SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, September 30, 2010

NIK SAFIAH BIDAS PEMIMPIN BERBAHASA ROJAK (MIND OUR NATIONAL LANGUAGE)

Ipoh, Khamis; 30.9.10 / 21 Syawal 1431

Pemimpin politik, termasuk menteri kabinet dibidas justeru terlalu ghairah berbahasa Inggeris hingga tergamak meminggirkan bahasa Melayu. Kehadiran beberapa kerat kaum bukan Melayu dalam sesuatu majlis seolah-olah menjadi lesen untuk mereka berucap dalam bahasa orang putih itu. Malangnya, bahasa Inggeris mereka juga sangat teruk, lintang-pukang dan hancur!
Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah binti Haji Abdul Karim, 71, dari Universiti Malaya juga mengatakan bahawa pemimpin yang sedemikian sebenarnya tidak tahu malu. Nik Safiah menegaskan bahawa tertangguhnya penggunaan sebutan baku berpunca daripada pemimpin semasa yang menentang kaedah berkenaan atas alasan politik. Beliau turut menyuarakan kebimbangan kalau-kalau dasar PPSMI dilaksanakan semula di sekolah-sekolah.
Sebelum itu, mantan ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Hassan Ahmad, 76, menegur tema seminar yang berbunyi "Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu". Pada hemat beliau, bahasa Melayu sudah mempunyai martabat yang luar biasa sebagai bahasa pembentuk tamadun tinggi rantau sebelah sini, bahkan terlebih awal maju daripada bahasa Inggeris yang masih kacau-bilau pada abad ke-14. Dr Hassan yang dianugerahi Tokoh 1Malaysia itu menyimpulkan bahawa bahasa Melayu sebagai institusi negara yang termaktub dengan jelas dalam perlembagaan (Perkara 152 dan 153) hendaklah dihormati sebagai lambang kesetiaan, mengatasi kepentingan mana-mana kumpulan etnik.
Dua kertas kerja lagi menyentuh khusus tentang cabaran memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Cina dan India, setiap satunya dibentangkan oleh Dr Mohd Ridzuan Tee Abdullah @ Tee Chuan Seng (Universiti Pertahanan Nasional), dan Prof. Madya Dr Sivamurugan Pandian (Universiti Sains Malaysia). Dr Ridzuan Tee menggesa penguatkuasaan undang-undang yang paling tegas dilaksanakan bagi memartabatkan bahasa Melayu, serta tidak memberi muka kepada petualang yang cuba merosakkan kedudukan bahasa kebangsaan. Dr Siva senada dengan Dr Ridzuan apabila tanpa teragak-agak mengatakan bahawa bahasa Malayu ialah satu-satunya alat komunikasi transformasi nasional.
Sejumlah 200 orang peserta hadir dalam seminar anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Darul Ridzuan dekat sini. Peserta dari SMK St Michael, Ipoh diketuai oleh Tuan Haji Mohd Sidik Zakaria, Guru Kanan Bahasa dan Puan Harlina, Ketua Panitia Bahasa Melayu, selain penulis blog sendiri. 10 orang pelajar Bahasa Melayu 6 Atas juga berdaftar sebagai peserta seminar...

Wednesday, September 29, 2010

DISIPLIN TERAS PASUKAN KADET BOMBA TINGKATAN 6 (SIXTH FORM CO-CURRICULAR STRENGTHEN DISCIPLINE, LEADERSHIP AND SERVICE )

Ipoh, Rabu: 29.9.10 / 20 Syawal 1431

Tujuan utama penubuhan pasukan pakaian seragam di sekolah ialah bagi memupuk disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar. Ciri kepimpinan dan kepatuhan menjadi landasan penting dalam setiap aktiviti pasukan. Keseragaman (uniformity) diterapkan menerusi penetapan pakaian dan juga pergerakan semua anggota pasukan.
Pasukan kadet bomba tingkatan 6 SMK St Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan dalam memastikan bahawa disiplin sentiasa dijunjung tinggi oleh setiap anggota pasukan. Walaupun tidak semua kriteria penubuhan pasukan dapat dipenuhi serta-merta, langkah demi langkah untuk menyempurnakannya sentiasa diberi perhatian. Misalnya, aktiviti kawad kaki statik asas dilaksanakan sebagai permulaan aktiviti mingguannya.
Pasukan kadet bomba tingkatan 6 SMI dianggotai oleh 30 orang pelajar tingkatan 6 Rendah. Bilangan itu belum membolehkan pasukan berdaftar terus dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk tujuan latihan dan pentauliahan secara rasmi. Maka, pasukan ini perlu bergabung dengan pasukan kadet bomba  tingkatan 1 hingga 4 supaya permohonan menubuhkan pasukan dapat dimajukan untuk tindakan selanjutnya.
Sementara proses berkenaan selesai, pasukan tidak mungkin hanya berdiam diri tanpa melakukan sebarang aktiviti. Semasa peraturan terkini penubuhan kadet bomba sekolah digubal, perihal pelajar tingkatan enam mod tiga semester yang berfokus terhadap elemen kepimpinan, perkhidmatan dan kebajikan, barangkali terlepas pandang. Pasti ada jalan keluar bagi mengelakkan pasukan kadet bomba tingkatan 6 diturun taraf sekadar kelab pencegah kebakaran yang lebih sesuai untuk murid sekolah rendah atau kakitangan pejabat sahaja...

Tuesday, September 28, 2010

KOLOKIUM SARINGAN BERAKHIR (100 REPORTS PRESENTED BY MICHAELIAN'S SIXTH FORM)

