Thursday, August 20, 2015
KEPENTINGAN PENILAIAN, UJIAN BULANAN KEPADA PELAJAR TINGKATAN ENAM (CONTINOUS LEARNING AND MEASUREMENT)
Jumlah waktu kuliah pelajar prauniversiti tingkatan enam lebih kurang sama dengan pelajar universiti, iaitu 14 minggu. Pelajar tingkatan enam rendah mendaftar pada bulan Mei, tetapi hanya memulakan kuliah secara tuntas mulai pertengahan bulan Jun. Lazimnya, sukatan pelajaran akan berakhir pada penghujung bulan September, diikuti oleh peperiksaan percubaan dan STPM sebenar.
Secara kasar, tempoh pembelajaran ialah selama empat bulan bersamaan 16 hingga 18 minggu, tetapi apabila ditolak cuti pertengahan penggal dan pelbagai cuti yang lain akan kembali kepada lebih kurang 14 minggu juga. Guru harus mereka bentuk dan merancang proses pembelajaran supaya akur dengan segala keperluan sukatan pelajaran dan hasil pembelajaran yang diamanahkan kepada mereka. Guru harus bertindak dengan bijak dan cekap supaya dapat memenangi kerjasama semua pelajar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selesa dan terbuka.
Pelajar bukan sahaja dibimbing dari segi pencapaian hasil pembelajaran, bahkan didedahkan dengan pelbagai kemahiran generik supaya dapat mengorganisasikan segala isi pelajaran secara optimum. Kaedah hafalan misalnya sangat berisiko untuk digunakan semasa peperiksaan bertulis. Pepatah Cina mengatakan: saya dengar dan saya lupa, saya lihat dan saya ingat, saya buat dan saya faham.
Jika jaguh sukan dilatih dengan persediaan fizikal dan mental yang terbaik, pelajar prauniversiti juga demikian. Mereka harus menjalani sejumlah latihan yang terancang, menggunakan strategi, taktik dan teknik pembelajaran yang paling munasabah. Pendekatan analogi, anekdot, cerita kelakar yang diubah suai, inkuiri dan ujian berpasangan mesti dilakukan lebih kerap.
Sebagai golongan penghujung remaja, pelajar prauniversiti tingkatan enam masih terumbang-ambing dalam pencarian jati diri, berperang dengan perasaan, jatuh cinta dan mudah dipengaruhi. Pemimpin pendapat yang unggul dalam kalangan mereka sendiri perlu ditonjolkan sebagai penanda aras jangkaan guru dan teladan baik. Sebaliknya, kelompok yang cenderung ke arah sambil lewa dan tidak serius dalam pembelajaran perlu dipujuk sehingga nampak kerugian yang sedang mereka bawa kepada kelompok sendiri dan rakan lain.
Pentaksiran atau pengukuran pembelajaran secara formatif dan sumatif dilaksanakan secara berterusan lagi terancang. Jika pelajar dibiarkan belajar secara pasif, ukuran palsu atau syok sendiri akan berlaku. Guru menyangka penyampaian sudah berjaya, manakala pelajar menyangka bahawa mereka sudah boleh menjelaskan semula isi pelajaran dengan lancar.
Memandangkan jangka masa penggal yang begitu singkat, pihak sekolah hanya sempat mentadbir sekali sahaja ujian bulanan atau penilaian dan sekali peperiksaan percubaan sebagai pengukuran sumatif. Semasa sesi kuliah dan tutorial, guru harus memperuntukkan slot masa terhad yang terancang untuk pengukuran formatif dalam bentuk soal jawab lisan, latih tubi dan kuiz bertulis ringkas. Kedua-dua bentuk pengukuran tersebut menjadi asas untuk pembaharuan dan penambahbaikan dalam proses pembelajaran seterusnya.
Penegasan tentang kesahan dan kebolehpercayaan item penilaian memungkinkan pelajar prauniversiti meletakkan keyakinan yang tinggi tentang pengubahsuaian dan perubahan yang mreka harus laksanakan dengan segera. Kesibukan dan stamina yang harus diuruskan memang mencabar bagi pelajar yang menempuh usia kritikal dalam hidup mereka. Skor markah dan gred ujian bulanan atau penilaian menjadi penanda aras untuk pelajar mengenal pasti, melaksanakan dan mengukur keupayaan akademik, disiplin diri, kemahiran insaniah, kepimpinan dan modal insan masing-masing ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment