Nampak gayanya kekalahan parah 0-10 di tangan UAE dahulu bukan semata-mata salah percaturan Dolah Saleh, ketua jurulatih Harimau Malaya ketika itu. Kalau dalam bidang penyelidikan ilmiah, kemungkinan wujudnya lebih banyak faktor di luar kawalan (extrenous variables). Maka, analisis pakar yang mengerti tentang kaedah faktoral dan regresi berbilang barangkali membantu.
Di negara-negara maju, sukan bukan sekadar suatu seni, bahkan suatu sains juga. Akademi bola sepak mereka mendapat input kepakaran pelbagai bidang, termasuk pemakanan, psikologi sukan, kepimpinan, organisasi dan perubatan. Walaupun cabaran benua Afrika dan Asia Barat semakin sengit, kedudukan kuasa bola sepak seperti Jerman dan Sepanyol masih bertahan.
Pasukan pelapis bawah 13 tahun negara baru-baru ini mencatat pencapaian memberangsangkan dalam siri jelajah Eropah. Mereka mampu membenam skuad akademi kelab terkemuka England satu demi satu dengan jumlah jaringan gol yang meyakinkan sehingga 7-0. Kelihatannya seperti sudah ternampak cahaya di hujung terowong.
Namun, kemenangan jangka pendek sedemikian bukanlah suatu jaminan yang utuh. Penyakit atlet badminton yang hanya menyerlah di peringkat remaja dunia patut diambil iktibar. Tambahan pula, bidang sukan tidak menjanjikan keselamatan kewangan sepanjang hayat, malah pembiayaan latihan pun hanya bermusim
Benarkah atlet negara kita belum mempunyai cara untuk mengekalkan angin, kecergasan atau stamina apabila berhadapan dengan lawan di tahap tinggi? Hal itu memerlukan kajian, bukan setakat dakwaan kosong. Sudah tiba masanya segala kepakaran tempatan dikenal pasti dan digembleng bagi menangani isu berkenaan.
Palestin memang sebuah negara bergolak, tetapi pemain bola sepak mereka bermain dalam liga terkemuka di rantau timur tengah. Kelebihan fizikal pemain yang gagah dan tegap menjadi bonus kepada sukan berbentuk agresif seperti bola sepak. Palestin masih belum begitu dikenali sebagai kuasa bola sepak yang disegani, tetapi Malaysia pula kian terhumban di dasar tercorot kedudukan dunia.
Memandangkan Harimau Malaya hanya mengaum di rantau Asia Tenggara, impian untuk melangkah dalam kejohanan lebih berprestij di peringkat antara benua ibarat fatamorgana. Negara kuasa bola sepak belakangan ini memiliki lebihan besar pemain berbakat, lalu di'eksport' sebagai pemain naturalisasi di negara jiran kita. Jika kita terus dengan cara yang sama, milieu kepimpinan sukan yang sama dan perancangan secara cuba jaya, hanya nasib baik berlaku sekali-sekala ...
No comments:
Post a Comment