Tuesday, January 12, 2010
KAJIAN TINDAKAN MENINGKATKAN PENCAPAIAN MURID (RESEARCH TEACHER MAKES A DIFFERENCE)
Berbeza dengan penyelidikan konvensional dan tradisional yang lain, kajian tindakan dilaksanakan oleh si penyelidik itu terhadap dirinya sendiri. Dapatan, kesimpulan dan saranan, sama ada berbentuk inovasi atau penambahbaikan amalan yang sedia ada juga dilakukan oleh penyelidik yang sama. Dengan itu, penyelidik perlu membuat refleksi kendiri berdasarkan isu keprihatinan yang telah dikenal pasti supaya pencapaian semua murid akan menunjukkan peningkatan.
Jika penyelidik mendapati bahawa tahap pencapaian murid sesebuah kelas berbeza-beza walaupun diberi pengalaman pembelajaran yang sama, maknanya ada sesuatu yang tidak kena. Penyelidik boleh membuat refleksi tentang gangguan atau masalah yang berkemungkinan boleh diberi perhatian. Proses rawatan (intervensi) yang dirancang hendaklah berdasarkan masalah yang tersenarai, lalu ditangani satu per satu, bukan secara sekali gus.
Bagi mengesan sama ada intervensi yang dilakukan itu dapat meningkatkan pencapaian murid atau sebaliknya, penyelidik mesti rajin membuat catatan dan rekod. Lebih baik jika segala data yang dikutip itu ditranskripsikan dalam sebuah buku log. Dengan demikian sebarang perubahan walaupun dalam skala kecil akan dapat diperhatikan untuk refleksi selanjutnya.
Sebenarnya asas utama kajian tindakan ialah gelung / kitaran satu masalah sahaja (the action research spiral). Sesuatu gelung mengandungi empat komponen: merancang ==> bertindak ==> memerhati ==> mereflek. Sebaik-baiknya satu-satu masalah dapat diselesaikan dalam kitaran maksimum dua gelung. Jika tidak, kaedah rawatan yang dilakukan perlu diteliti semula.
Paradigma utama kajian tindakan ialah sesuatu masalah yang dikenal pasti hendaklah diatasi seawal yang mungkin sebelum menjadi terlalu rumit untuk ditangani. Sebab itulah penyelidik harus sentiasa bersedia mengubah amalan p & p yang tidak berkesan supaya peranan keguruan sebagai perkhidmatan menolong dapat membantu kanak-kanak mengembangkan potensi dan fakulti dalam diri mereka ke tahap optimum. Pendek kata, padanan antara keberkesanan pengajaran guru dengan keberkesanan pembelajaran murid mesti dilaksanakan secara berterusan.
Kajian tindakan akan menjadikan guru sebagai penyelidik dan peneroka pengetahuan ikhtisas bidang masing-masing. Apabila telah terbiasa dengan kajian tindakan, guru tidak akan berasa kekok untuk menggabungkan ciri-ciri kajian tindakan dalam aktiviti bilik darjah. Maka, konsep penglibatan aktif dalam inovasi pendidikan bakal mengekalkan kepuasan bekerja tanpa memikirkan sangat hal-hal ganjaran.
Kajian tindakan mengeluarkan guru daripada kepompong rutin. Selain itu, kebosanan akibat dipaksa berperanan sebagai pendengar pasif semasa sesi latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service traning = Inset) dapat diminimumkan. Murid juga pasti dapat merasakan perbezaannya, walaupun kecil.
bersambung...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment