SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, January 12, 2010

KAJIAN TINDAKAN MENINGKATKAN PENCAPAIAN MURID (RESEARCH TEACHER MAKES A DIFFERENCE)

Berbeza dengan penyelidikan konvensional dan tradisional yang lain, kajian tindakan dilaksanakan oleh si penyelidik itu terhadap dirinya sendiri. Dapatan, kesimpulan dan saranan, sama ada berbentuk inovasi atau penambahbaikan amalan yang sedia ada juga dilakukan oleh penyelidik yang sama. Dengan itu, penyelidik perlu membuat refleksi kendiri berdasarkan isu keprihatinan yang telah dikenal pasti supaya pencapaian semua murid akan menunjukkan peningkatan.

Jika penyelidik mendapati bahawa tahap pencapaian murid sesebuah kelas berbeza-beza walaupun diberi pengalaman pembelajaran yang sama, maknanya ada sesuatu yang tidak kena. Penyelidik boleh membuat refleksi tentang gangguan atau masalah yang berkemungkinan boleh diberi perhatian. Proses rawatan (intervensi) yang dirancang hendaklah berdasarkan masalah yang tersenarai, lalu ditangani satu per satu, bukan secara sekali gus.

Bagi mengesan sama ada intervensi yang dilakukan itu dapat meningkatkan pencapaian murid atau sebaliknya, penyelidik mesti rajin membuat catatan dan rekod. Lebih baik jika segala data yang dikutip itu ditranskripsikan dalam sebuah buku log. Dengan demikian sebarang perubahan walaupun dalam skala kecil akan dapat diperhatikan untuk refleksi selanjutnya.

Sebenarnya asas utama kajian tindakan ialah gelung / kitaran satu masalah sahaja (the action research spiral). Sesuatu gelung mengandungi empat komponen: merancang ==> bertindak ==> memerhati ==> mereflek. Sebaik-baiknya satu-satu masalah dapat diselesaikan dalam kitaran maksimum dua gelung. Jika tidak, kaedah rawatan yang dilakukan perlu diteliti semula.

Paradigma utama kajian tindakan ialah sesuatu masalah yang dikenal pasti hendaklah diatasi seawal yang mungkin sebelum menjadi terlalu rumit untuk ditangani. Sebab itulah penyelidik harus sentiasa bersedia mengubah amalan p & p yang tidak berkesan supaya peranan keguruan sebagai perkhidmatan menolong dapat membantu kanak-kanak mengembangkan potensi dan fakulti dalam diri mereka ke tahap optimum. Pendek kata, padanan antara keberkesanan pengajaran guru dengan keberkesanan pembelajaran murid mesti dilaksanakan secara berterusan.

Kajian tindakan akan menjadikan guru sebagai penyelidik dan peneroka pengetahuan ikhtisas bidang masing-masing. Apabila telah terbiasa dengan kajian tindakan, guru tidak akan berasa kekok untuk menggabungkan ciri-ciri kajian tindakan dalam aktiviti bilik darjah. Maka, konsep penglibatan aktif dalam inovasi pendidikan bakal mengekalkan kepuasan bekerja tanpa memikirkan sangat hal-hal ganjaran.

Kajian tindakan mengeluarkan guru daripada kepompong rutin. Selain itu, kebosanan akibat dipaksa berperanan sebagai pendengar pasif semasa sesi latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service traning = Inset) dapat diminimumkan. Murid juga pasti dapat merasakan perbezaannya, walaupun kecil.

bersambung...

Monday, January 11, 2010

PENYELIDIKAN GURU AKADEMIK TINGKATAN 6 (ACTION RESEARCH FOR SIXTH FORM TEACHER)

Antara syarat pelantikan guru akademik tingkatan 6 ialah menghasilkan sekurang-kurangnya satu penyelidikan setiap tahun. Pada dasarnya, semua guru akademik tingkatan 6 yang menerima lantikan, tanpa pengecualian, perlu mengemukakan laporan penyelidikan yang telah disempurnakan untuk pengesahan pengetua. Selain itu, pengetua dikehendaki menghantar laporan kemajuan penyelidikan berkenaan dari masa ke masa. Begitulah kriteria Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika meluluskan perjawatan guru akademik tingkatan 6 bermula pada 1 Januari 2008.

Penyelidikan ialah suatu proses mendapatkan data yang sah untuk tujuan seperti menentukan dasar, melaksanakan intervensi dan membuat refleksi amalan sedia ada. Budaya penyelidikan dikembangkan di sekolah supaya guru sebagai ahli ikhtisas berkebolehan menyumbang terhadap bidang mereka sendiri. Dalam kata lain, guru sentiasa melakukan inovasi dan penambahbaikan supaya aktiviti pembelajaran diberi sentuhan baharu seiring dengan perubahan dalam persekitaran pendidikan.

Pegangan terhadap kaedah lama dan cuba jaya bukanlah suatu larangan. Sebaliknya, penyelidikan akan memberi kepastian sama ada kaedah berkenaan perlu dikekalkan, diubah suai, diubah, dibuang atau digantikan. Keputusan yang diperoleh daripada dapatan penyelidikan akan meminimumkan kesilapan (ralat), sekali gus mengelakkan pembaziran sumber.

Anggapan bahawa penyelidikan sebagai suatu tugas yang berat dan membebankan terlebih dahulu hendaklah dibetulkan. Memanglah mengekalkan status quo dan tidak berbuat apa-apa yang baharu amat digemari oleh kelompok rutin. Mereka berasa selesa dan sanggup mengulang-ulang aktiviti yang sama setiap waktu.

Rutin lebih sesuai untuk kumpulan pekerja pertengahan dan separa teknikal. Sebagai subordinat, mereka bekerja berpandukan arahan dan tatacara yang ditetapkan oleh superior. Kecekapan tangan (hands-on) lebih dititikberatkan berbanding dengan kecekapan berfikir (minds-on).

Berlainan pula halnya dengan kumpulan ikhtisas (profesional) dan pengurusan. Mereka perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan, kemahiran dan sikap berkaitan dengan bidang ikhtisas masing-masing. Di samping perolehan input terkini daripada pelbagai sumber berwibawa, penghasilan sesuatu penyelidikan akan membolehkan pelaksanaan inovasi dan penambahbaikan dalam persekitaran organisasi mereka sendiri.

Penyelidikan di sekolah menjurus ke arah pencapaian peranan sekolah sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran. Selama ini bukanlah pembelajaran di sekolah tidak berlaku dengan baik dan berkesan. Namun, tanpa penyelidikan, tiada sesiapa yang boleh berhujah dengan tepat tentang pemupukan pembelajaran.

Sesuatu penyelidikan perlu bermula dengan penyataan masalah, objektif, definisi konsep, tinjauan penulisan, instrumentasi, pentadbiran, kaedah, analisis data dan kesimpulan. Selain itu, liputan dan batasan kajian hendaklah ditetapkan supaya dapatan tidak akan bersifat arbitrari (terawang-awang). Biarlah masalah yang dipilih sangat kecil, tetapi dapatan penyelidikan yang diperoleh akan membantu organisasi membuat keputusan dan langkah intervensi yang tepat (risiko kesilapan minimum) dan tidak membazir.

Dengan andaian bahawa penyelidikan guru akademik tingkatan 6 masih baharu, biarlah mereka melaksanakan penyelidikan asas seperti kajian tindakan. Pendedahan tentang reka bentuk dan pentadbiran kajian boleh dilakukan dalam masa yang lebih singkat. Kemajuan pelaksanaan penyelidikan boleh dipantau secara bersama-sama menerusi suatu senarai semak atau jadual kerja yang disediakan lebih awal.


Saturday, January 9, 2010

BUDAK TINGKATAN 4 BELAJAR BAHASA (THE FIRST LESSON OF MALAY LANGUAGE FORM FOUR)

Hari Isnin, 11 Januari 2010 di kelas 4 Sains 5.

Cikgu:  Assalamualaikum, selamat sejahtera...

Murid:  Waalaikumussalam, selamat sejahtera cikgu.

Cikgu:  Alhamdulillah, cikgu sangat gembira dapat bertemu murid sekalian. Tahniah kerana
             berjaya dalam PMR. Kini, masanya untuk terus mara memetik bintang...
             (melihat ke arah murid ke murid untuk membaca reaksi dan bahasa tubuh)

Murid:   (masih senyap dan cuba menyembunyikan rasa curiga)

Guru:    Baiklah, kita mulai pertemuan pertama ini dengan berkenal-kenalan. Caranya agak
             berlainan daripada kebiasaan. Apa kata kita gunakan kaedah iklan pasangan (dyad)?

Murid:  (Sebahagian besar murid masih diam. Beberapa orang murid kelihatan seperti 
              mengangguk).

Guru:    Nampaknya belum bersedia. Semua orang keluarkan buku catatan dan pen. Bayangkan
             seseorang yang anda suka. Senaraikan lima sebab murid menyukainya. Contohnya:

             1   Ahmad baik hati.

             2   Ahmad suka menolong.

             3   Ahmad mementingkan kebersihan.

             4   Ahmad sentiasa kemas.

             5   Ahmad pandai buat kelakar.

             Ayat mesti ringkas. Mulai setiap ayat dengan nama orang yang murid pilih. Antara ayat
             selangkan sebaris.

Murid:  (Ada yang terus menulis, ada yang termenung mencari ilham agaknya... Guru 
              bergerak dari meja ke meja untuk membantu)

Guru:    (setelah melihat murid selesai menulis ayat)
             Cikgu pilih beberapa orang untuk membacakan ayat yang ditulis...
             (guru meminta tiga orang murid membacakan ayat masing-masing)
             Terima kasih daun keladi... Ada apa-apa pertanyaan?

Murid A:  Buat apa buat aktiviti ini, cikgu?

Guru:    Soalan yang hebat. Sebelum cikgu jawab, sekarang semua murid pegang semula pen.
             Potong nama orang yang murid tulis dalam kelima-lima ayat. Tangguhkan sebarang
             pertanyaan sekejap.

Murid:   Kami sudah siap potong cikgu.

Guru:    Macam iklan potong pula. Sekarang murid gantikan nama yang dipotong tadi dengan
             nama murid sendiri...

Murid:   (Keadaan kelas menjadi gamat dan riuh seketika. Guru menunjukkan isyarat 
               memutar kenyaringan bunyi radio ke kiri. Murid akur.)

Guru:    Tahniah. Semua orang sudah mula bersuara. Sebenarnya cikgu hendak memastikan
             murid semua boleh bercakap. Nah, sekarang buktinya jelas di hadapan mata!
             Pembelajaran bahasa hanya akan menjadi hebat jika ada penglibatan murid. Soalan
             sahabat kita tadi sudah terjawab. Apakah murid berasa gembira?

Murid:  Ya, cikgu!

Guru:    Kalau begitu tepuk tangan dengan menggunakan dua jari sahaja.

££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££
HHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHH
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Begitulah imaginasi penulis blog (PB) tentang sesi pembelajaran pertama untuk mata pelajaran Bahasa Melayu 2010. Dalam minggu yang pertama murid tingkatan empat menjalani minggu suai kenal dan pengurusan organisasi kelas. Harap-harap murid akan beroleh tanggapan pertama yang amat positif. PB wajib memastikannya berjaya.

Biasanya dalam pertemuan pertama, di samping sesi ice-breaking seperti tadi, perbincangan ringkas tentang harapan guru dan murid terhadap pembelajaran Bahasa Melayu akan diberi tumpuan. PB juga akan menggunakan teknik analogi supaya murid dapat menyebut sendiri betapa pentingnya disiplin dan peraturan dalam proses pembelajaran bahasa.

PB akan menanyakan murid tentang pasukan bola sepak yang berjaya, persembahan orkestra yang harmonis dan penghasilan madu oleh koloni lebah di hutan. Biar murid bermain-main dengan metafora dan perlambangan supaya mereka akhirnya bersetuju bahawa pembelajaran bahasa bukan sekadar menjurus kepada pencapaian peperiksaan. Bahasa ialah pancaran akal budi insan. Bahasa jiwa bangsa...




Friday, January 8, 2010

KEPERLUAN PEMBANTU GURU DI SEKOLAH (THE WAY TO EASE THE TEACHER'S WORKLOAD)

Saranan supaya jawatan pembantu guru diwujudkan di sekolah bukanlah perkara baharu. Sejak dahulu lagi kaum pendidik sudah terbiasa dengan kerja perkeranian. Ditambah pula dengan konsep mengurangkan penggunaan kertas dan teknologi komputer, semakin banyak pula maklumat dalam talian yang perlu diberesi.

Sekolah perlu melayani arahan  PPD, JPN, KPM dan beberapa agensi kerajaan yang lain. Semuanya bertujuan untuk melicinkan proses pembelajaran budak sekolah. Sistem pendidikan berpusat bermakna bahawa pemantauan dan penyeliaan amat dipentingkan.

Beberapa bidang tugas yang sebelumnya dilakukan oleh pejabat sekolah berpindah kepada guru. Misalnya segala butiran perkhidmatan guru kini diserahkan kepada seorang guru data. Selain itu terdapat lantikan guru media, guru stok dan mungkin pelbagai jawatan khas bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah.

Guru lantikan khas berkenaan diberi kelonggaran waktu mengajar, misalnya antara lapan ke dua belas waktu seminggu. Namun, justeru urusan yang membabitkan guru-guru lain, kadang-kadang kelibat mereka tidak begitu dialu-alukan. Apatah lagi untuk mendapatkan kerjasama individu yang berasa kedudukan mereka lebih tinggi.

Apabila takwim sekolah menyenaraikan agihan tugas guru, ternyata bahawa tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (p & p) di bilik darjah tampak begitu mencabar untuk dioptimumkan. Masing-masing guru menanggung antara 10 hingga 30 tugas selain p & p. Jumlah itu belum ditambah dengan tugas ad-hoc dan sampingan yang lain.

Sekolah menjadi sasaran idea yang berbaris panjang untuk masuk. Idea yang dilontarkan  pula datang daripada pelbagai penjuru. Sekolah digesa supaya tidak berkubu dengan idea dalaman semata-mata.

Nasib baik idea supaya sekolah menjadi milik komuniti tidak diteruskan. Jika tidak, setelah tamat sesi persekolahan, mana-mana pihak boleh menggunakan kemudahan di sekolah dengan syarat mereka membayar sejumlah caj. Siapa pula yang hendak menyelenggara aspek keselamatan, kebersihan dan pembaikpulihan kerosakan yang berlaku?

Jawatan pembantu guru telah lama diwujudkan di negara maju. Tugas menyediakan alat bantu dan bahan bantu mengajar dikendalikan oleh mereka. Sama macam peranan pembantu makmal yang membantu guru sains menguruskan makmal dan persediaan amali.

Di Malaysia, bab-bab perjawatan sektor awam ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pegawai tinggi yang terdiri daripada kumpulan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) kanan lebih arif tentang kemampuan kewangan kerajaan untuk membayar segala emolumen, elaun dan kemudahan untuk setiap jawatan yang diwujudkan. Jemaah menteri merumuskan dasar perjawatan, namun JPA yang akan membuat perincian tentang pelaksanaannya.

Walaupun Suruhanjaya Pendidikan sudah ada untuk menguruskan hal-ehwal pelantikan guru, bidang kuasanya terhad kepada jumlah perjawatan yang diperuntukkan oleh JPA. Begitu juga dengan Suruhanjaya perkhidmatan keselamatan seperti polis dan tentera. Pendek kata, saranan mewujudkan perjawatan pembantu guru perlu melepasi sistem keputusan JPA.

Kesatuan guru patut lebih kuat jika semua guru sanggup bersatu dalam sebuah majlis ikhtisas. Bilangan guru sudah menjangkau 300 ribu orang. Mengapa para akauntan berdaftar yang hanya berjumlah sepuluh ribu orang itu dapat mengawal pelesenan profesion mereka sendiri? Begitu juga dengan Majlis Peguam, Majlis Perubatan, dan Institut Jurutera.

Kaum guru tidak boleh selama-lamanya menumpang tuah Ceupacs dan PTD. Guru harus mempunyai suara yang dihormati. Walaupun penubuhan Majlis Profesional Guru memerlukan beberapa penelitian perundangan, langkah boleh dimulai oleh tokoh guru yang berpengaruh.

Pengwujudan jawatan pembantu guru bukan sahaja menyumbang ke arah keberkesanan sekolah, bahkan membuka peluang pekerjaan yang baharu. Walaupun saiz kakitangan awam akan bertambah besar, bertentangan dengan doktrin mengecilkannya, pembayar cukai tidak akan menyesal. Keberkesanan sekolah mempunyai korelasi positif dengan ketenteraman awam. Daya pengeluaran negara: awam dan swasta, bakal meletup-letup!


Wednesday, January 6, 2010

PKG MASIH ASING KEPADA GURU? (TEACHER'S PROFESSIONAL CENTRE UNDERUTILISED?)

Jika suatu tinjauan rambang dilakukan, kemungkinan bahawa ada guru yang tidak tahu lokasi Pusat Kegiatan Guru (PKG) di daerah masing-masing adalah tinggi. Melainkan atas urusan mesyuarat atau kursus, PKG tidak terlintas pun dalam fikiran. Apatah lagi dengan kebanyakan PKG terletak dalam kawasan sekolah rendah, maka guru sekolah menengah (kecuali guru media) jarang-jarang akan ke sana.

PKG ialah sekretariat bagi sekolah kelompok dalam setiap pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah. Setiap awal tahun, semua pengetua dan guru besar dalam sekolah kelompok yang ditetapkan akan menghadiri mesyuarat bagi menetapkan dasar, strategi dan perancangan bagi tempoh setahun. Laporan tentang projek tahun sebelumnya akan dibentangkan dan diberi ulasan. Lazimnya, mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah.

Hakikatnya PKG ditadbirkan secara bersama oleh sekolah-sekolah kelompok berkenaan. Pegawai dan kakitangan PKG yang ada dikehendaki mematuhi dan melaksanakan segala keputusan mesyuarat. Dilihat dari sudut ini, PKG sepatutnya bukan suatu entiti asing yang tidak dipedulikan oleh para guru.

Di samping pentadbiran sekolah kelompok, PKG bertanggungjawab kepada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, BTPN yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). BTPN pula dikawal oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia yang memiliki sebuah kompleks yang serba lengkap di ibu negara.

                                                                              BTP
                                                                  (Kementerian Pelajaran)
                                                                                 ^

                                                                                 ^
                                                                                 ^
                                                                              BTPN
                                                                (Jabatan Pelajaran Negeri)
                                                                                 ^
                                                                                 ^
                                                                                 ^
                                                                               PKG
                                                                   (Pejabat Pelajaran Daerah)


PKG mendapat sejumlah peruntukan kewangan yang diagihkan menerusi BTPN. Namun, dengan dana yang terhad, PKG boleh mendapatkan persetujuan sekolah kelompok untuk bersama-sama membiayai beberapa projek yang dibenarkan dalam Arahan Perbendaharaan dan Tatacara Kewangan KPM, serta pekeliling lain yang sedang berkuat kuasa. Semua hal ini menjadi urusan pengetua dan guru besar sekolah kelompok. Terpulang kepada mereka untuk memaklumkan kepada guru di sekolah masing-masing atau tidak.

Antara aktiviti tetap PKG ialah sebagai urus setia projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) dengan memberi penarafan kepada setiap sekolah dalam kelompok PKG. Murid yang mencapai tahap nilam akan disenaraikan ke peringkat yang lebih tinggi (daerah, negeri, kebangsaan). Maka, pencapaian setiap PKG akan turut membabitkan pengukuhan imej dan reputasi PPD.

PKG turut berperanan sebagai urus setia pusat sumber sekolah kelompok. Guru Media akan menghantar laporan secara berkala tentang kemajuan dan perkembangan pusat sumber sekolah masing-masing. Konsep "sekolah dalam pusat sumber" dan bukan "pusat sumber dalam sekolah" sepatutnya sudah lama berjaya.

Bagaimanakah guru dapat memanfaatkan PKG? Maka, langkah pertama ialah jatuh hati dengan PKG terlebih dahulu! Guru juga harus mengenal pasti sumber di PKG yang boleh membantu proses pembelajaran di bilik darjah.

Setiap PKG dibekalkan dengan cakera padat (CD) terbaharu daripada pelbagai  bahagian KPM. Antaranya modul kurikulum dan p & p, rakaman pertandingan kokurikulum dan koakademik peringkat tertinggi, serta perisian terkini yang boleh digunakan dalam pengurusan bilik darjah. Guru boleh membuat pesanan untuk membuat salinan CD yang dihajati.

PKG juga menyediakan jurnal dan laporan penyelidikan yang diperoleh daripada pelbagai agensi KPM. Jika ada permintaan, PKG mungkin boleh menguruskan salinan jurnal daripada BTPN dan BTP. Memandangkan sebahagian besar bahan telah dimuat naik dalam laman sesawang, PKG boleh memberikan alamat URL, atau mungkin salinan bercetak jika bahan berkenaan bersifat terhad (memerlukan kata laluan).


Kebiasaannya sesebuah PKG hanya mempunyai dua orang pegawai teknologi pendidikan dan seorang pembantu tadbir. Terdapat empat buah bilik yang dilengkapi dengan kemudahan multimedia dan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar. Andainya guru datang secara serentak dalam jumlah yang besar, kesabaran dan tolak ansur menjadi penawar yang mujarab.

Berdasarkan pengamatan penulis blog (PB), PKG belum pernah diserbu secara besar-besaran begitu. Sebaliknya, PKG aman tenteram dan agak lengang. Kajian oleh EPRD barangkali boleh meliputi permasalahan yang lebih luas.

Promosi tentang PKG boleh dilakukan oleh pengetua dan guru besar sekolah kelompok. Giliran mengunjungi PKG juga boleh diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa induk PKG. Maklumat dan panduan tentang perkhidmatan PKG boleh diuar-uarkan menerusi road-show, risalah dan lawan sesawang rasmi setiap sekolah kelompok.

Di negara maju, entiti seperti PKG amat diberi perhatian. "PKG" menjadi pusat sehenti maklumat keguruan dan tempat berlangsungnya permuafakatan profesional. Jika BTP Pusat dan BTPN begitu gah dengan kompleks tersergam indah, dan kakitangan yang mencukupi, mengapa tidak PKG? Biarlah nama PKG menggambarkan keadaan sebenar...

Tuesday, January 5, 2010

PELANCARAN TEMA ST MICHAEL 2010 (THE LAUNCHING OF "KNOW YOURSELF & BE YOURSELF")

Ipoh, Rabu: 6 Januari 2010 / 20 Muharam 1431

Setelah dua hari berturut-turut diselubungi cuaca muram pada sebelah pagi, akhirnya perhimpunan rasmi sulung SMK St Michael, Ipoh (SMI) buat tahun 2010 berjaya diadakan. Murid telah berkumpul seawal pukul 7.15 pagi. Sebagaimana biasa, perhimpunan dimulai dengan nyanyian lagu "Negaraku", lagu negeri Perak dan bacaan doa.

Tumpuan perhimpunan ialah pelancaran tema SMI yang baharu. Pengetua terlebih dahulu mengingatkan Michaelian supaya berusaha dengan lebih keras dan dengan lebih bijak justeru pencapaian tahun lalu menunjukkan sebenarnya masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Pada tahun ini, pihak sekolah akan lebih bertegas dalam hal-hal yang berkaitan dengan disiplin dan sahsiah murid. Pembelajaran yang terbaik hanya dapat berlaku dalam persekitaran disiplin dan sahsiah murid yang juga terbaik.

Tema SMI 2010 yang dipilih ialah "Know Youself & Be Yourself", iaitu "kenali diri anda dan jadilah diri anda". Bunyinya mudah dan ringkas, namun untuk menzahirkannya dalam bentuk tingkah laku dan pembawaan diri memerlukan iltizam dan piawaian yang jelas. Proses untuk mengenali diri sendiri bukan semudah yang disangkakan.

Siapakah yang boleh mendakwa dirinya pernah melihat telinga sendiri? Pengecualian mungkin diberi kepada suku kaum yang menindik telinga untuk dipakaikan subang yang berat-berat sehingga telinga menjadi panjang dan boleh menutup lubang hidung! Pernahkah anda ditegur, contohnya: "apalah engkau ini, berjalan kelam-kabut!" Melihat melalui cermin atau tayangan video bukanlah diri anda yang asli.

Penganjur model jauhari (Joe-Harry?) mengibaratkan pengetahuan manusia tentang dirinya sendiri umpama bahagian atas bongkah ais yang terapung di lautan luas (tip of the iceberg. PB pernah menulis tentangnya dalam posting terdahulu). Maknanya, sekitar lima peratus sahaja yang kelihatan.

Jika model berkenaan benar, bagaimanakah baki 95 peratus misteri diri sendiri dapat dirungkaikan? Model jauhari boleh diringkaskan dalam gambar rajah berikut:

    Tingkap                 DS                 OL            status
--------------------------------------------------------------------
          1                       /                   /            terbuka

          2                       /                   X             rahsia

          3                      X                    /             tertutup

          4                      X                   X              gelap
---------------------------------------------------------------------

Petunjuk:   DS = diri sendiri
                 OL = orang lain
                  /    =  tahu
                  X  =  tidak tahu

Contoh tingkap terbuka ialah bilangan jari. DS dan OL sama-sama tahu. Tingkap rahsia misalnya anda menggunakan tempurung lutut besi atau kebolehan luar biasa tertentu. Tingkap tertutup contohnya saiz telinga sendiri. Tingkap gelap ialah perkara-perkara yang belum berlaku seperti peristiwa akan datang dan tarikh ajal datang menjemput!

Walaupun mendapat bantuan pakar tersohor, bahagian tingkap gelap tidak mungkin dapat dibuka. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. Bahkan, usaha membuka tingkap tertutup juga mungkin menemui jalan buntu.

Kebarangkalian seseorang doktor am (general practitioner, GP) dapat mendiagnosis sesuatu penyakit yang unik hanyalah sekitar tiga peratus. Ketepatan diagnosis doktor pakar pula ialah 33 peratus. Proses rawatan pula seperti proses hukuman mahkamah. GP ibarat hakim mahkamah majistret dan sesyen. Seseorang pesakit yang disahkan bermasalah jantung kemudiannya mungkin hanya mengalami lebihan asid di dalam perut setelah melalui ujian stres, ECG  dan pelbagai peringkat saringan doktor pakar (mahkamah tinggi, rayuan, persekutuan, pengampunan diraja).

Pelajar cemerlang PMR 2009 (semua A)

Kesempurnaan ialah darjah tertinggi yang hendak dicapai. Dalam koteks SMI, warga sekolah perlu meletakkan sasaran yang tersurat (seperti akronim SMART = specific, measurable, attainable, reliable, timely). Proses mengenal diri sendiri perlu dilaksanakan sepanjang masa.

Setiap detik manusia mengalami perubahan dari segi jasmani, emosi, rohani  dan intelektual. Maka, seseorang murid harus bijak bagi mengenal pasti sumber yang dapat membantu dalam proses mengenal diri sendiri. Dekatilah orang-orang yang boleh dipercayai dan berwibawa sebagai sandaran...


WAJAH BARU SMI 2010 (THE ORIENTATION WEEK FOR NEWLY MICHAELIANS)

Ipoh, Selasa: 5 Januari 2010 / 19 Muharam 1431

SMK St Michael, Ipoh (SMI) menerima kehadiran sejumlah kira-kira 300 orang murid baharu tingkatan satu. Kesemua mereka ditempatkan pada sesi petang dalam sembilan buah kelas. Satu majlis suai kenal selama dua hari dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMI, khusus bagi memberi pendedahan tentang persekitaran pengajian menengah dan pembelajaran di SMI.

Walaupun kebanyakan murid baharu ini telah menjalani tempoh persekolahan melebihi enam tahun di sekolah rendah dan tadika, alam persekolahan menengah tentulah lebih mencabar. Mereka sudah mencapai usia remaja dan akil baligh. Pertumbuhan jasmani, emosi, rohani dan intelektual mereka kini lebih pesat.

Kaunselor pelajar berpengalaman, Encik Omar telah memberikan input dan tip berguna sebagai bekal murid baharu tingkatan satu. Fokus utama beliau menjurus kepada pemantapan jati diri murid remaja. Mereka mesti memiliki ketahanan bagi membina skema positif dalam minda supaya dapat menangkis pengaruh yang boleh menjejaskan pencapaian matlamat kecemerlangan insan.

Penulis blog (PB) pernah mengetuai Unit Bimbingan dan Kaunseling selama empat tahun semasa bertugas di Sekolah Menengah Teknik Persiaran Brash, Ipoh. Antara slogan asas kaunseling ialah "penerimaan tanpa syarat, anda diterima seadanya" (you are welcome as you are). Maka, murid (klien) yang datang menerima khidmat kaunseling dibantu bagi melakukan penerokaan kendiri terhadap perkara yang dibawa semasa sesi individu atau kelompok.

Terdapat ibu bapa yang merungut justeru mereka terpaksa "bersaing" dengan rakan-rakan sebaya anak mereka dari segi kecenderungan dan membuat keputusan. Rahsianya terletak kepada penerimaan tanpa syarat oleh rakan sebaya tadi. Maka, Unit Kaunseling mengenal pasti pemimpin pendapat (opinion leaders) dalam kalangan murid remaja supaya dapat dilatih sebagai rakan sebaya yang berkesan dan berwawasan.

Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) perlu diberi galakan dan pengiktirafan. Di sekolah teknik, terdapat program rakan sebaya yang diberi nama "Embun Hidayah". Modul PRS melayan citra remaja dengan aktiviti yang mereka gemari. Slot latihan dalam kumpulan dan pergerakan fizikal lebih ditonjolkan berbanding dengan ceramah dan syarahan yang hanya mengakibatkan murid remaja kejang kaki, semut-semut dan terperangkap dalam zon menolak (rejection area).
 
Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri masih ada harapan. Namun, kalau telinga kiri pun tidak masuk, jadilah penganjur syok sendiri! Pendekatan pedagogi (bagi kanak-kanak) dan andragogi (dewasa) yang meminggirkan elemen somatik selalunya akan berakhir dengan permusuhan senyap antara penganjur dengan peserta.

Berbalik kepada SMI. Murid tingkatan empat yang masih berbulan madu dengan kejayaan PMR juga harus melalui orientasi. Taklimat akademik, disiplin, kaunseling, pengagihan buku teks, biasiswa dan kebajikan disampaikan secara berterusan. PB turut menyampaikan taklimat mata pelajaran Ekonomi Asas.

Berbeza dengan murid tingkatan satu yang lebih senyap dan kelihatan "suci", budak tingkatan empat menampakkan susuk yang lebih energetik. Mereka tidak segan silu menunjukkan reaksi sebenar seperti lenguh kaki atau kebosanan. Beberapa kali PB pergi ke barisan paling belakang untuk memujuk mereka supaya sanggup bersabar sedikit. Kelihatannya mereka gembira dan bertepuk tangan bagaikan dalam konsert apabila didekati, disantuni dan diberikan harga diri.

Tugas asas guru ialah menolong. Maka, konsep putus asa tidak ada dalam kamus  perkhidmatan guru. Murid mungkin sepertinya menolak saranan guru pada satu-satu masa. Namun, berdasarkan pengalaman peribadi PB, murid  sebenarnya mengingati beberapa pesan guru yang dirasakan power beberapa tahun berselang.

Kata-kata guru bagaikan mutiara yang berharga. PB pernah menerima cenderamata Hari Guru yang dicoretkan kalimah "keuntungan yang diharapkan daripada pendidikan bukanlah kekayaan dan kekuasaan, tetapi keampunan dan keredhaan-Nya". Demikian harapan dan rayuan murid terhadap kaum guru.

Sebagai penutup, mari renungkan maksim yang berbunyi "pencapaian murid ialah bayangan kebolehan guru". Pencapaian murid yang paling penting ialah akal budi dan sifat budiman mereka. Walaupun dari segi fizikalnya, murid mungkin lebih tegap dan tinggi menggalah, tetapi kebijaksanaan, kematangan dan pengalaman guru ialah kelebihan yang terhimpun dalam suatu jangka masa yang begitu panjang...

Saturday, January 2, 2010

TUMPUAN TUGAS 2010 (PERSPECTIVE PLANNING YEAR 2010)

Setiap insan menggalas tanggungjawab yang tersendiri terhadap diri sendiri, keluarga, jiran, masyarakat, bangsa, negara dan ummah. Tertakluk kepada upaya dan kapasiti masing-masing, segala tanggungjawab yang digalas perlu dilunaskan sehabis baik dan sehabis sempurna. Marilah kita menjadi si jaguh (the winners) dan menjauhi ciri si corot (the loosers) dengan melakukan perancangan yang wajar. Sesudah itu, kita berdoa mudah-mudahan berkat niat yang tulus dan cara yang benar, kejayaan demi kejayaan sesungguhnya milik kita, Insya-Allah.

Izinkan penulis blog (PB) menyenaraikan bidang tugas dan tumpuan utama sebagai guru di SMK St Michael, Ipoh (SMI) buat tahun keempat. Secara am, kerjaya keguruan digolongkan sebagai perkhidmatan menolong (helping service). Sebagai guru penolong, seseorang guru bertanggungjawab terhadap majikan (pengetua sebagai ketua perhidmatan awam di peringkat sekolah) dalam memastikan murid dan pelajar SMI menikmati pengalaman pembelajaran yang bermutu, terbaik dan bertaraf dunia.

Antara tugas PB bagi tahun 2010 termasuk:

1   Setiausaha Bidang Vokasional dan Teknik (VT)
     (menjalankan tugas Guru Kanan sehingga guru lantikan JPN ditempatkan)
      -  membantu pengetua memimpin semua guru VT merancang p & p dan penulisan rekod mengajar;
      -  membantu ketua panitia dalam bidang VT melaksanakan aktiviti kecemerlangan, Halus dan klinikal;
      -  menyelia penyenggaraan rekod dan dokumen guru, serta murid dalam bidang VT;
      -  mencadangkan penambahbaikan dalam pelaksanaan aktiviti p & p dan aktiviti panitia;
      -  membantu pengetua melakukan kawalan kewangan dan perbelanjaan bidang VT;
      -  tugas lain yang tersenarai dalam buku panduan tugas umum.

2    Guru mata pelajaran (Ekonomi 6 Atas; Bahasa Melayu tingkatan 4)
      -  menyediakan pemetaan rancangan pelajaran tahunan, mingguan dan harian;
      -  merancang,dan melaksanakan aktiviti p & p yang berfakta, berkesan, menarik dan
          menyeronokkan;
      -  menyediakan pelaksanaan pentaksiran formatif dan sumatif yang mematuhi sukatan pelajaran;
      -  mengenal pasti tahap pencapaian setiap pelajar untuk tindakan susulan.

3    Guru tingkatan UA3
      -  mengemas kini data pelajar
      -  mencatat kedatangan harian pelajar dan menyelenggara semua butiran daftar
      -  mengutip yuran yang dibenarkan mengikut surat kuasa yang sah
      -  menyelia kemudahan, kebersihan dan keceriaan kelas
      -  mengambil berat terhadap kebajikan dan pencapaian pelajar

4   Setiausaha Penyelidikan Pengajian Tingkatan Enam
      -  membantu guru akademik tingkatan 6 menyediakan cadangan penyelidikan
      -  merekodkan hasil penyelidikan guru akademik tingkatan 6
5   Guru Penyelaras Kadet Bomba
      -  menyediakan perancangan takwim aktiviti dan program pasukan 2010
      -  menyimpan daftar keanggotaan dalam satu fail yang kemas kini
      -  menasihatkan ahli jawatankuasa pasukan tentang pelaksanaan aktiviti dan program
      -  memantau kemajuan pasukan dari segi penglibatan dan pencapaian anggota pasukan
      -  memperaku markah kokurikulum anggota pasukan pada hujung tahun
      -  sebagai pegawai perhubungan sekolah dengan Jabatan perkhidmatan Bomba dan Penyelamat, Ipoh
      -  mengambil bahagian dalam mesyuarat jawatankuasa keselamatan sekolah
      -  membantu jawatankuasa keselamatan sekolahmelaksanakan kawat kebakaran dua kali setahun
6   Penolong Pengurus Pasukan Hoki
     -  membantu ketua merancang aktiviti dan program pasukan
     -  membantu ketua melakukan pemilihan pemain hoki sekolah
     -  membantu ketua menyediakan jurulatih pasukan menerusi tajaan PIBG, OMA
     -  membantu ketua mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan sekolah sekitar Kinta
     -  mengiri pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat zon, dan jemputan lain

7   Guru Penasihat Kelab Penulisan dan Penerbitan (Ketua)
     -  Merancang takwim aktiviti dan program tahunan 2010
     -  Menasihati jawatankuasa kelab dalam hal-ehwal pentadbiran, aktiviti dan program yang dipersetujui
     - 

8   Guru Rumah Sukan

9   Ahli Jawatankuasa Keselamatan Sekolah

10   Penolong Penyelaras Majalah Sekolah (Setiausaha)

11   Naib Pengerusi Kelab Staf (menjalankan tugas Pengerusi: Januari - Februari 2010)
       -  menyelaras pelan kedudukan bilik guru
       -  menyelaras penyediaan dokumen mesyuarat agung 2010
       -  mengadakan mesyuarat agung pada minggu kedua Februari 2010
        

bersambung...

KANVAS DESA (REMOTE EMOTION)




Rajut kekuningan ranum memikat
Senduduk menjulang kukuh bersirat
Melintuk liuk nyaman dipuput bayu
Melagukan irama alam

Kedidi dan ruak menyelinap ruang
Mengalun gemalai tarian lalang
Lesap dalam jalur warna
Mengasyikkan pesona alam

Hamparan bebunting padi
Menanti musim berganti
Lambang keringat berharga
Menggapai mimpi bahagia

Friday, January 1, 2010

KILAS TANGKIS VERSI 2010 MEMBUKA GELANGGANG (BADMINTON STAFF CLUB OF SMI MOVING TOWARD 2010)

Ipoh, 1 Januari 2010 / 15 Muharam 1431

Akhirnya, tahun 2009 menjadi sejarah. Kini, doa kita untuk dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki termakbul sudah. Maka, sama-samalah kita menjaga amanah kehidupan yang sebentar di dunia pinjaman ini. Demikian pesan para bestari dan budiman. Semoga kita mengambil ingatan.

Dari atas kiri: Prakas Rao, Chin, Zulkarnain, Ibrahim
Bawah dari kiri: Azmi, Abdul Aziz, Saiful, Shahruzzaman

Bijak pandai mengatakan bahawa "kesihatan ialah mahkota yang hanya dapat dilihat oleh si sakit". Maknanya, orang-orang yang merasakannya dirinya sihat kadang-kadang lupa untuk bersyukur kepada-Nya. Insan yang bersyukur akan berusaha supaya nikmat yang dikurniakan itu dapat dimanfaatkan ke arah tujuan hidup yang jelas dan cemerlang.

Kelab Kilas Tangkis yang bernaung di bawah Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) meneruskan agenda gaya hidup sihat untuk guru dengan melancarkan semula aktiviti pertemuan mingguan pada setiap hari Jumaat. Kebetulan cuti tahun baharu 2010, pertemuan diadakan pada sebelah pagi. Pada minggu-minggu seterusnya akan diadakan sebelah petang, kecuali jika hari Jumaat jatuh pada hari cuti atau kelepasan.

Kilas Tangkis telah kehilangan salah seorang tonggaknya, iaitu Maulid Ismail yang barangkali lebih diperlukan oleh kelab badminton di Perlis. Selain itu, as-Syeikh Ahmad Syakir masih dalam tempoh cuti sakit setelah menjalani pembedahan baru-baru ini. Kilas Tangkis mendoakan kesejahteraan kepada kedua-dua mereka. Moga kita dapat bertemu semula di gelanggang dalam tempoh yang terdekat, Insya-Allah...

Kilas Tangkis mempelawa pasukan lain mengadakan perlawanan persahabatan sepertimana tahun 2009. Walaupun Kilas Tangkis dianggotai pemain sambilan (namun, profesional dari segi kerjaya), daya saing yang ditampilkan senantiasa di tahap yang terbaik. Gabungan pemain awal dua puluhan hingga lewat empat puluhan menjanjikan adunan kepantasan dan pengalaman dalam pertarungan. Tambahan pula, baru-baru ini semua pemain Kilas Tangkis telah memiliki peralatan dan pakaian yang bertaraf pertandingan...

Kalah menang ialah adat permainan. Perkara yang lebih diutamakan ialah kemesraan, persahabatan dan kesihatan. Ketiga-tiga elemen itu menjadi bahagian penting dalam meniti kehidupan ini. Semuanya menjadi ibadah jika niatnya betul dan caranya juga kena...