SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, September 10, 2010

CORAT-CORET LEBARAN (FESTIVE ANECDOTE)

10.9.10 = 1 Syawal 1431

Rasanya baru semalam memulakan Ramadan. Namun kini sebulan telah berlalu pergi. Syawal menjengah tiba, dan segala-galanya bagaikan sirna makin jauh dari kita.
Pemandangan bazar Ramadan hanya akan muncul setahun lagi. Tiada seorang pun tahu perkara yang bakal ditentukan oleh-Nya. Bandar gereja (Christchurch) di bahagian pulau selatan New Zealand tunggang terbalik dek gempa bumi (skala 7.1) yang tidak disangka-sangka.
Sebelum berakhir Ramadan, setiap umat Islam wajib membayar zakat fitrah (dalam nilaian tunai antara RM5 - RM8 seorang) kepada amil yang dilantik oleh pihak berkuasa. Kutipan akan diagih-agihkan kepada 8 asnaf, iaitu golongan yang ditentukan layak menerima zakat fitrah. Ibadah itu bertujuan menunaikan hak pemilikan kekayaan untuk dinikmati bersama-sama oleh golongan yang ditentukan oleh syarak, terutama yang kurang beruntung.
Pada hari terakhir Ramadan, tiada lagi solat tarawih. Sebaliknya, umat Islam disunatkan bertakbir raya hingga sebelum bermulanya solat sunat Aidil Fitri keesokan harinya. Inti pati takbir ialah memuji-muji keagungan Ilahi, di samping membangkitkan semangat juang umat Islam untuk terus mencapai kemenangan walaupun musuh tidak suka.
Kebetulan, sambutan hari raya kali ini jatuh pada hari Jumaat. Maka, dua kali umat Islam berhimpun di masjid: solat sunat Eidul Fitri dan solat fardu Jumaat. Bezanya, khutbah Aidil Fitri dibacakan selepas selesai solat, manakala fardu Jumaat dibacakan sebelum solat.
Keadaan ruang letak kenderaan masjid di desa menjadi padat dengan kehadiran pelbagai  model kereta bernombor pendaftaran perantau kota. Masing-masing sudah mencongak destinasi ziarah yang hendak ditujui. Kesempatan berkumpul dengan anggota keluarga jauh dan dekat tidak seyogia dilepaskan begitu sahaja.
Tradisi bermaaf-maafan diteruskan. Si cilik juga diasuh membiasakan diri supaya tidak berasa kekok kemudian hari. Ikatan kekeluargaan dan persaudaraan dieratkan lagi.
Amalan kunjung-mengunjungi memang menjadi tradisi di desa. Sudah pasti kanak-kanak ialah golongan yang paling gembira dengan berpakaian cantik, selain berharap mengumpul duit raya. Sambutan hari raya ialah motivasi bagi melatih si cilik menunaikan ibadah puasa berdasarkan keupayaan mereka.
Penghormatan terhadap golongan tua dilupa jangan. Tanpa mereka, siapalah diri kita! Mudah-mudahan aidil fitri tahun ini meningkatkan jati diri dan tahap taqwa masing-masing...

Wednesday, September 8, 2010

PASAR BASAH DISERBU (LAST MINUTES PREPARATIONS)

Dungun: Rabu, 8.9.10 / 29 Ramadan 1431
Pasar basah betul-betul basah. Disirami hujan sejak awal pagi. Jari-jemari penjual ikan, dan juga pembeli basah setelah urus niaga selesai untuk menghilangkan bau yang melekat.
Kendatipun dibalut kedinginan, orang ramai tetap dengan misi yang satu, iaitu mendapatkan bahan mentah persiapan lauk-pauk sempena musim perayaan. Tiada jaminan pasar basah akan beroperasi seperti biasa esok lusa. Jika ada pun, tiada jaminan bahawa ikan, ketam, sotong dan udang yang dilonggokkan masih segar dari pendaratan di jeti nelayan.
Di sebelah pantai timur semenanjung, antara menu wajib hari raya ialah sama ada nasi dagang, nasi minyak, atau nasi hujan panas. Maka, selain ayam dan daging lembu, ikan aya (dikenali sebagai ikan kayu atau ikan tongkol di pantai barat) mendapat permintaan yang tinggi. Pada ketika inilah peniaga ikan dapat menampung kekurangan urus niaga pada luar musim perayaan.
Bekalan sayur-mayur sehari dua selepas hari raya juga perlu diisi dalam peti sejuk. Selera seisi keluarga selalunya bermacam-macam ragam.  Memanglah pasar raya masih dibuka, tetapi kaki terasa berat hendak melangkah ke sana.
Peniaga ayam dan daging tidak perlu bersusah payah melaung pembeli sasaran. Sebaliknya, mereka pula ibarat beberapa butir gula yang dikerumuni ratusan semut. Atas faktor keselamatan, si ibu dan si bapa sanggup menggendong anak kecil ke hulu dan ke hilir.
Bagi anak-anak yang sudah dapat kaki, mereka boleh dibenarkan bermain-main di kawasan khas berbumbung yang disediakan oleh pengurusan pasar basah. Orang dewasa tetap perlu mengawasi gerak-geri kanak-kanak di bawah umur itu demi mengelakkan sebarang kemungkinan yang di luar jangkaan. Janji dapat bermain di pasar menjadi alasan supaya kanak-kanak yang tidak betah duduk diam menuruti ibu ayah ke pasar basah.
Kawasan tumpuan seperti pasar basah juga menjadi tempat pemuzik jalanan OKU menghiburkan pengunjung sambil mengharapkan simpati. Siapa tahu bahawa pendapatan golongan ini boleh mencecah sehingga RM200 sepagi sahaja?  Masyarakat Malaysia sememangnya pemurah.
Seorang pak cik yang berdiri di tepi tangga dengan tongkat "sakti"nya mungkin sekali diberi perhatian. Seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai orang susah juga kelihatan menyapa pengunjung pasar basah tanpa membuat desakan atau menadah tangan sebagaimana yang lazim dilihat. Pihak berkuasa baitul-mal dan urusan zakat barangkali perlu membuat penyelidikan tentang golongan kurang beruntung seperti mereka untuk pembelaan yang lebih adil.
Isu tempat letak kereta boleh dikatakan tidak kunjung selesai justeru makin banyak penduduk setempat dan perantau kota yang pulang berhari raya menjenguk-jenguk ruang yang masih ada. Kenderaan melimpah hingga ke laluan utama. Apa khabar di bandar besar agaknya?

Tuesday, September 7, 2010

PENGUNJUNG BLOG MEMENTINGKAN MAKLUMAT (PHOTOS ARE NOT THE MAIN REASON FOR VISITING BLOGS)

Terdapat tuan punya blog yang berpendapat bahawa paparan (posting) yang berbentuk esei bakal mengalami kesukaran bagi menarik perhatian pengunjung. Mereka berhujah bahawa cukuplah dengan beberapa paparan gambar dan sebaris dua ayat. Jika sebaliknya, pengunjung akan cepat berasa bosan dan mengalami kepenatan mata.

Pendapat berkenaan mungkin benar, separuh benar, atau tidak benar sama sekali. Bagi memperoleh kepastian, suatu penyelidikan boleh dilaksanakan. Bagaimanapun, penulis blog (PB) akan cuba membuat analisis ringkas berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh google.com terhadap blog ini sendiri.

Dalam tempoh lima bulan terakhir (Mei hingga September), paparan yang paling banyak dibuka ialah "Lantikan Guru Tingkatan 6, pelajar berpeluang ke luar negara", iaitu sebanyak 1,643 kali (terkini: 7,648).  Paparan berkenaan dimasukkan pada 25 Mei 2009 tidak menyertakan sebarang foto, melainkan hanya tulisan. Maklum balas dan perbincangan juga mencatat jumlah tertinggi, iaitu 344 komen setakat ini (terkini 317).

Paparan lain yang menduduki carta teratas juga tiada sebarang foto, kecuali yang bertanda * ialah:

2   Prinsip Fonemik dalam Bahasa Melayu: 953 bukaan, 13 komen (8.4.2009);  terkini 1,056

3   Pantun Empat Kerat (Budi): 584, 1  (22.4.2010); terkini 9,584, 5

4   Ulasan Buku Pedagogi Komsas: 360  (4.7.2010) *  (gambar kulit hadapan buku); terkini 719

5   Analisis Sajak "Di Perpustakaan": 355, 4  (25.4.2010);  terkini 3,501; 6

6   Cerpen Komsas "Memori Seorang Tua":  294  (28.4.2010); terkini 447

7   Kembara Amira Novel Komsas tingkatan 5 Zon Utara:  5,996,10 (11.12.10)*  (gambar kulit hadapan dan belakang)

8   Cadangan Penyelidikan Pelajar Tingkatan 6:  253  (18.6.2010); terkini 334

9   Konsep Bahasa: 271, 5  (5.4.2009)

10   Memperkenalkan Antologi Baharu Komsas Tingkatan 4: 157, 2  (27.12.2009)*  (gambar kulit buku hadapan dan belakang); terkini 375

11   Ulasan Ladap Pengetahuan Profesional Guru:  321 (2.10.2010)

12   Menulis Cadangan Penyelidikan untuk Pelajar Tingkatan 6: 118  (8.9.2009)

13   Kegiatan Kokurikulum Bertaraf Dunia: 114 (11.9.10)

14  Teks Ucapan Guru Bertugas:  84  (25.7.2010)*  (gambar murid SMI duduk di tapak perhimpunan); terkini 126

15   Erti Sebuah Pengorbanan" Novel Komsas Tingkatan 2:  8,130; 20 (13.12.10)*  gambar kulit hadapan, belakang

16   Sinopsis dan Watak Kembara Amira: 5,781, 10 (21.12.10)

17   Dirgahayu Bahasaku Antologi Baharu Tingkatan 5: 3,278

18   Gema Sepi Gadis Genius:  12,752, 20 (24.12.10)

19    Panduan Belajar Cerpen Komsas, Pahlawan Buntung:  926

20   Peristiwa Penting Kembara Amira Bab 1:  1,163

21   Pantun Dua Kerat: 2,938

Semua paparan di atas bertemakan kerjaya keguruan, pembelajaran bahasa, dan  penyelidikan. PB mengandaikan (kesimpulan sementara) bahawa majoriti pengunjung blog ini mahukan pendapat kedua (second opinion) tentang bidang yang menjadi minat mereka. PB tidak dapat memastikan hal itu, melainkan para pengunjung memberikan maklum balas selanjutnya...

(kemas kini: 16.11.11)

JALUR GEMILANG MENCAKAR LANGIT (NATIONAL FLAGS UP THERE)

Kempen mengibar jalur gemilang diteruskan hingga sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada tanggal 16 September ini. Buat julung-julung kali, Hari Malaysia diwartakan sebagai hari kelepasan am dengan harapan rakyat akan terus mengingati dan menghargai tarikh bersejarah itu. Sambutan peringkat kebangsaan bakal berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Pada tahun 1963 tarikh berkenaan, Sabah dan Sarawak telah bergabung membentuk sebuah persekutuan yang baharu, iaitu Malaysia. Sebelumnya, Malaya hanya meliputi tanah semenanjung dan Singapura. Walau bagaimanapun Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada tahun 1965.
Nama Malaya dan Malaysia sebenarnya masih mengekalkan teras Melayu, justeru Malay juga bererti Melayu. Syarikat kereta api kebangsaan, iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Universiti Malaya masih mengabadikan nama-nama terdahulu Malaysia. Kepelbagaian masyarakat yang wujud daripada proses sejarah di Malaysia juga dialami oleh kebanyakan negara maju di serata dunia seperti Amerika Syarikat, Australia, Britain, Jerman dan Peranchis.
Stesen induk kereta api negara yang kini digantikan oleh KL Sentral

Sabah dan Sarawak membentuk kira-kira separuh daripada saiz keluasan tanah negara. Perut bumi kedua-dua negeri kaya dengan khazanah galian dan mineral yang amat tinggi nilainya. Selain itu, keunikan flora dan fauna yang terdapat di sana pasti menggamit kedatangan pelancong.
Jalur Gemilang megah di menara

Singapura ialah sebuah negara pulau bandar raya yang asalnya bernama Temasik, sebuah wilayah kesultanan Johor Riau. Nama Temasik diabadikan oleh sebuah konglomerat negara itu, iaitu Temasik Holdings yang memiliki kepentingan strategik di seluruh dunia, terutamanya Kanada dan Thailand. Beberapa bidang tanah republik berkenaan masih berada di bawah kawalan Malaysia seperti Bukit Timah, Tanjung Pagar dan Woodlands.

Sebagai sebuah negara yang bercirikan semenanjung dan pulau (Borneo), Malaysia memiliki jarak pantai yang cukup panjang. Hal itu juga bererti bahawa keluasan tanah daratan akan dicampur pula dengan kawasan perairan yang dikira sejauh 200 kilometer daripada pantai, iaitu perairan zon eksklusif seperti yang ditetapkan dalam undang-undang antarabangsa. Maka, potensi aktiviti samudera (maritim), perikanan dan cari gali petroleum boleh digembleng secara optimum.

Pertikaian wilayah dengan negara-negara jiran, terutama dalam kawasan yang dianggap bertindih tidak dapat dielakkan. Malaysia pernah berjaya mengesahkan pemilikan Ligitan dan Sipadan di Sabah (sempadan timur laut Kalimantan), tetapi kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura. Perairan sekitar Ambalat di Selat Melaka dan Terumbu Layang-Layang Spartly di Laut Cina Selatan masih dalam proses pertikaian dengan beberapa buah negara, termasuk China, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Mujurlah negara-negara yang bernaung di bawah Asean memiliki semangat setia kawan yang sejati, serta sanggup menunggu proses penyelesaian di meja rundingan diplomatik. Apabila menemui jalan buntu, negara yang terbabit bersetuju membicarakan kes tuntutan bertindih di mahkamah dunia (The Hague, Belanda) dan akur dengan keputusan hakim. Provokasi bantahan hanya berlaku secara kecil-kecilan dan terpencil.
Hari Malaysia di SMK St Michael, Ipoh

Sesungguhnya Hari Malaysia bakal mengingatkan seluruh rakyat betapa pentingnya menjaga keutuhan setiap inci wilayah negara. Pembentukan Malaysia pada hari ini telah melalui satu proses sejarah yang begitu panjang dan rencam. Mudah-mudahan kita akan senantiasa menghargainya...

Sunday, September 5, 2010

LAMBAIAN DESA MENJELANG LEBARAN (BACK TO TRADITION)

Sepasang remaja sedang berbual-bual tentang sambutan hari raya.
Promosi raya di Greentown Mall, Ipoh

Afi:  Mengapalah apabila tiba musim raya, mesti orang sibuk hendak balik kampung?

Beb:  Tentu ada istimewanya suasana kampung, jika dibandingkan dengan beraya di bandar.

Afi:   Bandar lebih meriah. Banyak rumah terbuka orang kenamaan dan selebriti!

Beb:  Bergantung kepada cita rasa dan pilihan anggota keluarga.

Afi:   Mula-mula jalan raya sesak, kemudian rumah datuk nenek pula tidak cukup bilik.

Beb:   Ada banyak pihak yang meraih untung. Permintaan bahan api petroleum meningkat. Pengendali tol tersenyum lebar.

Afi:   Bukankah pencemaran alam sekitar dan tekanan psikologi meningkat?

Beb:   Kalau itulah isunya, kita serahkan kepada pakar dan sarjana bidang berkenaan. Tentu ada jalan penyelesaiannya.

Afi:   Kenapa harus mencari masalah? Apa kata ubah minda masyarakat supaya memilih seminggu berpuasa di kampung, kemudian ajak datuk nenek beraya di bandar?

Beb:  Munasabah. Masyarakat melebih-lebihkan Syawal berbanding dengan ibadah puasa Ramadan.

Afi:   Ramadan hanyalah permulaan. Sepatutnya sifat pemurah dan sabar terus meningkat dalam bulan-bulan berikutnya.

Beb:   Di sana sini anak yatim menjadi rebutan majlis berbuka puasa. Harap-haraplah pada 11 bulan yang lain, mereka tetap diberi perhatian.

Afi:   Banyak lagi segmen masyarakat yang perlu dibantu, misalnya ibu tunggal, warga emas sebatang kara, orang kelainan upaya, fakir miskin dan pelajar pengajian tinggi yang kesempitan wang.

Beb:   Sebab itulah zakat fitrah diwajibkan kepada setiap individu Muslim tanpa kecuali. Semua kutipan akan disalurkan kepada asnaf yang ditetapkan supaya mereka juga dapat bergembira sempena eidul fitri.

Afi:   Satu lagi perkara yang agak tipikal. Mengapa media terlalu fokus kepada tema-tema syahdu semata-mata. Drama sedih, lagu sayu dan takbir raya yang mendayu-dayu. Mana semangat kemenangan Ramadan?

Beb:   Bab mentaliti memang mengambil masa untuk berubah. Mesti ada penulis skrip drama yang berjiwa besar, penulis lirik yang matang dan pemimpin dakwah yang berkesan.

Afi:   Terima kasihlah kerana sudi melayan saya berbual. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.

Beb:   Terima kasih kembali. Moga-moga ibadah Ramadan kita diterima, dan Syawal kita diberkati, insya-Allah...

Saturday, September 4, 2010

KAMERA DULU-DULU (THE OLD SNAP)

Ketika bergelar mahasiswa, penulis blog (PB) pernah menyertai kursus asas fotografi selama 4 hari dibawah kendalian Angkatan Seni Foto Kebangsaan (Asfon) di UKM Bangi. Kandungan kursus lebih berfokus kepada aspek teknikal berbanding seni fotografi. Pengalaman yang diperoleh melayakkan PB dipilih sebagai jurugambar rasmi majalah Aspirasi, iaitu terbitan Persatuan Mahasiswa UKM.
Kamera yang digunakan berciri SLR, serta dikendalikan secara manual. Fungsi automatik hanya digunakan oleh jurugambar amatur, atau untuk tujuan suka-suka. Pengetahuan tentang bukaan dan pencahayaan membezakan kamera SLR dengan kamera automatik biasa.
Pada hari ini kamera SLR telah dimajukan supaya lebih canggih. Kamera SLR seperti di atas sudah boleh disimpan sebagai koleksi "muzium" peribadi, justeru tidak boleh diservis, serta tidak relevan lagi. Lagipun penggunaan filem negatif (untuk dicuci) sudah diganti dengan memory card.

Semasa kursus, PB sempat menggunakan teknologi bilik gelap untuk menghasilkan foto daripada filem negatif. Disebabkan harga segulung negatif agak mahal, iaitu kira-kira RM8 bagi 24 tangkapan gambar, maka hanya situasi yang betul-betul penting akan diambil fotonya. Apabila dicuci, tiap-tiap sekeping foto akan dijual pada harga 50 sen hingga RM1, bergantung kepada jumlah tempahan.

Ada banyak peristiwa lucu yang berlaku. Misalnya gulungan filem negatif terlucut hingga semua aksi yang dirakamkan hampa belaka. Kelas kursus Bahasa Inggeris PB meminta foto dengan pensyarah dirakamkan, siap dengan linangan air mata. Nasib baik mereka lupa bertanya tentang foto berkenaan!
Kemudian, kamera automatik yang lebih nipis dan ringan mula diperkenalkan di pasaran. Budak kecil pun tahu menangkap gambar asalkan punat pemetik kamera ditunjukkan. Tambahan pula kaki kamera (tripod) boleh dipasang dengan lebih mudah untuk mengambil gambar diri sendiri.
Jika kamera SLR memerlukan lampu flash yang berasingan, kamera automatik ini menyekalikannya. Lampu akan menyala secara automatik apabila pencahayaan tidak mencukupi. Kamera automatik di atas masih menggunakan teknologi filem negatif, serta perlu diproses di kedai gambar.

Koleksi gambar yang ditangkap perlu disimpan di dalam album. Antara keistimewaan kamera SLR ialah imej multiple expose, iaitu teknik tindanan gambar sepertimana super impose. Dengan pengenalan teknologi digital sebagai pengganti analog, serta aplikasi konsep small is beautiful, kamera SLR yang bersaiz besar dan manual hanya digunakan oleh jurugambar media rasmi dan studio kedai gambar...

PENGUNJUNG BAZAR RAMADAN BALIK KAMPUNG? (SEASONAL FASTING MONTH'S BUSINESS SLOWING DOWN)

Semasa solat Jumaat semalam lagi keadaan yang agak lengang dapat dirasai. Bilangan kenderaan, serta jemaah yang kebiasaannya berpusu-pusu masuk ke ruang solat agak berkurangan. Keadaan yang sama dapat dilihat semasa solat tarawih.
Tinjauan sambil lalu di beberapa lokasi bazar Ramadan jelas menunjukkan penurunan dari segi bilangan peniaga dan pengunjung. Apatah lagi setelah hujan turun mencurah-curah selepas waktu Asar. Bubur lambuk percuma di bazar Ramadan Rapat Setia juga masih boleh diperoleh sehingga lewat petang.

Sebaik sahaja sekolah ditutup pada hari Jumaat, sebahagian penghuni taman perumahan di bandar-bandar mulai beransur-ansur balik ke kampung. Kebanyakan sekolah hanya akan dibuka semula sehari selepas Hari Malaysia, iaitu tanggal 17 September nanti. Maknanya, cuti hari raya tahun ini hampir dua minggu penuh lamanya.
Pengendali lebuh raya utama seperti Plus dan LPT tidak menang tangan mengira syiling dan not yang memenuhkan kantung kutipan tol. Pasukan polis trafik pula sibuk dengan Ops Sikap buat kesekian kalinya. Kereta peronda dan trak penunda juga bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Taman Cempaka (TC) di Ipoh yang biasanya menjadi tumpuan pelajar politeknik dan sekolah-sekolah seperti STAR, Izuddin, dan Teknik juga sepi. Begitulah juga bazar Ramadan TC yang biasanya sesak menjadi sebaliknya. Kemeriahan TC reda buat sementara...

Thursday, September 2, 2010

SELAMAT HARI RAYA DARIPADA GURU SMI (FESTIVE GREETING FROM MICHAELIAN'S TEACHERS)

Cikgu Helmi, Cikgu Shahruzzaman, Cikgu Samsuddin, Cikgu Saiful Bahri, Haji Tauhid Ahmad (Penolong Kanan), Haji Sidik (Guru Kanan Bahasa), Ustaz Haji Ahmad Shakir, Cikgu Ibrahim, Cikgu Fauzi, penulis blog (PB) dan Cikgu Adi Yusri.
 maaf zahir dan batin

ditujukan kepada:

semua warga SMK St Michael, Ipoh,

pengunjung blog,

kaum keluarga,

handai taulan jauh dan dekat.

MENGAPA PERAK BELUM TERATAS 10 DALAM AKADEMIK? (PERAK NEEDS MIDAS TOUCH TO CLIMB TOP POSITION)

Ketika Dato' Abdul Rahim Abdul Majid mula menduduki kerusi pengarah pelajaran negeri, beliau telah melancarkan slogan "Perak Nombor Satu". Walaupun dalam acara sukan, pingat perak hanya berkedudukan nombor dua, slogan berkenaan ialah suatu anjakan paradigma dalam kalangan warga sekolah supaya merancang program yang dapat melonjakkan status pencapaian sekolah-sekolah di Perak setinggi yang mungkin. Malah, "Perak Nombor Satu" dipindahkan sebagai lagu rasmi JPN Perak.

Selepas Dato' Abdul Rahim, nama-nama seperti Dato' Khairuddin (projek jadual anjal), Dato' Ahmad Zainuddin (bekas pengetua penulis blog  [PB] di SM Teknik, Ipoh), Dato' Adnan Ibrahim (bekas guru geografi PB di SMK Seri Perak, Teluk Intan; projek walk around your schools, WAYS), Haji Hussien, Dato' Ir. Zakaria (projek komuniti berilmu Perak gemilang), Haji Mohd Radzi Jabbar (guru kertas am PB), dan kini Encik Mohd Rauhi mengisi jawatan bersatus Jusa C itu. Bidang koakademik dan kokurikulum telah melonjakkan negeri Perak di puncak persada. Namun, bidang kurikulum, yang diukur menerusi pencapaian peperiksaan awam masih belum meletakkan negeri Perak dalam kelompok terbaik.

komposisi murid yang unik di negeri Perak

Setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan, negeri-negeri pantai timur lazimnya menghuni kedudukan tertinggi. Adakah faktor demografi mempengaruhi pencapaian berkenaan, atau Perak belum menemui "lampu Aladin" yang dicari-cari? Barangkali sudah jenuh perkara berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat, bengkel, seminar dan kajian tindakan.

Sebelum bertugas di Ipoh, PB pernah mengajar di beberapa buah sekolah di Hilir Perak, termasuk di Bagan Datoh. Antaranya ialah mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni untuk kelas peralihan. Nyata sekali bahawa penguasaan asas bahasa murid berkenaan, dengan pengecualian kepada segelintir mereka, di bawah tahap minimum. Meskipun guru berhempas pulas menggunakan pelbagai pendekatan pedagogi dan alat bantu mengajar, pada akhirnya khidmat "penterjemah" dalam kalangan murid terpaksa digunakan.

Keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dalam kalangan murid kelompok berkenaan hanya sekitar 30 peratus, berpunca daripada masalah bahasa. Maka, bilangan keciciran dalam usia 15 tahun sangat tinggi. Kemudian, apabila Penilaian Menengah Rendah (PMR) diperkenalkan, diikuti dasar kenaikan automatik ke tingkatan 4, masalah penguasaan minimum bahasa masih belum menemukan penawar yang mujarab.
 gambar hiasan; tiada kena-mengena dengan artikel

Pihak JPN Perak pernah melaksanakan modul galus menerusi program Gemilang Perak. Tumpuan diberi kepada pencapaian minimum lulus kertas Bahasa Melayu SPM sebagai syarat memperoleh sijil. Berlaku peningkatan sekitar dua peratus, apabila teknik tertentu digunakan supaya pelajar galus berkebolehan menulis jawapan yang dikenal pasti membantu murid berkenaan sekurang-kurangnya lulus minimum gred D.

Sebenarnya masih banyak yang perlu dilakukan di negeri Perak. Penempatan guru bergerak dan guru cemerlang bahasa di sekolah-sekolah bantual modal, khususnya sekolah jenis kebangsaan  (SJKC dan SJKT) eloklah dipertimbangkan. Modul pembelajaran bahasa bukan penutur jati harus disediakan setelah satu kajian mendalam dilaksanakan.

Perubahan mungkin terjadi jika terdapat daya pacu (driving forces). Jika guru bertindak secara individu, keberkesanannya mungkin hanya berskala kecil umpama titisan air yang mengambil masa untuk meninggalkan bekas. Sebaliknya, jika kepakaran guru diperkasakan secara berpasukan, impaknya mungkin seumpama hujan lebat yang turun mencurah-curah membasahi bumi...

Wednesday, September 1, 2010

HUJUNG RAMADAN, MENJELANG LEBARAN (THE SIGNIFICANCE OF FASTING MONTH)

Kini masuk minggu terakhir Ramadan. Masa untuk  merebut tawaran Ramadan makin singkat. Ayuh, kita bersegera berbuat sesuatu sebelum loceng penamat dibunyikan.

Walaupun kita sudah disibukkan dengan persiapan lebaran, pastikan Ramadan kali ini benar-benar meningkatkan taqwa sepertimana maksud puasa itu disyariatkan (la'al-lakum tattaqun). Bulan puasa telah menjadi madrasah, tarbiyyah dan universiti rohani dari segi ilmu, serta amalan. Bulan yang melimpah-ruah dengan barakah dan keampunan kita lalui dengan segala harapan dan impian agar redha Ilahi menjadi milik kita sesungguhnya.

Maka, pada minggu terakhir Ramadan ini sepatutnya kita melipatgandakan amalan yang menjurus kepada kebajikan, kecemerlangan dan kejayaan. Kita tinggalkan amalan yang boleh memesongkan kita daripada fokus Ramadan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi. Justeru kita harus menunggu setahun lagi untuk bertemu semula Ramadan seterusnya, Inya-Allah, panjang umur murah rezeki.

II

Tiada salahnya bersedia untuk hari raya. Berpakaian cantik dan saling menziarahi. Di Nusantara, tradisi balik kampung masih diteruskan tanda ingatan terhadap akar umbi dan jati diri.

Hari raya ialah hari kemenangan bagi orang-orang yang berjaya menjalani ibadah puasa. Mereka telah lulus madrasah Ramadan dengan meningkatkan tahap taqwa masing-masing. Maka, hari raya ialah hari melafazkan rasa syukur dengan tahmid, takbir dan tasbih.

Kembalikan makna hari raya yang sebenar. Hari raya bukan milik industri, atau satu pakej pelancongan budaya. Kegembiraan menyambut hari raya fitrah sebaliknya menjadi jambatan menyambung ikatan kasih sayang dan persaudaraan.

III

Majlis rumah terbuka mungkin berlarutan hingga hari raya korban. Kesempatan untuk berkumpul dengan keluarga, rakan sekerja, sahabat dan tetangga satu amalan mulia. Elok juga golongan kurang beruntung diundang sama.

Di Malaysia, perpaduan rakyat yang berbilang-bilang latar belakang ialah insurans, atau jaminan kemakmuran negara. Maka, sempena hari raya, satu lagi wahana memupuk persefahaman terbentang di hadapan mata. Hari raya disambut bersama-sama tanpa menghilangkan makna asalnya...