Saturday, February 27, 2016
PASAR BERGERAK KEMBOJA KURANG SAMBUTAN (THE POWER OF TASTE AND TENDING)
Kejatuhan harga bahan api petroleum sepatutnya menurunkan kos sara hidup penggu, tetapi keadaan sebaliknya berlaku. Sumbangan royalti petroleum dan cukai keuntungan korporat oleh Petronas turut menyusut secata mendadak. Nilai mata wang Ringgit Malaysia yang turut merosot dengan teruk seharusnya meningkatkan daya saing eksport, namun masih bergantung kepada persekitaran perniagaan semasa dan jangka panjang.
Pelaksanaan rejim cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada peringkat awal dianggarkan mengurangkan perbelanjaan agregat sehingga 30 peratus. Golongan peniaga pula enggan menurunkan harga barang walaupun kos bahan api petroleum sudah turun. Akhirnya mereka juga yang mengeluh kerana pengguna didapati kurang berbelanja.
Di sebalik kesuraman urus niaga tertentu, masih ada kelompok pengguna yang memiliki kuasa beli yang tinggi. Dari segi psikologi, segmen berkenaan lebih mementingkan nilai setiap pembelian, khususnya mutu barangan. Barang berstatus bawahan dan bermutu rendah tidak menarik minat mereka.
Kegiatan perniagaan tanpa premis tetap masih popular justeru berdekatan dengan kawasan perumahan. Pasar malam, pasar tani dan pasar bergerak menerima kunjungan yang menggalakkan. Maka, peniaga mesti bijak membaca permintaan pasaran di sesuatu kawasan.
Sambutan hangat pasar borong masyarakat Kemboja Parit Buntar mendorong penerokaan pasar bergerak antara bandar di seluruh Semenanjung. Di Ipoh, mereka datang secara berkala di tapak-tapak sewaan yang berbeza. Misalnya dua bulan lepas, pasar bergerak itu ditempatkan di Tambun, tetapi kali ini di tapak pasar malam Rapat Setia Baru.
Penduduk Rapat Setia dan taman-taman perumahan berhampiran kebanyakannya berpendapatan sederhana dan tinggi. Akses terhadap butik, gedung pakaian dan pasar raya begitu mudah. Maka, jika peniaga pakaian borong masyarakat Kemboja mahu berjaya memikat penduduk Rapat Setia, barang jualan yang ditawarkan sepatutnya eksklusif dengan paras harga yang munasabah.
Pengamatan penulis blog (PB) menunjukkan bahawa pasar bergerak masyarakat Kemboja tidak begitu berjaya menggamit kedatangan penduduk Rapat Setia. Walhal, pasar bergerak Kemboja yang bermula pada hari Khamis itu bertepatan dengan tarikh gaji kakitangan awam dan swasta. Pengunjung yang datang pula lebih banyak membelek barang jualan daripada membuat keputusan pembelian.
Seorang peniaga yang ditemui mengatakan bahawa dia mungkin menutup perniagaan lebih awal daripada jadual menjelang tengah malam Ahad jika sambutan pengguna terus dingin. Pengalaman kemeriahan urus niaga di Tambun tidak berulang. Selepas Rapat Setia, peniaga pasar bergerak masyarakat Kemboja bakal mencuba nasib di Kuala Selangor ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment