Saturday, April 9, 2016
KOPERASI GURU MELAYU KEDAH PATUT DICONTOHI (GENUINE BUSINESS DEAL)
Kesempatan menginap di bilik family suite di Hotel Darul Aman, Jitra milik Koperasi Guru Melayu Kedah (KGMK) memberi banyak input tentang gerakan koperasi guru yang berkesan. KGMK berjaya mengumpul aset tetap tidak alih, iaitu hartanah yang memungkinkan kutipan hasil yang berpanjangan. Pemilikan beberapa buah hotel di lokasi strategik berkaitan pendidikan ternyata lebih baik daripada menerima anugerah tanah puluhan ekar, tetapi berpindah tangan kepada pemaju demi keuntungan atas angin dan segera.
Hotel Darul Aman berdekatan dengan kampus Institut Aminuddin Baki cawangan utara, Institut Perguruan Darul Aman dan Politeknik Jitra. Kadar penginapan yang rendah sekitar 30 peratus pada hari-hari biasa boleh ditampung oleh permintaan waktu puncak seperti musim pendaftaran pelajar baharu, konvokesyen dan program pentaksiran berkala. Hubungan strategik dengan pihak jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah juga memungkinkan KGMK beroleh pulangan untuk pakej penginapan atau penganjuran pelbagai program yang berkaitan.
Secara asasnya koperasi guru bertujuan menjaga kebajikan sesama anggota. Selain perkhidmatan pinjaman kewangan, koperasi memperuntukkan sejumlah hadiah kewangan bagi anggota yang menunaikan haji, kecemerlangan akademik anak dan khairat kematian. Caruman saham, simpanan khas dan yuran keanggotaan lazimnya diberikan dividen tahunan, bergantung kepada keuntungan koperasi yang telah diaudit secara profesional.
Walaupun sumbangan saham dan yuran anggota secara individu relatif kecil jumlahnya, namun apabila digabungkan boleh mencecah jutaan ringgit. Maka, dana yang besar itu boleh digunakan untuk mengembangkan kegiatan koperasi mengikut tatacara yang dibenarkan. Koperasi juga boleh memohon tanah kurniaan daripada kerajaan negeri untuk diagih-agihkan dalam kalangan anggota.
Peraturan kewangan yang ketat tetapi telus menyebabkan kes pecah amanah dalam gerakan koperasi jarang-jarang kedengaran. Masalah hanya terjadi atas aset anugerah seperti tanah kurniaan tadi. Terdapat koperasi yang mengambil jalan mudah bagi mengaut keuntungan segera dengan menyerahkannya kepada pemaju hartanah atas konsep perkongsian keuntungan.
Matlamat asal kurniaan tanah tidak tercapai. Anggota koperasi yang sepatutnya berkongsi lot tapak kediaman rumah sebuah akhirnya berputih mata. Mereka tidak mampu membeli unit kediaman mewah walaupun sebuah rumah teres yang dimajukan di atas tanah kurniaan tadi.
Koperasi yang berbuat demikian sepatutnya tidak lagi layak memperoleh tanah kurniaan pada masa hadapan. Sebaliknya, tawaran lot tanah perlu dibuat secara individu kepada anggota koperasi menerusi sebuah jawatankuasa khas yang terikat dengan tatacara tindakan piawai (S.O.P) tertentu. Pihak Angkasa selaku organisasi induk gerakan koperasi kebangsaan hendaklah membuat teguran keras terhadap koperasi yang terbabit.
Berbalik kepada KGMK, keupayaan mereka mengembangkan aset dan mengurus tanggungan (liabiliti) dengan cekap menunjukkan tahap amanah dan integriti yang tinggi. KGMK bergerak pada landasan yang tepat, terancang dan strategik. KGMK memang layak dijadikan contoh sebuah gerakan koperasi guru yang berjaya ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment