Saturday, September 4, 2010
PENGUNJUNG BAZAR RAMADAN BALIK KAMPUNG? (SEASONAL FASTING MONTH'S BUSINESS SLOWING DOWN)
Semasa solat Jumaat semalam lagi keadaan yang agak lengang dapat dirasai. Bilangan kenderaan, serta jemaah yang kebiasaannya berpusu-pusu masuk ke ruang solat agak berkurangan. Keadaan yang sama dapat dilihat semasa solat tarawih.
Tinjauan sambil lalu di beberapa lokasi bazar Ramadan jelas menunjukkan penurunan dari segi bilangan peniaga dan pengunjung. Apatah lagi setelah hujan turun mencurah-curah selepas waktu Asar. Bubur lambuk percuma di bazar Ramadan Rapat Setia juga masih boleh diperoleh sehingga lewat petang.
Sebaik sahaja sekolah ditutup pada hari Jumaat, sebahagian penghuni taman perumahan di bandar-bandar mulai beransur-ansur balik ke kampung. Kebanyakan sekolah hanya akan dibuka semula sehari selepas Hari Malaysia, iaitu tanggal 17 September nanti. Maknanya, cuti hari raya tahun ini hampir dua minggu penuh lamanya.
Pengendali lebuh raya utama seperti Plus dan LPT tidak menang tangan mengira syiling dan not yang memenuhkan kantung kutipan tol. Pasukan polis trafik pula sibuk dengan Ops Sikap buat kesekian kalinya. Kereta peronda dan trak penunda juga bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Taman Cempaka (TC) di Ipoh yang biasanya menjadi tumpuan pelajar politeknik dan sekolah-sekolah seperti STAR, Izuddin, dan Teknik juga sepi. Begitulah juga bazar Ramadan TC yang biasanya sesak menjadi sebaliknya. Kemeriahan TC reda buat sementara...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment