SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, August 19, 2009

KELAB BADMINTON SMI BERJAYA DI INSTITUT LATIHAN PERINDUSTRIAN JELAPANG (THE WINNING SHOT OF ST MICHAEL'S INSTITUTION STAFF BADMINTON CLUB)

Ipoh,Rabu: 19 Ogos 2009 / 28 Syaaban 1430







Kelab Badminton Staf SMI bertandang ke gelanggang badminton Institut Latihan Perindustrian Jelapang (ILP)untuk perlawanan persahabatan pusingan pertama yang diatur antara En. Ibrahim (Presiden) dengan En. Azrul (ILP). Lima beregu dipertemukan dengan kiraan mata format lama 15 dan tukar servis. Perlawanan berlangsung dalam suasana mesra, namun tetap boleh tahan sengitnya.










Akhirnya, SMI berjaya menghadiahkan kemenangan kepada ILP 1 - 4. Pasangan Maulid - Prakas berjaya menewaskan pasangan utama ILP 2-1. Namun, malang buat pasangan Zulkefli Sulaiman - Azmi yang mendahului 14-1 dalam set penentuan terpaksa akur dengan 15-17. Beregu lain yang diturunkan ialah Shahruzaman-Badrul, Ahmad Syakir-Ibrahim, dan penulis blog-Haji Zul.










Ketiga-tiga beregu terakhir SMI itu berjaya memberikan kemenangan kepada pihak lawan dengan agregat 0-2. Tiga tonggak SMI yang tidak dapat diturunkan ialah Ravi, Chin, dan Saiful. Insya-Allah, mereka bakal memberi cabaran getir buat ILP dalam siri 2 yang bakal diatur selepas hari raya kelak. Kombinasi beregu terbaik bakal mengalami rombakan selepas sesi sparring dan ranking dijalankan.










Pihak SMI mengucapkan terima kasih daun keladi kepada skuad ILP. Satu post-mortem bakal dibuat untuk menghadirkan saingan lebih hebat kepada pasukan ILP. Kehadiran Tuan Haji Sidek selaku penasihat kehormat kelab telah sedikit sebanyak dapat membantu Kelab Badminton Staf SMI membuat analisis lebih terperinci, Insya-Allah.

Sunday, August 16, 2009

PROGRAM PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU GEMILANG SPM 2009 (ESSAY WRITING GUIDANCE FOR SPM CANDIDATE AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)

Ipoh, Isnin: 17 Ogos 2009 / 26 Syaaban 1430

{paronblur="try ent.deselectBloggerImageGracefully();} catch(e) {}" href="https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhVIidEVSclujnu4M2HJ_cbDcOL73dQjPFNiVsCSKKQV60h5A0AFUB3sbGzmtIokmMdwLpUjKW9Fv-KaFCpINF8kprIPjZVN3rzShBJAk5SmDUIvITgXGrl19PsmUnGGDVc2U-Rlgug-p4/s1600-h/satu.JPG">

Lanjutan program Gemilang Bahasa Melayu SPM siri 1 yang lalu, bertempat di bilik studio Pusat Sumber SMK St Michael, Ipoh (SMI), sejumlah 23 orang pelajar telah hadir untuk meneroka teknik penulisan karangan peringkat SPM. Tumpuan diberikan terhadap bahagian pendahuluan yang menjadi titik tolak sebuah karangan yang berkesan. Pemudah cara utama ialah Tuan Haji Mohamad Sidek bin Haji Zakaria, Guru Kanan Bahasa SMI, sambil dibantu oleh Puan Roslinda dan penulis blog sendiri.



Program dua jam itu diisi dengan tunjuk cara terperinci pembinaan dan pengembangan ayat, sumbang saran dan latihan akses kendiri berdasarkan input dan modul yang disarankan. Tuan Haji Sidek telah sudi berkongsi formula ajaib beliau, iaitu MIKO, bukti, kesan dan peribahasa yang menunjangi antara tiga hingga lima ayat dalam bahagian pengenalan. Peserta dilatih mengaplikasikannya mengikut keperluan tugasan karangan Bahagian A (karangan tertutup, tersurat) dan karangan Bahagian B (karangan terbuka, tersirat).



Peserta dibimbing untuk menggunakan perkataan pertama yang bersesuaian untuk digandingkan dengan frasa lain yang membentuk tubuh ayat. Misalnya untuk MIKO (masa, bukti, kesan, orang) dimulai dengan "Pada masa ini.." (tiga patah perkataan), bukan "Kini,.." (satu patah perkataan sahaja) bagi mengatasi masalah karangan tidak cukup jumlah perkataan. Ayat kedua "Buktinya,..." boleh dikembangkan dengan menulis "Berdasarkan sumber yang layak dipercayai,...". Perkataan "Masyarakat" untuk ayat ketiga boleh ditukar kepada "Pelbagai pihak termasuk orang ramai, pemimpin negara dan pihak berkusa...".

Pemilihan peribahasa atau cogan kata sebagai unsur kecindan dalam karangan seharusnya diberi perhatian oleh setiap calon SPM. Bagi peserta yang menghadapi kesukaran mengingat peribahasa, Tuan Haji Sidek mengesyorkan bebarapa peribahasa asas yang boleh digunakan. Misalnya, "Tetapi sayang, keadaan nasi menjadi bubur masih ketara walaupun pelbagai langkah mengatasi masalah ..... telah diambil.

Maklum balas dan penglibatan peserta begitu menggalakkan. Beberapa kemusykilan yang telah lama disimpan berjaya diselesaikan. Latihan menulis bahagaian pengenalan karangan menunjukkan peserta berjaya menulis tiga hingga lima ayat dengan jumlah perkataan antara 60 hingga 70 patah perkataan.

JALUR GEMILANG SEBAGAI LAMBANG PATRIOTISME: SI JUJUR DAN SI PENDUSTA (THE MEANINGS OF NATIONAL FLAG AND PATRIOTISM AMONGST MALAYSIAN)

Pada zaman dahulu, bendera lebih dikenal sebagai panji-panji. Ketika berlaku pertempuran dan peperangan (secara berhadapan, konvensional), anggota ketumbukan hadapan akan sentiasa menjulang dan mengibarkan panji-panji sebagai lambang maruah dan perjuangan. Mereka juga melaungkan slogan tertentu sebagai pembakar semangat supaya tidak gentar berhadapan dengan musuh dan risiko gugur di medan tempur. Berpantang maut sebelum ajal!

Mungkin peperangan berbentuk demikian masih berlaku di benua Afrika dan Amerika Latin, serta taktik serangan gerila dalam kalangan pejuang yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai puak pemisah. Sebaliknya peperangan berskala besar seperti yang dilancarkan oleh Pentagon terhadap Afghanistan dan Iraq menggunakan serangan berteknologi tinggi menerusi intipan satelit, peluru berpandu dan jet tempur kawalan jauh tanpa juruterbang. Setelah sasaran strategik dan pangkalan lawan dimusnahkan, barulah tentera darat memasuki bandar dan desa untuk melemahkan saki-baki penentangan.

Generasi muda Malaysia mempelajari situasi perang menerusi filem, simulasi permainan dan pembacaan. Pelajar sekolah didedahkan dengan peristiwa perang tempatan sebelum merdeka menerusi buku Sejarah dan novel wajib komsas. Pengalaman peribadi boleh dikatakan sifar.

Maka, cara untuk membangkitkan rasa cinta negara dan kesanggupan mempertaruh jiwa raga demi nusa dan pertiwi ialah dengan menghormati lambang-lambang negara. Jalur Gemilang, iaitu bendera kebangsaan berkibar dengan megah di merata-rata pelosok negara. Malah, ketika jalur gemilang dinaikkan bagi mengiringi lagu “Negaraku”, semua hadirin diminta berdiri tegak. Kini, jurugambar juga tidak dikecualikan daripada berbuat demikian.

Sempena bulan kemerdekaan sepanjang Ogos ini, pengibaran Jalur Gemilang menjadi lebih banyak dan bervariasi. Ada bendera gergasi, dan ada bendera panjang yang membungkus keseluruhan pagar sesebuah institusi pengajian. Di jalan raya pula kenderaan persendirian, termasuk motosikal dan beca berlumba-lumba melekatkan Jalur Gemilang.

Dua tiga tahun lepas, pengibaran Jalur Gemilang pada kenderaan persendirian kelihatan mencapai tahap maksimum. Ada kenderaan yang memperagakan puluhan bendera negara sehingga timbul teguran dari segi keselamatan pengguna jalan raya. Setelah diselidik, terbongkarlah rahsia peraduan mengibar Jalur Gemilang pada kenderaan persendirian dengan tawaran hadiah yang lumayan juga.

Setelah peraduan ditiadakan, keadaan luar biasa tadi turut pudar. Bak kata orang putih, back to square one! Peniaga bendera juga mengalami kemerosotan jualan yang drastik.

Pemikir amatur tentu membuat kesimpulan mudah bahawa perlakuan seumpama itu menyerlahkan sikap pura-pura masyarakat kita. Mereka hanya sanggup berbuat sesuatu jika ada ganjarannya. Jika sebaliknya, sindrom menarik diri akan muncul sekelip mata!

Patriotisme berasal daripada kata dasar “patria” yang bererti bapa. Pada zaman dahulu, bapa dianggap sebagai kuasa mutlak dalam keluarga. Semua anggota keluarga yang lain mestilah menunjukkan kepatuhan tanpa syarat kepada sang bapa. Maka, negara juga dinisbahkan dengan kedudukan bapa itu.

Masyarakat timur pula lebih senang merujuk negara kepada ibu. Misalnya, ibu pertiwi. Lirik “Bahtera Merdeka”, sebuah lagu malar hijau (evergreen) yang sentiasa berkumandang sepanjang bulan kemerdekaan juga dimulai dengan bait “Bonda senyum riang menerima bahtera merdeka, tanah semenanjung permata nilam…”

Perubahan entiti geopolitik pasca-Perang Dunia Kedua telah mewujudkan konsep negara bangsa (nation state) . Sebagai contoh, Tanah Hijjaz telah dipecahkan kepada puluhan negara Arab oleh penjajah Barat yang menganut doktrin pecah dan perintah (divide et empera). Walaupun masih bernaung di bawah Liga Arab, kata sepakat didapati ialah suatu keajaiban.

Generasi muda Malaysia patut menyedari hakikat ini. Walaupun penjajah Barat tidak hadir secara fizikal, mereka tidak pernah jemu berusaha melakukan penaklukan secara senyap menerusi penyebaran ideologi, cara berfikir dan kecenderungan acuan Barat. Dr. Siddiq Fadhil, seorang sarjana ulung negara menamakan fenomena itu sebagai “al-ghazwul-fikri” atau serangan pemikiran.

Ibarat perlumbaan, kita sudah lama meninggalkan garis mula, dan kini tertumpu untuk pecutan. Maknanya, sejarah tidak bisa diubah. Namun, jika kita alpa, cuai dan leka, tidak mustahil bahawa sejarah pahit nenek moyang kita berulang kembali. Marilah kita berwaspada terhadap musuh yang tidak kelihatan.

Ayuh sama-sama kita berlaku jujur pada Jalur Gemilang. Janganlah sampai kita dicop sebagai pendusta yang hanya mengibarkan Jalur Gemilang jika ada peluang mendapat ganjaran. Biar di sanubari kita juga bertekad membawa Malaysia ke mercu kegemilangan dengan menyemai disiplin, jati diri dan kesungguhan untuk berbakti dengan cara yang kita mampu.

Merdeka, merdeka, merdeka!!!

Friday, August 14, 2009

PELANCARAN SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN SMI (THE LAUNCHING OF THE 52ND YEARS OF INDEPENDENCE CELEBRATION)

Ipoh, Sabtu: 15 Ogos 2009 / 24 Syaaban 1430




Bulan Ogos sentiasa istimewa bagi seluruh rakyat Malaysia. Nostalgia pengisytiharan kemerdekaan diulang tayang saban waktu di kaca televisyen. Warga SMK St Michael, Ipoh (SMI) tidak mahu ketinggalan bagi memeriahkan sambutan perayaan yang menggetarkan jiwa raga dan mengetuk jendela nurani seluruh insan yang berjiwa merdeka.

Bertempat di tapak perhimpunan mingguan, satu majlis pelancaran sambutan bulan kemerdekaan peringkat SMK St. Michael, Ipoh dilancarkan oleh Encik Phoon Chong Chee, pengetua SMI. Program ini bertujuan memupuk semangat patriotik dan pengukuhan jati diri dalam kalangan warga SMI. Beberapa gimik dipersembahkan sebagai tanda pengisian aktiviti yang menjurus kepada tujuan yang ditetapkan.


Acara dimulai dengan ucapan tuan pengetua. Antara lain, beliau mengharapkan bahawa semangat cinta negara akan dipindahkan dalam bentuk tingkah laku pelajar cemerlang yang bakal menjulang nama SMI di persada dunia pendidikan. Beliau mahu Michaelian membuktikan elemen kemerdekaan itu dengan komitmen disiplin dan akademik yang tinggi.

Program anjuran Unit Hal Ehwal Murid itu diteruskan dengan persembahan koir Persatuan Bahasa Inggeris (Michaelian's English Language Society, MELS) dan koir Tingkatan Enam Rendah. Seterusnya, pasukan pancaragam sekolah kedua terbaik di negeri Perak (Michaelian's Military Band) menampilkan lagu "Setia", "Tanah Pusaka" dan "Alcalde" yang mendapat tepukan gemuruh hadirin. Selain itu, seorang pelajar tingkatan enam rendah turut mendeklamasikan sajak kemerdekaan.

Sebelum majlis diakhiri dengan lagu sekolah, satu upacara simbolik penyerahan bendera kepada semua moderator tingkatan disempurnakan oleh Encik Vellupillai a/l Ponnudurai, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMI. Hadirin kelihatan teruja. Kepuasan jelas terpancar di wajah mereka.

Merdeka, merdeka, merdeka!!!

Wednesday, August 12, 2009

WABAK SELESEMA BABI MENCEMASKAN WARGA IPOH (THE INFLUENZA H1N1 PANDEMIC SCARED THE CITY FOLKS)

Ipoh, Rabu: 12 Ogos 2009 / 21 Syaaban 1430

Ramalan dan unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bernaung di bawah Bangsa Bersatu memang mencemaskan rakyat Malaysia. Dianggarkan sejumlah 500,000 rakyat Malaysia dikatakan akan terkena jangkitan selesema babi, dengan angka korban mencecah 28,000 orang. Maknanya, catatan 42 kes kematian sehingga semalam menunjukkan bahawa penularan wabak baru pada peringkat awal.

Vaksin melawan jangkitan selesema babi baharu sahaja tiba secara besar-besaran di Malaysia. Marilah kita berdoa mudah-mudahan ramalan dan unjuran WHO itu tidak benar. Ya Allah, panjangkan umur kami dan murahkan rezeki kami. Dengan kemurahan-Mu jauhilah kami daripada azab dan bala bencana akibat wabak selesema babi. Amin.

Dalam pada itu, masih ada pihak yang secara tiba-tiba bagaikan mendapat durian runtuh. Klinik swasta dan farmasi diserbu hampir saban waktu. Produk penyembur anti bakteria dan pencuci tangan pelbagai jenama menjadi rebutan sehingga kehabisan stok dalam tempoh yang singkat. Cakap-cakap dan temberang jurujual langsung mungkin sekali laku pada ketika ini.

Di sana sini, termasuk dalam kalangan warga sekolah kelihatan orang memakai topeng perlindungan. Kalau dulu mereka memperli si pemakai purdah yang menutup hidung dan mulut, kini giliran mereka berbuat perkara yang serupa sudah tiba! Malangnya, sudah ada pula penjenayah yang mengambil kesempatan melakukan penyamaran sebagai pemakai topeng perlindungan supaya identiti mereka sukar dicam.

Wabak selesema babi sebenarnya menambah sesenarai panjang ancaman jangkitan terhadap warga kota secara besar-besaran bermula dengan demam denggi, koksaki, J.E. (virus nipah), selesema burung, penyakit kuku dan mulut, pneumonia, dan lain-lain lagi. Kebanjiran pendatang asing pula mengembalikan penyakit yang hampir dapat dicegah sepenuhnya di Malaysia seperti cacar, batuk kering, polio dan untut.

Pada peringkat permulaan penularan selesema babi, rakyat Malaysia digesa supaya menunda dahulu aktiviti perjalanan dan pelancongan ke destinasi luar negara, khususnya ke negara berisiko tinggi seperti Mexico, Amerika Syarikat dan Australia. Namun, seperti biasa masih terdapat sebilangan rakyat yang berasa diri mereka kebal dan mempunyai sistem pertahanan fisiologi (antibodi, imuniti) yang sukar ditembusi serangan virus selesema babi.

Banyak kes membuktikan golongan ’degil’ berkenaan menyumbang terhadap penularan wabak selesema babi ketika ini. Keadaannya ialah seakan-akan negara kita sudah terkepung oleh virus selesema babi. Untuk bolos dari jangkitan, hanya kepada Allah kita bergantung harap.

Sektor pelancongan terjejas dengan teruk. Tempahan penginapan hotel dibatalkan dalam skala yang besar. Majlis rasmi dan keramaian juga menerima nasib yang serupa. Maka, syarikat, ejen, dan pekerja sektor yang berkaitan dengan ketibaan pelancong dan pengurusan majlis sekali lagi melalui tempoh suram menyusuli ujian berat jerebu, taufan dan tsunami beberapa tahun belakangan.

Ada pihak yang mendakwa bahawa fenomena dan wabak selesema babi bukanlah perkara baru. Kata mereka, pada zaman dahulu lagi banyak kes penularan sesuatu wabak telah berlaku tanpa nama dan publisiti. Bomoh dan dukun yang menjadi rujukan hanya memberi diagnosis dan rawatan palsu. Tiada SMS, MMS, facebook, myspace dan twitter sebagai medium jaringan maklumat.

Dari sudut yang lain pula, ada kalangan yang mengatakan penularan wabak selesema babi secara global ini ialah peringatan dari Tuhan Rabbul-Alamin. Manusia sudah sampai ke kemuncak kezaliman, kemungkaran dan kemaksiatan. Penzina dan pelaku maksiat disanjung tinggi. Mereka bahkan diangkat sebagai duta hak asasi manusia dan duta perlindungan flora-fauna sedunia. Orang-orang alim dan warak pula dicemuh, dinista dan diancam keselamatan mereka. Pengganas sebenar menggelar pejuang suci sebagai pengganas yang perlu diburu hingga ke lubang cacing!

Kita boleh sahaja berbahas, berdebat dan berforum hingga ke dini hari. Namun, pada akhirnya kesimpulannya akan sama, iaitu wabak selesema babi sudah berlegar di sekeliling kita mengintai mangsa yang cuai dan lemah. Virus H1N1 tidak mengira orang jahat, orang baik, bangsawan atau si miskin. Sesiapa jua berpotensi untuk dijangkiti.

Marilah kita bersama-sama berikhtiar melawan ancaman pandemik selesema babi. Jangan sesekali kita mengalah dan menyerah begitu sahaja. Di samping akur akan nasihat profesional perubatan, senjata ampuh yang masih ada pada kita ialah doa. Pada detik-detik getir yang melibatkan nyawa dan kehidupan kita, kepada Allah jua kita bermunajat agar Malaysia segera bebas dari bala selesema babi. Amin...

Tuesday, August 11, 2009

NOTA PENYELIDIKAN UNTUK PELAJAR TINGKATAN ENAM (LECTURE ON RESEARCH FOR PREUNIVERSITY SIXTH FORM)


1) Secara mudah, penyelidikan ialah usaha memanfaatkan perolehan data bagi mencari kemungkinan jawapan terhadap masalah yang telah dikenal pasti terlebih dahulu.

2) Data ialah kata jamak (plural) bagi kata tunggal (singular) datum. Data ialah maklumat terpilih.

3) Sebagai maklumat terpilih, data mesti mempunyai ciri autentik, iaitu kesahan dan kebolehpercayaan yang boleh dipertahankan. Maka, perolehan data perlu melalui disiplin dan proses yang tertib.

4) Data dalam penyelidikan boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu kuantitatif dan kualitatif. Pemilihan data tertakluk kepada reka bentuk objektif, soalan dan instrumen kajian.

5) Data kuantitatif bertujuan mendapatkan angka-angka yang menjurus kepada pembinaan inferens [kesimpulan]. Sebelum itu, data mentah perlu dianalisis berdasarkan keperluan penyelidikan. Misalnya, jika bertujuan sekadar huraian deskriptif (min, pangkatan min, median, mod, sisihan piawai), penyelidik hanya perlu menyediakan jadual yang sederhana dengan memasukkan bilangan dan peratusan, nilai min dengan dua titik perpuluhan dan sisihan piawai (serakan data daripada ukuran kecenderungan memusat). Kini, terdapat banyak perisian, contohnya Statistical Package for Social Sciences, SPSS yang mampu memproses data dengan cepat lagi tepat.

6) Penyelidik yang hendak mendapatkan perbandingan boleh melakukan pelbagai ujian-t, manakala penyelidik yang hendak menguji perkaitan antara dua pemboleh ubah boleh melakukan ujian korelasi. Ujian persandaran (association) pula boleh diselesaikan dengan hitungan chi-square.

7) Justeru penyelidikan dilakukan oleh manusia, suatu anggaran ralat (variance) hendaklah dinyatakan. Misalnya penyelidik mencatat nilai alpha = 0.05 (baca: benar pada aras keertian / signifikan 95%). Maknanya, penyelidik memberi ruang kesilapan sebanyak 5% atas sebab kebetulan.

8) Nilai alpha paling tinggi yang dibenarkan ialah 0.1, manakala yang terendah ialah 0.01. Namun, kedua-dua nilai alpha ini jarang-jarang digunakan kerana risikonya agak tinggi dan terdedah kepada keraguan.

9) Perolehan data kualitatif sebenarnya lebih mencabar. Berbanding dengan data kuantitatif yang terhasil daripada sampel populasi yang secara relatifnya lebih besar, data kualitatif bertumpu kepada beberapa subjek penyelidikan (responden) yang mungkin sekadar dua orang. Maka, etika dari segi kerahsiaan dan persetujuan berpengetahuan mesti dititikberatkan.

10) Data kualitatif juga memerlukan penyelidik melakukan beberapa proses transkripsi data mentah (catatan perbualan secara ayat demi ayat, verbatim), nota lapangan dan rakaman. Setelah itu, penyelidik seharusnya mendapatkan pengesahan daripada responden supaya tiada kesilapan dilakukan dalam analisis data.

11) Terdapat dua jenis kesilapan dalam inferens data kuantitatif, iaitu:
a: membenarkan inferens yang salah; dan
b: menyalahkan inferens yang benar.

12) Dalam keadaan yang ideal, kedua-dua kesilapan di atas hendaklah dielakkan sama sekali. Namun, jika terpaksa memilih salah satu kesilapan sahaja, apakah pilihan yang lebih selamat?

13) Katakan kita membuat analogi penyelidikan sebagai keputusan yang mesti dibuat oleh seorang hakim. Dari segi prinsip keadilan semula jadi (natural justice), melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada menghukum orang yang tidak bersalah. Maknanya, kesilapan jenis a: lebih ringan daripada kesilapan jenis b:

14) Contoh inferens yang mungkin mengandungi kedua-dua jenis kesilapan:
“Penggunaan muzik dalam pembelajaran ekonomi meningkatkan pencapaian pelajar”.

Jika berlaku kesilapan jenis a: keputusannya ialah muzik tidak digunakan dalam pembelajaran ekonomi, manakala jika berlaku kesilapan jenis b: muzik akan digunakan. Keputusan pertama tidak melibatkan sebarang perubahan (mengekalkan status quo), manakala keputusan kedua melibatkan perubahan (alat, masa, skrip dan lain-lain yang memerlukan perbelanjaan). Dalam kes sedemikian, keputusan pertama lebih elok dilaksanakan.

15) Secara ringkas, penyelidikan harus melalui proses berikut:

penyataan masalah penyelidikan --> membentuk objektif penyelidikan -->
memuktamadkan soalan penyelidikan --> tinjauan penulisan --> pemilihan kaedah --> instrumentasi --> pentadbiran --> analisis data --> inferens --> kesimpulan dan cadangan.

16) Pada akhirnya, penyelidikan menyumbang terhadap tubuh ilmu. Perkembangan semua bidang ilmu sama ada bidang sains tulen (fizik, kimia, biologi), sains gunaan (kejuruteraan, seni bina, ukur bahan, komputer, perubatan, farmasi), mahupun sains sosial (ekonomi, antropologi, sosiologi, komunikasi, sejarah) datang daripada dapatan penyelidikan.

17) Satu penyelidikan menghasilkan dapatan. Beberapa dapatan yang konsisten (tekal) menghasilkan teori. Teori yang didapati benar dalam banyak keadaan dinaik taraf menjadi hukum.

18) Sumbangan penyelidikan terhadap tamadun manusia begitu besar ertinya. Menerusi penyelidikan, manusia tidak lagi bergantung kepada pendapat-pendapat popular (falasi, fallacy ), iaitu penyataan yang berstatus palsu kerana tidak disokong oleh data. Namun, dianggarkan 80% manusia masih bergantung kepada falasi.

19) Sesebuah negara yang maju sentiasa membudayakan penyelidikan dalam kalangan rakyatnya. Justeru demikian, keputusan memperkenalkan penyelidikan sebagai satu komponen pengajian tingkatan enam (prauniversiti) sangatlah tepat. Kecenderungan terhadap penyelidikan bererti bahawa inovasi (pembaharuan) lebih cepat berlaku. Kaedah cuba jaya (trial and error) pula bakal diminimumkan.

20. Cabaran utama dalam melaksanakan penyelidikan dalam kalangan pelajar tingkatan enam ialah penerimaan input yang membentuk tanggapan yang salah (misperception). Kerja penyelidikan dianggap kerja leceh. Penulis blog pernah mendengar keluhan seorang pegawai berstatus Jusa C, “banyak penyelidikan pun, sekolah macam itu juga, budak bising, masalah ponteng tidak beres-beres.”

21. Penyelidik perlu tegas dengan prinsip bahawa ada data lebih baik daripada tiada data. Kekurangan dalam sesuatu penyelidikan boleh ditampung dengan penyelidikan yang lain. Pepatah Inggeris mengatakan “the winners never quit, the quitters never win”.

Kepada semua pelajar tingkatan enam (prauniversiti): selamat datang ke dunia penyelidikan!

Friday, August 7, 2009

KEM JAYA DIRI EKONOMI STPM (ECONOMICS CAMP FOR MICHAELIAN'S UPPER SIX)

Ipoh: Jumaat, 7 Ogos 2009 (16 Syaaban 1430)

Sejak tahun 2006 pencapaian mata pelajaran Ekonomi STPM di SMK St Michael, Ipoh (SMI) mencatatkan peningkatan yang berterusan dari segi peratusan calon yang memperoleh prinsipal penuh. Sebagai contoh, pada tahun 2008, peratusan yang dicatat ialah 76 peratus, jauh mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan. Bilangan yang mendapat prinsipal A ialah 20 orang daripada 75 orang calon, atau kira-kira 28 %.

Namun demikian, sesuai dengan prinsip kualiti, iaitu "maraton tanpa garis penamat" atau "quality never ends", sasaran seterusnya ialah untuk mensifarkan gred F. Hal ini kerana gred F menandakan seolah-olah proses pembelajaran mungkin sekali tidak berlaku. Calon yang mendapat F juga mungkin mencatat 0 markah. Jika bilangan calon yang meraih F masih tinggi, reputasi SMI mungkin terjejas.

Penulis blog ialah ketua panitia Ekonomi, di samping menjalankan tugas Guru Kanan Vokasional dan Teknik, di samping sebagai penyelaras mata pelajaran Ekonomi Tingkatan Enam. Sejak bertugas di SMI mulai 2005, penulis blog memasang impian supaya mata pelajaran Ekonomi STPM mampu mencapai tahap 100%. Hal itu bukanlah sukar justeru penulis blog juga pernah menjadi ketua panitia Ekonomi di Sekolah Menengah Teknik, Ipoh dan untuk beberapa tahun berturut-turut mencatat 100 peratus, serta "Sifar F".

Maka, pada setiap kali mesyuarat panitia, projek Sifar F diberi penegasan. Selain rutin pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, program nilai tambah perlu dilaksanakan. Antaranya bengkel, seminar dan ceramah pakar. Mulai tahun lepas, panitia telah memutuskan untuk menganjurkan Kem Jaya Diri yang menjurus kepada motivasi kendiri.

Kem Jaya Diri kali ini disertai oleh sejumlah 32 orang pelajar Ekonomi yang terpilih, tidak termasuk beberapa orang pelajar yang mendaftar sebagai peserta secara sukarela. Kali ini kem dianjurkan secara bersama oleh Panitia Ekonomi dan Panitia Pengurusan Perniagaan yang diterajui Puan Azura binti Abdul Rahim. Moderator dan pemudah cara kem ialah Cikgu Maulid bin Ismail yang berpengalaman berkhidmat sebagai personel sumber manusia dan latihan di sekor swasta selama tujuh tahun sebelum menceburi kerjaya keguruan.

Peserta kem diminta menilai kembali matlamat mereka membuat keputusan menyambung pengajian prauniversiti di SMI. Peserta juga didedahkan dengan graf masa bagi mengimbas kembali profil keseronokan belajar sejak di bangku sekolah rendah. Mereka dikehendaki memberi justifikasi turun naik "mood" belajar.

Di samping itu terdapat aktiviti fizikal seperti senaman jari, laungan suara, dan pergerakan berkumpulan. Peserta juga membentangkan hasil perbincangan untuk melakukan perubahan momentum pembelajaran menjelang peperiksaan percubaan pada awal September, dan seterusnya untuk STPM yang bermula pada pertengahan bulan November ini.


Berdasarkan keceriaan di wajah semua peserta, interaksi dengan pemudah cara, dan kerancakan aktiviti berkumpulan, kem yang dianjurkan kelihatan berjaya mencapai semua objektif yang digariskan. Antara lain, peserta dapat membuat analisis SWOT, iaitu analisis kekuatan, kelemahan, peluang, dan ancaman terhadap proses pembelajaran. Di samping itu para peserta memperbaharui sasaran pencapaian STPM 2009, dan menyenaraikan tindakan segera yang menjurus terhadap pencapaian gred prinsipal yang tertinggi.

Motivasi secara umum tidaklah memadai. Justeru, Encik Maulid turut membimbing peserta mengenal pasti bidang dan tajuk dalam kedua-dua mata pelajaran (Ekonomi dan Pengajian Perniagaan) yang boleh diberi tumpuan untuk markah lulus, kepujian dan cemerlang. Penulisan jawapan dalam persekitaran dewan peperiksaan juga turut disentuh.

Berdasarkan pengalaman penganjuran kem jaya diri calon STPM kohort 2008, kem kali ini dijangka memberi impak besar terhadap peningkatan peratusan prinsipal dalam STPM 2009. Calon yang berisiko kecundang telah berjaya dimasukkan dalam kelompok prinsipal. Data pencapaian itu mendapati bahawa gabungan antara motivasi kendiri dengan bimbingan guru menjadi resepi pencapaian kecemerlangan. Mudah-mudahan begitulah hendaknya...

PROGRAM KECEMERLANGAN BAHASA SMI (ALL OUT TO HELP MICHAELIAN TO GET HIGH SCORE IN BAHASA MELAYU SPM)


Ipoh, Rabu: 6 Ogos 2009 (15 Syaaban 1430)

Sejumlah 46 orang murid tingkatan 5 telah dipilih khas untuk menyertai program kecemerlangan Bahasa Melayu SPM. Program selama hampir tiga jam itu dikendalikan sendiri oleh Guru Kanan Bahasa SMK St Michael, Ipoh (SMI), Tuan Haji Mohamad Sidek bin Haji Zakaria. Para peserta telah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kaedah pintar bahasa yang merupakan hak cipta terpelihara Tuan Haji Sidek yang berpengalaman mengajar bahasa kira-kira 30 tahun.

Tumpuan program ialah penulisan rumusan, iaitu soalan 1 dalam kertas 2. Berdasarkan maklum balas guru-guru Bahasa Melayu SMI, kebolehan murid menjawab rumusan akan menjadi faktor kritikal pencapaian mereka dalam kertas berkenaan. Penekanan diberi kepada bahagian pengenalan dan kesimpulan. Sejumlah 10 soalan tanpa petikan digunakan sebagai modul latih tubi permulaan.

Tujuan penulisan bahagian pengenalan ialah untuk memastikan bahawa bakal-bakal calon SPM berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya satu ayat sendiri. Keadaan itu dikira selamat supaya tiada penalti “salin bulat-bulat” dikenakan. Konsep petikan sebagai bahan tersurat sepenuhnya membawa implikasi bahawa bahagian pengenalan hanya mengambil kira tugasan soalan berhuruf tebal sebelum perkataan “dan”.

Pada permulaannya, peserta hanya diminta mencantum frasa “Petikan tentang..” dengan penyataan tugasan bahagian tersurat. Pada pusingan kedua barulah Tuan Haji Sidek menyarankan calon mengubah kata tugas ketiga dalam ayat tugasan. Edaran padanan dan sinonim kata tugas dibekalkan kepada semua peserta.

Setelah peserta didapati mahir menulis bahagian pengenalan, bimbingan diteruskan kepada bahagian kesimpulan. Calon disarankan menggunakan formula khas yang menggabungkan elemen siapa (pihak yang berkepentingan) + cadangan + apa (tugasan tersirat) + harapan (yang mudah). Kali ini peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan untuk tujuan pembentangan.

Dengan bantuan meja ke meja, akhirnya didapati bahawa peserta sudah mula menguasai kaedah penulisan kesimpulan yang disarankan. Peserta juga diminta menggunakan hanya “Kesimpulannya” bagi memulakan ayat kesimpulan. Maka perkataan lain seperti “Konklusi”, “Tuntas”, dan sebagainya yang digunakan oleh portal bimbingan pendidikan tertentu, penulis blog, dan guru tuisyen tidak bertauliah tidak digalakkan sama sekali.

Setelah mantap penulisan bahagian pengenalan dan kesimpulan, barulah sesi sumbang saran bahagian isi tersurat dilakukan berasaskan petikan yang diedarkan. Peserta tidak dibenarkan membuat sebarang pindaan terhadap isi petikan, kecuali menambah kata hubung dan penanda wacana untuk memelihara jalinan idea. Bimbingan tentang isi pokok dengan isi bantu dibuat secara intensif supaya peserta hanya menulis kembali isi pokok sahaja.



Bahagian isi tersirat disentuh secara ringkas. Setelah mengenal pasti tugsan soalan, peserta dikehendaki menyebut dua cadangan isi berasaskan kaedah minimum – maksimum (kes biasa – ekstrem). Peserta juga diminta memasukkan sekali pihak yang terbabit dengan saranan isi tersirat itu. Tuan Haji Sidek juga menggunakan beberapa analogi bagi memudahkan perbincangan isi tersirat.

Peserta yang ditemui selepas program menyatakan rasa lega dan puas hati justeru banyak sekali kemusykilan tentang penulisan rumusan telah terungkai. Rata-rata mereka menganggap bahawa program ini menjadi pelengkap dan pengukuh terhadap input yang diperoleh menerusi proses pembelajaran di bilik darjah. Mereka berharap Tuan Haji Sidek akan bersedia pula mengendalikan slot menulis karangan memandangkan peserta mendapat perkhabaran Tuan Haji Sidek mempunyai kod rahsia penulisan karangan.

Wednesday, August 5, 2009

DURIAN MENJEJASKAN KESIHATAN? (THE KING OF FRUITS IN MALAYSIA)



Sejak sebulan yang lalu, kelihatan di sana sini orang ramai mengerumuni longgokan buah durian sambil berlaku proses tawar-menawar harga. Peniaga durian tidak menang tangan berpisah dengan durian dan sibuk mengira wang besar! Nampaknya, jualan durian masih hebat walaupun ada pelbagai versi cerita tentang risiko makan isi durian yang enak dan manis-manis lemak.

Pusingan pertama bekalan durian dari Kuala Kangsar dan Taiping sudah berlalu. Kini, giliran durian Gerik memberi pulangan lumayan kepada peniaga durian. Penulis blog dimaklumkan bahawa seorang peniaga durian mampu menghabiskan stok durian seberat 6 tan sehari. Mereka mendakwa mampu mencatat untung bersih hampir RM 40 ribu setiap musim durian. Tempoh masanya lebih kurang tiga bulan.

Biasanya apabila seorang peniaga durian berjaya menghabiskan 30 peratus stok durian, dia sudah pulang modal (untung normal, break even). Setelah itu, peniaga boleh menjeritkan harga yang lebih rendah, dan pada penghujung jualan, sesi lelong biasanya dilakukan. Semuanya sudah dikira untung. Esok, stok baru 6 tan akan datang lagi.Wow!!!



Buah durian mengingatkan penulis blog ketika di bangku sekolah rendah dan tinggal di Parit 13, Ayer Deras, Kampung Sungai Tukang Sidin (20 km dari Teluk Anson, kini Teluk Intan). Satu keluarga memiliki tanah seluas 10 ekar, lengkap dengan sawah padi, kebun getah, pokok durian, rambutan, manggis, rambai, pulasan, cempedak, nangka, dan banyak lagi.

Ketika musim durian, saat yang paling seronok ialah apabila mendengar bunyi durian gugur, ’dup’, penulis blog berkejar dengan adik mencari buah durian itu. Kini, seperti orang lain, penulis hanyalah pembeli durian. Semuanya tinggal kenangan, dan tanah pusaka yang banyak pemilik di Tukang Sidin sudah jadi bertukar tangan.

Penghidap kencing manis dan darah tinggi biasanya dinasihati doktor menjauhi raja buah. Terdapat juga dakwaan bahawa selepas makan durian, tidak boleh minum kopi. Data kajian tentang perkara berkenaan belum pernah diuar-uarkan secara rasmi. Maka, orang ramai tidak begitu ambil pot (tidak ambil kisah, tidak peduli). Kata mereka, belasah jer!

Selain dimakan mentah, isi durian boleh diproses menjadi lempuk, atau dodol. Durian yang sudah terlalu masak boleh diproses sebagai tempoyak. Gulai tempoyak ikan patin, pasti mengancam!

Buah durian ada banyak jenis. Ada durian jantung, durian kacukan (D24), dan pelbagai lagi. Isi durian pula ada yang nipis, yang tebal, yang kisit (tiada biji), kucing duduk, isi kuning, isi lemak susu, mangkar, dan lain-lain. Jika mahu menikmati isi durian yang lazat, pembeli mesti memilih durian yang baru gugur, tidak merekah, dan tiada ikatan getah. Alah membeli menang memakai. Asalkan tidak membazir, janganlah kikir untuk berbelanja membeli buah durian yang ada kelas, dan berbaloi dengan perpisahan wang dari kocek anda!

Penulis blog sering bertanya kepada murid dan pelajar, apa jadi dengan biji dan kulit durian yang lebih berat jika kita membeli durian secara timbang kilo? Jawapan lazim ialah berakhir di tong-tong sampah. Mengapa tiada penyelidikan yang mendalam tentang kemungkinan potensi biji dan kulit durian sebagai bahan pembuatan barang dan produk ubat-ubatan? Bukankah tiada suatu pun kejadian alam ini yang dijadikan sia-sia? Subhanallah.

Tanaman serai sudah pun dikomersialkan dan mula menjadi bahan eksport. Seorang saintis Yahudi membuat penemuan bahawa bahagian umbi serai berkesan sebagai penawar barah. Maka, jika dahulu serai hanya menjadi sebahagian rencah masakan di Alam Melayu dan China, kini turut menjadi rebutan masyarakat Eropah dan Amerika Utara. Sudah ada usahawan tani serai yang bergelar jutawan.

Bayangkan jika biji durian dan kulit durian mempunyai harga yang tinggi. Nescaya, kita tidak lagi melihat longgokan buah durian di pasar-pasar malam, atau pasar tani, serta di gerai jualan sementara di tepi-tepi jalan. Kelak yang ada hanya ulas-ulas durian yang dibungkus dalam plastik telus cahaya dengan jenama-jenama tertentu. Mungkin isi durian akan mempunyai gred tertentu, diperincikan kandungan khasiat, kalori, dan tarikh luput untuk dimakan. Wallahu a’lam!

Sunday, August 2, 2009

BULAN OGOS PENUH MAKNA (THE GLORIOUS AUGUST FOR MALAYSIAN)

Dengan bermulanya bulan Ogos, bererti bahawa rakyat Malaysia bersedia menjengah kembali catatan sejarah 52 tahun yang silam. Pada hari terakhir bulan Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Malaya) diisytiharkan sebagai sebuah entiti geopolitik yang berdaulat dan merdeka. Hanya segelintir mereka yang hadir di Stadium Merdeka Kuala Lumpur ketika teriakan merdeka bergema masih hidup.

Kini, generasi pascamerdeka (termasuk penulis blog) meneruskan perjuangan mengisi kemerdekaan yang diwariskan untuk dijaga supaya sejarah pahit generasi silam tidak berulang. Jika kita meninjau sejarah penjajahan ke atas benua Asia (dominasi British), Afrika (Peranchis), Amerika Latin (Sepanyol), Amerika Tengah dan Brazil (Portugal) kuasa Barat seolah-olah sepakat membahagikan kawasan jajahan sesuka hati mereka. Berabad-abad lamanya penjajah Barat memunggah dan merompak hasil mahsul dan kekayaan wilayah yang dijajah. Mereka melakukannya tanpa rasa malu dan bersalah.

Walaupun pelbagai cara yang dilakukan oleh penduduk wilayah yang dijajah untuk mencapai kemerdekaan, yang pelik ialah pemilihan tarikh penjajah memerdekakan negara jajahan, iaitu sekitar 1950-an hingga 1960-an. Kekecualian mungkin untuk Brunei Darussalam (1984), Hong Kong (1999) dan Macau (2004). Mohon dibetuli jika silap.

Sepanjang tempoh penjajahan yang begitu panjang, Barat telah melakukan pelbagai proses supaya penduduk wilayah yang dijajah akan melupakan perbuatan jahat penjajah. Sebaliknya rakyat yang pernah dijajah akan ditanam rasa kagum terhadap ideologi, budaya, bahasa, pemikiran, cara hidup dan nilai-nilai Barat. Rakyat yang terjajah sebaliknya berasa rendah diri terhadap bahasa, budaya, dan cara berfikir nenek moyang mereka yang dimomokkan sebagai kolot, kuno dan ketinggalan zaman.

Untuk berlaku adil dan seimbang, kita tidak mengatakan bahawa semua yang datang dari Barat sebagai jelik, manakala segala warisan kita sendiri sebagai muluk-muluk belaka. Dalam analisis sosiologi, pendirian itu dinamakan etnosentrik (ethnocentric), iaitu hanya menyanjung budaya sendiri dan menolak segala elemen asing. Kebijaksanaan, tidak kira datang dari mana hendaklah dikutip. Dari perspektif Islam, terdapat konsep al-Hikmah Dolatul-Mukmin (kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman..).

Aspek disiplin dan kebersihan perlu dicontohi. Mereka yang pernah menyusuri Sungai Rhine di Jerman, atau mundar-mandir di kota Paris tentu akan berkata alangkah baiknya jika tahap kebersihan di situ jika dapat dilihat di Malaysia. Di New Zealand pula, rakyatnya telah terbiasa dengan pembelian barang (seperti buah-buahan dan akhbar) dengan cara memasukkan wang secukupnya ke dalam tabung yang diletakkan. Tuannya tidak ada. Cuba kita lakukannya di Malaysia, apa macam?

Kembali kepada persoalan liciknya dunia Barat. Abad 21, atau permulaan alaf tiga (pernah disebut Y2K's) pernah dicanangkan sebagai abad Asia memimpin ekonomi dunia. Malaysia, Korea Selatan dan Thailand pernah disenaraikan sebagai bakal negara industri baru (New Industrialised Countries, NIC's) dan bergelar harimau Asia. Sila baca buku "The East West Pendulum" dan "Megatrends 2000", dan lain-lain. Namun, Barat tidak pernah mengizinkannya berlaku. Serangan mata wang Asia mulai tahun 1996-98 menyebabkan Asia buat kesekian kalinya terpaksa tunduk kepada tarik tali Barat atas nama liberalisasi kewangan dan globalisasi perdagangan.

Dalam masa yang sama, Barat terus mengeksport budaya, fesyen, kegilaan sukan, pergaulan bebas, teknologi komunikasi dan sesenarai panjang lagi perkara untuk dikagumi oleh generasi muda Asia, khususnya remaja. Asia terus terbelenggu dengan rasa rendah diri (inferiority complex), sementelah Barat terus diangkat sebagai superior! Maknanya, Barat telah memastikan bahawa Asia terus berada di bawah telunjuk mereka walaupun secara fizikalnya telah merdeka dan berdaulat.

Pendedahan terhadap agenda Barat bukanlah bererti kita mahu berkonfrontasi dengan mereka. Kita juga bukan mahu mencari helah bela diri (defence mechanism). Sempena sambutan bulan merdeka ini, marilah kita muhasabah diri. Kita boleh sahaja mencontohi nilai-nilai Barat yang bersesuaian, tetapi jangan sesekali melupakan bahawa Barat mempromosikan budaya hidup yang bertunjangkan kebendaan per se, budaya hawa nafsu (hedonism) dan kemerosotan peranan institusi kekeluargaan.

Marilah kita mengukuhkan jati diri dan akar umbi Asia. Barat berhutang khazanah kekayaan Asia untuk membina tamadun dan bandar raya kemegahan mereka. Ayuh, bangkitlah generasi muda Asia, pemuda pemudi Malaysia! Bersiap sedialah justeru giliran Asia pasti tiba untuk memacu dunia, mengambil alih dominasi Barat, dan membawa Barat ke pangkal jalan. Mudah-mudahan begitulah.

Salam kemerdekaan!!!