SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, June 30, 2010

MENULIS PENDAHULUAN DAN PERNYATAAN MASALAH PENYELIDIKAN (THE RESEARCH PROBLEM FOR PREUNIVERSITY STUDENTS)

Masalah penyelidikan ialah bidang keprihatinan seseorang penyelidik, keadaan yang ingin dibaiki, kesusahan yang hendak diatasi, dan soalan yang hendak dicari jawapannya. Maka, masalah itu boleh jadi sesuatu yang belum selesai, elemen tidak puas hati, perubahan yang diinginkan, atau sesuatu yang masih belum tercapai sebagaimana yang diharapkan. Pendek kata, masalah penyelidikan ialah tentang perkara yang hendak disiasat, serta hendak diperoleh jawapannya.

Masalah penyelidikan mesti ditentukan, atau ditetapkan supaya kepentingan, rasional dan  signifikan melaksanakan sesuatu penyelidikan menjadi ketara. Masalah mungkin terlalu besar dan luas. Dengan itu penyelidik perlu membuat saringan, serta tapisan bagi mengecilkan skop masalah penyelidikan untuk disejajarkan kepada jenis data yang hendak dikutip, serta kaedah analisis data yang bakal dibuat.

Penapisan masalah penyelidikan memungkinkan penyelidik membuat klasifikasi pemboleh ubah secara khusus dan objektif. Gambaran masalah yang menggunakan perkataan-perkataan besar seperti "keberkesanan", prestasi", dan "proses pembelajaran" hendaklah diketepikan. Hal ini disebabkan penyelidik bakal berhadapan dengan kekangan kewangan, lojistik dan sumber dalam proses mentadbirkan sesuatu penyelidikan.

Sebagai contoh, "keberkesanan" merujuk kepada usaha membandingkan sesuatu proses dengan hasil yang tercapai. Penyelidik boleh mengecilkan skop masalah kepada dua pemboleh ubah sahaja, iaitu proses yang sedang berlaku dan hasil yang diinginkan sahaja. Katakan prosesnya ialah tempoh persekolahan hingga waktu petang; hasilnya ialah pelajar mengantuk dan lesu dari segi emosi, jasmani, dan mental.

Sebagai penyelidik muda tingkatan enam, masalah yang sudah dikecilkan itu pun masih sukar dari segi perolehan data. Maka, lebih baik tumpukan kutipan data terhadap persepsi, iaitu perkara yang difikirkan oleh sampel penyelidikan yang mewakili populasi. Jika tidak, penyelidik akan dianggap terlalu ideal, selain nilai praktikaliti (kepentingan, signifikan) penyelidikan yang rendah.

Sesungguhnya masalah penyelidikan merupakan huraian atau justifikasi kepada pemilihan tajuk penyelidikan. Sebab itulah bagi sesetengah penyelidik, pemilihan tajuk yang muktamad hanya dilakukan setelah masalah penyelidikan ditentukan terlebih dahulu. Masalah penyelidikan boleh sahaja dianggap sepenti anak kunci, atau pembuka jalan kepada keseluruhan penyelidikan.

Senarai Semak Menetapkan Masalah Penyelidikan

1    Penyelidik memiliki pengetahuan / akses maklumat tentang masalah yang dikenal pasti

2    Penyelidik memiliki sumber (tenaga, masa, perbelanjaan) yang mencukupi

3    Penyelidik mengenal pasti responden (30 - 50 sampel untuk kaedah tinjauan)

4    Masalah yang dipilih bersifat jelas / mudah mendapat data

5    Masalah yang dipilih adalah penting, paling tidak mengubah cara penyelidik menanggapi sesuatu fenomena

6     Memberi gambaran awal tentang jenis data dan kaedah analisis data

7     Menyatakan secara khusus tentang pemboleh ubah dan populasi yang diselidiki


Panduan Menulis Pendahuluan

Ibarat baru berkenalan dengan seseorang, penyelidik menerangkan secara ringkas tentang latar belakang penyelidikan yang dilaksanakan. Penjelasan yang mendalam dan terperinci tidak perlu dimuatkan dalam bab pendahuluan ini. Pembaca tidak perlu dibosankan dengan petikan sumber dan teori terlalu mendadak.

Mulakan pendahuluan dengan menyatakan sebab anda memilih tajuk penyelidikan anda. Tiga komponen sebab boleh dipecahkan sebagai:

i.    Keadaan yang sepatutnya ada / berlaku

ii.   Keadaan yang sebenarnya berlaku

iii.  Harapan penyelidik terhadap hasil penyelidikan

Seterusnya penyelidik menulis huraian umum tentang masalah penyelidikan yang ditetapkan dengan menyatakan kepentingan untuk melaksanakan penyelidikan: siapa / organisasi mana yang bakal beroleh manfaat daripada penyelidikan anda? Pastikan hanya terdapat dua pemboleh ubah yang hendak diselidiki, iaitu satu pemboleh ubah bebas, dan satu pemboleh ubah bersandar. Pemboleh ubah bebas akan anda ukur menerusi kutipan data, manakala pemboleh ubah bersandar hendaklah dikawal, iaitu dimalarkan.

Pemboleh ubah bersandar ialah perkara yang hendak dijelaskan. Misalnya, potensi kepimpinan pelajar prauniversiti ialah pemboleh ubah bersandar. Maka, terdapat banyak sekali pemboleh ubah bebas yang mempengaruhinya, sebagai contoh: kem motivasi, penglibatan kokurikulum, pengaruh tokoh. Jika anda memilih kokurikulum, kecilkan lagi kepada misalnya aktiviti kawad kaki.

Untuk semakan, pemboleh ubah yang ditetapkan hendaklah:

a)   boleh diukur / dibuktikan menerusi pengumpulan data;

b)   tidak mengandungi unsur emosi, atau menyalahi mana-mana etika

c)   mempunyai kepentingan untuk penyelidikan

Sebaik-baiknya kedua-dua pemboleh ubah ditakrifkan dalam konteks penyelidikan, iaitu definisi yang bersifat operasional. Secara mudah, penyelidik menjelaskan maksud pemboleh ubah berdasarkan keperluan penyelidikan. Tidak semestinya maksud istilah daripada kamus digunakan untuk tujuan ini.

Apabila mencatatkan kepentingan penyelidikan kepada mana-mana individu / organisasi, nyatakan dalam bentuk mengatasi kekurangan yang masih ada. Kepada penyelidik muda prauniversiti tingkatan 6, kepentingan penyelidikan ialah kepada:

1   populasi yang anda selidiki: pelajar tingkatan 6

2   organisasi anda: pentadbiran sekolah / pengurusan tingkatan 6 / kementerian pelajaran

3   masyarakat umum:  warga sekolah / ibu bapa / PIBG / OMA / penaja, dan lain-lain

Tuliskan dalam bentuk senaraian ayat bagi setiap kepentingan yang anda tetapkan.

Hasil penyelidikan yang baik hendaklah disebarluaskan. Maka, persembahan laporan penyelidikan hendaklah ditulis dalam bahasa yang tepat, jelas dan difahami oleh pembaca biasa, terutama dalam bab pendahuluan ini. Penyelidik hendaklah menggunakan ayat penyata yang berbentuk ayat aktif.

Kecenderungan menggunakan kata-kata yang kabur, atau yang terlalu teknikal hendaklah dihindari. Setelah penyelidik selesai menulis bab 1, semakan boleh diserahkan kepada rakan penyelidik yang lain (peer review) bagi mendapatkan pandangan kedua. Huraian tentang persembahan laporan penyelidikan akan dibuat dalam satu perbincangan yang khusus...

Rujukan

Abdul Rashid Moten (1998).  A Guide to Research Proposal and Report Writing. Gombak: International Islamic University Malaysia.

Fraenkel, Jack R. dan Wallen Norman E. (1993). How To Design and Evaluate Research. New York: McGraw Hill Inc.

Khalid Johari (2003).  Penyelidikan Dalam Pendidikan: Konsep dan Prosedur. Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson.

Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Sabitha Marican (2009).  Penyelidikan Sains Sosial: Pendekatan Pragmatik. Kuala Lumpur: Edusystem Sdn. Bhd.

bersambung...

KEBAJIKAN PELAJAR TERUS DIUTAMAKAN (THE NEW MICHAELIAN ROOF)

Ipoh, Rabu;  30 Jun 2010 / 17 Rejab 1431

Wajah SMI berubah lagi. Kali ini pintu pagar utama sudah disambungkan secara berbumbung ke kawasan hentian bas dan kawasan menunggu kenderaan ibu bapa. Maknanya keseluruhan laluan bangunan sekolah kini telah dilengkapi bumbung yang cantik lagi kukuh.
Dengan itu, pelajar tidak lagi basah kuyup ketika hujan atau melindungi ubun-ubun kepala dengan beg untuk mengelak panahan cahaya matahari. Pihak pentadbiran sekolah dan jawatankuasa keselamatan sekolah memang prihatin tentang hal kebajikan murid. Dalam setiap mesyuarat pengurusan dan jawatankuasa keselamatan, langkah meningkatkan kemudahan dan keselesaan murid tidak pernah tercicir daripada agenda.

bersambung...

TAMU DARI PAHANG (SMK CATHOLIC BENTONG ON PREFECTORIAL VISIT)

Ipoh, Rabu: 30 Jun 2010 / 17 Rejab 1431

Badan pengawas SMK St Michael, Ipoh (SMI) menerima kunjungan sejumlah 40 orang pengawas SMK Catholic, Bentong yang tiba kira-kira pukul 9.30 pagi. Majoriti anggota rombongan ialah pelajar tingkatan 3 dan 4, selain seorang pelajar tingkatan 2, dan seorang lagi tingkatan 1. Mereka berada di SMI hingga pukul 1.30 tengah hari.
Dua orang peserta rombongan yang sempat ditemui, Low Chin Xian dan Lim Chia Chie memberitahu penulis blog (PB) bahawa mereka sangat gembira justeru berkesempatan mengenali SMI secara lebih dekat. Mereka juga berpeluang mempelajari kepimpinan, organisasi dan sistem kepengawasan SMI. Pengalaman sedemikian amat berharga untuk memantapkan lagi keberkesanan tugas pengawas di SMK Catholic, Bentong.

Sepanjang 4 jam bertandang ke SMI, mereka telah diberi taklimat oleh penasihat organisasi pengawas SMI, Encik Karu, selain diraikan dengan jamuan bebas di medan selera sekolah terbaik di negeri Perak. Lawatan ke sekitar kawasan sekolah, khususnya pusat sumber memberikan perspektif tentang peranan kepimpinan murid dalam menjana kecemerlangan warga sekolah. Walaupun sebahagian besar pengawas SMI ialah pelajar tingkatan 6, kedua-dua pihak nampaknya begitu mesra, dan tidak kekok dalam interaksi tidak formal.

Rombongan pengawas SMK Catholic, Bentong turut disertai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mereka, Puan Jamaliah, seorang guru disiplin wanita, seorang guru disiplin lelaki dan seorang kaunselor pelajar. Guru pengiring memaklumkan bahawa program lawatan sambil belajar ini telah dirancang sekian lama. Perjalanan dari SMK Catholic, Bentong ke SMI mengambil masa 3 jam.

Selepas SMI, rombongan akan melawat sekitar bandar raya Ipoh. Antara tempat yang dipilih ialah Muzium Negeri. Mereka akan bergerak pulang petang ini juga.

          Kalau ada sumur di ladang
          Boleh saya menumpang mandi
          Kalau ada umur yang panjang
          Boleh kita berjumpa lagi

Terima kasih kerana memilih SMI. Semoga hubungan yang terjalin akan berkekalan demi kepentingan pendidikan dan kepimpinan pengawas. Giliran lawatan balas mungkin sekali bakal menjadi kenyataan...  Insya-Allah.

Monday, June 28, 2010

SMI JOHAN REKA CIPTA (THE YOUNG MICHAELIAN'S INVENTOR )

Ipoh, Sabtu 26 Jun 2010 / 13 Rejab 1431
 Barisan hadapan dari kiri: Cikgu Mimi Ashikin, Cikgu Siti Farah, Muhd Naim 5S2, Noah Brandon 5S1, Arkkesh Nanthan,
 Encik Kamaruzaman Ahmad (Penolong Kanan Kokurikulum).
 Barisan belakang: Jered Robert 5S1, Harison 5S1, Sadiq 5S2.

Reka cipta ialah komponen usaha inovasi, atau pembaharuan yang dapat menyenangkan lagi urusan manusia. Apabila seseorang individu atau sekumpulan orang berhasrat untuk menghasilkan ciptaan baharu, segala elemen kreativiti dan prinsip sains (ilmu) akan diaplikasikan supaya menjadi asas kepada teknologi yang dikehendaki. Sebagai contoh, jika dahulu kerusi hanya digunakan sebagai tempat duduk, kini fungsinya diperluaskan sebagai tempat duduk yang empuk, selamat, selesa dan boleh dipasang alat urutan badan sekali gus.

Reka cipta tidak terhad kepada golongan saintis sahaja. Cecair pemadam (liquid paper) diilhamkan oleh seorang kerani yang mendapati susah untuk membetulkan kesalahan pada era mesin taip dahulu. Ciptaan itu kemudian dipatenkan, dan sang kerani tadi bertukar menjadi orang kaya.

Bill Gate mengasaskan Microsoft Windows daripada garaj keretanya setelah berhenti dari pengajian tahun pertama di Universiti Havard. Colonel Harland Saunders mengasaskan Kentucky Fried Chicken sesudah menempuh kegagalan demi kegagalan. Patung KFC di setiap cawangan menunjukkan wajah seorang tua berusia 60 tahun, justeru Saunders hampir meragut nyawanya sendiri kerana tidak tahan dengan ujian dan kekejaman hidup yang beliau lalui!

Dengan hakikat bahawa reserve sumber bahan api petroleum yang semakin haus, sesuatu harus dilakukan segera supaya kenderaan canggih yang memadatkan jalan raya di serata pelosok dunia tiadak akan tersadai begitu sahaja. Maka, pelbagai rekaan telah dimajukan oleh pengeluar kenderaan utama dunia bagi meredakan kebimbangan pengguna. Dengan itu muncullah model hibrid yang dijangka dapat menjimatkan penggunaan bahan api berasaskan petroleum, bahkan pada masa hadapan berpotensi menggunakan kuasa yang dicaj daripada panas matahari sahaja.

Walaupun hanya berstatus pengeluar kereta yang masih mentah, Malaysia tidak mahu ketinggalan. Para jurutera automatif tempatan sedang bertungkus-lumus untuk mereka cipta model hibrid yang boleh bersaing di pasaran antarabangsa. Bagi menyemarakkan minat reka cipta dalam kalangan generasi muda, Kementerian Pelajaran Malaysia turut menganjurkan pertandingan reka cipta kereta solar, sempena karnival sains dan teknologi.

SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah menyertai pertandingan peringkat daerah Kinta Utara yang di SMK Pinji. Menerusi bimbingan guru berpengalaman, kumpulan pelajar yang dihantar berjaya meraih kedudukan tempat pertama. Kini, mereka menanti pelawaan untuk bersaing di peringkat negeri pula.

Sesuatu hasil reka cipta hanya akan mendatangkan manfaat jika disebarluaskan, iaitu tidak terperap tanpa usaha susulan. Rekaan yang berpotensi tinggi harus diuji untuk penambahbaikan, dipatenkan dan seterusnya dikomersialkan. Kesedaran sedemikian perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda supaya pada akhirnya impian untuk melihat Malaysia sebagai hub inovasi akan tercapai... 

LADAP SECARA PEMBACAAN BUKU UNTUK GURU (BOOK REVIEW FOR TEACHERS)

Guru ialah antara golongan yang paling banyak membaca. Walaupun seseorang guru itu telah lama berkhidmat dan telah menguasai isi pelajaran tanpa merujuk buku, guru masih perlu membaca tugasan pelajar dan skrip jawapan peperiksaan. Ambil satu contoh yang konservatif, iaitu seorang guru mengajar 100 orang murid.

Tugasan harian:  1 muka surat  X  100 murid  X 80 hari =  8,000 muka surat

Ujian bulanan:  3 muka surat X 100 murid  X 2  =  600 muka surat

Peperiksaan:  5 muka surat X 100 murid X 2  =  1,000 muka surat

Berdasarkan contoh di atas, guru membaca hampir 10,000 muka surat tugasan dan skrip jawapan murid dalam setahun. Jika ditambah lagi dengan bacaan lain terhadap dokumen, minit mesyuarat dan laporan, barangkali bilangan muka suratnya akan mencapai 20,000 muka surat. Andainya setiap muka surat mengandungi 150 patah perkataan, bermakna dalam setahun, guru dianggarkan membaca sejumlah tiga juta patah perkataan!

Sesungguhnya guru ialah jutawan bacaan. Mungkin ada nada sinis yang mengatakan anggaran konservatif begitu tidak sah, justeru terdapat kaedah "timbang kati", atau sukat pembaris. Beban pembuktian terletak kepada pihak "pendakwa".

Kini, dengan pelaksanaan kaedah latihan dalam perkhidmatan (Ladap) secara pembacaan buku, kejutawanan guru bakal berganda. Cadangan supaya setiap orang guru membaca sekurang-kurangnya 7 buah buku, dengan pecahan komponen 4 buah buku pengetahuan profesional, 2 buah buku kemahiran profesional, serta sebuah buku amalan dan nilai profesional keguruan. Ambil syarat minimum 50 muka surat.

7 X 50 muka surat X 200 patah perkataan  =  70,000 patah perkataan.

Walaupun terdapat kaedah bacaan cepat zig-zag, atau jalan pintas yang lain, sekiranya benar-benar berlaku, kaum guru benar-benar telah menjadi ulat buku. Belum lagi dikira bacaan kitab secara rutin. Kalau dimasukkan akhbar dan majalah?

Contoh catatan rekod pengesahan dan pembacaan buku:

1. Pelita Bahasa Melayu Jilid I - III : 800 muka surat, Za'aba

2  Falsafah Pendidikan Bahasa Melayu: 250 muka surat,  Awang Sariyan

3  Teknik Mengajar Komsas: 183 muka surat, Naffi Mat

4  Islamic Economics: 203 muka surat, Syed Omar Syed Agil (ed)

5  Penyelidikan Sains Sosial: 238 muka surat, Sabitha Marican

6  A Guide to Research Proposal and Report Writing: 59 muka surat, Abdul Rashid Moten

7  Kemahiran Intrapersonal: 220 muka surat, Abdullah Hasan

Sunday, June 27, 2010

MINGGU BAHASA 2010 DILANCARKAN (MALAY LANGUAGE SENSATION AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)

Ipoh, Isnin: 28 Jun 2010 / 15 Rejab 1431

Kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah termaktub dalam perlembagaan negara. Malah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi status perundangan untuk memastikan bahawa bahasa Melayu diletakkan di tempat yang sejajar dengan kedudukan unggul itu dalam segala urusan rasmi di negara kita. Walaupun kelihatan seolah-olahnya terdapat persaingan daripada bahasa Inggeris, para pencinta dan pejuang bahasa Melayu terus gigih dalam membangkitkan kesedaran umum tentang kepentingan bahasa kelima paling banyak dituturkan di dunia itu.
SMK St Michael, Ipoh (SMI), menerusi Panitia Bahasa Melayu, dengan kerjasama Persatuan Bahasa Melayu (Perbama) telah mengambil daya usaha menyokong dasar memantapkan bahasa Melayu dalam proses pembelajaran di sekolah. Menyedari bahawa kebanyakan murid SMI bukan merupakan penutur jati bahasa Melayu, apa-apa juga kegiatan yang dapat membangkitkan kecenderungan penggunaan bahasa Melayu sebagai lambang jati diri bangsa perlu disemarakkan. Aktiviti yang dirancang seboleh-bolehnya mampu menarik penglibatan dan sambutan semua murid yang bergelar warga SMI.
Pelancaran minggu bahasa dilakukan oleh pengetua SMI, Encik Phoon Chong Chee. Beliau mengharapkan bahawa program tahunan ini mampu menyumbang terhadap pencapaian warga SMI, sama ada bidang akademik, koakademik, kokurikulum, disiplin, mahupun sahsiah. Bahasa mendekatkan insan dengan akal budi, serta penghayatan nilai murni.
Selain tradisi paluan gong sebanyak tiga kali, pengetua telah sudi memotong pulut kuning sebagai tanda rasminya pelancaran minggu bahasa. Sesuatu yang berbeza kali ini ialah  tugas membawa bunga manggar digalas oleh kaum Adam, simbol SMI yang mempunyai 95 peratus enrolmen murid lelaki. Walaupun demikian, peranan pelajar perempuan tingkatan enam tetap dialu-alukan, di samping sokongan guru wanita yang mewakili dua per tiga bilangan tenaga akademik SMI.
Pengisian program minggu bahasa SMI yang berlangsung selama dua minggu ini termasuk peraduan mengarang esei, deklamasi puisi dan pidato. Barangkali banyak bakat terpendam dalam kalangan lebih daripada 2,000 orang murid SMI dapat dicungkil. Semoga segala objektif yang digariskan oleh pihak penganjur bakal tercapai sepenuhnya...

Saturday, June 26, 2010

CONTOH PERSEMBAHAN UJIAN LISAN MODEL INDIVIDU (PRESENTATION FOR ORAL TEST FORM 4)

Assalamu alaikum dan selamat sejahtera

Yang dihormati, Encik......., guru Bahasa Melayu 4S5, dan rakan-rakan yang dikasihi.

Pada pagi ini, saya akan membentangkan analisis bab 5 novel Azfa Hanani yang diberi subjudul "Sebagai Murid Baharu". Saya akan cuba mengetengahkan empat peristiwa penting dalam bab berkenaan. Seterusnya, saya akan menjelaskan elemen komsas dari segi perwatakan, latar masyarakat, nilai, persoalan dan pengajaran. 

Peristiwa pertama ialah pelawaan Tengku Ellina dan Adriani untuk menolong Azfa Hanani dalam menguasai bahasa Inggeris. Hanani nyata sukar mencelah dalam pembelajaran bahasa Inggeris kendalian Cikgu Razman. Hanani berterus terang tentang kelemahannya itu.

Berdasarkan peristiwa yang disebutkan, saya dapat memadankannya dengan beberapa elemen komsas, iaitu:

1   Perwatakan Azfa Hanani ialah jujur.

2   Latar masyarakat yang diwakili oleh Azfa Hanani ialah masyarakat yang jujur / masyarakat murid sekolah.

3   Nilai yang diamalkan oleh Hanani ialah kejujuran.

4   Persoalan yang timbul ialah kejujuran dalam persahabatan.

5   Pengajarannya ialah kita seharusnya berlaku jujur dalam persahabatan.


Peristiwa kedua ialah Azfa Hanani tidak menjabat salam yang dihulurkan oleh Ekran, pengerusi persatuan pelajar tingkatan 5. Sebaliknya Hanani memohon maaf. Ekran segera mengerti dan terus beredar.

1    Perwatakan Azfa Hanani ialah tegas diri.

2    Latar masyarakat yang diwakili oleh Azfa Hanani ialah masyarakat yang tegas / masyarakat yang berpegang pada prinsip.

3    Nilai yang diamalkan oleh Hanani ialah ketegasan.

4    Persoalan yang timbul ialah ketegasan dalam mempertahankan prinsip.

5    Pengajarannya ialah kita seharusnya tegas dalam mempertahankan sesuatu prinsip.


Peristiwa ketiga ialah provokasi / riak permusuhan yang cuba ditimbulkan oleh Laili semasa amali fizik. Laili sengaja melabel Hanani sebagai berlagak kerana berbeza semasa kelas bahasa Inggeris, kali ini Hanani dapat menjawab soalan Cikgu Sani dengan yakin dan tepat. Hanani mengetap bibir walaupun dimaklumkan oleh Ellina bahawa Laili memang tidak sebulu dengan arwah Tengku Murni.

1   Perwatakan Azfa Hanani ialah mudah terasa.

2   Latar masyarakat yang diwakili oleh Azfa Hanani ialah masyarakat yang mudah terasa / sensitif.

3   Nilai yang diamalkan oleh Hanani ialah kesabaran (tidak bertindak balas melulu).

4   Persoalan yang timbul ialah kesabaran dalam menghadapi provokasi / permusuhan.

5   Pengajarannya ialah kita seharusnya sabar dalam menghadapi provokasi / permusuhan.


Peristiwa keempat ialah apabila Azfa Hanani terkejut apabila Tengku Ellina memberitahu bahawa Laili masih sangsi akan kematian Tengku Murni. Hingga kini beg duit yang mengandungi kad pengenalan dan kad ATM Tengku Murni belum ditemui. Abang Mazran dan Kak Finaz tidak pernah menceritakan hal itu kepadanya.

1   Perwatakan Azfa Hanani ialah sentiasa bersangka baik / mudah percaya.

2   Latar masyarakat yang diwakili oleh Azfa Hanani ialah masyarakat yang bersangka baik.

3   Nilai yang diamalkan oleh Hanani ialah sangka baik / ketulusan.

4   Persoalan yang timbul ialah bersangka baik terhadap orang lain.

5   Pengajarannya ialah kita seharusnya bersangka baik terhadap orang lain.


Sebagai maklumat tambahan, latar tempat bagi keseluruhan bab lima ini ialah di sekitar kawasan sekolah, iaitu di kelas bahasa Inggeris, di makmal fizik, dan bilik persatuan tingkatan 5. Latar masa keseluruhannya pada waktu persekolahan sesi pagi. Antara elemen saspens yang menarik perhatian saya untuk membaca novel Azfa Hanani seterusnya ialah tentang permusuhan yang dicetuskan oleh Laili dan geng budak glamur.

Sekianlah sahaja pembentangan bab 5, Sebagai Murid Baharu, novel Azfa Hanani. Terima kasih atas kesabaran dan perhatian cikgu dan rakan sekalian. Saya bersedia menjawab sebarang kemusykilan jika ada.

Terima kasih. Wassalam. 

***************************************************************************************************************
Contoh soalan:


Saudara belum memberikan sinopsis bab 5. Boleh saudara jawab soalan saya?


Jawapan:

Terima kasih kerana sudi bertanya. Sebenarnya tumpuan tugasan saya ialah tentang peristiwa dan analisis elemen komsas. Tetapi untuk tidak menghampakan saudara yang bertanya, saya sebutkan sinopsis bab "Sebagai Murid Baharu".

Sebaik sahaja Azfa Hanani masuk ke kelas 5 Sains 1, dia disapa oleh Tengku Ellina, dua pupu kepada arwah Tengku Murni. Seperti yang dicakapkan oleh Abang Mazran, Tengku Ellina memang boleh diharap untuk membantu Hanani menyesuaikan diri di sekolah baharu. Hanani menghadapi masalah dalam kelas bahasa Inggeris, tetapi begitu berkeyakinan di makmal fizik. Hanani juga menjadi sasaran permusuhan Laili yang tidak pernah senang dengan arwah Tengku Murni sejak lama lagi. Saya harap saudara yang bertanya telah berpuas hati. Sekali lagi terima kasih.

SEPETANG BERSAMA TAN SRI ALIMUDDIN (DIRECTOR GENERAL OF EDUCATION BACK TO ALMA MATER)

Teluk Intan, Sabtu: 26 Jun 2010 / 13 Rejab 1431

Belum sempat acara OMA muda berakhir, penulis blog (PB) bergegas ke SMK Seri Perak, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan. Buat kesekian kalinya PB menerima jemputan kembali ke sekolah lama. PB telah belajar di sana dari tingkatan satu hingga 6 Atas.

Sesungguhnya SMK Seri Perak bukan sahaja berjasa mendidik PB selama 7 tahun, bahkan PB pernah bertugas di sana usai pengajian ijazah pertama dalam bidang ekonomi. Pertama kali bergelar cikgu, dua kelas ekonomi telah mencatat kelulusan penuh 100% dan terdapat pelajar yang meraih gred A. Sebahagian pelajar berkenaan telah menyandang kedudukan yang penting dalam organisasi masing-masing.

Bajak wangkang? Masuk bakul angkat sendiri? Bukan, bukan, bukan dan bukan! Sekadar memotivasikan diri sendiri sekali-sekala...
SMK Seri Perak (SMSP) ialah antara sekolah aliran kebangsaan terulung di negara kita. Sejak ditubuhkan pada tahun 1964, jasanya kepada masyarakat sudah tidak terkira banyaknya. Selain ahli akademik, pemimpin politik dan tokoh perniagaan, bekas murid SMSP turut mengungguli jentera perkhidmatan awam negara.

SMSP boleh berbangga dengan pelantikan terbaru Ketua Pangarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu jawatan kedua tertinggi selepas Ketua Setiausaha Negara, kini disandang oleh bekas pelajarnya. Begitu juga dengan Dato' Nasir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia. Demikian antara intisari ucapan Tan Sri Dato' Alimuddin bin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang pernah bergelar pelajar SMSP dan penghuni asrama yang terkenal dengan peristiwa banjir suatu ketika dahulu.
Tan Sri turut menceritakan pengalaman zaman persekolahan beliau. Beliau sanggup meninggalkan Sitiawan (bersekolah di SMK Tok Perdana) atas hasrat yang berkobar-kobar untuk melunaskan impian bergelar murid SMSP yang menjadi sebutan di negeri Perak ketika itu. Nama guru seperti Cikgu Bakar (bapa saudara PB), Cikgu Sulaiman Nawi (kini Dato') dan Cikgu Zam yang turut hadir masih segar di ingatan. Malah, warna kereta mereka juga masih terbayang di ruangan mata.

bersambung...

MENJEJAK NOSTALGIA DI SMK ST MICHAEL (JUNIOR "OLD" MICHAELIANS BACK TO SCHOOL)

Ipoh, Sabtu: 26 Jun 2010 / 13 Rejab 1431

Kira-kira 100 orang bekas pelajar SMK St Michael, Ipoh (SMI) membanjiri laman sekolah untuk menyertai aktiviti yang menampilkan versi generasi muda Persatuan Murid Tua SMI (OMA). Jawatankuasa program memberitahu bahawa kepimpinan OMA yang dibarisi tokoh masyarakat yang telah menempa kejayaan dalam bidang masing-masing memberi sokongan padu terhadap program ini. Malah, Bro. Dato' Vincent sendiri telah hadir merasmikan reunion kali ini.
Kebanyakan bekas pelajar yang datang masih dalam kategori usia belia, iaitu 18 - 35 tahun. Maka, program bercorak sukan telah dijadikan pilihan untuk menyemarakkan interaksi antara bekas pelajar dengan murid SMI semasa. Acara badminton, bola sepak, ragbi dan tarik tali yang menjadi tradisi budak SMI menjadi taruhan.
Program bermula pada kira-kira pukul 8.45 pagi. Walaupun cuaca agak panas, permainan tetap rancak. Contohnya, acara bola sepak dilangsungkan bermula pukul 11 pagi.
Pasukan OMA telah diberi tentangan sengit sebelum dihadiahi kemenangan 3 - 2. Mungkin semangat Piala Dunia menyebabkan mereka bermain berhabis-habisan walaupun dalam suasana perlawanan persahabatan. Harap-harap pasukan SMI akan mengembalikan kegemilangan sekolah dalam permainan yang paling digilai itu.
Sementara itu, permainan badminton dan ragbi berkesudahan dengan keputusan seri. Program diakhiri dengan acara tarik tali. Jawatankuasa program nyata teruja dengan kejayaan program yang bercitra belia kali ini.
Program OMA ala-ala bapa selama ini seakan-akan sebati dengan imej OMA. Justeru acara orang muda pada hari ini telah membuka lembaran baharu dalam  pengisian kegiatan OMA supaya lebih happening dan meriah. Budak-budak SMI berpeluang mengenali senior mereka menerusi acara yang dekat dengan minat mereka...

Friday, June 25, 2010

MUSIM BUNGA DI SMK ST MICHAEL? (IT'S BLOSSOM AND SPRING)

Bahang panas masih terasa mengelus-ngelus wajah warga Ipoh. Sekali-sekala hujan lebat seperti mahu membalas dendam dan keluar daripada persembunyian. Mahu tidak mahu, keadaan basah kering begitu kena dibiasakan.

Pelajar yang berdiri di tapak perhimpunan menghadap podium jika menoleh ke kanan mereka pasti ternampak kereta cikgu bersusun-susun di bawah naung pepohon yang agak berusia juga. Pandang ke atas lagi, nampak pula rimbunan dedaun yang menghijau. Pandang sekali lagi, nescaya terlihat keajaiban yang menangkap imaginasi.

Masih tiada apa-apa? Biasa-biasa sahaja? Kalau demikian, anda juga biasa-biasa!
Lihatlah warna merah menyala di celah-celah dominasi dedaun hijau yang mendamaikan jiwa dan minda. Betapa sang bunga muncul menambah seri suasana alam yang sentiasa diuji dengan kerakusan tangan manusia yang tidak pernah ada hentinya. Sang bunga menzahirkan manifestasi perjuangan dan harapan.

Kemunculannya dalam tempoh yang singkat melambangkan kuasa perubahan. Murid dan pelajar SMI juga demikian. Mereka hadir di laman SMI cuma seketika, tidak lama.

Maka, gunakanlah kesempatan yang sependek mana pun untuk membungakan kecemerlangan dan kejayaan. Siapa tahu bunga-bunga yang sementara akan mampu menyebarkan benih di tempat-tempat di kejauhan dengan bantuan angin yang membelai. Murid dan pelajar SMI juga akan keluar bertebaran dalam masyarakat luas untuk menabur bakti dan jasa... Insya-Allah.

SELAMAT BERMUKIM BEKAS PELAJAR SMI: SABTU 26.6.2010

Thursday, June 24, 2010

MEMILIH TAJUK PENYELIDIKAN (SELECTING TOPIC FOR PREUNIVERSITY RESEARCH)

Tajuk boleh diumpamakan sebagai jenama sesuatu barang atau keluaran. Contohnya, demi disebut Nokia, hampir semua orang dapat mengaitkannya dengan telefon bimbit. Walaupun Nokia juga mengeluarkan gajet teknologi maklumat yang lain seperti komputer, sekurang-kurangnya satu bentuk kawalan telah terbentuk dalam minda pengguna bahawa Nokia ialah jenama telefon bimbit yang terkenal.

Menurut Kamus Dewan, tajuk ialah judul, mauduk, kepala atau pokok perbincangan. Dalam bahasa Inggeris, tajuk ialah topic, iaitu subject to discuss something. Sebagai asas kawalan, sesuatu tajuk macam juga stereng kereta, kemudi kapal, atau tali layang-layang.

Tanpa kawalan, kereta hampir pasti terbabas, kapal hilang arah tujuan dan layang-layang lesap entah ke mana-mana. Maka, kalau orang bercakap tanpa tajuk yang khusus, dia sebenarnya bercakap kosong atau merapu. Demikian juga dalam penyelidikan, tanpa tajuk yang khusus, proses seterusnya tidak boleh dimulai.

Memilih tajuk untuk penyelidikan bagaikan proses "mencipta" sesuatu (Abdul Rashid Moten, 1998). Maksudnya, seseorang penyelidik melakukan proses penerokaan baharu, atau proses penerokaan semula sebelum memulai sesuatu penyiasatan yang mendalam. Dalam kata lain, seseorang penyelidik mengenal pasti dan membuat keputusan tentang masalah yang hendak disiasat.

Tajuk mungkin telah ditetapkan oleh organisasi tempat penyelidik, atau oleh penaja penyelidikan. Bagi penyelidik yang masih baharu, mereka perlu dilatih tentang proses pemilihan tajuk supaya mendapat gambaran awal tentang data yang hendak dikumpulkan. Seboleh-bolehnya tajuk hendaklah berkenaan dengan masalah atau perkara yang hampir dengan organisasi, persekitaran atau tempat penyelidik berada.

Pertimbangan / Kriteria Memilih Tajuk

1  Masalah yang disiasat mempunyai kepentingan, atau signifikan kepada penyelidik, organisasi, dan orang ramai;

2    Data berkaitan boleh dikutip dalam tempoh siasatan dan akses sumber yang ada;

3    Menjaga etika penyelidikan

4    Menghormati kerahsiaan subjek / responden penyelidikan


Kesilapan yang mesti dihindari:

1  Meliputi masalah yang terlalu besar / luas. Contohnya, "Stres dalam kalangan pemandu Malaysia";

2   Terlalu ideal, atau emosional.

3   Menyimpang daripada logik / terlalu imaginatif

4   Menggambarkan matlamat yang terlalu banyak / cita-cita sangat tinggi

5   Pemboleh ubah kabur / tidak fokus

6   Mengandungi kontroversi / pendapat peribadi penyelidik yang berat sebelah


Sumber Pemilihan Tajuk

1   Pengalaman sendiri / orang lain

2   Menyambung kajian orang lain: tajuk sama, tetapi ubah persekitaran / populasi

3   Isu semasa: hadkan kajian sekadar populasi berhampiran penyelidik

4   Menguji teori sedia ada


Cara / Kaedah Memilih Tajuk

1   Sumbang saran:

     Lontaran idea spontan --> disenaraikan tanpa susunan --> gunakan frasa ringkas --> klasifikasi  -->  masukkan pemboleh ubah

2   Rujukan di pusat sumber / perpustakaan;

      abstrak penyelidikan, akhbar, almanak, artikel, autobiografi, bibliografi, blog, buku,
      CD-ROM, direktori, dokumen, ensaiklopedia, indeks, jurnal, kamus, laman sesawang,
       laporan rasmi, majalah, media massa, perangkaan, senarai semak, terbitan berkala, VCD

Bantuan pakar / pensyarah / penyelia penyelidikan (guru akademik tingkatan 6)

     janji temu /  ikuti kuliah penyelidikan / perbincangan tidak rasmi / utuskan e-mel

4   Kongsi dengan rakan

      berbincang dalam kumpulan kecil --> cadangan bidang tajuk --> senaraikan pilihan --> buat keputusan --> dapatkan kelulusan


Panduan Sesi Sumbang Saran 
(Pemudah Cara: Guru Akademik Tingkatan 6)

Tarikh: 29 Jun 2010 (Selasa)

Masa:  2.00 - 3.20 petang

1   Penerangan oleh pemudah cara  (10 minit)

2   Menyalin nota ringkas  (10 minit)

3   Cadangan bidang tajuk (10 minit)

4   Membina tajuk  secara berpasangan (10 minit)

5   Pembentangan tajuk  / perbincangan  (10 minit)

6   Menanda senarai semak / melaporkan  (10 minit)

7   Ulasan pemudah cara  (10 minit)

8   Perbincangan / Penulisan tajuk lengkap  (10 minit)

Usai sesi sumbang saran, tajuk yang telah lengkap diserahkan kepada pemudah cara untuk proses kelulusan panel penyelidikan prauniversiti...

bersambung...

Wednesday, June 23, 2010

OTAI MICHAELIAN TURUN PAGI SABTU INI ("OLD" MICHAELIAN BACK TO SCHOOL)

Satu keistimewaan SMK St Michael, Ipoh (SMI) ialah hubungan erat antara bekas anak murid dan pelajarnya dengan pihak sekolah menerusi persatuan bekas pelajar, Old Michaelian Association, OMA. Memandangkan SMI telah menghampiri perayaan 100 tahun menjelang 2012, bekas pelajarnya terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Selain itu, atas daya usaha kumpulan bekas pelajar yang masih mahu terus berhubung rapat dengan warga SMI semasa, persatuan bekas pelajar berasaskan lokasi, dan peringkat umur turut ditubuhkan.
Pada 26 Jun ini (Sabtu) bermula pukul 8 pagi sekumpulan bekas pelajar berusia antara 20 hingga 35 tahun bakal kembali ke SMI bagi mengembalikan nostalgia lama, di samping mengeratkan hubungan setelah lama tidak bersua. Walaupun masing-masing mungkin terus berhubung secara maya menerusi blog, facebook, twitter dan sebagainya, pertemuan secara bersemuka sebenarnya lebih bermakna, serta lebih tulen.

Disebabkan SMI ialah sekolah dominasi pelajar lelaki, OMA dikuasai sepenuhnya oleh tenaga maskulin. Pelajar perempuan yang hanya membentuk kira-kira 5 peratus enrolmen saban tahun hanya terdiri daripada kemasukan tingkatan enam. Walaupun begitu, kejayaan dan nama baik yang dibawa oleh bekas pelajar wanita SMI juga hebat-hebat belaka.

Contohnya, Dato' Dr Robaayah, Pengrah Institut Jantung Negara, IJN. Penulis blog (PB) juga dimaklumkan banyak lagi bekas Michaelian wanita yang menyandang kedudukan penting dalam pelbagai organisasi hingga ke peringkat antarabangsa. Bilakah agaknya OMA versi feminin akan muncul dan kembali bertandang secara beramai-ramai di laman SMI?

PERMULAAN KOKURIKULUM 6 RENDAH (CLUB AND UNIFORM UNIT RECRUIT NEW MEMBERS)

Ipoh, Rabu: 22 Jun 2010 / 10 Rejab 1431

Jumlah pelajar tingkatan 6 Rendah SMK St Michael, Ipoh (SMI) mencecah 220 orang selepas kemasukan pelajar baharu yang tamat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kes pertukaran. Bilangan ini dijangka mengalami sedikit perubahan hingga menjadi stabil menjelang bulan September. Sementara itu calon STPM 2009 mula mendaftar di IPTA dan IPTS mulai 4 Julai ini.
Setelah menerima taklimat penyelidikan pada hari Selasa (semalam), aktiviti kokurikulum pula bermula hari ini. Sebanyak 8 unit pakaian seragam mengadakan mesyuarat agung mulai pukul 2.00 petang, diikuti dengan persatuan dan kelab pada pukul 3.40 petang. Ahli jawatankuasa sesi yang lalu dibubarkan untuk memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Pasukan kadet bomba telah memilih Nathan sebagai pengerusi yang baharu bagi menggantikan Joel. Dalam sesi pengenalan calon, Nathan sempat berkempen dengan menyebut "badan organisasi menyelamat bencana alam" sebagai akronim bomba. Walaupun tagline itu tidaklah menepati matlamat penubuhan kadet bomba di sekolah, tetapi telah berjaya mengumpul undian tertinggi.
Sementara itu, Kelab Penulisan dan Penerbitan mengelolakan sesi suai kenal dengan justifikasi bahawa pelantikan anggota sidang pengarang majalah sekolah hendaklah diserahkan kepada individu yang memiliki kebolehan penulisan yang terbaik dalam kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Di samping itu, pemilihan ketua editor akan melalui beberapa proses tapisan. Maka, aktiviti ice-breaking telah dikendalikan oleh jawatankuasa tertinggi sesi 2009/2010.
Sama macam komposisi keanggotaan sidang redaksi The Michaelian ediai 2009, majoritinya ialah pelajar perempuan. Keseluruhannya, kelab menerima sejumlah 23 orang anggota baharu dalam kalangan pelajar 6 Rendah. Semoga mereka dapat menggalas tanggungjawab mengekalkan reputasi majalah tahunan SMI yang mendapat maklum balas positif setakat ini...

Tuesday, June 22, 2010

PERTUBUHAN SUKARELA JAYAKAN MISI GAZA (THE OLD MAVI MARMARA SHAKE THE WORLD)

akan datang...


 

KEHADIRAN PEKERJA ASING LAMBANG GLOBALISASI (THE CONTRIBUTION OF FOREIGN WORKERS)

Seperti eksekutif bank antarabangsa yang lain, John Major memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjanya di ibu pejabat Standchart (Standard Chartered) di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. John bertahan selama lima tahun dan telah mengutip begitu banyak pengalaman dalam urusan kewangaan dan perbankan kompetetif. Siapa sangka bahawa suatu hari kemudiannya John Major menghuni kediaman beralamat no. 10, Downing Street di tengah-tengah Kota London kerana menggantikan wanita besi Britain, Margeret Tratcher sebagai Perdana Menteri negara bekas kuasa imperialis dunia yang turut menerokai Amerika Utara dan Oceania.
John Major ialah contoh pekerja asing yang pernah mencari rezeki di Malaysia. Kini, jutaan pekerja asing menumpang tuah kemakmuran negara kita. Namun, kita juga tidak harus lupa hakikat bahawa entah berpa ramai pula warga Malaysia mencari rezeki di bumi asing. Pergerakan pekerja merentas sempadan geografi sedemikian bukanlah perkara baharu.

Amerika Syarikat menerima tidak kurang lima juta orang warga India yang bekerja sebagai pakar teknologi maklumat di Lembah Silikon. Kota-kota di Eropah juga dibanjiri pekerja asing yang tidak terkira banyaknya. Di Arab Saudi, bilangan pekerja asing sudah mengatasi jumlah penduduk negara berkenaan.

Kebanyakan negara sedang membangun berebut-rebut menarik kemasukan pelaburan asing yang diharapkan akan menyuntik sumber modal, kepakaran dan teknologi. Malaysia, Singapura dan Hong Kong pula berlumba-lumba memajukan pusat kewangan pesisir (offshore) sebagai hub dan transit pergerakan kecairan dan rezab antarabangsa. Bandar pintar Cyberjaya  telah berjaya menambat hati pemilik syarikat gergasi antarabangsa seperti DHL dan Samsung untuk membuka pusat sehenti serantau mereka yang membabitkan pelaburan berbilion-bilion ringgit.

Sebagai daya tarikan, lebih banyak sekolah antarabangsa telah dibenarkan beroperasi di bandar-bandar utama yang menjadi tumpuan ekspetariat asing. Misi menjual Malaysia sebagai destinasi pelaburan bukan sahaja diatur oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), bahkan oleh kerajaan-kerajaan negeri. Dengan itu, ketibaan pekerja asing sama ada bertaraf ketua pegawai eksekutif (CEO), pegawai pertengahan, atau pekerja biasa akan turut meningkat.

Monday, June 21, 2010

LESTARI PEMBANGUNAN (THE NEW HOPE FOR DEVELOPMENT)

Setiap perkara yang sama akan dilihat secara berbeza olah orang yang berlainan, bergantung kepada latar belakang, situasi dan tahap berfikir seseorang. Orang biasa-biasa melihat sampah sarap sebagai masalah, iaitu kotor dan mencemarkan. Tetapi seorang usahawan melihatnya sebagai peluang untuk membida kontrak bernilai jutaan ringgit untuk projek pembersihan sungai, misalnya.

Begitu juga dengan konsep pembangunan. Jika ditanya pakar sekalipun, mereka tetap memberi jawapan yang berbeza kerana dipengaruhi latar belakang kesarjanaan masing-masing. Dari segi ekonomi positif, pembangunan ialah proses meningkatkan pendapatan per kapita sesuatu masyarakat secara berterusan dalam jangka panjang.

Pendapatan per kapita diukur dengan cara membahagikan pendapatan negara dengan jumlah penduduk. Maknanya, ia dihitung secara purata. Hakikat kelemahannya tidak dapat memberi gambaran tentang perkongsian kek kemakmuran negara (agihan pendapatan yang adil dalam kalangan rakyat), boleh ditampung dengan mengukur pekali Gini (keluk Lorenz), pertumbuhan kebajikan, dasar fiskal dan dasar kewangan menerusi sistem penyampaian awam.
Anggapan bahawa pembangunan ekonomi merujuk kepada jumlah projek hartanah, pencakar langit dan lot perniagaan semata-mata ialah pendapat amatur, seperti sembang kosong kedai kopi. Hasrat untuk menuju ke arah masyarakat yang berpendapatan tinggi memang bertepatan dengan impian mewujudkan sebuah negara yang makmur dan sejahtera. Pendapatan yang tinggi pula hanya akan dapat dinikmati dengan memastikan keselamatan, kerukunan dan ketenteraman hidup rakyat jelata terjamin sepenuhnya.

Lestari membawa erti pemuliharaan dan pengekalan. Justeru, lestari dalam pembangunan bermaksud mengekalkan arah peningkatan pendapatan per kapita secara berterusan dalam jangka panjang. Semua isi rumah dipastikan mencapai tahap kuasa beli yang munasabah supaya dapat menyumbang terhadap aktiviti ekonomi bagi meningkatkan perbelanjaan agregat yang diseimbangkan dengan penawaran agregat.

Pembangunan yang pincang hanya mengkayakan segelintir orang. Kepercayaan bahawa dengan mewujudkan segelintir orang kaya dapat menolong orang miskin mendapat kerja sebagai pemandu, pembantu rumah dan tukang kebun hanyalah manipulasi si tamak yang mahu terus berlagak sebagai tuan untuk membentak orang miskin. Penulis blog (PB) pernah membincangkan model paradigma palsu (Todaro) sebelum ini.

Kemiskinan mendekatkan manusia kepada keingkaran (kufur). Sebab itu Saidina Ali pernah mengungkapkan bahawa andainya kemiskinan itu wujud sebagai makhluk yang hidup, nescaya aku bunuh. Yang hendak dibunuh ialah kemiskinan, bukan orangnya!

Jika kemiskinan dibiarkan berleluasa, jurang agihan pendapatan semakin melebar hingga menimbulkan rasa tidak puas hati. Orang kaya juga akan mengalami kesusahan untuk terus kekal kaya kerana aktiviti ekonomi menjadi perlahan akibat kuasa beli masyarakat yang rendah. Malah, indeks jenayah juga tidak dapat ditahan-tahan daripada melonjak tinggi.

Aliran, fahaman atau gerakan yang mensucikan kemiskinan hendaklah ditolak. Sebaliknya, semua orang mesti digesa supaya berikhtiar untuk menjadi kaya. Hanya orang kaya mampu membayar cukai pendapatan, membayar zakat, dan berbelanja membeli barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai pelaku ekonomi, termasuk usahawan kecil-kecilan.

Perbuatan membolot peluang projek dan tender dalam kelompok yang kecil hanya akan menyebabkan kekayaan berlegar-legar dalam kalangan segelintir orang yang memiliki akses kepada punca pengaruh. Amalan rasuah, menipu ketika menulis invois, khianat, potong jalan dan membunuh pesaing ialah antara petanda kebobrokan akhlak dalam sebuah masyarakat yang mendambakan hawa nafsu per se. Ekonomi terdedah kepada kemerosotan, dan berpotensi merudum secara tiba-tiba.

Ukuran kekayaan bukan menunggu hingga seseorang itu menghuni banglo mewah, atau  memandu mobil buatan tangan (Ferrari, Lamborghini, Porsche), atau memiliki empayar perniagaan yang tidak terkira banyaknya. Jika seseorang itu telah melepasi paras kemiskinan, dan mampu pula membayar zakat, atau mampu membayar cukai pendapatan, orang itu boleh dianggap sudah kaya. Dia telah mempunyai lebihan dalam perbelanjaan yang perlu.

bersambung...

Saturday, June 19, 2010

HOBI MEMANCING (FISHING HOBBY)

Kegiatan budak kampung kini juga hobi yang mahal! Aksesori dan peralatan memancing mengalahkan set permainan golf. Kegilaan terhadap aktiviti memancing diambil kesempatan oleh penganjur sah dan penganjur "kaut untung" menerusi pelbagai pertandingan.
Sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan menganjurkan grand prix memancing jelajah semenanjung. Kaki-kaci pancing sanggup berbelanja besar untuk menjayakan misi mendaratkan ikan yang paling besar dan paling berat. Kepuasan utama bukan lagi hadiah, tetapi keseronokan menunjukkan bakat luar biasa.

Hadiah yang disediakan memang lumayan, termasuk wang tunai lima angka. Selain itu, pemenang berpeluang membawa balik kereta nasional, atau motosikal berkuasa tinggi. Namun, pemenang sebenar ialah penganjur kerana berjaya memungut yuran penyertaan mencecah RM50k, sedangkan nilai hadiah dan kos penganjuran sekitar RM40k.
Detik yang paling mengujakan kaki pancing ialah pergelutan dengan ikan untuk ditarik naik. Tanpa teknik yang betul, si kaki pancing pula akan ditarik ke air, dan terpaksa berputih mata. Maka, bagi mempelajari teknik terbaik, kaki pancing melanggan majalah Pancing dan melayari laman sesawang yang berkaitan.

Jika telah berkeluarga, si kaki pancing harus meyakinkan isteri dan anak bahawa dia tidak akan melencong. Maklumlah, tempoh keluar memancing agak lama. Macam-macam hal boleh berlaku.

Jika seekor ikan pun tidak dapat didaratkan, alamat beli sahaja di pasar sebagai ganti. Jika hendak nampak real, beli ikan yang masih hidup. Pilihan yang betul ialah mengaku sahajalah...

Ada banyak cerita tentang pancing-memancing sebenarnya. Orang Melayu dahulu kala mewariskan peribahasa yang sangat bijak, iaitu kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Maksudnya, bagi menempuh ujian yang besar, persediaan rapi amat diperlukan supaya kerja tidak menjadi sia-sia.

Orang Cina mengatakan "jika kamu beri seekor ikan, seseorang itu akan dapat makan untuk sehari, tetapi jika kamu beri ajar dia menangkap ikan, nescaya dia akan makan ikan sepanjang hayatnya." Peribahasa berkenaan sangat meluas digunakan oleh organisasi amal, serta yayasan kebajikan. Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam diriwayatkan sebagai pernah memberikan kapak dan tali kepada seorang sahabat supaya dia boleh berdikari.

Dalam sesi latihan sumbang saran, cerita tentang tangkap ikan selalu digunakan sebagai anologi / kiasan / perbandingan / tamsilan. Misalnya, tajuk "Syarat-syarat hendak berjaya dalam peperiksaan." Peserta akan diminta menyenaraikan syarat kejayaan menangkap ikan.

Secara sumbang saran / percambahan fikiran / perah minda / brainstorming, senarai berikut mungkin tercatat:

        Pemancing: sihat, bijak, sabar, kuat, cepat, berimaginasi, suka menolong, yakin, berilmu

        Peralatan: canggih, cukup, tahan, mengelirukan ikan, senang dibawa, muat dalam kereta, saiz fleksibel

        Umpan: senang dapat, murah, disukai ikan, tahan dalam air, boleh digunakan berulang kali

        Kawasan: selamat, selesa, banyak ikan, boleh dilalui kenderaan, dibenarkan, dekat dengan kedai makan

        Ganjaran:  lumayan, berpatutan, segera, paling tidak balik modal

Senarai di atas telah melalui proses klasifikasi. Maka, untuk berjaya dalam peperiksaan, tukarkan semua pemboleh ubah yang tersenarai kepada diri pelajar sendiri. Contohnya, tempat belajar dinisbahkan dengan kawasan menangkap ikan: selamat, selesa, dan lain-lain.

Kaedah anologi juga sesuai digunakan dalam menyiapkan tugasan yang berkaitan dengan faktor, keperluan, sebab dan ciri. Sebenarnya kaedah analogi sangat meluas digunakan oleh sarjana bidang pengurusan organisasi (disebut sebagai metafora), contohnya organisasi diumpamakan sebagai sebuah jentera yang mesti senantiasa beradaan baik dalam serba-serbinya. A-Qur'an juga banyak menampilkan tamsilan supaya mudah bagi manusia berfikir tentang sesuatu fenomena, atau mengukuhkan justifikasi tentang sesuatu perkara.

Pengalaman penulis blog (PB) dalam bab memancing ialah pada zaman sekolah rendah di Parit 13, Ayer Deras, Sungai Tukang Sidin. Modalnya hanya mata kail pelbagai saiz bernilai 10 sen untuk tiga unit dan tali tangsi. Batang pancing diperoleh secara percuma daripada rumpun buluh.

Umpan yang digunakan ialah cacing tanah. Tiada rasa geli langsung menarik cacing dari tanah dan seterusnya dicucuk pada mata kail. Lucunya ikan haruan akan dilepaskan semula kerana ketika itu khasiat tentangnya belum dihebohkan.

Selain memancing, PB biasa menahan lukah di pergentingan (di hujung laluan keluar masuk ikan). PB juga tidak kekok menggunakan bubu yang direndam ke dalam air untuk memerangkap ikan pelbagai saiz. Kalau di sawah padi main gagau sahaja tanpa menggunakan alatan.

Setelah berpindah ke Kampung Bahagia, berdekatan bandar Teluk Anson (kini Teluk Intan), kegiatan memancing tinggal sejarah. Bukan kawan-kawan tidak mengajak. Alasan PB: banyak komitmen...

Friday, June 18, 2010

CADANGAN PENYELIDIKAN PELAJAR TINGKATAN 6 (RESEARCH PROPOSAL FOR PREUNIVERSITY STUDENT)

Dari segi bahasa, penyelidikan ialah penyiasatan yang mendalam. Secara lebih khusus, penyelidikan ialah proses mencari jawapan kepada sesuatu persoalan, atau proses menyelesaikan masalah. Kekuatan atau nilai sesebuah penyelidikan bergantung kepada aras kebolehpercayaan data yang diperoleh, iaitu dengan mengurangkan sebanyak mungkin ralat yang wujud akibat kekaburan instrumen yang ditadbirkan, atau akibat kecenderungan jawapan responden atau subjek penyelidikan memenuhi jangkaan penyelidik.

Cadangan penyelidikan ialah dokumen panduan, atau usul yang bersifat tentatif. Ertinya, penyelidik boleh mengubah suai cadangan selagi proses penyelidikan masih berjalan. Umpama peta untuk menuju sesuatu destinasi, jika terdapat halangan pada laluan asal, laluan alternatif boleh dipilih tanpa menjejaskan arah destinasi.

Rangka cadangan penyelidikan sama dengan rangka laporan penyelidikan (untuk dibentangkan / disebarkan), kecuali ketiadaan bab 2 (tinjauan bacaan), bab 4 (analisis data), serta bab 5 (kesimpulan dan saranan). Maka, tertib penulisan cadangan yang lengkap seharusnya meliputi:

1   Tajuk penyelidikan

2   Penyataan masalah penyelidikan, termasuk kepentingan penyelidikan

3   Objektif penyelidikan

4   Soalan penyelidikan / hipotesis (Ho, H1)

5   Kaedah penyelidikan: alat pengukuran data, sampel, analisis, jangka masa, batasan penyelidikan

6   Definisi / konsep pemboleh ubah penyelidikan

7   Senarai rujukan


Memilih Tajuk

Sebelum tajuk dimuktamadkan, penyelidik harus menetapkan populasi, iaitu kelompok yang hendak diselidik. Sebaik-baiknya biarlah populasi yang ditetapkan itu dekat dengan organisasi atau institusi penyelidik. Misalnya, menetapkan populasi dalam kalangan tingkatan 6 Rendah sahaja. Barang diingat bahawa pelajar kelas peperiksaan (3, 5, 6 Atas) tidak boleh dijadikan populasi.

Seseorang penyelidik tidak seyogia berlagak seperti ahli falsafah yang menggunakan retorik sehingga sukar untuk dibuktikan, serta susah untuk diukur. Contoh tajuk sedemikian: Keberkesanan Pembelajaran Berkumpulan. Penyelidik bakal mengalami kepayahan untuk mendefinisikan maksud keberkesanan, konsep pembelajaran yang mana satu, dan kumpulan yang bagaimana.

Tajuk berkenaan boleh dikecilkan menjadi:

"Persepsi Terhadap Kaedah Kumpulan Belajar Dua Orang."


Contoh tajuk yang lain:

"Pelajar Matematik 'T' 6 Rendah SMK St Michael Kurang Menggunakan Buku Teks dalam Pembelajaran"

"Penggunaan pen pelbagai warna mengurangkan kekeliruan terhadap lakaran keluk ekonomi"

"Kaedah Seminar Meningkatkan Minat Pelajar dalam Kursus Pengajian Am"

"Aktiviti pengakap kelana meningkatkan daya kepimpinan pelajar 6 Rendah"

"Persepsi anggota kadet bomba terhadap kurikulum latihan yang disediakan"

"Pengambilan Sarapan Pagi Meningkatkan Tumpuan Pembelajaran di Bilik Kuliah"

"Masa Rehat Pelajar Tingkatan 6 perlu dipanjangkan kepada 30 minit"

"Persepsi pelajar prauniversiti terhadap penggunaan internet dalam pembelajaran Muet"

"Persepsi terhadap perkhidmatan pusat sumber untuk pelajar prauniversiti"

"Peluang penglibatan pelajar dalam amali fizik prauniversiti"

"Kebaikan menempatkan pelajar prauniversiti di sekolah"

"Ciri Ketua Kelas yang Digemari Pelajar Prauniversiti"

"Persepsi terhadap keperluan khidmat kaunseling dalam kalangan pelajar prauniversiti"

"Persepsi pelajar prauniversiti terhadap satu program realiti televisyen"

"Peruntukan Waktu Bersenam dalam kalangan pelajar prauniversiti"

"Corak perbelanjaan pelajar prauniversiti di kantin sekolah"

"Kerjasama dalam aktiviti persatuan dalam kalangan pelajar prauniversiti"

"Potensi penggunaan facebook dalam pembelajaran prauniversiti"

"Genre muzik pilihan pelajar prauniversiti"

"Persepsi pelajar prauniversiti terhadap perkhidmatan tuisyen swasta"


Penyataan Masalah Penyelidikan

Masalah penyelidikan tidak semestinya bersifat negatif, atau mendatangkan kerugian, malah termasuk perkara yang memudahkan dan menyenangkan sesuatu proses. Dalam bahasa biasa, masalah penyelidikan ialah isu (bidang keprihatinan) yang ingin dikaji. Masalah penyelidikan yang dikenal pasti hendaklah ada beberapa pilihan penyelesaian / perubahan yang belum dapat dipastikan supaya bersebab untuk dikaji.

Ringkasnya, penulisan masalah kajian dapat digambarkan seperti berikut:

kenal pasti individu / kumpulan --> objektif --> pilihan cara penyelesaian --> kepentingan masalah

Masalah yang dipilih mestilah dapat diukur dalam persekitaran yang diselidik. Maksudnya, penyataan masalah yang cenderung kepada kepercayaan, metafizik, nilai dan spekulasi  (contoh: sepatutnya, sewajarnya) hendaklah diketepikan. Sebaliknya, gunakan pernyataan seperti "persepsi', "yang difikirkan" dan seumpamanya supaya dapat disejajarkan dengan tatacara penyelidikan yang bersifat boleh ukur secara mata kasar.

Objektif Penyelidikan

Penulisan objektif penyelidikan membantu penyelidik memberi fokus terhadap pernyataan masalah. Objektif hendaklah disejajarkan dengan pemboleh ubah penyelidikan dan tatacara penyelidikan seterusnya. Lazimnya hanya dua atau tiga objektif ditetapkan sebagai input pembinaan soalan penyelidikan / hipotesis.

Andaikan penyelidik menetapkan tajuk

"Ketiadaan skim pinjaman buku teks menjejaskan motivasi pelajar prauniversiti".

Pernyataan masalah telah ditulis lebih kurang begini:

Buku teks boleh dianggap sebagai nadi pembelajaran pelajar prauniversiti. Buku teks disediakan begitu rupa dengan mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran, di samping menjadi dokumen asas penggubalan item soalan peperiksaan STPM. Maka, pemilikan buku teks menjadi perkara kritikal dalam meningkatkan motivasi pelajar.

Ironinya, skim pinjaman buku teks sebagaimana yang dinikmati oleh murid sekolah rendah hingga tingkatan 5 tidak disambung kepada pelajar prauniversiti. Mereka perlu membeli dan mendapatkan sendiri buku teks di pasaran. Kesukaran memperoleh buku teks cetakan asal digambarkan dengan pemilikan buku fotokopi yang tidak menyamai buku teks sebenar.

Penyelidikan ini berharap dapat memastikan bahawa ketiadaan skim pinjaman buku teks menjurus kepada terjejasnya motivasi pelajar prauniversiti. Selain kos pembelian yang tinggi, kesukaran mendapatkan naskhah cetakan asli telah memburukkan keadaan.

Maka, penyelidikan ini menggariskan objektif seperti di bawah:

1    Meninjau tahap pemilikan naskhah cetakan asal buku teks dalam kalangan pelajar prauniversiti; dan

2    Menentukan kaitan antara ketiadaan skim bantuan buku teks dengan tahap motivasi dalam kalangan pelajar prauniversiti.


Soalan Penyelidikan / hipotesis
(penulisan ini hanya bertumpu kepada soalan penyelidikan)

Penulisan soalan penyelidikan mesti berpandukan objektif di atas. Antara ciri penting soalan penyelidikan ialah boleh dijadikan asas pembinaan item dan instrumen penyelidikan, boleh ditadbirkan, jelas, signifikan dan beretika. Contoh soalan penyelidikan:

1   Apakah bentuk-bentuk masalah yang dihadapi oleh pelajar prauniversiti?;

2   Adakah ketiadaan skim pinjaman buku teks menjejaskan motivasi pelajar prauniversiti?


Kaedah Penyelidikan

Secara umum, dibahagikan kepada dua: kuantitatif dan kualitatif. Pelajar tingkatan 6 disarankan memilih kaedah kuantitatif atas pertimbangan masa dan pengalaman. Sebagai pendedahan kepada proses melaksanakan penyelidikan, pelajar hanya menggunakan data kuantitatif asas: taburan kekerapan, peratusan dan pangkatan.

Data ialah maklumat terpilih berdasarkan penyelidikan. Pelajar harus dapat membezakan antara data nominal, data ordinal, nisbah dan sela. Proses membezakan data membolehkan analisis dan inferens benar-benar sah dan boleh dipercayai.

Kaedah kuantitatif ialah manipulasi pemboleh ubah menerusi pengukuran objektif populasi yang ditetapkan untuk digeneralisasikan kepada dunia luar. Populasi pula telah diwakili oleh sebilangan sampel. Dalam kata lain, sampel ialah subset kepada populasi (pengecualian kepada kajian kes: sampel = populasi).

Pelajar digalakkan menggunakan sampelan bukan rawak bertujuan, iaitu penyelidik dengan sengaja memilih sampel bagi mewakili populasi. Penyelidik mesti memastikan bahawa semua instrumen yang ditadbirkan ke atas sampel dapat dikutip semula untuk analisis data. Pelajar tidak digalakkan menggunakan sampelan sukarela, iaitu pada akhirnya peratus kembalian set instrumen tidak mencapai tahap 100%.

Instrumen penyelidikan yang paling mudah ialah soal selidik. Secara ideal, penyelidik hendaklah memastikan bahawa segala item dalam instrumen yang ditadbirkan hendaklah sejajar dengan pernyataan masalah, objektif dan soalan penyelidikan, dan seterusnya selari dengan tinjauan bacaan serta analisis yang bakal dibuat.


Definisi Konsep

Pemboleh ubah yang dinyatakan dalam tajuk hendaklah ditakrifkan berdasarkan keperluan penyelidikan.

Contoh:  buku teks; pelajar prauniversiti, menjejaskan,  motivasi


Senarai Rujukan

Sesuai dengan status penyelidikan, hanya sumber rujukan yang autentik patut digunakan. Misalnya buku, jurnal, majalah ikhtisas, laporan pakar, dokumen dan rekod rasmi, tesis, monograf, muat turun. Ambilan fakta dan petikan hendaklah dimasukkan dalam bab 2 (tinjauan bacaan). Pendapat tokoh, ucapan pemimpin andaian hanya boleh dimasukkan dalam penyataan masalah.

Penulisan rujukan atau bibliografi sebaik-baiknya mengandungi nama penulis, tahun terbit, judul penulisan, tempat terbit, penerbit. Contoh penulisan rujukan ala APA (American Psychology Association):

Azhar bin Mohd Rodzi (2005). Permuafakatan Guru dalam Proses Perancangan Perkembangan Staf di Dua Buah Sekolah Menengah Teknik di Perak. Dalam Jurnal Pendidikan Edisi 25. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

PENYELIDIKAN TINGKATAN 6 MENJURUS SAINS SOSIAL (DESIGNING RESEARCH FOR PREUNIVERSITY STUDENT)

Walaupun masih dalam tempoh peralihan penjenamaan semula pengajian prauniversiti yang dilaksanakan di sekolah, kohort pelajar tingkatan 6 semasa tetap menerima penambahbaikan dari segi pendedahan proses penyelidikan. Mereka dibimbing supaya memiliki pengalaman asas yang mencukupi dalam kerja-kerja penyelidikan. Mereka juga akan lebih peka terhadap perbezaan cara perolehan ilmu secara lebih tepat dan bertanggungjawab, berbanding dengan semata-mata berasaskan pengalaman, pendapat orang lain, pandangan pakar, atau sandaran logik.

Pertimbangan utama penyelidikan pelajar tingkatan enam ialah dari segi peruntukan masa dan akses kepada tatacara penyelidikan sebenar. Termasuk Pengajian Am dan Muet, pelajar sudah mempunyai lima mata pelajaran yang perlu digalas. Maka, penyelidikan harus dijadualkan selepas tamat waktu kuliah dan amali, iaitu sebelah petang.

Jika pihak pentadbiran memilih supaya penyelidikan diselesaikan semasa 6 Rendah, maka pelajar mempunyai masa lebih kurang 10 minggu persediaan laporan penyelidikan dalam bentuk folio untuk tujuan pembentangan dalam sesi kolokium sebelum peperiksaan akhir tahun dimulai. Maka, perjumpaan mingguan yang dianggarkan mengambil masa antara sejam setengah hingga dua jam perlu dimanfaatkan dengan melengkapkan draf kandungan folio menerusi bimbingan dan penyeliaan guru. Proses penyelidikan hanya akan berjalan dengan lancar jika perancangan telah dibuat.

Secara ideal, pelajar jurusan sains patut melaksanakan penyelidikan berkaitan bidang sains: matematik, fizik, kimia, biologi. Hal itu boleh dilaksanakan dengan syarat modul khas dan penarafan penyelidikan sains pelajar didokumenkan. Tentulah melucukan apabila pihak konsultan diupah untuk kononnya mereka cipta satu projek sains supaya dapat masuk bertanding hingga ke peringkat antarabangsa!

Sebagai jalan tengah, penyelidikan pelajar tingkatan 6 diseragamkan atas tema sains sosial, justeru semua pelajar - tidak kira sains atau sastera - diwajibkan belajar Pengajian Am. Lagi pun, penyelidikan berciri sains sosial semakin meluas digunakan dalam bidang perubatan dan perkhidmatan kesihatan. Isu seperti keberkesanan rawatan dan hubungan sebab-musabab hanya menemui jawapan menerusi ujian korelasi, persandaran, analisis faktoral, kumulatif, infrens, anova, ancova, regresi dan hitungan statistik lain.

Mengambil kira faktor masa dan aksesibiliti maklumat, pelajar tingkatan 6 hanya digalakkan menggunakan kaedah statistik deskriptif paling asas, iaitu taburan kekerapan, peratusan dan pangkatan kedudukan. Maknanya, hanya kertas, kalkulator dan pen diperlukan. Konsep statistik yang menakutkan perlu disimpan buat sementara waktu, kecuali atas permintaan...

Thursday, June 17, 2010

DAHULUNYA KENDERAAN EKSKLUSIF (THREESHAW SERVICE)

Ketika zaman negara belum mencapai kemerdekaan hingga penghujung 1970-an, perkhidmatan beca masih mendapat sambutan di bandar-bandar. Penarik beca mudah dilihat menunggu pelanggan di stesen bas dan stesen kereta api. Mereka memiliki pangkalan dan persatuan sendiri.
Perkhidmatan beca sangat digemari untuk pengangkutan jarak dekat antara satu hingga tiga kilometer. Penarik beca boleh dianggap gagah kerana mampu membawa hingga tiga orang penumpang dewasa sekali gus, belum termasuk beg dan barang-barang lain. Selain itu, beca juga ditempah khas untuk mengangkut barang jualan peniaga seperti pisang dan sayur-sayuran.

Penarik beca melakukan pekerjaan berkenaan secara sepenuh masa. Mereka juga mampu menyara kehidupan keluarga seadanya. Pendapatan kasar yang diperoleh mungkin tidak lumayan, tetapi datang dari hasil titik peluh mengayuh beca dalam terik matahari atau kedinginan siraman hujan yang datang tiba-tiba.

Dengan pengecualian terhadap segelintir penarik beca yang terbabit dengan kegiatan negatif, majoriti mereka menyumbang terhadap aktiviti ekonomi yang sihat. Bukan calang-calang orang yang sanggup mengayuh beca sehari suntuk. Ibaratnya boleh cabut kepala lutut!

Ketika era kegemilangan perkhidmatan beca, kebanyakan penduduk Tanah Melayu tidak memiliki kenderaan sendiri, hatta sebuah basikal. Maka, permintaan terhadap pengangkutan berkenaan sentiasa wujud. Malah, penarik beca umpama teksi bandar raya yang mengambil penumpang mengikut giliran dalam satu barisan.
Kini, pemandangan khidmat beca sudah lenyap ditelan zaman. Kalau ada pun, bilangan beca yang masih ada boleh dikira dengan jari dan lebih berorientasikan pelancongan. Di Melaka, dan Pulau Pinang, pusing bandar raya dengan beca boleh dicaj hingga RM70!

Di sebelah pantai timur, perkhidmatan beca hanya ditawarkan oleh penarik beca veteran yang mencecah usia 60-an. Apabila didekati, mereka mengakui kudrat mereka tidak seperti dahulu. Malah, mereka menerima subsidi kerajaan negeri antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Jadi, penarik beca tradisional bukan pelancongan hanyalah menghabiskan masa lapang dan sisa usia dengan rakan senasib. Mereka dapat berkongsi suka duka sementara menanti kalau-kalau ada penumpang yang masih sudi naik beca. Jikalau tidak, alamatlah seharian mereka berborak, membaca surat khabar, menggintil tasbih atau seumpamanya...

Wednesday, June 16, 2010

KALA ENGKAU MUDA (FOREVER YOUNG)

            Kala engkau muda
            Lautan ilmu terokai
            Kebijaksanaanmu gilaplah
            Kelak engkau tidak terkesima
            Dek sang pendusta berbunga bicara

            Kala engkau muda
            Jasmanimu sejahterai
            Terpilih makan minummu
            Teratur lenggok gerakmu
            Di alur bakti tenagamu

            Kala engkau muda
            Emosimu urusi
            Biar kencangnya bertempat
            Biar tenangnya bermakrifat
            Keutuhan yang berbaja

            Kala engkau muda
            Rohanimu kukuhi
            Hanya keyakinan bertakhta
            Hanya istiqamah berkuasa
            Bekal jati diri

            Kala engkau muda
            Cita-citamu lambungi
            Melangkah teruslah
            Hasutan pedulikan
            Di puncak sana temui jaya

            Kala engkau muda
            Hubungan insan peliharalah
            Alam terbentang peliharalah
            Menghadap Yang Esa sujudlah
            Kunci bahagia milikmu       

Tuesday, June 15, 2010

MI REBUS LEBUH RAYA (TRAVELLING MENU)

Kelancaran dan keselesaan perjalanan jauh menggunakan rangkaian lebuh raya menyebabkan pengguna tidak berkira sangat untuk membayar kadar tol yang difikirkan berpatutan. Laluan sehala, serta tiadanya bonggol jalan, bulatan, dan lampu isyarat membezakan lebuh raya dengan jalan raya biasa. Perkhidmatan nilai tambah seperti kereta peronda, trak tunda percuma, hentian sebelah, serta kawasan rawat dan rehat ( R & R ) menjadikan lebuh raya Malaysia antara sistem perjalanan yang terbaik di dunia.
Mungkin banyak lagi penambahbaikan dari segi bilangan lorong laluan dan sistem perkhidmatan yang boleh dibuat jika Malaysia mahu mencontohi pengalaman kejuruteraan lebuh raya negara maju seperti di Amerika Syarikat, Itali, Jepun, Jerman dan United Kingdom. Malah, negara kerdil seperti Singapura memiliki sistem lebuh raya yang begitu canggih hingga membolehkan pesawat tempur tentera udara mereka melakukan pendaratan jika diperlukan. Namun, kejayaan kontraktor tempatan membida projek pembinaan lebuh raya di benua Afrika dan benua kecil Indo-Pakistan membuktikan bahawa mutu lebuh raya kita sememangnya bertaraf dunia.

Kini, pemegang konsesi lebuh raya sudah banyak, termasuk lebuh raya singkat sebagai ikhtiar penyuraian kesesakan lalu lintas di beberapa buah bandar raya utama seperti Kuala Lumpur, Shah Alam,  dan Seremban. Maka, selain Plus, terdapat Duke, Guthrie, Kosas, Lekas, Puchong - Damansara, Smart, Sprint dan NKVE. Lebuh Raya Pantai Timur yang bersambung dari laluan lama Genting - Karak masih belum siap sepenuhnya, berakhir setakat plaza tol Jabor.

Sebagai pengguna, kita mengharapkan agar pihak berkuasa Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) akan meneruskan pemantauan terhadap aspek keselamatan yang sebenarnya tidak seyogia dikompromi. Usaha inovasi dan penyelidikan harus disegerakan supaya laluan berisiko tinggi seperti selekoh curam dan tajam direka bentuk semula. Kawasan berhampiran Genting Sempah, Pahang dan selepas terowong Menora berhampiran tol Jelapang misalnya sangat berbahaya, terutama apabila hujan.

Jika negara di Eropah berbangga dengan rangkaian lebuh raya mereka yang merentasi panorama pergunungan Alps, Malaysia juga hebat dengan pemandangan banjaran Titiwangsa. Pelancong asing pasti berasa asyik dan terpesona dengan keindahan alam ciptaan Ilahi setiap kali menggunakan perkhidmatan lebuh raya kita. Walaupun lebuh raya di Malaysia direka bentuk mengikut spesifikasi tanpa musim seperti di Barat, kekukuhan dan ketahanan fizikalnya telah diberikan perhatian yang maksimum.

Satu perkara menarik tentang lebuh raya negara kita ialah kemudahan untuk berehat. Iklim khatulistiwa panas lembap yang dialami menyebabkan pemandu cepat berasa kering tekak dan banyak mengambil minuman. Ditambah dengan keletah si kecil yang tidak betah terkurung lama dalam kenderaan, keperluan untuk berhenti acapkali tidak dapat dielakkan. Konsep R & R telah muncul sebagai jawapan yang paling sesuai.

Kemudahan R & R dilengkapi dengan pusat makan minum, bersih diri, surau dan aktiviti jual beli yang lain. Terdapat juga beberapa buah R & R yang menawarkan perkhidmatan hotel. Semua peniaga yang terpilih telah melalui proses saringan yang ketat, manakala harga jualan yang ditawarkan mesti mendapat kelulusan panel lebuh raya.
Di kawasan R & R Ulu Bernam menghala Kuala Lumpur (anggaran 115 kilometer dari tol Simpang Pulai, Ipoh) memiliki keunikan tersendiri. Pihak Fama telah diperuntukkan sebuah premis niaga yang dinamai Agrobazaar (bazar tani). Ada menu istimewa di situ.
Sempena musim cuti sekolah kali ini, Fama turut menyediakan tapak pasar tani. Sesuai dengan konsep pertanian ialah perniagaan, segala kesempatan yang ada perlu dimanfaatkan oleh usahawan tani untuk memasarkan produk mereka terus kepada "prospek" pelanggan. Hakikat bahawa kebanyakan pengguna lebuh raya memiliki kuasa beli yang tinggi tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.
Bagi menghangatkan suasana, pihak Fama menyediakan DJ (disco jockey?) yang berperanan menyampaikan maklumat dan promosi, selain memutarkan alunan muzik pelbagai genre. Pengunjung juga boleh mendapatkan peta dan risalah pelancongan secara percuma di sebelah meja DJ. Sayangnya, tidak seperti di hotel atau restoran ternama, pilihan muzik rancak, indies dan bernada tinggi yang dimainkan kurang sesuai dengan suasana menikmati hidangan.
Antara lot niaga tetap yang mendapat sambutan ialah Gerai Pak Tam dengan tagline "Tu dia... sedap beritahu kawan, tak sedap beritahu Pak Tam." Bagi penulis blog (PB), mi rebus di situ cukup istimewa. Kuahnya yang pekat menambat selera.
Selain itu, ais goncang karamel dan mocha juga boleh diambil sekali-sekala sebab kandungan gulanya boleh tahan juga. Harganya RM6.80 setiap cup, mengatasi harga mi rebus biasa RM4.50. Setiap kali perjalanan ke arah selatan, PB akan singgah menikmati sepinggan mi rebus di situ.

Namun, ketika bertanya kepada pekerja Pak Tam, mereka sudah lama tidak menyentuh mi rebus, atau segala menu lain di premis niaga mereka sendiri. Bukan tidak sedap, tetapi mencium baunya sahaja sudah jenuh. Baru PB tambah mengerti sebab orang rumah mengatakan selera menikmati masakan sendiri tidaklah begitu tinggi...