SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, January 5, 2010

WAJAH BARU SMI 2010 (THE ORIENTATION WEEK FOR NEWLY MICHAELIANS)

Ipoh, Selasa: 5 Januari 2010 / 19 Muharam 1431

SMK St Michael, Ipoh (SMI) menerima kehadiran sejumlah kira-kira 300 orang murid baharu tingkatan satu. Kesemua mereka ditempatkan pada sesi petang dalam sembilan buah kelas. Satu majlis suai kenal selama dua hari dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMI, khusus bagi memberi pendedahan tentang persekitaran pengajian menengah dan pembelajaran di SMI.

Walaupun kebanyakan murid baharu ini telah menjalani tempoh persekolahan melebihi enam tahun di sekolah rendah dan tadika, alam persekolahan menengah tentulah lebih mencabar. Mereka sudah mencapai usia remaja dan akil baligh. Pertumbuhan jasmani, emosi, rohani dan intelektual mereka kini lebih pesat.

Kaunselor pelajar berpengalaman, Encik Omar telah memberikan input dan tip berguna sebagai bekal murid baharu tingkatan satu. Fokus utama beliau menjurus kepada pemantapan jati diri murid remaja. Mereka mesti memiliki ketahanan bagi membina skema positif dalam minda supaya dapat menangkis pengaruh yang boleh menjejaskan pencapaian matlamat kecemerlangan insan.

Penulis blog (PB) pernah mengetuai Unit Bimbingan dan Kaunseling selama empat tahun semasa bertugas di Sekolah Menengah Teknik Persiaran Brash, Ipoh. Antara slogan asas kaunseling ialah "penerimaan tanpa syarat, anda diterima seadanya" (you are welcome as you are). Maka, murid (klien) yang datang menerima khidmat kaunseling dibantu bagi melakukan penerokaan kendiri terhadap perkara yang dibawa semasa sesi individu atau kelompok.

Terdapat ibu bapa yang merungut justeru mereka terpaksa "bersaing" dengan rakan-rakan sebaya anak mereka dari segi kecenderungan dan membuat keputusan. Rahsianya terletak kepada penerimaan tanpa syarat oleh rakan sebaya tadi. Maka, Unit Kaunseling mengenal pasti pemimpin pendapat (opinion leaders) dalam kalangan murid remaja supaya dapat dilatih sebagai rakan sebaya yang berkesan dan berwawasan.

Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) perlu diberi galakan dan pengiktirafan. Di sekolah teknik, terdapat program rakan sebaya yang diberi nama "Embun Hidayah". Modul PRS melayan citra remaja dengan aktiviti yang mereka gemari. Slot latihan dalam kumpulan dan pergerakan fizikal lebih ditonjolkan berbanding dengan ceramah dan syarahan yang hanya mengakibatkan murid remaja kejang kaki, semut-semut dan terperangkap dalam zon menolak (rejection area).
 
Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri masih ada harapan. Namun, kalau telinga kiri pun tidak masuk, jadilah penganjur syok sendiri! Pendekatan pedagogi (bagi kanak-kanak) dan andragogi (dewasa) yang meminggirkan elemen somatik selalunya akan berakhir dengan permusuhan senyap antara penganjur dengan peserta.

Berbalik kepada SMI. Murid tingkatan empat yang masih berbulan madu dengan kejayaan PMR juga harus melalui orientasi. Taklimat akademik, disiplin, kaunseling, pengagihan buku teks, biasiswa dan kebajikan disampaikan secara berterusan. PB turut menyampaikan taklimat mata pelajaran Ekonomi Asas.

Berbeza dengan murid tingkatan satu yang lebih senyap dan kelihatan "suci", budak tingkatan empat menampakkan susuk yang lebih energetik. Mereka tidak segan silu menunjukkan reaksi sebenar seperti lenguh kaki atau kebosanan. Beberapa kali PB pergi ke barisan paling belakang untuk memujuk mereka supaya sanggup bersabar sedikit. Kelihatannya mereka gembira dan bertepuk tangan bagaikan dalam konsert apabila didekati, disantuni dan diberikan harga diri.

Tugas asas guru ialah menolong. Maka, konsep putus asa tidak ada dalam kamus  perkhidmatan guru. Murid mungkin sepertinya menolak saranan guru pada satu-satu masa. Namun, berdasarkan pengalaman peribadi PB, murid  sebenarnya mengingati beberapa pesan guru yang dirasakan power beberapa tahun berselang.

Kata-kata guru bagaikan mutiara yang berharga. PB pernah menerima cenderamata Hari Guru yang dicoretkan kalimah "keuntungan yang diharapkan daripada pendidikan bukanlah kekayaan dan kekuasaan, tetapi keampunan dan keredhaan-Nya". Demikian harapan dan rayuan murid terhadap kaum guru.

Sebagai penutup, mari renungkan maksim yang berbunyi "pencapaian murid ialah bayangan kebolehan guru". Pencapaian murid yang paling penting ialah akal budi dan sifat budiman mereka. Walaupun dari segi fizikalnya, murid mungkin lebih tegap dan tinggi menggalah, tetapi kebijaksanaan, kematangan dan pengalaman guru ialah kelebihan yang terhimpun dalam suatu jangka masa yang begitu panjang...

No comments: