SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, December 31, 2009

MAULID BERPINDAH NEGERI, DUA LAGI NAIK PANGKAT (TRANSFER AND PROMOTION OF SMI'S TEACHER)

Ipoh: Khamis, 31 Disember 2009 / 14 Muharam 1431

SMK St Michael, Ipoh (SMI) menutup tirai kalendar masihi 2009 dengan mesyuarat guru sebagai persiapan terakhir sesi persekolahan 2010. Mesyuarat empat jam itu dipenuhi dengan taklimat pentadbiran dan pengurusan rekod, serta dokumen. Pengetua telah menyampaikan taklimat yang menyentuh hal-ehwal kurikulum, kokurikulum, refleksi 2009 dan cabaran semasa dunia pendidikan.

Seperti biasa dalam mesyuarat penuh yang pertama, senarai tugas dan takwim aktiviti sekolah dibincangkan. Semua guru kelihatan ceria menantikan ketibaan sesi persekolahan 2010. Walaupun masih dalam tempoh cuti akhir tahun 2009, kebanyakan guru SMI terlibat dengan urusan peperiksaan dan perancangan takwim  aktiviti sekolah. Tema sekolah 2010 bakal dilancarkan dalam perhimpunan pertama Isnin ini.

Warga SMI 2010 akan terasa kehilangan tiga orang guru yang dedikasi. Encik Maulid bin Ismail, Presiden Kelab Staf, merangkap orang kuat Kelab Kilas Tangkis telah berjaya dalam rayuan beliau suami isteri untuk kembali menabur bakti di kampung halaman mereka di Perlis. Tahniah Encik Maulid. Harap-harap tidak melupakan kami di SMI ini.

Dua orang guru wanita pula berpindah sekolah berdekatan atas urusan naik pangkat. Puan Jot Mao Tan bertukar ke SMK Sam Tet, manakala Puan Hajjah Norhamisah binti Ibrahim ke SMK Anderson. Kedua-dua mereka dilantik sebagai Guru Kanan Vokasional dan Teknik. Tahniah.

Penulis blog (PB) tumpang berbangga justeru ketiga-tiga guru yang berkenaan adalah daripada bidang Vokasional dan Teknik, iaitu bidang yang PB jaga sepanjang 2009 dengan status menjalankan tugas guru kanan. PB menyambung seketika tugas berkenaan sehingga guru kanan lantikan JPN ditempatkan kelak. PB juga akan menjalankan tugas Presiden Kelab Staf sehingga pemilihan exco baharu yang dijangka diadakan pada awal bulan Februari.

Sementara itu seorang lagi guru wanita, Puan Suhana binti Basiam (sesi petang) mula bercuti belajar di peringkat sarjana (M.Sc) di Universiti Islam Antarabangsa. Puan Suhana mengkhusus dalam bidang Pskikologi di bawah tajaan Hadiah Latihan Persekutuan, Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa. Namun, secara pentadbiran beliau masih disenaraikan sebagai guru SMI. 

Dalam pada itu SMI menerima seorang lagi Cikgu Ravi yang juga kaunselor pelajar. Bezanya, ketua Unit Kaunseling SMI ialah Cikgu Ravindran, manakala Ravi II ini ialah Cikgu Ravi Chandran. Dengan itu, SMI telah mempunyai lima orang kaunselor pelajar sepenuh masa.

Kepada semua warga SMI, selamat meneruskan sesi persekolahan 2010. Marilah kita menumpukan daya usaha kita ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan. Mudah-mudahan kita dikurniakan oleh-Nya kekuatan, kesihatan dan sumber untuk mencapai kejayaan yang diidam-idamkan. Insya-Allah...

Wednesday, December 30, 2009

AKSI BOLA SEPAK JALANAN DI PASAR PAYANG (THE REVIVAL OF THE STREET SOCCER)


Pasukan Kadet Bomba SM Teknik Persiaran Brash pernah menganjurkan temasya bola sepak jalanan sehari suntuk suatu ketika dahulu. Pertandingan yang bertempat di gelanggang tenis itu mendapat sambutan luar biasa warga teknik memandangkan peluang budak asrama melampiaskan kudrat maskulin mereka jarang-jarang ada. Pengetua telah memberi lampu hijau kepada pasukan kadet bomba kerana aktiviti dan program pasukan di bawah penyelarasan penulis blog (PB) itu memiliki rekod kejayaan yang membanggakan sekolah.

PB teringat cerita lama di sekolah teknik apabila menyaksikan sekumpulan kanak-kanak asyik bermain bola sepak di celah-celah kesibukan aktiviti jual beli di Pasar Payang yang menjadi salah satu mercu tanda bandaraya Kuala Terengganu. Mereka berkejar-kejaran dengan riang sekali. Peniaga dan pengunjung kelihatan terhibur melihat telatah kanak-kanak berkenaan walaupun kadang-kadang bola ditendang ke arah mereka.

Dengan hanya berkaki ayam (bare footed), sekumpulan kanak-kanak menjadikan kawasan pintu masuk ke pasar Payang sebagai padang terbuka. Bola yang digunakan memang selamat walaupun ditendang dengan kencang ke arah sesiapa. Sebab itulah orang dewasa tidak kisah  atau berasa tidak selesa.

Sebaliknya orang ramai dan kenderaan yang lalu di situ perlu mengelak. Maka, konsep permainan kanak-kanak itulah permainan bola jalanan yang sebenar. Benar-benar di laluan sibuk!

Sebelum menggempur kubu lawan, sepertimana dalam permainan penuh, mesti ada perbincangan taktikal. Komunikasi sebentar dalam tempoh yang singkat itu biasa kita lihat dalam perlawanan peringkat tertinggi dunia sekali pun. Penjaga gol akan menjerit-jerit jika pandangannya terhalang akibat kedudukan  rakan sepasukan yang tidak teratur.

Kemahiran menggelecek ialah asas permainan bola sepak. Pasukan Jerman Timur (sebelum bergabung dalam Persekutuan Jerman) memiliki lebih daripada 10,000 variasi kawalan bola ketika menggelecek pemain lawan. Pemain handalan seperti Gerd Muller, Pele, Maradona dan Didier Drogba memiliki kemahiran menggelecek yang hebat, di samping hantaran tepat. Kanak-kanak di pasar Payang menampakkan bakat menggelecek yang boleh digilap lagi.

Bola sepak jalanan tidak memerlukan pegawai perlawanan seperti pengadil dan penjaga garisan, melainkan dijadikan sebagai permainan formal. Peraturan dibuat atas dasar persefahaman dan persetujuan yang longgar sebelum bermain. Tiada tekanan terpancar dalam kalangan kanak-kanak yang bermain dengan penuh kegembiraan.

Permainan bola sepak jalanan begitu popular di kawasan kejiranan miskin di benua Afrika dan Amerika Latin. Belum ada suatu penyelidikan tentang impak bola sepak jalanan terhadap kemajuan sukan itu di benua-benua berkenaan. Kita boleh sahaja menganggap bahawa bola sepak jalanan menjurus kepada ciri sukan atau rekreasi rakyat.

Pasukan yang hebat sentiasa mempunyai naluri menjaringkan gol secepat dan sebanyak yang mungkin. Serangan dan percubaan ke arah gawang lawan mesti direncanakan sama ada dari tengah atau sayap. Dalam masa yang sama, kubu sendiri harus dijaga supaya tidak dibolosi dengan serangan balas secara mengejut.

Dalam mana-mana permainan, semangat juang dan kesungguhan dianggap sebagai faktor kritikal. Walaupun sekadar bersuka-suka, kanak-kanak pasar Payang mempamerkan kualiti berkenaan. Mereka berebut bola dan menghalakan bola ke arah "pintu gol" lawan.

Dalam aksi bola jalanan, banyak perkara melucukan berlaku. Misalnya bola melambung dan tersangkut pada bumbung kedai. Permainan dihentikan sekejap sehingga bola kembali ke jalanan. Tiada istilah "masa kecederaan". Wisel penamatnya ialah keletihan atau cuaca buruk!


Apabila bola terperosok di bawah kabin, lagi haru. Tangan, kaki atau apa-apa sahaja objek lain perlu digunakan untuk mengeluarkan bola. Awas jika ada haiwan berbisa yang bersembunyi!

Walaupun gerakan solo tidak lagi dipentingkan dalam sistem total football, sekali-sekala kaedah itu boleh dicuba untuk mengkucar-kacirkan benteng pihak lawan. Pemain yang memiliki larian pantas boleh melakukan gerakan solo yang cantik.

Si cilik juga tertarik. Pemain bola sepak jalanan tidak kikir atau kedekut untuk melayani keletah si cilik. Sang bapa turut membantu.

"Jaga-jaga, tokki". Begitulah agaknya kata kanak-kanak yang cuba mengambil bola daripada terkena tubuh seorang warga emas yang kebetulan lalu di kawasan permainan. Kanak-kanak sebenarnya sentiasa hormat dan sayang kepada generasi dewasa jika mendapat asuhan dan bimbingan ibu bapa dan guru...



Tuesday, December 29, 2009

FELDA LADANG TERBESAR DUNIA? (THE FUTURE OF FELDA SETTLERS)


Barangkali tidak ramai yang biasa mendengar akronim LKTP, iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. Namun, kalau disebut Felda (Federal Land Development Authority) semuanya mengangguk.  Singkatan ejaan bahasa Inggeris itu sudah sebati dengan program pembangunan wilayah raksasa yang difokuskan terhadap pemilikan hartanah dalam kalangan orang Melayu.


Felda juga dikaitkan dengan legasi Perdana Menteri Malaysia yang kedua dan Dasar Ekonomi Baru. Kini, Felda diletakkan di bawah pengawasan terus Perdana Menteri dan telah muncul sebagai sebuah entiti konglomerat yang menguasai bank tanah terbesar negara dan aset jangka panjang, serta pelaburan tempatan dan asing yang sangat kukuh. Jika bahagian perniagaan induk Felda disenaraikan sebagai syarikat awam, hampir pasti bahawa Felda Berhad bakal menjadi satu lagi saham blue chip di Bursa Malaysia.


Suatu masa dahulu tohmahan bahawa rancangan Felda menempatkan peneroka di kawasan “jin bertendang”,  jauh di pedalaman belantara dan sebagai muslihat menjauhkan masyarakat tertentu daripada arus perdana ekonomi bandar seakan-akan suatu kebenaran yang sukar ditolak. Kini, generasi kedua dan ketiga Felda pula sering dimomokkan dengan gejala sosial dan petaka dadah. Kes-kes terpencil yang membabitkan kerendahan akhlak anak peneroka Felda disebarkan menerusi  MMS dan you tube.

Walaupun penulis blog (PB) bukanlah generasi Felda, tetapi pengalaman sebagai peserta program anak angkat Felda Gugusan Trolak di samping kunjungan bermalam di Jengka, dan Teriang sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran suka duka kehidupan warga Felda. PB juga pernah menginap di resort Felda dan menggunakan rangkaian jalan raya Felda Aring, Felda Kertih dan Felda Lepar. Dengan kesan limpahan pembangunan negara, kedudukan Felda sudah semakin dekat dengan bandar raya utama.

Apabila peneroka Felda dianugerahkan geran hak milik tanah yang meliputi kawasan ladang 10 ekar dan kawasan rumah (¼ - 2 ekar), mereka digoda dengan gula-gula jutawan segera jika sanggup menjual tanah mereka kepada pemaju swasta. Antara yang menjadi kenyataan ialah peneroka jutawan Felda Sungai Buaya, walaupun projek perumahan bercampur-campur di situ menerima sambutan yang dingin sahaja. Sementara itu, impian peneroka LB Johnson dan Sendayan di Negeri Sembilan nampaknya sirna!

Ibnu Khaldun, bapa sosiologi moden, masyhur dengan teori empat generasi. Generasi pertama berusaha keras membina kekayaan. Generasi kedua berusaha mempertahan dan mengembangkan kekayaan itu. Generasi ketiga mula “joli”. Generasi keempat menghabiskan saki-baki kekayaan dan kembali menjadi miskin. Felda tidak akan membiarkannya berlaku.

Bagi mengelakkan tanah berpindah milik kepada pemaju swasta, seluruh rancangan Felda disatukan sebagai sebuang ladang raksasa. Peneroka Felda menjadi pemilik saham  bagi membolehkan kegiatan ekonomi hiliran (downstream activity) diperkasakan. Kilang pemprosesan getah dan minyak sawit ditempatkan di petempatan Felda dengan menggunakan tenaga generasi kedua dan ketiga Felda daripada peringkat pengurusan hinggalah operator pengeluaran.

Konsep eko-pelancongan dan homestay juga dipromosikan. Contohnya, kolam air panas Felda Sungai Kelah. Di luar negara, Felda Berhad mengembangkan sayap perhotelan di Asia Barat, termasuk Makkah.


Seorang rakan PB menyatakan bahawa jika kertas cadangan beliau untuk mengkomersialkan pelepah kelapa sawit sebagai bahan komposit industri, banyak lagi aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada generasi kedua dan ketiga Felda. Sudah sampai masanya Felda mewujudkan institut pemikiran (think tank) yang boleh mencambahkan idea inovasi. Penyelidik tamu daripada pelbagai IPTA tempatan dan antarabangsa, serta daripada pelbagai agensi seperti Mardi, Frim dan Mampu boleh membantu Felda ke arah pemanfaatan segala sumber ekonomi yang sedia ada.


Kejayaan demi kejayaan tidak cukup sekadar diuar-uarkan menerusi siaran “Suara Felda” di saluran radio negeri-negeri milik kerajaan persekutuan. Pengalaman Felda mesti dibukukan sama ada berbentuk bacaan berat, kreatif dan popular. Generasi kedua dan ketiga Felda bukan sahaja berasa dihargai, bahkan diperbaharui motivasi mereka.

Sunday, December 27, 2009

MEMPERKENALKAN ANTOLOGI BAHARU KOMSAS TINGKATAN 4: HARGA REMAJA (INTRODUCING THE NEW ANTHOLOGY FOR FORM FOUR 2010)


Era “Anak Laut” berakhir sesudah sedekad mewarnai pembelajaran komponen sastera Bahasa Melayu (komsas) tingkatan empat. Mulai tahun 2010, antologi “Harga Remaja” diperakukan sebagai teks yang baharu. Judul itu diangkat daripada sajak nukilan Rahman Shaari, seorang profesor pengajian media, Universiti Malaya, yang juga dikenali sebagai hafiz sastera.

Murid tingkatan lima sedia ada masih menggunakan antologi “Anak Laut” judul yang juga diangkat daripada sebuah sajak karya Rahimidin Zahari. Kebetulan, soalan 2(d) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November 2009 menggunakan sajak “Anak Laut” yang ringkas dan jelas, tetapi sarat dengan mesej insan budiman. Selamat tinggal “Anak Laut”. Selamat datang “Harga Remaja”.

Edisi murid “Harga Remaja” dijual dengan harga RM9.80 (tanpa diskaun). Naskhah setebal 270 halaman itu, tidak termasuk lapan halaman pengenalan, memaparkan kulit hadapan dengan lukisan sepasang remaja, mewakili si uda dan si dara, bersekali dengan kelopak bunga dan empat ekor rama-rama. Tidak diketahui motif pelukisnya, Meor Kamarudin bin Meor Ismail hanya mevariasikan warna rerama sahaja.

Kulit belakang antologi “Harga Remaja” dibiarkan 90 peratus kosong. Yang ada hanya kelopak bunga dan bebayangnya, selain kod bar dan harga buku.  Sekali imbas, wajah si uda mirip Dr. Sheikh Muzaffar, pakar ortopedik UKM yang menjadi angkasawan pertama negara (bakal berumah tangga pada 10.10.(20)10 (Ahad). Si dara tidak dapat dikenal pasti justeru agak terlindung di balik kelopak bunga. Kelihatannya si dara sedang membetul-betulkan rambut atau sekadar bergaya di hadapan lensa kamera. Wallahu a’lam bi’s-sawab.


Antologi “Harga Remaja” diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, sebuah agensi bertaraf autonomi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Editor yang bertanggungjawab terhadap antologi ialah Rosmani binti Omar. Perbezaan yang ketara dengan “Anak Laut” ialah ketiadaan biodata pengkarya setiap genre, tetapi menampilkan lebih banyak ilustrasi hingga dua halaman. Contohnya, halaman 148 – 149 yang menggambarkan dikotomi sebuah keluarga pencandu papan dan bidak catur dengan si ibu yang sedang terlantar di ranjang sambil diperiksa oleh seorang daripada dua orang doktor yang diupah khas oleh keluarga berada itu. Karya Zaharah Nawawi itu pasti menarik untuk disoroti oleh murid remaja yang masih dalam proses memahami cabaran yang dihadapi oleh institusi kekeluargaan sejak zaman berzaman.

Penulis blog (PB) percaya bahawa murid tingkatan empat akan segera jatuh hati terhadap antologi “Harga Remaja”. Semua karya yang dimuatkan berupa titipan mutiara dan pedoman yang sangat bermutu buat mematangkan para remaja dalam meniti cabaran semasa dan cabaran mendatang. Antologi “Harga Remaja” bagaikan jalan pintas untuk remaja mengungkapkan rona-rona kehidupan diri sendiri dan orang lain di sekeliling atau yang jauh laksana.

Pengukuhan jati diri selaku remaja asertif (tegas diri) akan lebih mudah menjadi kenyataan. Di samping mementingkan hak diri sendiri, remaja juga mementingkan hak orang lain. Ciri remaja agresif (mementingkan diri sendiri sahaja) mungkin lebih sesuai di gelanggang dan di padang permainan berprestasi tinggi. Ciri remaja pasif atau permisif (sentiasa mengalah, mementingkan hak orang lain semata-mata) mungkin boleh dipertimbangkan untuk situasi yang benar-benar genting sahaja.


Karya yang paling ringkas ialah “Seloka Emak Si Randang” yang hanya menampilkan sejumlah 29 patah perkataan, dan lapan baris tanpa selang. Kedua ringkas ialah “Gurindam 12 Fasal yang Keenam” dengan 33 patah perkataan, juga dengan lapan baris empat rangkap: setiap satu rangkap mengandungi dua baris. Kedua-dua karya puisi tradisional itu walaupun ringkas, tetapi sarat dengan kebijaksanaan dan peringatan buat remaja.

Karya yang paling panjang ialah “Gelanggang Tuk Wali” yang mewakili genre drama. Keseluruhannya terdapat lima babak pementasan dalam skrip yang mengisahkan seorang guru silat yang berhadapan depan cucu tirinya, Piee, seorang penagih tegar yang tidak mengenal erti belas dan nilai khazanah bangsa. Jumlah muka suratnya... 52! Namun, jangan gusar. Kata bualnya menyebabkan pembaca sentiasa teruja!

Karya kedua terpanjang pula ialah “Hikayat Khoja Maimun” yang diselenggara oleh Abdul Rahman Kaeh. Genre prosa klasik itu memenuhi sejumlah 27 halaman antologi. Hikayat berbingkai yang penuh teladan itu mengisahkan kebijaksaan si burung bayan melekakan Bibi Zainab yang berniat curang semasa suaminya, Khoja Maimun belayar atas urusan perniagaan.

Pengajaran paling berharga daripada hikayat berbingkai empat bab dengan tiga cetera itu ialah kita hendaklah berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Si burung bayan telah menyaksikan temannya si burung tiung kehilangan nyawa akibat berterus terang tidak pada masa, orang, dan tempatnya. Si bayan sebaliknya bukan sahaja berjaya menyelamatkan dirinya, bahkan menyelamatkan Bibi Zainab daripada terjebak dalam kancah maksiat dengan si anak raja yang baru berbalas pandang hingga berpotensi mencetuskan geruh tatkala suaminya pulang kelak. Pendek kata, mulut tidak betah lebih laju daripada otak!

PB juga tertarik dengan sajak “Di Perpustakaan” nukilan Shafie Abu Bakar di halaman 18 – 19. Pemilihan kata (diksi) oleh penyajak, mantan profesor persuratan Melayu nuansa Islam UKM itu membawa pembaca mengembara dalam gedung ilmu konvensional yang tidak bersempadan. Terlintas pula PB dengan ungkapan Kubuku Buku (baca: kubu aku buku) yang pernah terpampang di Pusat Sumber, Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Murid sekarang mungkin berasa asing dengan istilah perpustakaan atau kutub khanah ala-ala dahulu.

Menyingkap helaian demi helaian naskhah antologi “Harga Remaja” membibitkan keinginan bagi melaksanakan projek bilik darjah sebagai pengisian pembelajaran komsas. Hubaya-hubaya murid akan memiliki entusias (antusias - ejaan Kamus Dewan) dan hasrat yang sama. Tentulah menyeronokkan jika aktiviti pembelajaran komsas Bahasa Melayu (dicatat sebagai “Bahasa Malaysia” dalam teks antologi) menjadi meriah, happening, dan seterusnya menjadi kenangan murid yang paling indah semasa di bangku persekolahan...

Selamat membaca. Kita boleh berbincang dengan lebih lanjut apabila tiba masa yang sesuai.

Insya-Allah.

Thursday, December 24, 2009

TAZKIRAH HIJRAH: ANAK SOLEH, ANAK SYUBHAH (THE EFFECT OF FOODS ON BEHAVIOUR DEVELOPMENT)

Ibunya tidak membawa duit yang cukup untuk membuat bayaran. Dia memperoleh persetujuan tuan kedai supaya bakinya dilunaskan oleh anaknya, Abdul Kader. Sebaik tiba di rumah, si ibu tanpa bertangguh, terus meminta Abdul Kader ke kedai berkenaan.

Abdul Kader (yang masih kanak-kanak) terus menunggang kuda menuju ke kedai. Sudah menjadi tabiat Abdul Kader pantang nampak masjid, dia akan berhenti, mengambil wuduk dan solat tahyatul masjid. Setelah itu, Abdul Kader pergilah ke kedai.

Tiba saat hendak membayar, Abdul Kader mendapati duitnya sudah tiada. Tuan kedai yang memang mengenali akhlak unggul Abdul Kader menyuruhnya pulang dahulu dan boleh diselesaikan kemudian. Sekali lagi Abdul Kader melewati masjid.

Abdul Kader memberhentikan kuda, ambil wuduk dan solat tahyatul masjid sekali lagi di tempat yang sama. Usai solat, Abdul Kader ternampak duit yang sama bangat dengan duit yang diberikan oleh ibunya. Namun, Abdul Kader membiarkan sahaja duit itu di situ.

Sekembali di rumah, Abdul Kader tentang bercerita peristiwa yang dilaluinya. Abdul Kader mengatakan dia tidak dapat betul-betul pasti bahawa duit itu benar-benar miliknya. Mungkin ada orang lain yang solat selepas dia ke kedai dan tercicir duit juga.

Si ibu lantas memuji kebesaran Allah. Dia bersyukur dikurniakan seorang anak yang begitu mengambil berat terhadap hal-hal pemilikan hingga ke tahap itu. Abdul Kader kemudiannya muncul sebagai wali Allah yang tersohor bergelar Syeikh Abdul Kader Jailani.


Kisah kedua berkisar tentang budak tadika tempatan. Seorang guru yang berfahaman mulhid (athies) berkata, "Murid nampak tak kerusi?" Murid menjawab serentak, "Nampak, cikgu." Si guru pun berkata, "Maka, kerusi ada." Soalan diulang dua kali lagi merujuk kepada meja dan kipas. Jawapan murid juga sama. Kesimpulan (inference, taakulan, syllogism) cikgu juga sama.

Si guru yang menyangka muridnya mudah diperdaya sampai kepada hajat sebenar dia bertanya. Katanya yakin, "Murid nampak tak Allah?" Serentak murid menjawab, "Tak nampak, cikgu." Maka guru itu pun berkata, "Maka, Allah tidak ada."

Dalam keadaan murid yang senyap (tanda protes), bangun seorang murid yang pintar, lalu berkata, "Kawan-kawan nampak tak akal cikgu?". Serentak mereka menjawab, "Tak nampak!"  Lalu, murid pintar itu menyambung, "Maka, akal cikgu tidak ada." Cikgu tergamam dan menyedari kesilapannya.


Kisah ketiga berlaku pada zaman Nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam. Sudah resmi kanak-kanak suka bermain. Ketika itu Nabi sedang memberi kuliah kepada para sahabat.

Kanak-kanak itu bermain di perkarangan masjid. Tiba-tiba objek permainan yang menjadi rebutan melambung ke dalam masjid betul-betul di kawasan majlis ilmu itu. Seorang budak tidak meghiraukan majlis terus cuba mengambil objek berkenaan walaupun melangkahi orang tua.

Tindakan agresif budak itu menyebabkan debu terkena wajah Nabi. Secara spontan Nabi melafazkan "anak syubhah" sebanyak tiga kali berturut-turut. Harus diingat bahawa Nabi tidak sesekali menuturkan sesuatu melainkan dengan bimbingan wahyu.

Bapa kepada anak itu kebetulan berada dalam majlis yang sama. Dia tersentak, tetapi mengambil keputusan menyiasat sendiri perkara itu kemudian. Balik ke rumah, si bapa terus berbincang dengan si ibu.

Si ibu memberitahu bahawa makanan si anak ialah apa-apa yang dibawa balik oleh si bapa, seorang ahli perniagaan yang memiliki sejumlah ladang kurma yang luas. Si bapa juga mengatakan dia tidak pernah melakukan perkara yang menyalahi etika perniagaan (contohnya: mengurangi timbangan, manipulasi harga - penulis blog). Malah, hak-hak orang miskin seperti zakat dan sedekah sentiasa ditunaikan.

Si ibu dan si bapa memanggil si anak dengan kasih sayang. Akhirnya, si anak dengan suka rela memaklumkan bahawa dia pernah makan sebutir kurma yang gugur daripada kebun orang lain. Pasangan suami isteri tadi terus berjumpa si pemilik kebun mohon halal.

Kesan kehalusan dan ketelitian ibu bapa tadi telah mempengaruhi keperibadian si anak. Si anak kemudiannya memiliki akhlak yang amat terpuji dan amat mencintai ilmu. Moga kita dapat mengambil iktibar...

(Petikan Tazkirah Hijrah: Radio Malaysia Terengganu FM: Jumaat, 8 Muharam 1431 / 25 Disember 2009, 10.00 - 10.30 pagi)


KEPUTUSAN PMR 2009: 52 CALON SMI DAPAT SEMUA 'A' (52 MICHAELIANS GOT STRAIGHT A'S IN PMR)

Ipoh, 24 November 2009 / 6 Muharam 1431

SMK St Michael, Ipoh (SMI) kembali mencatat peningkatan dalam pencapaian peperiksaan PMR 2009. Semua mata pelajaran mencatat peratusan lebih baik berbanding dengan tahun sebelumnya, kecuali satu (akan diperincikan kemudian, Insya-Allah). Bilangan calon semua A meningkat sebanyak 30%, iaitu daripada 40 orang (2008) kepada 52 orang tahun ini.


Tahniah kepada semua calon sama ada cemerlang, sederhana atau biasa-biasa sahaja. Semoga keputusan PMR yang kalian peroleh akan menjadi bekalan yang berguna untuk pengajian tingkatan empat, sama ada aliran akademik di SMI atau di sekolah lain. Mungkin akan ada yang bakal memilih aliran kemahiran di sekolah vokasional. Tidak kira aliran pengajian yang bakal dilalui, teruskan perjuangan kalian!

Calon PMR kohort 2009 telah membanggakan SMI. Kini, pengetua, guru  dan seluruh warga SMI boleh memulakan langkah pada tahun 2010 dengan lebih bergaya. Moga-moga perkhabaran Mac nanti (SPM / STPM) juga melengkapkan pencapaian gemilang kali ini.

Akhirnya jerih-perih kalian terbayar sudah. Ayuh, teruskan kemaraan kalian. UPSR dan PMR dilepasi dengan jayanya. Kini, kalian memasuki fasa pengajian menengah atas.

Pancaroba alam remaja kian berliku-liku. Andainya kalian pejuang ilmu yang hebat, pedulikan pesona sebelah kiri dan sebelah kanan kalian. Lihatlah laluan kecemerlangan yang lurus di hadapan sana.

Kalian punya banyak penolong dan sumber yang boleh memacu kalian mendaki mercu kecemerlangan. Di rumah, kalian punya keluarga yang sentiasa memberi sokongan: secara terang-terangan atau senyap. Di sekolah, kalian punya guru dan rakan yang senantiasa sudi berkongsi impian kecemerlangan dengan kalian.

Kalian berhak meraikan kejayaan yang baru dikecapi. Tahniah, tahniah, tahniah! SMI akan terus bersama-sama kalian melakar kecemerlangan yang berterusan. Marilah kita membalas segala kepercayaan yang diberi oleh ibu bapa kalian, keluarga kalian, pembayar cukai (semua anggota masyarakat tanpa kecuali), agama, bangsa dan negara. Bertemu semula di SMI...

Wednesday, December 23, 2009

RAJA SEHARI DI TAKHTA BERSERI (WEDDING CEREMONY IN THE SUB-URBAN MALAY SETTING)


 Burung nuri si burung kenari
Terbang berdua menawan angkasa
Raja Sehari nama diberi
Moga bahagia aman sentiasa

Institusi perkahwinan ialah ikatan suci atas kalimah Ilahi. Perkahwinan menandakan permulaan terbentuknya asas sebuah keluarga yang menjadi teras kemuliaan sesebuah masyarakat. Dengan termeterainya hubungan sah suami isteri, tertutuplah peluang para iblis dan syaitan untuk menjerumuskan sepasang manusia ke dalam kancah dosa dan maksiat. Puak-puak yang kuat mempromosikan pergaulan bebas dan pemujaan hawa nafsu juga akan tumpas.

Namun, dalam melayari bahtera kehidupan berumah tangga bukan calang-calang dugaan yang bakal ditempuhi. Walaupun kerserasian (chemistry) dari segi perasaan cinta dan kasih sayang telah bersemi, sebagai insan biasa, tingkah laku sebenar dan rahsia kekurangan masing-masing akan terserlah dari masa ke masa. Keikhlasan dan kesabaran secara dua hala sahaja yang boleh menjadi kunci kesejahteraan mahligai yang sama-sama dibina.

Kenangan paling indah ketika diraikan sebagai raja sehari dan selebriti memang mengujakan. Wajah ceria kaum keluarga menandakan harapan, impian dan teka-teki mereka telah terjawab. Mereka tidak kisah jika perlu berpisah dengan wang ringgit yang dikumpul dengan susah payah demi menggembirakan sanak saudara, jiran tetangga dan handai taulan dalam satu majlis keramaian yang meriah dan penuh kegirangan.

Ketibaan rombongan pengantin lelaki disambut dengan selawat (dan paluan kompang). Siap dengan sepersalinan putera idaman, sang lelaki mengatur langkah dengan tertib. Gimik majlis bermula dengan sang perempuan menjabat tangan pasangan hidupnya mesra beremosi.

Kontroversi tentang acara persandingan memang masih berterusan. Kedua-dua mempelai dirias segak dan lawa untuk diperkenalkan kepada kaum keluarga dan hadirin. Moga dijauhkan perasaan riak dan niat menunjuk-nunjuk walau sebesar zarah pun di dalam kalbu kita. Amin.

Sebagai meringkaskan amalan adat turun-temurun, upacara merenjis air mawar dilakukan oleh keluarga terdekat sambil mengucapkan tahniah. Raja dan permaisuri sehari itu akan akur dengan segala nasihat “mak andam (atau pak andam)” dari segi gaya duduk dan keperluan fotografi. Mereka hanya senyap tanpa  “titah” atau kuasa menjatuhkan “hukuman”.

Setelah itu, mempelai diiringi ke majlis makan berhadap dengan ditemani ibu bapa dan anggota keluarga terdekat dengan menu hidangan khas. Kelazimannya, adegan suap-menyuap akan dipertonton sebagi bukti saling sudi berkongsi senang dan susah bersama-sama. Sambil itu jurugambar studio dan amatur tidak henti-henti merakamkan detik bersejarah buat pasangan mempelai.

Usai jamuan pengantin, mempelai bertukar persalinan dengan mengenakan busana ala Barat pula. Upacara memotong kek dilakukan. Peristiwa seumpama itu mungkin berlaku sekali sahaja dalam seumur hidup. Begitulah celoteh perunding majlis perkahwinan.

Tetamu jemputan menjamu selera di khemah yang disewa khas. Bagi menjimatkan kos dan tenaga, urusan sajian diserahkan oleh pengusaha katering. Tuan rumah tidak lelah, dan hadirin sempat disapa kesemuanya. Masak-memasak sendiri memang boleh dilakukan, tetapi dalam majlis berskala besar, perancangan dan pelaksanaan kerja suka rela sedemikian memakan masa dan kemungkinan tuan rumah hilang fokus akibat sibuk menangani segala perkara.

Jika dahulu, sajian dibuat secara hidangan, kini bertukar kepada buffet. Tetamu akan menentukan sendiri jenis dan kuantiti makanan yang hendak dicedok ke dalam pinggan masing-masing. Maklumlah, kadangkala dalam sehari, dua tiga majlis perkahwinan perlu dihadiri.

Konsep layan diri berterusan apabila selesai menjamah makanan. Sisa makanan dimasukkan ke dalam bekas yang disediakan, dan pinggan serta gelas dikembalikan. Barangkali inilah bentuk gotong-royong terkini yang sebenarnya meringankan beban tuan rumah dan pengusaha katering dari segi kerja dan kebersihan. Terima kasih semua.

Pemberian hadiah dan menghulurkan al-fulus (wang ringgit) bukanlah termasuk dalam agenda sesuatu majlis keramaian. Namun, tetamu yang berkemampuan biasanya bermurah hati berbuat demikian. Malah, tetamu yang biasa-biasa juga sangat berbangga menghulurkan seringgit dua sebagai tanda sokongan kepada tuan rumah yang sudi menjemput mereka sekeluarga untuk memeriahkan majlis.

Tetamu juga tidak pulang dengan tangan kosong. Mereka dibekalkan oleh-oleh berupa kudapan dan telur rebus. Dalam masyarakat Jawa, sebungkus lauk-pauk turut dihadiahkan. Pendek kata, boleh gantung kuali!

Pada sebelah malam, majlis membuka bungkusan hadiah diadakan eksklusif untuk pengantin dan keluarga sahaja. Nama-nama dan ucapan yang ditulis akan dibacakan sambil usik-mengusik tentang isi bungkusan menjadikan suasana lebih happening, tetapi terkawal. Semua yang hadir cuba meneka sama ada hadiah berupa album gambar atau mangkuk gelas yang biasanya paling banyak.

Alhamdulillah, ada juga peralatan elektrik, alat-alat dapur, jam dinding dan kelengkapan menutup aurat. Nampaknya, pemberi hadiah juga sudah berfikir di luar kotak (thinking out of box). Tema klise telah digantikan dengan pertimbangan yang lebih bijak lagi bermakna...

Selamat pengantin baru. Semoga berkekalan cinta, kasih dan sayang selagi hayat dikandung badan. Kepada Allah jua didoakan kesejahteraan buat pasangan Che Alias Che Deraman dan Zainab Ibrahim...

Monday, December 21, 2009

DARI SLIM RIVER KE UNIVERSITI MALAYA (THE TRAVEL TO WISDOM AND VIRTUE)


1 Muharam 1431 / 18 Disember 2009

Lembaran baru kalendar hijrah 1431 telah bermula. Detik-detik  masa yang berlalu bagaikan suatu perjalanan yang muktamad. Segala yang berlaku tinggal dalam lipatan kenangan dan sejarah. Sementara belum bernoktah, perjalanan tetap diteruskan demi menggalas tugas sebagai khalifah di bumi.

Bagi kanak-kanak, perjalanan ke destinasi yang belum dikunjungi sebelumya ialah suatu pengalaman. Banyak perkara yang dipelajari untuk bekalan hari muka. Sambil-sambil berjalan, orang yang lebih dewasa berpeluang menceritakan liku-liku kehidupan yang mungkin mereka tempuhi. Namun, penyampaiannya haruslah bersahaja dan bersulam kecindan, supaya kanak-kanak tidak berasa bosan dan seakan-akan dileteri.

Penulis blog (PB) dalam perjalanan menghantar tetamu cilik pantai timur ke pangkuan ayah bonda mereka. Kami singgah bermalam di Slim River (sungai kurus?), sebuah pekan kecil yang sepi, tetapi mendamaikan nurani. Secara perbandingan, pekan Slim hanyalah bersaiz sebuah beberapa deretan  rumah kedai taman perumahan di bandaraya Ipoh.

Berhampiran pekan Slim terdapat sebuah stadium mini, sebuah stesen kereta api moden dan sebuah pasar raya yang serba sederhana. Hotel yang ada ialah rumah tumpangan persendirian di bahagian atas rumah kedai. Slim terletak di pertengahan perjalanan Ipoh – Kuala Lumpur, masing-masing 100 kilometer jaraknya.

PB telah menginap di rumah rehat milik Majlis Daerah Tanjung Malim, bersebelahan kompleks balai polis dan Pusat Giat Mara. Sewanya RM 50 (dengan pendingin hawa) dan RM 40 (putaran kipas sahaja). Setiap unit rumah menempatkan dua buah bilik yang luas, seperti konsep rumah semi-D, lengkap dengan anak tangga dan anjung.

Jika bosan memerap di rumah rehat, penghuni boleh turun ke kawasan padang yang memisahkan setiap unit rumah untuk sekadar berjalan-jalan atau melakukan aktiviti riadah. Rumah rehat Slim juga menawarkan kemudahan dewan mesyuarat dan dewan seminar yang mampu menampung sekitar 100 orang peserta. Selain acara rasmi, rumah rehat ini kerap menjadi pilihan majlis perkahwinan dan hari keluarga. PB berasa pihak sekolah boleh menyenaraikan Rumah Rehat Slim sebagai pilihan untuk kem motivasi murid atau perkhemahan unit pakaian seragam.

PB sekeluarga berkesempatan menjamu selera di medan selera pekan Slim. Banyak kedai yang sudah menutup operasi. Mungkin orang Slim lebih suka makan di rumah, lebih santai dan kurang kandungan garam monosodium glutamat agaknya. Nasi ayam di Noor Satay, sepinggan boleh kongsi dua tiga orang dewasa. Sambutan pelanggan masih baik, tetapi nampaknya terdiri daripada keluarga yang berkereta sahaja. Harganya masih murah jika dibandingkan dengan kadar di Ipoh, apatah lagi Kuala Lumpur.

Perjalanan selanjutnya ialah ibu kota Malaysia. Tiba di tol Jalan Duta, PB mendapati bahawa projek mega Kompleks Soho masih dalam pembinaan. Apabila siap kelak, satu lagi kawasan pertumbuhan ekonomi akan muncul di Kuala Lumpur.

Menerusi carian di lawan sesawang internet, PB mendapati bahawa kebanyakan hotel di ibu kota telah penuh. Maknanya, dalam suasana ekonomi yang muram dan ancaman wabak selesema babi, Kuala Lumpur masih mempunyai daya tarikan pelancong. Di sana sini, kelibat mat saleh dan pak arab kelihatan berwajah ceria menikmati panorama kehijauan dan kedamaian negara kita.

PB sekeluarga bernasib baik mendapat bilik deluxe di Rumah Universiti, di kampus UM. Sebenarnya, sudah acap kali PB menginap di situ. Sewanya RM 100, iaitu kadar promosi hujung tahun. PB sempat ke Pekanbuku untuk membeli diari pengurusan dan alat tulis berlogo UM. Bekas pelajar patut membanggakan tempat pengajiannya dahulu. Begitulah prinsip PB.

Pada sebelah petang, kami memerap di bilik menonton kejayaan skuad bola sepak bawah 23 tahun Malaysia membutirkan emas setelah 20 tahun menerusi jaringan tunggal lewat babak permainan ke gawang Vietnam. Strategi membiarkan lawan berhabis tenaga dengan serangan bertali arus dalam separuh masa pertama jelas berhasil. Tuan rumah, Laos juga telah habis angin dalam tempoh 15 minit terakhir di tangan Malaysia pada saingan separuh akhir.

Selain itu, PB membawa tetamu cilik ke sekitar kampus. Sudut fotografi wajib ialah logo besar UM bersebelahan Dewan Tunku Canselor (DTC). Dari Rumah Universiti hanya perlu menuruni tangga.

Kemudian langsung menyeberang ke DTC yang pernah sebahagiannya dijilat api sedekad yang lalu. Kanak-kanak lebih tertarik dengan ikan “jinak” yang dipelihara di kolam DTC. Sebaik merapati kolam, kumpulan ikan mula menyerbu untuk mengharapkan habuan makanan barangkali.

Berikutnya, di sudut air terjun buatan juga terdapat seekor biawak yang sedang membatu. Demi melihat kelibat kanak-kanak hendak bergambar, biawak universiti itu perlahan-lahan masuk dalam air takungan. Dapatkah anda menyatakan kedudukan biawak berkenaan dalam foto?

Kami makan tengah hari di kafeteria Kolej 12, tempat PB selalu menginap ketika mengikuti pengajian peringkat sarjana di sini. Kini, hanya pelajar ijazah pertama sahaja diterima sebagai penghuni kolej. Dahulu boleh sebab baru sahaja dibuka dan kolej dibenarkan menjana pendapatan sewaan harian.

Polistrin telah digunakan sebagai ganti pinggan biasa. Mungkin untuk penjimatan air. Ironi juga justeru beberapa IPTA telah menyekat penggunaan polistrin dalam kampus.

bersambung...