SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, March 14, 2015

TAHAP KESEDARAN SIVIK PEMANDU KENDERAAN DI MALAYSIA (LACK OF ROAD ETHICS)



Semalam (petang Jumaat, 13/3/15 = 22 Jamadil Awal 1436), berhampiran Slim River, terdapat tiga buah motosikal ditunggang secara melawan arus. Sebuah motosikal yang turut dibonceng meluncur laju betul-betul dekat dengan pemisah laluan (divider) yang sempit dan dengan permukaan yang tidak rata. Dua buah motosikal lagi berada di lorong kecemasan di sebelah kiri.

Penulis blog (PB) seisi keluarga memang terkejut kerana buat pertama kali menyaksikan sendiri pemanduan yang sangat berbahaya kerana dengan hanya sedikit kesilapan, nahas boleh terjadi. Banyak andaian boleh dibuat, tetapi yang pasti ialah semua penunggang dan pembonceng motosikal tersebut berada di bawah pengaruh akal yang tidak siuman lagi. Tindakan berani mati itu suatu perbuatan yang sangat melampau.

Pemanduan berhemah nyata bukan menjadi pilihan pemandu kenderaan sama ada besar mahupun kecil, terutama di laluan lebuh raya. Kenderaan yang bergerak dengan kelajuan antara 110 hingga 120 kilometer satu jam sudah termasuk dalam kategori lembap. Kenderaan di belakang akan membuat provokasi dengan mengekori rapat, serta mengisyaratkan lampu tinggi supaya ke tepi sekali.

Apabila diperhatikan kemudian, kenderaan yang memotong tadi hanyalah Kancil, Viva, Kelisa, Kenari, Myvi atau Alza yang dianggarkan bergerak dengan kelajuan melebihi 150 kilometer satu jam. Maka, tidaklah menghairankan jika kenderaan mewah seperti BMW, Mercedes, Audi, Volkswegen atau Accord, serta pacuan empat roda SUV mencecah kelajuan hampir 200 kilometer satu jam. Seorang pemandu Vellfire (kereta reckon Toyota) memberitahu PB bahawa perangkap had laju tidak dapat membaca pergerakan melebihi 170 kilometer satu jam.

Bertentangan dengan kelajuan tinggi ialah pemanduan yang keterlaluan perlahan dan santai. Kenderaan berat seperti lori sepuluh tayar bergerak macam kura-kura ketika mendaki. Masalah berlaku apabila terdapat lori berat memotong lori berat, lalu mengakibatkan kelancaran pergerakan kenderaan yang lain terjejas dengan teruknya.

Selain itu, pemandu kenderaan di lebuh raya didapati menukar lorong sesuka hati setelah memberi lampu isyarat tanpa mempedulikan pergerakan kenderaan di belakang. Hal itu selalu terjadi apabila mereka terdesak kerana mengekori kenderaan yang dipandu perlahan dan santai. Kemudian, tanpa rasa bersalah, dengan selamba, mereka kembali ke lorong kiri.

Tiada jaminan bahawa semua pemandu kenderaan di jalan raya dan lebuh raya memiliki lesen yang sah. Oleh sebab saiz kanak-kanak sekarang yang tinggi lampai dan berisi, mereka kelihatan seperti orang dewasa apabila mengenakan pakaian kasual. Maka, terdapat budak sekolah rendah yang sedemikian memandu kenderaan sama ada dengan izin atau tanpa izin ibu bapa mereka. 

Penunggang motosikal didapati lebih nekad kerana semakin berani melanggar lampu isyarat merah dengan menggunakan anggaran penglihatan mata kasar sendiri. Ironinya, orang dewasa yang memboncengkan anak kecil mereka ke sekolah turut berbuat seperti itu. Segelintir penunggang motosikal juga dengan selamba tidak memakai topi keledar.

Gelagat  pemandu kenderaan di Malaysia masih di takuk lama, sama seperti di negara mundur seperti India dan Pakistan. Walaupun pemandu di Malaysia jarang-jarang menggunakan hon, tetapi kebanyakannya tiada rasa hormat terhadap pemandu lain yang berjiran dengan mereka di jalan raya dan lebuh raya. Mereka seperti berasa puas hati jika dapat menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Pendidikan keselamatan jalan raya di Malaysia masih menempuh cabaran hebat andai kata gelagat pemandu kenderaan dijadikan ukuran tahap kesedaran sivik pemanduan berhemah. Selain dasar automatif nasional (DAN), sistem jalan raya juga memerlukan transformasi yang tuntas sama ada jalan kampung, jalan bandaran, jalan negeri, jalan persekutuan mahupun jalan persendirian. Pengendali lebuh raya tol juga perlu mengubah sistem kutipan tol yang banyak menyusahkan pergerakan kenderaan, terutama pada waktu puncak kesesakan dan musim perayaan ...

No comments: