Monday, March 14, 2016
DILEMA SISWAZAH PERUBATAN (PROMOTING HEALTH TOURISM)
Dasar mengehadkan penawaran siswazah perubatan dengan menghentikan sementara (moratorium) sejumlah kursus perubatan di institut pengajian tinggi swasta, serta mengurangkan pengambilan pelajar prasiswazah perubatan di universiti awam (UA) terpaksa dilakukan. Penempatan sebagai doktor pelatih (house officers) kini tidak dapat dibuat secara serta-merta. Pemegang biasiswa kerajaan juga tidak terkecuali daripada menjalani proses temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebelum ditempatkan sebagai pegawai perubatan gred UD 41.
Tempoh menunggu untuk ditempatkan secara housemenship boleh mencecah tiga hingga sembilan bulan. Kemudian, setelah menamatkan housemenship selama dua tahun dengan jayanya, pelantikan sebagai pegawai perubatan gred UD 44 akan dilakukan. Proses naik pangkat secara laluan pantas itu memang wajar justeru doktor perubatan telah menjalani pengajian bidang kritikal yang sukar, serta harus tabah ketika berada di bawah bimbingan doktor pakar dan doktor senior sepanjang tempoh housemenship. Perincian tentang amalan dan etika kedoktoran perubatan, tempoh wajib berkhidmat dengan kerajaan dan syarat keizinan beralih ke sektor swasta boleh dirujuk menrusi laman di sini.
keratan akhbar The Star, 1 Mac 2016
Sesetengah ibu bapa sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menghantar anak belajar ke kolej universiti swasta tempatan, Indonesia, India, Mesir dan Russia kerana yakin akan jaminan kerjaya sebagai pegawai perubatan. Bilangan UA yang membuka fakulti perubatan juga telah meningkat. Semua UA bertaraf universiti penyelidikan (RU) telah menawarkan pengajian perubatan, diikuti oleh kebanyakan universiti komprensif yang bukan mengkhusus.
Mutu siswazah perubatan dan pelesenan mereka dikendalikan oleh sebuah persatuan ikhtisas perubatan, iaitu Malaysian Medical Association, MMA (klik di sini). Semua doktor perubatan yang menjadi ahli MMA juga perlu berdaftar dengan majlis perubatan Malaysia, MMC (klik di sini).
Sebagai langkah jangka panjang, semua RU telah diarahkan mengurangkan pengambilan calon prasiswazah perubatan, sebaliknya memberi tumpuan terhadap pengajian sarjana kepakaran. Masih banyak bidang kepakaran yang belum diisi sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta. Jalinan strategik dengan sekolah perubatan terbaik dunia seperti Dublin, Havard, John Hopkins, Manipal dan Monash berupaya menjimatkan kos pembiayaan pengajian kepakaran. Negara juga mampu menarik perhatian calon sarjana kepakaran perubatan dari serata dunia.
Malaysia semakin dikenali sebagai destinasi rawatan terkemuka di rantau sebelah sini. Pakej ketibaan pesakit yang ditemani oleh anggota keluarga sudah sekian lama menjadi produk pelancongan perubatan negara maju. Maka, apabila Malaysia mencapai status berkenaan, keperluan doktor am (general practitioner) dan doktor pakar secara automatik bakal meningkat.
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment