SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, July 31, 2010

TEKS LAPORAN GURU BERTUGAS MINGGUAN (THE REPORT SPEECH OF DUTY TEACHER)

Terima kasih pengacara majlis

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi, selamat sejahtera

Yang Berusaha Tuan Pengetua, Penolong-penolong Kanan, guru kanan, rakan guru, pemimpin pelajar dan Michaelian yang dikasihi sekalian.

Selain tugas rutin, tiga orang guru bertugas pada minggu ke-27 yang lalu, memberi fokus kepada sumbangan murid dan pelajar SMK St Michael, Ipoh terhadap persekitaran pembelajaran yang selesa dan terbaik. Dalam ilmu pendidikan, persekitaran pembelajaran yang sedemikian sifatnya juga disebut sebagai iklim sekolah yang positif, atau budaya sekolah. Iklim sekolah dapat ditentukan menerusi sistem rasa, iaitu apa-apa yang kita rasai setiap detik menjejakkan kaki di sekolah.

Sistem rasa pula bergantung kepada penilaian pancaindera yang kita miliki, terutama sekali terhadap apa-apa yang kita lihat dan apa-apa yang kita dengar. Sebagai contoh, pelawat atau pengunjung luar SMI datang, lalu mengatakan persekitaran pembelajaran di SMI sangat kondusif. Keadaan itu dapat dirasakan.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada majoriti atau sebahagian besar Michaelian yang telah menyumbang terhadap persekitaran pembelajaran yang selesa dan terbaik. Berdasarkan maklum balas guru, serta pemerhatian guru bertugas sepanjang minggu lalu, proses pembelajaran telah berjalan lancar. Tingkah laku melencong juga didapati tidak lagi dominan dalam kalangan pelajar.

Marilah kita sokong segala kebaikan yang pelajar lakukan walaupun mungkin dalam skala yang kecil sahaja. Misalnya pada minggu lepas banyak program peningkatan kecemerlangan dan prestasi diadakan. Saya berasa kagum dengan kesabaran dan perhatian yang pelajar  SMI tunjukkan terhadap majlis yang membabitkan penceramah pakar yang dijemput khas. Termasuk juga program jati diri Muslim pada hari Jumaat kelihatannya sangat berjaya.

Rasa kesegeraan (urgency) juga dapat dilihat dalam kalangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam. Sebahagian besar pelajar tingkatan 3, 5 dan 6 Atas saya lihat asyik memegang buku, pen dan kalkulator. Mereka sudah tiada masa melayan gosip yang berlegar di kawasan kantin atau facebook.

Kes salah laku seperti menghilangkan diri daripada kelas, atau ingkar arahan guru juga tidak dominan. Jika kita fokus kepada kelompok rujukan yang baik-baik ini (normative reference group), tidak semestinya tingkah laku skema, iaitu label yang positif sebenarnya, lambat-laun iklim sekolah yang menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang selesa dan terbaik akan dipindahkan dalam bentuk pencapaian kecemerlangan di SMI. Perayaan 100 tahun SMI pada tahun 2012 kelak akan menjadi benar-benar istimewa.

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua warga SMI, teristimewa Michaelian yang hebat-hebat belaka. Teruskan tradisi kecemerlangan SMI. Buktikan kepada diri sendiri, orang lain dan dunia luar, SMI sentiasa boleh diharap dan boleh dipercayai.

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan puasa yang bakal menjengah seminggu lagi. Sibukkan diri dengan amal kebaikan dan kebajikan. Mudah-mudahan Allah memberkati kita, Insya-Allah.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat belajar...

PROGRAM JATI DIRI MUSLIM SMI (THE IDENTITY OF MUSLIM STUDENTS)

Ipoh, Jumaat: 30 Julai 2010 / 18 Syaaban

Seseorang Muslim wajib mempertahankan aqidah, syariat dan akhlak Islam sepanjang kehidupannya dalam sebarang persekitaran dan zaman. Cabarannya bukan sedikit. Sebab itulah tuntutan jemaah (organisasi) dan syura (proses membuat keputusan secara kumpulan) diberi penekanan utama.
Menyedari hakikat berkenaan, Panitia Pendidikan Islam SMK St Michael, Ipoh (SMI) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam telah menganjurkan "Program Jati Diri Muslim 2010" bertempat di Dewan Besar SMI. Terdapat kira-kira 25% orang pelajar Islam daripada  keseluruhan enrolmen pelajar SMI yang berjumlah 2111 orang. Input ilmu pengetahuan dan motivasi kepada mereka umpama tonik tulen tanpa bahan terlarang, bertujuan mengekalkan momentum kecemerlangan pelajar Islam.
Majlis dimulai dengan bacaan surah Yasin pimpinan Tuan Haji Mokhtar, Imam Masjid Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Kerjasama pelajar amat memuaskan. Mereka mematuhi adab dan tertib dalam bacaan al-Qur'an.
Slot ceramah pertama diisi oleh Tuan Haji Mokhtar juga dengan tumpuan terhadap tema jati diri Muslim. Sebuah cermah ialah lontaran idea yang diselang-seli dengan contoh dunia sebenar. Terpulang kepada pelajar Islam SMI untuk memindahkan idea dan saranan Haji Mokhtar dalam kerangka kecemerlangan yang dihajati.
Bilangan pelajar perempuan Islam di SMI mungkin kecil bilangannya. Namun, mereka ialah srikandi yang menjadi penanda aras kumpulan muslimah terpelajar suatu hari kelak. Peringatan tentang adab pergaulan dalam persekitaran yang begitu mencabar, serta kod tingkat laku wanita solehah perlu sentiasa dilaksanakan.

Majlis berhenti rehat dengan kenduri mini. Menu nasi beriyani, cream puff dan tembikai memang membuka selera peserta program. Tidak kisahlah beratur panjang asalkan dapat menikmati hidangan rezeki yang enak itu.
Slot ketiga bersambung pada pukul 11 pagi. Kali ini ceramah motivasi dikendalikan oleh seorang kaunselor berpengalaman dari Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, iaitu Tuan Haji Abdul Jalil. Program berakhir kira-kira pukul 12.15 tengah hari...

Friday, July 30, 2010

PK KOKU ST MICHAEL NAIK PANGKAT (PROMOTION OF SMI CO-CURICULLAR HEAD)

Bulan Ogos menyaksikan eksesais pertukaran dan naik pangkat bagi mengisi jawatan pentadbiran sekolah daerah Kinta Utara. Terdapat pertukaran setara ke sekolah yang lebih senior, atau pengisian jawatan naik pangkat secara hakiki. Kriteria pengalaman dan pendedahan pengurusan sekolah telah diberi merit paling penting.
Turut terlibat dengan proses naik pangkat ialah Encik Kamaruzaman bin Ahmad, Penolong Kanan Kokurikulum, SMK St Michael, Ipoh (SMI). Beliau yang baharu setahun bertugas di SMI kini ditukarkan ke SMK Anglo Chinese (ACS), bersebelahan Medan Kidd yang pernah menjadi terminal bas ekspres di Ipoh. Di ACS, beliau akan menyandang jawatan Penolong Kanan Petang.

Encik Kamaruzaman, pegawai perkhidmatan pendidikan siiswazah gred DG 48, memiliki kelayakan perguruan dalam opsyen Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di maktab perguruan dan juga ijazah pertama dari Universiti Putra Malaysia. Beliau juga memiliki ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan (MBA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau yang tidak gemar menaiki pesawat bagaimanapun sempat menjalani kursus pendek selama 3 bulan di Nottingham, England.

Sebelum bertugas di SMI, Encik Kamaruzaman pernah menduduki kerusi Timbalan PPD Kinta (Bahagian Hal Ehwal Murid) dan di Jabatan Pelajaran Perak sebagai Penolong Pengarah. Selain itu, beliau telah bertugas di SMK Yuk Choy sebagai guru kanan bahasa. Semasa masih di bangku sekolah, beliau sekelas dengan pengetua SMI sekarang, Encik Phoon Chong Chee di SMK Clifford Kuala Kangsar.

Encik Kamaruzaman seorang yang peramah dan tidak kekok bergaul dengan semua warga SMI kendatipun baharu sebentar bersua muka. Sebagai seorang guru berpengalaman, walaupun dalam nada gurauan, kata-kata beliau penuh madah dan falsafah. Beliau bijak menggunakan kemahiran mendengar bagi menangkap tema percakapan seseorang.

Encik Kamaruzaman berumah tangga dengan seorang guru bahasa Melayu keturunan Cina, seorang siswazah Universiti Malaya. Pasangan bahagia itu dikurniai 3 orang puteri yang kesemuanya menerima pendidikan tinggi. Kepada Encik Kamaruzaman, seluruh warga SMI mengucapkan selamat maju jaya...

Wednesday, July 28, 2010

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG JADI BUALAN (DEBATE ON EXCELLENCE SERVICE AWARD CONTINUE)

Terlebih dahulu syabas dan tahniah buat penerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) bagi tahun 2009. Hari ini, Khamis 29 Julai 2010 bersamaan 17 Syaaban 1431 guru-guru penerima APC daerah Kinta Utara menghadiri majlis pengiktirafan berkenaan di Dewan Utama Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), bersebelahan Politeknik Ungku Omar. Selain sijil, penerima APC akan dihadiahkan wang tunai berjumlah RM1,000 seorang.

Kepada penerima APC yang bertuah buat pertama kalinya tentulah berasa terharu kerana sumbangan mereka dalam perkhidmatan selama ini akhirnya mendapat perhatian ketua jabatan masing-masing. Sekurang-kurangnya dalam tempoh perkhidmatan sebagai penjawat awam, penganugerahan APC walaupun sekali, membawa erti bahawa penerimanya telah berjaya melepasi tahap biasa-biasa tanpa impak yang signifikan terhadap organisasi. Seterusnya penerima APC perlu membuktikan bahawa anugerah yang diterima memang wajar dengan memberikan sumbangan yang lebih berkesan tahun demi tahun.

APC yang menjadi sebahagian komponen Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah penambahbaikan kepada anugerah pergerakan gaji melintang dan menegak dalam sistem saraan baru (SSB) sebelumnya. Penilai utama di sekolah ialah Penolong Kanan (Pentadbiran) yang akan memberikan markah kepada guru. Pengetua sebagai penilai kedua kebiasaannya hanya boleh menokok dan mengurangi penilaian penolong kanan sebanyak 5 markah.

SSB telah dikritik dengan teruk hingga pernah diungkapkan sebagai "saya sayang bos" dalam kalangan mereka yang tidak berpuas hati. Semasa penulis blog (PB) bertugas di SM Teknik Persiaran Brash, hampir semua guru hanya mendapat penilaian mendatar titik walaupun pencapaian peperiksaan awam SPM telah menepati sasaran yang dikehendaki. Sebaliknya sebuah sekolah teknik lagi mencatatkan 27 orang penerima anugerah pergerakan gaji melintang, manakala 14 orang lagi pergerakan gaji menegak walaupun pencapaian pelajar di sana tidak diketahui status kecemerlangannya. 

Kontroversi yang tercetus telah menyebabkan kaedah pergerakan gaji sedemikian ditukar kepada kuota 5%. Namun, penambahbaikan yang dilakukan masih mendapat bantahan justeru membabitkan pergerakan gaji. Maka, SSM diperkenalkan dengan hanya memberikan APC kepada guru dan kakitangan yang diperakukan oleh ketua jabatan.

Sistem penilaian secanggih manapun tidak akan memuaskan hati semua pihak. Namun, instrumen penilaian prestasi masih diperlukan untuk tujuan permohonan naik pangkat, atau memohon kursus ijazah tinggi. Selain itu, penilaian prestasi tahunan oleh ketua jabatan akan menentukan jenis pergerakan gaji yang diterima, atau tidak diterima.

Seperti biasa pelbagai andaian akan dibuat terhadap sistem APC. Apabila keputusan diketahui, gosip akan berlegar di sana sini tentang si A yang menerima APC, dan tentang si B yang kempunan buat kesekian kalinya. Maknanya, kesahan dan kebolehpercayaan instrumen APC yang ditadbirkan oleh individu yang diberi amanah telah dipertikaikan.

Dalam kata lain, perhatian yang lebih besar diberi kepada proses pentadbiran instrumen daripada item penilaian dalam instrumen itu sendiri. Maka, timbullah cerita-cerita tentang "main wayang" dan "kipas bos" semula. Apatah lagi jika terdapat guru yang menerima APC buat kali kedua dan seterusnya.

Buat menghibur hati, anggaplah bukan rezeki. Tahun ini mungkin orang tidak nampak, atau buat-buat tidak nampak. Mana tahu tahun hadapan lain pula ceritanya...

PENTADBIRAN INSTRUMEN PENYELIDIKAN (ADMINISTRATION OF RESEARCH INSTRUMENT)

Seseorang penyelidik akan melakukan kesilapan jika menyangka bahawa penyediaan instrumen yang baik sahaja sudah boleh menjamin kejayaan proses mengutip data bagi menjawab soalan penyelidikan yang ditetapkan. Instrumen terbaik sekalipun hanya menghasilkan data yang tidak berguna jika ditadbirkan secara salah, atau ditadbirkan dalam situasi yang tidak memberangsangkan seperti persekitaran yang bising, atau keadaan diri sampel yang penat atau sambil lewa. Selain itu, jika sampel responden yang dipilih tidak menyukai si penyelidik, atau penyelidik tidak dialu-alukan, maka proses pentadbiran instrumen akan terjejas.

Maka, antara pertimbangan yang perlu dibuat sebelum mentadbir instrumen penyelidikan, beberapa perkara perlu diambil kira. Antara lain ialah:

1   Lokasi pentadbiran

2   Waktu melaksanakan pentadbiran

3   Kekerapan melaksanakan pentadbiran

Dalam proses memuktamadkan perkara yang dinyatakan di atas, penyelidik hendaklah berpegang kepada prinsip, iaitu apa-apa sahaja instrumen yang ditadbirkan mestilah membolehkan kutipan data dilakukan. Data yang dikutip pula boleh digunakan untuk menjawab soalan penyelidikan yang ditetapkan. Akhirnya, penyelidik dapat membuat satu kesimpulan yang tepat dan saranan yang berpandukan data emperik terhadap populasi yang diselidiki.

Penyelidik hendaklah seboleh mungkin memastikan bahawa sampel responden akan memberi tumpuan terhadap instrumen yang ditadbirkan. Jangan biarkan maklum balas responden dipengaruhi oleh penampilan diri penyelidik hingga mengatasi item-item instrumen yang berada di tangan mereka. Tunjukkan bahawa kerjasama sampel responden sangat dihargai dan penting.

Dalam kes pentadbiran instrumen ke atas semua sampel responden yang dikumpulkan secara serentak pada masa masa dan tempat yang sama, penyelidik hendaklah memastikan bahawa tiada pakatan maklum balas dilakukan. Penyelidik perlu memohon supaya maklum balas terhadap semua item dilakukan secara individu semata-mata. Jika keadaan sebaliknya berlaku, kesahan (validity) instrumen akan menjadi pudar.


Panduan Aktiviti

SMK ST MICHAEL, IPOH
PENYELIDIKAN TINGKATAN ENAM
PENTADBIRAN INSTRUMEN SOAL SELIDIK


Tarikh:  3 Ogos 2010 / 21 Syaaban 1431  (Selasa)
Masa  :  1.20 – 2.40 petang
Tempat:   Kelas masing-masing


Bil / Aktiviti

Masa
Catatan
1    Ambil kehadiran

1.20
Isi dalam senarai nama dalam fail
2    Semakan instrumen soal selidik
       a)  Item soalan cukup:  15 – 20
       b)  Ruang pilihan jawapan jelas
       c)  Perlindungan identiti (anonymity) sampel responden dijamin
       c)  Salinan cukup:  minimum 25 set
       d)  Tatacara pentadbiran dan etika dipatuhi
             -  ingatkan penyelidik bahawa setiap set yang dikembalikan
                perlu dilabel dengan kod siri tertentu untuk analisis data
      e)  Ingatkan penyelidik bahawa hanya kaedah tinjauan soal
            selidik ditadbirkan kepada sejumlah sampel bukan rawak
            bertujuan, dan dilakukan serentak. Maka, kadar kembalian
            mestilah 100%.
       f)  Penyelidik yang masih belum menyediakan instrumen
            hendaklah berbuat demikian sekarang.  Pastikan bahawa
            proses prentadbiran soal selidik diselesaikan sebelum Isnin
            hadapan (9/8)

1.20
Semakan meja ke meja

Rujuk nota kuliah
3    Giliran pentadbiran ditetapkan:
       setiap pasangan penyelidik diberi masa 5 minit sahaja

1.25
terangkan tatacara mengedar set
soal selidik à kembalian 100%
4    Pentadbiran dimulakan (contoh 12 pasangan @ 5 minit)

1.30
Jika tidak sempat ditadbir, beri set soal selidik kepada 25 – 30 sampel responden; lengkapkan di rumah.
Kutip balik esok (4/8)

5    Ingatkan penyelidik bahawa semua jawapan sampel perlu
       dikekalkan seadanya, tanpa pindaan penyelidik

2.30

6    Maklumkan persediaan minggu hadapan: analisis data



7    Penyelidik digalakkan menyediakan taburan kekerapan jawapan
      sampel responden (data mentah) di rumah


Tunjukkan cara membina jadual kekerapan / frekuensi
////   =  5 kali

8    Analisis lengkap dalam aktiviti seterusnya (10.8.2010)
      Bawa semua set soal selidik dan data mentah minggu hadapan




©  azhar bin mohd rodzi, m.ed (distinction) (malaya)

bersambung...

PENGETAHUAN MORAL SMI MENUJU 100% (TOTAL SUCCESS IN MORAL EDUCATION)

Ipoh, Selasa: 27 Julai 2010 / 16 Syaaban 1431


berita selanjutnya kemudian...

Monday, July 26, 2010

GUNUNG DITARAH EKOSISTEM TERJEJAS (THE SENSE OF EQUILIBRIUM)

Gunung-ganang ialah pasak bumi. Kestabilan sesuatu kawasan geografi banyak dipengaruhi oleh kekukuhan struktur banjaran gunung yang melingkarinya. Gunung-ganang juga boleh dianggap sebagai penampan kelajuan angin, berbanding dengan kawasan tanah rata tanpa perlindungan.
Pakar kaji bumi (geologi) merupakan kumpulan yang paling berpengetahuan dari segi fungsi, lapisan tanah, sumber galian dan rupa bentuk fizikal gunung-ganang, serta pengaruhnya terhadap kehidupan manusia, flora dan fauna. Selain data penyelidikan sarjana geologi, penilaian impak alam sekitar terhadap projek yang membabitkan perubahan struktur gunung-ganang dilakukan oleh jabatan alam sekitar, serta pejabat tanah dan galian negeri. Walaupun demikan, keprihatinan orang awam terhadap proses hakisan dan penggondolan gunung-ganang seperti yang dapat dilihat dengan jelas di beberapa bahagian lebuh raya perlu diambil kira.
Proses membelah dua kawasan gunung-ganang untuk mereka bentuk sebuah lebuh raya yang lebih lurus mungkin tidak dapat dielakkan. Namun, beberapa kejadian tanah runtuh di pinggir lebuh raya utama negara mengundang resah kepada pengguna setiap kali melintasi kawasan yang memperlihat keratan rentas lereng gunung yang tidak kemas. Apatah lagi jika mereka melihat jaring atau litupan plastik berwarna biru menutup lereng-lereng yang bermasalah.
Pembangunan kawasan peranginan dan perumahan elit di kawasan tanah tinggi yang dikelilingi gunung-ganang juga telah lama didebatkan. Contohnya di tanah tinggi Cameron dan Genting. Begitu banyak kesan hakisan dan pencemaran telah didedahkan oleh media massa arus perdana.
Foto di atas menunjukkan aliran air sebuah lata antara Tapah dengan Gua Tempurung. Sudah tentu pemandangan seumpamanya sangat menakjubkan, serta merupakan magnet kepada pelancong domestik dan antarabangsa. Mungkin ada banyak lagi lata yang belum dimajukan, dan tidak boleh dimasuki dengan kenderaan awam dan kenderaan penumpang.

Kawalan terhadap pembinaan chalet, homestay, hotel, dan resort termasuk di tanah persendirian mesti dipantau dengan ketat. Tiada kompromi dan tawar-menawar terhadap pencerobohan kawasan pergunungan walaupun membabitkan individu berprofil tinggi. Alam sekitar ialah kitab terbuka tanda kebesaran Ilahi di muka bumi (AyatuLlah fil-kaun)...

Sunday, July 25, 2010

TEKS UCAPAN GURU BERTUGAS (THE SPEECH OF DUTY TEACHER)

Tarikh:     26 Julai 2010   / 14 Syaaban 1431  (Isnin)

Tempat:  Tapak perhimpunan mingguan

Masa  :    7.30 pagi


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Selamat pagi dan selamat sejahtera

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Encik Phoon Chong Chee,

Pengetua, SMK St Michael, Ipoh

Penolong-penolong Kanan, Guru-guru Kanan,

Pemimpin-pemimpin pelajar,

seterusnya murid dan pelajar SMK St Michael, Ipoh yang dikasihi sekalian.

Saya, Cikgu__________________________________ bersama-sama dengan Cikgu 

_____________________________ dan Cikgu ___________________________________ 

ialah guru bertugas sepanjang minggu ini, mulai dari 26 Julai hingga 30 Julai 2010; bersamaan 

14 Syaaban hingga 18 Syaaban 1431 Hijriyyah. Seperti biasa, pelajar boleh merujuk guru 

bertugas jika terdapat perkara yang perlu dibantu.


Sebagai guru bertugas, izinkan kami menyampaikan beberapa panduan yang boleh diambil 

ingatan supaya segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menjadi sebab utama kita

berada di sekolah ini  dapat berjalan lancar tanpa gangguan yang boleh menjejaskannya. 


Marilah kita membetulkan semula niat kita bermula pada saat kita berhimpun pada pagi ini 

bahawa kehadiran kita ke sekolah ialah untuk menggilap potensi dan fakulti yang ada dalam

diri masing-masing secara optimum. Maksudnya, murid dan pelajar hendaklah berfikiran besar

bahawa pengorbanan kecil yang bakal dilakukan sepanjang minggu ini pastinya menyumbang 

terhadap kejayaan diri sendiri dan rakan-rakan. Pengorbanan kecil yang dimaksudkan ialah 

kerjasama bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang selesa dan terbaik.


Persekitaran pembelajaran yang selesa dan terbaik ialah sikap menghormati ilmu dan proses

menuntut ilmu. Hormati guru, hormati kawan-kawan dan hormati diri sendiri supaya proses

pembelajaran di bilik darjah, dan juga di luar bilik darjah  (kegiatan koakademik dan

kokurikulum) berlangsung dengan aktif, menyeronokkan dan terkawal. Jagalah disiplin dan

sahsiah diri.


Satu lagi perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam proses belajar ialah somatik, iaitu

ruang pergerakan tubuh badan yang menyokong pembelajaran seperti susun atur kedudukan

dalam bilik darjah, kemasukan cahaya dan udara yang cukup. Selain itu, aspek somatik mesti

disokong oleh kebersihan dan keceriaan tempat belajar. Justeru, setiap orang murid dan

pelajar hendaklah sentiasa berpakat dalam memastikan bahawa tahap kebersihan dan

keceriaan bilik darjah masing-masing menggambarkan kepekaan yang tinggi terhadap amalan

kesihatan diri dan sekeliling.


Kesimpulannya, ketiga-tiga orang guru bertugas akan memberi fokus terhadap sumbangan 

murid dan pelajar SMK St Michael, Ipoh ke arah wujudnya persekitaran pembelajaran yang 

selesa dan terbaik. Saya bagi pihak guru bertugas minggu ini percaya kalian boleh

melakukannya. 


Sekian sahaja.

Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat belajar dan terima kasih.

Saturday, July 24, 2010

KEMAHIRAN BERFIKIR DALAM BAHASA (THINKING OUT OF BOX AMONG SECONDARY STUDENT)

Ipoh, Sabtu: 24 Julai 2010 / 12 Syaaban 1431

Antara perkara yang diberi perhatian dalam proses pembelajaran di bilik darjah ialah kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK).  Kreatif ertinya menjana sesuatu idea baharu, manakala kritis pula ialah menilai kemunasabahan sesuatu idea. Dalam konteks peperiksaan, KBKK biasanya muncul dalam bahagian pemahaman, terutama yang membabitkan antologi dan teks novel yang ditetapkan.

Penulis blog (PB) telah menerima jemputan untuk menjadi pemudah cara bengkel KBKK yang disertai oleh sejumlah 22 orang pelajar menengah atas SABK Ma'ahad Imam Shafie, Jelapang. Program selama sejam sebelum waktu Maghrib memberi fokus kepada kemahiran generalisasi. Maka, isi dan perspektif yang menjurus ke arah itu telah dibincangkan secara panjang lebar.

Bengkel dimulai dengan kaedah mengenal pasti isi tersirat dalam sesuatu petikan rumusan. Isi tersirat ialah komponen KBKK, justeru isi yang hendak dicari tidak terdapat dalam petikan yang diuji. Dalam kata lain, pelajar perlu mendapatkan isi di luar petikan.

Tugasan KBKK lazimnya berlegar di sekitar 4 perkara: punca, kesan, cara, dan faedah. Pelajar Ma'ahad Imam Shafie telah berjaya menyebutkan perkataan setara dengan keempat-empat perkara yang sering menjadi tugasan KBKK berkenaan, antara lainnya ialah:

1   punca  =  sebab, faktor, penentu

2   kesan  =  akibat, impak, implikasi, natijah

3   cara  =  kaedah, langkah, pendekatan

4   faedah  =  kebaikan, kelebihan, manfaat

Empat perkara yang tersenarai di atas kebiasaannnya dikaitkan pula dengan pelbagai peringkat analisis iaitu individu, masyarakat dan kerajaan. PB telah menyarankan supaya pelajar mengadakan sesi sumbang saran dengan guru mata pelajaran Bahasa Melayu tentang 4 perkara darab 3 pihak = 12 isu. Pada akhirnya, pelajar dapat menyediakan satu jadual rujukan silang tentang komponen generalisasi (penyeluruhan idea) untuk tugasan KBKK.

Pelajar juga diingatkan supaya menggandingkan generalisasi umum berkenaan dengan tugasan yang lebih khusus. Sebagai contoh, "cara yang pertama ialah dengan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hak pengguna". Kesedaran masyarakat ialah generalisasi umum, manakala hak pengguna ialah tugasan khusus.

Bagi tugasan prosa klasik, segala perkara yang hendak ditulis seharusnya berdasarkan perspektif zaman berkenaan, kecuali pelajar sendiri dianggap terbabit, iaitu disuruh mengambil peranan sebagai watak tertentu dalam petikan. Contoh: Jika saya ialah Sabor, sebaik sahaja mengetahui rancangan Jibor hendak mengupah orang untuk membunuh saya, maka saya akan meninggalkan rumah Jibor serta-merta, di samping membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Untuk tugasan puisi, terlebih dahulu pelajar hendaklah menentukan kedudukan atau peranan sang pemuisi sama ada sebagai "aku", sebagai pelapor, atau sebagai pengkritik. Penulisan KBKK untuk individu hendak dimulai dengan dirinya sendiri, insan terhampir, sebelum pergi kepada masyarakat lebih luas. Lebih baik tema puisi digunakan sebagai elemen penting sesuatu saranan KBKK.

Tugasan KBKK dalam kajian novel turut mengaplikasikan prinsip yang sama. Walaupun begitu, segala hujah dan isi seharusnya disokong dengan peristiwa tertentu. Dalam ayat peristiwa itu mesti dimasukkan watak, latar masa dan kisahnya secara umum.

Walaupun tugasan KBKK menghendaki pelajar berfikir di luar (kotak) petikan yang diuji, pelajar wajib menjadikan senarai generalisasi yang telah dibina sebagai kawalan. Jika pelajar mengemukakan beberapa saranan yang zahirnya mantap, tetapi jika hanya berlegar di sekitar satu perkara generalisasi akan menunjukkan pelajar berkenaan tidak begitu cekap. Pendek kata, dalam tugasan KBKK, pelajar perlu mengenal pasti perkara dalam KBKK terlebih dahulu sebelum digandingkan dengan contoh secara lebih khusus...

Friday, July 23, 2010

KARNIVAL JUALAN HARI KOKURIKULUM RPS (GIRL'S SCHOOL GRAND SALE)

Ipoh, Sabtu: 24 Julai 2010 / 12 Syaaban 1431
Sebentar tadi penulis blog (PB) berkesempatan mengunjungi sebuah sekolah kluster, iaitu SMK Raja Perempuan Ipoh (RPS) sempena majlis anugerah kokurikulum yang disekalikan dengan karnival jualan. RPS sangat dikenali di peringkat kebangsaan dalam permainan hoki, di samping pasukan kadet polis yang telah memenangi banyak pertandingan. RPS memiliki kemudahan asrama, kelas rancangan khas, dan prasarana fizikal yang serba cukup.
Acara penganugerahan di dewan terbuka sekolah dan aktiviti jualan di padang berjalan serentak. Konsep susunan biasa kerusi di dewan diubah kepada suasana lebih santai, iaitu seperti meja bulat jamuan. Penerima anugerah, jurulatih, tetamu khas dan ibu bapa disediakan tempat yang selesa supaya dapat mengikuti perjalanan majlis sepenuhnya. Usai acara, merka juga akan menuju tapak jualan untuk sama-sama menyumbang kepada dana sekolah menerusi perbelanjaan makan minum dan perkhidmatan lain.
Di samping jualan makanan, terdapat juga ruang niaga syarikat telekomunikasi, kolej sawasta dan agensi kerajaan. Menu yang ditawarkan termasuk hidangan sarapan pagi, rojak buah, masakan panas dan ais krim. Pembayaran dibuat dengan kupon, bertujuan menyediakan sistem kawalan kewangan yang lebih cekap.
Kalau mengharapkan pembeli singgah di gerai sahaja mungkin lambat. Maka, peniaga yang terdiri daripada pelajar berdasarkan kelas perlu membuat promosi, jualan bergerak dan menjajanya di sekeling kawasan yang dibenarkan. Khidmat radio karnival juga digunakan.
Andainya cuaca berterusan panas, berkemungkinan jualan minuman bakal habis dahulu. Apa-apa pun, pengalaman sebagai usahawan separuh hari itu pasti memberi inspirasi kepada pelajar yang mengambil bahagian sebagai input pengetahuan yang berguna. Mereka akan lebih menghargai ibu bapa yang bertungkus-lumus mencari wang untuk menyara kehidupan sekeluarga, di samping membiayai persekolahan anak-anak...

Thursday, July 22, 2010

INSTRUMENTASI DALAM PENYELIDIKAN (QUESTIONNAIRE CONSTRUCTION FOR PREUNIVERSITY RESEARCH)

Setelah menyiapkan draf bab pengenalan dan bab tinjauan bacaan, penyelidik seharusnya telah menetapkan masalah penyelidikan dengan sokongan input ilmu pengetahuan dalam bidang penyelidikan yang hendak diperoleh datanya. Langkah seterusnya ialah memilih kaedah penyelidikan yang boleh membantu pengumpulan data bagi menjawab soalan penyelidikan yang telah disejajarkan sejak pemilihan tajuk lagi. Seperti yang dipersetujui, setelah mengambil kira kawalan sumber dalam kalangan pelajar prauniversiti, hanya kaedah tinjauan dengan sampel bukan rawak bertujuan digunakan.

Sehubungan itu, pelajar prauniversiti dikehendaki mentadbirkan item soal selidik yang telah disejajarkan dengan masalah penyelidikan dan input ilmu pengetahuan tadi sekali sahaja dengan sasaran untuk mencapai kadar pengembalian 100%. Perbincangan kali ini bukan sahaja bertujuan menyediakan item soal selidik yang mencukupi dan sejajar, bahkan memberi penekanan terhadap soal etika supaya kelak tidak berbangkit sebarang isu yang boleh memudaratkan mana-mana pihak, terutama penyelidik dan sampel. Dengan itu penyelidik hendaklah memastikan bahawa identiti sampel tidak didedahkan dalam laporan penyelidikan, di samping mendapatkan persetujuan berpengetahuan (informed consent) responden.


Konsep Instrumentasi

Instrumen ialah alat untuk mengumpul data yang dikehendaki bagi menjawab soalan penyelidikan yang telah ditetapkan. Maka, instrumentasi ialah proses menyediakan alat mengumpul data. Hakikat bahawa pemikiran sebenar seseorang manusia bersifat rahsia, serta sering tersembunyi di "sebalik topeng", maka diandaikan bahawa tingkah laku sebagai mewakili pemikiran. Tingkah laku  sampel diukur menerusi pentadbiran alat penyelidikan yang dipilih.


Konsep Kaedah Tinjauan

Definisi:  proses mendapatkan maklumat secara sepintas lalu menerusi sekali sahaja kutipan data.

Analogi:  umpama foto, menjelaskan situasi pada masa gambar ditangkap.

Andaian:

Pola tingkah laku masyarakat sukar berubah secara mendadak, sebaliknya cenderung dipengaruhi kehendak masyarakat ketika itu.

Tatacara:

Penyelidik menyediakan alat untuk  ditadbirkan supaya sampel mengisi maklumat yang sejajar dengan soalan penyelidikan. Data yang diperoleh akan diproses berdasarkan kaedah analisis yang telah dirancang oleh penyelidik. Walaupun teknologi memungkinkan soal selidik ditadbirkan secara dalam talian (online),  mesej pesanan ringkas (SMS) atau mesin faksimili, pelajar prauniversiti dikehendaki menggunakan kaedah klasik, iaitu menggunakan kertas-pensil bagi mengisi set soal selidik yang diedarkan.

Pentadbiran:

Penyelidik muda prauniversiti memilih sampel --> edar set soal selidik yang sama --> kutip semula 100% --> analisis data


Kelebihan Kaedah Tinjauan Soal Selidik

1   Proses memungut data yang cepat, digemari dan mudah untuk ditadbirkan

2   Penyelidik boleh memilih saiz sampel yang besar

3   Keupayaan generalisasi terhadap saiz populasi lebih besar, berkesan dan tepat

4   Fleksibiliti dari segi item soal selidik


Kekurangan Kaedah Tinjauan Soal Selidik

1  Cara sampel memahami item soal selidik mungkin berbeza, bergantung kepada latar belakang pendidikan dan pengalaman

2   Item yang ditadbirkan tidak boleh diubah suai semasa pentadbiran penyelidikan sedang berjalan

3   Kesahan item diragui justeru sampel mungkin memberi jawapan berpandukan tingkah laku yang sampel suka, bukan tingkah laku sampel yang sebenar.


Tatacara membina item soal selidik

Soal selidik ialah alat mengutip data menerusi kaedah tinjauan, serta ditadbirkan sekali sahaja. Pembinaan item soal selidik hendaklah sejajar dengan tajuk penyelidikan, masalah penyelidikan, soalan penyelidikan dan tinjauan bacaan. Penyelidik boleh mendapatkan kebenaran untuk menggunakan set soal selidik yang pernah digunakan oleh penyelidik lain, mengubah suai instrumen berkenaan, atau membina sendiri item soal selidik itu. Jumlah item dalam set soal selidik mestilah tidak membebankan sampel untuk memberi jawapan, serta tidak membebankan penyelidik apabila tiba masa analisis data.

Format Soal Selidik:

1   Surat makluman - dijadikan muka surat hadapan.

     Masukkan butiran nama dan alamat e-mel penyelidik; organisasi penyelidik (tempat kerja, tempat belajar) harapan penyelidik seperti "menjawab dengan suci hati. Selain itu, nyatakan dengan ringkas bahawa "penyelidikan ini adalah sulit" dan berkonsep tanpa identiti sampel. Surat hendaklah ringkas, serta menggunakan format rasmi.

2   Latar belakang / profil sampel / responden

     bersangkutan maklumat yang diperlukan sahaja -->  agama, jantina, lokasi rumah, dan lain-lain

3    Bahagian item soal selidik

       Disusun secara rawak supaya sampel tidak boleh belajar, atau cuba menetapkan pola jawapan. Sebaik-baiknya sistem penomboran item bermula daripada profil sampel mengikut ertib. Jangan lupa bahawa kesejajaran item dengan bab 1 dan 2 sentiasa dibuat semakan.


Akhiri soal selidik dengan catatan "terima kasih".


Bentuk Item Soal Selidik Respons Tertutup * / Aneka Pilihan  (closed-ended questions)

1   Binari:  Adakah anda memiliki buku teks ekonomi?        Ya   /  Tidak

2   Skala Likert (empat mata):   Buku teks wajib dimiliki setiap pelajar.    Amat setuju /  Setuju  /  Tidak Setuju  /  Tidak pasti

                                                   :  Adakah anda kerap merujuk buku teks?    sentiasa / kadang-kadang / tidak pernah / tidak pasti

                                                    :   Adakah tahap persembahan buku teks anda?   amat baik / baik / sederhana / lemah

3   Thurston:  Nyatakan sumber pemilikan buku teks anda.

                        A.  Beli sendiri buku teks baharu

                        B.  Beli buku teks terpakai

                        C.  Pinjam buku kawan

                        D.  Tiada pemilikan

Penyelidik muda prauniversiti digalakkan menggunakan skala Likert empat mata.

* dipilih bagi mewujudkan keseragaman jawapan / memudahkan proses analisis data


Ciri-ciri item soal selidik yang baik

1   Bersesuaian dengan latar belakang dan kesediaan responden (sampel). Item dibina dengan
jelas, teliti dan tidak berat sebelah.

2   Ruang pilihan jawapan memadai dan jelas. Arahan bulatkan, X atau / mestilah juga jelas.

3   Telah melepasi senarai semak penyelidik, contohnya:

     a)  Adakah item yang dibina sejajar dengan tajuk penyelidikan?

     b)  Adakah item yang dibina dapat memberikan data tentang masalah penyelidikan?

     c)  Adakah item yang dibina menepati objektif penyelidikan?

     d)  Adakah item yang dibina sejajar dengan soalan penyelidikan / hipotesis penyelidikan?

     e)  Adakah item yang dibina merujuk kepada maklumat dalam tinjauan bacaan?

     f)   Adakah item yang dibina sejajar dengan jenis data yang hendak dikutip?

     g)  Adakah item yang dibina telah diklasifikasikan dalam jadual perincian ciri pemboleh ubah?

     h)   Adakah laras ayat dan bahasa yang digunakan telah diuji (dalam kajian rintis)?

      i)   Adakah item yang dibina telah dibincangkan dengan pakar / penyelia / guru akademik tingkatan 6?

     j)    Adakah perkara ketanpanamaan (anonymity) telah dijamin?

     k)   Adakah soalan profil / latar belakang responden diasingkan dalam kategori yang berbeza dengan item soal selidik utama?


Perkara Yang Mesti Dielakkan

1   Item soalan yang mengaibkan sampel / membebankan / memudaratkan

2   Item soalan mendedahkan sampel kepada pelbagai risiko: ancaman terhadap pekerjaan, rumah tangga

3   Soalan dua beban (double-barreled): adakah anda memiliki buku teks dan buku rujukan?

4    Soalan panjang lebar, iaitu memasukkan ayat penjelasan dan soalan yang berjela-jela.
      (short items are best)


Contoh Jadual Persediaan Pembinaan Item Soal Selidik
(format matrik)

Bulatkan pilihan jawapan anda berdasarkan skala:               4  =  amat setuju
                                                                                             3  =  setuju
                                                                                             2  =  tidak setuju
                                                                                             1  =  tidak pasti

Bil     Item (berdasarkan maklumat tinjauan bacaan)                                        Skala 

  1      Buku teks ialah rujukan utama pembelajaran                                          4       3      2     1

   2     Buku teks merangkumi semua kehendak sukatan pelajaran                      4       3      2     1

   3     Format buku teks menarik minat pelajar                                                 4       3      2     1

    4    Fakta buku teks sentiasa relevan dengan perubahan masa                        4      3       2     1

    5    Guru sentiasa mengingatkan rujukan buku teks                                       4      3       2      1

    6    Soalan peperiksaan digubal berdasarkan buku teks                                   4      3       2      1

    dan item seterusnya...


Semakan Klasifikasi Item

Fakta Tinjauan Bacaan                                  Jumlah Item               Nombor Soalan
  
Fungsi / kegunaan buku teks                                      6                     1, 6, 13, 18, 22, 26

Masalah pemilikan / pinjaman buku teks                     6                     2, 7, 14, 19, 23, 27

Minat pelajar terhadap buku teks                                6                     3, 9, 16, 21, 25, 29

dan seterusnya...


Penutup: Sebelum item soal selidik dimuktamadkan untuk pentadbiran penyelidikan

Semak beberapa kali untuk proses penambahbaikan item. Penyelidik boleh meminta pendapat rakan penyelidik yang lain (peer review), atau bertanyakan individu-individu yang mempunyai latar belakang yang serupa dengan bakal sampel / responden. Cara ini dikira sudah memadai bagi penyelidik muda prauniversiti menggantikan kajian rintis yang biasa dilakukan dalam penyelidikan tinjauan skala besar.


Bibliografi

Babbie, Earl  (2010).  The Practice of Social Research. USA: Wadsworth Cengage Learning

Chua Yan Piaw (2006).  Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: McGraw-Hill Education

Mohd Najib Abdul Ghafar  (2003).  Reka Bentuk Tinjauan Soal Selidik Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia

KONGSI AYAT DI BERCHAM (SYNTAX DISCOURSE AT SMK BERCHAM)

Bercham, Khamis: 22 Julai 2010 / 10 Syaaban 1431

Soalan paling banyak ditanya oleh pelajar ketika mana-mana perbincangan atau seminar yang berkaitan dengan bahasa ialah tentang penulisan ayat. Sebenarnya proses menulis tidak semudah bercakap. Pemidato yang hebat pun belum tentu dapat menghasilkan penulisan yang baik.
Isu yang sama dibincangkan di SMK Bercham. Penulis blog (PB) diberi kepercayaan sebagai pemudah cara perbincangan. Program wacana itu membabitkan kira-kira 100 orang pelajar yang dipilih secara khusus. Selama satu jam setengah PB berpeluang untuk bertukar-tukar fikiran dengan pelajar yang bijak-bijak belaka.
Penganjur telah memilih makmal bahasa bagi mewujudkan suasana yang bercirikan percambahan ilmu. Makmal bahasa ini mengingatkan PB terhadap pembelajaran bahasa Inggeris semasa di UKM menggunakan peralatan audio visual yang hampir sama. Alangkah baiknya jika semua sekolah memiliki kemudahan pembelajaran bahasa secanggih ini.
Perbincangan dimulai dengan analisis ayat paling asas, iaitu binaan subjek dan predikat.Selain itu, aspek semantik, iaitu kemunasabahan idea (masuk akal) dalam sesuatu ayat juga diberi perhatian. Pelajar SMK Bercham juga akur bahawa mereka harus bertutur dan menulis ayat yang relevan dengan tugasan supaya tidak berlaku pembaziran.
Seorang pelajar telah melontarkan kemusykilan tentang maksud huraikan, jelaskan dan terangkan dalam sesuatu tugasan. Soalan tersebut sangat baik justeru banyak yang berpendapat bahawa sesuatu huraian, penerangan dan penjelasan perlu dibuat secara panjang lebar dalam beberapa ayat. Benarkah begitu?
Hakikatnya huraian, penerangan atau penjelasan boleh dibuat dalam satu ayat bersekali. Asal sahaja maklumat tambahan selain subjek dan predikat, frasa penerang berkenaan sudah dikira sebagai huraian, penerangan atau penjelasan. Pendek kata, panjang pendek ayat tidak pernah menjadi isunya.
Contoh ayat: Saya akan menjaga disiplin diri supaya dihormati orang. Perkataan yang berhuruf tebal ialah huraian, penerangan atau penjelasan. Mereka yang masih berasa was-was tentang perkara itu hendaklah kembali kepada konsep ayat dalam teori sintaksis...