SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, January 6, 2010

PKG MASIH ASING KEPADA GURU? (TEACHER'S PROFESSIONAL CENTRE UNDERUTILISED?)

Jika suatu tinjauan rambang dilakukan, kemungkinan bahawa ada guru yang tidak tahu lokasi Pusat Kegiatan Guru (PKG) di daerah masing-masing adalah tinggi. Melainkan atas urusan mesyuarat atau kursus, PKG tidak terlintas pun dalam fikiran. Apatah lagi dengan kebanyakan PKG terletak dalam kawasan sekolah rendah, maka guru sekolah menengah (kecuali guru media) jarang-jarang akan ke sana.

PKG ialah sekretariat bagi sekolah kelompok dalam setiap pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah. Setiap awal tahun, semua pengetua dan guru besar dalam sekolah kelompok yang ditetapkan akan menghadiri mesyuarat bagi menetapkan dasar, strategi dan perancangan bagi tempoh setahun. Laporan tentang projek tahun sebelumnya akan dibentangkan dan diberi ulasan. Lazimnya, mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah.

Hakikatnya PKG ditadbirkan secara bersama oleh sekolah-sekolah kelompok berkenaan. Pegawai dan kakitangan PKG yang ada dikehendaki mematuhi dan melaksanakan segala keputusan mesyuarat. Dilihat dari sudut ini, PKG sepatutnya bukan suatu entiti asing yang tidak dipedulikan oleh para guru.

Di samping pentadbiran sekolah kelompok, PKG bertanggungjawab kepada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, BTPN yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). BTPN pula dikawal oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia yang memiliki sebuah kompleks yang serba lengkap di ibu negara.

                                                                              BTP
                                                                  (Kementerian Pelajaran)
                                                                                 ^

                                                                                 ^
                                                                                 ^
                                                                              BTPN
                                                                (Jabatan Pelajaran Negeri)
                                                                                 ^
                                                                                 ^
                                                                                 ^
                                                                               PKG
                                                                   (Pejabat Pelajaran Daerah)


PKG mendapat sejumlah peruntukan kewangan yang diagihkan menerusi BTPN. Namun, dengan dana yang terhad, PKG boleh mendapatkan persetujuan sekolah kelompok untuk bersama-sama membiayai beberapa projek yang dibenarkan dalam Arahan Perbendaharaan dan Tatacara Kewangan KPM, serta pekeliling lain yang sedang berkuat kuasa. Semua hal ini menjadi urusan pengetua dan guru besar sekolah kelompok. Terpulang kepada mereka untuk memaklumkan kepada guru di sekolah masing-masing atau tidak.

Antara aktiviti tetap PKG ialah sebagai urus setia projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) dengan memberi penarafan kepada setiap sekolah dalam kelompok PKG. Murid yang mencapai tahap nilam akan disenaraikan ke peringkat yang lebih tinggi (daerah, negeri, kebangsaan). Maka, pencapaian setiap PKG akan turut membabitkan pengukuhan imej dan reputasi PPD.

PKG turut berperanan sebagai urus setia pusat sumber sekolah kelompok. Guru Media akan menghantar laporan secara berkala tentang kemajuan dan perkembangan pusat sumber sekolah masing-masing. Konsep "sekolah dalam pusat sumber" dan bukan "pusat sumber dalam sekolah" sepatutnya sudah lama berjaya.

Bagaimanakah guru dapat memanfaatkan PKG? Maka, langkah pertama ialah jatuh hati dengan PKG terlebih dahulu! Guru juga harus mengenal pasti sumber di PKG yang boleh membantu proses pembelajaran di bilik darjah.

Setiap PKG dibekalkan dengan cakera padat (CD) terbaharu daripada pelbagai  bahagian KPM. Antaranya modul kurikulum dan p & p, rakaman pertandingan kokurikulum dan koakademik peringkat tertinggi, serta perisian terkini yang boleh digunakan dalam pengurusan bilik darjah. Guru boleh membuat pesanan untuk membuat salinan CD yang dihajati.

PKG juga menyediakan jurnal dan laporan penyelidikan yang diperoleh daripada pelbagai agensi KPM. Jika ada permintaan, PKG mungkin boleh menguruskan salinan jurnal daripada BTPN dan BTP. Memandangkan sebahagian besar bahan telah dimuat naik dalam laman sesawang, PKG boleh memberikan alamat URL, atau mungkin salinan bercetak jika bahan berkenaan bersifat terhad (memerlukan kata laluan).


Kebiasaannya sesebuah PKG hanya mempunyai dua orang pegawai teknologi pendidikan dan seorang pembantu tadbir. Terdapat empat buah bilik yang dilengkapi dengan kemudahan multimedia dan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar. Andainya guru datang secara serentak dalam jumlah yang besar, kesabaran dan tolak ansur menjadi penawar yang mujarab.

Berdasarkan pengamatan penulis blog (PB), PKG belum pernah diserbu secara besar-besaran begitu. Sebaliknya, PKG aman tenteram dan agak lengang. Kajian oleh EPRD barangkali boleh meliputi permasalahan yang lebih luas.

Promosi tentang PKG boleh dilakukan oleh pengetua dan guru besar sekolah kelompok. Giliran mengunjungi PKG juga boleh diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa induk PKG. Maklumat dan panduan tentang perkhidmatan PKG boleh diuar-uarkan menerusi road-show, risalah dan lawan sesawang rasmi setiap sekolah kelompok.

Di negara maju, entiti seperti PKG amat diberi perhatian. "PKG" menjadi pusat sehenti maklumat keguruan dan tempat berlangsungnya permuafakatan profesional. Jika BTP Pusat dan BTPN begitu gah dengan kompleks tersergam indah, dan kakitangan yang mencukupi, mengapa tidak PKG? Biarlah nama PKG menggambarkan keadaan sebenar...

No comments: