Saturday, August 6, 2016
SISTEM GILIRAN KEPIMPINAN SEKOLAH (HIRE AND FIRE DUE TO PERFORMANCES)
Bilangan guru yang terlalu ramai mengakibatkan hanya segelintir daripada mereka yang berkesempatan menyandang jawatan pentadbiran sebelum bersara. Kaedah pelantikan sedia ada berkemungkinan sekali menafikan bakat-bakat terbaik dalam dunia pendidikan bagi mereka menumpahkan kebolehan dan kreativiti kepimpinan yang unik. Berlainan halnya dengan universiti apabila kedudukan tertinggi daripada naib canselor, dekan dan ketua jabatan bukanlah jawatan sampai pencen atau sepanjang hayat.
Suatu ketika yang panjang, kekananan berasaskan tempoh perkhidmatan menjadi kriteria utama pelantikan kepimpinan sekolah. Kemudian, berlaku perubahan apabila calon pemimpin sekolah dikehendaki melalui proses permohonan dan latihan yang dianugerahkan diploma atau sarjana kepengetuaan. Maka, guru veteran yang tidak terpilih bakal kekal dengan status guru penolong sehingga pencen walaupun sebahagian mereka memiliki ijazah tinggi sekian lama.
Kerjaya keguruan termasuk dalam kategori ikhtisas tetapi tidak mempunyai majlis ikhtisas yang mengawal pelantikan dan kemajuan dalam perkhidmatan mereka sendiri. Sebaliknya, hal ehwal guru diuruskan menerusi sistem pentadbiran pelbagai peringkat yang membabitkan pegawai pendidikan yang tidak lagi bertugas di sekolah, selain sejumlah pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang memiliki akses terhadap implikasi kewangan awam untuk tujuan pelantikan dan kenaikan pangkat.
Banyak kajian ijazah tinggi, termasuk di luar negara, yang bertemakan guru lesu (burn out) yang berpunca daripada sistem sedia ada. Motivasi mereka didapati menurun seiring dengan jangka masa perkhidmatan. Perasaan terpinggir dan tersisih dimanifestasikan menerusi tekanan kerja dan psikologi rendah diri.
Sudah tiba masanya satu kajian semula tentang sistem pelantikan kepimpinan sekolah dilaksanakan, sekurang-kurangnya di tahap projek rintis. Jawatan kepimpinan sekolah misalnya bersifat giliran berjangka masa sepertimana amalan di universiti. Kedudukan pentadbiran hanya dalam tempoh tiga tahun dan sebarang pelanjutan aeterusnya dilakukan berasaskan keperluan yang mustahak.
Terlalu lama pada satu-satu kedudukan walaupun suatu kelebihan dari segi pengalaman juga membawa beberapa natijah sebaliknya. Pemimpin sedemikian mula membina status quo dan ciri inertia. Mereka berkubu dengan pendapat sendiri atas nama pengalaman, serta sangat sukar melayani perubahan dan perbezaan.
Politik hubungan peribadi dan kecenderungan penilaian yang sipi sudah menjadi rahsia umum dalam mana-mana organisasi yang diterajui oleh ketua yang tidak akur terhadap etika perkhidmatan yang luhur. Mereka sengaja enggan membuka mata terhadap pencapaian sebenar subordinat, tetapi lebih mengutamakan dokumen yang penuh bombastik dan jargon. Pada akhirnya, klon kepimpinan ala zaman jentera (factory age) dengan teori X kekal berleluasa.
Hakikatnya pendidikan dan kurikulum sangat sinonim dengan perubahan persekitaran yang begitu pesat tanpa henti. Seandainya kita berhasrat untuk melihat kemajuan dan perkembangan bertaraf dunia, sesuatu perlu dilakukan terhadap sistem kepimpinan di sekolah. Saranan dalam tulisan ini mungkin boleh diambil kira.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment