SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

HIKAYAT LANGLANG BUANA KOMSAS TINGKATAN 5 (HOW TO ENJOY READING AN EPIC STORY?)

Sinopsis

Mimpi Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi berselimut bunga ditafsirkan oleh dayangnya sebagai petanda akan bersuami. Ketika mandi dan berbedak di sebuah tasik yang dihuni oleh Raja Indera Bumaya (masyarakat bunian), puteri terpandang seekor bayan bermata intan, berkaki emas dan bersuara merdu. Titah supaya dayang menangkapnya gagal, sebaliknya bayan terus hinggap di tangan puteri. Bayan terus berpantun memuji-muji "tuan"nya, iaitu dirinya sendiri (jelmaan Raja Indera Bumaya). Bayan dibawa ke istana, kemudian bertukar kepada nuri dan seterusnya bunga. Apabila puteri mencium bunga, Raja Indera Bumaya pun muncul. Gurau senda dan tawa lelaki dari istana puteri didengari menteri dan hulubalang yang berkawal. Apabila disembahkan kepada Raja Bahrum Dewa, baginda terus murka. Istana puteri dikepung, dan puteri menangis. Raja Indera Bumaya pun mengeluarkan 4,000 ekor jin daripada gemala hikmat untuk berperang dengan tentera ayahanda puteri.

Cara Mempelajari Prosa Klasik

Murid tidak perlu menghafaz cerita dengan terperinci. Memadai pembacaan dibuat perenggan demi perenggan bagi mengungkapkan kembali akan isi cerita. Hanya kemahiran mengenal pasti perkataan atau rangkai kata tertentu, dan kemahiran merangkakan semula kisah yang dipaparkan yang perlu diberi perhatian.

Selain isi petikan, pembelajaran prosa klasik juga menjurus kepada perbincangan kbkk. Jarang-jarang sangat elemen komsas seperti perwatakan, latar, nilai, persoalan dan pengajaran akan diuji dalam peperiksaan. Andainya ada pun, kebiasaannya hanya terhad kepada petikan soalan, tidak merujuk keseluruhan prosa dalam antologi.

Harus diperhatikan bahawa perbincangan kbkk hendaklah menggunakan perspektif zaman penulisan prosa klasik. Barang diingat bahawa kebanyakan naskhah klasik dipengaruhi oleh sastera istana yang bersumberkan hikayat lisan. Selain itu, prosa klasik juga kuat dipengaruhi hikayat timur tengah seperti Lailah wal lailah (Hikayat Seribu Satu Malam, Arabian Nights) dan epik Hindu, Mahabrata dan Ramayana.

Generasi dahulu kala tidak memiliki teknologi hiburan sepertimana sekarang, bahkan media cetak dan media elektronik belum muncul secara meluas. Maka, setelah lelah membanting tulang di bendang dan kebun, mereka berkumpul mendengar hikayat secara lisan daripada penyampai hikayat yang digelar sebagai awang batil, pawang ana, penglipur lara atau tuk selampit. Kalau dibandingkan dengan zaman sekarang mungkinlah pemuisi, penceramah atau ahli jenaka (stand-in comedian).

Sejajar dengan fungsi hikayat sebagai hiburan, unsur mitos (myth) seperti magik, sakti dan sumpahan begitu banyak diselitkan. Dari segi psikologi, tingkah laku sedemikian dipanggil sebagai helah bela diri (defence mechanism), atau pelarian (escapism). Masing-masing mahu beralih sebentar ke alam fantasi atau khayalan supaya dunia sebenar kesusahan, penat lesu dan penderitaan dapat dilupakan seketika.

Murid mempelajari prosa klasik dengan tujuan mengambil iktibar dan pengajaran. Orang-orang dahulu kala memang kaya dengan falsafah, kiasan, pepatah petitih, peribahasa, tamsilan dan nasihat yang disampaikan secara tersirat. Kehalusan budi masyarakat sangat dijaga supaya mesej yang hendak dikemukakan dapat diterima tanpa rasa diaibkan.

Contoh Perbincangan:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan dengan menggunakan ayat sendiri.

        Setelah sudah berkata-kata itu maka tuan puteri itu pun kembali ke mahligainya membawa bayan itu. Maka disuruh oleh tuan puteri itu perbuatkan sangkarnya daripada emas sepuluh mutu dan bertatahkan ratna mutu manikam berumbai-umbaikan mutiara. Setelah sudah sangkar itu maka bayan itu pun dimasukkan ke dalam sangkarnya itu. Setelah hari malam maka bayan itu pun dikeluarkan dari dalam sangkarnya itu. Maka ia pun datang ke hadapan tuan puteri. Maka Dang Siti Mengerna pun berdatang sembah kepada tuan puteri, "Ya tuanku tuan puteri, lihatlah bayan ini jinak kepada tuan puteri." Maka sahut bayan itu, "Hai Dang Siti Mengerna, di manakah tiada jinak kerana beta beroleh tuan yang baik parasnya." Maka dayang-dayang pun sekalian ramai-ramai tertawa mendengar kata bayan itu. Maka kata bayan, "Ya tuanku puteri, hampirlah tuan beta itu akan datang menghadap tuan." Maka kata tuan puteri, "Manakah kala tuanmu itu akan datang ke mari?" Maka sahut bayan itu, "Pada bulan ini dan ketika ini juga tuan patik akan datang ke mari." Setelah tuan puteri mendengar kata bayan itu maka terlalu sukacita hendak melihat Raja Indera Bumaya itu. Setelah seketika itu maka bayan itu pun menjadi nuri datang ke atas ribaan tuan puteri itu seraya berpantun, demikian bunyinya:
        
          Pergi ke padang membakar puan,
                Ikat timba bertali-tali,
          Datang dagang menghadap tuan,
                Minta perhamba sekali-kali.

(Dipetik daripada Mohd. Yusof Md. Nor [penyelenggara]: 
Hikayat Langlang Buana dalam Antologi Dirgahayu  Bahasaku, muka surat 36 - 47)

i)    Berikan maksud baik parasnya.       (2 markah)

ii)   Apakah yang berlaku kepada bayan setelah di bawa balik ke mahligai tuan puteri?     (3 markah)

iii)   Jika anda ialah penasihat tuan puteri, cadangkan tiga cara untuk bertemu Raja Indera Bumaya.     (4 markah)

Friday, January 7, 2011

MENGHORMATI GURU (CHARACTER SCHOOL)

Ipoh, Jumaat, 7.1.2011 / 2 Safar 1432

Satu daripada adab belajar yang paling asas ialah menghormati guru. Hubungan yang harmonis antara murid dengan guru akan menjamin proses pemerolehan ilmu yang benar, berguna dan berkat. Bukan murid sahaja yang dituntut menghormati guru, malah ibu bapa kepada murid juga mesti berbuat demikian.

Demikian antara intisari khutbah Jumaat di sebuah masjid yang berjiran dengan Politeknik Ungku Omar dan Taman Cempaka dekat sini. Walaupun status sosioekonomi dan kelayakan akademik ibu bapa mungkin melebihi guru, adab berkenaan masih wajib dipatuhi. Ibu bapa berjaya melaksanakan tugas dan aktiviti mencari rezeki dengan senang hati justeru anak-anak mereka berada dalam pengawasan kaum guru di sekolah. 

Cuti persekolahan yang panjang sepatutnya menggembirakan semua ibu bapa kerana dapat merapatkan hubungan seisi keluarga. Namun, kedapatan juga ibu bapa yang pening bagi mengisi aktiviti masa senggang anak mereka di rumah. Ibu bapa menghadapi beberapa orang anak sendiri, sedangkan guru menghadapi puluhan anak orang dalam sebuah bilik darjah yang boleh dianggap ramai.

Besar jangan disangka bapa, kecil jangan disangka anak. Dalam konteks di sekolah, saiz anak murid mungkin jauh mengatasi guru. Sumber makanan berkhasiat dan khidmat rawatan yang termaju menyumbang terhadap paradoks yang berlaku itu. 

Secara umumnya, di seluruh dunia tahap rasa hormat murid kepada guru masih membanggakan. Kes-kes terpencil murid ingkar tidak seyogia memadamkan hakikat tadi. Jika tidak, sudah tentu banyak sekolah akan ditutup, dan permintaan untuk jawatan keguruan akan merudum dengan teruknya.

Sebelum diterima masuk ke universiti, menceburi alam pekerjaan atau menganggotai organisasi profesional, seseorang itu pernah bergelar murid sekolah selama lebih sepuluh tahun. Tidak kurang 50 orang guru membimbing mereka sejak prasekolah hinggalah menengah rendah, atas dan prauniversiti. Kelayakan pelbagai sijil yang diterima juga kena melepasi proses pentaksiran oleh para guru yang tidak mereka kenali.

Penghormatan murid terhadap guru menyumbang terhadap aktiviti pembelajaran yang terbaik. Sebenarnya terdapat banyak bentuk rasa hormat yang boleh ditunjukkan. Murid hendaklah sentiasa bersedia membantu guru apabila diperlukan...

Thursday, January 6, 2011

UCAPAN GURU BERTUGAS MINGGU KEDUA 2011 (DUTY TEACHER ON STAGE)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua

Penolong-penong Kanan, guru kanan, guru,

pemimpin pelajar, dan seterusnya pelajar yang dikasihi sekalian

Masa itu emas. Masa itu ibarat mata pedang. Masa ialah kehidupan. Demikian antara metafora dan peribahasa tentang kepentingan masa.

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Minggu pertama dalam dekad kedua abad 21, iaitu minggu lepas telah pun makin jauh meninggalkan kita. Hari ini, Isnin 10 Januari 2011, bersamaan dengan 5 Safar 1432 Hijriyyah, kita memulakan langkah cemerlang minggu yang kedua.

Pada minggu ini, saya, Cikgu _______________________ dan Cikgu __________________ ialah guru bertugas mingguan. Secara amnya, guru bertugas akan membantu pengurusan harian sekolah dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang terbaik, selain memberikan perhatian terhadap hal-ehwal kebajikan para pelajar. Justeru, pelajar dialu-alukan berjumpa dengan guru bertugas andainya terdapat sebarang perkara yang berkaitan.

Saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan tahniah justeru pelajar sanggup berkorban bangun awal pagi berkemas diri menuju sekolah. Maka, saya yakin bahawa pelajar tidak mahu membiarkan pengorbanan dan susah payah itu berlalu sia-sia tanpa pulangan yang setimpal. Selaku guru bertugas, saya menyeru pelajar supaya sentiasa mengingatkan diri sendiri akan pengorbanan dan susah payah yang dilalui saban hari sebelum menetapkan hala tuju dan tingkah laku sepanjang sesi persekolahan di sini.

Bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang terbaik sepanjang minggu kedua ini, guru bertugas akan memberi perhatian terhadap objektif berikut:

1.  Keselamatan pelajar semasa tiba di pintu masuk utama sekolah dan ketika hendak balik di tahap tertinggi - petunjuknya pelajar mematuhi peraturan am jalan raya dan mematuhi arahan warden trafik sekolah;

2.  Kebersihan dan keceriaan bilik darjah menggambarkan mentaliti modal insan minda kelas pertama - petunjuk: memenuhi kelayakan dan penarafan sebagai tempat belajar yang selesa dan sihat, guru memberikan laporan positif; dan

3.  Aktiviti pembelajaran disokong oleh tahap disiplin, sahsiah dan semangat Michaelians yang tinggi - petunjuk: sistem demerit menolong pelajar bebas daripada kacau ganggu, jumlah aduan menurun.

Saya berharap dan merayu agar sekalian pelajar memberikan kerjasama dan sokongan yang padu supaya minggu kedua ini menjadi ingatan dan kenang-kenangan yang manis sepanjang zaman persekolahan. Teruslah menyumbang terhadap pengukuhan jenama sekolah kita sebagai sekolah berkesan, sekolah cemerlang, sekolah impian, serta menjadi sebutan yang dicemburui oleh sekolah-sekolah lain. Ayuh, kita mampu melakukannya.

            Nyiru dibawa biru berbelang
            Menyerlah citra lelaki anakanda
            Minggu kedua menuju cemerlang
            Sekolah kita mendaki persada

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

INTERLOK: KELUARGA CING HUAT BAHAGIAN 1 (HAVE-NOTS TURNED AFFLUENTS)

Pendahuluan

Hari ini media melaporkan bahawa menteri pelajaran dan dua orang timbalannya mengeluarkan kenyataan yang berasingan tentang penggunaan novel Interlok untuk tingkatan 5. Kontroversi yang dicetuskan terhadap novel Interlok yang sekian lama tidak pernah dikenali menyebabkan banyak pertanyaan diajukan kepada guru bahasa walaupun sebenarnya Interlok ialah teks novel komsas bagi zon Lembah Kelang (Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya, Selangor dan negeri Sembilan). Sementara keputusan lain diambil, murid perlu mengandaikan bahawa Interlok masih sah sebagai teks novel komsas mereka.

Secara mudah, novel atau genre kreatif yang lain ialah gambaran atau lukisan tentang sesuatu subjek secara perkataan, frasa dan ayat. Dengan itu, novel yang beradab boleh dianggap sebagai cerminan sosial yang digarap secara kreatif dan bertanggungjawab. Interlok termasuk dalam kategori naskhah kreatif berunsur sejarah yang sangat baik untuk diketengahkan kepada generasi muda supaya mempelajari proses pembentukan sesebuah masyarakat yang disampaikan menerusi fikiran, perasaan dan tingkah laku watak yang ditampilkan.

Watak dan Perwatakan Keluarga Cing Huat


1   Lee Kim Lock (KL)
Bapa kepada Cing Huat. Tidak berkebolehan menulis dan membaca. Mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman di tanah besar China (daerah Cangcow) setelah tanaman padi musnah akibat serangan belalang. KL menaiki tongkang menuju "rantau selatan" untuk mencuba nasib. Di "Sin Cia Pu" (Singapura), KL bermula sebagai penarik lanca (lihat bahagian tengah kulit hadapan novel), tukang angkat najis dan kemudiannya kuli pelabuhan. Setelah 30 bulan, KL diajak berhijrah ke Melaka sebagai kuli lombong bijih timah. KL tidak mudah mempercayai orang lain setelah ditipu oleh perempuan gemuk Cina yang enggan membayar tambang lanca, dan penipuan hutang oleh broker yang membawanya ke rantau selatan.


2   Cing Huat (CH)
Mengikut bapanya meninggalkan Cina ketika berusia tujuh tahun setengah. Mabuk laut, melainkan ketika pelayaran menuju Muar. Bekerja sebagai pelayan di kedai kopi Gim Thong. Rajin menolong orang, contohnya mengangkat air untuk perempuan Hakka di atas kapal (muka surat 122). CH juga buta huruf, tetapi menaruh impian yang besar.


3    "Paman" Kok Leng (PKL)
("Paman" ialah panggilan untuk pak cik dalam masyarakat Jawa). PKL broker yang memperoleh untung besar dengan mengutip tambang berlipat kali ganda daripada penduduk Tung San (tanah besar China) yang sanggup mengikutnya ke rantau selatan. Mengenakan hutang pokok dan bunga kepada sekalian orang yang ditolongi. 


4    Kim Sui (KS)
Anak saudara Paman Kok Leng. Kaki judi yang licik. Walaupun menuduh pamannya "tukang tipu", KS sendiri mengambil bayaran apabila menolong Kim Lock mendapatkan Ah Seng, ganti tempatnya sebagai kuli pelabuhan. KS digambarkan sebagai cergas dan sigap dalam sesuatu urusan.


5   Syaitan putih
Gelaran yang diberi kepada pegawai dan masyarakat kulit putih yang sedang berkuasa di Tanah Melayu. 

Beberapa peristiwa menarik


1   Penduduk kampung di Cangcow fobia terhadap sebarang petanda mala petaka alam. Demi melihat awan hitam berarak, mereka keluar menerpa petak sawah masing-masing, walaupun padi masih belum boleh dipotong. Apabila hujan tidak turun, masing-masing tertawa akan kebodohan diri sendiri.

2   Kim Lock terus mendesak Paman Kok Leng untuk membawa Cing Huat sekali ke rantau selatan. Dia tidak mahu berpisah dengan anaknya itu. Kim Lock sanggup membayar tambangnya walaupun duitnya tidaklah sebanyak mana.

3   Kejadian hujan lebat memaksa puak Hakka dan Hokkien melupakan sebentar permusuhan mereka di tanah besar China untuk menyiapkan perlindungan di dek kapal. Permusuhan hanya berlaku di dalam hati kerana soal duit tidak ada musuh.

4    Ketika Kim Lock berasa seperti kuda menarik kereta apabila kekok memegang lanca sewa, tauke lanca memberitahunya bahawa dia mesti berlari untuk mencari duit, bukannya berjalan. Maka, Kim Lock melupakan niatnya untuk menjadi peminta sedekah.

5    Kim Lock mencium upah pertamanya sebagai penarik lanca daripada dua orang penumpang syaitan putih. Duit 20 sen perak itu dijaganya dengan baik.

6   Kim Lock ditipu oleh perempuan Cina gemuk yang menggunakan taktik maki hamun untuk menaiki lanca tanpa membayar tambang. Kim Lock cuba meminta duit tambang, tetapi tidak dihiraukan.

7   Kim Lock menolak saranan Paman Kok Leng untuk menjual Cing Huat kepada tauke kedai kopi Gim Thong, walaupun ketika itu mabuk akibat minum samsu. Hutangnya dianggap langsai jika dia sanggup berbuat demikian.

8    Kim Lock enggan memberitahu jumlah duit yang dimilikinya walaupun didesak oleh Kim Sui untuk menentukan jumlah tambang ke Ma-la-ca (Melaka). Kim Lock juga makin berhati-hati untuk mempercayai sesiapa jua, termasuk kepada anaknya sendiri, Cing Huat.

Latihan Akses Kendiri


Berdasarkan nota di atas, murid digalakkan menyenaraikan segala elemen komsas seperti watak dan perwatakan, latar masyarakat, nilai, persoalan dan pengajaran bagi setiap satu peristiwa. Sila rujuk nota-nota terdahulu tentang cara menulis elemen komsas bagi peristiwa. Huraian kepada elemen kbkk juga boleh menggunakan contoh peristiwa yang sama.

Selamat belajar...

Wednesday, January 5, 2011

MENDAFTAR DI SBP TERBAIK (STAR RATED SCHOOL REGISTRATION)

Ipoh, Rabu: 5.1.11 / 30 Muharram 1432

Pelajar yang mementingkan kecemerlangan pendidikan pasti memasang impian untuk diterima masuk ke institusi pengajian ternama sama ada sekolah, kolej, mahupun universiti. Sejak al-Azhar, Mesir mempelopori tradisi pengajian tinggi, kedudukan dan penarafan sesebuah universiti di peringkat antarabangsa sentiasa mendapat perhatian dunia cendekia, penaja biasiswa dan organisasi yang hebat-hebat. Harvard, Massachussete Institute of Technology, Princeton, Yale (Amerika Syarikat), Oxford, Cambridge, London School of Economics (Britain) dan Royal College of Medicine, Dublin (Ireland) ialah contoh universiti yang telah memiliki jenama kukuh yang menjadi rebutan pelajar terbaik seluruh dunia.

Bagaimanakah dengan pemilihan sekolah oleh murid dan ibu bapa, khususnya di negara kita? Walaupun pihak berkuasa pendidikan sudah jenuh memberi jaminan bahawa semua sekolah bantuan kerajaan dan bantuan modal adalah setara dari segi kelayakan tenaga pengajar dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran, ibu bapa tetap berebut-rebut mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah yang dipercayai menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik. Maka, sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dan sekolah bestari tahfiz menduduki senarai teratas pilihan mereka.
Dalam kalangan berpuluh-puluh SBP, 7 buah daripadanya bertaraf premier yang membuat pengambilan pelajar dari seluruh negara berbanding SBP lain lebih bertumpu kepada calon-calon tempatan dan berhampiran. Beberapa buah MRSM pula diprojekkan sebagai MRSM super. Sekolah bestari tahfiz seperti Imtiaz Yayasan Terengganu mensyaratkan tapisan yang cukup ketat kepada pemohon dari segi penguasaan bacaan al-Quran dan tulisan jawi.
Dato' Nasir, presiden Staroba

Salah sebuah SBP premier ialah Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star) yang ditubuhkan setahun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Alam Shah, Putrajaya dan Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Star dikhususkan untuk murid lelaki. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya (dahulu Kolam Ayer), Tun Fatimah, Johor Bahru, Kurshiah Seremban pula dikhususkan untuk murid perempuan.

Pendaftaran SBP dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini. Di Star, sebanyak 120 tempat ditawarkan kepada murid cemerlang UPSR merangkumi pencapaian akademik, kepimpinan dan sukan. Daripada jumlah itu, hanya 20 tempat diperuntukkan untuk anak negeri Perak.
Proses pendaftaran bermula seawal pukul 8.30 pagi di dewan besar Star. Murid telah siap diagihkan kepada empat buah kelas, S, T, A dan R. Urusan pendaftaran dikendalikan oleh guru tingkatan masing-masing dengan bantuan jawatankuasa dalam kalangan murid senior.
Sebaik berada dekat meja pendaftaran, akan muncul seorang murid senior memperkenalkan diri sebagai abang angkat kepada pelajar baharu berdasarkan ketetapan pihak sekolah. Contohnya, Ahmad Nuruddin menerima Muhammad Iqbal sebagai abang angkat. Setiap abang angkat akan membantu pelajar baharu dan ibu bapa sepanjang proses pendaftaran hinggalah menyiapkan penginapan kamar asrama. 
Perbelanjaan untuk membeli kelengkapan sekolah dan asrama sahaja melebihi RM250, selain persiapan sendiri sebelum mendaftar. Walau bagaimanapun, 30 peratus murid baharu Star ambilan khas dengan pendapatan isi rumah RM700 ke bawah sebulan menerima bantuan kewangan sepenuhnya. Kebanyakan mereka datang dari Kelantan, serta terdapat beberapa murid orang Asli, kesemuanya mencatat 5A dalam UPSR selain memiliki bakat lain yang boleh diketengahkan.
Haji Hashim ketika meninjau proses pendaftaran

Dalam sesi taklimat kepada ibu bapa, Tuan Haji Hashim Abdul Karim menegaskan bahawa Star tidak pernah berkompromi tentang kecemerlangan. Buktinya, selama 3 tahun berturut-turut Star menduduki tempat pertama pencapaian PMR negeri Perak, dan hanya dipisahkan dengan selisih yang kecil di belakang Alam Shah, serta SBP premier perempuan yang lain di peringkat kebangsaan. Star juga berjaya menghantar beberapa kumpulan murid menyertai program antarabangsa di Jepun, Itali dan United Kingdom.
Selain Haji Hashim sebagai bekas murid Star, pengerusi PIBG (CEO Tradewinds)  juga demikian. Sementara itu, presiden bekas murid (Staroba), CEO Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sanggup meluangkan masa bagi memberi motivasi kepada ibu bapa dan murid. Dato' Nasir turut mengimbas majlis graduasi kohort ke-50 Star baru-baru ini yang menandakan anggota Staroba telah mencecah angka 5,000 orang semuanya.

Ibu bapa dan anggota keluarga dibenarkan mengiringi anak mengemaskan katil dan almari di kamar asrama. Kesempatan itu juga digunakan untuk bertegur sapa dengan anggota rombongan murid yang sekamar. Masing-masing melafazkan rasa syukur dan lega justeru proses pendaftaran di Star begitu lancar dan teratur...

Tuesday, January 4, 2011

KEMASUKAN UNIVERSITI BULAN SEPTEMBER MERESAHKAN IBU BAPA? (LATE HIGHER EDUCATION ENROLMENT DEBATE)

Berita bahawa pengambilan institusi pengajian tinggi awam dan swasta diselaraskan dengan amalan antarabangsa, iaitu bermula pada bulan September mengakibatkan tempoh "rehat" yang lebih panjang kepada pelajar yang baharu menamatkan pengajian menengah atas (SPM) dan prauniversiti (STPM). Mereka selesai menduduki peperiksaan pada suku ketiga Disember, memperoleh keputusan pada pertengahan Februari, atau awal Mac. Tempoh berkenaan hampir bersamaan tempoh kandungan wanita hamil cukup bulan dan bila-bila masa sahaja boleh melahirkan anak.
kampus UiTM Tapah dalam pembinaan

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) yang melaksanakan penyelidikan kemungkinan (feasible study) pastinya membuat perubahan itu dengan dapatan yang sukar ditolak begitu sahaja. Misalannya, KPTM mendapati bahawa dengan melewatkan tarikh mendaftar itu membolehkan Malaysia merebut 150,000 orang pelajar asing yang selama ini bertumpu ke Amerika Syarikat, Britain, India dan Mesir. Universiti awam dan universiti swasta di Malaysia diberi pengiktirafan (akredetasi) dan penarafan yang begitu ketat bagi memastikan hasrat untuk menjual negara sebagai hub pengajian tinggi segera tercapai.

Sebelum muncul Universiti Pulau Pinang (sekarang USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), negara hanya ada Universiti Malaya (UM). Sistem pengajian yang digunakan ialah secara penggal, sama seperti amalan universiti di United Kingdom. Bagi mendapat ijazah kepujian kelas pertama, seseorang siswazah perlu mencatat purata gred A dalam semua kursus yang dipilih. 

Ijazah kedua dua atas (tinggi) memerlukan purata B bagi keseluruhan kursus, manakala bagi kelas dua rendah ialah purata C. Ijazah kepujian kelas tiga dengan purata minimum gred D hanya dianugerahkan kepada siswazah profesional dalam bidang perakaunan, dan perubatan, termasuk farmasi dan pergigian. Pada masa dahulu, agak ramai siswazah yang tamat pengajian dengan ijazah am, iaitu tanpa kepujian. 
Kini, terdapat sejumlah hampir 700 buah IPTS yang terdiri daripada kolej, kolej universiti, universiti dan cawangan universiti terkemuka asing seperti Monash dan Nottingham. Bilangan pensyarah yang berkelulusan sarjana, dan doktor falsafah sudah mencecah angka 30,000 orang. Jatuh bangun sesebuah IPTS bergantung kepada enrolmen pelajar yang berjaya didaftarkan.

Di pihak ibu bapa, mereka risaukan tempoh masa yang begitu panjang untuk anak-anak mereka jika tidak terpilih mengikuti latihan khidmat negara atau tidak diterima bekerja sambilan. Pihak KPTM mungkin telah memikirkan pilihan supaya calon-calon siswa tempatan itu berpeluang mengikuti pengajian luar musim untuk tujuan pindahan jam kredit. Jika sebaliknya, tempoh hampir sembilan bulan itu sangatlah menyeksakan...

Monday, January 3, 2011

KEMBARA AMIRA: PERISTIWA PENTING BAB 1 (FIRST CHAPTER OF FORM 5'S NOVEL)

Pengenalan

Pembelajaran novel komponen sastera (komsas) lebih menjurus kepada kajian secara asas seperti tema, watak dan perwatakan, latar (masyarakat, tempat, masa), nilai, pengajaran, persoalan, teknik penceritaan dan unsur-unsur kbkk. Aspek bahasa seperti diksi, analisis plot dan kajian mendalam tentang aspek sastera yang lain kalaupun ada hanyalah disentuh secara sepintas lalu. Pembelajaran lebih terarah kepada penggunaan peristiwa yang dipaparkan sebagai hujah atau huraian kepada bidang kajian yang disebutkan.

Novel Kembara Amira ditulis dalam 27 bab yang tidak diberi subjudul sepertimana teks novel tingkatan zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), iaitu Azfa Hanani. Bab 1 (muka surat 1 - 14) memaparkan beberapa peristiwa yang menjadi daya tarikan novel seperti pengenalan watak, arah penceritaan dan mewujudkan perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca. Sebahagian daripada peristiwa dalam bab 1 Kembara Amira merupakan imbas kembali watak Amira dan juga watak Malique.

Peristiwa 1

Amira mengimbas kembali kejayaannya memancing perhatian Jacinta supaya ikut serta dalam ekspedisi arkeologi pelajar tahun akhir sebuah universiti seliaan ibunya. Amira menggunakan minat (obses) Jacintha terhadap batu kuarza.

Watak:  Amira

Perwatakan: Bijak / prihatin / peka

Latar masyarakat:  Masyarakat yang bijak / prihatin / peka

Nilai:  Kebijaksanaan / keprihatinan / kepekaan

Persoalan:  Kebijaksanaan / keprihatinan / kepekaan terhadap minat orang lain

Pengajaran:  Kita hendaklah peka / prihatin / bijak memahami minat / kecenderungan orang lain


Peristiwa 2

Amira menggunakan kemudahan akses internet (jalur lebar) tanpa wayar di dalam koc / gerabak kereta api untuk berutus e-mel dan mengemas kini laman sesawang (web) milik ibunya.

Perwatakan:  Bijak (memenuhi masa) / tidak suka membuang masa

Latar masyarakat:  Masyarakat yang bijak menggunakan masa luang

Nilai:  Kesungguhan / kebijaksanaan

Persoalan:  Kebijaksanaan dalam menggunakan masa terluang

Pengajaran:  Kita hendaklah bijak menggunakan masa terluang / kita janganlah suka membuang masa


Peristiwa 3

Dr. Zawawi bergegas ke khemah pelajar bagi menyelamatkan tapak cari gali arkeologi. Jika terlambat, tapak-tapak berkenaan mungkin rosak akibat hujan lebat secara tiba-tiba itu.

Watak:  Dr. zawawi

Perwatakan:  Cekap / pantas / tangkas

Latar masyarakat:  Masyarakat yang cekap / pantas / tangkas

Nilai:  Kecekapan / kepantasan / ketangkasan

Persoalan:  Kecekapan / kepantasan / ketangkasan dalam bertindak

Pengajaran:  Kita hendaklah cekap / pantas / tangkas dalam sesuatu tindakan yang penting. 


Peristiwa 4

Profesor Zaidah telah menjangka peristiwa tali khemah diputuskan kerana berlaku persaingan di hutan. Namun, beliau cuba menyembunyikan perkara itu supaya tidak mengganggu tumpuan pelajar terhadap kerja-kerja cari gali arkeeologi.

Watak:  Profesor Zaidah / ibu Amira

Perwatakan:  Berpandangan jauh / tegas

Latar masyarakat:  Masyarakat yang berpandangan jauh

Nilai:  Kebijaksaan / kepekaan / keprihatinan / ketegasan

Persoalan:  Kebijaksanaan / keprihatinan / kepekaan / ketegasan dalam membuat keputusan

Pengajaran:  Kita hendaklah bijak / peka / prihatin / tegas dalam membuat keputusan


Peristiwa 5

Malique menunda hasratnya untuk mengenali lelaki yang ditemaninya meredah hutan pada tengah malam buta. Dia menunggu masa yang sesuai kerana pemergiannya pun semata-mata kerana didesak oleh ibunya.

Watak:  Malique

Perwatakan:  Berhati-hati / Teliti

Latar masyarakat:  Masyarakat yang berhati-hati / teliti

Nilai:  Ketelitian

Persoalan:  Ketelitian dalam bertindak

Pengajaran:  Kita hendaklah berhati-hati / teliti sebelum bertindak

EJAAN MANTAP, PENGECUALIAN (SPELLING ERRORS)

Sistem ejaan rumi Bahasa Melayu sudah dimantapkan menerusi majlis bersama bahasa Melayu Malaysia-Brunei-Indonesia-Singapura (Mabbims) sejak 1980-an lagi. Beberapa penyelarasan telah dipersetujui dalam usaha menyeragamkan ejaan di keempat-empat buah negara. Tiada lagi digraf ch, sh (Malaysia), dj (Indonesia), sebaliknya dirumuskan sejumlah 18 pola keselarasan vokal sebagai pedoman asas ejaan.

Setiap dasar, hukum, ketetapan atau peraturan kebiasaannya memiliki ruang untuk pengecualian. Dalam kaedah fiqh disebutkan al-masyaqqah tajlibut-taisir, iaitu kesusahan membolehkan kelonggaran, tetapi digandingkan dengan bi qadariha, iaitu berdasarkan kadar yang perlu sahaja (bagi menghapuskan kesusahan itu sahaja). Maka, demikian jugalah prinsip ejaan yang mantap juga tertakluk kepada beberapa pengecualian tertentu.
Perhatikan dahulu papan tanda arah dalam foto di atas. Adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang meluluskan papan tanda berkenaan telah merujuk prinsip ejaan yang mantap, atau mungkinkah wujud prinsip pengecualian? Adakah PBT boleh terlepas daripada penguatkuasaan akta bahasa kebangsaan di bawah bidang kuasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)?

Konvensyen ejaan kebanyakan bahasa menetapkan bahawa nama khas dikekalkan ejaan asalnya walaupun sistem ejaan secara keseluruhannya mengalami perubahan. Nama khas yang tertera dalam papan tanda di atas ialah:

          Bercham (Bercam?)


          Tasek  (Tasik?)


          Tambun


          Tanjung Rambutan  (Tanjong Rambutan?)


           Alor Setar  (Alur Star?)


           Simpang Pulai
           
           Gopeng

           Kuala Lumpur


Bercham dan Tasek mengekalkan ejaan asal. Namun, Tanjung Rambutan sebenarnya ialah Tanjong Rambutan. Mengapa pula Alor Setar, bukan Alur Star?

Alor ialah ejaan asal, manakala Setar dikatakan ialah sejenis pokok buah-buahan di sana. Setar bukanlah berasal daripada perkataan Star dalam bahasa Inggeris yang bererti bintang.


Ejaan Jalan (Sultan Azlan Shah) diringkaskan sebagai Jln. sahaja. Samalah juga halnya dengan Encik dieja sebagai En., Puan sebagai Pn., Haji sebagai Hj. dan banyak lagi. Akronim lain yang diterima ialah Psrn. (pesiaran, persiaran), Lrg. (lorong), Ckt. (Changkat), Tmn. (taman) dan Sg. (sungai).        


Bagaimanakah pula dengan ejaan Pusat Bandaraya? Jika berdasarkan prinsip yang dipersetujui bahawa ejaan bandaraya hanya boleh diterima jika digandingkan dengan nama khas, misalnya bandaraya Ipoh, bandaraya Kuala Lumpur dan bandaraya Melbourne. Jika sekadar nama am seperti dalam papan tanda di atas, ejaan yang betul ialah pusat bandar raya... apa kata munsyi bahasa?

Sunday, January 2, 2011

UCAPAN SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH (BACK TO SCHOOL)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua
Penolong-penolong Kanan, Guru Kanan, guru-guru,
pemimpin pelajar dan seterusnya pelajar yang dikasihi sekalian

Hari ini, Isnin 3 Januari 2011 bersamaan 26 Muharram 1432 Hijriyyah menandakan permulaan sesi persekolahan baru. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar, khususnya yang baru memasuki alam persekolahan menengah tingkatan satu. Seterusnya ucapan syabas dan tahniah saya tujukan kepada pelajar tingkatan empat yang baru sahaja menerima keputusan peperiksaan PMR tahun lalu.

Sesungguhnya perjuangan dan perjalanan kalian dalam proses pembelajaran masih jauh. Jika habis air tujuh lautan digunakan sebagai tinta untuk menulis segala butiran ilmu pengetahuan, nescaya masih belum mencukupi. Kita semua hendaklah menyedari bahawa dalam kesempatan usia yang cuma sebentar di dunia yang fana ini, keupayaan pemerolehan ilmu seseorang sangatlah terhad.

Justeru, kita hendaklah menghormati para ilmuan dalam segala bidang, termasuk guru-guru di sekolah. Walaupun maklumat boleh diakses dengan mudah di hujung jari, iaitu sekadar menekan papan kekunci komputer, pembelajaran di bilik darjah masih tidak boleh diganti dengan cara lain yang lebih berkesan. Bilik darjah ialah dunia kecil para pelajar untuk menerokai, menyaring dan mengorganisasi ilmu yang telah disusun berdasarkan keperluan kurikulum, nilai, dan aplikasi kehidupan di dunia sebenar.

Guru dan pelajar yang dihormati,

Saya ingin mengajak para pelajar di hadapan saya ini supaya berfikir sejenak tentang tujuan kalian datang semula ke sekolah awal-awal pagi sebegini. Mengapakah kalian sanggup bersusah payah bangun pagi membersihkan diri semata-mata untuk berkejar ke sekolah? Apakah yang menarik di sekolah kita?

Kalian bisa sahaja memilih untuk melayan mata, iaitu tidur semahu-mahunya, atau bersengkang mata di hadapan skrin televisyen dan komputer. Hakikatnya para pelajar berkorban meninggalkan keselesaan di rumah masing-masing, sebaliknya bersesak-sesak di bilik darjah, di kantin dan di pusat sumber sekolah. Berbaloikah pengorbanan kalian?

Sebagai pelajar yang bijak laksana, kalian pasti telah menetapkan objektif yang jelas sebelum hadir ke sekolah saban hari. Alangkah ruginya jika setelah sehari suntuk di sekolah, kalian balik dengan tangan kosong ke rumah. Sebarang bentuk pembaziran bakal merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, pembayar cukai dan negara. 

Sebenarnya pembelajaran tidak terbatas kepada penguasaan isi pelajaran semata-mata. Pembelajaran tersembunyi (hidden curriculum) dari segi etika, sahsiah, sikap, keperibadian, perawakan, penampilan, kerja berpasukan dan keberanian menyatakan pendapat ialah antara elemen-elemen modal insan utama yang diterapkan dalam sesi pembelajaran. penggemblengan bakat para pelajar juga sangat dititikberatkan di sekolah.

Pelajar yang dimuliakan,

Segala aktiviti yang dirancangkan oleh pihak sekolah akhirnya menjurus kepada pembelajaran. Maka, di samping mengikuti pembelajaran formal di bilik darjah, pelajar akan dibimbing menyertai kegiatan koakademik, kokurikulum dan sukan. Pelajar berpeluang mengasah bakat kepimpinan, interaksi, protokol dan meraih pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. 

Pencapaian sesebuah sekolah sangat bergantung kepada penglibatan pelajar segala bidang yang saya sebutkan sebentar tadi. Bagi menjayakan semua aktiviti sekolah, saya menyeru supaya semua pelajar, tanpa kecuali, memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi agar kita semua berjaya menikmati hasil pembelajaran yang diharapkan. Tunjukkan tahap disiplin yang tertinggi dalam penyertaan semua aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun 2011 kelak, Insya-Allah.

Terima kasih atas perhatian pelajar. Saya akhiri ucapan saya dengan Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saturday, January 1, 2011

SELAMAT TAHUN BARU, SELAMAT MEMASUKI DEKAD BARU (THE CHALLENGE OF NEW DECADE)

Akhirnya dekad kedua abad 21, atau alaf tiga kalendar Masihi muncul jua. Marilah kita memanjatkan rasa syukur ke Hadrat Ilahi bahawa dengan Inayah dan Kurnia-Nya kita dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Marilah kita memulakan tahun 2011 dengan tekad untuk menjadi insan yang lebih baik daripada tahun 2010 yang makin jauh meninggalkan kita.

Tanggungjawab terhadap diri sendiri, ibu bapa, keluarga, masyarakat, negara dan umat hendaklah sentiasa ditunaikan sehabis baik. Hiasi peribadi dengan sifat-sifat yang terpuji, dan hindari diri daripada sifat-sifat yang tercela. Kukuhkan sikap positif dan jauhi sikap negatif.

Jika anda ialah murid sekolah atau pelajar pengajian tinggi, ayuh sentiasa ingatkan diri tentang cogan kata kecemerlangan yang anda laung-laungkan. Anda hendaklah mara tanpa menghiraukan pesona-pesona yang mengajak anda melencong ke kancah kebinasaan. Bimbing diri anda mencintai ilmu, dan pisahkan diri anda daripada bisikan-bisikan palsu walaupun zahirnya mengkagumkan anda.

Jika anda pemimpin, bahagiakan pengikut-pengikut anda. Jangan khianati kepercayaan mereka dengan menganiaya dan menipu sesiapa pun. Harapan kepada anda terlalulah tingginya...

PANTUN TAHUN BARU 2011


          Jelapang padi di negeri Kedah
          Di sana sini orang berhuma
          Awal Muharram berlalulah sudah
          Giliran Januari kini menjelma


          Anak kecil melintas titi
          Bawa bersama si buah pauh
          Perjalanan masa tidak berhenti
          Meninggalkan sejarah makin menjauh


          Pasang umpan di hujung joran
          Dapat ikan terus ditimbang
          Tahun berlalu jadikan pelajaran
          Tahun ini harungi gelombang


           Ambil petai barang sepapan
           Patah lurus di bucu balang
           Walau pelbagai dugaan di depan
           Majulah terus menuju cemerlang


           Desa Cangkat rumpun terbentang
           Berkocak kali membelah jalan
           Usia meningkat diri pun matang
           Bijak bestari itulah bekalan


           Intai gugusan kumpulan bintang
           Teman angkasa permai pandangan
           Andai godaan berkekalan datang
           Iman dan taqwa bagai kemenangan