SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, January 31, 2012

PENULISAN RUMUSAN BAHASA MELAYU STPM (PLANNING ANSWERS FOR PRE-UNIVERSITY LEVEL)

Pengenalan

Pelajar sudah biasa melengkapkan tugasan rumusan sejak sekolah rendah sebagai persediaan UPSR dan kemudian dilanjutkan ke sekolah menengah untuk persediaan PMR, SPM dan STPM. Namun, setiap peringkat pembelajaran yang disebutkan akan berbeza dari segi tugasan dan format penulisan jawapan. Untuk STPM, tiada konsep isi tersirat dinyatakan secara jelas.

Pelajar prauniversiti tingkatan 6 dikehendaki menyediakan rumusan yang mengandungi isi utama, isi sokongan dan penutup berdasarkan petikan yang diberi. Had jumlah perkataan yang dibenarkan mungkin berbeza antara tahun, tetapi biasanya dalam lingkungan 160 hingga 190 patah perkataan, misalnya 160 - 170, 170 - 180 atau 180 -190. Rumusan hendaklah disediakan dalam tiga perenggan sahaja, iaitu perenggan isi utama, perenggan isi sokongan dan perenggan penutup.

bersambung...



'KEMUNCAK DUNIA" BAB 6 NOVEL MERENANG GELORA (THE GOOD, THE BAD AND THE UGLY)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  74 - 91

Watak utama:  Nadira / murid tingkatan 5 Cempaka / pindah daripada Kedah
Watak lain:  Nurul Ain, 19 / kakak Nadira / pelajar kolej swasta
                :  ibu Nadira / bersikap liberal
                :  Shahrul / murid tingkatan 5 / rakan subahat Meng Kong, Kumar / anggota kumpulan mat rempit
                :  Aziz / mat rempit / kawan Shahrul / pemuda dewasa
                :  lelaki pemandu kereta mewah / cuba mengurat Nadira / berlalu apabila Shahrul muncul
                :  anggota polis wanita / yang pertama menyoal siasat Nadira
                :  anggota polis lelaki / yang meminta kad pengenalan Nadira
                :  Badri (secara imbas kembali oleh Nadira)

Latar tempat:  rumah keluarga Nadira
                   :  perpustakaan sekolah
                   :  perhentian teksi
                   :  restoran makanan Barat
                   :  tasik di pinggir kota
                   :  gerai menjual air berhampiran tasik

Latar masa:  hari Sabtu / 8 pagi
                 :  habis waktu persekolahan (imbas kembali Nadira akan pertemuannya dengan Badri di perpustakaan)

Ringkasan bab

Nurul Ain menegur Nadira yang kelihatan tergesa-gesa hendak keluar rumah dengan pakaian yang keterlaluan / kurang sopan (seluar jean ketat / baju senteng) sebagai budak sekolah dan anak Melayu. Nadira hanya ketawa sinis dan menganggap kakaknya itu ketinggalan zaman, sedangkan ibu mereka sendiri memberi kebebasan. Nadira menunggu Shahrul di hentian teksi. Akibat kebiasaan Shahrul tidak menepati masa, Nadira bagai barang pameran dan diganggu oleh lelaki mata keranjang, termasuk seorang pemandu kereta merah yang hanya berlalu apabila Shahrul muncul. Nadira marah, tetapi reda apabila Shahrul memberi alasan palsu bahawa dia menghantar adiknya ke kelas tambahan. 

Semasa membonceng motosikal Shahrul, Nadira teringat peristiwa dia memenuhi permintaan Badri untuk bertemu di perpustakaan. Nadira beranggapan Badri sengaja membuat tuduhan tanpa bukti terhadap Shahrul. Nadira tidak percaya Shahrul terlibat dengan kes menjual telefon bimbit di sekolah kerana dia anak orang senang. Nadira tidak makan nasihat Badri, sebaliknya menyindir Badri sebagai cemburu. Nadira melabel Badri umpama gagak yang langsung tiada harga dan Shahrul kapal terbang, tetapi Badri hanya mengucapkan terima kasih, serta meminta Nadira berfikir semula tentang kata-katanya. Ternyata hujah Badri sangat menyengat.

Shahrul mengamuk demi mendengar cerita Nadira dan berazam untuk membalas dendam. Shahrul membawa Nadira masuk ke restoran makanan Barat. Usai makan tiga pasang kawan Shahrul yang mengajak Shahrul merempit. Tiba di tepi tasik, Aziz mengajak Shahrul berlumba malam itu, tetapi Shahrul memberi alasan dia masih bersekolah. Nadira resah dan mahu pulang, tetapi Shahrul memberi jaminan untuk melindungi Nadira. Aziz yang mula menjeling Nadira tiba-tiba meluru ke arah motosikal bersama kawan lain demi ternampak kelibat polis. Shahrul juga menyelamatkan diri. Nadira tinggal sendirian dan terus disoal siasat oleh seorang polis wanita dan seorang polis lelaki. Nadira berasa sangat kesal dan takut, tetapi lega kerana polis hanya menghantarnya pulang ke rumah. 

Polis wanita menjelaskan kepada ibu Nadira bahawa anak gadisnya itu mungkin tidak tahu akibat bergaul dengan mat rempit yang kadang-kadang terlibat dengan jenayah. Nurul Ain memulangkan paku buah keras. Ibu Nadira mahu Nadira akur akan nasihat Ain. Nadira sedar dia silap dan terus berkurung di dalam bilik kerana selera makannya hilang...

Perwatakan:  bertanggung jawab / peka / prihatin (Nurul Ain, Badri)
                  :  berkelakuan bebas lepas (Nadira, Shahrul, Aziz)
                  :  tegas (anggota polis)

Latar masyarakat:  masyarakat murid sekolah
                          :  masyarakat pelajar kolej swasta
                          :  masyarakat anggota polis
                          :  masyarakat pelumba haram / mat rempit
                          :  masyarakat yang bertanggung jawab / peka / prihatin
                          :  masyarakat yang berkelakuan bebas lepas / liar
                          :  masyarakat yang tegas

Nilai murni:  tanggung jawab / kepekaan / keprihatinan, ketegasan

Persoalan:  Tanggung jawab / kepekaan / keprihatinan terhadap akhlak / sahsiah anggota keluarga / adik / rakan
               :   Ketegasan dalam tugas / menjalankan amanah

Pengajaran:  Kita hendaklah bertanggung jawab / peka / prihatin terhadap akhlak / sahsiah anggota keluarga / adik / rakan
                 :  Kita hendaklah tegas dalam menjalankan tugas / amanah

kbkk:  peranan ibu bapa dalam mendidik / memupuk / mengawal sahsiah / tingkah laku anak masing-masing
        :  batasan pergaulan remaja / murid sekolah berlainan jantina
        :  langkah membendung kegiatan lumba haram

Monday, January 30, 2012

“AHLI BARU KELUARGA KAMI” BAB 5 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (FOSTER FAMILY)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  31 – 37

Watak utama:  “Aku” (pencerita / sudut pandangan orang pertama) / Tini
Watak lain:  Satiah / anak Pak Morit, Mak Sukin / murid tingkatan 3 orang Asli / rakan sekelas Tini
                   :  Pak Morit / bapa Satiah
                   :  Mak Sukin / isteri Pak Morit / ibu Satiah
                   :  papa / bapa Tini / Encik Hasrul / pegawai pertanian
                   :  mama / ibu Tini / Puan Sarah
                   :  Along / Angah / adik Amin (adik-beradik Tini)

Latar tempat:  rumah Tini / kuarters kerajaan

Latar masa:  tengah hari (Satiah dan keluarga tiba di rumah Tini / dijamu makan
                 :  senja / hampir Maghrib (Tini tertidur / Satiah dijumpai tidak bermaya
                 :  malam (Satiah menulis sesuatu dalam diari peribadi)

Ringkasan bab

Keluarga Tini menjadi keluarga angkat Satiah. Tengah hari itu Satiah sekeluarga dijamu dengan masakan istimewa. Pak Morit diberi jaminan bahawa Satiah akan dilayan sama seperti Tini. Pak Morit kemudian mengingatkan Satiah supaya pandai membawa diri dan memenuhi harapan keluarga. Hubungan Tini dengan Satiah makin akrab sehingga papa dan mama memanggil mereka berdua kembar siam. Satiah rajin membantu mama walaupun cuba ditegah. Pak Morit kerap datang melawat dan membawa sekali buah tangan kampung. Mama pula membalasnya dengan coklat biskut dan makanan di dalam tin.

Setelah enam bulan, peperiksasan PMR bakal menjelma. Papa berpesan supaya Tini dan Satiah supaya hanya membaca nota ringkas dalam tempoh dua minggu terakhir. Satu peristiwa mengejut berlaku ketika hanya Tini dan Satiah tinggal di rumah. Mulanya mereka sama-sama belajar di ruang tamu sambil berbaring. Tini mengantuk dan meminta Satiah mengejutkannya setengah jam kemudian. Apabila papa dan mam pulang bersama Along, Angah dan Along, baru Tini bangun, tetapi Satiah tidak ada. Satiah tidak menunjukkan reaksi apabila dikejutkan, sebaliknya terus tertiarap di atas katil. Satiah hanya mampu menggerakkan alis mata apabila papa cuba membantu. Pak Morit dipanggil dan tiba sepuluh minit kemudian. Pak Morit memberitahu penyakit Satiah itu sebagai biasa dan masih dalam proses rawatan dukun, dan disyaratkan supaya tidak berubat di tempat lain. Alasan papa tentang kelebihan hospital akhirnya berjaya mengubah pendirian Pak Morit. Usai solat Maghrib, Tini berdoa panjang...

Perwatakan:  peka / prihatin (Tini, keluarga)
                      :  mesra / peramah / budiman (mama, papa)
                      :  rajin / bersungguh-sungguh / tekun (Tini, Satiah)
                      :  bersikap terbuka (Pak Morit, Mak Sukin)
                      :  penyayang

Latar masyarakat:  masyarakat murid sekolah
                          :  masyarakat orang Asli
                          :  masyarakat yang peka / prihatin
                          :  masyarakat yang mesra / peramah / budiman
                          :  masyarakat yang rajin / bersungguh-sungguh
                          :  masyarakat yang bersikap terbuka
                          :  masyarakat yang penyayang

Nilai murni:  kepekaan / keprihatinan, kemesraan / keramahan, kerajinan / kesungguhan, sikap terbuka, kasih sayang

Persoalan:  kepekaan / keprihatinan terhadap masyarakat yang kurang beruntung / masyarakat miskin
               :  kemesraan / keramahan dalam komunikasi
               :  kerajinan / kesungguhan dalam pembelajaran
               :  sikap terbuka dalam menyelesaikan masalah / membuat keputusan
               :  kasih sayang sesama manusia / keluarga

Pengajaran:  kita hendaklah peka / prihatin terhadap masyarakat yang kurang beruntung / masyarakat miskin
                 :  kita hendaklah mesra / keramahan dalam komunikasi
                 :  kita hendaklah rajin / bersungguh-sungguh dalam pembelajaran
                 :  kita hendaklah mengamalkan sikap terbuka dalam menyelesaikan masalah / membuat keputusan
                 :  kita hendaklah berkasih sayang sesama manusia / keluarga

kbkk:  peranan bomoh / dukun / rawatan herba dalam perubatan alternatif
        :  cara-cara memajukan masyarakat orang Asli
        :  kebaikan belajar berkumpulan

IKHTIAR MENGURUS HAKISAN DI TELUK LIPAT (TIME AND TIDE WAIT FOR NO MAN)

...

menyusul...

Sunday, January 29, 2012

BLOG JUTAWAN (NO MONEY BUT TALK)

Jalan paling cepat untuk muncul sebagai jutawan ialah pergi ke premis pengurup wang dan menyerahkan RM350 untuk mendapat Rp 1 juta (sejuta rupiah Indonesia). Namun, barang diingat bahawa urus niaga di Indonesia juga main juta-juta rupiah setiap hari. Sewa hotel sahaja antara Rp 200 - 400 ribu sehari semalam!

Penulis blog (PB) masih ingat peristiwa seorang pengamin (peminta sedekah) di pasar raya Pekan Baru, Bandung melempar wang kertas Rp 1,000 yang diberikan oleh seorang pelancong Malaysia kerana jumlah "sebesar" itu hanya cukup untuk membayar caj masuk ke kamar kecil (tandas). Harga baju batik eksklusif yang sederhana boleh mencecah hingga Rp 3 juta. Pendapatan karyawan (pekerja) di pasar raya masih dianggap sangat rendah kerana jumlahnya hanya sekadar Rp 700 ribu hingga Rp 1 juta sebulan.

Kalau orang Malaysia ingin bertaraf jutawan di Amerika Syarikat, jumlah RM yang perlu disediakan ialah RM3.2 juta hingga RM3.5 juta, bergantung kepada kadar pertukaran wang asing yang berubah-ubah. Kalau orang Indonesia pula perlukan Rp 1 trilion untuk menikmati tahap jutawan Amerika Syarikat. Keadaan lebih teruk kalau dinisbahkan dengan paun sterling England yang bersamaan RM6 - RM8 bagi satu £1.

Maka, dari segi kewangan, status jutawan akan berbeza antara lokasi geografi. Ramai orang yang sanggup mengambil risiko menceburi bidang perniagaan yang penuh liku dan tipu daya, selain kemunculan pesaing baharu sepanjang masa. Dianggarkan 20 peratus berjaya sekurang-kurangnya menghampiri impian itu, manakala baki yang lain kecundang dan sebahagian mereka masuk dalam senarai Jabatan Insolvensi apabila diisytiharkan sebagai muflis.

Bagi seorang guru seperti PB, menjadi jutawan bacaan (jumlah perkataan yang dibaca), jutawan penulisan (jumlah perkataan yang ditulis) atau jutawan pengunjung barangkali sudah cukup baik. Coretan ini pun ditulis sempena pencapaian 500,000 paparan (setengah juta) yang dibaca oleh sejumlah hampir suku juta orang pengunjung blog ini. Tiada niat untuk berasa riak atau bangga diri justeru termasuk dalam perkara yang tercela (mazmummah).

Blog ini muncul atas daya usaha Panitia Bahasa Melayu, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) untuk menggalakkan guru-guru Bahasa Melayu memanfaatkan konsep pembelajaran elektronik (e-learning). Masukan atau entri blog lebih menjurus kepada perkongsian pengalaman dan pengetahuan antara pencinta ilmu. Tiada ikatan dan tiada paksaan antara PB dengan pengunjung blog.

Apabila blog ini mula mendapat perhatian, PB harus membalas kepercayaan rakan followers dan pengunjung blog yang lain menyajikan bahan-bahan penulisan yang berguna untuk bacaan lebih lanjut. Sebagai tanda sokongan kepada murid sekolah yang mempelajari komsas, PB memperuntukkan sebahagian besar penulisan terhadap antologi dan novel yang sedang digunakan. PB berpendapat bahawa murid berhak mendapat pandangan alternatif tentang pembelajaran komsas selain di bilik darjah atau buku rujukan komersial di pasaran.

Dengan batasan sumber yang ada, tentu terdapat banyak perkara yang masih kurang. Sumber yang dimaksudkan ialah dari segi masa. Sesuatu analisis dan kajian yang menyeluruh perlu kepada tumpuan dan melepaskan peruntukan masa untuk kegiatan lain. Namun, PB sangat yakin bahawa pengunjung blog, khususnya calon peperiksaan awam bakal beroleh manfaat dan motivasi terbaik apabila singgah membaca laman blog yang ditulis dengan merujuk kepada pakar...

"JUMAAT" BAB 7 NOVEL 6:20

Pengarang novel:  Siti Jasmina binti Ibrahim
Muka suarat rujukan:  66 - 81

Watak utama:  "Saya" (pencerita / sudut pandangan orang pertama) / Sukma
Watak lain:  Aim / budak kecil berbaju Melayu muncul di hadapan pagar rumah Sukma kali kedua (6.20 pagi)
                :  Ibu Sukma / Puan Delila
                :  Pak Rashid / pemandu kenderaan keluarga Sukma
                :  Kak Ros / jiran Sukma / inspektor polis / usia 30-an / masih bujang / anak tunggal / tinggal sendirian
                :  Teja / teman rapat Sukma / kawan sama kuliah
                :  Rafiq / pemuda kacukan Melayu - Turki / pernag menetap di Amerika Syarikat / mahasiswa baharu
                :  Alvin / anggota kumpulan perbincangan tugasan tamadun Islam
                :  Jerry / rakan sekuliah Sukma, Teja, Alvin / Rafiq / pengikut kelab WX2
             
Latar tempat:  rumah Sukma / kawasan luar hadapan pagar / ruang tamu
                   :  sekitar kawasan perumahan rumah pangsa kos rendah
                   :  kampus universiti / dewan kuliah (tempat Sukma belajar)

Latar masa:  awal pagi / tepat 6.20 pagi / waktu Subuh / sesi peperiksaan kertas Tamadun Islam

Ringkasan bab


I
Masih kisah 2 minggu lepas. Kali ini Sukma menunggu di bangku rehat berdekatan pintu pagar rumah. Anak kecil yang sama muncul kali kedua. Kali ini dia tidak lari, tetapi memberitahu dia lapar. Apabila diajak masuk ke rumah, dia enggan. Sukma memintanya menunggu sementara dia mengambil makanan. Dia memberitahu namanya Aim. Suara ibu Sukma yang kuat menyebabkan Aim menghilang. Sukma kemudian ditemani Pak Rashid cuba menjejak Aim, termasuk di kawasan rumah pangsa kos rendah. Mereka tidak berjaya, tetapi Pak Rashid memberi jaminan akan terus membantu. Setiba di pagar rumah, kak Ros muncul dan menawarkan bantuan. Sukma cuba mengelak daripada bercerita di hadapan Pak Rashid yang kelihatan turut peka dengan perubahan sikap Sukma. Ibu Sukma mula menebak Sukma dengan soalan-soalan umpama Sukma sedang menyimpan rahsia dan bermasalah kesihatan. Sukma hanya ketawa.

II
Sukma bersedia untuk peperiksaan kertas Tamadun Islam dan memberi isyarat supaya Teja tenang sahaja. Mereka berdua dan Rafiq dapat menjawab soalan ujian dengan baik. Teja berterima kasih kerana Sukma banyak membantu. Mereka kemudian mencari Alvin dan Jerry untuk perbincangan tugasan. Sementara itu Teja dan Rafiq berbincang tentang maksud serang pengganas (teroris), manakala Sukma memberi perbandingan watak lakonan. Apabila Alvin dan Jerry tiba, Sukma diminta meneruskan huraian konsep teroris sebagai pelakon lagak ngeri, iaitu tidak dimiliki oleh mana-mana organisasi rasmi seperti gerila, pemberontak atau puak pemisah. Rafiq menyambung, tetapi Jerry lebih banyak termenung. Sukma menjelaskan bahawa pemerintah kuku besi juga menggunakan kaedah teroris, iaitu menakut-nakutkan (asal perkataan Perancis, deterrere). Jerry yang terkejut dengan soalan Jacobin Club 1975 masih dapat membuat huraian yang baik. Rafiq dan Alvin berjaya membuat Jerry pucat lesi apabila mengatakan mereka berdua melihat Jerry "di sana" malam sebelumnya. Mereka mendesak Jerry bercerita hal sebenar kerana curiga tentang kegiatan Jerry yang ada unsur teroris...

Perwatakan:  bijak (Sukma dan kawan-kawan), sentiasa waspada (ibu Sukma), suka menolong (Pak Rashid)

Latar masyarakat:  masyarakat pelajar universiti
                          :  masyarakat pegawai polis (Kak Ros)
                          :  masyarakat yang bijak
                          :  masyarakat yang sentiasa waspada
                          :  masyarakat yang suka menolong orang lain

Nilai murni:  kebijaksanaan, kewaspadaan, tolong-menolong

Persoalan:  Kebijaksanaan dalam berfikir / meneliti maklumat / mencungkil maklumat
               :  Kewaspadaan terhadap perubahan sikap anak / ibu / majikan
               :  Tolong-menolong dalam penyelesaian masalah

Pengajaran:  Kita hendaklah bijaksana dalam berfikir / meneliti maklumat / mencungkil maklumat
                   Kita hendaklah waspada terhadap perubahan sikap anggota keluarga / rakan
                   Kita hendaklah tolong-menolong dalam menyelesaikan sesuatu masalah

kbkk:  kemahiran keibubapaan
        :  bahasa mesra dalam keluarga
        :  batas pergaulan dalam kalangan pelajar

Saturday, January 28, 2012

KEKUATAN SBP DAN SEKOLAH PREMIER (LEGEND OF AN EFFECTIVE SCHOOL)

"No such Oxford University here. By the way, which college you to?" Agaknya begitulah cakap mat saleh yang ditanya oleh Engku Zainuddin, bekas pelajar Star, Ipoh dan Maktab Tentera Di-Raja Sungai Besi yang ditawarkan tempat di sebuah kolej kejuruteraan mekanikal di Oxford pada pertengahan dekad 1960-an.

Anekdot di  atas ialah versi cerita Yang Mulia Engku Zainuddin yang pernah berkhidmat sebagai pegawai atasan Exxon-Mobil, sebuah konglemerat minyak terkemuka dunia. Beliau telah bertugas keliling dunia. Selepas bersara, Engku membuka syarikat perunding dan kini dalam usia 60-an, Engku menumpukan perhatian kepada aktiviti dakwah menerusi jemaah tabligh.

Anak-anak beliau hampir semua dihantar ke ma'ahad tahfiz, tetapi akhirnya meawrisi kepintaran Engku, lalu memilih jurusan perubatan dan kejuruteraan. Seorang daripada anak Engku menguruskan perniagaan keluarga berasaskan petroleum yang diasaskan oleh Engku sendiri. Beliau berasa syukur kerana dapat membekalkan anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul sebagai perisai cabaran dalam kerjaya ikhtisas masing-masing.

Engku Zainuddin ialah budak Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star), iaitu sekolah berasrama penuh persekutuan yang pertama. Beliau lebih senior daripada tokoh politik seperti Tan Sri Anuar Musa, Datuk Dr. Awang Adek dan Datuk Seri Idris Jusoh yang juga bekas Starian. Banyak lagi angkatan beliau yang menyandang jawatan penting dalam dunia korporat dan kepakaran.

Ikatan bekas pelajar Star memang erat. Setiap tahun mereka menganjurkan perhimpunan semula (re-union). Walaupun sudah pasti terhadap pelbagai aliran dan fahaman politik, sebagai Starian, mereka melupakan semua perbezaan demi memperkasakan Staroba (Persatuan Bekas Pelajar Star).

Hubungan tetap diteruskan walaupun masing-masing sudah berusia agak lanjut. Mereka ingin membalas jasa sekolah yang telah membawa transformasi besar dalam hidup mereka. Tambahan pula, Staroba akan menyambut perayaan jubli emas (50 tahun),  dengan anggota mencecah 5,000 orang sahaja.

Kini, Star telah berjaya mengumpulkan sebilangan Starian sebagai guru di bekas sekolah mereka sendiri, termasuk pengetua, Haji Mohd. Hashim bin Abdul Karim. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum ialah juga bekas Starian. Maka, kedudukan Staroba bertambah kukuh dan lebih menyerlah.

Kisah Engku Zainuddin dan Star sejajar dengan ciri sekolah berkesan iaitu kekuatan legenda atau bekas pelajar. Dalam konteks Star, persatuan bekas pelajarnya mempunyai ikatan moral dan jiwa yang sangat erat dengan sekolah. Sesungguhnya, nostalgia juga boleh dimanipulasikan sebagai faktor kritikal bagi menjana momentum kejayaan yang berterusan kepada sekolah...

Friday, January 27, 2012

“DURI DALAM DAGING; PERTEMUAN” BAB 4, 5 NOVEL MERENANG GELORA (HYPOCRISY IN FRIENDSHIP)


Pengarang novel:  Ruslan Ngah
Muka surat rujukan:  58 – 64; 65 - 73

Ringkasan bab 4

Watak utama / protagonis:  Badri (pengawas sekolah)
Watak penentang / antogonis:  Kumar, Meng Kong, Shahrul  (kumpulan murid nakal)

Latar tempat:  sebuah pusat boling          }   di sebuah pasar raya
                        :  restoran makanan Barat  }

Latar masa:  petang


Kumar tiba kemudian sedikit daripada Meng Kong dan Shahrul di pusat boling. Kumar kelihatan muram dan enggan bermain boling. Shahrul lalu mengajak mereka makan dan Meng Kong akan membelanja mereka stik. Kumar nyata maih begitu marah kepada Badri ekoran peristiwa telefon bimbit miliknya dirampas oleh Cikgu Jailani. Meng Kong berjanji untuk mengganti  telefon itu dengan set yang baharu sebagai balasan kepada Kumar yang tidak membocorkan rahsia kegiatan mereka di sekolah. Kumar menganggap Badri sebagai penghalang urus niaga mereka.  Nadira juga dimasukkan sebagai sasaran baharu mereka walaupun Shahrul rapat dengannya. Meng Kong mencuri telefon bimbit di kedai ayahnya, lalu dijual kepada murid secara ansuran. Shahrul yang menerima panggilan Nadira meninggalkan mereka sebentar. Kemudian, Shahrul memberitahu bahawa Nadira mengajaknya makan dan berjalan-jalan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

Ringkasan bab 5

Watak utama:  Badri
Watak lain:  Jamil / kawan sekelas / kawan rapat Badri
                   :  Siew Mei / murid tingkatan 5 yang meletak nota untuk berjumpa
                   :  Ah Meng / abang Siew Mei / pekerja di kedai telefon bimbit milik ayah Meng Kong
                 
Latar tempat:  restoran makanan segera

Latar masa:  petang

Jamil yang balik awal daripada gerai ibunya ternampak Badri dengan Siew Mei, lantas mengusik Badri sebagai romeo (mata keranjang). Kebetulan maklumat Siew Mei tadinya ada kaitan dengan dengan sikap curang Jamil, iaitu bersekongkol dengan kumpulan Meng Kong, Kumar dan Shahrul. Badi mengajak Jamil ke restoran makanan segera yang sama, lalu terus melepaskan "peluru" tentang tembelang yang disimpan oleh Jamil selama ini. Jamil terkedu, enggan makan dan sebaliknya terus pergi dengan rasa malu. Badri menganggap tindakan Jamil itu bagai satu pengakuan. Siew Mei mendedahkan semua kegiatan Meng Kong kerananya abangnya, Ah Meng bekerja di kedai telefon bimbit ayah Meng Kong. Kehilangan telefon bimbit, aksesori dan kad prabayar semuanya dicatat oleh Ah Meng. Siew Mei merayu Jamil supaya membantu Ah Meng kerana dia tempat bergantung keluarga mereka. Namun, mereka mesti mengumpul bukti. Badri akan mendesak Jamil supaya memberi maklumat yang diperlukan, serta berhenti berurus niaga secara haram itu. Tiba-tiba Badri akan Nadira (anak buah Mak Alang, isteri bapa saudaranya) yang mungkin diperangkap oleh Shahrul, tetapi sikap Nadira yang angkuh sukar untuk diubah. Jalan akhir yang difikirkan oleh Badri untuk menyelamatkan Nadira ialah memberitahu Mak Alang. Badri tidak mahu diburu perasaan bersalah kerana tidak berbuat apa-apa...

Thursday, January 26, 2012

CABARAN PEMERINTAHAN BAHARU MESIR (NEW POLITICAL MILIEU IN THE ARAB LAND)

Setelah tumbangnya beberapa rejim kuku besi di timur tengah, penduduk rantau berkenaan berpeluang menikmati kepimpinan pilihan massa. Walaupun telah sekian lama cuba dikongkong dengan acuan sekular dan hedonisme, rakyat telah mengundi calon-calon yang membawa mesej dakwah, keadilan dan pembangunan. Sayap politik gerakan dakwah Ikhwanul Muslimin, Parti Keadilan dan Pembangunan telah menguasai parlimen Mesir dan bakal membentuk kerajaan awam dalam tempoh yang terdekat.

Ikhwanul Muslimin ialah sebuah gerakan dakwah atau pada masa dahulu disebut harakah Islamiyyah diasaskan oleh Hassan al-Banna yang sangat diingati lewat naskhah al-Ma'thurat, iaitu himpunan doa baginda Junjungan Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Seorang lagi tokoh Ikhwan ialah Syed Qutb yang menghasilkan Ma'alim fi't-Tariq (Petunjuk Jalan, Milestone) dan Fi Zilalil Quran (Di Bawah Naungan al-Quran). Kedua-dua mereka, serta pemimpin kanan lain dihukum mati oleh diktator Mesir ketika itu (1960-an - 1980-an).

Ikhwan ialah pelopor sistem usrah dan tamrin yang mempengaruhi gerakan dakwah di seantero dunia. Pengisian usrah dijelaskan dengan terperinci oleh Profesor Datuk Dr. Sidek Baba dalam tesis doktor falsafah beliau di Universiti Illnois, Amerika Syarikat. Sebagai contoh, sepotong ayat Quran dibaca, kemudian akan dirujuk kepada kitab tafsir yang muktabar, dan akhir sekali perbincangan dilakukan untuk memindahkan anjuran ayat berkenaan dalam bentuk aktiviti dan program yang menepati misi dakwah.

Ikhwan sangat mementingkan asas ilmu, bukan emosi atau sentimen melulu yang menjurus kepada perasaan taksub yang tidak terkawal. Karya-karya Dr. Abdul Karim Zaidan (Uslub ud-Da'wah, Kaedah Dakwah), Dr. Abdul Kader Audah, Dr. Ramadan al-Buti (Fiqh Sirah), Dr. Umar Tilmasani (Adab'ul Ikhtilaf'il-Islam, Perbezaan Pendapat dalam Islam, terjemahan), Dr. Yusuf Qaradawi (Konsep Ibadah dalam Islam), al-Maududi dan banyak lagi ialah rujukan hala tuju Ikhwan dalam menghadapi cabaran persekitaran dan zaman. Ikhwan tidak menggunakan pendekatan takfir wa'l-hijrah (reductionism) atau cara maki hamun justeru berpendapat bahawa usaha dakwah seperti gerakan air yang tidak dapat disekat selagi ada laluan walau sekecil mata jarum sekalipun.

Pengalaman liku-liku dakwah yang dilalui menjadikan Ikhwan lebih berhati-hati dalam percaturan politik Mesir dan dijangka tidak akan bersifat tergesa-gesa dalam melakukan sebarang perubahan. Ejen perisikan CIA, Mosad dan sekutu Barat yang lain tidak akan berhenti mencari jalan untuk menggugat kekuatan Ikhwan. Ujian dan fitnah setelah mencapai kemenangan nampaknya lebih perit dan tidak menentu...

IPOH BANDAR RAYA TANPA PENCAKAR LANGIT (THE CAPITAL CITY WITHOUT PROMINENT LANDMARK)

Sukar juga untuk menyatakan mercu tanda bagi bandaraya Ipoh. Mungkinkah stesen kereta api laju di pekan lama atau menara Dewan Bandaraya Ipoh (DBI)? Stesen keretapi yang turut menempatkan Hotel Majestic dengan sistem lif yang klasik itu hanya setinggi empat tingkat, manakala menara DBI tidak lebih 10 tingkat.

Antara bangunan tertinggi di bandaraya Ipoh ialah rumah pangsa DBI berhampiran Sungai Kinta dan menara PTTC di Meru yang tidak sampai 20 tingkat. Kompleks pejabat, hotel dan pusat perniagaan juga hanya sekitar lima hingga 10 tingkat. Pendek kata, Ipoh boleh disifatkan sebagai bandar raya tradisional yang tidak mempunyai bangunan tinggi.

Ipoh juga tidak memiliki kampus universiti awam yang boleh dibanggakan. Universiti Teknologi Petronas terletak di Tronoh, 35 kilometer dari Ipoh, UPSI nun jauh di Tanjung Malim dan kampus UiTM di Seri Iskandar, Tapah Road dan Teluk Intan. Kampus Politeknik Ungku Omar di Jalan Dairy (kini Jalan Raja Musa Mahadi) ialah satu-satunya institut pengajian tinggi teknikal pertengahan yang ada.

Institut Perguruan Ipoh di Ulu Kinta hanya untuk guru pelatih pengajian sekolah rendah dan setakat ini belum menawarkan kursus untuk umum atau untuk ijazah lanjutan. Begitu juga pusat pembelajaran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang masih belum begitu dikenali dalam kalangan masyarakat. Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) yang bertaraf kolej universiti pula sudah berpindah ke kampus tetapnya di Kuala Kangsar.

"Kekurangan" Ipoh sebagai sebuah bandar raya sangat ketara jika dibandingkan dengan bandar raya lain di negara kita. Tiada bangunan tinggi dan tiada institut pengajian tinggi yang hebat. Mujur juga Ipoh menempatkan beberapa buah institut penyelidikan seperti vertarinar, geosains dan mineral, serta jabatan kimia, di samping hospital pakar yang menawarkan rawatan terbaik.

bersambung...


CERPEN "BUDI SEMANGKUK DAGING" KOMSAS TINGKATAN 3 (NEIGHBOURHOOD BUFFER)

Genre sastera:  Prosa moden
Penulis cerpen:  Amy Suzani Ainuddin
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 90 - 101

Watak utama:  Puan Ainun / pemilik rumah di kejiranan berkenaan sejak 6 tahun
Watak lain:  Hanif / anak Puan Ainun / adik Shafiq
                :  Shafiq / anak Puan Ainun / abang Hanif
                :  Mak Cik Cheng / jiran Puan Ainun
                :  Mak Cik Punita / jiran Puan Ainun / berusia 30-an / orang Ipoh
                :  Mak Cik Salbiah / jiran di sebeleh belakang rumah Puan Ainun / tukang beri resepi daging masak Minang
                :  Encik Hilal / suami Puan Ainun

Latar tempat:  rumah Puan Ainun
                   :  kawasan kejiranan berbilang kaum

Latar masa:  petang (waktu memasak daging masak Minang / ketika keluarga Puan Ainun menikmati bubur kacang)
                 :  pagi  (ketika Puan Ainun menyidai pakaian / meninjau rumah Punita)
                 :  satu minggu sebelumnya (imbas kembali Puan Ainun tentang jualan langsung Punita)


Sinopsis cerpen


Puan Ainun tersenyum kerana resepi daging masak Minang yang diberi oleh Puan Salbiah, jirannya menjadi. Sementera menunggu daging empuk, dia menyediakan empat biji mangkuk kaca untuk dihantar kepada jiran-jirannya. Dua orang anaknya, Shafiq dan Hanif ditugaskan menghantar masakan itu kepada Mak Cik Cheng dan Mak Cik Punita, sedangkan dia sendiri akan ke rumah Puan Salbiah. Bertukar-tukar makanan sudah menjadi biasa bagi mereka. Namun, apabila kembali, Hanif memberitahu bahawa Puan Punita menyuruhnya membawa balik pemberian mereka. Puan Ainun berasa pelik kerana dia dan Punita yang baharu menyewa 6 bulan di situ tidak pernah berselisih faham. Kemudian, Puan Ainun teringat peristiwa dia menolak dengan baik produk jualan langsung makanan kesihatan Punita. Dia mula syak bahawa Punita menyimpan dendam. Dua hari yang lepas pula Punita tergesa-gesa masuk kereta dan hanya tersenyum tanpa kata. Selama ini Puan Ainun biasa mengangkat pakaian jemuran Punita dan menyiram pokok bunga jirannya itu. Sejak itu, Puan Ainun nekad untuk renggang dengan Punita. Ketika melihat pagar rumah sewa Punita dikunci dengan mangga besar, Puan Ainun tambah geram kerana sebelum ini Punita akan meninggalkan kunci kepadanya. 

Ketika asyik melayan perasaan tentang Punita sambil menyidai pakaian, Puan Ainun disapa oleh Puan Cheng. Masakan Puan Ainun dipuji dan akan dibalas dengan kek coklat. Walaupun Puan Ainun tidak lagi mahu menyiram pokok bunga Punita, tetapi Shafiq dan Hanif pula yang berbuat demikian tanpa disuruh. Setelah lima hari, baru Punita pulang, tetapi Puan Ainun pura-pura tidak nampak. Pada petang hari itu, Puan Ainum memasak bubur kacang dan menikmatinya bersama suami, Encik Hilal dan dua orang anak mereka. Dia hanya menghantar bubur kacang kepada puan Cheng, tidak untuk Punita. Ketika hendak berkemas, tiba-tiba Shafiq membimbit sebuah beg plastik berisi limau bali pemberian Mak Cik Punita. Puan Ainun muncung dan meminta Shafiq memulangkan semula limau bali itu. Shafiq terpinga-pinga, manakala Encik Hilal hairan akan "pergaduhan" itu. Encik Hilal hanya menggeleng tanda kesal apabila Puan Ainun bercerita tentang penolakan Punita tempoh hari. Encik Hilal mengingatkan bahawa Punita beragama Hindu dan tidak makan daging (lembu). Puan Ainun menepuk dahi, lalu bingkas ke dapur menyiapkan mangkuk bubur kacang untuk dihantar sendiri kepada Punita.

Perwatakan: peramah, pemurah, cekap / teliti, patuh / taat, suka menolong, tegas, menghormati jiran

Latar masyarakat: masyarakat perumahan berbilang kaum 
                          :  masyarakat yang peramah
                          :  masyarakat yang pemurah
                          :  masyarakat yang cekap / teliti dalam kerja (memasak)
                          :  masyarakat yang patuh / taat (Syafiq, Hanif)
                          :  masyarakat yang suka menolong orang lain / jiran tetangga
                          :  masyarakat yang tegas (Puan Ainun tidak membeli produk jualan langsung Punita)
                          :  masyarakat yang menghormati jiran tetangga

Nilai murni:  keramahan, kemurahan hati, kecekapan / ketelitian, tolong-menolong, ketegasan, hormat-menghormati

Persoalan:  Keramahan dalam komunikasi sesama jiran
               :  Kemurahan hati berkongsi makanan / rezeki
               :  Kecekapan / ketelitian dalam kerja
               :  Kepatuhan / ketaatan terhadap suruhan ibu bapa / nasihat suami
               :  Tolong-menolong sesama jiran
               :  Ketegasan dalam membuat keputusan
               :  Hormat-menghormati sesama jiran tetangga

Pengajaran:  kita hendaklah ramah dalam komunikasi sesama jiran tetangga
                 :  kita hendaklah murah hati dalam berkongsi nikmat makanan / rezeki
                 :  kita hendaklah cekap / teliti dalam sesuatu pekerjaan
                 :  kita hendaklah patuh / taat terhadap suruhan ibu bapa / nasihat suami
                 :  kita hendaklah bersedia menolong jiran
                 :  kita hendaklah tegas dalam membuat keputusan (dengan bijak / tidak menyinggung sesiapa)
                 :  kita hendaklah menghormati jiran tetangga


Tema:  perpaduan kaum dalam kawasan kejiranan

kbkk:  berfikir dan bertindak secara holistik (timbang masak-masak, melihat semua sudut dan kemungkinan)
        :  kempen kejiranan yang berkesan
        :  kekangan komunikasi antara jiran tetangga

Wednesday, January 25, 2012

ORANG PANTAI TIMUR KUAT MAKAN (THE FOOD BUSINESS)

Ayat tajuk di atas belum habis. Ayat lengkapnya ialah orang pantai timur kuat makan di luar. Lebih lengkap lagi kalau berbunyi "orang pantai timur kuat makan di luar bagi menyokong peniagaan berasaskan makanan".

Orang pantai timur merangkumi penduduk Kelantan, Terengganu, Pahang dan bahagian timur Johor seperti Mersing dan Tioman. Kuat makan ialah acap, banyak, kerap, selalu, sering atau sangat suka makan, bukan makan dengan banyak atau lahap. Di luar pula ertinya ialah mengunjungi premis perniagaan makanan, terutama yang menawarkan menu yang membangkitkan selera, serta proses masakan kelihatan bersih.

Orang pantai timur bukan tidak pandai memasak, atau sengaja suka menggantung kuali dan periuk belanga. Suami-suami tidak sampai hati melihat isteri memanjang sibuk di dapur. Maka, apabila ada lebihan pendapatan, seisi keluarga akan berbelanja di luar sekali sekala, bukanlah tiap-tiap hari pun.

Sokongan terhadap peniaga makanan sangat penting bagi memperoleh keberkesanan kos, ekonomi bidangan atau kecekapan. Apabila sesuatu perniagaan mendapat sambutan, jualan dapat dibuat dalam skala yang lebih besar. Maka, kos atau perbelanjaan terhadap modal asas peniaga menjadi turun secara purata. Akhirnya, pengguna juga yang akan dapat menikmati makanan yang sedap lagi berkhasiat dengan harga yang berpatutan.

Pertumbuhan gerai dan warung makanan di sepanjang pesisir dan di tepi jalan makin ketara. Penduduk tempatan dan pengunjung luar (pelancong tempatan dan asing) kini mempunyai banyak pilihan. Terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk memasuki premis menjual makanan yang bersih, berkhasiat dan halal. Pengguna tidak perlu segan untuk bertanya harga makanan yang dijual jika senarai harga tidak dipamerkan dengan jelas.
menikmati nasi dagang di warung makanan di pasar basah Dungun, Terengganu

Ulama silam ada memberi petua tentang bab makan di luar ini. Andai kata, sebaik sahaja kaki kita melangkah masuk ke sesuatu premis makanan, hati berasa tidak sedap atau mula was-was, maka jalan paling tepat ialah segera beredar meninggalkan premis tersebut. Hal itu memberi petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena di situ.

Suatu ketika dahulu heboh dikatakan tentang "ilmu" pelaris dan pemakaian susuk dalam kalangan peniaga. Segelintir peniaga yang kurang iman dikatakan sanggup mengupah bomoh dan dukun untuk tujuan ilmu hitam berkenaan. Kononnya demi memandang wajah manis peniaga yang terbabit, pelanggan akan datang berderu-deru, serta tidak putus-putus.

Peniaga makanan seboleh mungkin memiliki pengetahuan yang mencukupi tentang gizi makanan yang dapat membantu pelanggan mereka supaya mengekalkan kehidupan yang sihat. Hakikat bahawa bilangan pesakit kencing manis dan gendut yang makin ketara di negara kita mesti diberi perhatian. Penyedia sajian tidak boleh mengambil ringan tentang kandungan garam, gula dan perasa yang sengaja dilebihkan dalam masakan untuk menimbulkan aroma makanan yang dijual.

Pengguna di negara kita makin berpengetahuan. Mungkin ketika ini mereka masih sanggup menelan "mi bodoh" di gerai tepi longkang justeru kesuntukan masa dan tuntutan perut yang berkeroncong. Namun, dalam jangka panjang mungkin ada rangkaian pengendali makanan skala besar akan menggunakan khidmat pakar pemakanan bagi menawarkan menu makanan yang menepati semua kriteria cita rasa pengguna dan garis panduan kesihatan.

Tidak dapat dipastikan pula sama ada perbuatan khianat dan sabotaj terhadap pesaing perniagaan dengan cara jijik seperti "santau" dan ilmu hitam yang lain masih berlaku. Sepatutnya, peniaga didedahkan dengan bentuk persaingan yang sihat. Peniaga kecil-kecilan juga perlu mempelajari konsep menang-menang dan strategi lautan biru yang menjadi amalan entiti perniagaan berskala mega.

Kawalan terhadap perniagaan makanan dan pengendali hidangan serta masakan perlu lebih tegas dan telus. Amalan negara maju yang tidak berkompromi dari segi kualiti makanan, tahap kesihatan operator makanan dan peraturan masa jualan perlu dicontohi. Semua peniaga dan pekerja jualan makanan hendaklah diwajibkan  memperoleh sijil daripada kolej komuniti menerusi modul kursus singkat yang bersepadu.

Barangkali jaminan mutu jualan makanan di negara kita masih jauh daripada piawaian sebuah negara maju. Kini, kita hanya berharap bahawa para peniaga makanan memiliki kesedaran kendiri yang tinggi terhadap etika, integriti, kecekapan, peranan dan tanggungjawab masing-masing. Peniaga yang jujur beroleh rezeki yang dilimpahi barakah, manakala pelanggan pula akan terus memberi sambutan dan sokongan... 

"HUKUMAN" BAB 4 NOVEL KONSERTO TERAKHIR (MEANINGFUL PROTECTION)

Pengarang novel;  Dato' Abdullah Hussain
Rujukan muka surat:  53 - 69

Watak utama / protagonis:  Hilmi
Watak lain:  Hayati / anak Datuk Johari dan Datin Salmah / tunang Mohsin
                :  Datuk Johari / suami Datin Salmah / bapa Hayati / "bapa saudara" Hilmi
                :  Datin Salmah / ibu Hayati / ibu saudara Mohsin
                :  Mohsin / tunang Hayati / anak saudara Datin Salmah
                :  ibu Mohsin / kakak Datin Salmah
                :  bapa Mohsin / abang ipar Datin Salmah / bakal besan Datuk Johari
                :  Mak Minah / tukang masak keluarga Datuk Johari
                :  Pak Amat / pemandu keluarga datuk Johari
                :  Leha / anak buah Mak Minah / pembantu rumah keluarga Datuk Johari

Latar tempat:  banglo Datuk Johari / ruang tamu

Latar masa:  petang

Ringkasan bab


Hilmi mengambil alih tugas Leha yang balik berkahwin di Lenggeng, Negeri Sembilan. Walaupun menjadi kerja tambahan, Hilmi senang kerana dapat menghampiri piano. Selepas membersihkan ruang tamu dengan pencuci elektrik, Hilmi menyentuh kayu mahagoni piano, tetapi tidak berani membuka tutupnya kerana kan dimarahi Hayati. Kebetulan Hilmi tinggal seorang dan kerja juga selesai, maka dia membuka tutup piano dan mula memainkan piano. Dia menjadi asyik hingga tidak sedar Mak Minah sudah berada di belakang. Pekikan Mak Minah menyebabkan Hilmi terjatuh hingga Mak Minah terpaksa menyiram air untuk memulihkan Hilmi. Mak Minah nyata geram, lalu Hilmi kesal.

Sebaik Hilmi kembali ke biliknya, kereta Datin Salmah tiba. Hilmi berdebar. Demi Pak Amat memberitahu datin ingin berjumpa di dapur, gelora hati Hilmi meningkat, tetapi dia berharap akan perlindungan Datuk Johari. Datin sedang membelek bunga Jepun hadiah kawannya dan tidak membantah apabila Hilmi mengambilnya untuk diletakkan di hadapan, walaupun ingin diletak bersama bunga kekwa. Datin Salmah percaya Hilmi akan menjaga taman yang dipandang iri oleh teman-temannya.

Ketika sibuk mencari cat, Hilmi mendengar jeritan tayar motokar Mohsin yang datang bersama Hayati. Ketika melintasi ruang tamu, Hilmi mengagak kehadiran ibu bapa Mohsin. Demi ibu Mohsin meminta Hayati bermain piano dengan lagu Blue Danube, Hilmi gugup walaupun Mak Minah tidak menyampaikan peristiwa dia berani menyentuh piano itu. Pandangannya menjadi ungu belaka. Hayati cuba memetik C minor, tetapi keluar bunyi fa melenting. Berkali-kali nada sumbang yang sama kedengaran hingga Hayati membanting tutup piano itu dengan kuat, lalu menangis. Bapa Mohsin tidak menjumpai sebarang keanehan. Hayati meluru ke bilik, manakala di luar, Hilmi gempar.

Datin Salmah segera memanggil Mak Minah yang bertubuh gempal itu. Sesudah Mak Minah memberitahu nama Hilmi, semua sekali mengulang sebut nama Hilmi serentak, kecuali Datuk Johari. Mereka bagai tidak percaya Hilmi boleh memainkan lagu. Datin Salmah macam mendapat alasan untuk mengusir Hilmi, tetapi Datuk Johari sekadar membuat keputusan memotong “gaji” Hilmi (dua puluh ringgit). Peluang Datin Salmah lenyap, sebaliknya dia diminta memujuk Hayati.

Seterusnya, keluarga Datin akan bercuti sebulan, manakala Pak Amat dan Mak Minah balik kampung. Datin Salmah mengingatkan Hilmi tentang risiko dapur gas, tetapi Hilmi tidak sengaja mengatakan dapur kayu juga boleh membakar. Hayati turut mengingatkan Hilmi tentang pintu, tingkap, lampu dan telefon. Hilmi tersinggung sedikit dengan amaran supaya dia tidak panjang tangan, tetapi bayang Hayati membawa rasa sejuk. Hilmi masih tegak di situ ketika dua beranak itu sedang menyemak daftar barang percutian mereka.

Hati Himi rusuh kembali, lalu dia mengadu kepada bunga-bunga di taman. Dia memandang bunga ros merah sebagai pengganti Hayati. Semua bunga bergayut meliuk-liuk bagaikan setuju dan menyambut kesukaan Hilmi...

Perwatakan:  bijak / berbakat / peka, patuh / taat / setia (Hilmi)
               :  suka menunjuk-nunjuk, suka menghina / melabel orang, penyayang, akur kepada suami (Datin Salmah)
                  :   cepat merajuk / mudah terasa / sensitif (Hayati)
                  :   kebapaan / penyayang /tenang / adil (Datuk Johari)
                  :   mementingkan darjat / memandang rendah orang miskin (Mohsin / ibu bapa Mohsin)
                  :   prihatin, mudah dicungkil rahsia, simpati (Mak Minah)

Latar masyarakat:  masyarakat yang bijak / berbakat / peka (tentang susunan bunyi)
                          :  masyarakat yang patuh / taat / setia (kepada mjikan)
                          :  masyarakat yang bersifat kebapaan / penyayang / tenang / adil
                          :  masyarakat yang mementingkan darjat / memandang rendah orang miskin
                          :  masyarakat yang prihatin
                          :  masyarakat yang mudah dicungkil rahsia
                          :  masyarakat yang simpati

Nilai murni:  kebijaksanaan, kepekaan, kepatuhan, ketaatan, kasih sayang, ketenangan, keadilan, keprihatinan, simpati  

Persoalan:  kebijaksanaan / kepekaan dalam pembelajaran kendiri
               :  kepatuhan / ketaatan / kesetiaan kepada majikan / suami
               :  kasih sayang sesama manusia / keluarga
               :  ketenangan dalam mengendalikan krisis / kekecohan / suasana tegang
               :  keadilan / kesaksamaan dalam membuat keputusan / menjatuhkan hukuman
               :  keprihatinan / simpati terhadap nasib orang lain / rakan sekerja

Pengajaran:  Kita hendaklah bijaksana / peka dalam pembelajaran
                 :  Kita hendaklah patuh / taat / setia kepada majikan
                 :  Kita hendaklah menyayangi sesama manusia
                 :  Kita hendaklah tenang dalam mengendalikan krisis / kekecohan / suasana tegang
                 :  Kita hendaklah adil / saksama semasa membuat keputusan / pertimbangan / hukuman
                 :  Kita hendaklah prihatin / simpati terhadap nasib orang lain
             
   

Tuesday, January 24, 2012

MENJAUHI SIFAT KIKIR (LECTURE ON GENEROSITY)

Sifat pemurah sangat terpuji dan sangat didambakan dalam masyarakat yang telah mencapai tahap peradaban yang tinggi. Pemurah ialah kesanggupan menghulurkan apa-apa bentuk pertolongan sama ada dari segi benda, buah fikiran, masa dan tenaga kepada pihak yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sifat pemurah yang tulen hanya lahir daripada nurani yang suci.

Sifat kikir (stinginess, selfishness) pula ialah musuh sifat pemurah. Sifat kikir merujuk kepada keengganan untuk mengeluarkan belanja atau sangat berkira untuk menghulurkan pertolongan. Orang-orang yang kikir hanya akan berbelanja atau menghulurkan pertolongan jika keadaan benar-benar memaksa, terdesak atau hanya kerana malu kepada manusia.

Dalam peribahasa Melayu terdapat ungkapan "tangkai jering", iaitu sangat liat untuk berbelanja sama ada untuk dirinya sendiri, apatah lagi untuk menolong orang lain. Walaupun memiliki pendapatan yang tinggi dan simpanan yang moncah, si tangkai jering sangat takut untuk menikmati kekayaan sendiri. Orang kikir ialah pesakit jiwa yang kronik, serta perlu segera menjalani proses pemulihan dan terapi oleh pakar.

Apabila seseorang itu dianjurkan untuk berbelanja dan menghulurkan bantuan, bukanlah bererti sehingga menjadi boros atau melampau. Kebijaksanaan zaman dahulu mengatakan bahawa ukur baju di badan sendiri. Manusia tidak dibebani melainkan dengan keupayaan yang telah dikurniakan oleh Ilahi.

Iktibar peristiwa hijrah hendaklah diinstitusikan dalam pemikiran dan amalan sepanjang zaman. Kaum Ansar (penduduk Madinah) menerima kedatangan kaum muhajirin (Makkah) dengan tangan terbuka dan menyatakan kesediaan menghulurkan apa-apa jua bentuk bantuan, termasuk menawarkan isteri-isteri mereka sendiri (untuk dinikahi usai proses talak). Namun, kaum muhajirin tidak pula mengambil kesempatan dengan menerima segala bantuan atau tawaran justeru mereka ialah insan yang telah menjalani proses pendidikan ruhani (spiritual) yang menjadikan mereka orang-orang yang budiman.

Abdul Rahman bin Auf, usahawan berjaya, hanya mahu ditunjukkan lokasi niaga, bukan menadah modal yang ditawarkan. Kaum Ansar dan Muhajirin telah berjanji setia. Mereka berlapang dada terhadap perbezaan pendapat sehingga memberi laluan kepada usaha penyebaran dakwah yang berkesan.

Sifat pemurah tidak semestinya hanya monopoli orang kaya, manakala sifat kikir pula bukan hanya disebabkan oleh kekurangan harta benda atau kemampuan. Sifat pemurah dilambangkan oleh kesediaan berkongsi ilmu pengetahuan, keselesaan, kesenangan, rezeki, susah senang dan segala perkara yang menjurus kepada kebaikan dan taqwa. Si pemurah akan sentiasa menunaikan hak diri sendiri dan hak orang lain, iaitu bersikap asertif atau tegas diri.

Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang terpelihara daripada sifat kikir. Mereka yang tidak kikir sentiasa mendoakan saudaranya yang beriman dan membuang jauh-jauh perasaan dengki dan iri yang mungkin masih bersarang di dalam lubuk sanubari nan dalam. Titipan surah al-Hasyr (59:9) hendaklah melekat dan tersemat di dalam jiwa kita...

“PIANO” BAB 3 NOVEL KONSERTO TERAKHIR (MISSING THE SECRET ADMIRER)

Pengarang novel:  Dato' Abdullah Hussien
Muka surat rujukan:  41 - 52

Watak utama / protagonis:  Hilmi
Watak lain:  Hayati / anak Datuk Johari, Datin Salmah / tunang Mohsin / pelajar sekolah swasta
                   :  Mohsin / tunang Hayati / anak saudara Datin Salmah / pegawai bank
                   :  Datuk Johari / ayah Hayati / “ayah saudara” Hilmi
                   :  Datin Salmah / isteri Datuk Johari / ibu Hayati / ibu saudara Mohsin
                   :  Pak Amat / pemandu Datuk Johari / bekas penyelam mutiara di Australia / duda anak satu (meninggal)
                   :  rakan-rakan Datin Salmah (tidak dinyatakan nama)
                   :  Dr. Nathan / jiran Datuk Johari
                   :  Mak Minah / pembantu rumah Datuk  Johari / tukang masak hyang sudah berusia lanjut

Latar tempat:  banglo Datuk Johari (ruang tamu, tempat piano, kebun jagaan Hilmi)

Latar masa:  pukul 3 petang, hari Khamis (banyak peristiwa imbas kembali oleh Hilmi)
                     : hampir senja (ketika Hayati dan Mohsin balik; Hilmi tergesa-gesa solat Asar setelah terjaga)

Ringkasan bab

Hilmi sangat sayang kepada bunga yang ditanamnya. Kumbang perosak yang dapat ditangkap akan ditenyeh dengan kakinya. Namun, Hilmi berhati-hati kerana Hayati tidak senang begitu. Hayati memanggil Hilmi “abang” walaupun dilarang oleh Datin Salmah. Hayati juga suka keluar malam-malam menemani Hilmi mencari kumbang dan ulat. Hilmi menganggap Hayati sebagai tamu dunia bunga walaupun dia hanya suka kepada bunga ros yang cantik, tetapi berduri dan menjadi sasaran kumbang. Pada setiap hari Sabtu dan Khamis, Hilmi sengaja bekerja berhampiran ruang tamu depan rumah untuk mendengar Hayati belajar piano. Hilmi akan menuruti petikan piano Hayati dengan menekan pahanya sendiri. Hilmi ingin sekali menekan mata piano sebenar, tetapi dia tidak berani. Hilmi hanya pernah menyentuh kayu mahagoni piano yang tertutup itu. Hilmi juga pernah mengintai Hayati bermain piano, tetapi dimarahi. Hilmi tersinggung, tetapi apabila Hayati menemaninya mencari kumbang, dia lupa.

Wang pemberian Datuk Johari dibelinya baja dan cat. Datin Salmah mula bangga dengan pujian rakan dan Dr. Nathan, malah dia makin gila membeli bunga untuk dijaga oleh Hilmi. Walaupun terbeban, Hilmi tidak mahu menunjukkan penat, terutama pada hari Sabtu dan Khamis apabila lagu merdu petikan piano Hayati menjadi makanan rohani dirinya. Hari Khamis itu jam menunjukkan pukul 3.05 petang, lalu hati Hilmi menjadi rusuh (gelisah).Setelah menunggu sejam, kelibat Hayati tidak juga muncul. Hilmi hilang semangat, lalu ke bilik dan tertidur. Hilmi hanya terjaga ketika mendengar dentuman pintu kereta Pak Amat, lalu bingkas mengerjakan solat Asar. Setelah itu, Hilmi meninjau ke kamar Hayati dan ruang tamu, tetapi hampa. Sekali lagi dia dilanda rusuh, gundah gulana dan bosan.

Tiba-tiba Hilmi gempar apabila kereta Mohsin masuk dan dia bersama Hayati yang sedang ketawa kerana baru pulang daripada menonton wayang filem komedi. Datuk Johari kurang senang, tetapi dia diam sahaja. Kemudian Datuk Johari menghampiri Hilmi yang masih menyiram air ke atas tanaman walaupun hari sudah masuk malam. Datuk Johari juga tertarik dengan bunga tahi ayam yang biasa ditemui di kampungnya dahulu. Hilmi mendapatnya daripada kawan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Hilmi kemudian menuju bangsal tempat ayam peliharaannya. Mula-mula Datin Salmah membantah, tetapi Hilmi tidak menjawab panjang kerana beranggapan perbuatan itu tidak baik. Namun, Datin Salmah tidak marah lagi kerana dia dapat memberi hadiah kepada kawan-kawannya yang berkunjung ke rumah. Dia juga senang menerima pujian. Namun, Datin Salmah berasa malu sendiri apabila soal bayaran (gaji “tukang kebun”) disebut...


Perwatakan:  rajin, peka / prihatin / sensitif, patuh / taat (Hilmi), sopan / menghormati orang lain (Hayati)
                      :  suka dipuji / makan puji / gemar disanjung (Datin Salmah)
                      :  suka memendam rasa / sukar meluahkan perasaan (Datuk Johari) / kurang tegas

Latar masyarakat:  masyarakat yang hidup mewah / berpangkat / bergelar / mementingkan darjat / status
                               :  masyarakat yang hidup menumpang
                               :  masyarakat yang rajin
                               :  masyarakat yang peka / prihatin / sensitif
                               :  masyarakat yang patuh / taat (kepada majikan / perintah agama)
                               :  masyarakat yang sopan / menghormati orang lain
                               :  masyarakat yang suka dipuji / makan puji / gemar disanjung
                                  : masyarakat yang suka memendam rasa / sukar meluahkan perasaan / kurang tegas

Nilai murni:  kerajinan, kepekaan / keprihatinan / tajam sensiviti, kepatuhan / ketaatan, kesopanan / hormat-menghormati, ketegasan / jati diri

Persoalan:  kerajinan dalam kerja / tugas / usaha
                  :  kepekaan / keprihatinan / sensiviti terhadap ancaman persekitaran (penjagaan bunga)
                  :  kepatuhan / ketaatan terhadap majikan / perintah agama
                  :  kesopanan / penghormatan terhadap orang lain / orang yang lebih tua, berusia
                  :  pujian / sanjungan yang berkepentingan (rakan Datin Salmah mahu sayur percuma)
                  :  kesukaran meluahkan perasaan / ketegasan yang hanya dipendam (Datuk Johari)
Pengajaran:  kita hendaklah rajin / cekal / gigih dalam sesuatu pekerjaan / tugas / usaha
                     :  kita hendaklah peka / prihatin / sensitif terhadap pengaruh persekitaran
                     :  kita hendaklah patuh / taat terhadap arahan majikan / perintah agama
                     :  kita hendaklah sopan / hormat kepada orang lain / orang yang lebih tua / berusia
                       : kita hendaklah menghamburkan pujian yang ikhlas / kita janganlah suka termakan pujian
                     :  kita hendaklah tegas dalam menyatakan pendirian / kita janganlah membisu terhadap tingkah laku yang buruk

Kbkk:  peranan ibu bapa dalam mencegah pergaulan bebas anak-anak
         :  persahabatan yang berlandaskan keikhlasan / kejujuran
         :  cara mengenal pasti bakat terpendam / kebolehan / potensi yang tersembunyi
         :  keciciran dalam persekolahan / bakat dan potensi yang disia-siakan / tidak digilap
         :  merapatkan jurang komunikasi antara golongan berada dengan golongan miskin
         :  memupuk rasa tawaduk / rendah hati dalam kalangan orang yang beruntung / hidup mewah

Monday, January 23, 2012

"HIKAYAT PATANI" KOMSAS TINGKATAN 3 (THE POWER OF KEEPING THE PROMISE)

Genre sastera:  Prosa tradisional
Penyelenggara:  Mohamad Ali Majod
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 35 - 39

Watak utama:  Phaya Tu Antara (nama asal) / Phaya Tu Naqba (nama gelaran) / Raja Kota Mahligai / waris Phaya Tu Kerub Mahajana / Sultan Ismail Syah Zillullah Fil Alam

Watak lain:  Encik Tani (orang tua di tepi pantai / bekas pegawai Paduka Nenda Raja Kota Mahligai)
                :  Syeikh Said (tabib yang merawat penyakit ganjil raja / pendakwah / orang Pasai)
                :  sekalian bendahara, menteri, laksamana, temenggung, hulubalang (tiada nama khusus diberikan)
                :  Syeikh Gambak / saudagar dari Minangkabau  } dihukum bunuh kerana berniaga tembaga;
                :  Abdul Mukmin / murid Syeikh Gambak            } disemadikan di kubur Tuk Panjang
                :  nakhoda selob / perahu dari Melaka (membawa dagangan berharga)
                :  nakhoda wangkang Cina (pemberi hadiah sebutir peluru batu kepada Sultan)
                :  Abdul Samad / tukang buat bedil berbangsa Rom
                :  Kerub Picai Paina  /  Sultan Mudaffar Syah  }
                :  Tunku Mahacai  /  Raja Aisyah                    } anakanda raja (nama sebelum sesudah Islam)
                :  Mahacai Pailang  /  Sultan Manzur Syah       }
                :  Tuk Besar / penyelenggara mayat

Latar tempat:  Kota mahligai, istana, tepi laut, rumah buruk Encik Tani, Lancang, Pintu Gajah (pangkalan), Jambatan Kedi,
kampung orang Pasai

Ringkasan / sinopsis hikayat


Phaya Tu Naqba menaiki takhta negeri Kota Mahligai bagi menggantikan ayahanda baginda yang mangkat. Baginda hendak berburu di tepi laut dengan membawa sekalian pegawai istana dan rakyat. Kesan rusa begitu banyak, tetapi hasil buruan tidak juga diperoleh. Baginda melepaskan anjing yang menyalak hingga dua jam kerana mengejar seekor pelanduk putih yang lenyap di pantai. Baginda pun menuju ke pantai, lalu bertemu rumah Encik Tani bersama isteri. Encik Tani juga bekas pegawai istana Kota Mahligai, tetapi terkena penyakit ganjil, lalu ditinggalkan di situ. Akhirnya, baginda membuat keputusan membuka negeri di situ yang siap dalam masa dua bulan. Kerajaan Kota Mahligai berpindah ke negeri baharu yang dinamakan Patani Dar al-Salam, sempena nama Encik Tani.

Setelah beroleh tiga orang cahaya mata, baginda jatuh sakit merekah tubuh. Canang dipukul dengan tawaran menjadi menantu raja jika mampu menyembuhkan baginda. Setelah seminggu, di kampung orang Pasai, Syeikh Said sanggup mengubati raja dengan syarat baginda memeluk Islam, bukan syarat mengahwini puteri baginda. Setelah tujuh hari, baginda beransur sembuh, tetapi mungkir janji. Dua tahun setelah itu, penyakit ganjil kembali menyerang dan Syeikh Said kembali dipanggil. Baginda mungkir janji lagi. Kali ketiga, penyakit baginda lebih teruk hingga tidak mampu duduk. Syeikh Said memberi kata dua bahawa dia tidak akan mengubati baginda lagi walaupun dibunuh andai raja mungkir janji lagi. Setelah sembuh, raja menunaikan janji dan Syeikh Said melakukan proses pengIslaman raja, pegawai dan sekalian rakyat baginda, serta membubuh nama Islam mereka. 

Suatu hari datang nakhoda wangkang Cina menghadiahkan sebutir peluru batu sebesar bakul. Baginda bertitah menjadi aib (malu) menyimpan peluru tanpa memiliki bedil (meriam). Maka, sebagai langkah awal, dilarang urusan menjual tembaga selama tiga tahun. Namun, sebuah selob dari Melaka datang membeli tembaga sebanyak empat pikul daripada Syeikh Gambak pada waktu malam, tetapi kemudian tertangkap. Syeikh Gambak dan muridnya, Abdul Mukmin kemudian dihukum bunuh di Pintu Gajah dan mayat mereka dibuang ke dalam sungai. Selama tiga hari, kedua-dua mayat terapung separas pinggang dan dada dan hanyut seperti orang berjalan. Ketika diselenggarakan, kedua-dua mayat memanjang, lalu dikuburkan begitu. Tukang berbangsa Rom, Abdul Samad membuat bedil di Kampung Tembaga, tetapi terlalu nipis untuk digunakan, lalu terbiar selama tiga tahun. Akhirnya, bedil dirombak kepada tiga pucuk dengan nama Seri Negeri, Tuk Buk dan Nang Liu-liu.

**********************************************************************************




Perwatakan:  tegas (raja, Syeikh Said), patuh / taat (pegawai istana, rakyat), tidak putus asa (raja, pemukul canang), amanah (raja, Syeikh Said, pegawai istana), bijaksana (Syeikh Said), sabar (Syeikh Said), berpandangan jauh (raja)



Nilai murni:  ketegasan, kepatuhan / ketaatan, kecekalan / kegigihan, amanah, kebijaksanaan, kesabaran, berwawasan



Persoalan:  ketegasan dalam pendirian
                :  kepatuhan / ketaatan terhadap pemerintah / pemimpin / raja (yang adil)
                :  tidak putus asa dalam mencari ikhtiar / berusaha
                :  amanah terhadap janji / tugas
                :  kebijaksanaan dalam bertindak / berdakwah
                :  kesabaran dalam sesuatu tindakan / usaha dakwah
                :  kepimpinan yang berwawasan



Pengajaran:  kita hendaklah tegas dalam sesuatu pendirian
                  :  kita hendaklah patuh / taat kepada pemerintah / pemimpin / raja (yang adil)
                  :  kita hendaklah cekal / gigih dalam sesuatu ikhtiar / usaha
                  :  kita hendaklah amanah dalam berjanji / menjalankan tugas
                  :  kita janganlah curang / melanggar perintah / larangan pihak berkuasa
                  :  kita hendaklah memiliki wawasan yang jelas



kbkk:  penggunaan tenaga pakar dalam hal ehwal teknikal
         :  pengkhususan / agihan tugas yang tepat
         :  kemahiran komunikasi / diplomasi / interpersonal terhadap golongan berkuasa
         :  kemesraan / kesantunan pemerintah terhadap rakyat jelata
         :  berfikir tentang masa hadapan / futuristik

WARGA ASING "TAWAN" KUALA LUMPUR (DISAPPEARED OF LOCAL CHINESE)

Kuala Lumpur, Ahad: 22.1.12 / 28 Safar 1433

Pagi ini kaum Cina berkumpul bersama keluarga untuk makan besar sempena sambutan tahun baharu naga. Maka, tidak hairanlah bahawa kegiatan perniagaan di kawasan bandar agak lengang kerana kebanyakan tauke menutup premis masing-masing. Namun, gedung beli-belah dan pasar raya beroperasi seperti biasa.

Ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur dihuni oleh sebahagian besar "orang luar". Maksudnya, penduduk jati Kuala Lumpur mungkin hanya separuh. Apabila tiba musim perayaan, separuh penghuni kota yang lain akan berpusu-pusu memenuhi lebuh raya menuju kampung halaman masing-masing. Kuala Lumpur lengang sebentar, kecuali di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menjadi tumpuan pembeli fabrik dan pakaian secara borong atau runcit. 
Cuti umum turut membabitkan pekerja warga asing. Maka, mereka pun mengambil kesempatan berlibur sambil melaram sakan di bandar raya Kuala Lumpur yang sangat mereka kagumi. Sukar hendak dibezakan yang mana buruh kasar dan yang mana buruh mahir.

Wajah-wajah Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal dan Vietnam membanjiri lokasi strategik ibu kota. Mereka berbelanja di lokasi tumpuan seperti Menara Berkembar Petronas dan Sogo. Mereka tidak ragu membuat pesanan makanan dan minuman di restoran yang ada kelas!

Barangkali sebahagian warga tempatan berasa cuak melihat kelibat warga asing yang berduyun-duyun itu. Pasukan keselamatan juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga supaya tidak berlaku sebarang bentuk provokasi yang berpotensi mencetuskan rusuhan dan sengketa antara kumpulan yang berlainan negara itu. Pemantauan menerusi kamera litar tertutup dan cermin mata ikan di lokasi tumpuan turut dilakukan dengan lebih serius.

Dari sudut yang lain, sebagai perantau, kesempatan berkumpul dengan rakan satu negara bukanlah perkara yang ganjil. Rakyat Malaysia di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom juga melakukan perkara yang serupa. Di situlah mereka dapat "membalas dendam" bercakap loghat daerah masing-masing, di samping berkongsi cerita, mahupun cuba mencari jodoh...

Sunday, January 22, 2012

SAJAK "ORANG TUA" KOMSAS TINGKATAN 3 (SENIOR CITIZENS)

Genre sastera:  Puisi moden
Penulis:  Puspa Rani a/p Munusamy
Bilangan rangkap:  4
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 24

Pengenalan

Sajak keenam dan terakhir dalam antologi komsas tingkatan 3 ini menggambarkan sisi malang warga tua yang terbiar dan tidak dipedulikan. Hakikatnya, bilangan warga tua yang mampu berdikari dan masih dilayan dengan baik jauh lebih besar bilangannya. Namun, nasib yang dialami oleh sebahagian warga tua menunjukkan tahap kepedulian sosial yang rendah, di samping kemungkinan ramai anak derhaka yang tidak tahu mengenang budi.

Sajak yang ditulis tidak menyatakan dengan jelas sama ada fenomena warga tua terbiar itu difokuskan kepada Malaysia sahaja (kecuali baris 3, rangkap 2), atau di tempat lain. Maka, pembaca boleh membuat andaian umum bahawa masalah warga tua malang bersifat sejagat. Kepekaan penyajak terhadap kepincangan yang berlaku harus dapat menginsafkan pembaca muda tingkatan 3 supaya memupuk sikap membalas jasa dan menjaga harga diri warga tua.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Nampakkan kau
          wanita tua di tepi jalan
          mukanya comot rambutnya kusut
          membawa bersamanya beg usang
          berjalan ke sana ke mari
          tanpa suatu destinasi.

Penyajak mengajak pembaca (kau) merenung nasib seorang wanita tua yang dilihatnya di tepi jalan dalam keadaan fizikal (penampilan diri) yang tidak terurus. Wanita tua itu menggalas sebuah beg buruk sambil merayau tanpa arah tujuan yang khusus. 

          Nampakkah kau
          lelaki tua di hujung jalan
          kemejanya kotor seluarnya rabak
          duduk di sudut tangga
          menunggu sisa makanan di restoran mamak
          untuk mengalas perut yang kosong.

Seorang lelaki tua di hujung jalan pula berpakaian compang-camping kelihatan terjelepuk kelaparan di sudut sebuah tangga. Dia hanya berharap dapat mengutip sisa makanan yang ditinggalkan oleh pelanggan sebuah restoran mamak untuk mengisi perutnya yang berkeroncong.

          Nampakkah kau
          darah berlumuran di jalan raya
          mayat si tua dibiarkan di situ
          dan
          di bilik mayat pula
          tiada siapa datang menuntutnya.

Di sebatang jalan raya pula kelihatan darah keluar daripada mayat seorang warga tua yang terbabit dengan nahas. Mayat si tua tidak dipedulikan. Di hospital, tiada waris yang muncul.

          Nampakkah ia sepertimu
          mereka juga dicipta oleh-Nya
          tetapi bezanya mereka diabaikan
          ditinggalkan
          oleh anak-anak jahil yang tidak berbudi
          nampakkah kau?

Penyajak menggesa pembaca berfikir bahawa warga tua ialah insan yang sama seperti kita, iaitu sebagai makhluk ciptaan Ilahi. Hanya nasib mereka begitu malang angkara anak-anak derhaka dan jahil yang tidak tahu mengenang budi dan jasa ibu bapa. Penyajak mahu pembaca memiliki kesedaran yang sama.

Nilai murni:  kepedulian / kepekaan / keprihatinan 
                :  mengenang budi / jasa
                :  kasih sayang

Persoalan:  kepedulian / kepekaan / keprihatinan terhadap nasib warga tua
               :  mengenang budi / jasa ibu bapa
               :  kasih sayang sesama masyarakat

Pengajaran:  kita hendaklah peduli / peka / prihatin terhadap nasib warga tua
                 :  kita hendaklah mengenang budi / jasa ibu bapa
                 :  kita hendaklah menyayangi warga tua

kbkk:

menjelang tahun 2035, Malaysia akan muncul sebagai negara tua, iaitu nisbah penduduk warga emas yang meningkat dengan mendadak rentetan jangka hayat dan kualiti hidup yang makin baik.

keperluan undang-undang mendakwa anak-anak yang didapati sengaja membiarkan ibu bapa mereka hidup melarat dan sebatang kara.

penubuhan persatuan warga emas / kelab warga emas / kampus warga emas supaya masyarakat berusia lanjut menjaga stamina fizikal dan minda yang tajam

kempen / pendidikan kesedaran generasi muda tentang keperluan penjagaan warga tua

kaunseling / penyelidikan warga emas bagi meawat rasa sepi / takut tentang usia lanjut

Gaya bahasa: