SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, September 1, 2013

SYARAHAN: MENSYUKURI NIKMAT KEMERDEKAAN NEGARA (THE CLEAR SENSE OF DIRECTION)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera,

Dalam bahasa yang paling mudah, merdeka ialah bebas daripada segala belenggu dan ikatan yang mengongkong. Dalam konteks sebuah negara yang berdaulat, merdeka ialah bebas daripada pengaruh dan telunjuk kuasa asing yang berniat jahat. Semua urusan politik, ekonomi, sosial dan kenegaraan disandang oleh anak watan tanpa tunduk kepada tekanan pihak ketiga.

Malaysia yang terbentuk daripada gabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak ialah suatu entiti geopolitik yang sah dan diiktiraf di seluruh dunia. Sesekali memang terdapat ancaman yang menguji keutuhan persekutuan yang ditubuhkan sejak tahun 1963 itu. Tuntutan pertindihan wilayah daripada negara jiran berjaya dikendalikan atas semangat diplomatik dan norma hubungan antarabangsa tanpa campur tangan ketenteraan.

Perjuangan kemerdekaan negara telah berputik sekian lama sejak keruntuhan empayar Melaka pada tahun 1511 lagi, lalu bersambung dengan gerakan nyah penjajah oleh pahlawan tempatan seperti Dol Said, Dato' Maharajalela, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau, Rosli Dhobi dan ulama yang menerajui pendidikan pondok di serata pelosok tanah air. Perjuangan menuntut kemerdekaan disuarakan menerusi pelbagai organisasi dan media cetak sambil berhadapan dengan tali barut penjajah durjana. Walaupun pada akhirnya penjajah menyerahkan pengisytiharan kemerdekaan negara kepada golongan bangsawan, jasa pejuang yang terdahulu tidak pernah padam dalam lipatan sejarah.

Tuan puan yang dikasihi,

Kemerdekaan negara ialah suatu nikmat yang wajib disyukuri. Sejarah imperialisme Barat menunjukkan bahawa mereka hanya melepaskan negara-negara yang dijajah dalam pertengahan abad ke-20 setelah berpuas hati bahawa tangan-tangan ghaib mereka masih mencengkam di negara bekas jajahan. Rasa rendah diri yang dialami oleh rakyat negara jajahan menjadikan mereka sebagai pengkagum negara bekas penjajah, terutama dari segi cara berfikir, cara bertindak dan berbahasa.

Misi gold, gospel and glory yang dibawa oleh penjajah Barat masih berbekas hingga ke hari ini. Sistem kenegaraan bekas negara jajahan masih berkiblat kepada negara bekas penjajah. Begitu berliku dan betapa sukar sekali proses membina jati diri dalam kalangan pemimpin yang rakyat yang masih terpesona dengan negara bekas penjajah mereka.

Kini penjajahan secara fizikal telah diganti dengan penjajahan barang dan perkhidmatan. Negara-negara maju dengan kuasa beli yang tinggi telah menguasai entiti antarabangsa yang penting, termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu, Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), blok dan pertubuhan perdagangan, serta syarikat gergasi multinasional. Negara bekas jajahan dilabel sebagai negara dunia ketiga dan negara sedang membangun sahaja.

Hadirin yang dimuliakan,

Kemerdekaan yang hakiki kelihatan begitu mustahil dalam era globalisasi yang merupakan kesinambungan agenda penjajahan Barat. Namun, kematangan dan kebijaksanaan sahaja yang akan membuka ruang yang lebih luas buat negara yang pernah dijajah untuk merungkai ikatan pengaruh bekas negara penjajah satu per satu. Pemimpin dan rakyat mesti bersatu hati supaya impian kemerdekaan yang tulen dapat dicapai sepenuhnya.

Malaysia semakin dihormati oleh masyarakat antarabangsa, sama ada oleh negara-negara umat Islam mahupun negara serantau dan benua berlainan. Jika dahulu negara lebih dikenali sebagai pengeluar utama bijih timah dan getah, kini negara menjadi tumpuan kegiatan ekonomi antarabangsa, termasuk urus niaga barang dan perkhidmatan yang berteraskan teknologi tinggi. Rakyat Malaysia juga telah berkelana ke serata dunia untuk menawarkan kepakaran dan perkhidmatan yang mampu menyumbang terhadap kebajikan insan.

Sikap tolak ansur yang menjadi asas perpaduan rakyat juga menjadi insurans atau jaminan kemakmuran negara. Namun, rakyat Malaysia dengan tegas menolak sebarang bentuk kekerasan sama ada ancaman jenayah, pelampau dan penganjur keganasan. Ukuran keamanan negara boleh disahkan menerusi jumlah ketibaan pelancong yang mencecah angka 30 juta orang saban tahun.

Tuan puan yang dirahmati,

Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana keamanan yang dikecapi membolehkan segara urusan kehidupan berjalan dengan lancar tanpa gangguan yang ketara. Rantau Asia Tenggara yang terkenal sebagai zon aman, bebas dan berkecuali turut menyumbang kepada keadaan tenang tenteram di negara kita. Pergolakan politik tempatan di setiap negara tidak melepasi sempadan negara masing-masing.

Sehingga ke hari ini tahap keselamatan di tempat tumpuan awam dan pelancong di Malaysia masih sangat dipercayakan. Pelancong asing dan tempatan bebas ke mana-mana tanpa bimbang berlakunya kejadian buruk, kecuali kes-kes jenayah yang bersifat terpencil. Rangkaian pengganas antarabangsa juga berjaya disekat daripada menyusup masuk ke dalam negara ini.

Usaha juga dilakukan ke tahap optimum untuk melemahkan modus operandi licik sindiket pengedar dadah antarabangsa, termasuk penyamaran keldai dadah dan bentuk  fizikal dadah yang mengelirukan. Kepakaran pasukan keselamatan dan kecanggihan teknologi pengesanan dadah digembleng sepenuhnya. Memang benar bahawa penjenayah dadah tidak akan berputus asa, tetapi hukuman paling berat akan dikenakan sebaik sahaja muslihat mereka terbongkar..

Sidang hadirin yang berjiwa merdeka,

Marilah kita mensyukuri nikmat kemerdekaan negara yang sedang dikecapi dengan tekad agar masyarakat kita sentiasa berganding bahu bagi memacu negara ke arah pencapaian sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Perbezaan pendapat yang berlaku hendaknya hanya bertujuan menuju kebaikan semata-mata. Kita belajar daripada pengalaman sejarah perjuangan kemerdekaan dengan fikiran yang terbuka, bukan untuk mengungkit kisah silam atau sekadar nostalgia.

Asas perlembagaan negara yang menjunjung tinggi martabat Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah diterima tanpa syarat. Pengorbanan masyarakat Melayu dan peribumi sekian lama perlu dihargai dan diingati sebagai suatu hakikat sejarah yang sah. Nilai-nilai murni tempatan perlu dijulang, manakala kebijaksanaan walau dari mana sekalipun hendaklah sentiasa diraikan, justeru al-hikmah dolatul mukmin.

Sekian sahaja syarahan kemerdekaan saya yang tidak sepertinya. Mudah-mudahan kita semua beroleh manfaat, petunjuk dan redha Ilahi. Merdeka, merdeka, merdeka!

Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh ...

No comments: