SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Saturday, July 18, 2015

GURU BERI LAYANAN ADIL DI BILIK DARJAH (ACCOMODATIVE APPROACH AT THE LEARNING SETTING)

Murid datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi dan kecenderungan. Ibu bapa mereka berbeza kedudukan dan pengaruh. Persamaan antara mereka ialah sebagai pembayar cukai yang membiayai penyediaan barang awam termasuk kemudahan pendidikan.

Pendemokrasian  pendidikan bererti mutu pendidikan terbaik untuk semua murid. Setiap orang daripada mereka berhak memperoleh akses terhadap pendidikan bermutu bagi memupuk pembelajaran dalam konteks persekitaran yang pesat berubah. Prinsip ekuiti atau kesaksamaan menjadi pegangan kepada guru yang berkesan.

Murid diterima seadanya tanpa sebarang syarat. Murid datang ke sekolah sebagai insan kekurangan (disadvantage) serta mengharapkan pertolongan guru sebagai ahli ikhtisas yang berwibawa (advantage). Walaupun dalam era maklumat di hujung jari bermaksud bahawa murid sarat maklumat, tugas membimbing murid bagi menyaring serta mengorganisasikan maklumat yang melaut itu masih terletak di tangan para guru.

Sebagai insan biasa, tidak dinafikan kadang-kadang beberapa orang murid yang memiliki kelebihan tertentu diberi perhatian sedikit istimewa. Sama seperti masyarakat awam, hal itu mungkin menjadi bualan gosip sesama murid. Jika dibiarkan berterusan, bunga-bunga krisis dan skandal mungkin mempengaruhi persepsi murid.

Keadaan bertambah rumit jika layanan khas terhadap mana-mana murid dikaitkan dengan hubungan kekeluargaan, status kekayaan dan pengaruh. Murid lain berpotensi untuk 'memberontak' dan mengadu secara tidak sengaja di rumah. Hal itu lebih serius jika dapat dihidu oleh pucuk kepimpinan sekolah.

Dengan pengecualian terhadap program pendidikan khas yang bersifat eksklusif, semua murid berhak menerima layanan yang saksama dalam proses pembelajaran. Pendidikan inklusif menepati hak kanak-kanak untuk memiliki kesempatan yang setara sesama rakan sebaya bagi menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik, menarik, menyeronokkan dan berkesan. Tiada murid yang berasa tersisih kerana beranggapan bahawa diri mereka sebagai mangsa diskriminasi yang kejam.

Setiap orang guru memang sedar tentang etika layanan yang saksama seperti yang diharapkan. Namun, kes-kes terpencil tentang isu layanan yang bersifat 'berat sebelah' masih wujud. Barangkali hal itu lebih menjurus kepada persepsi atau kerana terlepas pandang.

Maka, demi kebaikan pendidikan serta ke arah kebajikan semua murid secara optimum, elok juga dari masa ke masa, keperluan layanan yang saksama diberi penegasan yang khusus. Walaupun program sekolah penyayang, sekolah selamat dan sarana sekolah turut menyentuh hal berkenaan, suatu ukuran tentang pelaksanaannya masih boleh dipertimbangkan. Sesungguhnya layanan yang saksama dalam proses pembelajaran memberi jaminan terhadap pembentukan sebuah masyarakat madani yang unggul ...

No comments: