SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, March 23, 2020

SEKOLAH TUTUP HINGGA 31 MAC 2020 (TO COMBAT COVID 19 PANDEMIC)

Terkini (sehingga pukul 3.45 petang hari Isnin 23.3.2020), angka korban jangkitan novel corona virus di negara kita ialah 11 orang. Sejumlah 1,306 pesakit telah sah dijangkiti, manakala 139 orang berjaya dipulihkan. Data rasmi boleh diakses di sini.

Perintah kawalan pergerakan telah berkuat kuasa sejak enam hari yang lalu. Malah, mulai hari Ahad, lebih kurang 7,500 anggota tentara turut bertugas membantu pasukan polis (PDRM) bagi memastikan pematuhan orang awam untuk mencapai sasaran 95 peratus, berbanding dengan 90 peratus setakat ini. Penularan virus covid 19 mengingatkan kita terhadap proses penduaan bakteria yang dipelajari dalam mata pelajaran Biologi SPM.

Ilustrasi di atas menggambarkan betapa wabak itu merebak dengan begitu cepat sebagaimana di China, Itali dan United Kingdom. Di timur tengah, Iran mencatatkan bilangan kes tertinggi, manakala di Amerika Latin sangat ketara di Brazil dan Equador. Jiran terdekat, Singapura dan Indonesia juga sedang berhadapan dengan ancaman covid 19.

Pematuhan terhadap perintah kawalan pergerakan tidak seyogia dikompromi. Kita harus belajar daripada pengalaman Itali apabila pada peringkat awal rakyatnya menganggap cuti (tutup semua pejabat dan institusi pendidikan) sebagai kesempatan untuk kegiatan sosial, keramaian dan balik kampung. Akibatnya, puluhan ribu penduduk telah dijangkiti sehingga memaksa perintah berkurung secara tuntas (total lockdown).

Negara Belgium yang bersaiz kecil pun (dengan anggaran 10 juta orang penduduk) pun melanjutkan sekatan pergerakan selama dua bulan lagi. Bayangkan kerugian dari segi kegiatan ekonomi dan proses pendidikan yang menjadi tunjang kemajuan tamadun moden. Namun, mengekalkan maslahah yang lebih ringan secara berbanding menjadi keutamaan masa kini.

Sementara itu, pelbagai teori konspirasi muncul lewat media sosial, malah turut dimainkan oleh pemimpin politik kuasa besar yang terbabit dalam perang saraf persaingan pengaruh sejagat. Antaranya, dakwaan bahawa covid 19 ialah senjata biologi Pentagon bagi melemahkan kekuatan China dan Iran. Di pihak lain, wabak yang berlaku merupakan angkara Iluminati dan Freemason bagi mengurangkan penduduk di bumi kepada 300 juta orang sahaja.

Hakikatnya, Amerika Syarikat juga sedang diserang covid 19 dan beberapa buah negeri yang terjejas telah mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan. Kapal persiaran di pesisiran pantai juga tidak dibenarkan berlabuh. Beberapa orang selebriti hiburan dan atlet juga secara terbuka mengisytiharkan diri mereka positif covid 19.

Sama seperti kes wabak Sars, selesema burung H1N1 dan Mers Cov yang membunuh ribuan manusia, virus novel corona berasal daripada haiwan dan pada asalnya berpindah dalam kalangan haiwan tertentu sahaja. Namun, apabila virus tersebut berpindah kepada manusia yang memakan daging haiwan tersebut (contohnya babi dan kelawar), proses mutasi berlaku dan berpindah ke tubuh manusia. Fasa kontagen baharu kemudiannya berlaku apabila virus tadi bermutasi pula dalam tubuh manusia dan cepat berpindah daripada seseorang ke seseorang yang lain.

Sistem pertahanan antibodi manusia belum bersedia untuk melawan serangan bala tentera virus covid 19 kerana belum ada vaksin tersedia sebagai intervensi untuk menyediakan ketumbukan pembantu antibodi bertindak balas sebagai soldadu tambahan. Satu-satunya senjata yang ada ialah penjarakan sosial (social distancing) supaya covid 19 tidak dapat menyambung rangkaian penularan. Pesakit tidak menyedari dirinya dijangkiti sehingga selepas dua minggu menerusi saringan pakar.

Terdapat juga data menunjukkan bahawa risiko jangkitan lebih tinggi kepada individu dengan profil darah jenis A (kedua penerima universal) dan paling rendah dalam kalangan profil darah O (penderma universal). Namun, dapatan itu segera disanggah sebagai terlebih generalisasi. Semua pihak diminta akur dengan perintah kawalan pergerakan yang bakal dikaji dari masa ke masa, sama ada perlu lanjutan atau sebaliknya.

Semoga Allah melindungi kita semua daripada ancaman wabak covid 19. amin ...

No comments: