SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, July 30, 2009

KEUTAMAAN BULAN SYAABAN (THE SYAABAN OFFER)

Ipoh: 8 Syaaban 1430 / 30 Julai 2009

Kita sudah memasuki minggu kedua bulan Syaaban 1430 Hijriyyah. Hal itu bererti bahawa bulan Ramadan yang dirindui ummat sudah di ambang pintu, iaitu tiga minggu sahaja lagi. Bulan Syaaban diapit oleh bulan Rejab (sebelumnya) dan bulan Ramadan (selepasnya).

Imam al-Ghazali dalam kitab beliau, Mukasyafah al-Qulub menyenaraikan sejumlah amal yang boleh dilaksanakan pada bulan Syaaban demi meningkatkan ketaqwaan dan Redha Ilahi. Antaranya, amalan puasa sunat. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Aisyah radiallahu anha, mafhumnya: ”Aku tidak melihat sama sekali Rasulullah Salallahu alaihi Wasallam menyempurnakan puasanya sebulan kecuali bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat baginda lebih banyak puasanya daripada bulan Syaaban.” (au kama qala).

Kemudian, Imam al-Ghazali menyentuh dengan panjang lebar berkenaan malam Nisfu Syaaban, iaitu pada tanggal 15 Syaaban. Malam Nisfu Syaaban juga dikenali sebagai malam Bara’ah kerana malam berkenaan dapat menghapuskan dosa setahun. Malam Nisfu Syaaban juga dikatakan sebagai malam raya bagi para malaikat, selain malam Lailatul Qadar.

Selain itu malam Nisfu Syaaban juga dinamai malam:

1. Tafkir;
2. Ihya’;
3. Syafaat;
4. Makrifah;
5. Pembebasan;
6. Qiamah dan Takdir.

Umat Islam digalakkan memperbanyak amal dan kebajikan sepanjang bulan Syaaban, sekali gus menjauhi segala bentuk pelakuan maksiat dan dosa. Imam Ahmad meriwayatkan baginda bersabda, mafhumnya ”Pada malam Nisfu Syaaban, Allah meneliti kepada hamba-Nya, kemudian Dia mengampuni seluruh penghuni bumi kecuali dua orang: orang musyrik dan orang yang diberati dengan dosa.” (au kama qala).

Dalam satu riwayat (Ibnu Ishaq dari Anas bin Malik), Nabi bersabda kepada Aisyah Radiallahu anha: ”Wahai Humaira, tidak tahukah engkau, ini malam Nisfu Syaaban? Sesungguhnya pada malam ini Allah membebaskan manusia dari neraka sebanyak bilangan bulu kambing. Kecuali enam orang: orang yang membiasakan minum arak, yang menderhakai kedua-dua orang tuanya, yang membiasakan zina, yang keras kepala, tukang pukul dan tukang fitnah.” (au kama qala).

Kesimpulannya, bulan Syaaban penuh dengan keberkatan, keampunan dan rahmat. Marilah kita merebut segala peluang yang ditawarkan. Mudah-mudahan, panjang umur murah rezeki, kita dapat membuat persediaan jasmani, emosi, rohani dan ilmu menjelang Ramadan al-Mubarak yang menyusul seusai Syaaban ini, Insya-Allah.

Wednesday, July 29, 2009

PANCARAGAM SMI NAIB JUARA PERAK (MICHAELIAN MILITARY BAND TOOK THE SECOND)

Pada 24 Julai 2009 yang lalu pasukan pancaragam SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah mengambil bahagian dalam pertandingan akhir peringkat negeri. Dalam saingan tujuh pasukan di Stadium Perak itu, SMI berjaya mempersembahkan melodi yang harmonis, di samping formasi gerak yang penuh variasi. SMI hanya dipisahkan dengan markah yang tipis dengan pasukan Sam Tet yang muncul sebagai juara, dan seterusnya Sam Tet bakal mewakili Perak ke peringkat kebangsaan.

Pencapaian tempat kedua ini mengulangi sejarah tahun 2007. Sekalung tahniah buat semua pelajar yang mewakili pancaragam SMI 2009, kepada guru penasihat dan pentadbiran sekolah yang memberi galakan. Pasukan pancaragam SMI berpotensi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dengan perancangan yang menjurus kepada kemenangan, taktikal dan kepimpinan. Di samping itu, instrumen pancaragam mungkin boleh diorganisasikan semula dari segi bilangan, komposisi dan peralatan terkini.

Pengumuman tentang pengwujudan 100 buah sekolah yang akan dipilih sebagai pusat pembelajaran berpencapaian tinggi oleh kepimpinan negara baru-baru ini membuka ruang untuk SMI bersaing merebutnya. Kehebatan pasukan pancaragam boleh dijadikan niche area yang seterusnya, di samping program drama sekolah dan debat bahasa Inggeris. Masuk persaingan sudah cukup bagus, dan jika terpilih, itu satu bonus buat SMI. Kita sudah pun diberi status sekolah premier, sekolah lima bintang dan sekolah kawalan negeri.

KEPIMPINAN BERKESAN: SEKOLAH CEMERLANG (EFFECTIVE PRINCIPALSHIP: AN X-FACTOR FOR THE HIGH PERFORMANCE SCHOOL)


Jika dibuat analogi (tamsilan) tentang industri pengangkutan kereta api, seseorang pemimpin membina konsep kereta api, mengenal pasti pasarannya, dan membuat jangkaan tentang hala tuju industri itu. Seorang pengurus pula akan menyiapkan kereta api, memastikan perkhidmatan mengikut jadual, dan pernigaan pengangkutan kereta api bakal menguntungkan syarikat. Dalam amalan sebenar, kepimpinan dan pengurusan sukar dibezakan, terutama dalam persekitaran organisasi pendidikan seperti sekolah.

Barche (2002) dalam bukunya, How Organisations Work, berpendapat bahawa kepimpinan dan pengurusan saling melengkapi dalam suatu proses yang berterusan. Mari kita teliti ciri kepimpinan dan pengurusan yang disenaraikan (dalam bahasa Inggeris, dengan izin):

Leaders have the ability to transform vision into reality. Leaders:
- communicate the “what” and “why” of the vision;
- mobilize the resources that can operationalise the vision;
- demonstrate an infectious passion for the vision;
- generate commitment (rather than wielding the club of compliance);
- serve as chief cheerleader for the vision;
- reward accomplishment on the way to accomplish the vision;
- take a calculated risks to implement the vision;
- establish risk boundries (that provide the implimenters a sufficiently expansive
arena in which they
can stick their neck out without being punished);
- remove barriers (politics, financial, etcs);
- develop people (enabling them to perform at unprecedented levels on current and
future projects)

Meanwhile, managers can be seen as the fundementals of running a business. Good managers should therefore:
- put streamlined business process in place;
- establish a workable organization structure;
- establish clear roles and responsibilities;
- develop performance standards, measure performance against those standards, and
take action base
on measurement information;
- solve operational problems or see that they are made;
- oversee the development and implimentation of plans and budgets;
- ensure that people get regular feedback;
- create environments in which good performance is rewarded and substandard
performance is not;
- equip people with the skills to do their job.

Tuesday, July 28, 2009

KEIKHLASAN DALAM KERJAYA KEGURUAN (THE PROMOTION OF TEACHERS)


Klang, 28 Julai 2009

Kini, kerjaya keguruan membuka laluan peningkatan kerjaya yang cukup luas. Secara perbandingan, kaum guru hanya ketinggalan dengan kumpulan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dari segi peluang kenaikan pangkat dan gred perjawatan. Pelbagai insentif dan tawaran diberi kepada para guru untuk menjadikan kerjaya keguruan sebagai menarik, berdaya saing, dihormati dan mempunyai masa hadapan yang amat cerah.

Berdasarkan model “kotak hitam” input – proses – output, kecemerlangan kerjaya keguruan bermula daripada pemilihan calon guru yang memiliki keperibadian, komitmen, dan tahap interpersonal yang baik. Di Singapura, calon guru disaring dengan ketat dari segi kecemerlangan akademik, misalnya pencapaian purata kumulatif (CGPA) yang baik di peringkat pengajian tinggi. Sesuai dengan keperluan semasa yang menghendaki guru memiliki IQ, EQ dan SQ yang mantap, kebolehan bekerja dalam persekitaran organisasi yang akomodatif dengan kepesatan perubahan, dan kepintaran kumpulan, seseorang guru tidak hanya kelihatan hebat untuk diri sendiri sahaja.

Kita biasa disogokkan dengan klise bahawa “guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”. Hal itu turut disentuh oleh Ibnu Khaldun, bapa sosiologi moden lewat karyanya, Mukaddimah. Ibnu Khaldun mengatakan bahawa kaum guru biasanya akan memperoleh ganjaran atau imbuhan yang rendah sahaja, dan tidak setimpal dengan bakti yang dicurahkan.

Pada zaman dahulu, kaum guru tidak menyatakan rungutan secara terang-terangan tentang bayaran, justeru mereka boleh menjalankan kegiatan ekonomi yang lain untuk menyara hidup dan keluarga. Pada ketika itu juga, sekolah bukanlah institusi formal yang tertakluk kepada pelbagai macam peraturan dan sistem seperti sekarang. Sebabnya sekolah ditubuhkan untuk mengisi masa lapang anak-anak bangsawan, berbanding dengan golongan masyarakat bawahan (marhaen) yang sibuk membanting tulang dan mengerah keringat demi kelangsungan hidup sekeluarga. Perkataan “school” itu sendiri asalnya membawa maksud masa lapang.

Keadaan sudah jauh berubah. Institusi sekolah sudah diformalkan dan terikat dengan dasar dan terma perkhidmatan awam sesebuah negara. Kaum guru pula tidak boleh sewenang-wenangnya terlibat dengan aktiviti ekonomi luar tanpa kebenaran pihak berkuasa pendidikan. Guru tidak betah memberi alasan untuk menambah pendapatan, atau cuba-cuba menzahirkan gaya hidup yang dipamerkan oleh kakitangan swasta, atau golongan korporat.

Dilemanya ialah pada hari ini ukuran penghormatan atau status pencapaian seseorang dinilai dari segi pemilikan harta kekayaan. Seseorang murid mungkin memandang rendah gurunya yang hanya memandu sebuah Proton Perdana V6 berbanding dengan ibu bapanya dengan Mercedes Benz dan BMW yang gagah menjalar di jalan raya. Guru hanya mampu memiliki sebuah rumah teres, semi-D, atau banglo yang serba sederhana. Hanya jika murah rezeki mewarisi harta pusaka, atau memiliki pasangan hidup yang berharta, situasinya mungkin berlainan.

Persekitaran kerja guru juga kelihatan kurang hebat. Walaupun kelayakan guru hingga menggenggam ijazah Ph.D, mereka hanya memiliki sebuah meja kecil dan kerusi yang kalah dengan kelengkapan perabot seorang pembantu pejabat sekolah. Guru juga harus mengusung laptop sendiri dan menghadapi kesukaran untuk mencetak bahan yang dikehendaki. Guru mesti mengawal kata-katanya walaupun kadang-kadang makan hati dengan karenah staf sokongan yang lain.

Jauh di sudut hati guru, mereka masih bertahan. Selagi amanah boleh ditunaikan, betapa kurangnya kemudahan, tugas akan diteruskan. Setiap sen gaji yang diterima biar berkat dan halal. Murid ialah amanah agama, bangsa dan negara.

Kerjaya keguruan digolongkan sebagai perkhidmatan menolong (helping services). Sejajar dengan kepercayaan bahawa maklumat boleh diakses secara individu, guru berperanan membantu murid membuat diskriminasi dan tapisan data. Maka, pada akhirnya guru akan diingati sebagai orang yang bertanggungjawab menunjuk jalan dan inspirasi supaya murid memilih haluan yang benar dan lurus.

Status kemudahan guru tidak sayugia dibiarkan dalam keadaan yang statik. Sebagai pengamal profesional, suatu anjakan paradigma mesti diberi tempat. Jika negara berhasrat menjana modal insan minda kelas pertama, kedudukan guru sebagai peneraju utama kegiatan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah patut mengalami transformasi dari pelbagai sudut.

Keluhan kaum guru bukanlah bermakna mereka golongan yang tidak tahu bersyukur. Di Malaysia, pihak Kementerian Pelajaran telah berjaya mewujudkan sejumlah 18 laluan peningkatan kerjaya keguruan. Maka, dogma yang mengatakan kerjaya keguruan sebagai jalan mati tiada asas lagi. Sudah menjadi lumrah dalam mana-mana organisasi dan kerjaya, jika hendak merebut kedudukan tertentu, banyak perkara yang perlu dipelajari.

Sunday, July 26, 2009

PAPAN TANDA BANDAR DI-RAJA KLANG MENGELIRUKAN (THE ROYAL KLANG CITY SIGNBOARD REALLY CONFUSING!)

Klang, Ahad 26 Julai 2009

klik foto untuk paparan lebih jelas
(click photo to enlarge)



Bandar ini bukanlah asing bagi penulis blog justeru pernah bekerja sementara di Raliegh Cycle usai STPM suatu ketika dahulu. Penulis blog menghuni sebuah rumah bujang di Padang Jawa, berhampiran kampus induk UiTM. Dahulu bandar ini turut mendapat jolokan bandar gagak. Kini, imej berkenaan sudah luput memandangkan burung gagak dikhuatiri menjadi perumah virus yang berpotensi menyebarkan penyakit seperti selesema burung yang masih menjadi pandemik di seluruh dunia.




Sebagai penjawat awam, penulis blog pernah menghadiri enam kali mesyuarat dalam tahun yang berbeza-beza di Klang. Antara hotel yang menjadi penginapan ialah Hotel B, Hotel Mutiara dan terbaru, Gold Course. Uniknya bandar Klang ialah keadaan bulatannya (roundabout) yang berbeza daripada bandar lain di Malaysia. Setiap bulatan ada lapan laluan, dan dikawal dengan lampu isyarat. Masalahnya, papan tanda.



Arah ke Klang yang mana satu? Pelabuhan Klang hanya dibezakan dengan simbol kapal layar!

Bagi penduduk tempatan mungkin tiada masalah. Namun, kepada orang luar Klang sangat mengelirukan. Bukan luar biasa jika kita selalu terlajak dan tersilap masuk lorong. Papan tanda selalu sahaja terlindung oleh bangunan dan pokok, bahkan maklumat yang dipaparkan kadang-kadang tidak membantu. Contohnya,tiba-tiba anda perlu membelok walaupun sebelum itu arahannya terus.

Diharapkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran Klang) sensitif akan perkara ini dan membuat perubahan dalam kadar yang segera. Jika sebaliknya, banyak pengunjung yang akan mengeluh dan tercangak-cangak sehingga menyumbang kepada kesesakan jalan raya yang seharusnya boleh dielakkan. Dari segi ekonomi, keadaan ini dianggap sebagai ketidakcekapan kos, atau pembaziran!

ANALISIS KESALAHAN BAHASA SPM (GRAMMATICAL ERRORS FOR MALAY LANGUAGE)


Rencana ini sumbangan Tuan Haji Khaidir, Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Beliau kini bertugas di SMK Ayer Kuning, Teluk Intan, Perak. Berkelulusan Sarjana Sains dalam bidang Linguistik (Masters of Science in Linguistics), Tuan Haji Khaidir juga aktif menyampaikan ceramah dan motivasi kebahasaan kepada rakan sejawatan dan pelajar. Beliau terlibat secara langsung dengan program JUSA (Jawab Untuk Skor A) peringkat negeri Perak Darul Ridzuan. Beliau turut berpengalaman menjadi hakim pertandingan koakademik peringkat kebangsaan. Tuan Haji Khaidir memiliki laman blog sendiri di URL hajikhaidir.blogspot.com.

Dalam BM terdapat enam jenis kesalahan yang biasa dilakukan iaitu :

i. Kesalahan ejaan
ii. Kesalahan pemilihan kata atau istilah
iii. Kesalahan penggunaan imbuhan
iv. Kesalahan penggunaan kata
v. Kesalahan struktur frasa
vi. Kesalahan struktur ayat


Kesalahan Ejaan


1. Kesalahan ejaan timbul apabila sesuatu perkataan dieja tidak mengikut keselarasan vokal dan konsonan yang telah ditetapkan dalam Sistem Ejaan Baru Tulisan Rumi. Kesalahan yang sering berlaku ialah :-


1.1. Aturan 8 pola keselarasan vokal.


1.1.1. a – i adik, tarik, jelantik, alih, kasih, ketagih
1.1.2. a – u aduk, datuk, sepanduk, gantung, makmur,
1.1.3. e pepet – i cerdik, mersik, sembelih, pedih, bersih, detik
1.1.4. e pepet – u peluk, bentuk, tepung,kembung, gelepur
1.1.5. i – i itik, didik, selidik, gigih, tindih, selisih
1.1.6. i – u induk, sibuk, sintuk, tiung, lindung, hibur
1.1.7. u – i usik, culik, suntik, upih, putih, surih
1.1.8. u – u untuk, tunjuk, senduduk, junjung, tengkujuh


1.2. Ejaan BM dikecualikan daripada aturan keserasian vokal.


1.2.1. a – e aneh, awet, kaget, pamer, raden, samseng
1.2.2. a – o calon, lapor, lakon, lancong, perabot
1.2.3. e taling – e taling gesek, keledek, leher, kelepet, seleweng
1.2.4. o – e taling sompek, conteng, montel, celoteh, goreng


1.3. Ejaan untuk kata majmuk.


1.3.1. Terdapat 15 kata majmuk yang telah mantap mesti dieja rapat iaitu:

antarabangsa, beritahu, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, olahraga, matahari, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, warganegara dan pesuruhjaya.

1.3.2. Jika tidak mengunakan imbuhan apitan hendaklah dieja berasingan

Contohnya :
reka bentuk, lut sinar, gambar rajah, pen mata bulat, topi keledar, kertas kerja.

1.3.2. Jika menggunakan imbuhan apitan hendaklah dieja rapat.

Contohnya:
Mencampuradukkan, penggabungjalinan, menyatupadukan



1.4. Ejaan dua konsonan + imbuhan.

1.4.1. Penggunaan dua ‘k’ untuk kata kerja terbitan. Contohnya :

Menunjukkan mencantikkan digesekkan

1.4.2. Penggunaan dua ‘g’ bagi kata dasar awal ‘g’. Contohnya :

Penggambaran menggilai penggerak menggadai

1.4.3. Penggunaan imbuhan ‘beR’ , ‘teR’ dan ‘peR’ + kata dasar awal ‘r’. Satu ‘r’ mesti digugurkan. Contohnya :

beR + rebut è berebut teR + rasa è terasa
peR + rakus è perakus teR + rampas è terampas


1.5. Ejaan Kata Pinjaman

1.5.1. ‘e’ pepet tidak boleh disisipkan antara dua konsonan yang bergugus.


BI BM Betul BM salah

Brake brek berek
Clinic klinik kelinik
Drama drama derama
Project projek perojek
Tragedy tragedi terajedi


1.5.2. Bentuk ‘gh’ bagi pinjaman Arab. Contohnya:

ghaib ghairah maghrib

1.5.3. Ejaan huruf gugus konsonan di akhir kata.

1.5.3.1. Bentuk ‘-nce’ ditukar kepada ‘-ns’ atau ‘-n’. Contohnya :

Insurans , ambulans, sains, elaun, lesen, ordinan

1.5.3.2. Bentuk ‘-rd’ ditukar kepada ‘rd’ atau ‘d’. Contohnya :

Kastard, standard, rekod, kadbod, poskad, wad

1.5.3.3. Bentuk ‘-rt’ ditukar kepada ‘-rt’ atau ‘-rta’. Contohnya:

Eksport, import , konsert, skirt, carta

1.5.3.4. Bentuk ‘-rm’ ditukar kepada ‘-rm’ atau ‘-rma’. Contohnya:

Kloroform, platform, firma, norma

1.5.3.5. Bentuk gugus konsonan akhir seperti ‘-t’ , ‘-d’ , ‘-p’ , atau ‘-b’ digugurkan digantikan dengan ‘-k’ , ‘-s’ , ‘-p’ , ‘-m’ atau ‘-f’. Contohnya :

-ct è k : projek, dialek, produk
-nt è n : akaun, simen, sarjan
-st s : pos, Ogos, nasionalis
-pt p : konsep, skrip, bankrap
-mp m: setem, kem
-mb m: bom
-nd n: paun, dividen, bon
-ft f: lif, overdraf





KESALAHAN PEMILIHAN KATA / ISTILAH

Kesalahan pemilihan kata /istilah berlaku kerana terdapat perkataan yang digunakan dan ditulis salah mengikut konteks, rujukan, leksikal dan makna.

1. Kesalahan pemilihan kata yang sinonim dan kesinoniman.

Sinonim bermaksud dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama tetapi berlainan bentuknya. Pemilihan sinonim dan kesinoniman dalam ayat mestilah bentul berdasarkan pemilihan konteks, rujukan, leksikal dan makna. Contohnya.

Kata ‘bawa’

Junjung di kepala pikul di bahu
Kelek rapat ke dada julang ke atas
Galas di bel akang badan tatang di tangan
Kandar di kedua-dua bahu kepit di ketiak


Kata ‘potong’

Kerat, hiris, tetas, tetak, cantas, tutuh, cincang, pangkas, tebang, tebas, pancung, racik, cukur, ketam, turis, rincik, siang, sembelih, guntung dll.


2. Kesalahan pemilihan kata homonim dan kehomoniman.

Homonim ialah kata yang sama ejaan dan/atau sebutannya tetapi mempunyai makna yang berbeza. Contohnya :

perak ( logam ) : perak ( terpinga-pinga )
semak ( kaji ) : semak ( kusut )
perang ( warna ) : perang ( gaduh )


3. Kesalahan pemilihan kata homograf atau pasangan minimal.

Homograf atau pasangan minimal ialah kata yang hampir sama sebutannya tetapi ejaan dan maknanya berbeza. Contohnya :

golongan ( kumpulan ) : gulungan ( lipatan bulat )
tonton ( tengok, lihat ) : tuntun ( pimpin )
culik ( larikan ) : colek ( usik, sentuh )


4. Kesalahan pemilihan kata polisem.

Polisem ialah kata yang sama ejaan dan sebutannya tetapi mempunyai banyak makna (yang berbeza-beza) tetapi berkaitan menurut konteks penggunaannya. Contohnya :

Buku : buku 1 sendi buluh / tebu
buku 2 kitab
buku 3 simpulan bahasa
buku 4 anggota badan
buku 5 penjodoh bilangan

Kepala : kepala 1 orang
kepala 2 kumpulan samseng
kepala 3 mandur
kepala 4 atas kain sarung


5. Kesalahan pemilihan bahasa ‘eufemisme” (bahasa halus / sopan )

‘Eufemisme ialah bahasa halus atau sopan yang digunakan berkaitan dengan kesopanan, adat, tabu atau pantang larang dan sebagainya. Contohnya :

Rujukan Umum Bahasa luar Eufemisme

mati meninggal dunia mangkat ( untuk sultan/raja)
Makan makan santap
harimau harimau Pak Belang



KESALAHAN PENGGUNAAN KATA TERBITAN / IMBUHAN


1. Kesalahan penggunaan proses morforfonemik.

Proses morforfornemik ialah proses penggabungan imbuhan + kata dasar yang huruf awalnya ‘p’ , ‘t’ , ‘k’ dan ‘s’. Apabila proses ini berlaku huruf awal tersebut digugurkan dan digantikan dengan huruf penyengauan iaitu ‘p’ è ‘m’ , ‘t’ è ‘n’ , ‘k’ è ‘ng’ dan ‘s’ è ‘ny’. Contohnya :
pe + panah è pemanah
meN + karang è mengarang
peN + selam è penyelam
meN + tahan è menahan

Terdapat kekecualian, proses ini tidak boleh berlaku untuk semua kata pinjaman.

2. Kesalahan penggunaan imbuhan + kata dasar ekasuku kata. Contohnya :

Had è menghad , penghad ( mengehad , pengehad )
Syor è mengsyor , pengsyor ( mengesyor , pengesyor )


3. Kesalahan penggunaan imbuhan ‘meN---i dan ‘meN---kan’.

Kedua-dua imbuhan ini hadir dalam ayat yang mengandungi kata kerja transitif. Kesalahan berlaku apabila dalam ayat mengandungi objek tepat dan objek sipi. Contohnya :

(a) Pak Osman menghadiahkan Ahmad sebuah basikal
(b) Baginda menganugerahkan pahlawan itu bintang kehormatan.
(c) Halimah menghidangi sepinggan kuih kepada tetamu itu.
(d) Tuhan mencucuri rahmat kepada kami.

Ayat (a) salah kerana ‘Ahmad’ merupakan objek tepat dan ‘sebuah basikal’ adalah objek sipi. Begitu juga ayat (b). Oleh sebab itu, perkataan ‘menghadiahkan’ mesti ditukar kepada ‘menghadiahi’. Ayat (b) ‘menganugerahkan’ kepada ‘menganugerahi’. Selain itu juga, imbuhan ‘meN----i hanya boleh hadir di depan KN rujukan manusia ( orang ).

Ayat (c) salah kerana ‘sepinggan kuih’ merupakan objek sipi dan ‘tetamu itu’ adalah objek tepat. Oleh sebab itu perkataan ‘menghidangi’ mesti ditukar kepada ‘menghidangkan’. Ayat (d) ‘mencucuri’ kepada ‘mencucurkan’. Selain itu imbuhan meN-----kan hanya boleh hadir di depan KN rujukan bukan manusia.


4. Kesalahan penggunaan imbuhan ‘memper------‘ , ‘memper-----kan’ dan ‘memper----i’.

(a) Imbuhan ‘memper----‘ hanya boleh digunakan untuk kata adjektif (sifat) untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya :
memperbesar ( menjadikan lebih besar )
memperindah ( bertambah indah )

(b) Imbuhan ‘memper----kan” hanya boleh digunakan jika perkataan itu berfungsi sebagai :-
(i) kausatif iaitu menjadikan atau menyebabkan. Contohnya :

mempertemukan ( menjadi / menyebabkan bertemu )
mempersatukan ( menjadi / menyebabkan bersatu )
(ii) menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam kata kerja itu. Contohnya :

memperlihatkan ( menjadikan orang melihat )
memperdengarkan ( menjadikan orang mendengar )


(c) Imbuhan ‘memper----i tidak lagi produktif. Oleh sebab itu salah atau ayat tidak gramatis jika digunakan. Contohnya :

memperolehi sepatutnya memperoleh
memperbaiki sepatutnya membaiki
mempersetujui sepatutnya menyetujui
memperakui sepatutnya memperakukan

KESALAHAN PENGGUNAAN KATA

1. Kesalahan penggunaan KGN Diri III ‘beliau” dengan sewenang-wenangnya. ‘Beliau’ hanya boleh digunakan untuk rujukan orang yang dihormati seperti ibu, bapa, pemimpin dan sebagainya. Contohnya :

Beliau ( Dia )ditangkap oleh polis kerana mencuri semalam.


2. Kesalahan penggunaan KGN Diri III ‘ia’ dan ‘ianya’.

KGN Diri ‘ia’ hanya untuk manusia dan tidak boleh digunakan untuk rujukan kepada benda, konsep dan binatang. Manakala ‘ianya’ adalah tidak wajar kerana kedua-dua perkataan itu terdiri daripada KGN Diri III. Contohnya :

(a). Perabot ini sangat mahal kerana ia diimport dari Itali.
( Perabot ini sangat mahal kerana diimport dari Itali )

(b) Pembunuh itu ditangkap. Ianya akan didakwa di mahkamah esok.
( Pembunuh itu ditangkap. Ia akan di dakwa di mahkamah esok)


3. Kesalahan penggunaan KGN Diri III ‘mereka’. Contohnya :

Mereka-mereka ialah usahawan yang berjaya.

KGN Diri iii ‘mereka’ sudah membawa maksud jamak atau ramai. Oleh itu, tidak wajar ‘merteka digandakan.



4. Kesalahan penggunaan KGN Diri ‘kita’ dan ‘kami’. Contohnya :

(a) “Kita ingin mengetahui masalah itu dengan lebih mendalam,”kata beberapa orang wartawan kepada pegawai tersebut.
(b) “Perlawanan petang ini penting untuk kami,”kata jurulatih itu kepada pelatih-pelatihnya.


Perkataan ‘kita’ membawa maksud semua orang –anda dan saya manakala ‘kami’ bermaksud saya dan dia. Oleh itu ‘kita’ dalam ayat (a) ditukar kepada ‘kami’ dan sebaliknya ‘kami’ dalam ayat (b) ditulis ‘kita’.


5. Kesalahan penggunaan kata bilangan. Contohnya :

(a) Berbagai jenis makanan terhidang di atas meja.
( Berbagai-bagai / Pelbagai jenis makanan terhidang di atas meja )

(b) Setengah pelajar masih tidak memahami sistem ejaan baru.
( Sesetengah / Setengah-setengah pelajar masih tidak memahami sistem ejaan baru )

(c) Tiap warganegara mesti mendaftarkan diri untuk mengundi.
( Setiap /Tiap-tiap warganegara mesti mendaftarkan diri untuk mengundi)

(d) Para-para pelajar harus meningkatkan disiplin mereka.
( Para pelajar harus meningkatkan disiplin mereka )

(e) Saya menantinya selama dua setengah jam
( Saya menantinya selama dua jam setengah )


Kata bilangan dalam ayat (a) dan (b) salah kerana ‘berbagai membawa maksud ‘menyerupai’ dan ‘setengah’ membawa maksud ‘sebahagian atau separuh’. Kata bilangan dalam ayat (c) salah kerana disingkatkan sewenang-wenangnya. Dalam ayat (d) salah kerana ‘para’ digandakan membawa makna ‘rak’ dan ayat (e) salah kerana menyalahi hukum DM yang membawa perubahan makna. Misalnya, jika disebut tiga setengah ringgit bermakna satu ringgit setengah (RM1.50) sahaja. Oleh sebab itu ayat yang betul terdapat dalam kurungan.


6. Kesalahan penggunaan penjodoh bilangan.

(a) Penjodoh bilangan tidak boleh digandingkan dengan kata nama abstrak. Contohnya :

(i) Perpaduan perlu dipupuk dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum.
( Perpaduan perlu dipupuk dalam masyarakat yang berbilang kaum )

(ii) Dia harus bertindak segera untuk mencapai sebuah impian.
( Dia harus bertindak segera untuk mencapai impian )


(b) Penjodoh bilangan tidak boleh digunakan dengan kata bilangan yang tertentu. Contohnya :

(i) Sebahagian orang penduduk
(ii) Para orang pelajar
(iii) Segala ekor binatang
(iv) Seluruh buah negeri
(v) Setengah-setengah orang peserta.



7. Kesalahan penggunaan kata sendi nama.

(a) Kesalahan penggunaan kata ‘dari’ dan ‘daripada’. Contohnya :

(i) Dia berjalan kaki daripada Kota Tinggi.
( Dia berjalan kaki dari Kota Tinggi )

(ii) Saya menantinya daripada pukul dua petang.
( Saya menantinya dari pukul dua petang )


(iii) Kain itu dibuat dari sutera.
( Kain itu dibuat daripada sutera)

(iv) Rumah itu lebih cantik dari rumah ini
( Rumah itu lebih cantik daripada rumah ini )

(v) Surat itu saya terima dari abang
( Surat itu saya terima daripada abang )

(vi) Kumpulan itu terdiri dari 10 orang pelajar.
( Kumpulan itu terdiri daripada 10 orang pelajar )


Kata ‘dari’ dan ‘daripada’ mempunyai fungsi tersendiri. ‘Dari’ berfungsi untuk menunjukkan masa dan tempat manakala ‘daripada’ digunakan dalam hal-hal yang lebih umum iaitu untuk orang, perbandingan, abstrak, pertentangan, asal kejadian dan untuk menyatakan keanggotaan.



(b) Kesalahan penggunaan kata depan ‘di’. Contohnya :

(i) Suasana amat tenang di pagi yang permai itu.
( Suasana amat tenang pada pagi yang permai itu )

(ii) Kita harus fasih bertutur di dalam bahasa Melayu
( Kita harus fasih bertutur dalam bahasa Melayu )

(iii) Perjanjian di antara kedua-dua buah negara itu sudah ditandatangani semalam.
( Perjanjian antara kedua-dua buah negara itu sudah ditandatangani semalam )


Dalam ayat (i) salah kerana kata depan ‘di’ tidak boleh berfungsi sebagai kata depan untuk waktu. Kata ‘di’ hanya boleh digunakan untuk tempat. Oleh itu “di’ perlu diganti dengan ‘pada’. Dalam ayat (ii) dan (iii) salah kerana kata ‘dalam’ dan antara’ sudah berfungsi sebagai kata tugas . Oleh itu, kata tugas tidak boleh hadir kedua-duanya dalam ayat. Maka ‘di’ mesti digugurkan.


(c) Kesalahan penggunaan ‘ke’. Contohnya :

(i) Sila kembalikan borang itu ke kerani pejabat ini.
( Sila kembalikan borang itu kepada kerani pejabat ini )

(ii) Harga pasaran saham menurun ke paras terendah semalam
( Harga pasaran saham menurun kepada paras terendah semalam)


Dalam ayat (i) dan (ii) salah kerana kata depan ‘ke’ tidak boleh digunakan dihadapan KN atau FN rujukan manusia atau binatang. Kata depan ‘ke’ hanya boleh digunakan untuk KN tempat. Oleh itu, ‘ke’ perlu ditukar kepada ‘kepada’.


(d) Kesalahan penggunaan ‘untuk’. Contohnya :

(i) Rakyat Malaysia mesti bersatu padu demi untuk kestabilan negara.
( Rakyat Malaysia mesti bersatu padu demi kestabilan negara)

(ii) Demi untuk kepentingan bersama, marilah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini.
(Demi kepentingan bersama, marilah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini

Ayat (i) dan (ii) salah kerana kata ‘demi’ sudah membawa maksud ‘tujuan’ maka perkataan ‘untuk’ dalam ayat ‘demi untuk’ dianggap lewah dan seharusnya digugurkan.


(e) Kesalahan penggunaan ‘mengenai’. Contohnya :

(i) Aduan tuan mengenai kelewatan bayaran itu sedang diberi perhatian.
( Aduan tuan tentang kelewatan bayaran itu sedang diberi perhatian. )

(ii) Mengenai perkara itu, kami perlu merujuk ketua kami dahulu.
(Tentang perkara itu, kami perlu merujuk ketua kami dahulu)

Ayat (i) dan (ii) salah kerana kata ‘mengenai’ dan ‘mengenai dengan’ sebenarnya tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud ‘kena pada’. Oleh itu kata ‘mengenai’ mesti digugurkan dan diganti dengan kata ‘tentang’.


(f) Kesalahan penggunaan kata ‘terhadap’. Contohnya :

(i) Penghulu mengambil berat terhadap kebajikan anak buahnya.
( Penghulu mengambil berat tentang kebajikan anak buahnya)

(ii) Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan rakyat.
(Kerajaan sentiasa memberi perhatian tentang kesejahteraan rakyat )

Ayat (i) dan (ii) salah kerana kata ‘terhadap’ digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan melibatkan penyambut tertentu sama ada manusia, haiwan atau benda. Kata ‘terhadap’ tidak boleh digunakan untuk rujukan umum atau KN mujarad. Oleh itu, kata ‘terhadap’ mesti digugurkan dan diganti dengan kata ‘tentang’.


(g) Kesalahan penggunaan ‘oleh kerana’. Contohnya :

(i) Pembinaan bangunan itu tergendala oleh kerana bantahan tuan tanah yang tidak berpuas hati.
( Pembinaan bangunan itu tergendala oleh sebab bantahan tuan tanah yang tidak berpuas hati )


Ayat (i) di atas salah kerana kata ‘oleh kerana’ dalam ayat berfungsi tidak menunjukkan ‘lantaran’ atau hubungan yang membawa maksud ‘sebab’. Ini disebabkan kata ‘kerana’ bukan kata nama tetapi kata hubung keterangan alasan atau musabab dan kata ‘sebab’ merupakan kata nama yang dapat menerima kata sendi nama ‘oleh’. Oleh itu, kata ‘oleh kerana’ digugurkan dan diganti dengan ‘oleh sebab’.


(h) Kesalahan penggunaan ‘hingga’ (sampai) dan ‘sehingga’. Contohnya :

(i) Dia menunggu abangnya dari pukul dua sehingga enam petang.
( Dia menunggu abangnya dari pukul dua hingga (sampai) enam petang.
(ii) Hingga (sampai) saat ini, bayangannya masih tidak nampak.
( Sehingga saat ini, bayangannya masih tidak nampak)

Dalam ayat (i) salah kerana kata ‘sehingga’ tidak boleh digunakan untuk jarak masa yang ditentukan manakala ayat (ii) kata ‘hingga’ atau ‘sampai’ tidak boleh digunakan untuk jarak masa yang terlalu umum.


(i) Kesalahan penggunaan kata pemeri. Contohnya :

(i) Ahmad adalah guru
( Ahmad ialah guru )

(iii) Keputusan pengadil itu ialah tidak adil
( Keputusan pengadil itu adalah tidak adil )

(iv) Dia adalah merupakan perancang utama projek itu.
( Dia merupakan perancang utama projek itu )

(v) Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan diadakan esok.
( Sukacita dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan diadakan esok.)


Ayat (i) salah kerana ‘adalah’ tidak boleh memerikan ayat yang berpola FN + FN. Kata ‘adalah’ hanya boleh memerikan frasa adjektif, frasa sendi nama dan di depan kata nafi ‘tidak’. Oleh itu, dalam ayat (i) ‘adalah’ ditukarkan kepada ‘ialah’ dan ayat (ii) kepada ‘adalah’. Kata ‘adalah’ juga tidak boleh hadir di depan kata ketrja dalam ayat kerana fungsi dan maksudnya sama. Maka kata ‘adalah’ mesti digugurkan dalam ayat (iii). Kata ‘adalah’ juga tidak boleh hadir di depan kata kerja di awal ayat. Oleh itu, kata ‘adalah perlu diganti dengan perkataan lain seperti ‘sukacita’ , ‘dengan ini’ , ‘dengan hormatnya’ , ‘anda’ dan seumpamanya.


(j) Kesalahan penggunaan kata nafi. Contohnya :

(i) Makanan itu tidak untuk Ratna tetapi untuk adiknya.
( Makanan itu bukan untuk Ratna tetapi untuk adiknya.)

(ii) Bapanya bukan pergi ke sawah hari ini
( Bapanya tidak pergi ke sawah hari ini)

(iii) Peristiwa itu bukan benar berlaku
( Peristiwa itu tidak benar berlaku )

(iv) Budak yang sedang berlari itu tidak adik saya.
(Budak yang sedang berlari itu bukan adik saya.)


Ayat (i) dan (iv) salah kerana kata nafi ‘tidak’ hanya boleh hadir bagi menafikan frasa kerja dan frasa adjektif. Manakala ayat (ii) dan (iii) salah kerana kata nafi ‘bukan’ hanya boleh hadir bagi menafikan frasa nama dan frasa sendi nama sahaja.


KESALAHAN PENGGUNAAN FRASA


1. Kesalahan penggunaan frasa nama.

(a) Kata bilangan yang menunjukkan jamak. Contohnya :

(i) dua buah lori-lori ( dua buah lori )
(ii) beberapa orang pekerja-pekerja ( beberapa orang pekerja)
(iii) ketiga-tiga orang anak-anak ( Ketiga-tiga orang anak)
(iv) Setiap pelajar-pelajar ( Setiap pelajar )


(b) Penggunaan kata adjektif yang diulang. Contohnya :

(i) Baju-bajunya cantik-cantik. ( Baju-bajunya cantik )
(ii) Rumah-rumah di kawasan itu besar-besar.
( Rumah-rumah di kawasan itu besar )


Pengulangan kata adjektif dalam ayat-ayat di atas membawa maksud jamak atau banyak, sedangkan KN yang menjadi subjek juga membawa maksud jamak.


(c) Pelanggaran hukum DM. Contohnya :

(i) mini bas ( bas mini )
(ii) goreng pisang ( pisang goreng )
(iii) cili sos ( sos cili )


2. Kesalahan frasa adjektif.

(a) Penggunaan kata penguat tidak boleh diletakkan di hadapan dan belakang sekaligus. Contohnya :

Air kopi itu sungguh manis sekali.
( Air kopi itu sungguh manis ) atau ( Air kopi itu manis sekali )


(b) Penggunaan kata penguat dengan imbuhan kata adjektif awalan ‘ter. Contohnya

Bangunan itulah yang tertinggi sekali .
( Bangun itulah yang tertinggi )


Awalan ‘ter’ yang bergabung dengan kata adjektif membawa maksud ‘paling’. Oleh itu, kata penguat tidak boleh hadir bersama kata adjektif berimbuhan ‘ter’.


(c) Peluasan frasa adjektif. Contohnya :

Saya sayang ayah. ( Saya sayang pada ayah )

Apabila memperluas frasa adjektif hanya frasa sendi sahaja yang boleh digunakan. Oleh itu contoh di atas adalah salah.

(d) Penggunaan kata adjektif awalan ‘ter’ sebagai predikat. Contohnya

Pakaian itu tercantik. ( Pakaian itu paling cantik )


3. Kesalahan frasa kerja.

(a) Peluasan frasa kerja tak transitif . Contohnya :

(i) Dia terlupa janjinya
( Dia terlupa akan janjinya )

(ii) Pasukan Malaysia bertemu pasukan India.
(Pasukan Malaysia bertemu dengan pasukan India )


(iii) Dia bertanya saya.
( Dia bertanya kepada saya )

Peluasan frasa kerja tak transitif dalam ayat mesti disisipkan dengan kata sendi.


(b) Penggunaan frasa kerja tak transitif imbuhan apitan ‘beR----kan’. Ayat menjadi salah jika disisipkan kata sendi antara kata kerja tak transitif berimbuhan ‘beR---kan’. Contohnya :

(i) Dia tidur dengan berbantalkan dengan lengan.
( Dia tidur berbantalkan dengan lengan )

(ii) Penjahat itu bersenjatakan dengan sepucuk pistol.
(Penjahat itu bersenjatakan sepucuk pistol)


(c) Kesalahan frasa kerja transitif berlaku apabila disisipkan kata lain antara kata kerja transitif dengan objek. Contohnya

(i) Mereka membincangkan tentang perkara itu.
( Mereka membincangkan perkara itu )

(ii) Dia belum mengetahui akan hal itu
(Dia belum mengetahui hal itu )

(iii) Mereka akan mendalamkan lagi sungai itu.
( Mereka akan mendalamkan sungai itu lagi.)


(d) Kesalahan frasa kerja pasif. Bentuk frasa kerja pasif KGN Diri I dan II tidak boleh disamakan dengan bentuk frasa kerja pasif KGN Diri III. Ini disebabkan KGN Diri I dan II mesti hadir di hadapan kata kerja jati dalam ayat. Contohnya :

(i) Jambangan itu digubah oleh saya
(Jambangan itu saya gubah )

(ii) Baju itu ibu jahit
(Baju itu dijahit oleh ibu )

(iii) Meja-meja itu disusun oleh kami
(Meja-meja itu kami susun )

(e) Frasa kerja pasif diri I dan II tidak boleh disisipkan dengan kata lain antara kata nama dan kata kerja. Contohnya :

(i) Tempat itu saya belum kunjungi lagi
( Tempat itu belum saya kunjungi lagi )

(ii) Buku itu anda mesti pulangkan
( Buku itu mesti anda pulangkan )


KESALAHAN AYAT

1. Kesalahan ayat tergantung atau ayat tidak lengkap. Ini berlaku apabila sesuatu ayat tidak mempunyai subjek atau predikat. Contohnya :

(a) Di seluruh kampung itu telah mengetahui kejadian ganjil tersebut.
( Penduduk seluruh kampung itu telah mengetahui kejadian ganjil tersebut )

(b) Dengan kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami.
( Kehadiran tuan akan menyerikan majlis kami )

(c) Kelalaian yang menyebabkan kemalangan berlaku.
( Kelalaianlah yang menyebabkan kemalangan berlaku )

Dalam ayat (a) dan (b) salah kerana ayat itu tidak mempunyai subjek manakala ayat (c) tidak mempunyai predikat. Ayat-ayat tersebut sepatutnya ditulis seperti dalam kurungan.


2. Kesalahan ayat gabungan.

Kesalahan yang berlaku adalah tidak menggugurkan kata sendi pada frasa predikat bagi ayat-ayat tunggal yang bergabung. Contohnya :

(a) Dia akan pergi ke Kuala Lumpur dan ke Ipoh.
( Dia akan pergi ke Kuala Lumpur dan Ipoh )

(b) Budak itu menoleh ke kiri dan ke kanan
( Budak itu menoleh ke kiri dan kanan )



3. Kesalahan ayat pancangan.

Kesalahan ayat ini berlaku kerana salah penggunaan kata relatif ‘yang’ dan kata komplemen ‘bahawa’. Selain itu terdapat juga ayat-ayat pancangan yang tidak diletakkan kata pancangan. Contohnya :

(a) Semua pelajar tahu dia anak hartawan.
( Semua pelajar tahu bahawa dia anak hartawan )

(b) Dia menyatakan yang dia sakit.
(Dia menyatakan bahawa dia sakit )

(c) Rumah itu di atas bukit tidak ada penghuninya.
( Rumah yang terletak di atas bukit itu tidak ada penghuninya.)

Friday, July 17, 2009

ISRAK DAN MIKKRAJ: SOLAT TIANG AGAMA (PRAYER IN ISLAM: TO GENERATE EXCELLENCE CONDUCT)

27 Rejab ialah tarikh Junjungan Nabi Salallahu alaihi Wasallam diperjalankan dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Baitul Maqdis, Palestin), dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, antara lain untuk menerima perintah solat fardu lima waktu. Setiap Muslim wajib mempercayai peristiwa besar berkenaan, kerana jika tidak, bermakna aqidahnya sudah rosak. Artikel ini menumpukan analisis terhadap peranan solat dalam membina kecemerlangan umat yang senantiasa berhadapan dengan cabaran getir akhir zaman.

Sebelum solat fardu beberapa syarat perlu disempurnakan. Antaranya ialah wuduk, iaitu mengambil air sembahyang. Secara simbolik, wuduk ialah proses membersihkan diri secara fizikal. Kaedah fiqah menyebutkan, ma la yatimmul wajib illa bihi fahua wajib, tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan jalan kepadanya juga wajib. Jika ketiadaan air, tayamum dibolehkan.

Perbuatan solat didahului dengan niat kerana Allah (bagi mencapai Redha-Nya) bersekali dengan takbiratul ihram, dengan lafaz Allahu Akbar. Allah Maha besar. Maknanya, ternafi segala kebesaran dan keagungan lain yang terlintas dalam fikiran manusia. Tertolak segala taghut yang tidak jemu berusaha memesongkan pegangan aqidah, syariat dan akhlaq umat yang dipacu oleh dua sumber utama, iaitu al-Quran dan as-Sunnah, di samping pedoman faqih dan ulama muktabar dalam himpunan Ijmak dan Qiyas, Istihsab, Istihsan, Masalih Mursalah, Uruf, dan lain-lain.

Sesudah itu terdapat sejumlah tiga belas rukun solat yang perlu disempurnakan dengan tertib, di samping sunat ab'adh dan sunat hai-ah yang lain. Tuntutan khusyuk (fokus, beri tumpuan) dan tukmakninah (teratur) sangat diberi perhatian. Sesungguhnya solat ialah perjalanan kerohanian yang begitu istimewa, tanda hubungan makhluk dengan Pencipta. Solat secara berjemaah bertaraf fardu kifayah (mazhab Syafie) untuk kaum lelaki. Solat Jumaat menjadi perhimpunan mingguan di masjid.

Solat ialah rukun Islam yang kedua. Tiada Seorang Muslim pun boleh mengecualikan diri, kecuali wanita yang uzur (haid dan nifas). Jika terlantar sekalipun, dengan isyarat mata pun masih difardukan. Begitu juga musafir yang diberi rukhsah (keringanan) untuk solat jamak dan qasar.

Kewajipan berwuduk bererti bahawa umat perlu sedaya upaya menyediakan bekalan air yang mencukupi. Dalam konteks sistem perumahan dan bangunan moden, reka bentuk kejuruteraan sumber air perlu diuruskan terlebih dahulu. Seseorang jurutera sumber air perlu menjalani proses pengajian di universiti sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun. Selain jurutera, sekumpulan pakar pengurusan, kewangan, dan teknikal yang lain turut diperlukan.

Pakaian dalam solat pula bererti wujud keperluan penawaran fabrik dan tekstil yang berkaitan. Begitu juga dengan pembinaan masjid moden, terutama di lokasi penduduk berkepadatan tinggi. Hal demikian bermakna bahawa pakar perancangan bandar dan wilayah mesti memiliki kepekaan yang tinggi terhadap sistem lalu lintas dan kawasan letak kereta yang dapat menampung kedatangan jemaah dalam bilangan yang besar.

Secara keseluruhannya, solat bukan sahaja menjadi urusan individu dan sekumpulan penduduk sesuatu kariah, bahkan membabitkan aspek dasar, kepakaran dan perancangan dalam konteks makro. Namun, pada akhirnya solat tetap bermatlamatkan pencapaian Redha Ilahi.

Thursday, July 16, 2009

MOTIVASI : ANTARA KEPERLUAN DAN RETORIK (MOTIVATION: NEEDS AND CHALLENGES)

Dari segi asal usul istilah (etimologi), motivasi berasal daripada perkataan motive yang bererti tujuan (melakukan sesuatu). Maka, seseorang yang bermotivasi bererti mempunyai tujuan dalam tindakannya. Justeru murid sekolah dan pelajar selalu diuar-uarkan dengan motivasi. video

Wednesday, July 15, 2009

KOKURIKULUM TINGKATAN ENAM: PENGAKAP KELANA (SIXTH FORM'S SCOUT OF ST MICHAEL'S INSTITUTION)





Aktiviti kokurikulum untuk pelajar tingkatan enam menjurus ke arah pemupukan kepimpinan dan elemen perkhidmatan. Pelajar didedahkan dengan amalan kepimpinan yang berasaskan sumber autentik. Pada akhirnya, pelajar tingkatan enam yang menjalani aktiviti kokurikulum yang dirancang begitu rupa dapat menggilap bakat kepimpinan sebagai bekal kehidupan hari muka.





Sejumlah 23 orang pelajar tingkatan enam rendah SMK St Michael, Ipoh telah mendaftar sebagai anggota pengakap. Pasukan ini diasingkan daripada pengakap tingkatan 1 - 3 : Pengakap Muda; tingkatan 4 - 5: Pengakap Remaja. Pengakap tingkatan enam disasarkan untuk mencapai tahap pengakap kelana, iaitu pemimpin pelapis pengakap. Pasukan ini dikenali sebagai Pengakap Kelana 02 Kinta (Rover Scout).



Anggota pengakap tingkatan enam diwajibkan menyertai kem Virgil selama 3 hari 2 malam bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai pengakap kelana. Dari segi pemarkahan kokurikulum, perkhemahan ini diambil kira sebagai penglibatan peringkat kebangsaan, yang dianjurkan oleh badan pengakap peringkat negeri. Antara pengisian program perkhemahan ialah aktiviti lasak, kepengakapan dan ikhtiar hidup.

Pengakap kelana yang berkebolehan boleh mengikuti kursus manik kayu untuk meningkatkan pencapaian menjadi pemimpin. Pengakap yang mencapai tahap pemimpin sentiasa mempamerkan disiplin dan daya kepimpinan yang jitu. Mereka akan mematuhi segala etika dan ikrar pengakap.



Aktiviti harian hari ini menumpukan kepada asas ikatan dan simpulan. Anggota pengakap tingkatan enam SMI didedahkan dengan simpul buku sila, simpul manuk, simpul geti, tindih kasih, simpul lilit dan simpul belit. Sebagai pemimpin, anggota pengakap dikehendaki menulis matlamat dan objektif aktiviti ikatan dan simpulan. Maka, kemahiran asas kepengakapan digabungkan dengan ciri-ciri kepimpinan umum bagi melengkapkan pelajar prauniversiti dengan persediaan akademik, kerjaya dan kesukarelaan yang bakal diceburi selepas tamat pengajian kelak.



Matlamat aktiviti yang ditetapkan ialah ke arah memperoleh lencana keahlian. Sebanyak tiga objektif telah digariskan iaitu (i) menamakan enam jenis ikatan dan simpulan; (ii) menyenaraikan kegunaan ikatan dan simpulan, dan (iii) menyempurnakan proses ikatan dan simpulan untuk kegunaan gajet pengakap. Bagi menilai keberkesanan aktiviti, anggota bakal menjalani ujian ikatan dan simpulan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pada amnya, aktiviti yang dijalankan selama hampir sejam setengah itu telah mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan. Diharapkan bahawa segala pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dapat digunakan untuk perkhemahan dan ujian lencana, dan manik kayu. Insya-Allah.

Nota: Perjumpaan 1 (1 Julai) - Mesyuarat Pemilihan Jawatankuasa
Perjumpaan 2 (8 Julai) - Taklimat Organisasi

Monday, July 13, 2009

PROMO DRAMA & PANCARAGAM (MUST READ: NEXT POSTINGS)

PANCARAGAM SMI BAKAL BERAKSI PADA PERINGKAT AKHIR NEGERI PERAK
( MICHAELIAN MILITARY BAND AT STATE'S FINAL )

Butiran / Detail :

Tarikh : 24 Julai 2009 ( Jumaat, malam Sabtu )

Tempat : Stadium Perak

Masa : mulai 8.00 malam

Turut Bertanding: Sam Tet; SMJK San Min, Teluk Intan; Nan Hwa Setiawan;
SMK Ayer Tawar, dan satu lagi wakil Manjung.



[2] PEMENTASAN DRAMA 2009



klik gambar untuk paparan penuh

( click photo to enlarge )

Saturday, July 11, 2009

RODA KERTAS DI SMK ST MICHAEL, IPOH (OLD NEWSPAPER'S WHEEL AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)



Sebelum slot latihan dalam perkhidmatan (Ladap) siri 4, sesi penggambaran majalah dijalankan. Foto penuh hak eksklusif majalah.



simulasi roda kertas




Sekumpulan pemudah cara dari Kolej Universiti Sunway berjaya menimbulkan suasana "kecoh" dalam kalangan guru SMI. Walaupun slot aktiviti simulasi dan kuliah yang dijalankan berupa ulangan kepada sebahagian besar guru, mereka tetap "sporting" dan memberi sokongan. Malah, terdapat guru yang biasa diundang sebagai master trainer untuk latihan kerja berkumpulan oleh agensi utama kerajaan. Namun, mereka juga mempamerkan sikap profesional.



Seseorang profesional bukan sahaja perlu meningkatkan input pengetahuan, kemahiran, dan sikap dalam bidang kerjaya, bahkan membuat refleksi dan penambahbaikan dalam amalan sedia ada. Tidak mengapa untuk melakukan semula perkara-perkara asas dan kecil. Sekelumit perasaan mengkagumi diri sendiri sudah dikira bahaya. Para profesional harus sanggup menjadikan orang lain, sama ada bertaraf amatur atau pakar, menjadi cermin yang memantulkan semula imej sebenar mereka.



Dengan melakukan simulasi berkumpulan, sejumlah perbezaan perlu dicantumkan. Pada umumnya, guru SMI menunjukkan semangat kerja berpasukan yang cukup tinggi. Mereka bertumpu kepada kaedah persaingan yang sihat antara kumpulan. Bibit-bibit kerjasama, saling memberi galakan dan meraikan kemenangan rakan dengan jelas terserlah.



Diharapkan bahawa pada masa depan, perancangan tentang modus operandi kerja berpasukan diperincikan supaya konsep berkenaan tidak tinggal sebagai cakap-cakap yang tidak serius. Kerja berpasukan perlu dijadikan dasar kerja di sekolah, dan diinstitusikan secara rasmi. Guru sudah lama melaksanakannya, tetapi tiada data atau petunjuk yang boleh dijadikan sandaran!





sesi perbincangan



adakah anda tergolong dalam kelompok ini?

Thursday, July 9, 2009

PENGENALAN EKONOMI - VERSI BAHASA INGGERIS (INTRODUCTION TO ECONOMICS)

1 Economics is the study of how society decides the allocation of resources among
alternative uses and the distribution of the society’s output among individuals
and groups in the most efficient method.

2 The central economic problem is how to reconcile the conflict between unlimited
wants and limited resources.

3 Any resource for which we have to pay is scarce.
(not available in unlimited quantities at a zero price)

4 The economic resources are labour, capital, land, and entrepreneur that is
required to produce goods and services.
(those resources are called factors of production, and paid by wages, interest,
rent, and profit respectively)

5 The problem of scarce lead to the concept of choice.
The choice is subjected to the ability to pay. So, the more choice of one thing
means less choice for something else.

6 The forgone alternatives of goods and services that is implicated by choice is
namely opportunity cost.
The central concerned of opportunity cost is the value of the forgone
alternatives.

7 Scarce, choice, and opportunity cost are the problems of economics.
Further discussions should be done by a very basic economic’s tool analysis,
i.e. the production possibility frontier curve.

8 One must distinguish between the problems of economics and the basic problems of
economics. The basic problems of economics emphasized society’s problem of
choosing what gets produced, how to produce, and for whom to produce.

9 Apart from the problems, and the basic problems, the economics study move to
discuss economic systems.
Four major economic systems are:
i- (free) market or laisezz faire,
ii- centralized planning or socialist;
iii – mix (between market with planning); and
iv – Islamic.

10 The free market system rely on price mechanism.
The so-called invisible hand is actually observed the react to the state of
demand and supply. Thus, such a maxim that the consumer is king reveals only
half the truth. The other half is souvereignty to producers. The consumer’s
action is about to maximize satisfaction (the theory of utility), and the
producer to maximize profit.

11 The centralized planning system ia about the fully government control of the
economic actions, namely consumption, production, and distribution. The main
idea is the government’s role to maximize welfare of the society.

12 The mix economic is the combination of both free market and centralized
planning.

13 Islamic economic system stressed on the teaching of al-Qur’an and al-Sunnah
to guide economic activities. There is no compartmentalization of the so-called
positive economic and normative economic.
So, the idea of Islamic thought is gradually installed to the contemporary
economics model, theory, and law.

14 Microeconomics concern individual unit
behavior, while macroeconomics concern
with aggregate (whole).

Wednesday, July 8, 2009

PEMANSUHAN PPSMI: LANGKAH MEMPERKASA SEMULA BAHASA MELAYU (NATIONAL LANGUAGE REGAIN MOMENTUM)

Pengumuman kerajaan untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai medium pengantar persekolahan, khususnya untuk mata pelajaran sains dan matematik ialah satu langkah yang berani. Seperti biasa, reaksi yang berbelah bahagi daripada pelbagai pihak yang berkepentingan sudah dijangkakan. Namun, satu perkara yang pasti ialah bahawa sesuai dengan status sebuah negara merdeka, agak janggal jika bahasa kebangsaan tidak diberi tempat yang sewajarnya dalam sistem pendidikan, khususnya di peringkat sekolah.

Di United Kingdom sendiri, Wales dan Scotland enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sistem persekolahan mereka. Walhal, Wales dan Scotland berkongsi parlimen dan ratu Inggeris yang sama dengan England. Walaupun diakui bahawa bahasa Inggeris sangat dominan, Wales dan Scotland tidak rela bahasa Welsh dan Scottish mengalami nasib yang sama dengan bahasa Sanskrit yang pernah gah sebagai bahasa cendekia dan istana suatu ketika dahulu.

Negara maju yang lain seperti Jepun, Jerman, Peranchis, Itali, dan Sepanyol masih mengekalkan bahasa ibunda dalam segala urusan tanpa berasa rendah diri. Mungkin status mereka sebagai bekas penakluk dan penjajah menjadikan mereka tidak hairan, mahupun kagum dengan martabat bahasa Inggeris. Sebaliknya negara bekas jajahan seperti India, Filipina, dan Pakistan yang meletakkan kedudukan bahasa Inggeris begitu tinggi tidak pula mencapai tahap kemajuan yang bersifat ekspres!

Tentulah tidak wajar untuk kita mengambil sikap terlalu taksub dengan bahasa sendiri hingga gagal memanfaatkan khazanah ilmu dalam bahasa-bahasa lain. Kita kena akur bahawa teknologi Amerika Syarikat mendahului kita 50 tahun ke hadapan, dan barangkali semakin jauh. Begitu juga dengan teknologi automatif (Proton dan Produa) kita yang masih di peringkat bertatih jika dibandingkan dengan Jepun (Honda dan Toyota), Jerman (BMW dan Mercedes), atau Sweden (Volvo) yang berlari kencang.

Nasionalisme bahasa secara melulu tidak membawa kita ke mana-mana. Kita boleh sahaja menghantar pelajar pintar cerdas kita ke serata dunia, tidak terhad kepada UK dan US sahaja, untuk mempelajari sistem sains dan teknologi mereka. Di samping itu, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R & D) diberikan keutamaan dan dibudayakan sejak bangku persekolahan supaya elemen inovasi dan pembaharuan dapat mengeluarkan masyarakat kita daripada status pengguna kepada status pereka cipta dan pengeluar yang disegani di peringkat antarabangsa.

Syarat komunikasi dalam bahasa Inggeris hanyalah alasan para majikan (baca: kapitalis) untuk mengenepikan peluang sesuatu kelompok menyandang kedudukan penting dalam organisasi mereka. Sebenarnya, awal-awal lagi mereka sudah mempunyai calon yang dapat menjaga kelangsungan operasi mereka. Bagi mengubah senario ini sudah tentu memakan masa.

Pada zaman kegemilangan empayar Melaka, bahasa Melayu menikmati status lingua franca, iaitu bahasa serantau yang digunakan untuk urusan perdagangan dan diplomatik. Hal itu bermakna bahawa peniaga dan pelabur asing yang berhasrat untuk menembusi pasaran alam Melayu mesti terlebih dahulu mengenali budaya dan citra masyarakat Melayu menerusi bahasa. Mereka tiada pilihan lain.

Langkah mengembalikan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik bukanlah langkah berundur. Selama enam tahun PPSMI telah diberi peluang bertapak. Tanpa menafikan kesungguhan dan komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan dasar berkenaan, dan banyak juga catatan kejayaan PPSMI, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, wahana perpaduan dan jati diri bangsa sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara dan akta bahasa kebangsaan, tidak sayugia dipinggirkan. Maka, kepentingan kenegaraan inilah yang mengatasi pertimbangan lain.

Bahasa Inggeris tidak pernah dikesampingkan dalam sistem pendidikan negara kita. Kerajaan telah berjanji untuk menambah bilangan guru bahasa Inggeris, dan mewujudkan jawatan guru pembantu untuk kelas yang mempunyai bilangan murid 35 orang ke atas. Sebanyak 14,000 calon guru bahasa Inggeris akan akan diambil bagi keperluan itu. Bilangan waktu kelas bahasa Inggeris juga bakal ditambah. Modul dan pedagogi bahasa Inggeris akan diberi suntikan transformasi.

Kini, pejuang dan pencinta bahasa Melayu boleh menarik nafas lega. Namun, apakah jaminan mereka untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu terus dapat bertahan sebagai bahasa ilmu yang dihormati dan disegani sampai bila-bila? Zaman bekerja dengan bijak dan bekerja keras sudah kembali. Laungan dan retorik simpanlah buat sementara...

Friday, July 3, 2009

PELAJAR PERANCHIS DI SMI (EXCHANGE STUDENT AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)



Ipoh, Jumaat (3 Julai 2009)

Romain Maillard. Pelajar yang berasal dari Bordeaux, Peranchis mula menyertai kelas LA3 di SMK St Michael, Ipoh setelah hampir enam bulan ditempatkan di SMK Simpang Pulai. Romain menguasai serba sedikit pertuturan bahasa Melayu. Katanya, setakat membeli barang di kedai tiada masalah.

Romain juga sedar bahawa tempat asalnya disebut sebagai "bodo", tetapi bukan sama dengan "bodoh". Dia juga cepat menyesuaikan diri dengan rakan sekelas baharunya di sini. Romain akan berada di SMI sehingga hujung tahun 2009.

Romain sebenarnya pelajar jurusan sains dan berharap dapat mengikuti pengajian perubatan di negara kelahirannya. Namun, dia masuk ke jurusan kemanusiaan di SMI untuk lihat-lihat sahaja. Penulis blog mendapati bahawa bahasa Inggeris yang dituturkannya bukan Queen's English, sebaliknya macam kita, manglish!

Romain teruja dengan musim durian sekarang dan menyukainya. Selain itu, dia menggemari roti canai dan sate. Romain boleh dihubungi menerusi laman sosial facebook.

Semasa kelas ekonomi, kadang kala dia memberi perhatian, tetapi kadang kala mengeluarkan bahan bacaan yang lain. Sebab itu, apabila ada masa terluang, penulis blog akan menghampirinya untuk berbual ringkas, memberi motivasi dan berkongsi maklumat.

Romain bukanlah pelajar asing pertama di SMI, dan bukan juga pelajar asing pertama bagi penulis blog. Ketika bertugas di SMK Seri Perak, Teluk Intan (penulis blog juga alumni di situ), terdapat pelajar dari Australia, anak pemilik restauran terkenal di Adelaide, jika tidak silap ingatan. Ketika ditanya jika orang Malaysia menyebut subtle tanpa huruf b yang disenyapkan (silent sound), dia berpendapat bahawa hal itu tidak menimbulkan masalah, sebab variasi pertuturan atau slanga adalah perkara biasa di serata dunia. Cuma yang pasti, orang yang menyebut subtle dengan huruf b yang tidak disenyapkan menunjukkan bahawa individu berkenaan bukanlah penutur jati bahasa Inggeris!

Program pertukaran pelajar dan pegawai antara negara membawa implikasi tersendiri. Pelajar terbabit dapat mempelajari budaya negara asing, di samping membuat perbandingan dari segi aspek teknikal dan tatacara kerja. Pelajar negara maju dari Barat seperti Romain dapat melihat sendiri realiti negara kita yang baru bebas daripada belenggu penjajahan 52 tahun yang silam. Mereka juga dapat menilai imej umat Islam Malaysia berbanding dengan gambaran yang sengaja diada-adakan oleh media negara mereka.

Begitulah harapan kita hendaknya...