Sebelum PMR berpusat menjadi sejarah, pihak sekolah tetap akan berhempas pulas mencari jalan supaya kohort terakhir sistem berkenaan pada tahun 2013 bakal mencatat keputusan yang paling membanggakan. Biarlah tirai sejarah dilabuh dengan berbekalkan kenangan yang paling manis. Lembaran baharu pencapaian pembelajaran dan kurikulum sekolah seterusnya sudah berdasarkan keperluan semasa dan jangka panjang setelah meneliti segala kelebihan dan kekurangan sistem pengukuran dan penilaian pembelajaran yang sedia ada.

Kemerosotan bilangan calon yang memperoleh semua A boleh dipandang dari banyak sudut. Kalau di sekolah, perkara yang paling diberi perhatian ialah pencapaian calon yang dikategorikan sebagai near miss, contohnya 7A, 1B atau 6A, 1B. Julat markah bagi setiap gred bagaimanapun hanya diketahui oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan berstatus sulit. Maka, tidak dapat dipastikan dengan tepat sama ada B yang diperoleh oleh calon near miss itu hampir dengan gred A atau sebaliknya.

Walaupun demikian, analisis calon near miss dapat memberi petunjuk kepada jawatankuasa kurikulum sekolah tentang pelaksanaan program panitia mata pelajaran yang terbabit. Maka, penolong kanan (pentadbiran dan kurikulum), ketua bidang dan ketua panitia yang termasuk dalam kategori near miss perlu menyediakan laporan berbentuk post mortem dengan justifikasi data dan maklumat yang berkaitan. Pengetua juga akan membuat penilaian kendiri terhadap gaya kepimpinan yang diamalkan sebagai ketua organisasi.

Kepada calon PMR yang cemerlang, impian kalian tercapai sudah. Kini, langkah seterusnya ialah melangkah ke dunia pembelajaran menengah atas yang lebih mencabar. Sama ada belajar di sekolah harian, atau mencuba nasib ke sekolah berasrama penuh dan MRSM, semua kemudahan akses pembelajaran boleh dikatakan sebagai setara. Cuma, murid perlu pandai membawa diri dalam persekitaran yang berbeza.

Kepada calon PMR yang mencatat pencapaian biasa-biasa atau tidak begitu memberangsangkan, perjuangan masih belum berakhir. Pepatah Jepun mengatakan jatuh tujuh kali, bangun lapan kali. Jepun telah bangkit daripada kekalahan Perang Dunia Kedua, lalu muncul sebagai gergasi ekonomi dan teknologi yang terhebat di dunia.

Selain aplikasi atas talian untuk permohonan ke asrama penuh atau MRSM, terdapat pelawaan memasuki kolej vokasional untuk pengajian diploma empat tahun. Jika masih belum jelas, murid perlu merujuk kepada guru kaunseling di sekolah masing-masing atau membuat carian laman sesawang yang berkaitan. Tindakan mesti dibuat dengan cepat kerana hari persekolahan tingkatan 4 sudah di ambang, iaitu tidak sampai dua minggu sahaja lagi...