Friday, June 23, 2017
BERLALU RAMADAN 1438H, MENJELMA SYAWAL (THE FESTIVAL OF SACRED DEEDS)
Alhamdulillah, Allah beri kesempatan buat kita menjalani ibadah Ramadan dengan jayanya. Bukan semua insan beriman yang menikmati kesempatan yang amat berharga itu. Ada yang dijemput pulang ke rahmatullah sebelum Ramadan dan tidak kurang juga pada setiap hari bulan puasa fardu ini.
Marilah kita bersyukur ke Hadrat Ilahi dengan cara menjunjung setiap titah perintah-Nya sedaya upaya dan menjauhi segala larangan-Nya. Hakikatnya, hal itu mudah sekali untuk ditulis dan diucapkan. Namun, dari segi amalan, begitu banyak cabaran dan liku perjalanan yang penuh ranjau sebelum berjaya.
Ramadan bulan tarbiyyah. Ramadan sebagai madrasah atau universiti kehidupan yang sangat kritikal terhadap insan beriman. Demikian maksim atau ungkapan lazim yang sering terpacul daripada mulut penceramah atau penyampai tazkirah sama ada di majlis ilmu atau di corong radio. Sesungguhnya, peringatan yang kerap dan berulang kali itu sangat bermanfaat justeru insan sering alpa dan lalai kerana tipu daya kesibukan duniawi per se.
Antara amalan Ramadan yang sepatutnya menjadi kelaziman sepanjang haya ialah solat berjemaah di masjid dan surau bagi kaum lelaki, membaca dan mentadabbur al-Quran, serta gemar bersedekah dengan tulus ikhlas. Selain itu, kehadiran dalam majlis ilmu dan pengajian bukan sahaja memperoleh rahmat Ilahi bahkan mengukuhkan tali persaudaraan dalam kalangan penduduk kariah yang sama.
Kedatangan Syawal disambut dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur. Dengan pakaian serba baharu dan wangi-wangian, kemeruahan aidil fitri begitu terasa. Ucapan taqabbalallahu minna wa minkum, lalu dibalas dengan minna wa minkum taqabbal ya karim menghiasi kunjungan dan pertemuan yang diredai Allah. Keluarga yang kurang beruntung, anak yatim dan ibu tunggal tidak dilupakan oleh pihsk berwajib dan jiran terdekat.
...
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment