SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, August 2, 2009

BULAN OGOS PENUH MAKNA (THE GLORIOUS AUGUST FOR MALAYSIAN)

Dengan bermulanya bulan Ogos, bererti bahawa rakyat Malaysia bersedia menjengah kembali catatan sejarah 52 tahun yang silam. Pada hari terakhir bulan Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Malaya) diisytiharkan sebagai sebuah entiti geopolitik yang berdaulat dan merdeka. Hanya segelintir mereka yang hadir di Stadium Merdeka Kuala Lumpur ketika teriakan merdeka bergema masih hidup.

Kini, generasi pascamerdeka (termasuk penulis blog) meneruskan perjuangan mengisi kemerdekaan yang diwariskan untuk dijaga supaya sejarah pahit generasi silam tidak berulang. Jika kita meninjau sejarah penjajahan ke atas benua Asia (dominasi British), Afrika (Peranchis), Amerika Latin (Sepanyol), Amerika Tengah dan Brazil (Portugal) kuasa Barat seolah-olah sepakat membahagikan kawasan jajahan sesuka hati mereka. Berabad-abad lamanya penjajah Barat memunggah dan merompak hasil mahsul dan kekayaan wilayah yang dijajah. Mereka melakukannya tanpa rasa malu dan bersalah.

Walaupun pelbagai cara yang dilakukan oleh penduduk wilayah yang dijajah untuk mencapai kemerdekaan, yang pelik ialah pemilihan tarikh penjajah memerdekakan negara jajahan, iaitu sekitar 1950-an hingga 1960-an. Kekecualian mungkin untuk Brunei Darussalam (1984), Hong Kong (1999) dan Macau (2004). Mohon dibetuli jika silap.

Sepanjang tempoh penjajahan yang begitu panjang, Barat telah melakukan pelbagai proses supaya penduduk wilayah yang dijajah akan melupakan perbuatan jahat penjajah. Sebaliknya rakyat yang pernah dijajah akan ditanam rasa kagum terhadap ideologi, budaya, bahasa, pemikiran, cara hidup dan nilai-nilai Barat. Rakyat yang terjajah sebaliknya berasa rendah diri terhadap bahasa, budaya, dan cara berfikir nenek moyang mereka yang dimomokkan sebagai kolot, kuno dan ketinggalan zaman.

Untuk berlaku adil dan seimbang, kita tidak mengatakan bahawa semua yang datang dari Barat sebagai jelik, manakala segala warisan kita sendiri sebagai muluk-muluk belaka. Dalam analisis sosiologi, pendirian itu dinamakan etnosentrik (ethnocentric), iaitu hanya menyanjung budaya sendiri dan menolak segala elemen asing. Kebijaksanaan, tidak kira datang dari mana hendaklah dikutip. Dari perspektif Islam, terdapat konsep al-Hikmah Dolatul-Mukmin (kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman..).

Aspek disiplin dan kebersihan perlu dicontohi. Mereka yang pernah menyusuri Sungai Rhine di Jerman, atau mundar-mandir di kota Paris tentu akan berkata alangkah baiknya jika tahap kebersihan di situ jika dapat dilihat di Malaysia. Di New Zealand pula, rakyatnya telah terbiasa dengan pembelian barang (seperti buah-buahan dan akhbar) dengan cara memasukkan wang secukupnya ke dalam tabung yang diletakkan. Tuannya tidak ada. Cuba kita lakukannya di Malaysia, apa macam?

Kembali kepada persoalan liciknya dunia Barat. Abad 21, atau permulaan alaf tiga (pernah disebut Y2K's) pernah dicanangkan sebagai abad Asia memimpin ekonomi dunia. Malaysia, Korea Selatan dan Thailand pernah disenaraikan sebagai bakal negara industri baru (New Industrialised Countries, NIC's) dan bergelar harimau Asia. Sila baca buku "The East West Pendulum" dan "Megatrends 2000", dan lain-lain. Namun, Barat tidak pernah mengizinkannya berlaku. Serangan mata wang Asia mulai tahun 1996-98 menyebabkan Asia buat kesekian kalinya terpaksa tunduk kepada tarik tali Barat atas nama liberalisasi kewangan dan globalisasi perdagangan.

Dalam masa yang sama, Barat terus mengeksport budaya, fesyen, kegilaan sukan, pergaulan bebas, teknologi komunikasi dan sesenarai panjang lagi perkara untuk dikagumi oleh generasi muda Asia, khususnya remaja. Asia terus terbelenggu dengan rasa rendah diri (inferiority complex), sementelah Barat terus diangkat sebagai superior! Maknanya, Barat telah memastikan bahawa Asia terus berada di bawah telunjuk mereka walaupun secara fizikalnya telah merdeka dan berdaulat.

Pendedahan terhadap agenda Barat bukanlah bererti kita mahu berkonfrontasi dengan mereka. Kita juga bukan mahu mencari helah bela diri (defence mechanism). Sempena sambutan bulan merdeka ini, marilah kita muhasabah diri. Kita boleh sahaja mencontohi nilai-nilai Barat yang bersesuaian, tetapi jangan sesekali melupakan bahawa Barat mempromosikan budaya hidup yang bertunjangkan kebendaan per se, budaya hawa nafsu (hedonism) dan kemerosotan peranan institusi kekeluargaan.

Marilah kita mengukuhkan jati diri dan akar umbi Asia. Barat berhutang khazanah kekayaan Asia untuk membina tamadun dan bandar raya kemegahan mereka. Ayuh, bangkitlah generasi muda Asia, pemuda pemudi Malaysia! Bersiap sedialah justeru giliran Asia pasti tiba untuk memacu dunia, mengambil alih dominasi Barat, dan membawa Barat ke pangkal jalan. Mudah-mudahan begitulah.

Salam kemerdekaan!!!

No comments: