SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, July 7, 2011

CHE JUSOH ISMAIL PENGETUA KAYA PENGALAMAN (METAPHOR AND TAGLINE OF SCHOOL LEADERSHIP)

      
Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail

Kuala Lumpur, Khamis: 7.7.11 / 5 Syaaban 1432

Selain kelayakan akademik dan pendedahan pelbagai modul kepimpinan sekolah menerusi bengkel, kursus, mesyuarat, persidangan, seminar, dan simposium, pengalaman ialah faktor kritikal yang menyumbang terhadap kepimpinan pengetua yang berkesan. Pengalaman yang dimaksudkan ialah pengalaman peribadi dan perkongsian pengalaman daripada pelbagai sumber yang tidak tertulis dalam mana-mana jurnal penyelidikan atau rencana popular. Begitu banyak kisah bersifat terpencil yang dilalui oleh seseorang pengetua yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Dalam satu majlis yang dinamai "Semarak Kasih Kalungan Budi", seorang pengetua yang memiliki pengalaman keguruan yang mantap, iaitu Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail telah diraikan oleh peserta persidangan bahasa di sebuah hotel di ibu negara. Beliau telah menyumbang bakti kepada dunia pendidikan sepanjang lebih tiga dekad lamanya. Penulis blog (PB) yang mengenali beliau sejak tahun 2003 sempat merakamkan beberapa maklumat latar belakang pengalaman Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail.

Berasal dari Machang, Kelantan, Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail menerima pendidikan awal di SK Pangkalan Ngering di daerah kelahiran beliau. Seterusnya Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail menyambung pengajian menengah di SMK Hamzah, Machang sebelum meneruskan pengajian tingkatan 6 di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu. Berbekalkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan (HSC) yang cemerlang, beliau diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Setelah memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan (B.A.Ed. Hons) pengkhususan Kususateraan Melayu pada tahun 1980, Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail ditempatkan di SMK Dato' Abdul Kadir, Seberang Perai. Permohonan beliau untuk pulang ke Kelantan diluluskan enam tahun kemudian, iaitu di Sekolah Menengah Sains Machang. Beliau kekal berkhidmat di situ selama 15 tahun, dengan tempoh 8 tahun terakhir diamanahkan sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan (Pentadbiran) di SMK Melor Kota Bharu, tetapi hanya untuk tempoh tiga bulan. Bintang beliau begitu cerah apabila dilantik pula sebagai pengetua di SMK Putra mulai tahun 2000. Lima tahun selepas itu beliau bertukar ke SMK Tanjung Mas.

Pada awal Januari tahun ini, Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail ditugaskan pula sebagai pengetua gred DG 52 di SMK Kangkung hingga ke hari ini. Walaupun tempoh perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam kini menghampiri penghujungnya, beliau tidak rela dibayangi dengan detik-detik persaraan dalam melaksanakan tugas kepimpinan di sekolah. Tiada istilah "hantuk dinding" atau burn out sebagai alasan untuk bekerja ala kadar.

Pengalaman beliau mengasuh generasi muda dan sebagai mentor kepada seluruh warga sekolah juga dibawa ke rumah. Anak sulung Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail ialah lulusan bioteknologi, sudah berumah tangga dan berkhidmat dengan syarikat swasta di Kuala Lumpur. Anak kedua beliau sedang menyiapkan disertasi Ph.D dalam bidang sains sukan di bawah program tenaga akademik USM di New Zealand.

Anak ketiga Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail bertugas sebagai guru di SK Seksyen 17, Shah Alam. Anak keempat beliau sedang mengikuti pengajian perubatan di Royal College of Medicine, Dublin. Anak kelima akan menduduki peperiksaan SPM, manakala anak keenam ialah anak istimewa.

Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail yang menunaikan rukun Islam kelima pada tahun 1996 sempat menitipkan beberapa mutiara kata sebagai pegangan kepada pelbagai peringkat warga sekolah. Antara lain:

kepada murid:  Kejar(lah) kecemerlangan, justeru persaingan makin hebat

kepada guru:  Jaga keberkesanan penyampaian pengajaran dan pembelajaran

kepada pentadbir sekolah:   sentiasalah usahakan penambahbaikan dalam segala bidang, tidak boleh berpuas hati dengan keadaan yang sama

kepada ibu bapa:  berilah pendidikan yang seimbang kepada anak-anak, iaitu pendidikan duniawi dan ukhrawi

Dalam mengejar apa-apa pun, pegangan agama hendaklah menjadi asas dan benteng. Selain itu, seseorang itu kena mengkaji dahulu kebenaran sesuatu perkara, iaitu tidak seyogia bergantung kepada persepsi spontan. Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail bakal bersara pada bulan Mei tahun 2012 melainkan jika pembentangan belanjawan dalam sidang parlimen penghujung September ini memperaku usia persaraan kakitangan awam dinaikkan kepada 60 tahun...

Wednesday, July 6, 2011

CERPEN "PENANGGUNGAN" KOMSAS TINGKATAN 4 (ANXIETY AND OVERREACT IN LIFE)

Pengenalan

Karya Wijaya Mala yang dimuatkan dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, muka surat 155 - 165 ini bertemakan kepentingan menerima hakikat atau kenyataan hidup. Kapten Mamat berusaha meredakan tekanan yang dialami oleh Masnah, sepupu isterinya yang menjadi janda akibat kematian Baharum, kelasi kapal dari atas tiang agung ke geladak. Kapten Mamat sendiri sebenarnya tertekan dengan kejadian yang berlaku di dalam kapal kendaliannya.

Judul "Penanggungan" diambil daripada sahutan isteri Kapten Mamat pada muka surat 165, "Tanggunglah. Selagi kita masih hidup, segala-gala di depan mata, itulah penanggungan. Tanggunglah sampai mati."

Sinopsis

Kenangan Kapten Mamat terhadap peristiwa yang menimpa Baharum terhenti apabila mendengar isterinya mempelawa Masnah dan anaknya Bahar berjumpa dengan Kapten Mamat. Walaupun Kapten Mamat sanggup melihat mayat Baharum yang mati berdarah, dia tidak pula sanggup (tega) melihat Masnah dan Baharih berdukung, serta seorang lagi anak yang hilang tempat bergantung. Bahar sibuk bertanyakan perihal bapanya. Kapten Mamat cuba memberi jaminan bahawa Masnah dan Bahar akan dibela oleh kesatuan. Masnah meluahkan perasaan sedihnya, tetapi nasihat Kapten Mamat yang terbawa-bawa dengan pangkatnya itu ditegur oleh isterinya. Masnah bertambah runsing, bercakap yidak keruan, lalu akhirnya pitam. Mujur Masnah cepat pulih setelah diberi bantuan kecemasan. Kapten Mamat kemudian menyedari dia tidak boleh bercakap tentang teori yang bukan-bukan lagi. Kapten Mamat sebaliknya menggesa Masnah supaya berusaha mengatasi kebodohan, dan tunduk kepada hukum alam. Kata-kata sokongan isteri Mamat akhirnya menyebabkan Masnah akur...

bersambung

Tuesday, July 5, 2011

PENGGUNA PUNYA HAK SOAL HARGA MAKANAN (NEVER BELIEVE THE MANUAL CASHIER)

Pukul 9 malam tadi penulis blog (PB) bersama-sama rakan singgah di sebuah gerai makan di Jalan Doraisamy di ibu negara, dengan latar belakang Menara Kuala Lumpur yang gemerlapan bagaikan pesona bintang di langit. Ringkas cerita, lima orang pelanggan ini pun membuat pesanan: dua hidangan mi mamak, dua hidangan mi rebus, sebungkus nasi lemak dan sup daging. Minuman lima gelas semuanya.

Usai menikmati makan minum ala kadar, petugas gerai dipanggil untuk menghitung harga yang perlu dibayar. Maka, datanglah petugas dalam lingkungan usia awal 20-an dengan sebatang pen tanpa kertas atau kalkulator. Mulutnya pun mula kumat-kamit macam hendak membaca jampi mentera.

PB sudah mula menyoal petugas gerai sebab dia menggunakan kertas tisu untuk hitungan congak, dan bukan kalkulator seperti yang sepatutnya. Dia hanya tersengih dan langsung menyebut RM40. Seorang kawan terus menghulurkan not RM50, dan petugas itu berlalu untuk mengambil wang baki. Dalam tempoh itu, seorang kawan mencadangkan supaya congakan semula dilakukan secara terperinci.

Tembelang petugas serta-merta terbongkar. Jumlah sebenar bayaran tidak melebihi RM30. Dia meminta maaf dan not RM10 yang sudah sedia ada di tangannya dengan cepat diserahkan.

Taktik lama itu mungkin berjaya menipu pelanggan yang cuai atau tidak kisah. Mungkin juga petugas itu berasa upah yang diterima tidak cukup baginya untuk menampung sara hidup di Kuala Lumpur. Sama ada majikannya memberi restu atau tidak tahu, perbuatan yang bersifat sengaja itu boleh dikenakan tindakan di bawah akta perihal dagangan.

Perkara yang sama pernah berlaku di klinik swasta. Petugas kaunter sengaja meletakkan caj melebihi ketetapan doktor bagi memperoleh wang secara haram. Kini, sesetengah klinik memperkenalkan sistem resit berkomputer dan pembayaran dengan kad kredit bagi mencegah penipuan petugas kaunter di klinik.

Pada amnya, kesedaran pengguna di Malaysia dan negara belum maju memang di tahap rendah. Mereka seolah-olah pasrah dengan kehendak peniaga. Mereka mungkin tidak mahu dianggap sebagai terlalu berkira atau tidak mahu dianggap orang cerewet.

Pengalaman PB dan kenalan di luar negara juga menunjukkan hal yang sama. Jika sekadar hendak meninjau-ninjau sahaja baik lupakan! Ada peniaga di timur tengah, Asia Selatan dan China yang terus membungkus barang, lalu mengikatnya pada beg kita, walhal kita hanya membelek-beleknya sahaja.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jerman, peniaga yang gerun dengan kuasa pengguna. Kebanyakan barang boleh dipulangkan dalam tempoh hingga dua bulan jika pengguna tidak berpuas hati. Sebab itulah banyak barang seperti peranti komputer yang dipulangkan dihantar balik ke kilang untuk diproses semula sebagai produk refurbished.

Kebanyakan barang refurbished itu akan dipasarkan semula di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia. Anda boleh memperoleh barang-barang seperti itu di Plaza Imbi atau Low Yatt. Kalau kereta dipanggil reckoned seumpama Alphard, Estima dan Harrier yang berlambak di pasaran tempatan.

Kesimpulannya, pengguna harus menggunakan segala hak sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Peniaga yang membiarkan petugasnya menipu hendaklah diseret ke muka pengadilan. Jika tidak, kocek kita akan lebih cepat bocor...

Monday, July 4, 2011

MINUM KOPI ELAK NYANYUK (THE MYSTERY INGREDIENT IN COFFEE)

Pengambilan minuman kopi sering dikaitkan dengan ketagihan kafien yang dipercayai mendatangkan masalah kesihatan. Antara kesukaran yang dialami oleh peminum kopi tegar ialah untuk melelapkan mata pada waktu malam. Terdapat juga kajian yang mendapati bahawa tiada hubung kait (korelasi) antara pengambilan kopi dengan menghilangkan rasa mengantuk ketika memandu.

Namun, sesuatu andaian umum memang bersifat dakwaan sahaja. Demikian juga halnya dengan dapatan penyelidikan yang boleh dicabar bila-bila masa dengan penemuan terkini. Isu pemanasan bumi sebagai contoh kini telah menjadi antitesis apabila muncul teori baharu tentang kelembapan aktiviti matahari.

Nampaknya peminum kopi boleh tersenyum lebar bagi mewajarkan tabiat mereka apabila dapatan sekumpulan penyelidik dari Universiti Florida Selatan diterbitkan dalam Journal Alzheimer's Disease baru-baru ini. Kopi didapati memiliki sejenis kandungan misteri yang berinteraksi dengan kafien dapat melmbatkan gejala nyanyuk dalam kalangan individu lanjut usia. Minuman kafien yang lain didapati tidak mengandungi kandungan yang serupa.

Rujukan lanjut: http://www.sciencedaily.com/releases/2011/06/110621093301.htm

Sunday, July 3, 2011

MALAYSIA LEPASI HALANGAN TAIWAN (NEXT CLASH AGAINST SINGAPORE)

Walaupun tewas 2-3 di tangan Taiwan (Chinese Taipei) di laman lawan, skuad bola sepak pra-Piala Dunia Malaysia mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 4-4 menerusi peraturan jaringan di tempat lawan. Taiwan yang hanya memerlukan kemenangan 1-0 sebaliknya dikejutkan seawal minit ke-7 menerusi tendangan percuma Aidil Zafuan yang merembat kencang dari jarak 35 meter terus menggegar palang gol lalu menerjah masuk ke dalam gawang. Taiwan beroleh tiga kali sepakan penalti, tetapi satu daripadanya berjaya ditampan kemas oleh Sharbinee Allawee Ramli.

Empat daripada lima gol perlawanan dihasilkan menerusi tendangan bola mati. Kapten Malaysia, Safiq Rahim turut menyumbat gol menerusi sepakan percuma. Pemain "import" Taiwan, Xavier, iaitu bekas ketua pasukan bawah 19 tahun Belgium meledakkan jaringan ketiga tuan rumah menerusi penalti. Selepas itu, Malaysia berjaya menyerap asakan bertali arus negara pengeluar "Acer" itu sehingga wisel penamat ditiupkan.

Sebenarnya Taiwan bukanlah kuasa bola sepak yang pernah mencatat kejayaan membanggakan. Namun, sukan bola sepak mulai diberi perhatian oleh hampir semua negara di dunia. Dahulu Bangladesh, Filipina, India, dan Pakistan ialah pasukan belasahan belaka, tetapi kini tidak lagi.

Antara sebab kebangkitan pasukan belasahan itu ialah program pembangunan bola sepak serantau dan persekutuan bola sepak dunia (Fifa) sendiri, di samping penghijrahan pemain dari negara kuasa bola sepak dunia yang mengalami lebihan penawaran pemain. Persaingan merebut tempat dalam pasukan kebangsaan di benua Afrika, Amerika Latin dan Eropah makin sengit. Bola sepak telah menjadi pilihan kerjaya yang mendatangkan pulangan lumayan, serta nama yang masyhur.

Menanti Malaysia di pusingan seterusnya ialah pasukan jiran, iaitu Singapura yang dibarisi hampir separuh pemain "import" yang telah mendapat status warganegara. Kalau dahulu Singapura bersaing dalam kancah Piala Malaysia dengan seteru utamanya Selangor, kini Liga Singapura disertai kelab-kelab ternama dari seluruh dunia. Ketika era Fandi Ahmad dan Malek Awab, skuad Singapura masih boleh dijinakkan oleh pasukan negeri-negeri di Malaysia, tetapi keadaan sudah jauh berubah.

Malaysia masih meraikan kejayaan mengungguli kejohanan Piala AFF Suzuki yang membabitkan negara-negara rantau Asia Tenggara. Barang diingat bahawa Singapura pernah menjulang piala berkenaan beberapa kali. Perlawanan timbal balik Malaysia - Singapura dijangka berlangsung dalam suasana sorakan di Stadium Kallang, Singapura dan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sesungguhnya kejayaan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal yang bergelar Harimau Malaya itu dijangka merendahkan sedikit bacaan meter suhu politik tanah air yang agak tinggi beberapa minggu ini. DYMM Tuanku Mizan sendiri telah bertitah supaya asas kekuatan negara terus dipertahankan dengan semua pihak meletakkan kepentingan jangka panjang mengatasi pertimbangan perasaan atas apa-apa jua alasan. Moga-moga pencapaian bola sepak negara dapat menjadi sebahagian resepi bagi merapatkan semula perpaduan sekalian rakyat Malaysia...

Friday, July 1, 2011

PENGALAMAN MENGAJAR BAHASA INGGERIS DI LUAR BANDAR (MATCHING LEARNER'S ACQUISITION DEVICE)

Semasa melapor diri di SMK Sultan Abdullah, Chenderung Balai (SMSA), penulis blog (PB) bertemu semula dengan Tuan Haji Azhari bin Arbi, bekas guru ekonomi PB. Beliau meminta PB mengajar bahasa Inggeris tingkatan 3. PB menerima tugas itu atas kjepercayaan pengetua.

Kira-kira 90 peratus murid SMSA ialah keturunan Jawa. Setelah beberapa kali masuk kelas, PB dapati mereka boleh menulis dalam bahasa Inggeris dengan agak baik. Masalah yang dihadapi ialah dari segi pertuturan, khususnya untuk komunikasi yang lebih bersifat formal.

Pemimpin yang terlalu pintar mungkin tidak berpadanan dengan majoriti pengikut yang biasa-biasa sahaja. Begitu juga dengan guru yang terlalu ke hadapan tidak padan dengan rentak pembelajaran murid, khususnya apabila membabitkan bahasa asing.

Tugas pertama PB ialah menjadikan bahasa Inggeris seronok untuk dipelajari. Suntikan unsur kecindan dan lucu mesti diutamakan supaya murid terus memberi perhatian. Mereka diberi jaminan bahawa segala kesilapan yang berlaku semasa aktiviti pembelajaran akan dipandang secara positif.

bersambung...

Thursday, June 30, 2011

IKUT KEPERLUAN, BUKAN IKUT PERASAAN (THE SECOND OPINION)

Keperluan ertinya perbezaan antara apa yang sepatutnya ada dengan apa yang sebenarnya ada bagi mencapai matlamat atau bagi menghilangkan kesusahan. Konsep keperluan akan berbeza-beza mengikut disiplin kajian, sudut perbincangan dan tahap pengalaman yang diperhatikan. Namun, secara amnya keperluan menjurus kepada perkara-perkara asas yang bersifat kritikal.

Contohnya, seorang kanak-kanak sepatutnya tidur selama 8 jam sehari, tetapi hanya dapat tidur 6 jam sahaja sebagai akibat aktiviti sampingan di hadapan skrin televisyen, tuisyen swasta dan ketagihan rangkaian sosial maya. Maka, kanak-kanak berkenaan masih mempunyai keperluan tidur selama 2 jam sehari. Keperluan itu hanya dapat dipenuhi dengan cara menyusun semula keutamaan aktiviti seperti di bawah:

          penting dan segera

          penting, tetapi tidak segera

          tidak penting dan tidak segera

bersambung...

Wednesday, June 29, 2011

CERPEN "ISRAK" KOMSAS TINGKATAN 4 (GENERATION GAP)

Pengenalan

Israk, anak muda yang membesar di Perth, Australia dibawa oleh bapanya, Adam dan ibunya, Siti Hawa mengunjungi rumah nenek sebelah bapanya, Wah di Sayong, Kuala Kangsar. Israk menunjukkan rasa tidak selesa secara terbuka terhadap insan yang pernah menjaganya semasa kecil. Walaupun sikapnya ditegur oleh adik perempuannya, Mikraj, Adam tetap demikian hinggalah satu peristiwa di tebing Sungai Perak yang telah mengubah keadaan.

Pengarang cerpen, Erda Roslan Khairi berjaya memaparkan tema kasih sayang dapat mengatasi sifat ego seseorang. Generasi muda yang masih belum banyak pengalaman hidup sering tidak berupaya menyelami perasaan orang dewasa, malah enggan dikaitkan dengan sejarah silam. Cerpen yang dimuatkan dalam antologi Harga Remaja, muka surat 131 - 142 itu berjaya mengungkapkan penemuan jati diri dan akar umbi warisan dalam kalangan generasi muda menerusi watak Israk, Mikraj dan Wah.

Perbincangan Watak

Israk bin Adam: Anak pasangan Adam dan Siti Hawa. Tinggal di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
                         Mengikuti pengajian dalam bidang korporat. Rimas dengan keadaan kampung, serta mempamerkan
                          enggan menjamah durian dan segal hidangan yang disediakan oleh Wah, neneknya sendiri. Israk juga tega
                         (sampai hati) merentap jatuh langsir di rumah Wah.

Mikraj binti Adam:  Adik Israk. Lebih cenderung terhadap sastera. Gadis yang beradab dan sopan. Mikraj menegur sikap Israk
                          yang tidak menghormati orang tua. Rancangan balik kampung itu dicadangkan oleh Mikraj.

Wah:  Nenek Israk. Semasa remaja pernah menaruh hati kepada Lebai Salleh, tetapi jodohnya Firdaus Frank, anak buah
           Frank Swettenham.Penyabar orangnya dalam menghadapi tingkah laku cucunya Israk yang dipengaruhi cara hidup Barat. Wah pandai memberi nasihat secara kiasan.

Adam:  Bapa Israk. Tidak pernah melihat wajah Firdaus Frank bapanya yang meninggal dunia beberapa hari sebelum dia dilahirkan.
             Berusaha menyedarkan Israk, tetapi tidak cukup bertegas.

Sepintas lalu plot cerpen

Permulaan: Israk sekeluarga tiba di rumah Wah, di Sayong, Kuala Kangsar, berhampiran Sungai Perak. Israk dari awal lagi menunjukkan dia tidak senang.

Perkembangan / eksposisi: Mikraj, Adam dan Hawa sangat teruja menjamah durian, tetapi Israk sebaliknya. Israk menolak pujukan Wah mentah-mentah (sambil menepis tangan Wah).

