SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, March 18, 2015

BAB DUA PULUH SATU, BAB DUA PULUH DUA NOVEL 'JENDELA MENGHADAP JALAN' (SUCCESS WAITING BEHIND THE PROBLEM)



Sinopsis Bab 21 
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 156 - 162)

Sepanjang malam, ‘aku’ tidak terlelap langsung. ‘Aku’ bersimpati dengan Rafik dan Haziq walaupun ‘aku’ dijadikan tebusan. Usai ‘aku’ sarapan, Danel muncul. Dia pelik kerana ‘aku’ bertanya khabar dua beradik itu, bukannya berkenaan tangkapan. Danel memberitahu tempat persembunyian mereka telah dirobohkan. Mereka sudah biasa keluar masuk penjara dan pusat pemulihan. Danel geram, tetapi ‘aku’ menyebut tentang kemungkinan perubahan sikap mereka. Sambil tersipu-sipu Danel meminta diri.

“Aku’ mengekori nenek menyidai pakaian sambil bertanya tentang Che Jah dengan alasan suaranya lantang. Nenek melarang ‘aku’mengambil tahu, malah bertegas Rafik dan Haziq sukar berubah untuk menjadi baik walaupun itulah ikhtiar Che Jah. Maka, ‘aku’ sedar bahawa nenek sama dengan Danel, iaitu di pihak yang menghukum. “Aku’ ingin menemui Geetha, tetapi keizinan nenek menjadi masalahnya.

Sudahnya ‘aku’ resah di jendela sejak pagi hingga tengah hari. Menjelang waktu asar, sekali lagi ‘aku’ cuba meminta izin nenek ke pecan,tetapi dia tetap tegas enggan membenarkan dengan menjegilkan matanya. Alasan ditemani Abang Rashid, berdikari dan sekejap semuanya ditolak mentah-mentah. ‘Aku’ akur akan perintah nenek yang bimbangkan keselamatan cucunya, tetapi masih berharap keajaiban akan muncul juga.

Sinopsis Bab 22
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 163 - 170)

Sedang nenek sibuk berleter kerana datuk masih mencari tasbihnya yang hilang, Abang Rashid muncul. Dia memberitahu Rafik dan Haziq ditangkap oleh penduduk kampung setelah dibelasah oleh ayah mereka. Hasrat ‘aku’ keluar rumah tertunai apabila Abang Rashid bersetuju ‘aku’ mengikutnya. Nenek sempat memberi amaran supaya ‘aku’ tidak merayap, sebaliknya cepat pulang.

Di dalam kenderaan, Abang Rashid hanya memberitahu Rafik dan Haziq nakal sejak zaman kanak-kanak. Dia mengelak soalan lain, sebaliknya diam setelah bertanya hal pelajaran ‘aku’. Laman rumah Che Jah kemas dan teratur, tidak seperti kehidupan keluarganya. ‘Aku’ mendapati ruang tamu rumah Che Jah kosong tanpa perabot, macam muflis. Abang Rashid berbual dengan ayah saudara Che Jah di luar.

Che Jah memohon maaf dalam nada suara lemah lembut, berlainan dengan sangkaan ‘aku’ suaranya lantang dan suka memekik. Che Jah memberitahu Haziq dibalun separuh mati dengan tali pinggang oleh ayahnya. Che Jah memuji sikap ‘aku’ yang tidak berdendam.’Aku’berjaya membuatkan Che Jah tersenyum dan mengheret perbualan sehingga aktiviti memasak. Abang Rashid pulang sendirian kerana ‘aku’ memenuhi pelawaan Che Jah untuk makan tengah hari di rumahnya.’Aku’ menganggapnya suatu pencapaian sosial.

Watak dan perwatakan

‘Aku’ / Lili:  berpandangan jauh

Danel:  mengambil berat / prihatin

Nenek ‘aku’:  tegas

Abang Rashid:  Cepat memahami orang lain.

Che Jah:  mudah mesra

Latar masyarakat

Masyarakat yang berpandangan jauh

Masyarakat yang tegas

Masyarakat yang mudah memahami orang lain

Nilai

Berwawasan

Ketegasan

Kesefahaman

Persoalan

Berwawasan dalam menilai sesuatu kejadian

Ketegasan dalam melindungi keselamatan keluarga

Kesefahaman dalam memenuhi hasrat orang lain

Pengajaran

Kita hendaklah berwawasan dalam menilai sesuatu kejadian

Kita hendaklah tegas dalam melindungi keselamatan keluarga

Kita hendaklah bersefahaman dalam memenuhi hasrat orang lain

Latar tempat

Rumah datuk / nenek ‘aku’

Rumah Che Jah

Latar masa

Usai sarapan pagi

Waktu solat asar

Perbincangan kbkk / kbat

Peluang kedua kepada mangsa / pesalah dadah

Risiko anak gadis / wanita bersendirian

Contoh soalan aras komsas

Huraikan tiga peristiwa yang menunjukkan bahawa berlakunya konflik berdasarkan novel yang anda pelajari.

Contoh soalan aras kbkk / kbat

Watak utama dalam sesebuah novel sering digambarkan sebagai memiliki kebijaksanaan tertentu.

Berdasarkan novel yang anda pelajari, berikan dua peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama.

Tuesday, March 17, 2015

PERTEMUAN DENGAN TOKOH PENULIS TERNAMA (THE STORY OF DELAYED SUCCESS)

Pada petang Isnin yang lalu, 16 Mac 2015 bersamaan 25 Jamadil Awal 1436, mantan ahli akademik, sasterawan dan wakil rakyat telah berkunjung ke Kampung Sura Tengah, Dungun. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu keluarga penulis blog (PB). Tokoh yang dimaksudkan ialah Dr. Mohd. Shafie bin Abu Bakar, 73, yang kini giat mengukuhkan penerimaan teori penulisan takmilah yang telah beliau kemukakan sejak beberapa tahun.

Semasa di UKM, PB pernah menghadiri pembentangan kertas kerja beliau tentang penulisan karya sastera berdasarkan perspektif Islam bersama Dr. Mohd. Kamal Hasssan (mantan rektor UIAM, kini Tan Sri Profesor Ulung), Dr. Bukhari Lubis (kini profesor di Upsi) dan Dr. Firdaus Abdullah (mantan pensyarah ekonomi UM dan ketua pengarah DBP). Sebagai sarjana persuratan Melayu yang berlatar belakang pengajian Islam (IV Thanawi dan kelas pertama sarjana muda kepujian di UKM) penyampaian beliau memang sangat tersusun. Walaupun telah lama meninggalkan dunia cendekia, beliau masih begitu.

Dr. Shafie yang berasal dari kampung Nyior, Paka memiliki kisah zaman kanak-kanak yang sangat mencabar, tetapi beliau tidak pernah mahu membesar-besarkan perkara itu. Namun, semangat belajar beliau patut dicontohi oleh generasi muda yang dahagakan kemajuan dan pencapaian kecemerlangan ilmu pengetahuan. Dr. Shafie tidak sekadar mengejar kelayakan akademik di atas kertas (sijil dan ijazah) semata-mata, tetapi lebih menjurus terhadap kecintaan ilmu pengetahuan secara mendalam.
 gambar dari blog Dr. Shafie

Oleh sebab pengajian thanawi yang melayakkan Dr. Shafie menjadi guru agama yang panjang, beliau hanya menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang setara dengan PMR dan PT3 ketika berusia 22 tahun sebagai calon persendirian. Berselang setiap dua tahun berikutnya, Dr. Shafie menduduki pula peperiksaan SPM dan STP(M) dengan jayanya. Beliau memperoleh sarjana muda, diploma pendidikan, sarjana dan doktor falsafah semuanya di UKM (baca lebih lanjut blog Dr Shafie: klik di sini).

Calon SPM tahun 2010 - 2015 hampir pasti pernah membaca dan mengkaji karya beliau, iaitu sajak 'Di Perpustakaan' yang turut diulas dalam blog ini. Maknanya, tidak kurang daripada sejuta orang murid yang belajar komsas telah berkongsi kebijaksanaan Dr. Shafie dalam mengungkapkan hakikat sesebuah perpustakaan, khutub khanah atau pusat sumber sekolah. Selain itu, puisi berkenaan turut terpampang di beberapa buah perpustakaan besar.

Calon SPM yang mengambil kertas Kesusasteraan Melayu pula mengenali Dr. Shafie lewat puisi beliau yang berjudul 'Madu Ilmu'. Sajak beliau itu turut diangkat sebagai judul antologi teks Kesusteraan Melayu 2010 - 2015. Sajak yang sama turut mendapat perhatian pelajar prauniversiti tingkatan 6 dan mahasiswa Pengajian Melayu.

Setelah 'bersara' daripada dunia akademik dan politik, Dr. Shafie meneruskan khidmat bakti kepakaran beliau dalam projek komuniti di Bandar Baru Bangi. Kini, Dr. Shafie diberi kepercayaan sebagai pengerusi projek pembinaan Masjid al-Umm di sana. Setakat ini, dana yang berjaya dikumpul mencecah RM10 juta, iaitu masih kekurangan RM2 juta lagi.

Dr. Shafie berumah tangga dengan seorang guru dan memunyai lima orang anak yang memilih haluan yang berbeza daripada beliau. Anak sulung beliau mengikut jejak langkah ibunya sebagai guru dan dikurniakan sebelas orang anak. Anak beliau yang lain ada yang berkhidmat sebagai doktor perubatan dan jurutera swasta.

Dr. Shafie juga menulis di blog peribadi beliau yang setakat ini mencatat lebih daripada 850 ribu klik. Beliau berpendapat selain buku bercetak, perkongsian ilmu boleh disebarkan dengan lebih luas menerusi capaian internet. Tambahan pula, generasi muda lebih cenderung membaca blog secara percuma daripada membeli buku-buku yang belum tentu mereka fahami kandungannya.

Dr. Shafie turut mengendalikan rumah penerbitan beliau sendiri secara berseorangan. Sebagai pesara, beliau tidak mampu untuk menggaji pekerja sepenuh masa di pejabat beliau. Dr. Shafie hanya tersenyum apabila PB melontarkan cadangan supaya beliau bekerjasama dengan rakan lama beliau, Profesor Dr. Abdullah Hassan, orang kuat PTS Publications ...

BAB SEMBILAN BELAS, BAB DUA PULUH NOVEL ‘JENDELA MENGHADAP JALAN’ (TARGET OF CRIME ACT)



Sinopsis Bab 19
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 141- 148)

‘Aku’ sekadar menemankan Danel di restoran makanan segera. ‘Aku’ sekadar memesan jus epal, sedangkan Danel makan makanan ‘tidak sihat’ potensi darah tinggi. “Aku’ beralasan untuk makan tengah hari di rumah nenek, lalu Danel memberitahu dia selalu masak menu berasaskan pisang di situ. Kemudian, ‘aku’ mengikut Danel ke pasar raya tanpa ‘aku’ mahu membeli apa-apa. Sebenarnya ‘aku’ berasa kurang selesa keluar dengan lelaki asing yang mengundang risiko dan tidak sopan. ‘Aku’ malas memanjangkan perbualan yang membuka ruang ‘kemesraan’ kepada Danel untuk perkara lain.

Akhirnya ‘kami’ pulang dengan bas sahaja walaupun cadanganasal Danel ialah teksi yang mungkin memberi peluang berdua-duan lagi. ‘Aku’ berasa dalam zon selamat apabila tiba di kawasan kampung. Tiba-tiba keadaan kecoh apabila Rafik, anak Che Jah yang memegang pisau dikejar oleh beberapa orang lelaki. Dia menerpa kea rah ‘aku’, mengilas tangan kiri ‘aku’ dengan kuat, serta mencekik leher ‘aku’. Rafik mengugut untuk membunuh ‘aku’ jika ada sesiapa datang rapat. ‘Aku’ pengsan.

Apabila tersedar, kedua-dua belah tangan ‘aku’ diikat ke belakang dalam tempat kurungan yang busuk dan gelap. Kedengaran Rafik dan seorang lagi anak Che Jah bertengkar tentang ‘aku’ dan jalan melepaskan diri daripada buruan orang kampung. “Aku’ menjadi tebusan mereka.

Sinopsis Bab 20
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 149 - 155)

Dalam pada ‘aku’ berkira-kira untuk melepaskan diri dengan kaki kebas yang tidak diikat, Danel muncul membuka ikatan dan mengarahkan ‘aku’ lari bersamanya meredah kepekatan malam. Ketika berhenti di simpang ‘aku’ berjaya melepaskan genggaman Danel. Dia tahu tempat persembunyian Rafik dan Haziq, tetapi sengaja tidak bertindak bagi mengelakkan kejadian lebih buruk. Walaupun terkilan, ‘aku’ bersyukur.

Danel yakin Rafiq dan Haziq akan tertangkap. Haziq pernah satu sekolah dengan Danel dan dia asalnya budak bijak. Apabila tiba di rumah nenek, banyak orang berkumpul di situ. Nenek segera memastikan ‘aku’ tidak diapa-apakan. Nenek membantu ‘aku’ membersihkan diri. Nnenek memberitahu dia telah memanaskan lauk tengah hari sebanyak empat kali.

‘Aku’ mengatakan Rafik dan Haziq terdesak, lalu nenek menambah bahawa tindakan mereka tidak rasional. Haziq pernah mencuri barang kemas pusaka ibunya gara-gara dadah, lalu disumbat di dalam lokap. Hampir separuh penduduk kampong berkunjung ke rumah nenek berkongsi kebimbangan. Solat hajat juga didirikan. ‘Aku’ tidak lena sambil berasa empati terhadap Rafik dan Haziq.

Watak dan perwatakan

‘Aku’ / Lili: sentiasa berjaga-jaga / waspada

Danel: suka mengambil kesempatan

Rafik:  penagih dadah, kejam

Haziq: penagih dadah, bijak

Nenek ‘aku’:  penyayang

Penduduk kampong:  prihatin

Latar masyarakat

Masyarakat yang sentiasa berjaga-jaga / waspada

Masyarakat penagih dadah

Masyarakat yang penyayang

Nilai

Kewaspadaan

Kasih sayang

Keprihatinan

Persoalan

Kewaspadaan terhadap kemungkinan unsur bahaya / risiko

Kasih sayang sesama keluarga

Keprihatinan terhadap keselamatan jiran

Pengajaran

Kita hendaklah sentiasa waspada terhadap niat yang tersembunyi

Kita janganlah terjebak dengan pengaruh dadah /  jenayah

Kita hendaklah prihatinterhadap keselamatan jiran

Latar tempat

Restoran makanan segera di pekan

Tempat persembunyian Rafik / Haziq

Rumah datuk / nenek ‘aku’

Latar masa

Tengah hari

Malam / selepas waktu solat isyak

Perbincangan kbkk / kbat

Kesan buruk pergaulan bebas

Iltizam memerangi najis dadah sahaja belum mencukupi

Contoh soalan aras komsas

Jelaskan tiga peristiwa yang mengandungi unsur kejutan dalam novel yang anda pelajari.

Contoh soalan aras kbkk / kbat

Unsur kebetulan sering ditemui dalam pembacaan sesebuah novel.

Berdasarkan novel yang anda pelajari, berikan dua contoh unsur kebetulan yang digunakan oleh penulisnya.

Monday, March 16, 2015

UTM HENTI KURSUS DIPLOMA SEPENUH MASA (FOCUS ON HIGHER DEGREE STUDY)

...

...

UTM to stop diploma courses from June
Posted on 15 March 2015 - 05:57pm
Last updated on 15 March 2015 - 07:46pm
JOHOR BARU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) will stop its intake of candidates for full time diploma courses starting June this year. UTM deputy vice chancellor  (Academic and International) Professor Dr. Rose Alinda Alias  said while students who are pursuing their full time diploma courses now will complete their programmes within three years, the university will no longer take in SPM students for its full time diploma courses for session 2015/2016. This decision, she added, was made by the UTM's Senat Council because its aim is now to focus on more post-graduate courses and to become a research university.

At present it has about 8,500 diploma students together with its alliance colleges nationwide of whom some are part-time candidates. UTM Kuala Lumpur campus is the one which runs full time diploma courses since 1970s and has has about 1,703 diploma students. This campus is also earmarked to be developed into a post-graduate learning institution in the near future.

Asked on why the move, Rose Alinda said, it was because most of the diploma course lecturers have retired and they face manpower shortage. "Another factor is the high cost of investment for the new laboratories," she added. Rose Alinda said the university allocates between RM5 million to RM10 million a year for diploma studies which is approximately about 10 % of the University's budget. She also said that they will not retrench lecturers with the new move.

(sumber ambilan berita: klik di sini)

...

...

...

...

...

...

Sunday, March 15, 2015

BAB TUJUH BELAS, BAB LAPAN BELAS NOVEL 'JENDELA MENGHADAP JALAN' (RECOGNISE DISADVANTAGES MANIPULATOR)

Sinopsis Bab 17
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 123- 130)

'Aku' hanya tertarik membaca dua artikel dalam buku Danel, iaitu:
1. Remaja Jadi Pekebun Pisang Berjaya di Tenom
2. Perihal Pisang

Artikel pertama tentang Amran Christopher, 21, beroleh pendapatan lumayan apabila beralih daripada tanaman kopi. Dia menanam 1200 pokok pisang di kawasan seluas 6 ekar di Kampung Pulau warisan Batu-bata. Amran juga mengembangkan perniagaannya dengan menjual anak pisang.

Artikel kedua tentang khasiat pisang kepada tubuh badan, terutama golongan tua yang kekurangan vitamin B6. Kandungan potasium yang tinggi membantu penyembuhan penyakit selain mencerdaskan otak seseorang. Sejarah pisang bermula dar Palestin dan Mesir.

Sinopsis Bab 18
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 131 - 140)

Pak Sahak, Kiai Baharom, ketua kampung dan Imam Sanusi mengunjungi datuk perihal kubah surau. Setelah menghidangkan minuman, 'aku' memasang telinga daripada daun pintu yang sengaja tidak ditutup. Pak Sahak isu itu dirujuk kepada Yang Berhormat (wakil rakyat), tetapi ketua kampung berpendapat orang kampung susah diajak berunding. Datuk lebih cenderung menyalahkan cara membawa kemajuan. Ketua kampung membidas pendirian datuk yang katanya terikat dengan sejarah lampau. Mereka kemudian 'bertekak' tentang nilai sejarah kepada ketua kampung yang bukan berasal dari situ.

Bunyi ranting memasuki jendela bilik menamatkan 'intipan aku'. Danel di luar memberi isyarat mengajak keluar ke pekan dan memberitahu nenek memberi izin. 'Aku' serba salah walaupun Danel cuba mewajarkan pelawaannya itu. Nenek muncul menyokong Danel kerana menolong mengangkat barang pesanan datuk. 'Aku' kaget dengan kebenaran bersosial nenek, tetapi menurut sahaja.

Mereka bersesak-sesak menaiki bas kerana kereta digunakan oleh abang Danel. Walaupun Danel menjawab bahawa penulisannya hanya fokus terhadap pisang, 'aku' tidak memberitahunya 'aku' juga penulis. Malah, Danel kaget apabila 'aku' memahami bahasa Mandarin yang dituturkannya dengan pekedai minyak gamat bahawa 'aku' teman wanitanya. 'Aku' juga tahu beberapa bahasa lain, tetapi tidak membertitahu Danel.


Watak dan perwatakan

'Aku' / Lili:  tegas diri. Menaruh curiga dengan ajakan Danel untuk menemaninya ke pekan berdua.

Datuk 'aku' / Haji Abdul Rahman:  berani bersuara. Menyanggah pendapat ketua kampung yang menganggap remeh sejarah silam Kampung Sentosa yang dirintis oleh keluarga datuk.

Nenek 'aku' / Hajah Aisyah Tan Abdullah: bersangka baik. Tidak menaruh syak bahawa Danel mempunyai niat buruk mengajak'aku' menemaninya ke pekan.

Pak Sahak: berfikiran terbuka. Mencadangkan Yang Berhormat dirujuk dalam isu kubah surau.

Ketua kampung:  emosional / sensitif / perasa. Meninggi suara apabila datuk menyifatkannya sebagai orang asing yang tidak mengerti sejarah Kampung Sentosa.

Danel: oportunis / suka mengambil kesempatan. Menggunakan alasan pembantu angkat barang datuk untuk mendapat keizinan nenek berduaan dengan 'aku' ke pekan. Danel juga memberitahu pekedai di pekan 'aku' teman wanitanya kerana menyangka 'aku' tidak tahu berbahasa Mandarin.

Latar masyarakat

Masyarakat yang tegas diri / asertif

Masyarakat yang bersangka baik

Masyarakat yang oportunis / suka mengambil kesempatan

Nilai

Ketegasan

Keberanian

Hormat-menghormati  / saling menghormati

Persoalan

Ketegasan dalam membuat keputusan

Keberanian menyuarakan pendapat peribadi

Hormat-menghormati sesama manusia

Pengajaran

Kita hendaklah tegas dalam membuat keputusan

Kita hendaklah berani menyuarakan pendapat peribadi

Kita janganlah mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain

Latar tempat

Rumah datuk / nenek 'aku'

Di dalam perut bas

Di kedai ubat gamat

Latar masa

Sesi perbincangan datuk dengan ketua kampung

Semasa perjalanan di dalam bas

Perbincangan kbkk / kbat

Kemajuan / pembangunan desa yang lestari

Hubungan antara bukan mahram / ajnabi

Contoh soalan aras komsas

Jelaskan tiga pengajaran dalam novel yang anda pelajari.

Contoh soalan aras kbkk / kbat

Watak utama sering digambarkan memiliki kelebihan tertentu.

Berdasarkan novel yang anda pelajari, huraikan dua contoh kelebihan yang dimiliki oleh watak utama.

Saturday, March 14, 2015

PNGK BUKAN SEMATA-MATA PENCAPAIAN AKADEMIK (THE VITAL ROLE OF SOFT SKILLS)

Agensi Berita Nasional (Bernama) melaporkan:

Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tidak lagi dikira berdasarkan pencapaian akademik semata-mata di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Pendidikan Tinggi 2015-2025 (PPPM-PT). Sebaliknya, kaedah pentaksiran berintegrasi CGPA dalam PPPM-PT akan mengambil kira penglibatan pelajar dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, kemahiran dan kepimpinan. Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata kaedah pentaksiran berintegrasi CGPA itu akan dilaksanakan di bawah lonjakan pertama PPPM-PT bagi melahirkan graduan keusahawanan, holistik dan seimbang.

"Sekarang pelajar cemerlang dalam akademik yang memperoleh semua A akan mendapat CPGA 4.0 tetapi melalui kaedah baharu ini, pelajar perlu cemerlang secara keseluruhan sebelum mendapat CGPA 4.0," katanya. Idris berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat PPPM-PT bersama pengarang kanan media cetak dan elektronik, baru-baru ini. Sesi taklimat tersebut pada Khamis lepas itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sesi itu diadakan menjelang pelancaran pelan tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 7 April ini. Idris menjelaskan pelaksanaan kaedah pentaksiran berintegrasi CGPA itu mungkin mengambil masa yang lama kerana perbincangan mengenai perkara itu sedang dijalankan di peringkat universiti awam. Di bawah PPPM-PT, Program Pendidikan, Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) akan diperkasakan dengan menjadikan bidang tersebut dipacu pihak industri serta menjadi pilihan 'premier' untuk pelajar. Beliau berkata inisiatif Program TVET dapat memberikan kepelbagaian dalam akses pendidikan yang dilaksanakan melalui kolej vokasional, politeknik dan kolej komuniti serta empat universiti teknikal.

"Hasrat jadikan TVET sebagai pilihan telah bermula sejak pelancaran transformasi pendidikan vokasional pada 2012 dan akan terus diperkasakan apatah lagi bila masyarakat sudah mula menerima TVET. "TVET dilihat dapat menghasilkan graduan baik dengan hanya kelulusan sijil dan diploma mereka boleh mendapat gaji yang tinggi," katanya. PPPM-PT merupakan kesinambungan daripada PPPM-Sektor Sekolah dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

Pelan baharu itu merangkumi 10 lonjakan iaitu graduan keusahawanan, holistik dan seimbang; kecemerlangan bakat pendidikan tinggi; masyarakat yang belajar sepanjang hayat; dan kualiti graduan TVET. Enam lonjakan lain ialah kelestarian kewangan; pemerkasaan tadbir urus; pemerkasaan ekosistem inovasi; sistem tersohor peringkat global; pembelajaran dalam talian secara global; dan penyampaian pendidikan tinggi yang ditransformasikan. PPPM-PT ini dibentuk untuk dijajarkan dengan Program Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, PPPM (Prasekolah hingga Pendidikan Lepas Menengah) 2013–2025 dan Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020).

PPPM-PT akan diterjemahkan dalam bentuk 100 inisiatif menerusi tiga gelombang iaitu gelombang pertama untuk tempoh 2013-2015, kedua 2016-2020 dan gelombang ketiga 2021-2025
 
(sumber ambilan: klik di sini)
...
 
...
 
...
 
...
 
...
 
...

TAHAP KESEDARAN SIVIK PEMANDU KENDERAAN DI MALAYSIA (LACK OF ROAD ETHICS)



Semalam (petang Jumaat, 13/3/15 = 22 Jamadil Awal 1436), berhampiran Slim River, terdapat tiga buah motosikal ditunggang secara melawan arus. Sebuah motosikal yang turut dibonceng meluncur laju betul-betul dekat dengan pemisah laluan (divider) yang sempit dan dengan permukaan yang tidak rata. Dua buah motosikal lagi berada di lorong kecemasan di sebelah kiri.

Penulis blog (PB) seisi keluarga memang terkejut kerana buat pertama kali menyaksikan sendiri pemanduan yang sangat berbahaya kerana dengan hanya sedikit kesilapan, nahas boleh terjadi. Banyak andaian boleh dibuat, tetapi yang pasti ialah semua penunggang dan pembonceng motosikal tersebut berada di bawah pengaruh akal yang tidak siuman lagi. Tindakan berani mati itu suatu perbuatan yang sangat melampau.

Pemanduan berhemah nyata bukan menjadi pilihan pemandu kenderaan sama ada besar mahupun kecil, terutama di laluan lebuh raya. Kenderaan yang bergerak dengan kelajuan antara 110 hingga 120 kilometer satu jam sudah termasuk dalam kategori lembap. Kenderaan di belakang akan membuat provokasi dengan mengekori rapat, serta mengisyaratkan lampu tinggi supaya ke tepi sekali.

Apabila diperhatikan kemudian, kenderaan yang memotong tadi hanyalah Kancil, Viva, Kelisa, Kenari, Myvi atau Alza yang dianggarkan bergerak dengan kelajuan melebihi 150 kilometer satu jam. Maka, tidaklah menghairankan jika kenderaan mewah seperti BMW, Mercedes, Audi, Volkswegen atau Accord, serta pacuan empat roda SUV mencecah kelajuan hampir 200 kilometer satu jam. Seorang pemandu Vellfire (kereta reckon Toyota) memberitahu PB bahawa perangkap had laju tidak dapat membaca pergerakan melebihi 170 kilometer satu jam.

Bertentangan dengan kelajuan tinggi ialah pemanduan yang keterlaluan perlahan dan santai. Kenderaan berat seperti lori sepuluh tayar bergerak macam kura-kura ketika mendaki. Masalah berlaku apabila terdapat lori berat memotong lori berat, lalu mengakibatkan kelancaran pergerakan kenderaan yang lain terjejas dengan teruknya.

Selain itu, pemandu kenderaan di lebuh raya didapati menukar lorong sesuka hati setelah memberi lampu isyarat tanpa mempedulikan pergerakan kenderaan di belakang. Hal itu selalu terjadi apabila mereka terdesak kerana mengekori kenderaan yang dipandu perlahan dan santai. Kemudian, tanpa rasa bersalah, dengan selamba, mereka kembali ke lorong kiri.

Tiada jaminan bahawa semua pemandu kenderaan di jalan raya dan lebuh raya memiliki lesen yang sah. Oleh sebab saiz kanak-kanak sekarang yang tinggi lampai dan berisi, mereka kelihatan seperti orang dewasa apabila mengenakan pakaian kasual. Maka, terdapat budak sekolah rendah yang sedemikian memandu kenderaan sama ada dengan izin atau tanpa izin ibu bapa mereka. 

Penunggang motosikal didapati lebih nekad kerana semakin berani melanggar lampu isyarat merah dengan menggunakan anggaran penglihatan mata kasar sendiri. Ironinya, orang dewasa yang memboncengkan anak kecil mereka ke sekolah turut berbuat seperti itu. Segelintir penunggang motosikal juga dengan selamba tidak memakai topi keledar.

Gelagat  pemandu kenderaan di Malaysia masih di takuk lama, sama seperti di negara mundur seperti India dan Pakistan. Walaupun pemandu di Malaysia jarang-jarang menggunakan hon, tetapi kebanyakannya tiada rasa hormat terhadap pemandu lain yang berjiran dengan mereka di jalan raya dan lebuh raya. Mereka seperti berasa puas hati jika dapat menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Pendidikan keselamatan jalan raya di Malaysia masih menempuh cabaran hebat andai kata gelagat pemandu kenderaan dijadikan ukuran tahap kesedaran sivik pemanduan berhemah. Selain dasar automatif nasional (DAN), sistem jalan raya juga memerlukan transformasi yang tuntas sama ada jalan kampung, jalan bandaran, jalan negeri, jalan persekutuan mahupun jalan persendirian. Pengendali lebuh raya tol juga perlu mengubah sistem kutipan tol yang banyak menyusahkan pergerakan kenderaan, terutama pada waktu puncak kesesakan dan musim perayaan ...

Friday, March 13, 2015

BAB LIMA BELAS, BAB ENAM BELAS NOVEL 'JENDELA MENGHADAP JALAN' (DIFFERENT STYLES OF BEHAVIOUR AND PERSONALITY TRAITS)

Sinopsis Bab 15
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 107 - 113)

Geetha tetap mahu membantu di dapur walaupun nenek berhujah tidak baik bagi tetamu melakukan kerja tuan rumah. Geetha kemudian menggembirakan nenek bahawa ibunya serasi dengan rawatan kampung. Sambil memasak, nenek membuka cerita zaman mudanya bersama datuk menyebabkan 'aku' berasa segan dengan Geetha, orang asing dalam keluarga. Semasa minum, Geetha membangkitkan sifat pendiam 'aku', tetapi nenek menceritakan perihal kehebatan aku dalam pelajaran sehingga boleh jadi hakim.

'Aku' cuba mengubah tanggapan terhadap gurauan seperti yang ditunjukkan oleh Geetha dan nenek. Pada sebelah malamnya mereka berbual panjang sebelum menyedari datuk masih tidak pulang. Abang Rashid berjanji untuk mencari datuk. Geetha sedikit hairan tentang alasan anak dara tidak manis keluar malam. Cadangan untuk melihat matahari terbit juga dibatalkan.

Apabila datuk muncul pada waktu Subuh dengan dua bakul penuh akar kayu dan daun, nenek segera meleteri datuk. 'Aku' beredar ke bilik kerana tidak mahu mengganggu mereka, sedangkan Geetha masih nyenyaak berdengkur.

Sinopsis Bab 16
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 114 - 122)

Datuk tidak menunjukkan rasa bersalah atas kebimbangan nenek atau bersimpati dengan Abang Rashid yang keletihan mencarinya dari tengah malam hingga ke pagi. Nenek bercekak pinggang di belakang datuk, sambil 'aku' dan Geetha berpandangan. 'Aku' berasa kelakar. Tiba-tiba muncul Danel menyapa datuk seolah-olah mereka tidak pernah bertengkar tempoh hari.

Geetha berpendapat bahawa Danel cute, cool dan kemas. Kemudian, Geetha membuat keputusan untuk pulang pagi itu juga sebagai memenuhi janji dengan ibunya. Geetha menemani 'aku' ke kedai runcit Ah Kwan bagi mencari barang pesanan nenek sebelum berpisah di situ. Tiba-tiba 'aku' melihat tiga orang pemuda sedang dikejar oleh dua orang lelaki berparang. Seorang wanita cuba menenangkan 'Che Jah'. 'Aku' membuat keputusan untuk meninggalkan kekecohan itu.

Di rumah, Danel sedang diurut dengan kaki datuk. Nenek memberitahu bahawa Mak Jah mengejar anaknya yang gemar mencuri barang kepunyaannya. Nenek juga menegaskan bahawa datuk tidak pernah memusuhi bekas pesakitnya yang beralih kepada rawatan moden, melainkan hanya berasa sedikit kecewa. Demikian juga hubungannya dengan Danel. Pada sebelah malamnya Danel datang lagi, tetapi untuk menyerahkan buku koleksi penulisannya tentang buah-buahan kepada 'aku'.

Watak dan perwatakan

'Aku' / Lili: peka. Meninggalkan nenek yang sedang meleteri datuk sebagai menghormati urusan orang tua.

Geetha: Peramah. Suka bergurau dan mengusik 'aku' tentang sifat pendiam yang sesuai untuk menjadi hakim mahkamah.

Danel: Pandai mengambil hati / memujuk. Cepat-cepat memulihkan hubungan dengan datuk setelah menamatkan rawatan ayahnya dengan datuk. Sebaliknya Danel sendiri menerima urutan kaki datuk.

Datuk 'aku':  pemaaf. Tidak bersikap memusuhi Danel yang pernah disifatkannya sebagai tidak tahu menjaga hati orang tua.

Nenek 'aku': suka berterus terang. Memberitahu 'aku' cerita sebenar di sebalik adegan kejar-mengejar yang dilihat oleh 'aku' semasa balik dari kedai.

Abang Rashid:  patuh. Tetap mencari datuk dari malam hingga ke pagi tanpa menghiraukan keletihan.

Latar masyarakat

Masyarakat yang peka terhadap persekitaran

Masyarakat yang peramah

Masyarakat yang pemaaf

Nilai

Kepekaan

Keramahan

Kemaafan

Persoalan

Kepekaan terhadap persekitaran yang dihadapi

Keramahan dalam komunikasi / pergaulan / perhubungan manusia

Kemaafan terhadap orang yang mengecilkan hati

Pengajaran

Kita hendaklah peka terhadap keperluan persekitaran yang dilalui

Kita hendaklah bersifat ramah dalam komunikasi

Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain

Latar tempat

Ruang dapur rumah nenek

Kedai runcit Ah Kwan

Latar masa

malam

pagi

Perbincangan kbkk / kbat

Menghormati prinsip bersendirian / privasi orang lain

Baik buruk bersenda gurau

Contoh soalan aras komsas

Huraikan tiga peristiwa yang menunjukkan unsur suspens dalam novel yang anda pelajari.

Contoh soalan aras kbkk / kbat

Penulis novel sering menyelitkan unsur lucu dalam karya mereka.

Berdasarkan novel yang anda pelajari, beri dua sebab berkaitan pernyataan di atas.

Thursday, March 12, 2015

PENGALAMAN SEBAGAI GURU KELAS YANG MERIAH (UNDERSTANDING PEER PSYCHOLOGY)

Kelas UA1 SMK St. Michael, Ipoh kohort tahun 2014 mencatat sejarah tersendiri apabila empat orang pelajar daripada 22 orang semuanya mencatat pencapaian purata nilai gred kumulatif (pngk) 4.0 semasa STPM. Pada tahun-tahun sebelumnya kedudukan pertama dari segi bilangan 4.0 dikuasai oleh kelas UA3 yang mengambil kertas Perakaunan. Maka, sudah tentu ada cerita menarik yang boleh dikongsikan sebagai guru tingkatan.

...bersambung

...

...

...

...

...

...

...

...

Wednesday, March 11, 2015

BAB TIGA BELAS, BAB EMPAT BELAS NOVEL 'JENDELA MENGHADAP JALAN' (DEFENCE MECHANISM OF THE PAST GLORY)

Sinopsis Bab 13
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 91- 98)

Rombongan lima orang tetamu yang berkunjung ke rumah datuk membawa bekas pesakit datuk yang sembuh setelah beralih kepada rawatan moden. Patutlah kerja nenek di dapur menjadi kurang teratur. Datuk juga tidak keruan hingga tidak perasan cawan kopi di tepi kanannya. Sebelum 'aku' sempat menghabiskan pertanyaan, datuk memberitahu semua pesakitnya sudah lari. Datuk akur dengan perjalanan masa. Datuk kena beralih semula kepada kebun dan perahu. Kemudian, datuk menyusun kayu api yang sudah kemas sepanjang malam bagi menenangkan fikirannya.

Pagi keesokannya datuk menyusun pula barang lama di ruang tamu seolah-olah menyusun juga perasaannya sendiri. Datuk juga tidak mengendahkan makan tengah hari. Permintaan 'aku' melawat Geetha diizinkan oleh nenek dengan syarat ditemani Abang Rashid, tetapi dia terlewat.

Sebagai menebus kesalahannya Abang Rashid membawa 'aku' ke pasar malam menikmati nasi padang percuma dan membeli kemeja bercorak batik. Seperti datuk dan nenek, Abang Rashid juga berkelakuan pelik. Dia bertanya sama ada 'aku' ada teman lelaki atau tidak, tetapi mengelak apabila ditanyakan bila dia akan berkahwin. Abang Rashid bercerita kisah lucu, namun hanya dia sendiri yang tergelak.

Sinopsis Bab 14
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 99 - 106)

Setibanya di rumah Geetha, 'aku' mendapati dia demam. Geetha juga memberitahu dia berasa bosan, lalu 'aku' mempelawanya ke rumah nenek. Mak Cik Letchumi tidak bertanya apa-apa. Sambil berjalan, Geetha bercerita tanpa henti, termasuk hal peribadi kerana katanya kalau tidak menjadi jurutera, dia akan menjadi juruhebah radio. Geetha dan 'aku' berhenti sekejap di perhentian bas memerhatikan manusia yang lalu-lalang.

Tiada sesiapa di rumah, lalu 'aku' cepat-cepat naik menunaikan solat zuhur yang sudah di penghujung waktu. Usai solat, 'aku' dan Geetha berbuat tentang seni bina rumah yang hampir sama. Kemudian Geetha mencadangkan memanjat bukit berhampiran untuk melihat matahari terbenam.

Maka, pada petangnya 'aku' tercungap-cungap mengekori Geetha yang pantas mendaki bukit itu. Mereka menikmati keindahan simbahan cahaya keemas-emasan yang tenggelam di hujung dunia itu. Geetha mencadangkan mereka melihat matahari terbit di jeti pada sebelah pagi pula.

Watak dan perwatakan

'Aku' / Lili: berfikiran tajam / peka, mentafsir kelakuan setiap orang yang rapat dengannya. Misalnya, tindakan datuk menyusun kayu api dan barang lama ditafsirkan sebagai menyusun fikiran yang rusuh.

Datuk 'aku': sabar / tabah, tidak cepat tenggelam punca apabila pekerjaan sebagai pengamal rawatan tradisional semakin terancam. Sebaliknya, datuk ligat memikirkan jalan lain bagi mengisi masa tuanya.

Nenek 'aku':  setia. Berkongsi perasaan rusuh dengan datuk yang kehilangan pesakitnya. Nenek tidak dapat memberi tumpuan terhadap kerja dapur seperti kebiasaannnya.

Abang Rashid: perahsia. Enggan menjawab hal perkahwinan, tetapi cuba mengelak dengan cerita lucu yang dibuat-buat.

Geetha: pencinta alam sekitar. Mengajak 'aku' menyaksikan peristiwa matahari terbenam di atas bukit berhampiran rumah nenek.


Latar masyarakat

Masyarakat yang berfikiran tajam

Masyarakat yang sabar / tabah menempuh cabaran hidup

Masyarakat yang mencintai alam sekitar

Nilai

Kepekaan

Kesabaran / ketabahan

Kerahsiaan

Persoalan

Kepekaan terhadap kelakuan / perasaan seseorang

Kesabaran / ketabahan dalam menempuh cabaran hidup

Kerahsiaan dalam komunikasi

Pengajaran

Kita hendaklah peka terhadap kelakuan / perasaan orang lain

Kita hendaklah sbar / tabah dalam menempuh cabaran hidup

Kita hendaklah menghormati kerahsiaan orang lain

Latar tempat

Rumah datuk / nenek

Perhentian bas kampung Sentosa

Bukit di belakang rumah datuk / nenek

Latar masa

malam

petang ketika matahari terbenam

Perbincangan kbkk / kbat

Pembaharuan / inovasi dalam perubatan tradisional

Dasar warga emas negara

Contoh soalan aras komsas

Huraikan tiga kelebihan watak utama dalam novel yang anda pelajari.

Contoh soalan aras kbkk / kbat

Ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup sering diangkat sebagai salah satu persoalan penting sesebuah novel.

Berdasarkan novel yang anda pelajari, jelaskan dua contoh peristiwa yang sejajar dengan pernyataan di atas.