Afi: Mengapalah apabila tiba musim raya, mesti orang sibuk hendak balik kampung?
Beb: Tentu ada istimewanya suasana kampung, jika dibandingkan dengan beraya di bandar.
Afi: Bandar lebih meriah. Banyak rumah terbuka orang kenamaan dan selebriti!
Beb: Bergantung kepada cita rasa dan pilihan anggota keluarga.
Afi: Mula-mula jalan raya sesak, kemudian rumah datuk nenek pula tidak cukup bilik.
Beb: Ada banyak pihak yang meraih untung. Permintaan bahan api petroleum meningkat. Pengendali tol tersenyum lebar.
Afi: Bukankah pencemaran alam sekitar dan tekanan psikologi meningkat?
Beb: Kalau itulah isunya, kita serahkan kepada pakar dan sarjana bidang berkenaan. Tentu ada jalan penyelesaiannya.
Afi: Kenapa harus mencari masalah? Apa kata ubah minda masyarakat supaya memilih seminggu berpuasa di kampung, kemudian ajak datuk nenek beraya di bandar?
Beb: Munasabah. Masyarakat melebih-lebihkan Syawal berbanding dengan ibadah puasa Ramadan.
Afi: Ramadan hanyalah permulaan. Sepatutnya sifat pemurah dan sabar terus meningkat dalam bulan-bulan berikutnya.
Beb: Di sana sini anak yatim menjadi rebutan majlis berbuka puasa. Harap-haraplah pada 11 bulan yang lain, mereka tetap diberi perhatian.
Afi: Banyak lagi segmen masyarakat yang perlu dibantu, misalnya ibu tunggal, warga emas sebatang kara, orang kelainan upaya, fakir miskin dan pelajar pengajian tinggi yang kesempitan wang.
Beb: Sebab itulah zakat fitrah diwajibkan kepada setiap individu Muslim tanpa kecuali. Semua kutipan akan disalurkan kepada asnaf yang ditetapkan supaya mereka juga dapat bergembira sempena eidul fitri.
No comments:
Post a Comment