SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, May 16, 2009

REMAJA MEMILIH LAGU BARAT, EPL *




Tinjauan rambang terhadap remaja seluruh dunia (menerusi laman blog, sesawang, forum, chatting) mendapati bahawa selera muzik mereka tertumpu kepada karya dari Barat, khususnya UK dan USA. Nama seperti Miley Cyrus, Rihanna, Justin Timberlake (sekadar beberapa nama) meniti di bibir remaja. Aliran muzik alternatif dan indies turut mendapat sambutan hebat dalam kalangan remaja. Sebaliknya, elemen irama asli dan tradisional tempatan seakan-akan terpinggir dan dibuang jauh-jauh. Anda boleh bertanyakan mana-mana remaja yang memiliki gajet seperti telefon bimbit atau i-pod. Koleksi lagu manakah yang dimuat turun atau dijadikan nada dering?

Bab sukan juga demikian. Remaja lebih berbangga menyarung jersi MU, Chelsea, Liverpool, Arsenal, dan Barcelona. Nama seperti Christiano Ronaldo, Frank Lampard, Michael Owen, Didier Drogba, dan David Beckham terpampang di belakang jersi yang mereka pakai. Peniaga juga takut menanggung risiko mengeluarkan jersi pemain liga tempatan yang mungkin hanya laku jika dijual secara lelong (harga bawah kos) , bundle, atau reject di pasar-pasar malam. Memang ada jersi-jersi negeri (Liga Super, Malaysia) dengan nombor pemain, tetapi tiada nama pemain dipaparkan. Itu pun dipakai ketika berlangsungnya perlawanan di stadium. Jika digayakan di pasar raya dan ketika berjalan-jalan, terasa seperti semua orang di sekeling mencebikkan bibir, gelak besar dan mengutuk gitu. Mana ada kelas!

Para pemimpin masyarakat (yang tidak kurang mengkagumi Barat!), tokoh budaya, penggiat seni tempatan, dan media sering menyuarakan rasa cemas terhadap fenomena remaja itu. Apa kurangnya produk tempatan, hujah golongan yang sudah lupa bahawa ketika zaman remaja mereka juga menghafaz lirik lagu balada seperti Feelings, Miracle, Hold Me Close, Green Green Grass of Home, Delilah, You Mean Everything To Me, Grease, How Deep is Your Love, Hopelessly Devoted to You, Hotel California, Soldier of Fortune, Staying Alive, dan terlalu banyak lagi. Stiker Bee Gees, Olivia Newton John, dan Tom Jones ditampal di fail nota dan buku. Pengaruh jambul, kasut tajam dan seluar bell-bottom John Travolta (filem Saturday Night Fever) begitu ketara pada awal 1980-an. Sedangkan pada era berkenaan hanya ada TV1 hitam putih, dan Radio Rangkaian Nasional (sekarang Klasik Nasional), dengan mutu audio gelombang analog, tiada FM atau digital. Namun, terdapat lambakan majalah, katrij dan kaset lagu-lagu Barat. Lagu-lagu Melayu juga sebahagian besarnya ialah saduran lagu Barat.

Pencinta bola sepak pula lebih mengingati Gerd Muller (Jerman Barat), Johan Cruff (Belanda), Zico (Brazil), Kevin Keegan (England) dan Paulo Rossi (Itali). Mujur juga Malaysia layak ke Olimpik dua kali, pernah menewaskan USA 3-0, mengekang asakan Jerman Barat selama 60 minit sebelum kecundang 0-3, dan dibelasah oleh Maghribi 0-6. Nama seperti Syed Ahmad, Mokhtar Dahari, Namat Abdullah. Arumugam dan Wong Kam Fook cukup popular. Malah, pasukan Malaysia pernah seri 1-1 dengan England B (kemudian tewas 2-4 kepada skuad utama England, dengan dua jaringan mengejut Matlan Marjan, pemain Sabah). Pada masa itu pasukan hebat EPL ialah Liverpool, Queens Park Rangers, Derby County, Stoke City, Leeds United dan Newcastle. MU, Arsenal dan Chelsea hanya muncul gah lewat 1990-an.

Saya bertugas di sebuah sekolah teknik (SMT) selama lebih sepuluh tahun. Keistimewaan SMT ialah lawatan industri. Maka, dalam setahun biasanya dua kali saya akan mengiringi kumpulan pelajar melawat organisasi dan sektor industri seperti Perwaja Steel, ibu pejabat Lembaga Tabung Haji, dan Ladang Jendarata. Maka, dalam perjalanan sudah tentu membosankan jika hanya tidur dan memandang kosong ke luar. Sebagai guru Prinsip Akaun dan Ekonomi Asas, saya biasanya membawa pelajar jurusan perdagangan yang didominasi pelajar perempuan. Dalam kelas bukan main control cun, dan susah nak dengar suara pun! Tahu apa kaset pilihan yang mereka pasang?

Saya bukanlah antimuzik, tetapi berasa pening dan terpaksa menutup telinga. Tahu kenapa? Itu awek (murid sayalah) pasang lagu heavy metal, trash, underground yang saya tak reti nak menikmatinya. Pulak tu, semua sekali bersepakat, tak ada yang membantah. Akhirnya, saya menggunakan veto supaya lagu berirama lebih perlahan dan liriknya agak jelas sahaja dikumandangkan. Komprominya, kalau nak pasang juga lagu keras, perlahankan volume. Mungkin (ya, mungkin) murid saya menganggap cikgunya tak sporting, konservatif, dan kekampungan walaupun baru mencecah usia pertengahan 20-an ketika itu. Bukan, bukan, bukan! Mungkin itu yang dikatakan jurang generasi (generation gap). Para remaja akan memahaminya apabila mula mengetuk pintu pascaremaja (muda belia, dewasa, dan oppps..... tua) nanti. Hampir semua murid (aweks) yang menyertai rombongan hari tu telah grads, sebahagiannya dari universiti ternama UK dan US, dan telah menyandang kedudukan yang tinggi dalam kerjaya, perniagaan dan akademik. Cikgunya... hehehe... masih berulang-alik ke sekolah le...

Dah panjang sangat? O k lah, kita sambung kemudian aje...





* Tulisan ini mengandungi perkataan dan ujaran yang bersifat basahan, yang ditulis secara bold dan italic (bahasa pasar, slanga, dan laras perbualan remaja). Maka, sebarang kemuyskilan bolehlah dirujuk terus kepada penulis blog, atau guru bahasa anda sendiri
)

HARI PERTAMA LA3 BELAJAR EKONOMI

Tanggal 15 Mei 2009 (Jumaat) buat pertama kalinya pelajar LA3 beriteraksi secara langsung dengan guru Ekonomi, mereka, tidak lain tidak bukan, penulis blog inilah. Seperti biasa dalam pertemuan pertama, semua sekali memakai topeng, tunjuk skema, dan serba serbi formal. Keadaan begitu tidak akan bertahan lama, justeru true colours masing-masing, sama ada murid dan guru, tidak boleh disembunyikan dalam tempoh yang lama.

Untuk memecahkan perisai pertahanan (helah bela diri, defence mechanism), rasa curiga, dan terlalu berhati-hati, guru memilih pendekatan pecah ais (ice-breaking). Tiga aktiviti dijayakan, iaitu nombor ajaib, petak segi empat sama tersembunyi, dan rantai nama. Berdasarkan penglibatan pelajar, beberapa kesimpulan telah dibuat, dan dikaitkan dengan pemupukan kemahiran generik pembelajaran aras tinggi. Tahap kenyaringan suara pelajar, perasaan dan perhatian pelajar juga dapat diukur menerusi tanggapan pertama (first impression).

Aktiviti nombor ajaib telah menunjukkan bahawa perbezaan cara, latar belakang dan stail pembelajaran boleh dikekalkan tanpa menjejaskan pencapaian matlamat kecemerlangan. Pelajar juga mengakui bahawa kepekaan terhadap keperluan tugasan yang ditetapkan (masing-masing mesti memilih tiga digit 1 – 9 dengan susunan tertib yang besar dahulu) ialah sine qua non kepada aktiviti bersifat kumpulan. Mungkin ada yang pernah melakukan aktiviti yang sama, namun diberi sentuhan yang baharu, sesuai dengan tahap pelajar prauniversiti.

Aktiviti hidden squares menyerlahkan sikap bertindak tanpa berfikir dua kali sering mengakibatkan kesilapan yang teruk. Dalam kebanyakan kes dan situasi, kita seharusnya memberi ruang untuk fikiran kedua. Selain itu, bagi mencapai tahap persis (jitu), kaedah tertentu hendaklah digunakan. Jika hendak meyakinkan orang lain terhadap sesuatu dapatan dan penemuan kita, penerangan langkah demi langkah wajib dipersembahkan dengan jelas dan mudah difahami. Maknanya, proses ke arah pencapaian sesuatu hasil yang diharapkan adalah lebih penting daripada pernyataan hasil itu sendiri.

Aktiviti rantai nama membangkitkan kelucuan dan rasa bangga apabila rakan yang baru dikenali dapat menyebut nama rakan yang lain secara separuh betul. Ikatan kumpulan (group binding) menjadi prasyarat kejayaan sesuatu organisasi selagi mana tidak wujud penyelewengan, atau pelakuan berakhlak rendah. Aktiviti rantai nama boleh dijadikan titik tolak kaedah pengajaran sebaya (peer teaching) bagi mengimbangi penyampaian guru yang mungkin sekali sipi dengan laras bahasa remaja. Gabungan kehebatan pelajar dan guru Ekonomi memungkinkan rekod baru pencapaian STPM kohort sebelum ini dipecahkan saban tahun, insya-Allah.

Hari Isnin (18 Mei 2009), aktiviti melukis lambang (siling dan unsur alam), rebut 400 akan dibuat. Lembaran pandang seluruh (bird’s view) bidang pembelajaran Ekonomi STPM juga bakal diedarkan. Kepada semua 16 orang pelajar LA3, selamat maju jaya. Ingatlah bahawa, SMI ialah teman kecemerlangan anda!

Wednesday, May 13, 2009

hadiah buat guru

16 Mei hari keramat
hari ditabal mahkota impian
dijunjung, dilambung, disanjung
bakti dilukis jasa dihitung
atas baldu bersulam maknikam

pesta dibuka dengan perutusan
pembesar negara menitip bicara
menyanyi guru setia diikrar
menyalakan cahaya segenap buana

hadiah dihulur bunga disemat
sketsa syahdu sentuhan puisi
luahan yang kudus
mendekam di sanubari

kudrat dua generasi
di gelanggang pertembungan
yang satu memberi laluan
yang satu merelakan

tawa riang lafaz bersusun
juadah disaji layanan bestari
dibawa bayu cerita semalam
bagai terbina istana nan masyhur

esok pasti tiba
kembali ke garis mula
membawa piala kenangan
setahun berselang menunggu


AZHAR BIN MOHD RODZI
13 Mei 2009, Ipoh

Monday, May 11, 2009

taklimat ekonomi 6 rendah smi 2009




ipoh 12 mei 2009 (selasa)
Satu taklimat ringkas tentang pengenalan mata pelajaran ekonomi untuk sejumlah 67 orang pelajar jurusan kemanusiaan smi telah disampaikan oleh penulis blog. Dalam tempoh 12 minit sebanyak 27 slaid power point telah dipaparkan. Pelajar memberi respons yang menggalakkan.

Apabila penceramah cuba mempromosikan blog, pelajar nampaknya berasa lucu. Begitu juga apabila diperkenalkan teks mikroekonomi, terdengar jua keluhan. Bab-bab duit, wang, al-fulus, no money no talk ni memang sensitif sikit! Namun, itulah hakikatnya bahawa sesuatu perjuangan menuju kejayaan akan ada ongkosnya!

Perkara paling penting yang ditekankan oleh penceramah ialah kemahiran generik pembelajaran ekonomi. Penceramah menyarankan konsep learning by doing, iaitu memberi tumpuan terhadap tertib huraian sesuatu konsep ekonomi yang turut mengandungi andaian, simbol, data hipotetikal, data sebenar, model, rumus, gambar rajah, paksi, label, huraian dan penegasan teori. Pelajar ekonomi mesti memberi tumpuan terhadap penerangan guru, justeru itulah cara yang paling cekap. Menerusi penerangan guru, sesuatu konsep dapat dikuasai dalam tempoh 10 minit, berbanding dengan pembelajaran seorang diri yang mungkin memerlukan dua hari untuk menguasai konsep yang sama.

Dari segi aplikasi tahap tinggi, ilmu ekonomi dapat membantu seseorang pemimpin negara memilih pendekatan dasar fiskal dan dasar kewangan yang sesuai dalam menghadapi sesuatu keadaan ekonomi. PM ke-6 Malaysia ialah seorang lulusan ekonomi. Malah, banyak pemimpin dunia memiliki latar belakang pengajian ekonomi semasa di peringkat pengajian tinggi mereka.

Pengajian ekonomi STPM dibahagikan kepada dua kursus, iaitu mikroekonomi dan makroekonomi. Kajian mikro ialah tentang individu, manakala makro tentang agregat. Perhatikan beza ejaan kedua-duanya, i dengan a! Dari ejaan sahaja, kita sudah boleh menentukan perbezaannya.

Maka, mempelajari ekonomi bukanlah sesukar yang disangka! Syaratnya, dengar cakap cikgu, beri tumpuan, dan sentiasalah perbaharui komitmen. SMI teman kecemerlangan anda!

Sunday, May 10, 2009

Selamat Datang Pelajar Tingkatan 6 Rendah





Pagi ini, 11 Mei 2009 (Isnin) SMK St Michael, Ipoh (SMI) menerima kemasukan sejumlah 219 orang pelajar lepasan SPM 2008 yang melapor diri bagi meneruskan pengajian pascamenengah, atau lebih tepat prauniversiti. Sama ada jumlahnya akan kekal atau berubah, bergantunglah kepada perancangan kumpulan pelajar 18 tahun berkenaan. Pengajian Tingkatan Enam yang menjurus kepada penganugerahan STPM boleh dilihat sebagai pilihan untuk merebut tempat di IPTA bagi kursus sarjana muda.

Rata-rata pelajar yang ditemui masih belum membuat keputusan muktamad sama ada untuk kekal di SMI, atau memilih jalan lain. Ada yang sudah mengintai peluang pekerjaan sambil mencongak peluang pengajian tinggi secara sambilan. Ada juga yang masih mengharap panggilan dari institusi pengajian lain seperti matrikulasi (simpanan), kursus diploma IPTA, politeknik, IKM, IKBN, kolej (universiti) swasta dan sebagainya.

Program orientasi atau suai kenal yang dianjurkan oleh pihak sekolah, dengan kerjasama Persatuan Pelajar Tingkatan Enam akan merungkai beberapa persoalan, di samping memberi input sebagai pedoman untuk pelajar membuat keputusan. Pada hari Jumaat, pelajar akan mula masuk kelas untuk melengkapkan butiran diri dalam rekod daftar sekolah. Pada minggu berikutnya, pelajar akan didedahkan dengan sukatan pelajaran dan kemahiran generik pembelajaran aras tinggi.

Tempoh sebulan boleh dijadikan sebagai "window shopping" sebelum sebarang keputusan muktamad ditetapkan. Guru tingkatan 6 SMI sedia membantu pelajar merealisasikan impian kecemerlangan mereka seperti yang tercatat sebagai rekod pencapaian STPM kohort sebelum ini. Dengan penambahbaikan skim perkhidmatan guru dan gaya pembelajaran tingkatan 6, daya tarikan STPM dijangka menjadi lebih hebat.

Tingkatan 6 bakal ditadbirkan secara berasingan daripada pelajar menengah rendah (tingkatan 1 - 3), dan menengah atas (4 - 5). SMI akan menerima seorang Penolong Kanan Tingkatan 6 (gred DG 48), dan 4 orang guru kanan kokurikulum (gred DG 44), di samping beberapa orang guru akademik gred DG 48 dan DG 52. Kemudahan teknologi p & p, dan pusat sumber khusus untuk tingkatan 6 dijangka akan dinaik taraf dalam tempoh yang terdekat.

Kebanyakan tokoh cendekiawan, pemimpin negara, pegawai tinggi kerajaan, pensyarah kanan (termasuk profesor), diplomat, tokoh korporat dan swasta pernah melalui sistem tingkatan 6. Maka, tanggapan bahawa tingkatan 6 sebagai pilihan terakhir sama sekali meleset. Hakikatnya ialah pengajian tingkatan enam menjadi laluan utama memasuki kursus-kursus penting di peringkat pengajian tinggi.

Selamat belajar. SMI mengalu-alukan kehadiran anda!

mesti baca: arkib bulan april 2009

Senarai Tajuk Menarik sepanjang bulan April 2009:

1. Berita
a) Bowling Kelab Staf SMI
b) Kejohanan Sukan ke-82 SMI
c) Kawat Kebakaran SMI siri 1

2. Isu Semasa
a) Satu Malaysia: Konsep dan Prospek Kebolehlaksanaan
b) Proton Exora, anda pasti kagum!

3. Anekdot
a) Menjejak Kenangan di Parit Jawa
b) Kisah Air Kelapa Jumbo

4. Ekonomi
a) Pengenalan Mata Pelajaran
b) Krisis Ekonomi Global: Retrospek dan Potensi Pemulihan

5. Bahasa
a) Prinsip Fonemik: Penggunaan dan Salah Faham
b) Program Nilam Menyerlahkan Kejayaan SMI

Tuesday, May 5, 2009

RAMA MINUM SUSU KAMBING, JANGAN BUNUH DIA!

Dalam penulisan, kita hendaklah mengambil berat akan penggunaan tanda baca seperti koma, titik bertindih, pengikat kata, noktah, tanda soal, tanda seruan, dan lain-lain. Jika keadaan yang sebaliknya berlaku, risikonya cukup tinggi. Boleh jadi lucu, boleh jadi ada yang akan menjadi mangsa! Mari baca ayat-ayat berikut dengan intonasi yang betul.

1. Rama minum susu kambing. *

2. Rama, minum susu kambing.

3. Rama minum, susu kambing.

4. Rama minum susu, kambing.

Adakah anda perasan akan perbezaan antara ayat berkenaan? Betul, yang pertama ayat penyata. Yang kedua, ayat perintah (suruhan), yang ketiga ayat cakap ajuk (memberitahu susu kambing bahawa Rama minum), dan yang keempat juga ayat cakap ajuk. Tetapi, cakap ajuk yang melibatkan seseorang dengan kambing!

*terima kasih kepada Cikgu Mohd Nizam Shohor, SM Teknik Persiaran Brash, Ipoh atas
sumbangan idea tuan ini

Baca pula ayat-ayat di bawah.

1. Jangan bunuh dia.

2. Jangan, bunuh dia.

Lebih dahsyat, bukan? Yang satu hidup, yang satu lagi mati.

Dalam bahasa Arab, keadaannya lebih rumit. Huruf alif, jika ditambah atau ditinggalkan akan membawa makna (konotasi) yang sama sekali berlawanan (antonim). Sebab itu preskripsi doktor pada dos ubat mesti ditulis dengan jelas supaya tidak akan ada pesakit ringan terminum ubat sapuan yang beracun.

Jika anda menjadi komander kawat kaki, pastikan bahawa tekak anda tidak bermasalah sehingga mengeluarkan bunyi arahan yang mengelirukan. Pastikan anda tahu meletakkan koma, noktah, jeda dan yang seumpamanya. Jangan jadikan platun anda sebagai mangsa.

Pendek kata, penggunaan tanda baca di tempat yang sesuai dan wajar memungkinkan ayat yang anda tulis tidak dibaca di luar konteks. Tanda baca yang digunakan sebenarnya memudahkan tugas sang pembaca! Sekian, dan selamat menulis.

MAHKOTA YANG SIRNA: SEBUAH SKETSA KEHIDUPAN

Tuan disahkan menghidap barah hati peringkat akhir. Ayat ringkas yang terpacul daripada bibir Dr. Salleh, pakar patologi organ dalaman itu bagaikan hakim yang menjatuhi hukuman mati. Buat seketika, degup jantung Edi bagaikan terhenti. Semua darah yang terkandung dalam tubuhnya bagaikan bergerak ke bahagian kepala.

Edi, jangan cepat berputus harap. Mana tahu ada keajaiban akan berlaku. Berdoalah kepada Tuhan Yang Maha Esa. Mengadulah kepada-Nya. Lembut suara Dr. Salleh cuba memberikan sisa-sisa harapan walaupun menyedari bahawa pesakit di hadapannya sukar sekali menerima hakikat. Edi masih kelu. Namun, tiba-tiba dia bingkas bangun meninggalkan bilik doktor dengan tergesa-gesa. Dr. Salleh sudah biasa dengan keadaan itu. Edi dibiarkan berlalu membawa seribu kehampaan dan kepiluan.

Bagaimana aku yang baru menginjak usia dua puluh tahun boleh menerima nasib begini? Apa salah diriku? Tinggal tiga bulan mengikut anggaran doktor untuk Edi bergelar insan. Selepas itu...? Edi tidak sanggup meneruskan bayangan itu. Dia tidak gagah untuk semua itu.

Kehidupan Edi serba cukup. Ayahnya seorang tokoh korporat yang disegani. Ibunya seorang pensyarah universiti. Edi sendiri baru memulai cuti semester University of Princeton, New Jersey, USA dalam bidang pengajian sains aktuari. Kalau hendak ke mana-mana Edi boleh memilih sama ada hendak memandu kereta sport, atau dihantar oleh supir (pemandu) keluarga. Kakaknya sudah berumah tangga dan memiliki sepasang cahaya mata. Daniel, adik kecilnya baru berusia lima tahun.

Rupa-rupanya kehidupan begitu singkat. Pilihan bukan di tangan manusia. Hati kecil Edi di titik rasional. Kini, Edi berasa cemburu dengan si pemungut kotak jalanan yang dilihatnya hari-hari. Apek tua itu tega menyelongkar timbunan sampah kalau-kalau ada ’emas’ yang tercicir. Apek itu kelihatan menyeringai menampakkan 32 puntung gigi asli yang masih tersusun rapi apabila pencariannya tidak sia-sia. Kotak-kotak yang lusuh diikat di belakang basikal tua dan kemudian basikal itu didorong perlahan-lahan. Barangkali, apek itu menjualnya di pusat kitar semula. Edi hanya mengagak. Dia tidak pasti.

Di New Jersey, Edi juga pernah melihat sekumpulan pengemis kulit hitam nyenyak seperti diulit mimpi indah di kaki lima kedai. Mereka berbantalkan lengan, bertilamkan jubin yang dingin, dan beratapkan balkoni kedai untuk berlindung daripada terjahan hujan dan panas yang bagaikan berdendam tidak sudah-sudah dengan tanah yang dipijak manusia. Bilakah Barrack Obama dapat melenyapkan putaran ganas kemiskinan yang masih mencengkam dan menghantui hampir tujuh peratus warga negara Uncle Sam yang paling berkuasa itu? Siapa yang peduli dengan kaum pendatang hispanik dan peribumi Red Indian? Edi seolah-olah lupa seketika akan takdir dirinya sendiri sebentar tadi.

Entah bila kereta Edi meluncur hingga dia betul-betul berada di hadapan pagar kediaman keluarganya yang persis sebuah istana Melayu dahulu kala. Tiba-tiba satu lagi dilema menjelma dalam benak Edi. Mahu berterus terang atau pendamkan sahaja? Lagi pun Edi tidak memaklumi sesiapa pun bahawa dia menjalani pemeriksaan selepas semalaman tidak bisa melelapkan mata walaupun sepicing. Justeru Edi merasakan sesuatu yang tidak kena dengan sistem fisiologinya. Dalam keadaan ya dan tidak itu, Edi sudah berada di ruang letak kereta. Keputusan masih belum muktamad.

Wahai pembaca budiman, bantulah Edi membuat keputusan. Selamat berfikir… babai, tata!!! Layan...

Monday, May 4, 2009

PELANCARAN KELAB BADMINTON STAF SMI


Sesudah melalui proses perbincangan dan sumbang saran, KELAB KILAS TANGKIS menjadi pilihan nama baharu kelab badminton naungan kelab staf SMI yang diterajui oleh Cikgu Maulid bin Ismail. Selain itu motto "RENTAS JUARA" bakal menyemarakkan entusias para pemain untuk menyerlahkan bakat dan potensi yang telah digilap sekian lama. Setelah berjaya membuat penarafan pemain baru-baru ini, Kelab Kilas Tangkis kini siap siaga untuk berentap dengan cabaran pasukan lain.

Cikgu Maulid sebenarnya telah merisik pasukan-pasukan yang mampu memberikan saingan kepada Kelab Kilas Tangkis ini. Antaranya Kelab Retro Kinta, Alumni SMI, Kelab Staf Sam Tet, Kelab Badminton Bomba, skuad pelapis SMI, dan lain-lain. Kelab Kilas Tangkis menetapkan sasaran memenangi semua perlawanan yang diatur. Untuk itu, pemain tidak dibiarkan bergantung kepada kemahiran individu semata-mata, sebaliknya diberi suntikan nilai tambah dari segi kecergasan, kekuatan mental, strategi, taktikal, dan teknikaliti peralatan, serta kesesuaian pakaian semasa pertandingan.

Seterusnya reka bentuk logo Kelab Kilas Tangkis masih dalam proses pemantapan tema. Kelab Kilas Tangkis boleh dianggap sebagai unik justeru menggabungkan kepelbagaian latar belakang ahlinya. Ada yang sudah bertaraf otai, ada pemain berprestasi tinggi, dan ada pemain yang ala-ala semi pro! Selain itu, Kelab Kilas Tangkis yang berpangkalan di SMI turut menerima keahlian para sahabat dari rakan sejawatan di sekolah lain dan pekerjaan yang lain juga. Namun demikian, Kelab Kilas Tangkis ini pada asasnya menjadi milik dan naungan Kelab Staf SMI yang sentiasa berpegang kepada konsep perkongsian bijak demi kebaikan profesion keguruan amnya.

Buat sementara ini, Kelab Kilas Tangkis hanya dibuka kepada kaum jejaka. Pasa masa hadapan, dengan merujuk kepada jawatankuasa syariah SMI, mungkin versi feminin Kelab Kilas Tangkis bakal dibentuk. Aktiviti-aktiviti Kelab Kilas Tangkis diharapkan tidak sekadar berakhir di gelanggang MBI dan Restoran Sabar Menanti, tetapi boleh diperluaskan kepada keluarga anggota, atau mungkin juga menjadi didaftarkan sebagai entiti yang sah, dan barangkali berpotensi untuk dikembangkan sebagai sebuah koperasi suatu hari nanti, insya-Allah.

Friday, May 1, 2009

BULU TANGKIS AKHIR: ZUL – RAVI VS. SHAKIR – SAIFUL





Gelanggang badminton MBI telah menjadi saksi kehebatan dua beregu handalan Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) menempah tiket ke perlawanan akhir 29 Mei 2009 sempena sambutan hari guru. Tanggal 1 Mei, cuti hari pekerja membawa tuah kepada Cikgu Zulkefli bin Sulaiman (Jabatan Bahasa) berpasangan dengan Cikgu Ravindran (Jabatan Kaunseling), sambil diiringi dan bakal berentap dengan Tuan Haji Shakir bin Tayat (Jabatan Pendidikan Islam) berpasangan dengan Cikgu Saiful Bahri (Jabatan Kemahiran Hidup). Mereka mengecewakan En. Badrul – En Shahrul (Jabatan Pengetua), dan Cikgu Maulid (Jabatan Ekonomi – Perniagaan) – Cikgu Zulkarnain (Jabatan Pendidikan Jasmani Pendidikan Kesihatan) di peringkat separuh akhir.

Beregu lain yang berjaya memenangkan pihak lawan ialah Cikgu Ibrahim (Seni) – Cikgu Shahruzzaman (Sejarah), Cikgu Prakas Rao (Jabatan Data) – Tuan Haji Zulkifli (Jabatan Matematik), penulis blog – Cikgu Azmi (Jabatan Bahasa, Anderson), serta beregu jemputan (Cikgu Chin: SMK Dato’ Ahmad Said – Cikgu Abdul Aziz: SMK Simpang Pulai).

Format perlawanan dibuat secara round robin dua kumpulan, setiap satunya menampilkan empat beregu. Pemain-pemain yang tewas (baca: berjaya memenangkan pemain lawan) membantah jadual perlawanan yang didakwa terlalu padat. Baru hendak mengambil nafas, Cikgu Maulid, presiden kelab staf memberi tempoh tidak sampai seminit untuk perlawanan berikutnya. Tetapi, pasangan yang berjaya lain pula ceritanya. Mereka sekadar tersenyum sinis terhadap bantahan tadi. Agaknya dalam hati mereka gelak besar, kot. Kalau dah tak pandai menari mengapa dikata tanah tidak rata? Ewah ewah, sendiri mahu ingatlah...

Seorang lagi pemain yang enggan disebut namanya pula memberi alasan bahawa permainannya terjejas kerana pasangan beliau menghadapi masalah tersalah makan, almaklumlah... Aiiik.. cikgu pun banyak cerita macam si corot, ingatkan murid jer.. Taklah.. itulah namanya perang psikologi dan post mortem penyedap hati. Hahaha.

Perlawanan akhir tidak terus dilangsungkan bagi menghormati hari Jumaat, sayyidil ayyam, penghulu segala hari.. Cikgu Zulkefli Sulaiman khabarnya bergegas ke masjid Tambun untuk bertugas sebagai tok siak (penghampar sejadah). Wah, wah skema juga Cikgu Zul kita.. Jangan marah Cikgu Zul, gurau sikit-sikit bukankah mengurangkan stres... beres gitu? Layan...

Penulis blog, setelah berjaya memenangkan beregu lawan, dipelawa menyertai gelanggang guru Sam Tet – staf Proton yang hanya ada tiga orang pemain. Lima set, beb! Tiga botol air RO (setiap unit = 0.5 liter) diteguk habis hingga peluh membasahi muka. Nasib baik standard permainan lebih kurang sama. Menjelang 11.30 pagi, sejurus sebelum beredar, kami bertukar-tukar nombor telefon untuk mengatur pertemuan dua gergasi kelab staf Kinta Utara, iaitu kelab staf SMI lawan kelab staf Sam Tet. Terima kasih Cikgu Siew (Jabatan Sejarah) dan Cikgu Chua (Jabatan Kemahiran Hidup).

Kesimpulannya, badminton memerlukan komitmen dan keghairahan untuk menang. Kalau sekadar suka-suka, malas kejar shuttle, kirim salam! Itulah bunyi ayat Tuan Haji Shakir, pemain badminton paling digeruni dalam kalangan kelab staf SMI. Tunggu 29 Mei di gelanggang badminton terbuka SMI!