SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, May 2, 2015

JAMBATAN KEDUA PULAU PINANG MASIH LENGANG? (WAITING FOR THE COMPLETE PROJECT)

Walaupun sudah dibuka secara rasmi pada 1 Mac 2014 (klik di sini dan di sini), baru hari ini (2 Mei 2015) penulis blog (PB) bersama keluarga berkesempatan merentasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sepanjang hampir 24 kilometer itu. Ketika datang ke Pulau Pinang buat kesekian kalinya PB menggunakan laluan jambatan pertama yang hanya berjarak lapan kilometer dengan bayaran tol sebanyak RM7.00. Maka, apabila mahu kembali ke tanah besar Semenanjung, PB memilih jambatan kedua yang bersambung terus dengan Lebuh Raya Utara Selatan (Plus).

Sekilas pandang, jambatan kedua itu lebih kurang sama dari segi reka bentuk dan keluasan dua lorong bagi setiap hala. Cuma dengan jarak yang hampir tiga kali ganda, jambatan kedua lebih berkeluk-keluk dan kelihatan lebih canggih. Namun, PB tidak sempat menjengah kawasan rawat dan rehat yang tidak jadi di bina di bahagian gerbang tengah antara kedua-dua hala.

Sama seperti jambatan pertama, bayaran tol hanya dikenakan di bahagian menghala masuk ke Pulau Pinang, tetapi mahal sedikit iaitu RM8.50. Maka, perjalanan kali pertama itu kira percuma sahaja. Pemandangan di kiri kanan juga sangat menakjubkan dengan deretan pulau kecil tanpa penghuni.

Kekurangan jiran (kenderaan lain di hadapan, belakang dan sebelah) bagaimanapun bukanlah suatu perkara yang baik sepenuhnya. Jadi, sambil memandu kena banyak-banyak berdoa, membaca tasbih, tahmid dan takbir supaya pergerakan merentas Selat Melaka lancar lagi selamat. Maklumlah bahawa di laut luas begitu sudah tentu banyak makhluk ghaib, selain faktor keadaan kenderaan yang sukar diramal.
Jawapan kepada kemusykilan betapa kurangnya kenderaan yang memilih laluan jambatan kedua boleh diperoleh apabila menuju garis bermula jambatan. Oleh sebab jejambat yang menghubungkan Bayan Lepas dengan jambatan masih dalam proses pembinaan, pemandu harus berpusing-pusing di kawasan perindustrian di situ walaupun jambatan sudah seperti di hadapan mata. Buat sementara ini, kilang Benchmark benar-benar berfungsi sebagai penanda aras dan petunjuk sudah hampir tiba di bahagian permulaan jambatan kedua.

Barangkali setelah jejambat yang mendekatkan Bayan Lepas dengan jambatan, sambutan pengguna jalan raya terhadap jambatan kedua dapat diukur dengan lebih tepat. Buat masa ini, pengguna sanggup bersesak-sesak di jambatan pertama kerana faktor jarak dan waktu perjalanan. Promosi tentang kelebihan jambatan kedua perlu lebih agresif supaya memiliki daya tarikan yang tersendiri.

Ura-ura pembinaan terowong bawah laut dan kereta kabel (skyway) merentas Selat Melaka jika menjadi kenyataan bakal mewujudkan persaingan dari segi memenangi bilangan pengguna yang tinggi. Dari sudut penyuraian lalu lintas pada waktu puncak dan musim perayaan memang berbaloi, tetapi bagaimanakan dengan keberkesanan kos? Penilaian projek (kajian kmungkinan, feasible study) termasuk analisis input-output, kadar pulangan dalaman (IRR) dan nilai kini bersih (NPV) sudah pasti mengambil kira keperluan dan juga kebajikan orang ramai.

Sesungguhnya pengalaman kali pertama merentasi Selat Melaka dengan menggunakan laluan jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah) memang mengujakan. Pergerakan yang lancar, pemandangan yang indah serta ciri keselamatan jambatan yang tahan gempa sehingga berskala magnitud 8.2 dalam jarak 300 kilometer suatu jaminan psikologi. Kekerapan pasukan bantuan meninjau jika ada kenderaan yang bermasalah meningkatkan keyakinan pengguna bagi memilih laluan jambatan kedua ...

No comments: