SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, January 11, 2010

PENYELIDIKAN GURU AKADEMIK TINGKATAN 6 (ACTION RESEARCH FOR SIXTH FORM TEACHER)

Antara syarat pelantikan guru akademik tingkatan 6 ialah menghasilkan sekurang-kurangnya satu penyelidikan setiap tahun. Pada dasarnya, semua guru akademik tingkatan 6 yang menerima lantikan, tanpa pengecualian, perlu mengemukakan laporan penyelidikan yang telah disempurnakan untuk pengesahan pengetua. Selain itu, pengetua dikehendaki menghantar laporan kemajuan penyelidikan berkenaan dari masa ke masa. Begitulah kriteria Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika meluluskan perjawatan guru akademik tingkatan 6 bermula pada 1 Januari 2008.

Penyelidikan ialah suatu proses mendapatkan data yang sah untuk tujuan seperti menentukan dasar, melaksanakan intervensi dan membuat refleksi amalan sedia ada. Budaya penyelidikan dikembangkan di sekolah supaya guru sebagai ahli ikhtisas berkebolehan menyumbang terhadap bidang mereka sendiri. Dalam kata lain, guru sentiasa melakukan inovasi dan penambahbaikan supaya aktiviti pembelajaran diberi sentuhan baharu seiring dengan perubahan dalam persekitaran pendidikan.

Pegangan terhadap kaedah lama dan cuba jaya bukanlah suatu larangan. Sebaliknya, penyelidikan akan memberi kepastian sama ada kaedah berkenaan perlu dikekalkan, diubah suai, diubah, dibuang atau digantikan. Keputusan yang diperoleh daripada dapatan penyelidikan akan meminimumkan kesilapan (ralat), sekali gus mengelakkan pembaziran sumber.

Anggapan bahawa penyelidikan sebagai suatu tugas yang berat dan membebankan terlebih dahulu hendaklah dibetulkan. Memanglah mengekalkan status quo dan tidak berbuat apa-apa yang baharu amat digemari oleh kelompok rutin. Mereka berasa selesa dan sanggup mengulang-ulang aktiviti yang sama setiap waktu.

Rutin lebih sesuai untuk kumpulan pekerja pertengahan dan separa teknikal. Sebagai subordinat, mereka bekerja berpandukan arahan dan tatacara yang ditetapkan oleh superior. Kecekapan tangan (hands-on) lebih dititikberatkan berbanding dengan kecekapan berfikir (minds-on).

Berlainan pula halnya dengan kumpulan ikhtisas (profesional) dan pengurusan. Mereka perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan, kemahiran dan sikap berkaitan dengan bidang ikhtisas masing-masing. Di samping perolehan input terkini daripada pelbagai sumber berwibawa, penghasilan sesuatu penyelidikan akan membolehkan pelaksanaan inovasi dan penambahbaikan dalam persekitaran organisasi mereka sendiri.

Penyelidikan di sekolah menjurus ke arah pencapaian peranan sekolah sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran. Selama ini bukanlah pembelajaran di sekolah tidak berlaku dengan baik dan berkesan. Namun, tanpa penyelidikan, tiada sesiapa yang boleh berhujah dengan tepat tentang pemupukan pembelajaran.

Sesuatu penyelidikan perlu bermula dengan penyataan masalah, objektif, definisi konsep, tinjauan penulisan, instrumentasi, pentadbiran, kaedah, analisis data dan kesimpulan. Selain itu, liputan dan batasan kajian hendaklah ditetapkan supaya dapatan tidak akan bersifat arbitrari (terawang-awang). Biarlah masalah yang dipilih sangat kecil, tetapi dapatan penyelidikan yang diperoleh akan membantu organisasi membuat keputusan dan langkah intervensi yang tepat (risiko kesilapan minimum) dan tidak membazir.

Dengan andaian bahawa penyelidikan guru akademik tingkatan 6 masih baharu, biarlah mereka melaksanakan penyelidikan asas seperti kajian tindakan. Pendedahan tentang reka bentuk dan pentadbiran kajian boleh dilakukan dalam masa yang lebih singkat. Kemajuan pelaksanaan penyelidikan boleh dipantau secara bersama-sama menerusi suatu senarai semak atau jadual kerja yang disediakan lebih awal.


2 comments:

curious said...

Menurut Cikgu , Pengetua perlu membuat laporan penyelidikan guru-guru tingkatan 6. Dari mana Cikgu dapat tahu mengenai ini. Kenapa Kementerian Pendidikan atau JPA tidak hantar pekeliling mengenai ini kepada sekolah?

Anonymous said...

Maklumat daripada kursus orientasi guru akademik t6.

Sebenarnya sebelum 2011, semua kertas penyelidikan guru akan ditandatangani oleh pengetua dan disimpan di pejabat beliau.

SMK St Michael, Ipoh sebagai salah sebuah sekolah model t6 di Perak dikehendaki menghantar laporan kemajuan penyelidikan itu ke JPN, apabila diminta.

Pekekliling memang belum ada, mungkin untuk 2011. Sekarang masih tempoh peralihan...