SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, August 11, 2009

NOTA PENYELIDIKAN UNTUK PELAJAR TINGKATAN ENAM (LECTURE ON RESEARCH FOR PREUNIVERSITY SIXTH FORM)


1) Secara mudah, penyelidikan ialah usaha memanfaatkan perolehan data bagi mencari kemungkinan jawapan terhadap masalah yang telah dikenal pasti terlebih dahulu.

2) Data ialah kata jamak (plural) bagi kata tunggal (singular) datum. Data ialah maklumat terpilih.

3) Sebagai maklumat terpilih, data mesti mempunyai ciri autentik, iaitu kesahan dan kebolehpercayaan yang boleh dipertahankan. Maka, perolehan data perlu melalui disiplin dan proses yang tertib.

4) Data dalam penyelidikan boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu kuantitatif dan kualitatif. Pemilihan data tertakluk kepada reka bentuk objektif, soalan dan instrumen kajian.

5) Data kuantitatif bertujuan mendapatkan angka-angka yang menjurus kepada pembinaan inferens [kesimpulan]. Sebelum itu, data mentah perlu dianalisis berdasarkan keperluan penyelidikan. Misalnya, jika bertujuan sekadar huraian deskriptif (min, pangkatan min, median, mod, sisihan piawai), penyelidik hanya perlu menyediakan jadual yang sederhana dengan memasukkan bilangan dan peratusan, nilai min dengan dua titik perpuluhan dan sisihan piawai (serakan data daripada ukuran kecenderungan memusat). Kini, terdapat banyak perisian, contohnya Statistical Package for Social Sciences, SPSS yang mampu memproses data dengan cepat lagi tepat.

6) Penyelidik yang hendak mendapatkan perbandingan boleh melakukan pelbagai ujian-t, manakala penyelidik yang hendak menguji perkaitan antara dua pemboleh ubah boleh melakukan ujian korelasi. Ujian persandaran (association) pula boleh diselesaikan dengan hitungan chi-square.

7) Justeru penyelidikan dilakukan oleh manusia, suatu anggaran ralat (variance) hendaklah dinyatakan. Misalnya penyelidik mencatat nilai alpha = 0.05 (baca: benar pada aras keertian / signifikan 95%). Maknanya, penyelidik memberi ruang kesilapan sebanyak 5% atas sebab kebetulan.

8) Nilai alpha paling tinggi yang dibenarkan ialah 0.1, manakala yang terendah ialah 0.01. Namun, kedua-dua nilai alpha ini jarang-jarang digunakan kerana risikonya agak tinggi dan terdedah kepada keraguan.

9) Perolehan data kualitatif sebenarnya lebih mencabar. Berbanding dengan data kuantitatif yang terhasil daripada sampel populasi yang secara relatifnya lebih besar, data kualitatif bertumpu kepada beberapa subjek penyelidikan (responden) yang mungkin sekadar dua orang. Maka, etika dari segi kerahsiaan dan persetujuan berpengetahuan mesti dititikberatkan.

10) Data kualitatif juga memerlukan penyelidik melakukan beberapa proses transkripsi data mentah (catatan perbualan secara ayat demi ayat, verbatim), nota lapangan dan rakaman. Setelah itu, penyelidik seharusnya mendapatkan pengesahan daripada responden supaya tiada kesilapan dilakukan dalam analisis data.

11) Terdapat dua jenis kesilapan dalam inferens data kuantitatif, iaitu:
a: membenarkan inferens yang salah; dan
b: menyalahkan inferens yang benar.

12) Dalam keadaan yang ideal, kedua-dua kesilapan di atas hendaklah dielakkan sama sekali. Namun, jika terpaksa memilih salah satu kesilapan sahaja, apakah pilihan yang lebih selamat?

13) Katakan kita membuat analogi penyelidikan sebagai keputusan yang mesti dibuat oleh seorang hakim. Dari segi prinsip keadilan semula jadi (natural justice), melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada menghukum orang yang tidak bersalah. Maknanya, kesilapan jenis a: lebih ringan daripada kesilapan jenis b:

14) Contoh inferens yang mungkin mengandungi kedua-dua jenis kesilapan:
“Penggunaan muzik dalam pembelajaran ekonomi meningkatkan pencapaian pelajar”.

Jika berlaku kesilapan jenis a: keputusannya ialah muzik tidak digunakan dalam pembelajaran ekonomi, manakala jika berlaku kesilapan jenis b: muzik akan digunakan. Keputusan pertama tidak melibatkan sebarang perubahan (mengekalkan status quo), manakala keputusan kedua melibatkan perubahan (alat, masa, skrip dan lain-lain yang memerlukan perbelanjaan). Dalam kes sedemikian, keputusan pertama lebih elok dilaksanakan.

15) Secara ringkas, penyelidikan harus melalui proses berikut:

penyataan masalah penyelidikan --> membentuk objektif penyelidikan -->
memuktamadkan soalan penyelidikan --> tinjauan penulisan --> pemilihan kaedah --> instrumentasi --> pentadbiran --> analisis data --> inferens --> kesimpulan dan cadangan.

16) Pada akhirnya, penyelidikan menyumbang terhadap tubuh ilmu. Perkembangan semua bidang ilmu sama ada bidang sains tulen (fizik, kimia, biologi), sains gunaan (kejuruteraan, seni bina, ukur bahan, komputer, perubatan, farmasi), mahupun sains sosial (ekonomi, antropologi, sosiologi, komunikasi, sejarah) datang daripada dapatan penyelidikan.

17) Satu penyelidikan menghasilkan dapatan. Beberapa dapatan yang konsisten (tekal) menghasilkan teori. Teori yang didapati benar dalam banyak keadaan dinaik taraf menjadi hukum.

18) Sumbangan penyelidikan terhadap tamadun manusia begitu besar ertinya. Menerusi penyelidikan, manusia tidak lagi bergantung kepada pendapat-pendapat popular (falasi, fallacy ), iaitu penyataan yang berstatus palsu kerana tidak disokong oleh data. Namun, dianggarkan 80% manusia masih bergantung kepada falasi.

19) Sesebuah negara yang maju sentiasa membudayakan penyelidikan dalam kalangan rakyatnya. Justeru demikian, keputusan memperkenalkan penyelidikan sebagai satu komponen pengajian tingkatan enam (prauniversiti) sangatlah tepat. Kecenderungan terhadap penyelidikan bererti bahawa inovasi (pembaharuan) lebih cepat berlaku. Kaedah cuba jaya (trial and error) pula bakal diminimumkan.

20. Cabaran utama dalam melaksanakan penyelidikan dalam kalangan pelajar tingkatan enam ialah penerimaan input yang membentuk tanggapan yang salah (misperception). Kerja penyelidikan dianggap kerja leceh. Penulis blog pernah mendengar keluhan seorang pegawai berstatus Jusa C, “banyak penyelidikan pun, sekolah macam itu juga, budak bising, masalah ponteng tidak beres-beres.”

21. Penyelidik perlu tegas dengan prinsip bahawa ada data lebih baik daripada tiada data. Kekurangan dalam sesuatu penyelidikan boleh ditampung dengan penyelidikan yang lain. Pepatah Inggeris mengatakan “the winners never quit, the quitters never win”.

Kepada semua pelajar tingkatan enam (prauniversiti): selamat datang ke dunia penyelidikan!

1 comment:

Anonymous said...

assalam ustaz,

nota yang sangat menarik.
minta dihalalkan copy utk nota pelajar ting. 6 saya.

terima kasih.

shafri jabar khan,
smk desa wawasan,
tambunan