SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, December 31, 2010

APABILA KHIDMAT PERUBATAN BOLEH DIIKLANKAN (HEALTHCARE SERVICES BECAME COMMODITIES)

Sebelum ini, sebarang bentuk pengiklanan tentang khidmat perubatan dikaitkan dengan pelanggaran etika. Hal-ehwal rawatan tidak boleh dizinkan sebagai aktiviti mencari keuntungan, sekurang-kurangnya dari segi imej. Pihak swasta juga terikat dengan peraturan berkenaan.

Namun, perkara itu ialah cerita lama. Sepertinya masa tetap melakar perubahan sebagaimana kata pepatah bahawa seseorang tidak akan mencelup kakinya dengan air yang sama pada sesuatu aliran sungai. Konsep pelancongan ekonomi, pelancongan tani dan pelancongan perubatan makin diterima di kebanyakan negara.
Kini, iklan penawaran khidmat perubatan sudah dibenarkan secara beransur-ansur di kawasan tumpuan orang ramai, menerusi media dan juga cara-cara konvensional yang lazim. Di Ipoh, iklan seumpamanya telah muncul buat pertama kalinya. Sebagai contoh, pada persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun, iaitu pada dinding jejambat Jalan Sultan Azlan Shah.
Jika anda perasan, iklan berkenaan memiliki keunikan tersendiri. Bangunan yang melatari lokasi iklan ialah hospital pesaing. Barangkali ada persefahaman...

bersambung... 

KAJIAN NOVEL KOMSAS T2 "ERTI SEBUAH PENGORBANAN" (FORM 2'S NOVEL REVIEW)

Watak


Boleh dibahagikan berdasarkan keluarga (Iman), rakan dan guru.

Keluarga Iman Zulaikha


Iman Zulaikha binti Yusri

Remaja berusia 13 tahun yang belajar di kelas 1 Dinamik. Pemidato sekolah yang menjuarai peringkat daerah. Berpencapaian tinggi dalam akademik. Ibu bapa berkedudukan tinggi, tetapi sayangnya telah berpisah. Tinggal buat sementara dengan datuk nenek di kampung berhampiran Seremban, Negeri Sembilan, justeru ibu (Ruhaida) menyambung pengajian Ph.D di New Zealand.

Yusri (bapa Iman)
Bekas pensyarah yang beralih ke bidang perniagaan perhotelan. Berpisah dengan cara baik, tetapi mengekalkan hubungan demi kebaikan Iman Zulaikha. Berhasrat untuk berkahwin baharu dengan Mak Cik Sofia, ibu tunggal kepada Adif Danial, rakan sekelas Iman. Membatalkan niat itu, sebaliknya kembali membina keluarga yang runtuh ekoran "tentangan" di pihak Iman dan Adif Danial.
Ruhaida (ibu Iman)

Pensyarah kolej yang sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di New Zealand. Sentiasa berhubung dengan Iman Zulaikha lewat e-mel. Terlantar di hospital di sana sepuluh hari akibat kemalangan. Masih berutus berita dengan Yusri, bekas suami. Buktinya, Yusri hadir dalam pertandingan pidato yang disertai Iman menerusi makluman Ruhaida.


Nenek Iman
Ibu kepada Ruhaida, bekas mertua kepadaMenjaga Iman Zulaikha yang ditinggalkan di kampung. Percakapannya teratur apabila menasihatkan Iman supaya tidak menaruh prasangka terhadap ibunya kerana lama tidak mengirim balasan e-mel.


Datuk Iman
Bapa Ruhaida, bekas bapa mertua Yusri. Tenang dalam tutur kata, pendapat dan membuat keputusan. 


Pak Su Razlan (bapa saudara Iman)
Anak bongsu datuk dan nenek Iman. Bapa saudara Iman. Baharu tamat pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan di universiti yang sama dengan Kak Ngahnya, Ruhaida di New Zealand.Terlepas cakap tentang Ruhaida yang dilihatnya berjalan dengan seorang lelaki Inggeris (mungkin Albert yang disebut dalam e-mel Ruhaida kepada Iman).
Pei Wen

Teman karib Iman Zulaikha. Sekelas dan berjiran. Sentiasa menyokong Iman Zulaikha, selain saling berkongsi suka duka. Mulanya hubungan dengan ibu tiri tegang, tetapi pulih setelah menuruti nasihat nenek Iman supaya membantu kerja di rumah.
Adif Danial


Anak Mak Cik Sofia, ibu tunggal yang hendak dikahwini Yusri. Tidak bersetuju dengan cadangan itu, lalu menunujukkan bantahan dengan menjauhi Iman walaupun pada mulanya bersikap mesra. Kesempatan itu disambar oleh Linda untuk rapat dengannya. Berjaya memintas Iman Zulaikha untuk menduduki tempat pertama dalam peperiksaan.


Zulkarnain
Sekumpulan dengan Iman Zulaikha dalam tugasan yang diberi oleh guru. Menemani Adif Danial berkunjung ke rumah datuk nenek Iman untuk memohon maaf. Melafazkan secara terbuka bahawa dia sukakan Pei Wen.
Norazlinda Borhan (Linda)

Saingan ketat Iman Zulaikha. Penolong ketua darjah yang gemar menonjol diri. Sanggup menggunakan kekerasan dengan menolak Iman hingga tercedera. Kalah dalam perebutan tempat wakil sekolah ke pertandingan pidato peringkat daerah. Melakukan sabotaj dengan mengambil diari Iman yang mengandungi teks pidato dan kad catatan ringkas isi pidato. Akhirnya terbongkar, tetapi dimaafkan oleh Iman Zulaikha.


Ai Ling
Mencadangkan Iman Zulaikha sebagai wakil sekolah berdasarkan rekod kemenangan tiga kali Iman sebelumnya.


Nazim
Ketua kelas 1 Dinamik. Meminta kepastian Cikgu Julia tentang pemilihan wakil pidato sekolah.
Cikgu Julia

Guru Bahasa Melayu yang disenangi Iman Zulaikha hingga ke tahap meluah perasaan tentang hal-hal peribadi.

Cikgu Shaharuddin

Guru disiplin yang menyiasat kes kehilangan diari Iman Zulaikha.

Mak Cik Sofia (ibu Adif Danial)

Mirip ciri Ruhaida pada mata Iman Zulaikha. Turut berkunjung ke majlis kenduri kesyukuran di rumah datuk nenek Iman Zulaikha. Berhasrat membawa balik Adif Danial bersekolah semula di Kuala Lumpur.


Ibu tiri Pei Wen

Perwatakan 1: Tegas
Contoh peristiwa: Iman Zulaikha enggan menarik diri daripada pertandingan pidato walaupun diberi kata dua oleh Linda.

Perwatakan 2: Berterus terang
Pei Wen berkongsi masalah hubungannya dengan ibu tiri kepada Iman Zulaikha, malah bersetuju mendapatkan nasikat datuk Iman supaya hubungan dipulihkan.

Perwatakan 3: Penyayang
Yusri kerap melawat Iman Zulaikha dan bekas ibu bapa mertua di kampung tanpa menimbulkan kekecohan. Yusri juga sentiasa memberi galakan kepada Iman supaya berjaya dalam peperiksaan dan  pidato.

Perwatakan 4: Setia kawan
Iman dan Pei Wen saling menyokong dan berkongsi luahan perasaan. Iman menjemput Pei Wen makan nasi di rumah datuk neneknya justeru Pei Wen awalnya enggan berhadapan dengan ibu tiri. 


Perwatakan 5: Pemaaf
Iman sanggup memaafkan Linda walaupun dirinya pernah dikasari dan diperlakukan sebagai musuh oleh Linda.

Perwatakan 6:  Cekal / gigih / berani / bersungguh-sungguh
Iman tidak tergugat walaupun nota persediaan dan kad imbas rujukan pidatonya hilang secara misteri. Iman tidak mudah mengalah dengan dugaan itu.


Perwatakan 7:  Tabah / Sabar / Tidak mudah putus asa
Walaupun ayahnya menyatakan dia telah menemui calon isteri pengganti ibunya, Iman masih berharap dia dapat menyatukan kembali ibu bapanya. Iman juga akur akan nasihat Cikgu Julia supaya menghormati kehendak ibu bapa sebagai anak yang solehah.


Perwatakan 8:  Cemburu
Datuk memberitahu Iman bahawa nenek cemburukan Yusri kerana menyuarakan cadangan untuk membawa balik Iman tinggal di Kuala Lumpur.
Linda menuduh Iman Zulaikha mempengaruhi rakan-rakan mereka supaya berpihak kepadanya, termasuk murid baharu iaitu Adif Danial.

Latar masyarakat


Masyarakat yang tegas
Iman enggan menarik diri daripada pertandingan pidato walaupun disesak oleh Linda. Kejadian dia ditolak jatuh oleh Linda tidak melemahkan semangatnya untuk menyerah kalah.


Masyarakat yang berterus terang
(gunakan huraian dalam perwatakan 2 di atas)

(Cara menulis latar masyarakat ==> masyarakat yang + perwatakan); huraian menggunakan peristiwa yang sama.

Nilai


Tegas diri / ketegasan (gunakan peristiwa perwatakan 1)


Kasih sayang (gunakan peristiwa 3)


Setia kawan (peristiwa 4)


Kegigihan (peristiwa 6)


Ketabahan (peristiwa 7)

Persoalan


Ketegasan dalam menyatakan pendirian (peristiwa 1)


Kasih sayang dalam keluarga / persahabatan


Semangat setia kawan dalam persahabatan / ketika susah dan senang


Sikap pemaaf menjernihkan keadaan 


Kegigihan / kecekalan / kesungguhan dalam menghadapi cabaran hidup


Ketabahan / kesabaran dalam menempuh dugaan / ujian

Pengajaran


Kita hendaklah tegas dalam menyatakan pendirian


Kita hendaklah berkasih sayang sesama keluarga


Kita hendaklah menunjukkan semangat setia kawan ketika susah dan senang


Kita hendaklah bersikap pemaaf terhadap orang lain


Kita hendaklah gigih dalam menempuh cabaran hidup


Kita hendaklah tabah dalam menghadapi dugaan / ujian



Latar tempat


Rumah datuk nenek Iman


ruang dapur: Iman bersama-sama Pei Wen makan nasi bersama-sama


bilik Iman:  Iman meletak gambar ibu dan ayahnya yang sudah berpisah /
                    tempat Iman menyiapkan tugasan sekolah /
                    tempat Iman membalas e-mel ibunya dengan menggunakan komputer riba


pangkin / bawah pokok:  Pei Wen bercerita tentang tekanan perasaan akibat sikap ibu tirinya 


Sekolah


bilik darjah tingkatan 1 Dinamik: Cikgu Julia memperkenalkan Adif Danial


ruang tandas: Pei Wen ternampak Iman menangis selepas dituduh mempengaruhi rakan sekelas oleh Linda. Pei Wen berusaha menenangkan rakan karibnya itu.


dewan sekolah: berlangsung pertandingan pisato antara Iman dan Linda bagi memilih wakil sekolah


Port Dickson: Yusri membawa Iman, datuk dan nenek untuk makan-makan sebelum memaklumkan hasratnya untuk berkahwin dengan Sofia.


Latar masa


Pagi Sabtu: Iman menerima panggilan telefon daripada ayahnya / membantu datuknya membersihkan reban ayam / kawan-kawan Iman datang ke rumah menjemput Iman membuat latihan pidato di sekolah


Waktu rehat di sekolah: Iman memberitahu Zulkarnain tentang cadangan ayahnya hendak berkahwin dengan ibu Adif Danial. 


Tengah hari: majlis kenduri kesyukuran di rumah datuk Iman atas kejayaan Iman dalam pertandingan pidato dan pelajaran


Waktu petang:  Iman dan Zulkarnain berkunjung ke banglo datuk Adif Danial bagi meredakan keadaan tegang antara Iman dengan Adif Danial. Reaksi Adif begitu dingin.

Malam: Yusri membuat pengakuan kepada Iman bahawa keluarga mereka akan bersatu semula. Yusri juga mahu mengajak Iman, datuk dan nenek menziarahi Ruhaida yang sedang belajar di New Zealand.

Teknik penceritaan

Kbkk


Tema:  Kegigihan seorang remaja perempuan menghadapi perpisahan ibu bapa dan persaingan di sekolah.

Terima kasih atas perhatian. Pesanan cikgu, baca naskhah novel yang asli, elakkan pergantungan kepada buku rujukan komersial di pasaran yang tidak semestinya menepati keperluan pembelajaran yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran dan untuk peperiksaan. Buat sementara ini, buat catatan yang mana-mana patut,insya-Allah cikgu akan cuba membantu kalian dari masa ke masa...

harap bersabar dalam dua tiga hari lagi...

PERUBAHAN DI SMK ST MICHAEL, IPOH (NEW LINE-UP AT SMI)

Akan datang...

pk baru, pk hem baru, seoarang dapat gc ke sk, dua orang bertukar sekolah...

Thursday, December 30, 2010

RAKAN SAFEE SALI BERKUNJUNG KE RUMAH (THE CHANGING OF SCRIPT)

Dahulu mereka hanyalah anak murid yang ditempatkan dalam sebuah bilik darjah yang dikongsi dengan 30 hingga 40 orang rakan sebaya yang lain. Mereka datang sebagai remaja yang baharu hendak meneroka peluang pembelajaran sebagai bekal kehidupan. Bilik darjah menjadi jendela dunia kecil dan taman ilmu tempat mereka bermain-main dengan eksperimen minda, menggilap bakat yang terpendam dan menemukan nama kepada peristiwa yang disaksikan sendiri atau titipan pengalaman orang lain.

Beberapa tahun berselang, mereka muncul sebagai pemuda dan pemudi yang telah membuat keputusan tentang haluan masing-masing setelah melepasi beberapa proses kelayakan dan pencapaian. Daripada status murid yang harus akur dengan sistem yang dilalui, kini mereka telah pun berdikari. Sesekali mereka juga teringin menoleh alur zaman yang membentuk mereka hingga detik ini.
Fitri, dahulunya pernah menghuni asrama SMK Gunung Rapat bersama-sama jagoan muda bola sepak Asia Tenggara, Safee Sali. Fitri memasuki kelas rancangan khas (RK), manakala Safee si budak Tapah itu memasuki kelas Akademi Sukan (AS). Senior mereka ialah si Zulhuzaimy, aktivis drama dan teater yang sedang meningkat naik. Dahulu mereka sama-sama mengejar pelangi, kini mereka telah menggapai awan nan tinggi.

Fitri meneruskan pengajian tingkatan empat di SM Teknik, Persiaran Brash Ipoh, tempat penulis blog (PB) bertugas. Takdir menemukan Fitri sebagai murid dan PB sebagai guru Bahasa Melayu di kelas 4 dan 5 jurusan Elektrik. Setelah itu Fitri diterima masuk ke UiTM dalam bidang yang sama.

Masa terus melakarkan perubahan. Fitri kini bergelar jurutera sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sebuah negeri di utara semenanjung. Fitri bakal menurut jejak langkah Safee Sali untuk bergelar sebagai sang arjuna kepada seorang 'pujaan hati'.

Kunjungan singkat Fitri mengingatkan PB kepada banyak lagi peristiwa yang kini bagai angin lalu yang sesekali singgah semula memuput kenangan. Antaranya ketika melewati padang polo, seseorang telah menyapa PB. Dia dengan bangganya memberitahu bahawa seorang rakannya yang sering "dikenakan" oleh guru Bahasa Inggerisnya sedang berkuliah di sebuah fakulti perubatan di Scotland, dan guru BI yang "sempoi" (simple) itu ialah...PB.

Wednesday, December 29, 2010

YANG MENANG BERMURAM, YANG TEWAS BERPESTA (YOUNG SIDE CREATES HISTORY)

Anak-anak muda Malaysia yang rata-ratanya berusia dalam lingkungan awal 20-an akhirnya menghadiahkan kejayaan yang cukup bermakna bagi dunia sukan negara walaupun akur dengan jaringan 1-2 kepada tuan rumah, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi. Malaysia berjaya menjulang Piala AFF Suzuki dalam pertandingan bola sepak berprestij Asia Tenggara dengan agregat 4-2 sesudah membawa bekal 3-0 dari Stadium Bukit Jalil, Ahad lalu. Persembahan skuad muda itu menandakan kepercayaan terhadap percaturan bervariasi dari segi kejurulatihan dan taktikal.
Memang aneh melihatkan pasukan yang menang bermuram durja, sedangkan pasukan yang kalah pula bergembira sakan. Penyokong tuan rumah bagaimanapun menunjukkan tahap disiplin yang cukup tinggi, apatah lagi kehadiran bapak Presiden Bambang melambangkan semangat setia kawan dua negara berjiran serumpun. Perang psikologi dan provokasi sebelum perlawanan nyata tidak menjejaskan kerancakan perlawanan.
Indonesia yang menjana serangan bertali arus menerusi pemain-pemain lebih berpengalaman bagaimanapun tersentak dengan jaringan pendahuluan Malaysia oleh Safee Sali pada minit ke-53. Sebelum itu, dalam minit ke-18, Firman Utino, kapten Indonesia gagal memperdayakan Khairul Fahmi yang dapat membaca arah rembatan penalti yang dihalakan ke arah bucu kiri tiang gol. Pancaran laser hijau tidak mengganggu tumpuan "Apek" Fahmi.
Kubu Malaysia akhirnya ditembusi dua kali menerusi Mohamad Nasuha (minit 71) dan Muhammad Ridwan (minit 88), iaitu pada lewat babak permainan. Namun, misi 'mustahil' Indonesia untuk mencatat keputusan 5-1 tidak kesampaian. Kemenangan tipis tidak dapat diraikan sebagaimana sepatutnya. Hanya wajah-wajah sugul yang mengiringi kemenangan di tempat sendiri.
Sebaliknya, pasukan yang tidak menang menjulang trofi kejuaraan. Paradoks itu berlaku justeru format perlawanan timbal balik bagi saingan separuh akhir dan akhir. Maka, strategi Malaysia menggunakan kesempatan di laman sendiri dalam pusingan pertama membuahkan hasil yang dihajati.
Pasukan-pasukan bola sepak Asia Tenggara harus mengakui bahawa Malaysia kembali unggul dalam saingan peringkat Asia Tenggara. Malah, Malaysia pernah dua kali berjaya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik (Munich, 1972 dan Moscow, 1980) dalam sukan nombor satu dunia itu. Pasukan Asia Tenggara yang lain belum pernah sampai ke tahap berkenaan...

(Jumaat, 31.12.2010 diisytiharkan sebagai cuti umum)

Tuesday, December 28, 2010

PKG TERBESAR DI MALAYSIA (SMALL TOWN BUT BIG TEACHER'S TECHNOLOGY CENTRE)

Antara tujuan pengwujudan pusat kegiatan guru (PKG)  ialah bagi memudahkan para pendidik memiliki akses terhadap sumber pembelajaran terkini demi kebaikan murid di sekolah masing-masing. Selain bahan bantu mengajar, PKG berfungsi sebagai pusat sehenti bagi guru mengorganisasi dan menyertai aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan profesionalisme amalan keguruan terbaik. Justeru, jawatankuasa PKG yang terdiri daripada pengetua dan guru besar di sesebuah kelompok atau zon yang ditetapkan seharusnya memikirkan dasar dan strategi yang mantap bagi menarik minat guru memanfaatkan segala kemudahan PKG.
Kakitangan PKG yang diterajui oleh seorang pegawai atau penolong pegawai teknologi pendidikan, pembantu tadbir dan pembantu am yang ditempatkan di PKG bertanggungjawab kepada Bahagaian Teknologi Pendidikan (BTP) yang memiliki kompleks tercanggih di ibu negara, dan kompleks cawangan di setiap ibu negeri. Mereka bertindak sebagai urus setia yang melaksanakan keputusan-keputusan BTP dan jawatankuasa kelompok sesebuah PKG. Kebolehan kakitangan PKG, khususnya bahagian teknikal sentiasa ditingkatkan dari masa ke masa supaya mereka dapat menawarkan perkhidmatan yang selaras dengan kemajuan terkini teknologi pendidikan.
Paa kebiasaannya, pusat kegiatan guru (PKG) menumpang di kawasan sekolah rendah. Bangunannya pula hanya terhad kepada dua aras, dan empat bilik bagi ruang aktiviti. Berlainan pula dengan PKG yang satu ini...
dekatnya stesen kereta api laju

PKG yang dimaksudkan terletak di Tapah Road, kira-kira 10 kilometer dari pekan Tapah, 63 kilometer dari Ipoh (jarak menerusi lebuh raya) dan hampir 40 kilometer dari bandar Teluk Intan. Pilihan lain untuk tiba ke PKG Tapah Road ialah dengan menggunakan pengangkutan kereta api. Jarak stesen kereta api Tapah Road dengan PKG hanyalah sepelaung, iaitu kira-kira 100 meter sahaja.

pandangan dari tingkat atas PKG berkenaan

Bangunan PKG setinggi lima tingkat itu pada asalnya dimaksudkan sebagai kuarters guru, tetapi diubah fungsinya sebagai PKG. Alangkah baiknya jika PKG itu sekurang-kurangnya enam tingkat supaya diwajibkan memiliki sistem lif sebagaimana syarat bangunan tinggi. Namun, di pekan Tapah Road, PKG memgang status bangunan tertinggi, serta sebagai mercu tanda yang mudah dilihat..
Bangunan PKG Tapah Road dirasmikan oleh mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkarnain, sebelum beliau bersara awal untuk lantikan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Kelainan PKG Tapah Road pasti 'dicemburui' oleh PKG-PKG lain di seluruh negara. Dengan kawasan yang begitu luas untuk tempat letak kereta dan lanskap, serta ruang aktiviti dalam bangunan yang lebih daripada cukup menjadikan PKG Tapah Road begitu unik.
Bilik aktiviti yang terdapat di PKG Tapah Road boleh diubah suai sebagai ruang mesyuarat atau dewan seminar mini. Selain untuk kegunaan guru di kelompok sekolah setempat, PKG Tapah Road  juga mengalu-alukan kehadiran guru-guru dari seluruh negara asalkan tarikhnya bersesuaian dengan jadual aktiviti yang tersenarai dalam takwim aktiviti tahunan yang ditetapkan lebih awal. Malah, aktiviti pelajar seperti Kem Nilam boleh dianjurkan di sini.
Dua aras kompleks PKG Tapah Road dikhaskan untuk penginapan yang selesa untuk 20 orang. PKG telah menyediakan katil dan tilam. Peserta yang berhasrat untuk menginap dikehendaki membawa keperluan lain seperti bantal, cadar dan selimut.
Urusan makan minum boleh diatur dengan mudah justeru lokasi PKG betul-betul berada di dalam kawasan pekan Tapah Road. Sebuah ruang makan yang selesa dan lengkap disediakan. Pendek kata, PKG Tapah Road boleh mencetuskan paradigma baharu dalam pengurusan PKG seluruh negara dalam jangka panjang...

Monday, December 27, 2010

ABANG PATUNG KAWAL LALU LINTAS (CONGESTED BECAUSE OF BOTTLE-NECK)

Projek naik taraf jalan raya atau lebuh raya ialah pelaburan demi keselamatan dan keselesaan pengguna yang menyumbang hasil cukai yang bukan sedikit jumlahnya. Laluan yang sempit dilebarkan, lorong motosikal disediakan, manakala jalan yang tidak rata dibaiki. Sepanjang tempoh kerja naik taraf itu pastinya beberapa bahagian laluan akan ditutup kepada kenderaan atau dilencongkan.
Kerja-kerja di laluan utama yang melibatkan penggunaan jentera berat dan buruh mengakibatkan sebahagian jalan menjadi sempit di sesuatu hujung. Kenderaan yang mulanya meluncur dengan lancar tiba-tiba terpaksa berbaris panjang apabila melalui bahagian yang dipanggil sebagai muncung botol itu. Semua pemandu harus patuh kepada arahan pengawal lalu lintas tidak bertauliah, sama ada Bangla, Nepal atau Vietnam.
Memandangkan kerja mengawal lalu lintas yang sesak sangat membosankan justeru mengulang perbuatan yang sama sepanjang masa bertugas, maka peranan berkenaan diambil alih oleh patung mekanikal. Dari jauh pemandu mungkin tidak dapat membezakan yang mana pengawal manusia dan yang mana patung. Pakaian yang disarung oleh kedua-dua pengawal itu memang serupa 100 peratus.

Sejak lama pengguna jalan raya telah membiasakan diri dengan bentuk kawalan mekanikal dan elektronik demi keselamatan dan keselesaan bersama. Lampu isyarat lalu lintas hijau merah kuning diterima secara seragam di seluruh dunia tanpa banyak soal. Begitu juga papan tanda dan lambang yang juga diterima pakai di mana-mana sahaja.
Dalam keadaan semua pemandu mahu selamat dan selesa menuju destinasi, sementelah halangan perjalanan terpaksa dilepasi, kesabaran ialah kunci paling utama. Pemandu dan pengguna jalan raya harus membuang jauh-jauh segala rasa ego kerana mereka sebenarnya terperangkap dalam situasi tidak beruntung (disadvantge), perlu bergantung kepada si beruntung (advantage), iaitu pengawal yang berkuasa memberi arahan, tidak kira manusia atau patung...

Sunday, December 26, 2010

INTERLOK NOVEL TERBAIK KOMSAS (THE TRUTH ALWAYS PREVAIL)

Pengenalan

Keputusan mengekalkan novel Interlok sebagai teks komsas tingkatan 5 bagi zon Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya), Selangor dan Negeri Sembilan memang tepat. Naskhah tulisan Dato' Abdullah Hussain, sasterawan negara kelapan (1996) bahkan layak diketengahkan sebagai teks novel tunggal negara jika tiada pembahagian teks mengikut zon. Interlok bercirikan pensejarahan munculnya masyarakat majmuk di Tanah Melayu menerusi watak-watak tiga kaum utama di semenanjung, iaitu Melayu, Cina dan India.
Interlok edisi murid dicetak setebal 426 muka surat, termasuk empat halaman glosari dan tiga halaman biodata. Novel dibahagikan kepada 4 bahagian, iaitu buku satu (Keluarga Seman, 1-100), buku dua  (Keluarga Cing Huat, 101-208), buku tiga (Keluarga Maniam, 209-284) dan buku empat (Interlok, 285-418). Apabila membaca novel Interlok, pembaca akan berasa seolah-olah turut berada di tempat peristiwa yang diperincikan, mendengar sendiri percakapan watak dan menyelinap masuk dalam fikiran dan perasaan mereka.

Buku Satu

Buku Satu terus memperkenalkan Seman, anak tunggal pasangan Mak Limah dan Pak Musa yang dahulunya berkahwin tanpa restu ibu bapa. Seman tidak disekolahkan, sebaliknya hanya dihantar mengaji al-Quran dengan Lemai Man yang berasal dari Sumatera. Seman, 20 tahun menjadi harapan Mak Limah setelah Pak Musa terlantar bergelut dengan batuk berdarah.

Usaha berubat dengan pelbagai dukun, yang terakhir dengan Pak Utih, tidak berhasil. Akhirnya, Pak Musa pergi dengan meninggalkan teka-teki kepada Seman tentang rahsia tanah dan harta benda yang mereka usahakan sebenarnya milik orang lain. Mak Limah tidak tahu tentang hal itu kerana pada pegangan Pak Musa, itu urusan orang lelaki.

Usai pengkebumian yang disertai masyarakat sekampung, Seman bagai orang gila mencari-cari kalau ada wang yang disembunyikan oleh Pak Musa, tetapi hampa. Seman gagal menebus hutang yang berjumlah sepuluh ribu ringgit kepada Cina Panjang (Cing Huat), tauke kedai runcit yang membeli tanah yang didiami keluarga Seman atas nama Pak Musa. Seman dan Mak Limah akhirnya terusir keluar dan enggan menerima pertolongan (Cikgu) Lazim kerana khuatir terhutang budi.

Buku Dua

bersambung...

Saturday, December 25, 2010

SUSAHNYA MENCARI REZEKI (THE CRY OF LIFE)

Remaja era facebook dan telefon bimbit hari ini mungkin sekali tidak mengerti kegetiran hidup yang pernah dilalui oleh ibu bapa dan datuk nenek mereka. Celik-celik mata anak-anak hari ini sudah berada dalam sebuah rumah yang serba lengkap dengan peralatan elektronik dan hiburan. Pergi ke mana-mana pula selesa bersandar dalam kereta berhawa dingin sambil mendengar siaran radio atau menonton video menerusi skrin kecil berdefinisi tinggi yang canggih.

Hakikatnya ibu bapa hari ini masih berterusan berjuang untuk menyediakan kehidupan yang selesa buat seisi rumah. Hanya anak-anak tidak menyedari bahawa ibu bapa mereka menanggung pelbagai beban hutang seperti pinjaman perumahan, ansuran kereta, ansuran perabot, tunggakan kad kredit dan macam-macam lagi. Belum lagi dicampur dengan pelbagai bayaran cukai, bil utiliti, penyenggaraan kereta, petrol, belanja dapur dan perbelanjaan sekolah anak-anak.

Kebanyakan ibu bapa memilih untuk tidak berkongsi masalah perjuangan mencari rezeki dengan anak-anak kecil yang dirasakan belum masanya. Barangkali ibu bapa tidak mahu anak-anak berasa tertekan dan rendah diri. Begitulah pengorbanan ibu bapa yang tidak disedari oleh anak-anak yang kurang peka, serta hanya pandai merengek, meminta itu ini dan merajuk.

Pendedahan dalam pembelajaran karya-karya sastera (komsas) sepatutnya membantu remaja menyelami sebuah perjuangan kehidupan. Kisah suka duka masyarakat yang kurang beruntung dari segi latar belakang sosioekonomi sepatutnya mendatangkan keinsafan dalam diri. Demikian juga kisah keluarga berada yang menghadapi krisis komunikasi akibat persekitaran kehidupan mewah yang dilalui.

Sesekali remaja harus melakukan pemerhatian atau pengamatan betapa sukarnya untuk memperoleh pendapatan bagi menyara sebuah kehidupan, kecuali segelintir insan yang diuji dengan kemudahan dekat kepada punca kekayaan. Berapa ramai penjaja dan peniaga kecil-kecilan yang dicengkam ugutan ah long? Berapa ramai warga tua yang menyelongkar tong sampah untuk mencari kotak dan tin minuman?
Cuba tanyakan kepada pengusaha-pengusaha perniagaan berbentuk kiosk di pasar raya dan di tepi jalan. Berapa panjang masakah yang diambil untuk melariskan jualan sambil menghabiskan masa berjam-jam dengan permainan telefon bimbit yang membosankan? Adakah mereka mahu menjadikan perniagaan berkenaan sebagai mata pencarian seumur hidup?

Jawapan kepada soalan-soalan yang dilontarkan itu boleh mengajak remaja berfikir sejenak tentang giliran mereka untuk berjuang mencari rezeki apabila masanya tiba kelak. Seperti biasa, memang ada yang bakal berjaya dekat dengan punca kekayaan lebih mudah, tetapi kebanyakan manusia perlu berjuang bersusah payah untuk merebut baki habuan yang tinggal sedikit. Sejarah menunjukkan bahawa orang-orang yang berjaya banyak dibantu oleh ketinggian ilmu dan sikap yang betul...

Friday, December 24, 2010

GEMA SEPI GADIS GENIUS ANTOLOGI BM TINGKATAN 2 (THE NEW ANTHOLOGY FOR FORM 2)

Setelah menjadi kumpulan murid tingkatan 1 yang pertama menggunakan antologi "Kasut Kelopak Jantung" tahun lalu, kini sekali lagi sangat bertuah sebagai "perasmi" sulung antologi "Gema Sepi Gadis Genius" (selepas ini ditulis sebagai GSGG sahaja). Judul antologi diangkat daripada cerpen kelima yang dimuatkan mulai muka surat 104 hingga 116, iaitu sebanyak 13 halaman. Pada keseluruhannya, antologi GSGG memuatkan sejumlah 25 buah karya yang merangkumi puisi tradisional (6), sajak (6), prosa tradisional (4), cerpen (6) dan drama (3).
Kulit hadapan antologi didominasi warna ungu, sesuai dengan judulnya yang bercitra feminin. Lakaran seorang gadis bertudung seolah-olah sedang menadah gelembung-gelembung buih sabun yang dibebaskan ke sekeliling. Semuanya tampak berbalam-balam sahaja.

Ketebalan (baca; kenipisan) GSGG ialah 190 muka surat, termasuk dua halaman glosari. Bahagian kulit belakang hanya dihiasi gelembung-gelembung ungu, iaitu latar kulit belakang. Tiada ilustrasi disisipkan dalam mana-mana karya, melainkan lakaran berbalam-balam yang bertemakan bunga-bungaan sebelum muka surat pengenalan tiap-tiap genre.

Perbincangan ini hanya menumpukan analisis cerpen GSGG yang menjadi judul antologi. Basirah, remaja perempuan berusia 14 tahun yang sedang menjalani latihan praktikum tahun akhir pengajian komputer sebuah universiti tempatan. Dilema atau konflik yang mengusutkan fikiran Basirah ialah dari segi kehidupan normal remaja yang sebaya, iaitu ramai kawan.

Pengarangnya, Azmah Nordin menggambarkan kepintaran luar biasa Basirah dengan kakaknya, Hanani yang berusia dua tahun lebih tua daripadanya. Pertumbuhan fizikal dan mental Basirah jauh mengatasi Hanani. Misalnya, sewaktu Hanani baru belajar berjalan, Basirah sudah pun pandai melompat (muka surat 105).

Hanani teringin sangat hendak menjadi seperti Hanani yang lincah, kreatif, lasak dan banyak kawan. Walaupun genius, Basirah dilayan seumpama budak-budak juga oleh dua orang timbalan pengurus (40-an) di Makmal Perdana, Kota Kinabalu itu. Cabaran itu disambutnya dengan usaha mengesan penceroboh yang tersesat masuk walhal tujuan asalnya ialah mencuri maklumat ketenteraan negara.

Basirah mahu jenayah digital ditentang habis-habisan. Namun, pensyarah Basirah mahukan pendekatan penyelidikan sains digunakan, bukan pendekatan polis. Sedang Basirah mencongak langkah seterusnya tiba-tiba muncul kakaknya bersama-sama 10 orang remaja lain untuk meraikan ulang tahun kelahiran Basirah yang ke-14.

Mereka juga mencadangkan macam-macam idea untuk mengumpan si penceroboh supaya berlama-lama di saluran internet Makmal Perdana. Hanani pula lebih ke hadapan dengan cadangan mencipta sejumlah fail teks yang nampak seperti tulen, lalu dinamai Strategic National Network. ADengan kerjasama pensyarahnya, dan kelalaian si penceroboh, Roger Maris, yang beroperasi dari sebuah pangsapuri di Los Angeles berjaya dikesan untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Hanani lebih tenang dan tabah menghadapi masa hadapannya walaupun dirinya sedikit nakal, tetapi kreatif. Basirah nyata teruja dengan kehidupan remaja yang normal seperti kakanya, walaupun dia genius. Begitulah impian gadis genius yang sepi dalam gema sostem internet.

Perbincangan:


Watak dan perwatakan

Latar masyarakat

Nilai

Persoalan

Pengajaran

Latar tempat

Latar masa

Tema

KBKK (teknik penceritaan, bahasa)

bersambung...

Thursday, December 23, 2010

PANDUAN BELAJAR CERPEN KOMSAS: PAHLAWAN BUNTUNG (HOW TO STUDY SHORT STORY)

Cerita pendek (cerpen) yang dimuatkan dalam teks komponen sastera (komsas) biasanya hanya dalam lingkungan 2,000 patah perkataan, atau sekitar 8 hingga 14 muka surat sahaja, bergantung kepada saiz muka surat dan saiz fon aksara. Sebagai edisi murid, aspek bahasa (khususnya pemilihan perkataan atau diksi) telah diringankan sedikit supaya semua murid berupaya memahami jalan cerita dan mesej yang hendak disampaikan. Pembelajaran komsas pula tidaklah terlalu mendalam, melainkan analisis secara permukaan seperti watak dan perwatakan, latar (masa, tempat, masyarakat), nilai, persoalan, pengajaran, sinopsis, tema dan elemen kbkk (teknik penceritaan, bahasa).

Semua buku teks komsas tingkatan 1 hingga 5 memuatkan sejumlah 6 buah cerpen bagi setiap satunya. Maknanya, murid menengah rendah perlu membaca 18 buah cerpen, manakala murid menengah atas membaca 12 buah cerpen. Semua cerpen yang dipilih akur dengan kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran, akur dengan tahap penguasaan bahasa murid mengikut peringkat umur, serta akur dengan keperluan pentaksiran bahasa, sama ada yang berasaskan sekolah (ujian, peperiksaan dalaman) mahupun untuk maksud peperiksaan awam PMR dan SPM.

Pembelajaran komsas seharusnya membangkitkan kecintaan terhadap kehalusan dan keindahan akal budi yang diungkapkan lewat karya sastera yang terpilih. Murid menikmati rentetan peristiwa yang digambarkan seadanya tanpa tekanan yang menjurus semata-mata untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan sebagaimana yang dipersembahkan oleh buku-buku lain yang berlambak di pasaran. Murid hendaklah membaca sumber asal cerpen, iaitu buku teks komsas yang disediakan.

Setiap kali membaca cerpen komsas, murid disarankan supaya menyediakan pen dan lembaran catatan sekali. Setiap kali bertemu watak baharu, terus catatkan, bersekali dengan peristiwa penting yang membawa kepada kemunculan watak berkenaan. Sesuatu peristiwa yang lengkap seharusnya ada watak, masa dan tempat yang tertentu, bukan secara umum sahaja.

Aspek watak dan perwatakan bersifat sejajar dengan latar masyarakat,  nilai, persoalan dan pengajaran. Contohnya, watak Pak Husain dalam cerpen "Pahlawan Buntung" (teks komsas tingkatan 5: muka surat 123 - 136) digambarkan sebagai berani. Maka, catatan boleh dibuat seperti berikut:

          Watak:                          Pak Husain

          Perwatakan:                  Berani

          Latar masyarakat:          Masyarakat yang berani

          Nilai:                            Keberanian

       Persoalan:                          Keberanian menentang penjajah / keberanian mempertahankan kampung halaman

       Pengajaran:                      Kita hendaklah berani menentang penjajah / mempertahankan kampung halaman

Peristiwa yang menunjukkan keberanian Pak Husain ialah apabila dia berhadapan dengan dua orang tentera Jepun bersendirian sambil dengan berani memberitahu bahawa semua penduduk kampung sudah lari. Tindakan Pak Husain itu berjaya menyelamatkan penduduk kampung yang masih berada di pangkalan daripada serangan tentera Jepun (muka surat 133).

Murid boleh menggunakan peristiwa yang sama sebagai huraian kepada perwatakan, latar masyarakat, nilai, persoalan dan pengajaran cerpen berkenaan. Huraian peristiwa tidaklah perlu berjela-jela panjangnya. Memadailah peristiwa ditulis semula dengan ayat sendiri dalam satu atau dua ayat sahaja.

Perbincangan lebih lanjut tentang cerpen yang khusus akan dibuat kemudian, Insya-Allah. Begitu juga dengan keperluan peperiksaan yang menghendaki murid mengenal pasti aras soalan, tugasan soalan dan perancangan menulis jawapan. Mulakan pembelajaran komsas dengan menikmati karya cerpen, bukan dengan kaedah mengingati setiap butiran cerita...

Wednesday, December 22, 2010

7 PERATUS CALON PMR DAPAT SEMUA 'A' (NEARLY 31K GOT STRAIGHT 'As' IN PMR)

Sejumlah 30,863 orang calon bersamaan dengan 7.02 peratus Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu berjaya meraih semua A dalam peperiksaan tersebut. Pencapaian itu mencatatkan peningkatan sebanyak 0.65 peratus atau 2,675 orang calon. SMK St Michael, Ipoh (SMI) dikhabarkan turut mencatat perkara yang sama.

Bagi calon secara individu, pencapaian cemerlang itu bererti termakbulnya impian yang didambakan. Mereka berjaya membuktikan bahawa gaya pembelajaran yang dipilih membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Tahap keyakinan untuk peringkat persekolahan selanjutnya akan lebih tinggi.

Pencapaian semua A juga bererti bahawa peluang untuk memohon kemasukan ke sekolah asrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara, dan sekolah cemerlang yang lain terbuka luas, khususnya bagi yang datang dari kawasan luar bandar, atau dengan latar belakang keluarga yang serba sederhana dari segi pendapatan dan bilangan tanggungan isi rumah. Jika kekal di sekolah harian sekalipun, mereka boleh merancang laluan pengajian dan kerjaya masa hadapan dengan lebih mudah. Momentum semua A itu menjadi titik tolak pencapaian yang lebih tinggi dalam kehidupan hari muka.

Bagi calon yang tidak termasuk dalam kelompok semua A pula tidaklah perlu terlalu gundah gulana atau berasa rendah diri. Peluang memohon kemasukan ke SBP, MRSM, sekolah teknik dan sebagainya masih belum tertutup. Bantuan kaunselor pelajar atau maklumat portal rasmi kementerian, dan Mara boleh diteliti sebelum mengambil tindakan berikutnya.

Bagi ibu bapa, pencapaian anak mereka dalam PMR mendapat reaksi yang berbeza. Ada ibu bapa beranggapan bahawa pencapaian anak ialah maruah mereka. Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa dalam usia yang begitu muda, anak-anak tidak wajar dibebankan dengan tekanan yang mungkin mempengaruhi perkembangan potensi dan fakulti mereka. Ibu bapa kelompok kedua berkenaan sering merujuk contoh insan-insan berjaya tanpa pencapaian akademik yang hebat seperti Syed Mokhtar al-Bukhary, David Teo (Metrowealth), arwah Sosilawati, Tan Sri Noor Yaacob (Menteri di JPM), dan arwah SM Nasimuddin (Kumpulan Naza).

Kepada pihak sekolah, pencapaian calon PMR masing-masing dianggap sebagai petunjuk berlakunya pembelajaran. Keputusan PMR diambil kira sebagai komponen penting dalam penarafan sekolah sama ada sekolah berkesan, sekolah merangkak atau sekolah tenggelam. Kewibawaan seseorang pengetua dan kompetensi guru di sesebuah sekolah turut dibayangkan oleh keputusan PMR berkenaan.

Hakikatnya PMR boleh diumpamakan sebagai sebuah hentian atau stesen dalam perjalanan menuju destinasi kecemerlangan. Aktiviti singgah di sesuatu hentian atau stesen tentulah sebentar sahaja sebelum menyambung semula perjalanan. Tahniah kepada semua 479,675 orang calon PMR yang baru sahaja menatap slip keputusan sebelum mencongak langkah seterusnya memasuki tingkatan empat dua minggu dari sekarang...

INFO


Negeri                                    Jumlah calon                         Semua  A                         % Lulus  


Terengganu                                                                      1,746  (+0.69%)


Selangor                                   75,711                              6,907 (=9.1%)


Wilayah Persekutuan             21,612                             1,850  (-90)                      ( +0.67)


Perak                                         42,350+                                                                     64.83  (+3.44)


Kedah                                        35,909                             1,981 (+145)                     62.57  (+4.35)


Pahang                                                                               1,641 (+274)


Kelantan                                     36,953                             2,023 (+1.86%)


Johor                                          53,082                             3,575 (+0.61%)


Pulau Pinang                             24,418                            2,103 (+32)


Melaka                                                                               1,137 (+5.86%)


Negeri Sembilan                        19,311                            1,482 (+0.62%)


Perlis                                           4,494                                   333


(MRSM)                                     5,068                            3,129 (61.2, +2.17)


Antara sekolah 100%:


Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (88/120 calon dapat semua A)
SM Sains Selangor
SMKA Kuala Lumpur
SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur


Jumlah calon keseluruhan:  479,675
Calon sekolah kementerian:  446,896
Calon MRSM: 5,069
Calon sekolah agama negeri:  14,756
Calon sekolah swasta:   11,370
Calon sekolah agama rakyat:  1,250
Calon persendirian individu:  334

PERMAINAN TRADISIONAL MASIH DIMINATI (THE OLD GAMES)

Bebudak sekarang lebih senang diajak bermain di hadapan skrin komputer, atau playstation daripada berpeluh di tengah gelanggang atau padang. Sudah jenuh dikatakan bahawa tabiat sedemikian tidak baik untuk kesihatan dalam jangka panjang. Mata akan menjadi lesu dan ancaman obesiti (kalau sebut gemuk sensitif) makin meningkat.

Di kampung, mungkin kawasan untuk bermain masih luas walaupun ala-ala jalanan sahaja. Di bandar pula, kesesakan di kawasan perumahan kos sederhana dan kos rendah menjadi hujah yang kukuh untuk bebudak berkurung dalam rumah menghadap skrin komputer atau skrin televisyen. Lebih buruk lagi jika mereka lolos daripada kawalan ibu bapa untuk berkumpul di kafe siber.

Promosi gaya hidup sihat mestilah lebih agresif dan kreatif. Generasi muda haruslah dikeluarkan daripada ruang sempit permainan yang hanya menggunakan pergerakan jari-jemari menuju ke gelanggang, padang, atau setidak-tidaknya lorong jalanan. Permainan ringkas zaman dahulu patut diperkenalkan semula dalam versi yang memancing minat bebudak tadi.
Kalau dahulu penulis blog (PB) menyaksikan aksi bola sepak jalanan budak Pasar Payang, maka kali ini giliran orang muda dan orang dewasa pula. Menjelang waktu Asar, suasana pasar mulai lengang. Kesempatan itu diambil oleh beberapa orang peniaga bagi memperagakan bakat masing-masing dalam permainan tradisional sepak raga bulatan.

Pepatah Cina mengatakan seribu langkah bermula dengan satu langkah. Tetapi sepak raga bulatan harus dimulakan dengan beberapa orang. Aksi menimang bola raga yang dimulakan oleh tiga orang jejaka di atas dengan cepat menarik perhatian peniaga lain untuk turut serta.
Kumpulan pemain kemudiannya tambah bersemangat apabila penonton sekeliling memberi galakan dan sokongan. Kanak-kanak juga berhenti sejenak memerhatikan permainan yang meriah itu. Mungkin mereka mendapat ilham untuk melakukan aksi yang serupa dengan kawan sebaya nanti.
Keadaan lebih gamat apabila tiba-tiba muncul seorang pak cik siap dengan kain dan "lebai" untuk persediaan solat Asar sejurus selepas itu gamaknya. Awas pak cik, jaga betul-betul kain jangan sampai terlucut! Barangkali pak cik berkenaan hendak mencuri perhatian generasi muda supaya sama-sama menyemarakkan semula minat terhadap permainan tradisional ala-ala jalanan yang dipertontonkan...

Tuesday, December 21, 2010

SMI SEKOLAH HARIAN TERKEMUKA (REBRANDING MICHAELIANS)

Bunyinya seolah-olah bajak wangkang, masuk bakul angkat sendiri dan kagum pada diri sendiri. Sikap ujub itu memang tidak sihat sebagai pegangan mana-mana individu atau organisasi. Namun, jika dipositifkan sebagai satu cogan kata atau slogan untuk motivasi tanpa niat berbangga-bangga keterlaluan atau menunjuk-nunjuk, tiada sebarang kesalahan dari segi etika dan moral dilakukan.

Cakap-cakap (claim) seumpama di atas memang tidak bernilai dalam konteks penarafan dan penyelidikan, melainkan telah menjalani proses audit kualiti dan analisis data. Maka, beranikah SMK St Michael, Ipoh (SMI) tampil dengan jenama dan slogan berkenaan? Adakah tindakan sebegitu bakal menyinggung perasaan mana-mana pihak lain yang kurang senang dengan cara promosi yang hebat itu?
Tan Sri Ismail Omar (kanan), ketua polis negara 
mulai 12.9.10 contoh terbaharu bekas Michaelian terkemuka

SMI mempunyai asas  untuk menggunakan slogan keramat itu. Sebagai sebuah sekolah premier yang berusia hampir 100 tahun, jasa serta sumbangan SMI terhadap negara tidak mungkin dapat dipadam daripada catatan tinta sejarah. Reputasi SMI tidak dibina dalam tempoh sehari dua!

Tahun 2012 melengkapkan pusingan pertama seabad SMI di persada pendidikan tanah air. Hingga kini, SMI terus dipandang tinggi oleh masyarakat dan mendapat kepercayaan ibu bapa untuk pendidikan anak-anak mereka. Sekolah dominasi budak laki-laki itu turut mendapat perhatian pelajar perempuan yang memilih pengajian prauniversiti tingkatan 6 kerana rekod pencapaiannya yang cemerlang.

Sesi persekolahan 2011 mulai 3 Januari nanti bakal menyaksikan sejumlah kira-kira 320 orang murid baharu tingkatan satu mendaftar masuk untuk 9 buah kelas yang diperuntukkan. Selepas itu biasanya banyak kes rayuan perlu dilayan justeru permintaan ibu bapa terhadap tempat murid di SMI memang tinggi. Mereka beranggapan bahwa SMI bukan calang-calang sekolah (high class).

Budak SK St Michael 1 ketika proses mengesahkan tempat di SMI

Dari segi kemudahan fizikal sekolah dan tenaga pengajar, boleh dikatakan bahawa semua sekolah bantuan kerajaan dan sekolah bantuan modal tidaklah wujud jurang yang begitu luas. Namun demikian, sekolah berkesan akan berbeza dari segi legenda dan persekitaran pembelajaran. Jika SMI berjaya memberi harapan yang lebih baik kepada ibu bapa, jenama SMI bakal kekal mengukuh bagi pusingan abad yang kedua kelak...


SINOPSIS DAN WATAK KEMBARA AMIRA (BIRD'S VIEW ON FORM 5'S BM NOVEL)

Pendahuluan


Kunci kekuatan novel Kembara Amira karya Cikgu Amer Hamzah b. L. Kader, 44, ialah dari segi fakta dan perincian yang disajikan. Kelihatannya pengarang begitu cermat dan yakin apabila menggambarkan setiap watak dan persekitaran (latar) yang menghidupkan penceritaan. Pembaca perlu membaca hingga selesai semua 361 halaman novel sebelum dapat mengenali pertalian antara semua watak, latar dan peristiwa yang berlaku.

Mengapa Kembara Amira?


Pertama, sudah tentu kerana watak utama novel, iaitu Amira binti Amir. Nama Amira mungkin sekali berkaitan dengan nama Cikgu Amer (Hamzah), iaitu pengarang novel. "Kembara" mungkin sekali bermaksud perjalanan, tetapi mungkin juga mengambil sempena hadiah hari lahir istimewa Encik Amir, sebilah pisau "kembara" yang sentiasa terselit di pinggang Amira sebagai senjata pada detik cemas. 

Sinopsis

Amira Amir ialah seorang murid sekolah swasta yang mengikuti rombongan pelajar tahun akhir arkeologi  universiti seliaan ibunya, Profesor Zaidah di belantara Bukit Mat Raya. Dengan ditemani rakan sebiliknya, Jacintha (JC), Amira telah menempuh pelbagai pengalaman di tapak cari gali artifak, atau kompleks arkeologi yang dikelilingi perkampungan orang Asli dan tumpuan pembalak, serta pencari emas. Mereka berkhemah di Desa Karpus, nama yang diberi kepada kompleks arkeologi mereka sempena penemuan tulang karpus, iaitu di bahagian pergelangan tangan tetrapod oleh Rusdi, tiga hari setelah berada di situ. Keinginan Amira untuk mengenali seorang pemuda (Malique @ Sabi) yang turut menaiki kereta api yang sama dengannya menemukan Amira dengan Itai dan Tau, yang menyelamatkan dirinya ketika dibawa arus deras air terjun di tengah-tengah hutan. Kemalangan turut menimpa ibunya dan kemudian Malique yang tidak ditemukan buat beberapa hari. Petunjuk yang dijumpai Amira dan Itai di Gunung Gua Gajah akhirnya menjadi titik tolak merungkai misteri hubungan kekeluargaan antara Tau dan Itai dengan Malique, serta Jeniffer @ Ipah. Pertelagahan anak-beranak itu diselesaikan di Desa Karpus atas cadangan bernas Amira. Lima e-mel terakhir yang diterima oleh Amira (pelajar kajian angkasa lepas Universiti Malaya) menjelaskan status terkini watak-watak utama novel.

Latar Masa

tahun 2002 ke atas; waktu pagi (di stesen kereta api), waktu petang (air terjun), waktu malam (kompleks arkelogi)

Latar Tempat


1   Desa Karpus: tapak cari gali artifak / kompleks arkeologi yang dinamakan (secara tidak rasmi) sempena nama tulang karpus yang dijumpai. Lokasinya di belantara Titiwangsa, berhampiran Bukit Mat Raya. Kebanyakan penceritaan novel berkisar di situ. Pesawat Cessna yang dinaiki Ripley, isterinya (Brenda), dan anak (Samantha @ Ipah @ Jeniffer) terhempas di situ menandakan detik bermulanya konflik keluarga Tau. Dianggap sebagai "tapak suci" oleh Tau yang saban malam menjenguknya sejak berbelas-belas tahun.

2   Perkampungan orang Asli di sekitar Bukit Mat Raya: petempatan keluarga Itai, bersama-sama Ludin (ayah saudara, ketua kampung), Tau (adik Ludin), Jidin (bapa Ludin, Tau).

3  Air Terjun Angin: tempat Malique datang berjumpa Amira dan JC, memberikan alamat e-mel. Amira tergelincir ke dalam arus sungai yang berhampiran ketika berharap untuk bertemu Malique buat kali kedua.

4  Gunung Gua Gajah:  terdapat dinding lakaran arang yang ditunjuki Tau dan jumpaan kapak batu zaman neolitik oleh Rusdi. Amira pula terpijak mobile disk milik Malique yang terjatuh gaung bersama-sama pacuan empat roda. Peranti itu menjadi petunjuk dalam misi menyelamat Malique yang 'ditawan' oleh makhluk misteri separuh beruang.

5   Bukit Kerengga: sebuah bukit curam yang hanya boleh didaki dengan pacuan empat roda oleh pemandu berpengalaman seperti Roslan yang membawa John O'Hara dan Malique.

6   Stesen kereta api Dahan Hijau: tempat Amira dan JC menunggu Pak Lias menjemput mereka ke Desa Karpus. Amira juga mengqada solat Subuh di situ. Menghubungkan belantara Titiwangsa dengan pekan terdekat.

7    Lata Bukit Hijau, Kulim: lokasi dusun nenek Amira.

8   Batu Feringghi: banglo keluarga Jacintha yang dijaga oleh Baba Teck dan Nyonya Sim setelah bapa JC berkahwin lain.

9    Bilik asrama sekolah sawasta di Pulau Pinang: tempat Amira memancing perhatian JC untuk mengajaknya menyertai rombongan kajian arkeologi Desa Karpus. JC tetap menginap di situ pada waktu cuti persekolahan bagi mengelakkan diri daripada ibu tirinya walaupun disediakan tiket penerbangan ke London.

10   Koc (gerabak kereta api: pertama kali Amira terpandang Malique (berkulit agak gelap), kontras dengan seorang lelaki kulit putih yang nyenyak di sebelahnya.

Watak dan Perwatakan

Amira Amir


Remaja perempuan yang bijak, peramah, lasak, penyayang, nekad, tegas dan pandai memujuk. Amira sangat memahami kesibukan ibunya (Profesor Zaidah) dan bapanya (Amir, yang selalu ke luar negara). Amira ialah pembantu ibunya dalam mengemas kini laman sesawang maklumat arkeologi.

Jacintha (JC)


Teman akrab Amira, anak tunggal seorang jutawan yang berkahwin semula setelah kematian ibu JC. Perwatakan JC digambarkan sebagai sensitif (mudah tersentuh) dan sedikit penakut (manja), tetapi lasak, setia kawan, peramah, berterus terang dan pemaaf.


Profesor Zaidah


Penyelidik arkeologi terkemuka yang kerap membentangkan dapatan di serata dunia. Digambarkan sebagai kuat bekerja, prihatin, berdedikasi, lemah lembut, tetapi sesekali tegas. Daya kepimpinannya teruji apabila perlu memuktamadkan sesuatu keputusan yang penting, misalnya ketika Dr. Zawawi menyarankan supaya projek arkeologi mereka ditunda ekoran beberapa peristiwa kemalangan yang menimpa Amira, JC dan Profesor Zaidah sendiri.


Dr Zawawi


Doktor perubatan yang bertindak sebagai orang kanan Profesor Zaidah dalam projek penyelidikan arkeologi. Dr. Zawawi prihatin (tentang keselamatan), kelakar, bijak (mententeramkan keadaan), setia dan beretika.


Pak Lias


Pemandu pacuan empat roda projek arkeologi. Pak Lias cekap (memandu dan bersilat), prihatin, berterus terang, penyayang dan berhati-hati. Pak Lias bertanggungjawab menumpaskan makhluk misteri dengan pencak silat gerak songsang yang pernah dipelajari daripada Kiai Rashid.


Rusdi


Ketua kepada pelajar yang menyertai projek penyelidikan arkeologi. Rusdi berfikiran positif, tidak mudak mengalah, jujur dan amanah.

Tau



Usianya menginjak separuh abad, tetapi tangkas, bijak dan cekap (dengan selok-belok rimba), penyayang, pendendam,misteri dan kuat berahsia. Tau menggantikan Ludin, abangnya mengahwini Ipah dan memperoleh dua orang cahaya mata (Sabi @ Malique - dilarikan Ipah; dan Tau - diserahkan kepada Ludin). Apa kaitan Tau dengan makhluk misteri separuh beruang? (jawapannya... baca dulu sendiri!)


Itai


Remaja orang Asli yang pintar hingga pernah mewakili negeri dlam pameran saintis muda, serta menggondol tempat kedua. Projek perubatan herbanya menewaskan kumpulan Amira dan JC (sebelum berkenalan di rimba dengan penampilan yang jauh berbeza). Dilatih oleh Tau untuk mengambil alih jawatan ketua kampung daripada Ludin.


Ludin


Ketua kampung orang Asli. Mahir dalam rawatan herba, termasuk merawat tangan kiri Profesor Zaidah yang cedera akibat kemalangan pacuan empat roda yang terjunam ke sungai. Ludin penyayang, tetapi juga perahsia dan tegas. Kontras dengan adiknya Tau, Ludin lebih lembut dan teliti dalam segala tindakan.


Ipah @ Jeniffer @ Samantha


Anak kepada Ridley, pensyarah universiti di Australia dan Brenda yang terbunuh di lokasi Desa Karpus. Berkahwin dengan Tau setelah perawan, tetapi disisihkan oleh masyarakat orang Asli kerana Ipah dianggap sebagai perempuan sihir yang jelik. Kemudian, Ipah lari dengan Johnny membawa Sabi sekali, tetapi meninggalkan Itai.


Malique @ Sabi


Patuh kepada arahan ibunya supaya menyertai John O'Hara memasuki hutan Gunung Mat Raya. Dia menyangka Amira terpikat dengannya. Malique berasa sangat rapat dengan hutan berkenaan.

John O'Hara


Seorang pengesan emas. prospector berpengalaman dari Australia. O'Hara amanah, kuat bekerja, tetapi kadang-kadang panas baran.

Roslan

Pemandu pacuan empat roda O'Hara. Roslan, bekas pemandu lori balak yang sangat berpengalaman melepasi laluan curam dan licin. Roslan penyayang (tidak sanggup berjauhan dengan ibunya). Roslan suka menolong.

Ah Chin


ketua pekerja O'Hara. Ah Chin sangat tegas mengawal pekerja yang berkelakuan kasar dan suka mengambil kesempatan ketika ketiadaannya.

Diharap analisis Kembara Amira menerusi sinopsis, latar dan perwatakan yang dicoretkan ini dapat mendorong murid membaca novel yang begitu menarik dan mengesankan itu...

Monday, December 20, 2010

SESUDAH MERDEKA SPM, STPM MAHU BUAT APA? (ONCE EXAM OVER)

Biasanya sebaik sahaja sesuatu peperiksaan besar tamat, calon-calonnya akan meneriakkan perkataan "merdeka" setidak-tidaknya di dalam hati sahaja. Segala-galanya telah dicuba dalam penulisan jawapan kertas yang diduduki. Urusan keputusan biarlah dahulu.

Calon PMR tahun ini bakal mengetahui nasib masing-masing pada 23 Disember, iaitu dua hari sahaja lagi. Calon STPM perlu menunggu hingga pertengahan Februari, manakala calon SPM kemungkinan besar pada awal Mac. Calon PMR akan meneruskan persekolahan atas dasar kenaikan automatik ke tingkatan 4.

Calon SPM dan calon STPM yang telah selesai kertas terakhir mereka mempunyai masa cuti yang panjang sebelum disambar oleh institut pengajian tinggi pilihan masing-masing. Dengan pengecualian kepada sebahagian kecil yang akan serta-merta memasuki kolej (universiti) swasta, kebanyakan remaja yang kini mencapai usia 18 dan 20 tahun itu mula mencongak aktiviti yang boleh mendatangkan pulangan kewangan menjelang bulan Jun nanti apabila tawaran pengajian tinggi mulai diterima. Terdapat juga mereka yang hendak terus bekerja justeru kurang yakin akan pencapaian dalam peperiksaan yang baru diduduki.

Kepada remaja berkenaan yang tidak dipanggil menjalani program khidmat negara, mereka memiliki masa lima bulan untuk bercuti panjang. Bagi segelintir remaja, inilah masa yang sesuai untuk membalas dendam terhadap perkara-perkara yang tidak dapat dilakukan semasa bertungkus-lumus belajar di sekolah. Contohnya, menonton Astro, melayan facebook, menyertai sukan ekstrem, atau semata-mata tidur sepanjang hari.

Bab-bab balas dendam itu hanya akan bersifat sementara. Berapa lama remaja sanggup bersengkang mata di hadapan skrin televisyen atau komputer, dan berapa lama remaja sanggup membuta? Barangkali, dalam tempoh tidak sampai seminggu, mereka akan menderita kebosanan yang amat sangat.

Tambahan pula aktiviti-aktiviti balas dendam yang muncul dalam kotak fikiran mereka itu sama sekali tidak produktif dan tiada sebarang pendapatan. Kebiasaan sibuk mentelaah buku-buku menyebabkan mereka tidak betah duduk diam macam lagak sang penganggur yang lara. Namun, apa yang boleh dilakukan?

Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru mungkin tiada masalah. Remaja yang menunggu keputusan SPM dan STPM sangat dialu-alukan bekerja sementara di restoran makanan segera, kaunter pasar raya atau di kedai fotokopi. Jika keluarga memiliki perniagaan sendiri, bolehlah turun membantu walaupun mungkin sebagai pilihan terakhir sahaja.

Remaja yang hendak berjinak-jinak dengan dunia jualan boleh melamar kerja menjaja kad prabayar atau perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar. Komisen yang diterima memanglah tidak seberapa, tetapi jika berjaya mendapatkan jumlah jualan yang baik, kembung jugalah poket remaja. Kalau sebaliknya, sekurang-kurangnya remaja akan sedar betapa getirnya hendak memperoleh wang ringgit bagi menyara diri sendiri, apatah lagi untuk menanggung perbelanjaan sebuah keluarga...

Sunday, December 19, 2010

KASUT KELOPAK JANTUNG ANTOLOGI KOMSAS TINGKATAN 1 (NEW ANTHOLOGY FOR FORM ONE'S BM)

Murid tingkatan satu sudah mula didedahkan dengan pembelajaran komponen sastera menerusi senaskhah novel berdasarkan zon, serta sebuah antologi yang memuatkan sejumlah 25 buah karya sastera genre puisi tardisional dan sajak, prosa tradisional, cerpen, serta drama. Bilangan muka suratnya boleh tahan juga, iaitu 172 halaman, termasuk glosari.
Antologi yang dimaksudkan ialah "Kasut Kelopak Jantung" yang judulnya diangkat daripada cerpen pertama yang menghiasi muka surat 77 hingga 86. Semuka surat penuh (78) diperuntukkan untuk ilustrasi yang memaparkan wajah Ahmad, dan Cikgu Harun ketika muda, dan satu lagi sesudah bersara. Cerpen nukilan Ghazali Lateh itu menggunakan bahasa yang mudah, serta jalan cerita yang ringkas.

Ghazali Lateh bertindak sebagai pencerita (sudut pandangan orang ketiga, yang serba tahu). Watak utama, iaitu Cikgu Harun yang baru sahaja pencen menerima bungkusan hadiah yang diterimanya setiap kali tanggal 16 Mei, iaitu tarikh sambutan hari guru. Kemudian pembaca diasyikkan dengan imbasan kembali kenangan Cikgu Harun dengan pengirim hadiah berkenaan, iaitu Ahmad, seorang murid miskin di pedalaman.

Cikgu Harun yang baru mula bertugas sebagai pendidik digambarkan sebagai berdarah muda dan kurang memahami kesusahan kanak-kanak kampung seperti Ahmad yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dalam kelas darjah hanya Ahmad yang tidak berkasut putih. Malah, sejak selipar Jepun yang disarungnya putus, Ahmad hanya berkaki ayam.

Tujuan asal Cikgu Harun menegur Ahmad saban hari ialah supaya memindahkan desakan itu kepada ibu bapanya. Namun, kemarahan Cikgu Harun memuncak apabila Ahmad tidak menukar pakaian sukan, apatah lagi hendak menyarung kasut sukan. Ahmad didenda memakai kelopak jantung yang diikat dengan tali rafia merah dari kantin sebagai kasutnya.
Ahmad berasa malu diperlakukan demikian, malah dijadikan jenaka murid lain. Dia hanya mampu mengalirkan air mata sambil menunggu murid lain balik semuanya sebelum beredar sendirian. Cikgu Harun telah memberikan amaran supaya Ahmad tidak menanggalkan kasut kelopak jantung berkenaan hinggalah dia berjaya membeli kasut yang dikehendaki.

Seminggu lamanya Ahmad tidak hadir ke sekolah, walaupun sebelumnya dia tidak pernah ponteng. Khabar bahawa Ahmad mahu berhenti sekolah menyebabkan Cikgu Harun diserang rasa bersalah dan kesal. Pada sebelah petangnya, Cikgu Harun bermotosikal ke rumah Ahmad melalui denai-denai sempit yang dipenuhi batu kerikil, duri semalu dan semak. Ibu Ahmad memberitahu bahawa Ahmad mengambil upah memetik cili.

Demi terpandang Ahmad yang masih menyarung kelopak jantung yang sudah hancur berjurai-jurai, Cikgu Harun mulai tersentuh.Cikgu Harun bergegas ke pekan berhampiran membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut buat Ahmad. Kasut kelopak jantung itu kini dianggap oleh Ahmad sebagai pendorong hingga dia kini bergelar sebagai pengurus firma pengeluar kasut yang terkemuka di bandar.

Perbincangan:

1    Perwatakan:  Cikgu Harun ialah seorang yang tegas, tetapi penyayang dan pemurah.

                           Ahmad ialah murid yang taat, ikhlas dan gigih.

2    Latar masyarakat:   masyarakat yang tegas, masyarakat penyayang, masyarakat pemurah, masyarakat 
                                    yang taat, masyarakat yang ikhlas, dan masyarakat yang gigih.

3    Nilai:   kasih sayang, kegigihan, kepatuhan, murah hati, dan mengenang jasa.

4    Persoalan:  kasih sayang antara guru dengan murid, kegigihan seorang murid miskin, kepatuhan murid
                       terhadap arahan guru, sikap murah hati terhadap orang miskin, dan murid yang mengenang jasa guru.

5    Pengajaran:   Kita hendaklah menyayangi sesama manusia
                           Kita hendaklah gigih dalam menghadapi cabaran kehidupan
                           Kita hendaklah patuh kepada arahan guru
                           Kita hendaklah bermurah hati kepada orang miskin
                           Kita hendaklah mengenang jasa guru

6    Latar tempat:   bilik darjah, padang sekolah, rumah Ahmad

7    Latar masa:   pagi (semasa pembelajaran), petang (di rumah Ahmad)

8    Tema:  Kasih sayang antara guru dengan murid di sebuah sekolah pedalaman

9    Teknik penceritaan:   imbas kembali, sudut pandangan orang ketiga

10   Gaya bahasa:   ayat penyata, ayat tanya

"JEJAK KASIH" DI MAJLIS KENDURI KAHWIN (FAMILY REUNION)

Suatu ketika dahulu sebuah stesen televisyen swasta berjaya menemukan semula anggota keluarga yang sudah sekian lama terpisah kerana masalah komunikasi. Kini, dengan kemunculan radio interaktif dan laman sosial facebook, program yang diberi nama "jejak kasih" itu sudah tidak muncul-muncul lagi. Hanya sesekali masyarakat digemparkan dengan usaha membawa balik wanita muda yang mengikut lelaki Lombok, atau yang terperangkap dengan awang Afrika sebagai "keldai dadah".

Ceritanya agak berlainan dalam majlis-majlis perkahwinan, terutama jika tempatnya di kampung. Waktu yang lebih panjang perlu diperuntukkan bagi bertanya khabar kepada kaum kerabat yang datang dari segenap ceruk rantau, dan handai taulan yang sekian lama menghilang. Satu pihak akan membuat panggilan tidak dijawab kepada set telefon bimbit pihak satu lagi untuk disimpan "konon-konon" akan terus berhubung.
Ketika penulis blog (PB) menghadiri majlis perkahwinan di Lorong 7A, Kampung Bahagia, Teluk Intan, peluang berjumpa dengan rakan-rakan sepermainan zaman kanak-kanak tentunya menyingkap kenangan silam. Sekarang, masing-masing telah bekeluarga dan membawa haluan yang berbeza. Wajah dan suara masing-masing, walaupun meniti kedewasaan masih dapat dicam dengan mudah.
Bab-bab makan mengambil masa yang singkat sahaja memandangkan sebahagian tetamu harus memenuhi dua tiga undangan serentak pada hari yang sama. Namun, disebabkan di situ majlis yang pertama, tahap kepuasan lebih tinggi selaras dengan hukum utiliti sut dalam pengajian ekonomi. Tuan rumah boleh melayan tetamu secara lebih mesra justeru urusan hidangan diserahkan kepada pengusaha katering secara buffet. Khemah lelaki dan wanita juga diasingkan.
Saudara-mara dari kampung yang sudah lama tidak bersua juga sanggup melapangkan masa, sambil datang bersekali dengan anak cucu untuk diperkenalkan dengan sepupu sepapat mereka, iaitu bersurih. Kelak apabila berlaga bahu tidaklah cepat sangat naik angin, atau naik tangan. Di samping itu, anak-anak kecil juga dibiasakan dengan majlis dan perhimpunan keluarga berskala besar.
Selanjutnya PB bergegas ke Taman Seri Setia, Teluk Intan (berhampiran SMK Sultan Abdul Azizi) untuk satu lagi majlis. Kali ini dua beradik perempuan diraikan sebagai mempelai sekali gus. Maka, ramailah tetamu yang berkunjung, sama ada jiran, kenalan si anak dan kenalan ibu bapa.
Makan pun ala kadar sahaja kerana sudah kenyang. Sekali lagi agenda yang lebih penting ialah bertegur sapa dengan sahabat lama, jiran dan tetamu yang lain. Ibu bapa pengantin pula tidak menang tangan menerima kunjungan tetamu yang baru tiba.
Selain hidangan makan, sudah menjadi kebiasaan bahawa tuan rumah turut menyediakan pencuci mulut tambahan seperti bubur kacang, cendol dan manisan. Tuan rumah di Kampung Bahagia, keluarga seorang selebriti yang mendapat jolokan raja pop, menyediakan ais krim. Orang dewasa juga tidak malu-malu mencuba ais krim percuma itu.
Tuan rumah di Taman Seri Setia, seorang pengetua sekolah berasrama penuh di Ipoh pula menyediakan teh tarik istimewa "Pak Ali" selain kudapan maruku. Juruhebah majlis memainkan peranan tukang promosi teh tarik dan maruku berkenaan. Setiap tetamu kemudian dihadiahkan pula dengan pek kismis mini dan buku kecil himpunan doa...