puan Mary:  ibu bapa Ramasamy. Encik Shanti penoreh getah

Pak Busu: penduduk kampung yang ternampak 'pelancong asing' yang mencurigakan menghala ke istana. Ikut serta dalam gerakan mencari. Peka / bijak menghubung kait maklumat.

Nenek Timah:  isteri Tuk Ngah. Dari awal lagi tidak setuju dengan rancangan tiga sahabat itu. Memberi amaran tentang kewujudan puaka dan kawasan terbiar yang bahaya, serta tiada yang istimewa.

Pak Senik: ketua Kampung Ulu Seperi: Bertanggungjawab. Mencadangkan bantuan polis.

Sarjan Mokhtar: ketua balai polis Kampung Ulu Seperi. Berwibawa dan berpengalaman luas dalam tugas. Tegas tentang syarat gerakan mencari untuk lelaki dewasa sahaja.

Ketua Polis Daerah Rembau:  berucap dalam majlis kesyukuran. Memuji penduduk kampung sehingga penjenayah berbahaya dapat diberkas.

Menteri Besar Negeri Sembilan: menyampaikan hadiah penghargaan kerajaan. Memuji kecekapan polis.

Sinopsis novel

Novel mengisahkan keinginan tiga orang sahabat, iaitu Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy, untuk membongkar misteri istana lama di puncak Gunung Datuk kerana tertarik dengan cerita sejarah oleh Tuk Ngah. Perjalanan mendaki mengambil masa dua jam, sambil mereka berehat di sebuah jeram yang cantik. Mereka terperangkap di dalam sebuah bilik istana dan bergabung dengan Khairil yang turut terperangkap. Mereka cuba keluar menerusi sebuah terowong, tetapi bertembung dengan sekumpulan penjenayah. Mereka dipaksa menggali sebuah lubang dan akhirnya menemukan sebuah peti besi yang penuh 'harta karun'  yang didakwa milik Dolah, ketua kumpulan penjenayah. Mereka ditinggalkan sehingga gerakan mencari oleh polis dan penduduk kampung menemukan mereka. Pada mulanya pasukan mencari hendak berundur sementara malam sudah larut, tetapi Tuk ngah tiba-tiba muncul untuk menceritakan hal sebenar. Penjenayah tidak sempat bolos. Akhirnya, satu majlis kesyukuran diadakan dengan dihadiri oleh Menteri Besar dan ketua polis daerah.

Binaan plot

Permulaan / pengenalan:

Perkembangan:

Konflik / pergolakan:

Klinaks / puncak:

Peleraian:

Perwatakan

berani: Tiga sahabat tetap mahu mendaki puncak Gunung Datuk walaupun dikatakan berpuaka

patriotik / semangat cinta negara: menghargai mata pelajaran Sejarah. Tiga sahabat sudi mendengar kisah sejarah daripada Tuk Ngah yang sudah lanjut usia.

mesra / ramah:  Tuk Ngah sedia melayan kanak-kanak. Dia juga sanggup menemani ekspedisi mendaki gunung walaupun tidak segagah dahulu. 

bijak / panjang akal: Tuk Ngah bersembunyi sambil memerhatikan pergerakan penjenayah di luar istana. Tiga sahabat dan Khairil cuba melengahkan masa ketika menggali lubang.

tegas:  Sarjan Mokhtar hanya membenarkan 4 orang wakil penduduk kampung masuk ke balai membuat laporan. Kemudian, anggota gerakan mencari hanya dianggotai oleh lelaki dewasa.

peka / prihatin:  Pak Busu mengaitkan kehadiran pelancong asing yang mencurigakan dengan kehilangan tiga sahabat. Pak Senik juga cepat bertindak supaya laporan polis segera dibuat.

sedia membantu / menolong:  penduduk kampung menyertai gerakan mencari.

Latar masyarakat

masyarakat murid sekolah

masyarakat warga tua

masyarakat kampung

masyarakat pihak berkuasa keselamatan

masyarakat penjenayah

masyarakat yang berani

masyarakat yang patriotik / cintakan negara

masyarakat yang ramah / mesra

masyarakat yang bijak / panjang akal

masyarakat yang tegas

masyarakat yang peka / prihatin

masyarakat yang sedia membantu / menolong

Nilai murni:  keberanian, cinta negara, keramahan / kemesraan, kebijaksnaan, ketegasan, kepekaan / keprihatinan, bantu-membantu / tolong-menolong

Persoalan

keberanian menempuh cabaran / kesukaran / ujian / situasi cemas

semangat cinta kepada negara / menghargai khazanah sejarah bangsa

keramahan / kemesraan dalam komunikasi / antara generasi

kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah / mencari jalan untuk membuat keputusan / pilihan

ketegasan dalam tugas / memberi arahan

kepekaan / keprihatinan terhadap sesuatu peristiwa / persekitaran

saling membantu / menolong dalam sesuatu keadaan / tugas

Pengajaran

Kita hendaklah berani menempuh cabaran / kesukaran / ujian / situasi cemas
semangat cinta kepada negara / menghargai khazanah sejarah bangsa

Kita hendaklah ramah / mesra dalam komunikasi / antara generasi

Kita hendaklah bijaksana dalam menyelesaikan masalah / mencari jalan untuk membuat keputusan / pilihan

Kita hendaklah tegas dalam tugas / memberi arahan

Kita hendaklah peka / prihatin / mengambil berat terhadap sesuatu peristiwa / persekitaran

Kita hendaklah saling membantu / menolong dalam sesuatu keadaan / tugas

kbkk

Unsur saspens:  pintu bilik istana tiba-tiba terkunci dan tiga sahabat terpernagkap

                     :  kemunculan ribuan ekor tikus di laluan terowong

                     :  penjenayah mengugut untuk melepaskan tembakan

Peristiwa kebetulan:  tiga sahabat tiba di puncak ketika kumpulan penjenayah sudah berada di istana

Keistimewaan tajuk novel:  berunsur sejarah, serta menimbulkan keinginan pembaca untuk mengetahui kisah yang bakal disampaikan oleh pengarang


Permulaan novel yang menarik:  Gambaran tentang minat yang sama oleh berbilang generasi tentang sejarah negara

Pengakhiran novel menepati jangkaan pembaca:  Tiga sahabat, Tuk Ngah dan Khairil terselamat. Dolah dan anak buah diberkas. Masing-masing menerima balasan / kesudahan yang setimpal.

Peristiwa penting / menarik sebagai hujah / huraian kepada jawapan tugasan / pembentangan / peperiksaan

...

...

...

...

...

...

...

...

Tuesday, August 21, 2012

MOTIVASI BELAJAR: CEMERLANG PERLU PERANCANGAN, GAGAL TIDAK PERLU BUAT APA-APA (THE RICH AND THE POOR)

Pagi tadi penulis blog (PB) terbaca sebuah buku motivasi berlian tentang membuat keputusan. Terselit ungkapan bahawa untuk menjadi kaya perlu merancang, tetapi untuk menjadi miskin tidak perlu melakukan apa-apa. Kaya itu bersifat pemalu dan sangat sukar untuk dihampiri, manakala miskin itu ada di mana-mana dan tiada sifat belas kasihan.

Pencapaian dalam dunia pembelajaran juga demikian. Kecemerlangan pembelajaran sangat bergantung kepada proses perancangan yang sudah pasti menuntut disiplin dan kesungguhan optimum. Seluruh aplikasi kemahiran generik pembelajaran sama ada mendengar, bertutur, membaca dan menulis mesti digembleng sebagai suatu pakej yang saling melengkapi.

Pepatah Melayu mengatakan bahawa diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat. Ubi kalau direbus boleh menjadi empuk dan sangat enak untuk dinikmati panas-panas, apatah lagi jika dicicah dengan sambal ikan bilis atau gula melaka. Besi buruk pula boleh membawa mudarat jika terpijak atau mengalami tindak balas kimia.

Murid cemerlang dalam pembelajaran lebih banyak mendengar penjelasan pakar (guru / pensyarah) dan tahu masa yang tepat untuk bercakap, misalnya untuk aktiviti kerja kumpulan, pembentangan dan sesi soal jawab. Mereka tidak akan menyampuk atau sengaja bersuara untuk menarik perhatian majlis (bilik darjah). Pendek kata, mereka bersifat tahan telinga dan lasak mendekam dalam dunia niskala lewat modifikasi fenomena yang rencam menerusi sejumlah pemboleh ubah, konsep dan teori.

Konsep guru sebagai pemudah cara memberi penekanan terhadap kegiatan pembelajaran yang bersifat penerokaan, akses kendiri dan aktif. Walaupun demikian, murid bukan dikehendaki bising tanpa sebab, sebaliknya dibimbing untuk mencapai objektif pembelajaran yang ditentukan lebih awal. Kalau ada murid yang masih tidak boleh mengawal mulut, kemungkinan bakat mereka ialah dalam bidang seni suara, lawak jenaka atau pemasaran yang perlu ditempatkan di sekolah yang menampung kehendak berkenaan.

Tanda-tanda seseorang itu kurang ilmu atau jahil ialah banyak cakap bagi menonjolkan diri kononnya serba tahu. Nada suara mereka juga agak lantang macam kapal karam atau tongkang pecah. Kegemaran mereka pula ialah bertegang urat leher andai kata cakap mereka dibantah atau ditolak.

Lebih banyak seseorang itu bercakap, lebih jelas pula tahap ilmu yang dimiliki, serta sifat rendah diri yang kian ketara. Tumpuan percakapan orang yang kurang ilmu ialah hal-hal fizikal dari hujung rambut sampai hujung kaki dan mengumpat orang lain, tanpa mengira sensitiviti. Cakap kosong mereka hanya membuang masa, dan tiada sebarang inti pati ilmu.

Murid cemerlang tidak seyogia meniru tingkah laku orang yang kurang ilmu. Murid cemerlang mesti peka terhadap adab, disiplin dan etika dalam proses pembelajaran. Pergaulan dengan rakan-rakan yang banyak cakap masih mesra, tetapi sentiasa dalam batasan dan kawalan yang tegas...

Monday, August 20, 2012

PENCAPAIAN MURID: ANTARA RUNGUTAN DAN MENCARI JALAN (LIVING ISSUE IN SCHOOL)

Sudah naik jemu kita mendengar ungkapan bahasa Inggeris bahawa the winners never quit, the quitters never win, iaitu yang menang tidak pernah menarik diri, manakala yang menarik diri tidak pernah menang. Si jaguh datang dengan perancangan, si corot datang dengan alasan. Walaupun jemu, demikianlah hakikat sebuah kehidupan yang penuh dengan cabaran dan perjuangan yang tidak putus-putus silih berganti persekitaran dan masa. 

Sekolah mewakili sebuah organisasi memupuk pembelajaran yang sama seperti susun lapis masyarakat sebenar. Terdapat lima peratus golongan cemerlang, 90 peratus golongan biasa-biasa dan lima peratus lagi golongan melencong atau marginal. Label atau tanggapan sosiologi itu mungkin nampak keterlaluan, tetapi lebih baik ada perspektif sebagai pedoman analisis perancangan daripada tiada langsung input imbasan persekitaran.

Murid-murid datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, pencapaian fizikal dan mental yang berbeza, serta memiliki keunikan peribadi yang mungkin tidak digilap secara optimum. Maka, di tangan guru-guru yang telah terlatih dalam pelbagai disiplin pengkhususan akademik dan kelayakan ikhtisas pendidikan, segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri murid-murid dapat dikembangkan ke tahap yang munasabah. Tugas asas kerjaya keguruan ialah menolong murid menjalani pengalaman pembelajaran yang tersusun dan terarah supaya pada akhirnya dapat menjadi insan yang berdikari, memahami peranan masing-masing dalam masyarakat dan mencapai semua keperluan domain pendidikan dari segi kognitif, afektif dan psikomotor.

Berbekalkan ilmu bantu pendidikan seperti psikologi, pedagogi, sosiologi, falsafah, statistik dan asas kurikulum, seseorang guru sebenarnya sudah memiliki kelebihan dari segi ilmu dan amalan bilik darjah yang terbaik. Tinggal lagi guru harus bijaksana menggarap spesifikasi ilmu yang bersifat piawaian tinggi itu ke dalam persekitaran bilik darjah yang sebenar. Pelan luar jangka atau Pelan B mesti sentiasa disediakan apabila pemboleh ubah di luar kawalan menjadi lebih berpengaruh dan dominan.

Kanak-kanak awal remaja sedang menjalani fasa penerokaan kendiri dari segi autonomi dan mula menolak kebergantungan terhadap orang dewasa secara perlahan-lahan. Maksudnya, murid dalam lingkungan usia berkenaan cenderung untuk mempamerkan ciri-ciri pemberontakan sebagai cara bagi menunjukkan bahawa diri mereka bukan anak-anak kecil hingusan yang boleh dipandang rendah. Maka, tidak hairanlah bahawa mereka akan memberi sokongan kepada tingkah laku lencongan seperti berbuat bising, tidur dan membantah cakap guru.

Murid yang patuh akan dilabel sebagai skema dan bakal tersisih daripada majoriti. Budak-budak baik sukar sekali untuk diangkat sebagai peribadi rujukan justeru mereka dicurigai sebagai antisosial. Guru tidak seyogia berasa cemas kerana fenomena seumpama itu hanya bersifat sementara sebelum murid benar-benar mencapai usia kematangan masing-masing.

Pemimpin sekolah yang berpengalaman luas (atas faktor usia atau input ilmu pengetahuan) melayan rungutan tentang kerenah murid sebagai sebab-musabab sampingan dan jatuh dalam kategori perbincangan yang kurang produktif. Maka, langkah yang lebih diutamakan dan aula ialah mencari jalan supaya persekitaran yang sedia ada masih mampu dijuruskan ke arah penambahbaikan pencapaian murid dan keseluruhan sekolah. Guru sentiasa dibawa bermuhasabah bahawa tugas asas mereka ialah memberi pertolongan yang terbaik kepada murid tanpa syarat.

Sebagai ahli ikhtisas, guru terikat kepada ikrar perkhidmatan, etika dan tanggungjawab yang termaktub ketika mereka menerima tawaran perjawatan setelah lulus tapisan keutuhan yang begitu ketat. Pelantikan mereka juga bererti sejumlah calon dan pemohon yang lain harus diketepikan. Kemudian, perkhidmatan keguruan dan sekolah dibiayai menerusi dana awam pembayar cukai, selain menjunjung amanah Ilahi...

Sunday, August 19, 2012

NASKHAH "PAPA... (akhirnya kau tewas jua!)" SEPINTAS LALU (ANOTHER NOVEL FOR FORM 4)

Murid-murid Lembah Klang, meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Selangor dan Negeri Sembilan menggunakan naskhah "Papa... (akhirnya kau tewas jua!)" sebagai novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu 2. Novel setebal 224 halaman ini (tidak termasuk butiran penerbitan dan kata pengantar) dibahagikan kepada 24 buah bab yang tidak diberi subjudul. Pembacaan secara terus-menerus memakan masa kira-kira tiga jam.
Berdasarkan cadangan nota Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (PPK), novel "Papa" membawa tema kasih sayang dalam keluarga. Watak utama, Intan Julia (Ju), 16, sangat mengasihi mama (Intan Maliana) dan papa (Jefri) memandangkan dia anak tunggal dalam keluarga yang lahir menerusi pertarungan nyawa seorang ibu akibat komplikasi yang teruk. Apabila mama koma setelah melahirkan anak kembar Siam, Ju tidak setuju papa bernikah dengan bekas pelajar kolej papa, iaitu Aisyah.

Namun, demi kasih sayang kepada papa dan pujukan Mak Cik Noraini, pembantu rumah yang juga sepupu papa, Ju mengalah. Mama dan papa ialah pasangan yang sangat romantik walaupun telah membina mahligai perkahwinan mencecah dua dekad. Mama sanggup mengambil risiko apabila bersetuju untuk hamil kali kedua demi kasih kepada si suami.
Sebahagian pembaca "Papa" buat pertama kali berkemunginan besar terasa 'diperdaya' kerana menyangka pengarang novel ialah seorang aktres yang pernah menempa nama dalam industri filem tempatan. Nasib baik, penggunaan nama glamor tidak boleh dipatenkan atau didaftarkan sebagai hak cipta terpelihara. Maka, Puan Norhaiza binti Yusof, 55, tidak perlu menaruh perasaan bimbang untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan prosiding undang-undang. 

Nurhaiza, seorang suri rumah sepenuh masa, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan terdorong untuk menghasilkan karya sendiri setelah membaca buah tangan penulis novel tersohor tempatan. Minta maaf kerana harus disebutkan di sini bahawa novel "Papa" tidak lebih baik daripada "Azfa Hanani" justeru mempromosi pergaulan bebas, misalnya watak utama, "aku" (Intan Julia) boleh bersentuhan dengan Rasylan, teman lelakinya yang merupakan kelahiran tidak sah taraf, hingga hampir bercium bibir. Nama baik Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) juga sedikit tercemar akibat gambaran tingkah laku buruk mereka, ditambah pula dengan pensyarahnya, Muaz al-Khalibi, bapa biologi Rasylan hasil hubungan terlarang dengan bibik pengemas bilik dari Indonesia.

Sinopsis keseluruhan novel

Novel "Papa" berkisar tentang kisah keluarga Intan Julia bersama papa dan mama yang penuh dengan kasih sayang. Walaupun papa memiliki kisah silam yang pahit dengan dua orang bakal doktor, mama telah muncul sebagai penyelamat kekecewaan papa. Kemesraan papa dan mama kadang-kadang membuatkan Julia berasa bosan. Kehadiran Aisyah, pelajar papa membibitkan rasa curiga akan kesetiaan papa di hati Ju, tetapi Papa menafikan. Mama mengalami komplikasi apabila mengandung kali kedua. Anak kembar Siam kandungan mama meninggal dan terus koma. Papa setia menjaga mama, tetapi akhirnya kesepian menyebabkan papa menyunting Aisyah yang pada awalnya mendapat bantahan Ju hingga dia pernah kena tempeleng papa. Mama yang sempat terjaga daripada koma sebelum menghembuskan nafas terakhir kelihatan marah dengan papa dan papa buat pertama kali menangis... 

Watak utama / perwatakan: Intan Julia / Ju

Dalam novel, Ju ialah 'aku', iaitu pencerita. Maka, novel ini masuk dalam kategori sudut pandangan orang pertama, atau pencerita terlibat aktif dalam keseluruhan cerita. Unsur monolog dalaman dan imbas kembali suatuy lumrah dalam novel yang ditulis sedemikian.

Murid tingkatan 4 Sekolah Seri Gading, tempat mama bertugas. Papa juga pernah mengajar di situ sebelum bertukar angin sebagai pensyarah ekonomi sebuah kolej universiti swasta, iaitu Kolej Iktisas (ikhtisas?). Ju sangat manja dengan mama dan papa, serta dengan Mak Cik Noraini.

Ju remaja yang bijak, tetapi dalam masa yang sama betigu tegas dan sensitif sekali gus. Ju tidak mudah percaya kepada apa-apa yang didengar atau dilihat begitu sahaja. Otak Ju ligat berfikir akan perkara-perkara tersirat di sebalik setiap percakapan, perbuatan dan peristiwa yang berlaku.

Watak sampingan / perwatakan:

Papa / Cikgu Jeffri


Suami dan bapa yang penyayang. Papa sentiasa cuba membahagiakan mam dengan bersikap romantis. 

Mama / Cikgu Intan Maliana

Mak Cik Noraini / pembantu rumah / sepupu papa

Aisyah / pelajar papa / isteri kedua papa / ibu tiri Ju

Datuk Mahazar Sheikh Mohammad / bapa Aisyah

Rasylan / teman lelaki Ju (kacukan Jordan - Indonesia hasil hubungan tidak sah)

Cikgu Suziyah / Cikgu Suzie (m/s 36, 68)

Doktor Razif

Encik Muaz al-Khalibi

Datuk Mustakim bin Bahadar (m/s 113)

Cikgu Raymond Brian (m/s70)

Linda (m/s 70)

Murni (m/s 79)

Latar masyarakat

Latar tempat

Rumah keluarga Ju / papa / mama

Sekolah Seri Gading

Gelanggang tenis

rumah Aisyah

kafe Starbucks

kolej kediaman matrikulasi UIAM

restoran makanan segera A & W

hospital


Latar masa



Nilai murni

Kasih sayang

Ketegasan

Hormat-menghormati

Nasihat-menasihati

Kepedulian / kepekaan / keprihatinan / ambil berat

tanggungjawab / amanah

bertolak ansur

kejujuran / terus terang


Persoalan

Kasih sayang sesama keluarga

Ketegasan dalam pendirian / prinsip

Hormat kepada orang yang lebih tua

Nasihat ke arah kebaikan / bagi mencegah kemungkinan buruk

Kepedulian / kepekaan / keprihatinan / ambil berat terhadap kesusahan / penderitaan rakan

Tanggungjawab / amanah dalam tugas / pelajaran


Pengajaran

Kita hendaklah menyayangi sesama keluarga

Kitab hendaklah tegas dalam pendirian / prinsip

Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua / berpengalaman

Kita hendaklah saling menasihati ke arah kebaikan

Kita hendaklah peduli / peka / prihatin / mengambil berat akan kesusahan / penderitaan rakan

Kita hendaklah bertanggungjawab / amanah dalam tugas / pelajaran


kbkk

Kewajaran tajuk novel

Ulasan tentang permulaan novel: menimbulkan keinginan pembaca meneruskan pembacaan

Kesudahan novel: menepati jangkaan / pembaca tidak puas hati

Peristiwa yang menyentuh perasaan pembaca:  cemas, konflik, lucu

Kepincangan masyarakat / sosial

PERANAN BAPA DALAM INSTITUSI KELUARGA (OUTSIDE HOME INFLUENCES)

Dalam masyarakat Asia, bapa menganggap diri mereka umpama raja, iaitu pembuat keputusan yang bersifat mutlak dan seisi keluarga mesti akur untuk berkhidmat kepada mereka. Kepimpinan bapa pantang dicabar oleh sesiapa juga anggota keluarga yang lain. Maka, bapa yang demikian sentiasa cuba menunjukkan bahawa diri mereka sebagai garang, tegas dan tiada tolak ansur.

Dari satu segi, persepsi itu memang kelihatan baik supaya anak-anak tidak berani untuk bertindak sendiri tanpa restu bapa. Sayangnya, hal itu hanya bersifat permukaan dan jangka pendek. Maksudnya, di hadapan bapa, anak-anak pijak semut pun tidak mati!

Bapa yang kurang mesra mengakibatkan anak-anak mencari kemesraan di luar rumah. Sebab itu berlaku kes, anak-anak gadis mudah jatuh ke tangan penjahat-penjahat tua yang licik menggunakan bahasa mesra seperti "baby", "beauty", "darling" dan sebagainya. Sebahagian lagi berjaya diayat oleh kutu rayau, penagih syabu dan penjenayah hidung belang.

Anak lelaki pula memilih rakan sebaya yang sehaluan. Jika termasuk dalam kumpulan rakan sebaya yang berakhlak mulia, mujur dan syukur. Namun, jika bergabung dengan rakan sebaya yang rosak, si bapa bakal menyesal tidak sudah, atas sikap kasar terhadap anak sendiri tanpa berlandaskan ilmu pengetahuan yang benar.

Tinjauan rambang mendapati bahawa kebanyakan bapa menyerahkan tugas menjaga perkembangan pelajaran anak-anak di bahu isteri secara total. Maka, si ibu yang menyemak kerja rumah anak, bertanya tentang cerita di sekolah dan melayan rintihan si anak. Si bapa hanya duduk bersandar di sofa, membaca surat khabar, sambil sesekali menjeling ke arah si ibu dan si anak.

Si ibu yang sudah lesu kerana mengurus rumah tangga secara solo setelah balik kerja akan merayu suami supaya berkongsi peranan. Biasanya sang suami akan diam membatu kerana menjangka si isteri akhirnya penat bercakap, lalu berhenti 'membebel' (baca: menuntut hak rehat). Bapa sudah lupa akan janji semasa mula-mula hendak membina mahligai rumah tangga dahulu.

Kalau tanya anak, jawapannya ialah bapa hanya tahu marah dan bukanlah pendengar yang baik. Maka, si anak berasa lebih baik meluahkan perasaan kepada rakan sebaya yang sentiasa 'sudi' meminjamkan telinga mereka. Si anak khuatir jika mereka bercerita kepada ibu, perkara itu akhirnya sampai juga kepada bapa, lalu skrip bapa tetap sama, iaitu marah.

Sudah tiba masanya satu kempen besar-besaran tentang peranan bapa dalam institusi keluarga dilaksanakan dalam skala besar. Para bapa mesti dibangkitkan daripada khayalan kejahilan bahawa mereka ialah diktator yang menakutkan seisi keluarga. Jalinan kemesraan dan kasih sayang dalam institusi keluarga ialah jawapan ampuh terhadap isu-isu negatif yang melanda sebahagian (baca: bukan semua) generasi muda kita...

Saturday, August 18, 2012

CARA UCAPAN SEMASA HARI RAYA (FESTIVE GREETING)

Hari raya eid'ul-fitri ialah hari kemenangan dan hari kegembiraan bagi umat Islam yang berjaya menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Takbir raya mula dialunkan sejak malam raya lagi, iaitu selepas pengumuman rasmi tarikh hari raya oleh pihak berkuasa. Jemaah di masjid akan melaungkan takbir raya secara beramai-ramai usai solat Isyak berjemaah, biasanya menggantikan zikir Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar yang dibaca 33 kali setiap satunya.

Seisi keluarga kemudian sibuk melakukan persiapan terakhir hari raya dengan mengemas rumah, menyediakan juadah untuk hidangan tetamu dan mungkin juga duit raya. Pakaian baharu untuk solat sunat eidul-fitri juga siap digosok dan digantung di dalam almari. Kaum lelaki bakal mencalit minyak wangi, manakala kaum wanita juga berbuat demikian, tetapi dengan lebih tipis bagi menjaga syariat.
Apabila bertemu, masing-masing mengucapkan "selamat hari raya, maaf zahir dan batin". Di rantau timur tengah, ucapan yang digunakan ialah "Eid mubarak". Pada zaman Rasulullah Salallahu alaihi wasallam dan para sahabat, ucapan yang digunakan ialah taqabbalallahu minna waminkum, (semoga Allah menerima amal kamu dan amal kami dan amal kalian), lalu disahut dengan ucapan balas "minna wa minkum taqabbal ya karim". Di Malaysia, lafaz berkenaan biasa didengar usai bacaan doa selamat atau tahlil bagi menandakan acara seterusnya seperti jamuan hendak bermula.

Dalam kad ucapan, sama ada secara fizikal atau digital (SMS, MMS, e-mel), ungkapan berbahasa Arab yang boleh diselitkan termasuklah minal a 'idin wal fa 'izin, kullu am wa antum bi khair (selamat hari raya dan kemuliaan, moga kalian dilimpahi kebaikan sepanjang tahun ini). Dalam bahasa santai, ada juga yang menyebut, kita sekarang 0-0, iaitu saling bermaafan atas semua kesalahan yang lalu. Namun, kesalahan yang dimaksudkan tentulah hal-hal kecil sahaja, bukan hal yang membabitkan kewangan atau perjanjian.

Sebagai insan biasa, banyak perkara tentang kenalan diceritakan semasa ketiadaan kenalan tersebut. Cerita kebaikan juga mungkin ada khilaf, apatah lagi cerita yang menjurus kepada perkara keburukan. Tidak payahlah cerita-cerita sampingan sedemikian dipanjang-panjangkan lagi.

Di kebanyakan negara Arab, hari raya hanya disambut dalam tempoh sehari ke tiga hari. Di Malaysia, tempoh perayaan menjangkau sebulan penuh Syawal dengan pelbagai jemputan rumah terbuka oleh individu dan organisasi. Ada juga keluarga yang mengambil kesempatan musim perayaan untuk mengadakan majlis perkahwinan atau masuk rumah (house warming).

Puasa enam yang sunat dikerjakan dalam bulan Syawal ialah pelengkap kepada puasa Ramadan. Sebahagian orang tua di kampung terus mula berpuasa enam seawal hari raya kedua. Kaum wanita yang  masih "bercuti" puasa Ramadan pula mengambil peluang untuk terus mengganti puasa wajib itu bersekali dengan puasa enam walaupun ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang hal itu.

Hari raya ialah peluang bagi merapatkan semula tali persaudaraan, silaturrahmi dan ukhuwwah yang mungkin telah renggang atas pelbagai sebab. Peribahasa Melayu mengatakan "buang yang keruh, ambil yang jernih". Kesilapan yang lalu ditebus dengan permohonan maaf dan ucapan doa yang tulus ikhlas dari hati yang paling dalam...

Friday, August 17, 2012

IJAZAH BELI, IJAZAH PALSU (ACADEMIC FRAUD)

Gelaran doktor (Dr.) pada pangkal nama seseorang hanya layak digunakan oleh penyandang ijazah perubatan, sama ada sarjana muda perubatan dan pembedahan (MBBS), doktor perubatan (MD), sarjana muda pembedahan pergigian (BDS) dan pemilik ijazah doktor falsafah, Ph.D atau yang setaraf (Ed.D, DBA) yang telah bertungkus-lumus dalam pengajian masing-masing. Malangnya, para penipu dan tokoh yang gila glamor cuba menumpang sekaki dengan menyamar sebagai seseorang yang layak menggunakan gelaran doktor. Ada yang membeli ijazah palsu, mengikuti pengajian dalam bidang akademik yang bertaraf 'lawak jenaka' atau mengupah penjenayah akademik menulis tesis untuk mereka di sesetengah universiti yang mendakwa sebagai universiti terbuka di luar negara, terutama di Asia Selatan yang entah terletak di gua atau kandang lembu.

Dahulu ada seorang penyanyi tempatan dikecam kerana berani meletakkan gelaran Dr. di pangkal namanya. Kemudian, dia bertindak mengubah ejaan itu kepada dR untuk meneruskan kekeliruan yang diciptanya sendiri. Baru-baru ini pula, seorang penyanyi muda yang baru mencecah usia 30-an menarik balik gelaran Dr. sebagai tiket menjadi 'pakar motivasi' setelah menerima kecaman bertalu-talu.

Terkini, seorang ahli politik terpaksa mengaku bahawa dia hanya mengikuti pengajian di sebuah taman perumahan di Kuala Lumpur untuk ijazah Ph.D dari sebuah universiti di Amerika Syarikat yang tidak melepasi akreditasi tempatan. Selain itu, pengamal rawatan alternatif homeopati yang hanya mengikuti program diploma secara sambilan juga tergamak menggunakan gelaran doktor (H.Dr). Lebih teruk daripada itu, beberapa orang ahli perniagaan yang menjual 'air liur' dengan lebih berani menambah gelaran profesor doktor pada pangkal namanya untuk siaran iklan di akhbar-akhbar 'nyamuk'.

Penyakit gila pangkat, gila gelaran dan gila glamor ini ialah manifestasi kepincangan masyarakat yang gemar akan jalan pintas untuk mengumpul kemewahan hidup. Perasaan malu telah tercabut sepenuhnya dalam diri mereka sehingga sanggup membuat kelakar akademik dengan menggunakan gelaran Dr. yang sangat tidak layak bagi mereka. Bayangkan ahli politik yang hanya lulus setakat SPM pangkat tiga tiba-tiba bergelar Dr!

Berlainan pula halnya dengan anugerah ijazah kehormat doktor falsafah yang juga membawa gelaran Dr. Walaupun mereka menerima ijazah kehormat itu semasa majlis konvokesyen rasmi, tetapi penggunaan gelaran itu hanya terhad kepada upacara rasmi tertentu dan dieja dalam kurungan seperti Tan Sri (Dr.) P. Ramlee bagi membezakan status ijazah kehormat dengan ijazah yang diperoleh menerusi program akademik yang khusus. Maknanya, gelaran Dr. bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya demi menjaga kemuliaan ijazah tertinggi (peringkat habis darjah) itu.

Tiada jalan keluar lain bagi mencegah jenayah akademik sedemikian melainkan dengan tindakan yang sangat tegas dari segi undang-undang. Perlu ada proses pendaftaran kepada lembaga atau suruhanjaya khas sebelum seseorang itu layak menggunakan gelaran Dr. di pangkal nama masing-masing setelah pihak panel lembaga berpuas hati dengan bukti pencapaian akademik si pemohon. Mereka yang mengada-ngada atau melakukan penyamaran hendaklah menjalani soal siasat di hadapan panel profesor yang diiktiraf sebagai terkemuka sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk proses pendakwaan...

HARI RAYA GENERASI Y (TRADITION AND CHANGE)

Amalan ziarah mungkin masih berjaya dipertahankan dalam masyarakat Malaysia dalam musim perayaan Eidul Fitri, tetapi mengalami ubah suai di sana sini. Generasi muda bandar harus akur kepada kehendak ibu bapa untuk berhari raya di kampung halaman mereka yang penuh dengan kenangan indah. Kampung juga sudah dilimpahi kemudahan bandar dengan bekalan elektrik dan air terawat bersih, serta kemudahan telekomunikasi jalur lebar tanpa wayar.

Tiada lagi kekurangan yang ketara di kampung untuk dijadikan alasan untuk tidak balik ke sana. Halaman rumah di kampung juga lebih luas dengan bunga-bungaan yang cantik, tidak seperti di bandar yang seumpama rimba konkrit yang sempit seperti rumah kongsi atau sarang burung merpati. Pergerakan di kampung juga lebih tenang berbanding dengan keadaan di bandar yang hiruk-pikuk, sesak dan penuh tekanan. 

Walaupun generasi muda sudah lali dengan gaya hidup bandar seperti dunia unggas yang mudah mengalami proses mutasi dengan persekitaran, sesekali berubah angin tentu menjadi pengalaman yang sangat menakjubkan. Kalaupun tidak jatuh hati untuk berlama-lama di kampung, sekurang-kurangnya generasi muda bakal mengerti bahawa tanah pusaka nenek moyang di kampung itulah yang menjadi harta yang sangat berharga kepada keturunan mereka sampai bila-bila. Jika kampung pun sampai terlepas ke tangan orang lain, nasib yang dialami oleh kaum Red Indian tidak mustahil akan berlaku di tempat kita pula.

Memang ada saranan murni, tetapi sangat sukar untuk diterima oleh generasi muda, iaitu bercuti daripada menonton televisyen, melayan gajet komunikasi mudah alih dan bertukar-tukar aplikasi permainan digital. Ibu bapa perlu bijak memujuk anak masing-masing supaya mengenali datuk nenek, pak cik dan mak cik, sepupu, dua pupu dan anggota keluarga yang terdekat. Hubungan kekeluargaan yang renggang akibat kesibukan aktiviti bandar perlu dijalin semula dengan segera.

Generasi muda juga perlu melanjutkan tradisi bermaaf-maafan sempena hari lebaran, tetapi masih wajib menjaga batasan hukum syarak tentang hubungan dengan bukan mahram. Kegembiraan menyambut hari raya ialah bagi orang-orang yang berpuasa, serta memperoleh nikmat amalan khusus bulan Ramadan. Lebih baik juga sejak Subuh, generasi muda turut mengalunkan takbir raya dengan penuh semangat sebelum bersiap menuju masjid bagi menunaikan solat sunat Eidul Fitri.

Apabila kembali ke bandar, senarai jemputan rumah terbuka sudah tersedia. Sesibuk mana pun hasrat mahu memenuhi jemputan rumah terbuka, generasi muda hendaklah memilih enam hari dalam bulan Syawal untuk menunaikan sunat puasa enam. Dalam suasana umat islam di seluruh dunia yang masih dibelenggu ancaman dalaman dan luaran, kekuatan rohani generasi muda perlu diperkasa...

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WALILLAHI'L-HAMD

MINAL A'IDIN WAL FA'IZIN, KULLU AM, WA ANTUM BI KHAIR

SELAMAT HARI RAYA PUASA, MAAF ZAHIR DAN BATIN