SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, September 8, 2010

PASAR BASAH DISERBU (LAST MINUTES PREPARATIONS)

Dungun: Rabu, 8.9.10 / 29 Ramadan 1431
Pasar basah betul-betul basah. Disirami hujan sejak awal pagi. Jari-jemari penjual ikan, dan juga pembeli basah setelah urus niaga selesai untuk menghilangkan bau yang melekat.
Kendatipun dibalut kedinginan, orang ramai tetap dengan misi yang satu, iaitu mendapatkan bahan mentah persiapan lauk-pauk sempena musim perayaan. Tiada jaminan pasar basah akan beroperasi seperti biasa esok lusa. Jika ada pun, tiada jaminan bahawa ikan, ketam, sotong dan udang yang dilonggokkan masih segar dari pendaratan di jeti nelayan.
Di sebelah pantai timur semenanjung, antara menu wajib hari raya ialah sama ada nasi dagang, nasi minyak, atau nasi hujan panas. Maka, selain ayam dan daging lembu, ikan aya (dikenali sebagai ikan kayu atau ikan tongkol di pantai barat) mendapat permintaan yang tinggi. Pada ketika inilah peniaga ikan dapat menampung kekurangan urus niaga pada luar musim perayaan.
Bekalan sayur-mayur sehari dua selepas hari raya juga perlu diisi dalam peti sejuk. Selera seisi keluarga selalunya bermacam-macam ragam.  Memanglah pasar raya masih dibuka, tetapi kaki terasa berat hendak melangkah ke sana.
Peniaga ayam dan daging tidak perlu bersusah payah melaung pembeli sasaran. Sebaliknya, mereka pula ibarat beberapa butir gula yang dikerumuni ratusan semut. Atas faktor keselamatan, si ibu dan si bapa sanggup menggendong anak kecil ke hulu dan ke hilir.
Bagi anak-anak yang sudah dapat kaki, mereka boleh dibenarkan bermain-main di kawasan khas berbumbung yang disediakan oleh pengurusan pasar basah. Orang dewasa tetap perlu mengawasi gerak-geri kanak-kanak di bawah umur itu demi mengelakkan sebarang kemungkinan yang di luar jangkaan. Janji dapat bermain di pasar menjadi alasan supaya kanak-kanak yang tidak betah duduk diam menuruti ibu ayah ke pasar basah.
Kawasan tumpuan seperti pasar basah juga menjadi tempat pemuzik jalanan OKU menghiburkan pengunjung sambil mengharapkan simpati. Siapa tahu bahawa pendapatan golongan ini boleh mencecah sehingga RM200 sepagi sahaja?  Masyarakat Malaysia sememangnya pemurah.
Seorang pak cik yang berdiri di tepi tangga dengan tongkat "sakti"nya mungkin sekali diberi perhatian. Seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai orang susah juga kelihatan menyapa pengunjung pasar basah tanpa membuat desakan atau menadah tangan sebagaimana yang lazim dilihat. Pihak berkuasa baitul-mal dan urusan zakat barangkali perlu membuat penyelidikan tentang golongan kurang beruntung seperti mereka untuk pembelaan yang lebih adil.
Isu tempat letak kereta boleh dikatakan tidak kunjung selesai justeru makin banyak penduduk setempat dan perantau kota yang pulang berhari raya menjenguk-jenguk ruang yang masih ada. Kenderaan melimpah hingga ke laluan utama. Apa khabar di bandar besar agaknya?

3 comments:

Peter Khiew said...

Peter Khiew di sini. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. Nampaknya sudah pulang ke kampung. Berseronoklah bersama yang tersayang. Bila balik ke St Michael nanti, kerja sudah menunggu. All the best and have a safe journey home.

cikgu azhar said...

Terima kasih atas ingatan Mr Peter Khiew. Balik kampung pun sekejap sahaja, anak UPSR 21.9 nanti.

Rasanya cikgu SMI mengisi sebahaian masa cuti dengan kerja-kerja sekolah. Paling tidak dalam kepala (minda)...

Selamat bercuti, jumpa lagi di SMI...

cikgu azhar said...

Ralat:

sebahaian --> sebahagian