Ipoh, Selasa: 28 September 2010 / 19 Syawal 1421

Dalam tempoh tiga bulan, sejumlah 203 orang penyelidik muda prauniversiti SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah berjaya menyiapkan draf terakhir laporan penyelidikan tinjauan soal selidik yang ditadbirkan menerusi persampelan bukan rawak bertujuan. Walaupun suhu lewat waktu tengah hari mungkin lebih sesuai untuk melelapkan mata barang sebentar, tetapi nampaknya pelajar tingkatan 6 masih mampu bertahan. Semangat untuk menampilkan persembahan terbaik, selain sokongan rakan dan guru jelas terserlah.
Daripada 100 pembentangan yang dijayakan sebanyak dua kali sesi kolokium itu, hanya lapan laporan terbaik akan dipilih untuk bersaing di peringkat akhir minggu hadapan. Kemudian, empat pembentang terbaik akan dianugearhi sijil dan hadiah iringan. Sesi kolokium akhir akan dijalankan di dua buah dewan kuliah yang berasingan secara serentak, di hadapan semua penyelidik muda dan beberapa orang guru akademik tingkatan 6 yang ditugaskan sebagai penilai pembentangan.
Kolokium saringan dilaksanakan secara konservatif, iaitu penggunaan alat bantu pembentangan yang dihadkan kepada penggunaan kertas putih ("mahjung"), tanpa overhead projector atau  slaid power point. Namun, hal itu tidak menjejaskan kesungguhan para penyelidik muda dalam pembentangan laporan penyelidikan yang telah dilakukan dengan susah payah. Sebenarnya, teknologi alat bantu, sama ada konservatif tradisional atau termaju, tidak bertujuan mengatasi pembentangan laporan dalam bentuk peperiksaan lisan sebagaimana falsafah viva yang dijelaskan sebelum ini.
Setiap pasangan pembentang perlu menjawab satu soalan guru penilai yang merujuk khusus kepada kandungan laporan. Penyelidik muda seharusnya dapat mempertahankan semua perkara yang berkaitan dengan penyelidikan yang telah disiapkan dari bab 1 hingga bab 5. Walaupun hanya satu soalan, tetapi aras soalan bertahap tinggi itu akan mengukur kebolehan penyelidik muda berhujah secara empirik, serta ilmiah.
Sama ada berjaya dipilih ke peringkat akhir, atau sebaliknya, semua penyelidik muda dikehendaki mengemukakan pula laporan penyelidikan secara bertulis kepada Unit Penyelidikan Prauniversiti SMI. Sekali lagi penyelidik perlu mematuhi format laporan yang ditetapkan, iaitu format APA Chicago yang paling digemari dalam kalangan penyelidik seluruh dunia pada masa ini. Serahan laporan disediakan dalam bentuk bercetak (hard copy) dan soft copy...

Monday, September 27, 2010

GUNUNG RAPAT DITUTUPI AWAN (LOWER TEMPERATURE IN IPOH)

Di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia, cuaca antara bulan Mei hingga September dipengaruhi tiupan angin monsun barat daya, manakala antara bulan November hingga Mac dipengaruhi angin monsun timur laut. Fenomena el-nino, gempa bumi dan pemanasan bumi bagaimanapun dijangka memberi kesan terhadap kestabilan cuaca. Perubahan cuaca boleh berlaku tanpa dapat diramalkan dengan tepat walaupun dengan bantuan teknologi satelit.
Malaysia yang mengalami iklim khatulistiwa, serta berciri panas lembap diimbangi pembentukan gumpalan awan yang meredupkan muka buminya, di samping banjaran-banjaran gunung negara jiran seperti Filipina dan Indonesia yang menjadi penampan kepada laluan angin kencang dari arah lautan luas. Meskipun dikelilingi lingkaran gunung berapi Pasifik, Malaysia tidak terdedah kepada ancamannya secara langsung di dalam negara. Maka, rakyat Malaysia yang teringin merasai pengalaman empat musim cuaca, mereka bolehlah mengunjungi negara terbabit, atau sekadar mengunjungi beberapa taman tema yang menyediakan pengalaman simulasi empat musim berkenaan.
Dalam keadaan biasa, kita melihat awan terapung di ruang atmosfera, serta melepasi puncak gunung. Dalam disiplin geografi, istilah seperti sirus dan komulus nimbus merujuk kepada bentuk-bentuk awam yang terhasil daripada pengumpulan sejatan titis-titis air permukaan bumi. Namun, apabila awan sudah turun ke garis tengah gunung, atau mencecah kaki gunung, suasana berkabus atau berkabut itu menandakan bahawa kedinginan mulai menyapa sekeliling.
Beberapa waktu belakangan, suhu di bandaraya Ipoh mencatat bacaan antara 22 hingga 28 darjah celcius. Hujan yang turun lebih kerap, selain keadaan yang berangin bermakna alat pendingin hawa bolehlah direhatkan sekejap. Sehingga pukul 10 pagi, awan  seolah-olah masih enggan berganjak daripada garis tengah gunung yang melatari sekeliling bandar raya.
Kesejukan terasa hingga ke tulang sum-sum. Kepada individu yang alah kepada perubahan cuaca perlulah membuat persediaan yang sewajarnya. Ibu bapa perlu lebih peka terhadap tahap kesihatan anak-anak, terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan awam.
Kalau kita rajin membaca cerita-cerita lama, konsep kayangan sering diertikan sebagai kewujudan sesebuah kerajaan di atas permukaan awan. Siri kartun Doraemon juga menggambarkan awan sebagai tempat permainan yang mengujakan Nobita, Shizuka, Giant, Suniyo dan kawan yang lain. Kepada yang biasa menaiki pesawat pada aras melebihi 30,000 kaki, serta rajin memandang ke luar tingkap pasti nampak kerajaan awan yang dimaksudkan...

Sunday, September 26, 2010

AZFA HANANI HADAPI KERENAH LAILI (CHAPTER 7 OF FORM FOUR’S NOVEL)


Terdapat 4 peristiwa penting yang boleh dibincangkan dalam bab ke-7 novel Azfa Hanani. Secara keseluruhannya, bab ini akan membaca pembaca mengenali watak antagonis, iaitu Laili dan watak Ekran, pengerusi persatuan tingkatan lima, merangkap penjual burger. Nampaknya tiada watak baharu ditampilkan.

Peristiwa 1
Azfa Hanani mengutus surat sepanjang kepada Pak Long dan Mak Long yang buta huruf di kampung. Di samping bertanya khabar, Hanani turut menyertakan RM300 “upah penyamaran” daripada Datuk Tengku Muzafar tempoh hari.

Perwatakan
mengenang budi
Latar Masyarakat
masyarakat yang mengenang budi
Nilai
berbudi bahasa
Persoalan
budi bahasa dalam keluarga
Pengajaran
kita hendaklah berbudi bahasa terhadap insan yang berjasa


Peristiwa 2
Azfa Hanani akhirnya terpaksa menerima pemberian RM 100 Tengku Mazran bagi mengelakkan tanggapan negatif Datin Maziah yang tiba-tiba muncul. Wang itu kemudiannya digunakan bagi membeli buku sebagai ganti buku-buku Index Publications yang diambilnya daripada perpustakaan SM Seri Dian.

Perwatakan

Latar Masyarakat *

Nilai *
kejujuran / bertanggungjawab
Persoalan *

Pengajaran *


                 * isi petak kosong sebagai latihan

Peristiwa 3
Azfa Hanani "mengambil alih" tugas Tengku Murni sebagai setiausaha persatuan tingkatan 5 yang diterajui oleh Ekran. Cabaran utama yang bakal dihadapi ialah protes Laili terhadap projek Malam Sumbangsih yang didakwanya tidak adil.

Perwatakan

Latar Masyarakat

Nilai

Persoalan
berhati-hati dalam menangani cabaran
Pengajaran



Peristiwa  4
Azfa Hanani membuat keputusan menaiki bas mini sahaja ke Plaza Cahaya, lokasi Institut Lingua Franca yang menjadi tempat dia belajar bahasa Inggeris dan bahasa Peranchis. Secara tidak diduga, dia terserempak dengan Ekran, yang sedang mengendalikan gerai burger.

Perwatakan

Latar Masyarakat

Nilai

Persoalan

Pengajaran
kita hendaklah berdikari dalam menempuh kehidupan


Soalan KBKK

Watak utama sesebuah novel digambarkan sering berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Berdasarkan novel yang anda pelajari, jelaskan dua cabaran yang dihadapi oleh watak utama. 


[ 7 markah ]

Panduan menulis jawapan

Nyatakan terlebih dahulu cabaran yang dihadapi, misalnya:

-   Cabaran berjauhan daripada keluarga 

     (penjelasan / huraian: gunakan peristiwa 1);

-   Cabaran untuk berlaku jujur dalam tindakan 

     (penjelasan / huraian: gunakan peristiwa 2);

-   Cabaran sebagai pemimpin persatuan / Cabaran menghadapi pihak yang membantah sesuatu

    (penjelasan / huraian: gunakan peristiwa 3);

-   Cabaran untuk hidup berdikari

    (penjelasan / huraian: gunakan peristiwa 4)


Catatan: peristiwa-peristiwa daripada bab yang lain juga boleh digunakan... 

                 (gunakan ayat-ayat lengkap sahaja, satu isi satu perenggan;
                  tidak perlu berpanjang lebar)

MAJLIS HUJUNG TAHUN TINGKATAN 6 (MICHAELIAN'S UPPER SIX GRADUATION CEREMONY)

Ipoh, Ahad: 26 September 2010 / 17 Syawal 1431

Satu pembaharuan dilakukan pada majlis hujung tahun tingkatan 6 SMK St Michael, Ipoh (SMI) kali ini. Semua pelajar 6 Atas yang bakal menduduki STPM dua bulan lagi dianugerahi skrol graduasi. Guru tingkatan diberi penghormatan bagi menyempurnakan slot berkenaan bagi kelas masing-masing.
Keramaian anjuran majlis pelajar tingkatan 6 itu bermula pada pukul 4 petang dan berakhir kira-kira tiga jam setengah kemudian. Sebagai penerusan tradisi, tanggungjawab penganjuran majlis diserahkan sepenuhnya kepada pelajar 6 Rendah. Maka, pelajar 6 Atas hadir atas kapasiti pihak yang diraikan.
Selain penyampaian skrol, pelbagai acara sampingan diadakan seperti persembahan pentas, fesyen beragam dan ucapan-ucapan ringkas. Penolong Kanan, Tuan Haji Tauhid Ahmad turut hadir sebagai mewakili tuan pengetua yang mempunyai urusan rasmi yang lain. Hadirin kelihatan terhibur dalam suasana persembahan yang sopan dan teratur oleh pelajar tingkatan 6 SMI.
Kira-kira pukul 6.15 petang, majlis berhenti rehat untuk memberi laluan kepada slot jamuan. Pelajar 6 Atas bersama-sama guru bergerak ke medan selera, manakala pelajar 6 Rendah menikmati jamuan di bahagian luar dewan. Kesempatan yang ada digunakan untuk bergambar kenang-kenangan justeru semua pelajar yang hadir, khususnya pelajar perempuan, melaram bak selebriti dalam majlis anugerah yang penuh glamor...

Friday, September 24, 2010

IZZUDDIN SHAH JADI TUMPUAN (THE WAY TO SECONDARY SCHOOL)

Ipoh, Sabtu: 25.9.10 / 16 Syawal 1431

Cerita calon UPSR masih belum tamat. Sebaik selesai ujian aptitud, mereka bersedia pula untuk pelbagai ujian kemasukan ke sekolah-sekolah terpilih. Maknanya, walaupun sudah masuk pertengahan bulan Syawal, budak tahun enam sekolah rendah, serta ibu bapa mereka sekali, masih belum boleh betul-betul berhari raya.
Sekolah agama kelolaan Jabatan Agama negeri-negeri turut menjadi rebutan. Misalnya ujian kemasukan ke SMA Izzuddin Shah (untuk murid lelaki) dan Raja Perempuan Taayah (murid perempuan) menyaksikan jumlah calon mencecah hampir 4,000 orang bagi setiap satunya. Daerah Kinta sahaja mencatat calon seramai 529 orang (Izzuddin) dan 721 (Taayah). Penawaran tempat hanyalah dalam lingkungan 200 orang murid, iaitu kadar peluang 5%.
Bahagian pertama ujian (9.00 - 10.45 pagi) dikhususkan untuk pengetahuan bahasa Arab dan al-Qur'an, manakala bahagian kedua (11.30 - 1.00) tentang kurikulum kebangsaan. Ketika berhenti rehat, calon menikmati makanan yang dibawa oleh ibu bapa, atau membelinya di gerai kendalian murid Izzuddin sendiri. Berdasarkan perbualan calon, kertas bahasa Arab dikatakan agak sukar.
Persiaran Brash yang biasanya lengang kali ini bagaikan jalan raya di Kuala Lumpur pada waktu puncak. Kenderaan diletak berlapis-lapis. Kesabaran dan tolak ansur amatlah penting, justeru masing-masing hendak memudahkan urusan dengan seberapa segera.
Penolong Kanan HEM Izzuddin, Haji Faizal memberitahu bahawa anak guru dan kakitangan Izzuddin dan Taayah juga perlu mengemukakan permohonan dan menjalani ujian sama seperti calon lain. Walaupun Izzuddin dan Taayah ialah sekolah menengah agama berasrama penuh negeri, pencapaian cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, serta sahsiah muridnya yang terpuji menjadi punca tarikan perebutan tempat di situ. Persekitaran belajar yang kondusif dapat menutupi kekurangan yang lain, jika ada.
Sebuah lagi SMA yang mendapat perhatian ialah Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sekolah berkenaan juga menggunakan sistem ujian kemasukan berikutan permohonan yang cukup tinggi. Pilihan lain bagi ibu bapa di sekitar bandaraya Ipoh ialah beberapa buah sekolah bertaraf bantuan kerajaan (SABK) seperti Ma'ahad al-Ummah, Chepor (Abim), Ma'ahad Imam Shafie, Jelapang dan sebuah sekolah persendirian Jim, al-Hidayah di Rapat Setia...

JPN BERTEMU CALON PMR ST MICHAEL (MICHAELIAN'S FORM THREE UNDER HIGH TARGET)

Ipoh, Jumaat: 24.9.2010 / 15 Syawal 1431

Selaras dengan misi hujung tahun Pengarah Jabatan Pelajaran Perak yang baharu, Encik Mohd Rauhi bin Mohd Isa untuk meningkatkan pencapaian akademik (peperiksaan awam: UPSR, PMR, SPM) dalam kelompok sepuluh terbaik negara, seluruh kekuatan pegawai JPN, khususnya dari Unit Akademik digerakkan ke sekolah-sekolah. Telah sekian lama negeri Perak tidak termasuk dalam kelompok yang diidam-idamkan itu,  kecuali STPM (kedudukan ke-6 tahun lalu), sedangkan sebahagian pelajar terbaik negara datang dari negeri ini. Barangkali jurang pencapaian antara daerah, atau antara sekolah mungkin perlu didekatkan lagi.
SMK St Michael, Ipoh (SMI) nampaknya turut meraih perhatian JPN Perak. Apatah lagi Sektor Akademik JPN kini ditempatkan di bangunan Maybank Trust yang berhampiran dengan SMI. Tambahan pula, pengarah JPN sendiri memulakan pengalaman pentadbiran sekolah di SMI.
Program JPN "turun padang" (roadshow) SMI dijayakan oleh dua orang pegawai Unit Akademik JPN, iaitu Puan Hamizan dan Encik Mahbud. Di samping menyampaikan mesej tuan pengarah, kedua-dua pegawai telah mengisi slot motivasi kepada sekumpulan pelajar yang dipilih khas. Unit Kaunseling telah diberi tanggungjawab menyelaraskan pelaksanaan program.

Dasar persijilan terbuka untuk PMR sebenarnya tidak semudah yang disangka. Calon tidak boleh sama sekali kandas dalam mana-mana mata pelajaran yang diambil, justeru secara keseluruhan calon dikira gagal PMR. Sebagai contoh, seorang calon berjaya memperoleh semua A dalam 8 mata pelajaran, tetapi mendapat gred E bagi mata pelajaran Bahasa Arab, maka calon itu telah gagal PMR.

Sebab itulah pihak sekolah tidak boleh mengambil risiko dengan membenarkan calon mendaftar sebarang kertas peperiksaan tanpa memastikan calon benar-benar bersedia. Jika sebaliknya, peratus lulus akan terjejas dengan kesilapan strategi yang diambil itu. Walaupun begitu, dasar kemasukan automatik ke tingkatan 4 telah mengimbangi syarat persijilan PMR yang berkenaan.

Program JPN turun padang di SMI diakhiri dengan laungan semangat semua A oleh calon PMR yang hadir di dewan. Tanggal 4 Oktober akan menjadi titik mula perjuangan murid tingkatan 3 menghadapi PMR selama 4 hari berturut-turut. Sesungguhnya konsep "darurat" (urgency) yang digunakan oleh JPN amat bertepatan dengan misi melihat negeri Perak masuk dalam carta 10 tahun ini juga...

Thursday, September 23, 2010

KE MANA HALA MURID UPSR? (POST-ELEMENTARY CHOICE)

Ipoh, Khamis: 23.9.10 / 14 Syawal 1431

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melabuhkan tirai tengah hari tadi dengan kertas Bahasa Inggeris. Namun, pada sebelang petang, semua calon UPSR juga menduduki ujian aptitud bagi mengukur tahap IQ, EQ dan SQ menerusi soalan-soalan yang menjurus kepada proses membuat keputusan dan penyelesaian masalah. Instrumen berkenaan mungkin digunakan untuk pengambilan murid sekolah berasrama penuh, atau rancangan khas di sekolah berprestasi tinggi dan sekolah kelompok kecemerlangan (cluster).
Beberapa orang murid yang ditemui menyifatkan kertas UPSR mudah sedikit berbanding dengan kertas percubaan yang dilaksanakan sebanyak dua kali. Ada juga yang mengatakan terdapat soalan yang mengelirukan calon. Memang itulah antara tujuan peperiksaan, iaitu memisahkan antara calon cemerlang, sederhana dan lemah.
Tiada letupan mercun dan tiada teriakan "merdeka" kedengaran. Sebabnya, sebaik sahaja usai ujian aptitud, semua calon berkumpul semula, lalu diberi taklimat oleh pihak sekolah. Murid diingatkan supaya terus hadir ke sekolah untuk mengambil bahagian pelbagai program yang telah diatur.
wajah budak mckk - sekolah berasrama penuh elit negara

Keputusan UPSR akan diumumkan sebelum cuti persekolahan nanti. Murid yang berhasrat memohon ke sekolah berasrama penuh perlu mengisi borang secara dalam talian sebelum pertengahan bulan Oktober, dan menghantar salinan bercetak kepada sekolah berkenaan. Kebarangkalian untuk berjaya dalam permohonan ke asrama penuh ialah dalam lingkungan 10 peratus, justeru bilangan calon yang memperoleh 5A antara 30 ke 40 ribu calon.
sekolah kelolaan Yayasan Terengganu yang mengintegrasikan sains dengan al-Qur'an

Kecenderungan ibu bapa menghantar anak ke sekolah berteraskan pengajian al-Qur'an dan bahasa Arab juga menyebabkan keperluan saringan dan tapisan yang ketat. Sebagai contoh, pemohon yang hendak memasuki Sekolah Izuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (kedua-duanya di Ipoh) dikehendaki menduduki ujian bertulis khas pada hari Sabtu, 25 September ini. Kebolehan asas ilmu al-Qur'an dan bahasa Arab ialah antara kertas yang akan diduduki.
Sekolah berasrama penuh memperuntukkan 5 - 10 peratus tempat kepada murid bukan bumiputera. Sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) pula dibuka untuk semua kaum, asalkan mereka beragama Islam. Dalam pada itu, sekolah premier bukan berasrama penuh seperti SMK Victoria, Penang Free, St John, St Michael, serta rangkaian sekolah Convent juga menjadi rebutan ibu bapa yang berhasrat melihat anak mereka belajar dalam persekitaran yang mencabar.
Ibu bapa menyedari akan persaingan sengit yang berlaku. Walaupun terdapat tuntutan untuk melaksanakan sistem meritokrasi sepenuhnya, faktor sosioekonomi mesti diambil kira. Murid yang datang dari luar bandar, serta pedalaman memang wajar diberi pertimbangan khas, justeru tujuan asal penubuhan sekolah berasrama penuh ialah untuk menjadi pemangkin mobiliti sosial kanak-kanak kurang beruntung itu, tanpa menafikan peluang murid pintar dari bandar dan dengan latar belakang keluarga yang berkemampuan...

Wednesday, September 22, 2010

KERUNTUHAN MASYARAKAT BARAT (REVISITING THE EAST-WEST PENDULUM)

Masyarakat Barat mungkin gah dengan kemajuan teknologi, propaganda ketenteraan, hegemoni ekonomi dan dominasi media, tetapi mereka sebenarnya sedang mengalami krisis moral yang paling parah dalam sejarah peradaban pascamoden. Institusi kekeluargaan tidak lagi menjadi sendi keutuhan masyarakat mereka. Pergaulan bebas lepas, bersekedudukan dan perzinaan tidak lagi dipandang hina.


Ikatan perkahwinan hanya didaftarkan jika terdapat keperluan perundangan, perwarisan kekayaan dan insurans. Selebriti yang terang-terang berzina diangkat sebagai duta kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan kononnya menjadi pembela rakyat Palestin. Mereka digambarkan sebagai insan glamor yang baik hati, pemurah dan ikon pejuang hak asasi manusia.

Universiti berprestij seperti Oxford dan Cambridge mempunyai tradisi pelik yang menggambarkan kekontangan intelektualisme dan moral. Terdapat hari khas apabila profesor tersohor mereka, disertai pensyarah dan pelajar berkelakuan seperti haiwan yang tidak pernah mengenal pakaian. Walaupun tidak seratus peratus terbabit, derita kejahilan itu menyebabkan institusi yang diidami pelajar terbaik serata dunia itu tidak lagi layak dihormati.

Inteligen ekonomi mereka juga berlagak bagaikan perunding antarabangsa yang menawarkan bantuan khidmat nasihat kepada negara-negara miskin yang sebenarnya memiliki kekayaan khazanah bumi dan alam sekitar jika diurus oleh pemimpin yang ikhlas dan berjiwa rakyat. Hakikatnya, inteligen ekonomi Barat ialah penyangak yang bertujuan memperdaya pemimpin negara miskin yang terpukau dengan silap mata orang putih yang bertujuan jahat. Setelah berjaya dipujuk secara halus, negara miskin terkulai dalam rangkulan syarikat multinasional Barat yang dibawa masuk oleh intelegen tadi.
carta daripada muka surat 2

Doktrin keagungan kulit putih belum berakhir walaupun kebanyakan negara yang disebut sebagai kelompok dunia ketiga telah merdeka lebih lima dekad yang lalu. Kini, Barat kembali menggembleng kekuatan militari untuk menundukkan negara-negara yang cuba menghalang perancangan peta baharu dunia mengikut kehendak mereka. Afghanistan dan Iraq ialah contoh dua buah negara yang menjadi mangsa kerakusan Barat.

Namun, perubahan demografi yang menggoncang komposisi masyarakat Barat mungkin melemahkan langkah kemaraan pencerobohan Barat terhadap negara sasaran. Di Amerika Syarikat, bilangan imigran hispanik, Asia, timur tengah dan Afrika sudah hampir sama banyak dengan penduduk kulit putih. Fenomena yang serupa sedang berlaku di Australia dan Eropah.

Walaupun masyarakat Barat sedang membusuk dari dalam, tetapi masyarakat Asia dan Afrika hanya ternampak penampilan zahir masyarakat Barat yang mengkagumkan mereka. Masyarakat Asia dan Afrika tega membuang lambang budaya, jati diri dan nilai tradisi  sendiri, asalkan dapat bercakap, berfikir dan berkelakuan seperti orang putih. Gaya hidup hedonisme, serta pemikiran utilitarian menerpa masyarakat Asia dan Afrika bagaikan bah besar akibat pintu empangan yang sengaja dibuka...

Tuesday, September 21, 2010

PELAJAR TINGKATAN 6 DALAM ERA DIGITAL (PREUNIVERSITY STUDENT SHIFTED TOWARDS ON-LINE LEARNING)

Sempadan pembelajaran tertolak lebih jauh dengan bantuan teknologi dalam talian. Tiada lagi monopoli dalam peluang akses pembelajaran jika seseorang itu rajin menerokai lautan ilmu pengetahuan dan maklumat dengan menggerakkan tetikus di hadapan skrin komputer. Walaupun terdapat begitu banyak godaan yang boleh memesongkan niat asal untuk pembelajaran, penetapan tujuan pembelajaran berbantu teknologi maya itu dapat mengeluarkan pelajar daripada alam kebosanan bilik darjah dan buku teks tradisional.
Penggunaan komputer boleh dibahagikan kepada empat kategori:

1   tutorial:  dirancang oleh guru / pensyarah; secara bersemuka atau dalam talian

2   penerokaan (exploratory):  pelajar mengawal dan menentukan akses daripada sistem

3   aplikasi: pelajar menggunakan perisian pemproses perkataan dan hamparan elektronik  untuk menyiapkan tugasan

4   komunikasi: pelajar menerima, menghantar, dan berkongsi maklumat sama ada teks, grafik, audio, video dari seantero dunia
Penggunaan teknologi canggih dan tinggi dalam talian itu hendaklah digandingkan dengan persekitaran pembelajaran aktif. Jika pembelajaran masih terikat dengan kaedah tradisional per se, maka klise kapur dan cakap (chalk and talk) hanya berubah kepada skrin dan cakap. Pelajar tidak dibenarkan "mengganggu" proses pembelajaran pasif yang bertentangan dengan model kecerdasan pelbagai yang mendapati bahawa setiap individu pelajar memiliki kecerdasan yang mungkin berbeza dan unik.
Sekuat manapun kita hendak bertahan dengan buku teks fizikal dan duduk berjam-jam lamanya dalam ruang sempit bilik darjah, guru dan pelajar tidak dapat menandingi amaun maklumat yang boleh diakses daripada internet. Kursus pengajian di sekolah dan universiti yang berasaskan jam kredit akan berhadapan dengan cabaran sengit pembelajaran secara elektronik. Kini, proses pengijazahan telah dibuka seluas-luasnya tanpa memerlukan pelajar sentiasa berada di kampus.
SMK St Michael, Ipoh (SMI) sentiasa memberi perhatian terhadap perkembangan pesat teknologi dalam talian sebagai medium pembelajaran masa depan. Selain kemudahan makmal komputer, dan unit multimedia di pusat sumber, program pengajian tingkatan 6 SMI juga menyediakan sebanyak 25 netbook, sebahagiannya sudah dimanfaatkan oleh pelajar. Pihak PIBG telah bermurah hati membiayai kos pembelian netbook berkenaan.

Pengenalan terhadap pelaksanaan proses penyelidikan prauniversiti menghendaki pelajar tingkatan 6 SMI mengakses bahan rujukan tinjauan bacaan, serta keperluan format, kaedah dan persembahan laporan penyelidikan. Selain itu, pembentangan laporan berkenaan dalam sesi kolokium sekali lagi mengoptimumkan penggunaan teknologi mulmedia berbantu komputer bagi menjimatkan kos dan masa. Apabila sesuatu teknologi berada dalam tangan seseorang pelajar yang memiliki etika, jati diri, dan kreatif, maka maksud pembelajaran autentik yang dihajati bakal tercapai dengan lebih cepat, serta jalur skala yang tidak pernah dibayangkan sebelumnya ...

Sunday, September 19, 2010

MELISSA: EPISOD CINTA IMBAS KEMBALI (MAY 13TH RECALLED)

Pengenalan

Barangkali pembaca cerpen "Melissa" karya sasterwan negara, Abdullah Hussain akan berasa keliru, tetapi teruja, gembira, dan mungkin sedikit hairan dengan keputusan yang diambil oleh Melissa terhadap nasib cintanya yang baru berputik semula. Pemilihan kata (diksi) dan ungkapan yang begitu menangkap imaginasi pembaca seperti "suatu gimik mahu memancing kemesraan" menggambarkan ketokohan pengarangnya. Para pembaca menjadi asyik dan larut dalam penceritaan seolah-olah menyaksikan setiap peristiwa di hadapan mata.

"Mellisa" ialah cerpen kedua terakhir dalam antologi "Harga Remaja" (halaman 153 - 172) sebelum "Biarkan Samudera". Melissa ialah watak seorang gadis Cina yang tidak pernah melupai kenangan zaman kanak-kanaknya, terutama "cinta" terhadap hero pertamanya yang bernama Hisyam. Malangnya, peristiwa 13 Mei 1969 telah memisahkan Melissa dengan Hisyam buat selama-lamanya.

Hisyam begitu mempengaruhi setiap keputusan hidup Melissa. Perhatikan ilustrasi Mellisa pada halaman terakhir, lengkap berpakaian tentera dan memegang erat senapang dengan muncung yang dihalakan ke bawah. Bidang pengajian sejarah yang dipilih oleh Melissa juga tidak terlepas daripada pengalaman zaman kanak-kanaknya bersama Hisyam.

Melissa si anak kecil

1    Ketika bermain pondok-pondok, Melissa berlagak sebagai isteri olok-olok kepada Hisyam. Malah, Melissa senang apabila Hisyam berkata, "Nanti apabila aku sudah besar aku akan kahwin dengan kau."

2   Melissa setia menunggu kelibat Hisyam yang menuju ke masjid untuk solat Maghrib. Melissa hanya masuk ke dalam rumah setelah saling berbalas lambaian, dan sesusuk tubuh "cinta benar"nya itu lesap dalam perkarangan masjid.

3   Melissa berasa bangga dengan tindakan Hisyam yang berani menumbuk anak seorang diplomat Inggeris berusia 7 tahun hingga terlentang di tanah kerana memegang tangan Melissa. Tindakan Hisyam persis seorang wira yang sentiasa melindungi insan yang amat dicintai.

Saturday, September 18, 2010

MAJLIS RAYA TEMUKAN BEKAS PELAJAR SMI (OLD MICHAELIANS RAYA OPEN HOUSE)

Ipoh, Sabtu: 18 September 2010 / 9 Syawal 1431

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Walaupun lebih 30 tahun tamat persekolahan di SMK St Michael, Ipoh (SMI) era aliran Inggeris, bekas pelajar yang telah beranak-pinak masih sanggup datang dari jauh dan dengan bangganya menunjukkan kepada anak masing-masing sekolah yang berjasa kepada mereka. Majlis rumah terbuka Aidil Fitri anjuran Persatuan Bekas Pelajar SMI seksyen pelajar Islam berlangsung di dewan sekolah mulai pukul 3 petang dan berakhir 3 jam kemudian.
Alangkah gembiranya dapat bertemu rakan sekelas yang pernah sama-sama meriuhkan bilik darjah dan seluruh kawasan sekolah. Lebih meriah lagi apabila guru seperti Cikgu Harun, seorang warden asrama yang tegas turut hadir. Beliau masih ingat akan pelajar beliau yang selalu membuat kecoh walaupun kini rambut cikgu dan murid sudah sama-sama memutih.
Prof. Dr. Abdullah (TNC UiTM) dan Tuan Haji Tauhid Ahmad (PK SMI)

Tiga orang bekas pelajar yang sekarang berstatus profesor juga sempat meluangkan masa. Mereka ialah Prof. Dr. Abdullah Said (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UiTM), Prof. Dr Zaki (UTM) dan Prof Madya Ahmad Nidzamuddin (penganalisis politik, UKM). Prof. Lah,  52, misalnya mula bersekolah di SMI dalam kelas peralihan pada tahun 1971. Beliau juga ialah anak jati UiTM justeru memperoleh semua ijazah (sarjana muda, sarjana dan Ph.D) dari UiTM sendiri.
Tanda kasih bekas pelajar kepada SMI terbukti dengan kehadiran Encik Tajul yang tidak mahu ketinggalan berjumpa kawan-kawan lama walaupun terpaksa berkerusi roda. Tentulah lebih happening andainya nama-nama besar seperti Mohd Farid Ridzuan (ketua pegawai eksekutif Media Prima yang menguasai rangkaian TV3, NTV7, 8TV, TV9, Hot.FM, Fly.FM), Dato' Dr Robaayah (Pengarah Institut Jantung Negara), Tan Sri Lee Lam Tye (pengerusi latihan khidmat negara), Ralph Marshall (ketua pegawai eksekutif Astro), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (UM), Ng Boon Bee dan Tan Yee Khan (legenda badminton dunia), Dato' Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan Kedua Malaysia) dan sesenarai panjang lagi bekas pelajar SMI juga turun ke SMI. Bekas pelajar yang low profile juga pasti membangkitkan nostalgia.

Bro. Dato' Vincent, 81, yang juga mantan pengetua SMI (dahulu dipanggil sebagai director) menjadi tumpuan bekas pelajar. Hubungan rapat dengan bekas pelajar berterusan walaupun  beliau telah begitu lama bersara. Dari dahulu lagi Dato' Vincent hadir dalam kebanyakan majlis rasmi SMI, melainkan beliau mempunyai komiten lain.
Kek raya juga dipotong secara beramai-ramai tanda simbolik jalinan erat yang menjadi tradisi SMI selama ini. SMI memanglah sebuah sekolah mubaligh (mission school), tetapi dikelilingi persekitaran institusi masyarakat Islam, iaitu Masjid India, dan Kompleks Islam. Warga SMI yang sudah sebati dengan kepelbagaian latar belakang dan kepercayaan langsung tidak kekok untuk membina kerukunan sosial, bahkan boleh menjadi model masyarakat yang bersatu padu...

Friday, September 17, 2010

SOLAT HAJAT BUDAK UPSR SERI AMPANG (PRAY FOR THE EXCELLENCE)

Ipoh, Jumaat: 17 September 2010 / 8 Syawal 1431

Bagi warga sekolah rendah, sama ada guru dan muridnya, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal diduduki oleh murid tahun 6 ialah peperiksaan awam tunggal yang dihadapi mulai Selasa hingga Khamis depan, iaitu 21 hingga 23 September. Pencapaian pembelajaran kurikulum sekolah rendah akan diukur dalam tempoh tiga hari berkenaan. UPSR telah diperkenalkan kira-kira 20 tahun yang lalu sebagai ganti peperiksaan penilaian darjah 5 yang dirasakan terlalu awal.
Guru-guru sekolah rendah telah bertungkus-lumus bagi menyediakan calon-calon terbaik bagi sekolah masing-masing. Pelbagai modul, latih tubi dan kelas tambahan dilaksanakan. Kekuatan mental juga diperkukuh menerusi program kerohanian seperti majlis bacaan Yasin dan solat hajat.
Kelihatan Cikgu Harith Fadzilah (PK HEM SMK Jalan Tasek, baju biru)
Di belakang beliau ialah YM Raja Zainal Abidin, Guru Besar SK Seri Ampang (baju hijau)
dan Haji Hashim Abdul Karim (Pengetua STAR, bersampin)

Sebaik tiba di kawasan perkarangan SK Seri Ampang, hadirin dipersilakan menikmati hidangan makan malam di kantin sekolah. Setelah itu, hadirin yang terdiri daripada guru, ibu bapa dan murid yang dianggarkan berjumlah 200 orang menuju ke dewan terbuka yang menjadi lokasi majlis. Taklimat ringkas disampaikan oleh Ustaz Zulkifli, yang seterusnya memimpin bacaan Yasin dan solat hajat.
Kaum muslimat berada di saf belakang bersama-sama murid perempuan dan ahli keluarga yang lain. Hakikatnya ibu-ibu lebih terasa debaran UPSR justeru merekalah yang mengandungkan anak-anak berkenaan 12 tahun yang lalu dengan penuh pengorbanan dan kasih sayang. Kini, buah hati, intan payung, permata bonda, pengarang jantung mereka bakal berhadapan dengan ujian besar akademik mereka buat julung-julung kalinya.
Doa ialah senjata orang-orang yang beriman. Masing-masing menadah tangan mengaminkan doa yang dilafazkan oleh tuan imam. Mereka pasrah setelah melakukan segala yang terdaya.
Kira-kira setengah juta orang calon UPSR* seluruh negara akan diuji. Guru Besar SK Seri Ampang memohon ibu bapa memberikan layanan terbaik kepada anak-anak mereka menjelang detik peperiksaan. Beliau yakin bahawa murid Seri Ampang berupaya melakar kejayaan cemerlang yang diharapkan...

* 494,493 orang calon = 373,190 (SK) + 96,166 (SJKC; 16,965 (SJKC) + 8,163 (swasta BM) + 9 (swasta BC)

SELAMAT MAJU JAYA BUAT SEMUA CALON UPSR 2010!!!

Thursday, September 16, 2010

PERSIAPAN SEBELUM HADIR KOLOKIUM PENYELIDIKAN TINGKATAN 6 (PRE-UNIVERSITY RESEARCH COLLOQUIUM GUIDELINE)

Pengenalan

Kolokium bermaksud perjumpaan atau persidangan (yang bersifat tidak formal) untuk membincangkan perkara yang biasanya bersifat ilmiah (Kamus Dewan edisi keempat, 2005: 806). Dalam konteks penyelidikan yang dilaksanakan oleh pelajar prauniversiti tingkatan 6, kolokium ialah perhimpunan dalam bilangan kehadiran yang dihadkan bagi membentangkan draf  terakhir laporan penyelidikan di hadapan rakan penyelidik muda dan sekurang-kurangnya seorang guru akademik tingkatan 6 sebagai penilai. Kolokium akan memberi pengalaman dan pendedahan yang amat bernilai kepada pelajar prauniversiti seandainya perlu menjalani proses vetting dan viva di peringkat universiti kelak.

Beza vetting dengan viva.

Vetting ialah proses mempertahankan cadangan penyelidikan (proposal defense). Tujuannya bagi menyemak sesuatu laporan atau pembentangan secara teliti supaya dapat diterima (Longman Dictionary of Contemporary English, 2001:1592). Biasanya hanya pelajar ijazah tinggi yang perlu melepasi vetting.

Viva pula ialah peperiksaan lisan yang berkaitan dengan penyelidikan atau tesis yang dibuat, yang dilalui oleh seseorang untuk memperoleh kelayakan akademik, biasanya pada peringkat universiti (Kamus Dewan edisi keempat, 2005:1791). Kamus Longman (1598) mentakrifkan viva voce sebagai a spoken examination taken at the end of a university course. Viva sebenarnya ialah penerusan tradisi Aristotle, Plato dan Socrates dalam sesi pengujian ilmu falsafah.


Persediaan sesi vetting

Dalam sesi vetting,calon ijazah tinggi (sarjana dan doktor falsafah), pihak fakulti akan membuat penilaian, memberi maklum balas dan ulasan yang membina sebelum cadangan penyelidikan yang dikemukakan memperoleh kelulusan untuk diteruskan. Tumpuan pembentangan ialah dari segi reka bentuk penyelidikan yang disokong dengan masalah penyelidikan yang jelas, soalan penyelidikan yang menggambarkan pemboleh ubah yang hendak diperoleh datanya, kepentingan penyelidikan terhadap tubuh ilmu bidang penyelidikan dan sejumlah pengetahuan yang mencukupi. Sesi vetting boleh dijalankan secara terbuka (maksudnya dibuka kepada semua ahli akademik dan pelajar fakulti), atau secara tertutup (dihadiri hanya oleh jawatankuasa penilaian cadangan penyelidikan).

Kebiasaannya sesi vetting mengambil masa hingga satu jam bagi setiap calon. Sesi pembentangan calon pula ialah kira-kira 15 minit, sebelum diikuti dengan sesi soal jawab. Persediaan yang rapi membolehkan calon mampu melayan soalan aras tinggi daripada pakar-pakar kaedah dan statistik penyelidikan, pakar kandungan bidang ilmu, pakar teknikal dan pakar sokongan. Calon harus dapat membuktikan bahawa dirinya telah menguasai jumlah pengetahuan yang mencukupi, bagaikan telah menerokai samudera pengetahuan dalam bidang penyelidikan yang bakal dilaksanakan.

Antara soalan yang lazim ditanyakan untuk penyelidikan kuantitatif ialah:

1   Reka bentuk penyelidikan

     Adakah masalah penyelidikan yang dikemukakan penting atau biasa sahaja?
     Adakah kerangka teori yang digunakan membantu ramalan keputusan penyelidikan?
     Adakah penyelidikan yang dicadangkan memiliki kesahan dalaman?

2   Pengumpulan dan analisis data

      Adakah kaedah penyelidikan telah diperincikan?
      Adakah pendekatan / pentadbiran instrumen bersesuaian?
      Adakah statistik yang dipilih dapat menjawab soalan penyelidikan yang dinyatakan?
      Bagaimana generalisasi boleh dilakukan daripada penyelidikan yang dicadangkan?
      Adakah pemboleh ubah yang dinyatakan boleh diukur, serta sah?

Soalan yang diterima hendaklah disebut semula oleh calon dalam ayat sendiri bagi memastikan calon mendengar soalan dengan tepat. Jika soalan yang dikemukakan tidak kena-mengena dengan tajuk penyelidikan, calon boleh boleh meminta soalan dikhususkan, atau mendapatkan pertolongan penyelia projek penyelidikan. Ada calon yang perlu menghadiri sesi vetting lebih daripada sekali apabila perlu membuat proses ubahsuaian dan penambahbaikan yang disarankan.

Calon yang tidak berjaya mencapai piawaian (standard) mutu cadangan penyelidikan yang ditetapkan oleh fakulti mungkin terpaksa ditamatkan pencalonannya selepas tempoh tertentu misalnya setahun, atau dua semester pengajian. Sebab itulah seseorang calon mesti bersedia mematuhi bimbingan yang diberikan oleh penyelia projek masing-masing. Proses pengijazahan kesarjanaan tiada kompromi tentang mutu, kecualilah ijazah beli dari universiti palsu!
    


Proses Viva
 


Pada zaman dahulu kala, peperiksaan bertulis belum lagi meluas dilaksanakan. Di Eropah misalannya, hanya pada abad ke-16, peperiksaan bertulis dikembangkan. Namun, tradisi viva masih dikekalkan di kebanyakan universiti bagi memastikan calon ijazah tinggi yang mengaku telah menguasai bidang ilmu tertentu berupaya mempertahankannya apabila dicabar.

Sesi viva sudah tentu lebih sukar daripada vetting, justeru kali ini calon berhadapan bukan sahaja dengan pemeriksa dalaman fakulti, bahkan pemeriksa luar yang didatangkan dari universiti lain, termasuk luar negara. Viva voce sepatutnya berfungsi sebagai satu sesi perbincangan yang berkesan, bergantung kepada input dan persediaan calon.


Semasa viva, calon akan bersendirian menghadapi soalan-soalan "pukulan pancung" yang memerlukan ketabahan calon, kebijaksanaan mengatur jawapan secara spontan (in prompt to), dan memaparkan ciri kesarjanaan yang dikehendaki. Tiada campur tangan atau keizinan mencelah diberikan kepada penyelia disertasi atau projek untuk membantu calon. Jika pemeriksa dalam sesi viva tidak berpuas hati, calon akan diminta membuat pembetulan dan penambahbaikan dalam tempoh tertentu, atau berhadapan dengan kemungkinan bahawa pencalonan ditamatkan.

Kesimpulannya, sesi viva ialah proses terakhir penerimaan disertasi atau tesis (semua bab 1 - 5; tumpuan kapada dua bab terakhir), manakala vetting untuk meluluskan cadangan penyelidikan (bab 1 - 3).

Rujukan

        Abdul Rashid Moten (1998). A Guide to Research Proposal and Report Writing. Gombak: Research Centre, International Islamic University Malaysia.

       Creswell, John W. (2008). Educational Research - Planning, Conducting, and Evaluating Quantitative and Quantitative Research. New Jersey, USA: Pearson Education

        Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia


Sesi Kolokium penyelidikan pelajar prauniversiti tingkatan enam.

Setelah mengambil kira kawalan sumber (akses, masa, tenaga, wang ringgit) pelajar prauniversiti tingkatan 6, sesi kolokium bolehlah disifatkan sebagai modifikasi vetting dan viva yang dipermudahkan. Pembentangan laporan penyelidikan hanya mengambil masa maksimum 10 minit, dan hanya satu soalan akan ditanyakan oleh penilai kolokium, iaitu guru akademik tingkatan 6 yang ditugaskan pada ketika itu. Semua isi pembentangan dan jawapan mestilah merujuk kandungan laporan yang telah disediakan.

Contoh pelaksanaan dan pentaksiran pembentangan laporan penyelidikan di SMK St Michael, Ipoh:


TARIKH
TEMPAT
KUMPULAN
CATATAN
21 / 9 / 2010
(1.20 –2.40 ptg)
Kelas
LSS1 : Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5, 6
LSS2 : Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7
LSS3 : Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5, 6
LSS4 : Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7
LSS5 : Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5, 6
LSA1 : Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7
LSA2 : Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7
LSA3 : Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5

Guru-guru bertugas memilih satu kumpulan terbaik untuk mewakili kelas
28 / 9 / 2010
(1.20 –2.40 ptg)
Kelas
LSS1 : Kumpulan 7, 8, 9, 10, 11
LSS2 : Kumpulan 8, 9, 10, 11, 12, 13
LSS3 : Kumpulan 7, 8, 9, 10, 11, 12
LSS4 : Kumpulan 8, 9, 10, 11, 12, 13, 14
LSS5 : Kumpulan 7, 8, 9, 10, 11, 12
LSA1 : Kumpulan 8, 9, 10, 11, 12, 13
LSA2 : Kumpulan 8, 9, 10, 11, 12, 13
LSA3 : Kumpulan 6, 7, 8, 9, 10

5 / 10 / 2010
(1.20 –2.40 ptg)
Dewan Kuliah
Sekolah

LSS1 : Kumpulan  …….
LSS2 : Kumpulan  …….
LSS3 : Kumpulan  …….
LSS4 : Kumpulan  …….

Guru-guru bertugas memilih johan, naib johan, tempat ketiga dan tempat keempat yang akan diberi sijil.
Bilik Kuliah 1 Tingkatan 6
LSA1 : Kumpulan  …….
LSA2 : Kumpulan  …….
LSA3 : Kumpulan  …….
LSS5 : Kumpulan  …….


Pemarkahan :
ISI  1
(5 markah)
Tajuk
1 markah
Pernyataan masalah
2 markah
Soalan penyelidikan
2 markah
ISI  2 
(5 markah)
Dapatan/ Keputusan
2 markah
Kesimpulan/ Cadangan
3 markah
Persembahan
(5 markah)
Vokal
3 markah
Alat bantu
2 markah
Soal jawab
(5 markah)

5 markah

Jumlah
20 markah

Sesi kolokium dalam kelas
·         Pembentangan dengan penggunaan carta ( kertas ‘mahjong’ / kad Manila / dsb. )
·         Setiap kumpulan diberi masa 10 minit
Loceng pertama adalah selepas 8 minit untuk bersedia berhenti
Loceng kedua adalah selepas 9 minit untuk berhenti
Kemudian kumpulan diberi 1 minit untuk menjawab 1 soalan yang dikemukakan oleh guru
·         Penjaga masa : Ketua kelas dan penolong ketua kelas

Sesi kolokium antara kelas
·         Pembentangan dengan penggunaan Powerpoint
·         Setiap kumpulan diberi masa 16 minit
      Loceng pertama adalah selepas 13 minit untuk bersedia berhenti membentang
Loceng kedua adalah selepas 14 minit untuk berhenti membentang
Kemudian kumpulan diberi 2 minit untuk menjawab 1 soalan yang dikemukakan oleh guru
·         Penjaga masa : Ketua kelas dan penolong ketua kelas LS4 (Dewan Kuliah Sekolah) dan LS5 (Bilik Kuliah 1
                          T6)
·         Ketua kelas dan penolong ketua kelas LS1 dan LA1 bertanggungjawab untuk membuka dan menutup pintu Dewan Kuliah Sekolah dan Bilik Kuliah 1 T6 masing-masing.
·         Semua ketua kelas dan penolong ketua kelas bertanggungjawab untuk membuka dan menutup lampu dan hawa dingin dewan/ studio.