SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, August 2, 2014

BUNGA PUJAAN DIRAYU ORANG (THE OTHER SIDE OF FEELINGS)

Budak zaman sekarang mungkin berasa janggal untuk bermadah atau berkias macam zaman ibu bapa mereka dahulu. Hal ini banyak dipengaruhi oleh wahana komunikasi maya masa sebenar yang lebih banyak ujaran spontan dan parodi. Jenuh guru bahasa cuba menerapkan unsur kecindan dan keindahan bahasa ketika pembelajaran komponen sastera (komsas), tetapi murid menganggapnya hanya sebagai gaya akademik, serta tidak berkaitan dengan pengalaman dunia remaja yang sedang dilalui.

Dalam bahasa saintifik, bunga tergolong sebagai flora yang sangat kritikal dalam memastikan keseimbangan ekosistem menerusi fungsi biologi yang tertentu. Bunga bukan sekadar hiasan seni taman (lanskap hortikultur), tetapi memiliki kelebihan yang tersendiri, contohnya sebagai pengusir binatang berbisa, aroma rawatan dan sebagainya. Hakikatnya, masih banyak penyelidikan yang boleh dilaksanakan bagi membongkar misteri anugerah Ilahi yang mempersonakan ini.

Jalur kesusasteraan pula sering mengangkat bunga sebagai bahasa perlambangan (metafora), khususnya merujuk kaum perawan (wanita muda yang masih bujang). Pasangan perlambangan bunga sudah tentunya kumbang yang mewakili kaum pria (lelaki muda). Penulis lirik lagu sebelum alaf tiga masih banyak menggunakan bunga bagi menggambarkan perasaan terhadap perawan.
gambar diambil menerusi mod makro samsung galaxy
siapa tahu nama bunga ini?
(lokasi: Cameron Highland)

Bagi kaum usahawan yang hanya nampak duit dan keuntungan semata-mata, segala sumber digembleng ke arah itu. Malah, minat menanam bunga sebagai satu hobi pada mulanya boleh berkembang menjadi punca pendapatan yang sangat lumayan. Namun, penjagaan bunga menagih darjah kesabaran yang tinggi kerana begitu banyak musuh (serangga perosak) yang mengakibatkan usia bunga terancam separuh jalan.

Eddy Solitonga, dari seberang, pernah mendendangkan sebuah lagu yang sangat popular dan bertaraf malar hijau (evergreen) iaitu 'Bunga Pujaan'. Lirik lagu berkenaan mengisahkan pencarian seorang pria terhadap perawan idaman yang berakhir dengan kesudahan buruk, tetapi dia masih sudi menerima perawan berkenaan. Pengajarannya ialah pergaulan bebas atau kecuaian dalam hubungan bukan mahram menjerumuskan pasangan sejoli ke arah dosa, maksiat dan kehilangan maruah sekelip mata.

Kumpulan The Mercy's pernah dikenali lewat lagu 'Bunga Mawar', Dato' Shake dengan 'Bungaku', lagu lama 'Bunga Tanjung', Bunga Melor', 'Teratai' dan banyak lagi. Namun,era bunga sebagai pilihan perlambangan sudah berlalu. Karya Ahmad Nawab, M. Nasir dan Saari Amri sebagai contoh tidak lagi memberi temapat yang istimewa terhadap bunga. Generasi Y juga semakin asing dengan perlambangan bunga

...

..

Friday, August 1, 2014

PESANAN KHATIB MASJID KAMPUNG PASIR DULA: KEKALKAN SEMANGAT RAMADAN (NON-STOP GOOD DEEDS)

Musafir yang memulakan perjalanan sesudah waktu Subuh hendaklah menunaikan solat fardu Jumaat. Kelonggaran (rukhsah) untuk melakukan jamak taqdim (dan qasar) dengan solat asar masih dibenarkan. Demikian pendapat yang kuat berdasarkan mazhab Shafie.

Soalan tentang perkara di atas pernah diuji dalam peperiksaan PMR beberapa tahun yang lalu. Di Malaysia, tiada masalah untuk mencari masjid ketika perjalanan. Kewujudan sesebuah kampung ditandai dengan tersergamnya sebuah masjid di kedudukan strategik
Penulis blog (PB) seisi keluarga bergerak dari Sura kira-kira pukul sebelas pagi. Masuk waktu zuhur ialah sekitar pukul 1.20 petang. Maka, PB membuat keputusan untuk singgah gi Masjid Kampung Pasir Dula di Hulu Telemung. 

Jalan masuk ke masjid agak curam dan sempit. Walaupun banyak kereta yang terus bergerak hingga ke perkarangan masjid, PB memilih untuk meletak kenderaan di kawasan lapang tepi jalan. Seronok juga menapak sambil dapat bersama dengan kumpulan saudara se-Islam dari Bangladesh dalam jumlah yang besar juga.

Asas binaan masjid ialah kayu yang menandakan bahawa masjid itu telah berusia dan bersejarah. Terpampang satu papan tanda projek naik taraf masjid. Didapati bahawa sebahagian jemaah yang berstatus musafir. 

...

...

...

Thursday, July 31, 2014

KISAH DI SEBALIK MAJID DUYONG KECIL (REMOTE HERITAGE LANDMARK)

Petang tadi, penulis blog (PB) seisi keluarga berkunjung ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang masyhur dengan penganjuran sukan kapal layar Piala Monsun, serta bersebelahan Pulau Wan Man yang menempatkan masjid kristal. Sempat juga meninjau industri pembinaan kapal dan kawasan tebus guna tanah yang mendekatkan jarak Pulau Duyong dengan bandaraya Kuala Terengganu. Terdapat projek tapak perniagaan yang sudah terbiar, tetapi orang ramai tetap datang justeru terpukau dengan pemandangan indah di situ.
Di Masjid To' Kaya Wan Abdul Kadir bin Haji Wan Abdullah, PB sempat bertemu Pak Andang bin Abdullah, 71, pembantu khas pengurusan masjid (siak). Beliau memaklumkan bahawa masjid berkenaan sudah berusia lebih 100 tahun. Dua orang adik-beradik masing- masing mewakafkan tanah dan membiayai pembinaan masjid.

Ketika Pulau Duyong masih terpisah dengan tanah besar, masjid itu dikelilingi alur dan sungai. Pengangkutan yang ada ialah perahu dan sampan. Banyak tuan guru dan ulama menyampaikan pengajian kitab di situ.
Almarhum Sultan Zainal Abidin juga kerap datang ke masjid ini untuk bertemu alim ulama, di samping melaksanakan amal ibadah. Jika benar bagai yang diceritakan, pihak berkuasa arkib dan persatuan sejarah harus menjalankan penyelidikan yang tuntas. Betapa duli tuanku menjadi teladan terbaik buat rakyat jelata yang begitu dekat dengan tradisi keilmuan Islam.

...

...

...

...


Wednesday, July 30, 2014

KENANGAN DI KAMPUNG TERENGGANU, DURIAN SEBATANG (CONGESTED SETTLEMENT ALONG PERAK RIVER)

Tentera Jepun mendarat di sebelah pantai timur menerusi utara Kelantan dan terus mara ke negeri-negeri lain, termasuk Terengganu. Jika di sebelah pantai barat, tentera Jepun menjadikan kaum Cina sebagai sasaran penyeksaan, di sebelah pantai timur, mereka tiada pilihan selain penduduk Melayu tempatan. Mereka memaksa penduduk kampung memberi hormat kepada Nippon, menggeledah rumah sesuka hati, merampas harta benda,malah bertindak lebih kejam, iaitu membakar rumah mangsa yang disyaki sebagai ancaman.

Tidak tahan dengan penyeksaan dan ancaman keselamatan keluarga, sekumpulan penduduk mengambil keputusan untuk melarikan diri di perantauan. Antara tempat yang ditujui ialah mukim Durian Sebatang, kira-kira dua kilometer dari bandar ketiga terbesar di Perak, iaitu Teluk Anson (kini Teluk Intan). Maka, masyarakat Terengganu pun membentuk petempatan yang sesak dan sempit di kawasan tanah sungai betul-betul di tebing Sungai Perak.

Walaupun telah berhijrah, hubungan dengan kampung halaman asal di Terengganu tidak pernah terputus. Apabila Jepun berundur, mereka berulang alik ke Terengganu membawa barang perniagaan seperti kain batik dan songket tenunan tangan. Kebanyakannya mengambil keputusan untuk menetap di Durian Sebatang walaupun harus berada dalam.persekitaran yang serba kekurangan.

...

...

...

...

...

...


Tuesday, July 29, 2014

USRAH, HALAQAH DAN TAMRIN (THINK TANK GROUP)

Suatu ketika dahulu, istilah usrah hanya digunakan oleh organisasi dakwah seperti Abim, sebelum dijadikan kaedah perbincangan kepimpinan dalam pelbagai organisasi formal yang lain. Usrah dipimpin oleh seorang naqib (naqibah bagi kumpulan wanita). Tesis doktor falsafah (Ph.D) tentang usrah pernah diterima di Universiti Illinois atas tajuk 'study circle' oleh Profesor Datuk Dr. Sidek Baba, mantan setiausaha agung Abim.

Pengisian usrah ialah pembacaan ayat al-Quran, dan / atau al-Hadith, kemudian analisis (tafsir) berdasarkan kitab muktabar. Seterusnya, inti pati saranan al-Quran dan al-Hadith tadi dihubung kait dengan waqi' (realiti semasa). Akhirnya, suatu program, rancangan atau aktiviti dirangka sejajar dengan maksud sebenar ayat yang dibaca.

Perancangan yang dibuat bukan sekadar cakap-cakap, tetapi lengkap dengan kertas kerja pelaksanaan, modus operandi dan kewangan. Sebagai contoh, seminar kesihatan keluarga, bantuan makanan kepada ibu tunggal dan ziarah masjid yang terpilih. Pendek kata, input usrah bersumberkan rujukan asas Islam, manakala hasil perbincangan usrah dipindahkan dalam bentuk pelaksanaan yang memenuhi keperluan semada.

...

...

...

...

...

...

...

Monday, July 28, 2014

GENERASI MUDA BERHARI RAYA (CONTINUITY OF TRADITION)

Rungutan bahawa generasi muda hari sudah melupakan tradisi sambutan hari raya sebagaimana zaman ibu bapa mereka barangkali kurang adil. Siapakah yang merobah persekitaran rumah dengan pelbagai gajet dan peranti mudah alih yang mengakibatkan komunikasi bersemuka semakin lemah? Siapakah yang memulakan budaya kepenggunaan tunjuk dan bayar terlebih dahulu?

Zaman telah berubah dan gaya hidup turut mengalami penyesuaian (adaptasi) terhadap persekitaran yang sentiasa diperbaharui. Gelombang perubahan terlalu deras untuk disekat, tetapi perkara yang paling mustahak bukan perbezaan ciri luaran atau zahir. Selagi jati diri masih dijunjung, perubahan dan perbezaan yang berlaku seharusnya dialu-alukan seadanya.
Sistem keluarga nukleas yang membentuk ciri utama masyarakat pascamoden bererti bahawa ikatan kekeluargaan yang luas kian terhakis. Sesebuah keluarga tinggal di kawasan perumahan dan di daerah yang berasingan dengan keluarga terdekat yang lain. Maka, kesempatan untuk mengenali pak cik, mak cik, sepupu sepapat dan waris yang lain menjadi terhad. 

Perhimpunan keluarga besar hanya boleh berlaku jika terdapat daya usaha berbuat demikian. Media sosial seperti facebook dan whatsapp dapat menjadi penghubung yang berkesan andai kata program hari keluarga besar itu hendak dijayakan. Sesetengah ahli keluarga mungkin terpaksa menarik diri jika tidak dibantu dari segi kewangan dan pengangkutan.

Hakikatnya bukan sahaja generasi muda sibuk menghadap paparan telefon bimbit dan komputer tablet, bahkan 'penyakit' dan kegilaan itu dikongsi bersama oleh orang dewasa dan yang sudah lanjut usia. Masing-masing sudah ada kumpulan whatsapp bagi menyebarkan maklumat terkini tentang kegiatan dan peluahan perasaan. Aplikasi maya sudah seperti wabak dan penawar secara sekali gus.

Idea untuk berundur kembali kepada cara sambutan hari raya generasi silam boleh dikatakan hampir mustahil. Apa yang mampu dilakukan ialah kawalan dalaman kendiri atau muraqabah. Sikap taasub terhadap komunikasi maya hendaklah dinilai semula justeru tahap ketagihan ekstrem memang jelas amat tidak sihat.

Kempen kreatif tentang anjuran hari tanpa gajet atau peranti elektronik mudah alih mungkin boleh difikirkan. Memanglah bahawa tujuan akhir kempen bukanlah sifar penggunaan komunikasi maya pada hari raya, tetapi sekurang-kurangnya ciri manusiawi bersemuka tidak diambil alih sepenuhnya oleh paparan skrin peranti komunikasi mudah alih. Tidaklah masing-masing membisu semasa berziarah, serta sentiasa kelihatan resah menunggu mesej whatsapp masuk!

Kalau di masjid dan wad hospital kita biasa melihat simbol mematikan telefon bimbit, tuan rumah majlis rumah terbuka juga boleh berbuat demikian, tetapi dalam bentuk mesej jenaka yang lebih lunak dan masuk akal. Barangkali tuan rumah membuat ucapan alu-aluan ringkas dan bacaan doa yang juga ringkas, tetapi sempat memberi saranan tentang hal itu.

Generasi muda yang masih kurang pengalaman tentang proses pembinaan jati diri dan sosialisasi perlu disediakan untuk menghadapi cabaran semasa dan mendatang. Oleh itu, di samping memanfaatkan segala kecanggihan teknologi terkini, kesedaran tentang perihal pentingnya tradisi dan warisan yang hebat perlu dipupuk dalam kalangan mereka. Hari raya ialah kesempatan terbaik untuk mengajak anak-anak muda kita menelusuri jejak zaman yang tersirat sebagai akar umbi kekuatan umat ...

Sunday, July 27, 2014

SUASANA HARI RAYA TAHUN INI (CELEBRATING SUCCESSFUL FASTING OBLIGATION)

Usai menunaikan ibadah puasa sebulan Ramadan yang merupakan rukun Islam ketiga, umat Islam bersiap sedia pula menyambut hari lebaran atau Aidil Fitri mulai 1 Syawal. Berbeza dengan masyarakat timur tengah dam rantau teluk yang hanya meraikan hari raya puasa sehari dua, masyarakat kita melanjutkannya hingga sebulan penuh Syawal. Malah, kadangkala majlis rumah terbuka melepasi bulan Syawal justeru pertembungan terlalu banyak majlis yang sama.

Rentetan tragedi pesawat MH 17 yang ditembak jatuh di kawasan bergolak Ukraine sehingga mengorbankan 298 jiwa,  majlis terbuka peringkat kebangsaan dan negeri banyak yang dibatalkan. Maka, kesempatan untuk bersua muka dan menjejakkan kaki ke rumah pemimpin politik nampaknya terhad. Namun, majlis rumah terbuka anjuran organisasi korporat dan persendirian dijangka tidak terjejas.

Sambutan hari raya sepatutnya ialah kesinambungan ibadah Ramadan. Hari raya dipenuhi dengan lafaz doa dan kesyukuran, di samping menzahirkan kegembiraan dengan pakaian serba baharu. Tradisi kunjung-mengunjung dan saling bermaafan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang sangat dituntut oleh agama.

Majlis rumah terbuka boleh diangkat sebagai wahana dakwah yang bijaksana. Amalan kesederhanaan dan sikap mesra terhadap tetamu memberikan gambaran yang tepat tentang nilai-nilai Islam. Sifat taqwa terserlah dengan menghindari segala perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat, contohnya pergaulan bebas dengan bukan mahram.

Penyediaan hidangan untuk tetamu dibuat berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing. Tidak perlulah tuan rumah sampai bergadai bergolok atau menanggung beban hutang yang berat pada kemudian hari.  Hakikatnya, lebih ringkas hidangan yang disediakan lebih baik kerana kandungan kalori, lemak dan gula akan lebih terkawal.

Saranan seorang sarjana supaya majlis rumah terbuka diadakan secara berkongsi dalam kawasan kejiranan yang sama harus diberi perhatian. Mesyuarat dan muafakat boleh disemarakkan semula tanpa sikap mahu menunjuk-nunjuk. Maka, amalan saling menampung dari segi kewangan dan tenaga boleh menghidupkan semangat gotong-royong walaupun mungkin dalam versi baharu.

Gaya hidup masyarakat maju yang mementingkan keselesaan peribadi (privacy) dan keselamatan mengakibatkan kunjungan secara mengejut atau terjah tidak begitu dialu-alukan. Oleh itu, segala.kemudahan komunikasi hujung jari seperti whatsapp dan sms menjadi pengganti kemunculan secara tiba-tiba di hadapan pagar rumah. Tuan tumah boleh mrmbuat persediaan yang seadanya dan berada di rumah pada waktu yang diharapkan.

Kesimpulannya, sambutan hari raya puasa hendaknya diisi dengan amalan yang menjurus terhadap kerangka ibadah dan dakwah secara bijaksana. Tiada unsur lagha atau sia-sia yang bertentangan dengan maksud sambutan hari raya itu sendiri. Sambil itu, masyarakat mesti terus peka terhadap golongan kurang beruntung berhampiran kejiranan masing-masing, serta saudara seagama yang sedang menghadapi pelbagai dugaan berat termasuk di Gaza, Syria, Mesir, Xinjia, Chechya dan di serata dunia ...

Saturday, July 26, 2014

TIADA CUTI AWAL, JALAN SESAK TERUK (TRAFFIC PROBLEM IN FESTIVE SEASON)

Hajat untuk 'merasmikan' fasa baharu lebuh raya pantai timur tidak kesampaian, sebaliknya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang luar biasa sekali. Keseluruhan tempoh perjalanan dari Ipoh ke Dungun memakan masa 18 jam, walhal biasanya hanya  8 jam termasuk rehat. Jarak 200 kilometer pertama begitu lancar sebelum melepasi plaza tol damansara  utama kepong expressway (duke).

Pergerakan kenderaan macam kura-kura layaknya: satu kilometer setengah jam. Nasib baik tangki minyak sudah diisi penuh lagi di R & R Ulu Bernam. Kereta juga baharu servis pada hari Khamis dengan bateri dan tayar diganti sebagai "pelaburan" untuk keselamatan kenderaan.


Menjelang waktu Zuhur,  keluar lebuh raya menuju stesen Petronas, Taman Seri Gombak. Usai kemas diri dan solat jamak taqdim berjemaah, masuk semula.lebuh raya. Kesesakan luar biasa masih berterusan. Mujur juga di kawasan berliku mendaki dan menuruni lereng gunung menuju Genting Sempah pergerakan lebih lancar dan tidak tersekat-sekat.

Menjelang senja baharu tiba ke Plaza Tol Jabor dengan terlebih dahulu beratur sejauh dua kilometer. Punca kesesakan ialah sekian banyak plaza tol yang berjumlah lapan semuanya. Alangkah baiknya suatu inovasi dilakukan dengan segera supaya hal itu tidak berulamg saban tahun yang menyusahkan semua pihak.

Satu lagi perkara yang perlu diambil kira oleh pihak yang membuat keputusan tentang cuti sekolah pada musim.perayaan utama. Cuti yang bermula pada hujung minggu ternyata mengundang kesibukan dalam urusan perjalanan. Tahun ini semua keluarga harus pulang serentak dalam tempoh dua hari pada hujung minggu kerana hari raya jatuh pada hari Isnin.

Keadaan di plaza tol Jabor lebih 'kartun'. Tanpa sebarang panduan tunjuk arah, pemandu harus mencari sendiri arah ke Chenih sebelum diberitahu tutup kerana berlaku runtuhan tanah akibat hujan lebat. Pemandu beramai-ramai menuju laluan berisiko Jerangau-Jabor. Namun, baharu separuh jalan berpatah balik lagi atas masalah yang sama: tanah runtuh.

Kali ini penulis blog (PB) tidak lagi menyertai rombongan besar kenderaan, sebaliknya menggunakan laluan Felda Bukot Goh. Singgah di stesen minyak Shell di situ, urusan tunai sahaja. Terus jamak takhir di surau yang agak selesa juga.

Laluan menuju Sungai Udang juga macam di Kuala Lumpur. Terdapat sebuah treler yang sengaja menghalang pemandu lain daripada menggunakan lorong kecemasan. Akhirnya, pihak polis dengan kerjasama belia kampung melencongkan laluan menerusi jalan yang belum berturap sepanjang lebih kurang lima kilometer membelah kegelapan tengah malam ...