Konflik / pergolakan:  Israk terus menunjukkan sikap buruknya. Israk merungut tentang makanan, televisyen rosak, membuat ulasan negatif terhadap cerita Wah, merentap langsir kuning raja Wah. Israk juga tidak mempedulikan kata-kata Mikraj, malah melabel Mikraj sebagai gadis liar. Wah segera mencegah pertikaman lidah selanjutnya.

Puncak / kilmaks:  Apabila bekalan air terputus, Israk menyahut cabaran Mikraj untuk mandi di sungai. Tiba-tiba Israk terjatuh, lalu berpaut kepada tali sauh yang sudah reput. Wah menyelamatkan Israk dengan menghulurkan sebatang kayu sambil menarik Israk dengan sepenuh tenaga tuanya. Israk tersipu malu apabila bertentangan mata dengan Wah.

Peleraian:  Israk keluar bilik lengkap dengan baju Melayu. Israk sendiri mencedok nasi dan bertanyakan tentang jering dan tempoyak...

contoh tugasan menyusul...

Tuesday, June 28, 2011

KALAU SUDAH JODOH (CHEMISTRY BEHIND LOVE)

Abdullah Khairul Azam, mahasiswa al-Azhar lebih dikenali sebagai penjual bakso dan tempe yang mencetus fenomena di Kaherah hingga dikagumi oleh Eliyana, anak duta besar Indonesia yang juga seorang pelakon sinetron popular. Suatu hari Azam telah menolong seorang siswi senegara, iaitu Anna Althafunnisa yang kehilangan sejumlah buku rujukan dan juga wang di dalam bas. Anna sangat berharap bahawa Azam akan menjadi jodoh buat dirinya kerana sifat Azam yang sedia melindungi wanita.

Anna tamat pengajian lebih awal dan pulang ke Solo. Dia dipinang oleh teman sekuliah bernama Furqon. Walaupun Anna memberi pelbagai syarat supaya Furqon tidak jadi meneruskan lamaran, Furqon seperti tidak faham.

Setelah bernikah 6 bulan, Furqon yang percaya dirinya terkena virus HIV angkara seorang wanita Itali telah tidak melaksanakan tugas sebagai suami. Apabila Furqon berterus terang, Anna menuntut cerai serta-merta. Dalam tempoh yang sama, Azam kembali ke Indonesia dan sibuk benar mencari pasangan hidup.

Ada-ada sahaja hal yang berlaku menyebabkan Azam yang beberapa kali hampir nikah terpaksa menunda hasratnya itu. Anna pula tidak menyangka bahawa Azam ialah abang kepada sahabat karibnya dalm bidang penulisan, iaitu Ayatul Husna. Setelah buntu, Azam menyerahkan cincin kepada Kiyai Luthfi, ayah Anna.

Tepat dan kebetulan. Wanita yang bercerai tanpa disentuh tidak perlukan tempoh edah tiga bulan. Kiyai Lutfi dengan senang hati menawarkan Anna sebagai isteri Azam.

Dalam masa yang sama, Furqon menjalani ujian darah di beberapa buah makmal termasuk di Australia dan Singapura. Dia disahkan bebas daripada HIV. Namun, dia telah terlewat untuk rujuk semula dengan Anna yang sudah sah sebagai isteri Azzam.

Ketika menghubungi Anna, mantan isterinya itu sudah dalam perjalanan bulan madu dengan suami barunya. Tiba-tiba Eliyana muncul di situ. Maka, Furqon bertemu semula dengan Eliyana yang sudah mengenakan jilbab. 

Demikian lebih kurang kisah filem "Ketika Cinta Bertasbih" yang diadaptasi daripada novel karya Habiurrahman El Shirazy, 34, siswazah al-Azhar. Sebagaimana status novel yang mencatat jualan terlaris, filem dalam dua sekuel itu turut menggamit hampir 5 juta orang penonton di pawagam seluruh Indonesia pada tahun 2009. Stesen televisyen milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), al-Hijrah telah menayangkan kedua-dua sekuel filem berkenaan baru-baru ini.

Penulis blog (PB) hanya mengenali Deddy Mizwar, 56 yang memegang watak Kiyai Luthfi dan bintang undangan, Dude Herlino, 31 yang menjadi tunang Ayatul Husna. Watak-watak lain dalam "Ketika Cinta Bertasbih" dipilih menerusi proses uji bakat di kota-kota utama Indonesia. Filem itu boleh dikategorikan sebagai filem yang sangat sopan dan beradab.

Kholili Asadil Alam, 22 (Azam) asalnya ialah aktivis teater yang pernah menjadi penjual ayam goreng. Beliau telah berangkat ke Sekolah Perniagaan Harvard di Amerika Syarikat penghujung 2010. Oki Setiana Dewi, 22 (Anna) siswazah Universiti Indonesia memang aktif dalam dunia lakonan sejak remaja dan mula memakai jilbab pada tahun 2005.

Kata bual dalam filem "Ketika Cinta Bertasbih" diolah dengan begitu teliti. Plot cerita yang banyak berkisar terhadap peristiwa kebetulan memang lazim berlaku dalam dunia kehidupan kita yang sebenar. Sebagaimana harapan penonton aliran soap opera, akhirnya jodoh tidak ke mana-mana...

Monday, June 27, 2011

MENGHORMATI HARTA INTELEKTUAL (PAY ROYALTIES FOR INTELLECTUAL COPYRIGHT)

Kos membuat salinan fotostat di Arab Saudi ialah RM0.20 setiap muka surat, manakala di Australia mencecah RM0.50. Maknanya, membeli salinan asal akan lebih murah. Keadaan yang sebaliknya berlaku di rantau Asia Tenggara, termasuk negara kita.

Kedai fotostat terdapat di mana-mana, terutama di lokasi berhampiran kolej, politeknik dan universiti. Harga perkhidmatan yang ditawarkan begitu rendah hingga RM0.03 bagi setiap muka surat saiz A4. Sebuah kedai fotosatat Taman Cempaka, Ipoh yang menjadi tumpuan budak Politeknik Ungku Omar, Ipoh dibuka hingga pukul 2.30 pagi!

Dari satu segi, kemunculan kedai-kedai fotostat banyak membantu pelajar membanyakkan bahan bacaan, berkongsi nota kuliah, atau menyediakan set item soal selidik. Pelajar juga dapat menjimatkan kos untuk menjilidkan kertas projek atau tugasan berkala. Kedai-kedai fotostat mampu menawarkan harga yang rendah kerana jumlah jualan yang tinggi.

Di dalam kawasan kampus juga terdapat pengendali perkhidmatan fotostat. Malah sesetengah perpustakaan universiti menyediakan mesin fotostat layan diri. Pelajar hanya perlu membeli kad prabayar yang sudah diprogramkan bernilai RM5 atau RM10.

Dari segi undang-undang hak cipta, kelonggaran fotostat diberi hanya untuk tujuan pembelajaran, dengan syarat membuat salinan dalam nisbah tertentu, misalnya tidak melebihi satu bab. Bahan fotostat itu pula hendaklah untuk kegunaan peribadi dan tidak boleh dikomersialkan. Jika terdapat aduan terhadap kes fotostat melebihi had yang dibenarkan, pihak yang berbuat demikian boleh didakwa di mahkamah.

Setakat ini Malaysia telah mula bertegas tentang urusan kuat kuasa undang-undang harta inteleks. Perisian palsu dan keluaran peranti jenama klon telah dirampas, penjual ditangkap dan premis mereka disita. Pengunjung Plaza Low Yatt di Bukit Bintang pernah menjadi saksi pekerja-pekerja perisian murah digari beramai-ramai untuk disumbat ke dalam sel tahanan.

Kekurangan buku teks, terutama di universiti sangat dirasai. Malah, terdapat naskhah yang dilabel sebagai buku "tanda merah", iaitu pelajar boleh membuat pinjaman dalam tempoh beberapa jam sahaja. Edisi murah luar benua Amerika pun masih sukar diperoleh.

Di sesetengah negara seperti Canada, terdapat peraturan membayar royalti kepada bahan fotostat buku. Kedai memasukkan caj royalti bersekali dalam bayaran perkhidmatan yang dikenakan. Rasa hormat terhadap hak cipta intelektual begitu tinggi.

Di Malaysia, kita perlu bermula dengan kempen dan pendidikan. Sambil itu, satu mekanisme kutipan royalti perlu disediakan terlebih dahulu supaya cubaan mengelat dapat dihadkan. Masyarakat hendaklah disedarkan bahawa aktiviti salinan mekanikal atau secara elektronik tanpa izin itu tidak ubah seperti kerja maling...