SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, January 7, 2018

BIODATA GURU BERSARA 2018 (GOODBYE TENSION, HELLO PENSION)



BIODATA PERSARAAN TUAN HAJI ABDUL QAIYUM
8 JANUARI 2018 (ISNIN)


Terima kasih sdra pengacara majlis, Cikgu A. Thedarajan

Assalamu alaikum warahamtullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat pagi

Yang Diraikan

Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz

Tetamu kehormat

Yang Berusaha Encik Gunalan a/l Tony
Pengetua SMK St Michael Ipoh

Brother Matthew Bay
Pengarah La Salle Centre Ipoh

Encik Thomas Wong, Naib Yang Dipertua PIBG

Barisan pentadbir sekolah
Guru dan pelajar SMK St Michael Ipoh sekalian

Saya berasa terhormat atas kesempatan untuk membaca biodata Yang Diraikan Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz, mantan Guru Kanan sains dan Matematik, SMK St Michael Ipoh sempena Majlis Persaraan beliau pada pagi yang indah ini.

Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz dilahirkan pada tanggal 16 Februari 1962 di Tambun, Ipoh. Beliau anak ketiga belas daripada enam belas orang adik-beradik. Bapa Tuan Haji Abdul Qaiyum seorang nazir sekolah, manakala ibu beliau suri rumah tangga.

Tuan Haji Abdul Qaiyum menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tambun, Ipoh antara tahun 1969 hingga tahun 1974. Persekolahan menengah beliau sepenuhnya di SMK Raja Chulan, Ipoh antara tahun 1972 - 1979.
Tuan Haji Abdul Qaiyum kemudiannya diterima masuk ke Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia, UPM) dan dianugerahkan Diploma Sains dengan Pendidikan Matematik pada tahun 1982. Beliau menamatkan pengajian ijazah asas di Universiti Sains Malaysia dengan pengkhususan utama Biologi dan minor Ekonomi. Tuan Haji Abdul Qaiyum juga menyambung pengajian ijazah tinggi di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Penempatan pertama Tuan Haji Abdul Qaiyum  ialah di SMK Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang dari tahun 1985 hingga 1987. Setelah dua tahun, Tuan Haji Abdul Qaiyum berjaya kembali ke Ipoh dan berkhidmat di SMK Anderson selama 21 tahun, iaitu dari tahun 1988 hingga tahun 2009.

Perjananan Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz dalam saf kepimpinan sekolah bermula pada tahun 2009 apabila dinaikkan pangkat sebagai Guru Kanan Sains dan Matematik di SMK St. Michael, Ipoh.  SMK St. Michael, Ipoh amat bertuah kerana pengalaman kepimpinan cemerlang Tuan Haji Abdu Qaiyum bin Abdul Aziz di sekolah ini sehingga beliau  bersara pilihan pada tanggal 1 Januari 2018 yang lalu. Beliau telah berkecimpung dalam kerjaya keguruan selama 32 tahun.

Hadirin yang dimuliakan,

Beralih kepada hal kekeluargaan Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz

Berstatus bapa tunggal, Tuan Haji Abdul Qaiyum mempunyai 6 orang anak semuanya lelaki. Anak sulung beliau, __________________________________ meneruskan legasi ibu bapa mereka sebagai guru, sudah berumah tangga dan menerima kehadiran cahaya mata perempuan yang merupakan cucu pertama Tuan Haji Abdul Qaiyum. Anak-anak beliau yang lain masih belajar, termasuk yang bongsu di bangku sekolah rendah. Maka, kesibukan Tuan Haji Abdul Qaiyum tidak berkurangan walaupun setelah bersara.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Kecemerlangan perkhidmatan keguruan dan kepimpinan Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz telah diiktiraf menerusi Anugerah Kecemerlangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2003 di SMK Anderson, dan pada tahun 2012 di SMK St. Michael.


Kenangan terindah

Kenderaan Tuan Haji Abdul Qaiyum berulang-alik ke sekolah sehingga bersara ialah Toyota Unser, MPV keluarga besar yang begitu berjasa.Menunaikan fardu haji ketika berkhidmat di SMK St. Michael, Ipoh pada tahun ______.

Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz telah berjaya memimpin bidang sains dan matematik di SMK St. Michael ini dengan cemerlang sekali. Beliau berjaya menggembleng permuafakatan guru sains dan matematik yang rata-ratanya memiliki pengalaman, pencapaian dan latar belakang yang hebat belaka dalam memacu kecemerlangan pembelajaran, pencapaian peperiksaan awam dan koakademik dalam kalangan Michaelian. Gaya komunikasi Tuan Haji Abdul Qaiyum yang bersahaja dan mesra bukan sahaja disenangi oleh guru-guru sains dan matematik, bahkan memberi inspirasi kepada Michaelian untuk berusaha gigih dalam pembelajaran di samping menghargai segala usaha pembaharuan atau inovasi sains dan matematik dalam kehidupan seharian mereka.

Sebagai anggota berpengalaman dalam pasukan pentadbiran sekolah, Tuan Haji Abdul Qaiyum turut melaksanakan kepimpinan kurikulum, perancangan kurikulum dan kepakaran rundingan profesionalisme keguruan di SMI. Beliau datang awal ke sekolah setiap pagi bagi membantu tuan pengetua dalam memastikan ketetapan MMI tercapai. Saban pagi menerusi aplikasi telegram, beliau memuat naik senarai guru ganti sebelum edaran rasmi dikeluarkan.

Demikian antara butiran biodata Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz yang sempat saya bacakan dalam majlis persaraan pada pagi ini. Secara peribadi, saya menganggap Tuan Haji Abdul Qaiyum bin Abdul Aziz sebagai seorang mentor, pemimpin dan sahabat yang sangat berkesan.

Izinkan saya mengakhiri tugasan di pentas ini dengan serangkap pantun:

Dari Serdang menuju Bangi
Singgah sebentar di Salak Selatan
Tuan Haji Abdul Qaiyum kami sanjungi
Budi tuan abadi dalam ingatan

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

No comments: