Sunday, February 24, 2013
KOREA SELATAN DAPAT PRESIDEN WANITA (EMINENCE FAMILY REIGNED IN POLITICS)
Akhirnya Korea Selatan menambah senarai negara yang dipimpin oleh kaum wanita apabila Park Geun-Hye, 61, mengangkat sumpah jawatan presiden negara kuasa baharu ekonomi dunia itu. Beliau anak bekas diktator, Park Chung-Hee, presiden pertama republik berkenaan (baca lebih lanjut di sini atau di sini). Berbeza dengan bapanya yang menduduki kerusi presiden menerusi rampasan kuasa tentera pada tahun 1961 sebelum dibunuh oleh ketua perisik beliau sendiri pada tahun 1979, Geun-Hye memenangi jawatan itu menerusi pilihan raya dengan menewaskan pencabar beliau, Moon Jae-in yang mewakili parti progresif.
sumber gambar di sini
Park Geun-Hye ialah siswazah kejuruteraan daripada Universiti Sogang dan tidak pernah berumah tangga. Pelantikan beliau ke jawatan presiden dijangka mengubah perspektif susun lapis masyarakat Korea Selatan yang masih taksub dengan nasab kaum lelaki dalam keluarga, kepimpinan dan korporat. Geun-Hye menimba pengalaman sebagai wanita pertama Korea Selatan selama lima tahun (1974 - 79) apabila ibu beliau terbunuh dalam satu serangan ejen Korea Utara yang ditujukan kepada presiden.
...
...
...
...
...
...
...
...
Saturday, February 23, 2013
MOTIVASI BELAJAR: KELEBIHAN PENGAJARAN SEBAYA (THE BEST WAY OF LEARNING)
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera
Salam sejahtera
Perbincangan kita pada kali ini dimulai dengan petikan kata-kata Profesor Dr. Muhaya Mohamad, seorang pakar pembedahan mata kaedah LASIK, merangkap pendakwah selebriti ulung di negara kita.. Dalam buku 'Pelajar Bertanya Prof. Dr. Muhaya Menjawab' pada halaman 18 ada menyatakan bahawa "Antara cara untuk gagal adalah tidak ada keupayaan untuk berdiskusi... cara kita ingat adalah 70 peratus daripada perbincangan. Sekiranya kita membaca seorang diri, kita dapat mengingati 10 peratus sahaja."
Profesor Muhaya seterusnya menyebut bahawa apabila mendengar (daripada orang lain atau rakaman suara sendiri?), 20 peratus lagi bertambah. Kombinasi mendengar dan membaca menghasilkan 50 peratus, manakala amali meningkatkan daya ingatan kepada 60 peratus dan akhir sekali mengajar orang lain, kita dapat mengingat 100 peratus.
Pendapat Profesor Muhaya itu bukanlah perkara baharu dalam maksim tentang pembelajaran (bacaan lanjut di sini). Malah, Conficius juga dikatakan berpendapat sedemikian, I hear and I forget. I see and I remember. I do and I understand (sumber di sini). Maka, antara kaedah pembelajaran di bilik darjah ialah bual bicara, forum, pembentangan, seminar dan kolokium.
Setiap kaedah pembelajaran memiliki kelebihan dan kekurangan yang tersendiri justeru setiap orang tertakluk kepada kecerdasan yang pelbagai (teori Horward Gardener, baca di sini). Selain itu, kita pernah mendengar tentang pembahagian hemisfera otak kanan dan hemisfera otak kiri (lakukan ujian sama ada anda lebih cenderung ke arah hemisfera otak kanan atau hemisfera otak kiri di sini). Memandangkan cara belajar yang tidak sama antara golongan murid, kaedah pendidikan khas sama ada untuk kumpulan bermasalah pembelajaran atau kumpulan pintar cerdas semakin dikembangkan.
Adik-adik yang dikasihi,
Untuk berlaku adil, mari kita meminjam kebijaksanaan Profesor Muhaya yang begitu kaya pengalaman dan telah terbukti sangat berjaya dalam bidang pengajian perubatan yang dianggap sebagai kritikal dan sukar. Tambahan pula, amalan kerjasama dan jemaah ialah suatu tuntutan agama. Tinggal lagi bahawa kita perlu memindahkan saranan bestari Profesor Muhaya dalam bentuk amalan sebenar.
Proses pengajaran sebaya yang dilaksanakan di bilik darjah diperhatikan mempunyai batasan dan kelemahan yang tersendiri akibat sikap murid yang cenderung berlumba-lumba untuk mendapat perhatian. Selain persediaan pembentang atau pengajar sebaya yang ala kadar, rakan-rakan yang lain tidak memberi perhatian dan sokongan sebagaimana yang diharapkan. Mereka bukan sahaja kurang yakin dengan kebolehan rakan sebaya, bahkan khuatir bahawa populariti si pengajar akan melonjak, lalu mengatasi dirinya.
Sebagai pakar pembelajaran yang peka, guru mencuba kaedah pengajaran dan pembelajaran sebaya yang bersifat mikro, iaitu dalam kumpulan kecil antara dua hingga empat orang. Tugasan yang diberi dibincangkan bersama dalam tempoh tertentu. Hasil perbincangan bakal dibentangkan untuk penilaian skor tertentu.
Kaedah dyads (rujuk di sini) iaitu pembelajaran secara berpasangan dengan rakan di tempat duduk bersebelahan ialah suatu pilihan yang berkesan apabila kawalan dilaksanakan. Guru bergerak dari meja ke meja bagi memastikan bahawa murid memberi tumpuan terhadap tugasan dan bukan mengambil kesempatan untuk melencong tentang hal yang tidak berkaitan. Sebagai pakar pentaksiran, pengukuran dan penilaian formatif, guru telah bersedia dengan reka bentuk item yang membawa skor tertentu.
Adik-adik yang dimuliakan,
Kemusykilan yang lazim dibangkitkan oleh pelajar ialah tentang proses pembelajaran di luar bilik kuliah. Manakah yang lebih berkesan, belajar sendiri atau berkumpulan? Hakikatnya, kedua-dua kaedah belajar yang berkenaan perlu dilakukan.
Semasa belajar bersendirian, pelajar perlu sentiasa menyediakan pen dan buku catatan membuat hubungan grafik antara idea, isi atau pemboleh ubah yang terdapat dalam sesuatu teks. Apabila belajar berkumpulan, pelajar harus memastikan bahawa ahli kumpulan yang dipilih mempunyai kecenderungan yang sama untuk memberi sumbangan produktif, bukan sekadar penumpang. Idea kelakar atau penyampaian kreatif (seperti ayat berirama) boleh dibenarkan, tetapi mesti sentiasa dalam landasan pembelajaran.
Sekian sahaja perbincangan buat kali ini. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Friday, February 22, 2013
NATIJAH WAJIB LULUS BAHASA INGGERIS SPM (OPEN CERTIFICATE CHALLENGES)
Ura-ura mewajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membawa erti bahawa syarat persijilan terbuka mengalami perubahan. Ketika mula diperkenalkan mulai tahun 2003, calon hanya perlu lulus Bahasa Melayu sebagai syarat mendapat sijil dan kalau gagal Bahasa Melayu pula, walaupun semua mata pelajaran lain lulus, calon dikira gagal. Kemudian, terdapat pengumuman bahawa Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat mendapat sijil.
Namun, pelaksanaan wajib lulus Bahasa Inggeris hanya akan dilaksanakan setelah semua pihak yang berkenaan, terutama murid dan guru telah bersedia. Maksudnya, murid memiliki peluang akses pembelajaran Bahasa Inggeris yang setara daripada guru yang cukup terlatih, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Dengan usaha menutup jurang digital menerusi penembusan jalur lebar di semua sekolah, termasuk kawasan pedalaman, inovasi dalam pembelajaran Bahasa Inggeris lebih mudah disampaikan.
Jika Sejarah dan Bahasa Inggeris juga wajib lulus sebagaimana Bahasa Melayu, calon SPM sudah ada tiga mata pelajaran yang mesti diberi tumpuan tanpa gagal. Slogan 'lulus BM lulus SPM, gagal BM gagal SPM' perlu dipinda, khususnya bagi program harapan lulus (halus) dan kelas pemulihan. Barangkali setelah murid yang kurang kecenderungan akademik ditempatkan di kolej vokasional, kelas-kelas seumpama itu di sekolah harian mungkin tiada lagi.
Sebelum aliran Inggeris dimansuhkan pada tahun 1980 dan peperiksaan Malaysian Cerificate of Education (MCE) juga berakhir, calon SPM tidak boleh mendapat gred kepujian dalam Bahasa Inggeris. Sehabis baik pun, calon SPM hanya boleh mencapai gred 7P. Pengenalan kertas English Communication 121 pada tahun 1978 ialah langkah awal membolehkan calon SPM (aliran Melayu) beroleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Setelah semua sekolah bertukar kepada aliran Melayu atau kebangsaan, semua calon wajib menduduki kertas Bahasa Inggeris 121 dan dibenarkan menduduki kertas English 1119 yang dikendalikan oleh Cambridge. Kini, calon SPM hanya menduduki satu kertas Bahasa Inggeris, tetapi diberi dua gred, iaitu tempatan dan antarabangsa. Gred antarabangsa mengikut piawaian Cambridge hanya mengambil kira bidang penulisan.
Cabaran pembelajaran bahasa Inggeris lebih ketara dalam kalangan murid luar bandar dan pedalaman yang dipengaruhi oleh persekitaran harian yang menggunakan komunikasi bahasa slanga. parokial atau kolokial tempatan. Masalah bukan hanya berlaku terhadap pembelajaran bahasa Inggeris, bahkan untuk bahasa Melayu sendiri. Kebiasaan bertutur dalam loghat kedaerahan mengakibatkan penggunaan bahasa baku menjadi bahan lawak jenaka dan dipandang sebagai janggal.
Murid luar bandar bukan tidak pintar dalam pembelajaran bahasa Inggeris, tetapi mereka mungkin belum mencapai potensi sebenar ketika di sekolah. Buktinya, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 telah membuka laluan kepada pelajar yang berasal dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak fasih berbahasa Inggeris mencapai mobiliti pendidikan yang tinggi, sekali gus mengubah status sosioekonomi keluarga masing-masing. Di UKM, modul pembelajaran bahasa Inggeris di bawah kod MF sebanyak enam kertas semuanya telah mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris semua mahasiswanya yang wajib lulus sebagai syarat pengijazahan.
Siswazah UKM terawal telah mendaki puncak tertinggi kerjaya sehingga banyak yang bergelar profesor dan naib canselor setelah menyambung pengajian ijazah lanjutan di universiti ternama dunia, serta melakukan penyelidikan yang autentik. Sekarang, siswazah UKM juga sudah menyandang jawatan menteri kabinet, exco kerajaan negeri, tokoh korporat, dermawan, ketua pengarah dan ketua setiausaha pelbagai kementerian. Terkini, ketua pengarah kesihatan Malaysia juga ialah siswazah UKM.
Keadaan sudah berubah lagi apabila syarat lulus minimum Band 3 dalam kertas Malaysian University English Test (Muet) untuk tujuan pengijazahan. Malah, kursus kritikal yang menjadi rebutan seperti perubatan, pergigian, farmasi, optometri, kejuruteraan, undang-undang dan perakaunan memerlukan pemohon memperoleh Band 4 atas sebab persaingan yang begitu sengit. Pemohon yang hanya berbekalkan Muet Band 1 atau Band 2 hanya boleh mengharapkan kursus bukan ikhtisas, tetapi mesti membaiki keputusan Muet semasa belajar di universiti.
Negara mungkin kehilangan banyak lagi bakat yang tidak dapat dikembangkan hanya kerana halangan bahasa Inggeris di peringkat sekolah dan sukar pula diubah di peringkat universiti. Sesuatu perlu dilakukan bagi menampung keciciran bakat besar yang tersekat kerana sebab ketaksuban sesetengah pihak terhadap kompetensi bahasa Inggeris. Satu kajian skala besar hendaklah dilakukan bagi menentukan natijah wajib lulus bahasa Inggeris SPM dan kajian kes kejayaan UKM mengeluarkan siswazah hebat yang datang dari aliran kebangsaan dengan penguasaan bahasa Inggeris yang ala kadar sahaja...
Thursday, February 21, 2013
Wednesday, February 20, 2013
PROSES KERJASAMA DALAM ORGANISASI (THE CHALLENGE OF EDUCATIONAL ADMINISTRATION)
Kepimpinan ialah proses mempengaruhi orang atau pihak lain untuk mencapai sesuatu matlamat. Pentadbiran pula ialah proses mendapatkan kerjasama subordinat bagi mencapai matlamat organisasi. Sementara itu, pengurusan ialah melaksanakan sesuatu aktiviti menerusi peranan orang atau pihak lain.
...
...
...
...
...
...
...
...
...
Tuesday, February 19, 2013
PENEMPATAN AUTOMATIK GURU JIKA CAPAI PNGK 3.5 KE ATAS (THE EXCELLENT GOT THE POSTING)
Agensi berita kebangsaan (Bernama) melaporkan bahawa sejumlah 2,791 daripada 7,824 0rang siswazah pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru
Malaysia (IPGM) tahun lepas akan dilantik terus ke Gred DG41. Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dalam satu kenyataan hari ini
memaklumkan mereka tidak perlu menghadiri temu duga kerana mencapai keputusan
cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas, serta
mendapat sekurang-kurangnya keputusan A- dalam latihan praktikal. "Bagaimanapun, siswazah tersebut perlu
menjalani sesi penilaian khas yang akan dilaksanakan oleh SPP, dan diperakui
oleh IPTA dan IPGM," menurut kenyataan itu (baca di sini).
Menurut SPP, sementara itu, baki 5,033 siswazah pendidikan pula perlu menduduki
temu duga yang akan diadakan di seluruh negara mulai hari ini sehingga 27 Mac
depan. Mereka perlu mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang rasmi SPP di sini.
...
...
...
...
...
...
...
...
Monday, February 18, 2013
APLIKASI 'LAST' UNTUK HURAIAN KESAN PENGGANDA (THE EFFECT OF INVESTMENT AND GOVERNMENT EXPENDITURE)
Secara umum, pengganda (k) ialah nisbah antara perubahan pendapatan negara (∆Y) akibat perubahan perbelanjaan agregat (∆AE). Rumusnya ialah k = ∆Y / ∆AE. Apabila merujuk kepada pengganda dua sektor, rumus k = ∆Y / ∆I, manakala untuk pengganda tiga sektor, k =∆Y / ∆G; I mewakili pelaburan; G mewakili perbelanjaan kerajaan.
Jika maklumat kecenderungan mengguna sut (MPC), atau kecenderungan menabung sut (MPC) dinyatakan, tugas menghitung pengganda menjadi lebih mudah. Rumus yang boleh digunakan ialah k = 1 / 1-b; iaitu b mewakili MPC, atau terus dengan k = 1 / MPS.
Proses penggandaan boleh dijelaskan menerusi kaedah jadual dengan menggunakan beberapa andaian dan data hipotetikal. Selanjutnya, interpretasi atau tafsiran mesti menyatakan hubungan antara jumlah ∆Y yang berlaku (berapa kali ganda) setelah berlaku ∆I atau ∆G. Seperti biasa, nilai MPC yang paling mudah ialah 0.8, manakala nilai pelaburan katakan sebanyak RM100 juta.
Jadual yang disediakan perlu menunjukkan ruang pusingan penggandaan, ∆Y, ∆C ∆S, diikuti dengan jumlah yang pada akhirnya akur terhadap persamaan Y = C + S.
Kesan pengganda juga boleh ditunjukkan menerusi analisis grafikal, iaitu keluk fungsi AE.
sumber di sini
...
...
...
...
...
Sunday, February 17, 2013
KESELAMATAN MURID KETIKA CUACA BURUK (THE DANGER OF LIGHTENING SPARK)
Berita tentang seorang murid Maahad Tahfiz di Teluk Intan yang disambar petir mengingatkan kita terhadap peristiwa sama yang menimpa beberapa orang pelajar SMK King Edward VII, Taiping dan budak Felda tidak lama dahulu. Kebetulan lokasi kejadian semuanya di kawasan padang bola sepak yang lapang dan ketika hari hujan. Kes yang membabitkan budak sekolah sudah pasti mendapat perhatian masyarakat dan pihak yang berkepentingan.
sumber gambar di sini
Petir yang kuat selalu menyebabkan pokok kelapa tinggal separuh dan dalam keadaan yang ekstrem boleh menyebabkan kebakaran. Cas elektrik tinggi yang dibawa oleh petir akan bertindak balas dengan cepat jika terkena sebarang objek secara tepat. Manusia yang tidak sempat berlindung lalu disambar petir akan menghadapi risiko hilang nyawa.
Maka, peristiwa yang membabitkan murid disambar petir di kawasan sekolah, walaupun bersifat kes terpencil, tidak seyogia dipandang ringan. Sejajar dengan konsep sekolah selamat, sebarang bentuk ancaman yang mendatangkan mudarat atau risiko kecederaan kepada murid mesti dihapuskan. Dari segi undang-undang pendidikan, langkah berjaga-jaga (the duty of care) diberi keutamaan bagi mengelak kecuaian (negligence).
Kebiasaannya pihak sekolah akan membekalkan setiap murid dengan buku bersaiz poket tentang tatacara disiplin dan keselamatan sebagai garis panduan tingkah laku yang dikehendaki. Ingatan lisan juga disampaikan oleh pengetua kepada sekalian warga sekolah tentang perkara berkenaan. Guru-guru yang mengendalikan aktiviti luar bilik darjah turut mengambil langkah yang sama.
Papan tanda amaran di Amerika, Australia, England? Malangnya, di negara kita!
Hayat ingatan manusia lazimnya tidak begitu panjang, khususnya terhadap hal-hal yang bukan rutin. Maka, pihak sekolah boleh menyediakan papan tanda yang jelas tentang bahaya petir berhampiran kawasan padang. Garis panduan ringkas tentang tindakan yang perlu diambil hendaklah disediakan dalam bahasa kebangsaan dan jika perlu, terjemahan bahasa Inggeris dalam saiz huruf yang lebih kecil.
Kejadian murid disambar petir sudah tentu menyayat hati dan mengejutkan ibu bapa, serta pihak sekolah. Jika segala langkah proaktif sudah diambil, maka peristiwa seumpama itu memang malang tidak berbau. Pihak sekolah telah menunaikan kewajipan in loco parentis, iaitu sebagai ganti ibu bapa yang memberi jagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak yang berada di kawasan sekolah...
Saturday, February 16, 2013
TUJAHAN KOMET DI PERGUNUNGAN URAL, RUSSIA (WITH JUST A SMALL PIECE OF 'WARNING')
Bandar Chelyabinsk dengan kepadatan sejuta orang penduduk digegar oleh serpihan tahi bintang atau meteoroid dengan anggaran kelajuan 54,000 kilometer sejam terjunam ke dalam sebuah tasik di Chebakul, 60 kilometer dari pusat bandar. Agensi berita antarabangsa melaporkan sebanyak 1,200 penduduk mengalami kecederaan akibat terkena pecahan kaca bangunan sebaik sahaja komet itu menghentam bumi dalam kejadian pada pukul 9.20 pagi dengan persekitaran gelap dan suhu -18 darjah celcius. Namun, seperti teori konspirasi tsunami Acheh, seorang pemimpin nasionalis Rusia, Vladimir Zhirinovsky mendakwa bahawa letupan yang berlaku sebenarnya ujian senjata baharu Amerika Syarikat (baca di sini).
Kejadian hujan komet di ruang angkasa lepas ialah fenomena sistem cakerawala yang biasa, tetapi apabila memasuki ruang bumi, ancaman terhadap keselamatan menjadi perhatian. Sebelum ini, kejadian yang sama juga berlaku di Russia pada tahun 1908. Pergerakan dan pusingan sistem cakerawala dalam sistem jagat raya yang tidak diketahui sempadannya memancing minat orang awam terhadap pengetahuan astronomi dan betapa agung kuasa Yang Maha Pencipta.
sumber gambar di sini
...
...
...
sumber gambar: Ibid
...
...
...
...
...
Friday, February 15, 2013
MASALAH KECURIAN KENDERAAN DI KAWASAN PERUMAHAN (PROTECTING THE SAFETY OF MOBILE PROPERTY)
Baru sebentar tadi telah diadakan majlis bacaan Yasin di sebuah surau bagi memohon pertolongan Ilahi atas musibah kehilangan sebuah kereta Honda City yang dibeli tiga bulan lalu yang diletak di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat. Beberapa bulan yang lalu, sebuah kereta Proton Waja di kawasan kejiranan yang sama juga dilarikan oleh penyangak. Kejadian berlaku antara pukul tiga hingga empat pagi.
Ruang meletak kereta di rumah teres lazimnya hanya mampu memuatkan dua buah kereta di dalam kawasan pagar. Sudah menjadi pemandangan biasa bahawa lebih banyak kereta diletak di luar pagar rumah dan di sepanjang laluan pesiar kaki di seberang jalan. Jika penghuni menerima kunjungan saudara atau sahabat, maka bilangan kenderaan yang diletak di luar kawasan pagar rumah akan bertambah banyak.
Kereta yang diletak di luar pagar rumah memang sangat berisiko untuk menarik perhatian niat jahat penjenayah yang sentiasa berkeliaran mengenakan mangsa sebaik sahaja beroleh peluang. Semakin canggih sistem keselamatan yang dipasang pada kenderaan, semakin licik pula taktik yang digunakan oleh penjenayah untuk menjayakan modus operandi mereka. Di manakah penjenayah jahanam itu menerima latihan teknikal sistem kenderaan berteknologi tinggi yang dijadikan sasaran?
kenderaan mewah menjadi sasaran jenayah, sumber akhbar ini
Laporan sebuah akhbar di London (baca di sini) mendapati bahawa tempoh kecurian kenderaan berlaku dalam 10 saat sahaja. Kini, tumpuan penjenayah ialah terhadap sistem kunci immobilizer, serta kod keselamatan kenderaan sama ada menggunakan pengesanan satelit atau penggera konvensional. Maka, pakar keselamatan automatif mesti mencari jalan supaya sistem keselamatan kenderaan termaju direka bentuk sehingga mampu mengecewakan penjenayah.
Di Kuala Lumpur, taktik terbaru penjenayah ialah melekatkan sekeping kertas di belakang cermin kereta. Ketika pemandu masuk dalam kereta dan hendak mengundurkan kenderaan, mereka akan keluar kereta untuk mengalihkan kertas itu yang menghalang penglihatan. Pada ketika itulah penjenayah yang bersembunyi membuat serbuan dan terus melarikan kenderaan sepantas kilat.
Sebagai langkah berhati-hati, setiap kali hendak keluar daripada kenderaan, tidak kira di tempat meletak kenderaan, atau di stesen minyak petrol, enjin perlu dimatikan serta-merta dan kunci dimasukkan ke dalam poket yang berzip. Saranan sedemikian mungkin kedengaran lucu dan leceh, tetapi mencegah lebih baik daripada mengubati. Penyamaran penjenayah semakin sukar untuk dikesan dengan mata kasar.
Berbalik kepada kes kecurian kenderaan di kawasan perumahan yang didapati semakin berleluasa dan belum nampak jalan penyelesaian yang meyakinkan. Antara kaedah pencegahan kecurian kereta ialah menubuhkan Rukun Tetangga dengan sistem giliran rondaan yang terancang. Jika penduduk menghadapi masalah kerjasama sesama sendiri atau sekatan majikan dari segi cuti tanpa rekod, maka rondaan keselamatan swasta dengan bayaran upah yang ditanggung bersama.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memasukkan peruntukan perbelanjaan bagi memasang kamera litar tertutup yang canggih di pintu keluar utama di semua kawasan perumahan bagi mengesan pergerakan kenderaan keluar masuk, terutama pada waktu kejadian dilaporkan.
...
...
Subscribe to:
Posts (Atom)







