Monday, November 30, 2015
ANTOLOGI BAHARU KOMSAS TINGKATAN 2: BAIK BUDI INDAH BAHASA (THINK WISE AND THINK TWICE BEFORE SPEAKING)
Meneruskan format sebuah antologi yang nipis, teks komsas tingkatan dua yang baharu hanya memuatkan sebuah syair, sebuah prosa tradisional dan sebuah drama. Tumpuan terhadap genre sastera yang dianggap berat itu barangkali lebih adil. Karya yang bersifat lebih mudah difahami seperti pantun, sajak dan cerpen masing-masing berjumlah 5, 4 dan 3 buah.
Bahagian buku yang memuatkan hasil karya karya yang terpilih hanyalah 73 muka surat, setelah ditolak halaman kosong, ilustrasi dan pengenalan setiap genre komsas. Terdapat 4 muka surat untuk biodata pengarang (98 - 101) dan satu halaman glosari (102). Muka surat berhuruf roman pula berjumlah 9 semuanya.
Naskhah comel ini hanya dijual pada harga rak RM3.90. Namun, kertas yang digunakan, serta reka bentuk naskhah komsas tingkatan 2 ini memang melebihi nilai harga belian. Hal yang lebih penting ialah jaminan mutu tentang mutiara ilmu dan kebijaksanaan yang disampaikan lewat karya pelbagai genre.
Suatu kelainan naskhah komsas ini ialah bahawa judul buku tidak diangkat daripada mana-mana tajuk karya yang dimuatkan. Memang tiada peraturan yang menetapkan hal itu, tetapi ia masih suatu penyimpangan daripada kebiasaan. Maksudnya, tiada lagi karya yang boleh dianggap sebagai ikon atau istimewa.
Secara keseluruhannya, terdapat 15 entri karya yang sejajar dengan tujuan pembelajaran komponen sastera untuk pelajar awal remaja. Selain proses penyuntingan yang tuntas, naskhah ini telah dipastikan bebas daripada sebarang unsur yang menyentuh sensitiviti mana-mana golongan masyarakat. Malah, tajuk asal prosa tradisional yang bernada negatif turut diubah kepada judul yang lunak dibaca.
Naskhah antologi disunting oleh Nor Azah Abd Aziz yang turut menulis pendahuluan pada halaman vii hingga ix. Sebagai hasil kerja kesusateraan, aspek keindahan bahasa diberi tumpuan khas. Sisipan pengenalan bagi setiap bahagian bertujuan menumbuhkan minat membaca bahan sastera yang kaya dengan daya imaginasi dan kebijaksanaan.
Sepertimana semua naskhah komsas lain termasuk novel, antologi Baik Budi, Indah Bahasa juga mengandungi sejumlah 16 paparan ilustrasi bagi membantu pelajar membina gambaran mental tentang objek atau persekitaran yang asing dengan mereka.
Tidak kurang pentingnya ialah pembelajaran bahasa yang menjurus terhadap pancaran akal budi insan dan kehalusan berbahasa. Murid sepatutnya membaca dan menekuni naskhah antologi yang asal terlebih dahulu sebelum beralih kepada buku-buku ulasan atau tulisan di laman maya seperti blog ini.
Naskhah antologi ini ialah teks pegangan bagi pentaksiran berasaskan sekolah, PT3 kelak. Maka, murid bakal beroleh bimbingan dan pertolongan guru Bahasa Melayu bagi menikmati pengalaman pembelajaran secara santai dan berkesan bagi mencapai maksud pendidikan secara seimbang dan menyeluruh. Sejajar dengan penerapan kbat, murid digalakkan mempelajari cara menyampaikan sesuatu idea secara terbuka tetapi ada kaedah yang tersusun.
Bercakap tentang keperluan PT3, terdapat beberapa aras pembelajaran yang dikehendaki. Murid kena memahami petikan, memberi pendapat dan mengenal pasti unsur komsas. Murid juga seharusnya jelas tentang konsep huraian yang merupakan bahagian wacana selain subjek dan predikat.
Tugasan aras petikan bermaksud bahawa isi jawapan yang dikehendaki ialah ambilan daripada petikan, tanpa pendapat sendiri. Tugasan kbat bermaksud idea di luar petikan, tetapi murid mesti belajar untuk membuat generalisasi. Tugasan komsas bermaksud mengenal pasti tema, nilai murni, persoalan dan pengajaran.
Murid juga diharapkan mengenal pasti asas unsur sastera seperti diksi dan perulangan, persamaan rima, perlambangan (metafora), sinkope (sinkof, ejaan yang dilemahkan) dan sebagainya yang bakal didedahkan oleh guru. Namun, murid tidak perlu bimbang kerana tugasan tentangnya tidaklah terlalu mendalam dan sukar.
Akhir sekali, peringatan tentang huraian yang ditampilkan dengan tugasan soalan seperti huraikan, jelaskan dan terangkan. Murid sering tersilap kerana menganggap huraian mestilah berjela-jela panjangnya. Sebenarnya, huraian bermaksud selain bahagian subjek dan predikat dalam sesuatu binaan ayat atau wacana ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
bestlah buku ni
Cubalah dpt dimuat turun pdf ni kedekut betul lahh,,,,
Post a Comment