Friday, August 12, 2011
KEMISKINAN ANCAM KEKUATAN UMAT (KILLING THE HARDCORE HAVE-NOTS)
Tiada manusia yang mahu terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan, hidup kebuluran, melarat atau sengsara. Hakikatnya, 20 peratus manusia di muka bumi menguasai 80 peratus kekayaan, manakala baki 80 peratus manusia lagi berebut-rebut hanya 20 peratus kekayaan. Model Pareto 20:80 dikatakan memburuk kepada nisbah lebih ekstrem, iaitu 10:90 apabila kaum pemodal (kapitalis) makin rakus dan berleluasa.
Menurut perangkaan Bank Dunia yang terkini, rantau paling miskin ialah Asia Selatan (India-Pakistan-Bangladesh) yang mewakili 39 peratus penduduk berpendapatan di bawah USD1 sehari, diikuti oleh Asia Timur (Indochina), 33 peratus dan pinggir Sahara, Afrika, 17 peratus. Peralihan daripada ekonomi berasaskan pengeluaran (p-economics) kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economics) mengakibatkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat miskin meningkat lebih mendadak. Hampir semua peluang disambar oleh anak-anak golongan kaya yang memiliki akses kepada nilai modal insan yang lebih tinggi menerusi pendidikan dan latihan yang dilalui.
Masyarakat miskin mungkin terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan selama tiga generasi, melainkan terdapat campur tangan (intervention) luaran. Maksudnya, sistem agihan kemakmuran dan kekayaan sesebuah negara perlu lebih adil dan lebih cekap. Anjakan paradigma tentang kepentingan pendidikan dan kerja kuat mesti ditanamkan dalam minda ibu bapa dalam kalangan masyarakat miskin.
Konsep ekonomi berpendapatan tinggi yang dicetuskan dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) di negara kita ialah satu contoh usaha memecahkan putaran ganas kemiskinan yang masih membelenggu masyarakat yang masih miskin walaupun bilangannya sudah makin kecil. Sejak mencapai kemerdekaan lebih setengah abad, negara kita telah berjaya mengurangkan peratus kemiskinan tegar ke tahap minimum. Namun, kes-kes kemelaratan masih berlaku akibat sikap masyarakat yang kurang peduli tentang nasib masyarakat kurang beruntung seperti warga tua yang diabaikan, ibu tunggal, anak-anak yatim piatu, serta golongan sebatang kara yang disisihkan oleh kaum keluarga.
Kemiskinan tidak semestinya berpunca daripada warisan seperti putaran ganas tadi. Iklim perniagaan yang lembap atau kos sara hidup yang tinggi akibat inflasi juga mengakibatkan masyarakat jatuh miskin secara tiba-tiba. Masyarakat yang miskin memiliki kuasa beli yang terhad.
Kuasa beli yang lemah bererti perbelanjaan agregat dalam ekonomi juga lemah. Selanjutnya, peniagaan akan menjadi perlahan dan pengeluaran di kilang terpaksa dikurangkan. Pekerja sedia ada terpaksa diminta berhenti, dan putaran ganas kemiskinan akan bermula sekali lagi.
Saidina Ali karamallah wajhah pernah mengungkapkan bahawa "andainya kemiskinan itu wujud sebagai makhluk yang hidup, nescaya aku bunuh." Yang hendak dibunuh ialah kemiskinan, bukan orang miskin. Alasannya mudah, iaitu kemiskinan mendekatkan manusia kepada kekufuran (tercabut iman) sebagaimana yang dilaporkan lewat hadith.
Salah satu komponen doa al-Ma'thurat yang dihimpun oleh Hassan al-Bana ialah tentang menghindari miskin tegar (fakir). Kemiskinan mendedahkan seseorang kepada eksploitasi dan manipulasi pihak-pihak yang hendak menjerumuskan mereka ke arah kesesatan akidah. Mereka juga mungkin dihasut oleh syaitan supaya meletakkan kesalahan terhadap konsep takdir yang palsu.
Demikian antara inti pati mimbar Jumaat minggu ini. Hendaknya segala dasar ekonomi dan sumber organisasi agihan seperti Baitul-Mal berpegang semula terhadap keutamaan yang tepat. Isu kelemahan akidah mendambakan perhatian segera...
Thursday, August 11, 2011
CERPEN "TRAUMA EMBAH" KOMSAS TINGKATAN 1 (THE PSYCHOLOGY OF AGING)
Pengenalan
Embah ialah panggilan bagi nenek atau opah dalam kalangan masyarakat Jawa. Menerusi karya Haryati Abu Nasir dalam antologi Kasut Kelopak Jantung ini, embah digambarkan sebagai wanita lanjut usia yang sudah tidak mengurus diri sendiri, di samping diburu oleh kenangan silam tentang dirinya yang terpaksa akur dengan segala kehendak suaminya yang begitu bengis dan panas baran. Ibu mengambil alih tugas menjaga embah daripada mak cik yang tinggal di Kuala Lumpur apabila suaminya mati mengejut.
Watak dan perwatakan
Embah: Isteri ketiga datuk, punya lima orang anak. Isteri yang taat, serta akur akan segala kata-kata suami (datuk). Contohnya, Embah tidak berani membantah kasut getah sempit pemberian datuk untuk kerja mengutip susu getah. Akibatnya, jari telunjuk kaki embah menjadi herot dan menenggek di atas ibu jari. Embah juga terpaksa menahan perasaan sedih kematian anak kerana ditegah oleh datuk menyebabkan embah trauma hingga ke usia tua (80 tahun).
Datuk: Berkahwin tiga kali. Dengan isteri pertama, tiada zuriat, yang kedua empat orang anak. Kahwin lain hanya setelah isteri yang ada meninggal. Suami dan ayah yang tegas, bengis dan tidak suka dibantah. Contohnya, apabila datuk melihat mak cik Rafiah membuat rambut keriting, datuk melontar parang pendek ke arahnya, tetapi terkena tumit kaki ibu hingga berparut. Meninggal lebih awal.
Ibu: Wanita yang tabah, awet muda dan penyayang. Walaupun hanya berpeluang belajar setakat sekolah rendah (dilarang datuk), ibu bijak menjalankan perniagaan "parti serbaneka" di kampung-kampung. Jualannya ialah peralatan dapur, serta cadar dan permaidani dibayar ansuran. Kelihatan awet muda justeru menurut saranan "aku" (penulis) mengambil makanan tambahan dan vitamin.
Aku: Penulis cerita (sudut pandangan pertama). Telah mempunyai anak. Sering menziarahi ibu dan abah, terutama setelah embah dijaga oleh ibu. Suka mengambil iktibar daripada trauma yang dialami oleh embah, serta kasih sayang mak cik dan ibu terhadap embah.
Abah: Sentiasa menyokong kegiatan ibu. Setelah bersara sebagai guru, menumpukan perhatian terhadap jemaah surau dan masyarakat kampung.
Mak cik: kakitangan syarikat telekomunikasi yang sibuk. Menjaga embah selama 20 tahun sebelum suaminya, fasilitator (pemudah cara) di Institut Aminuddin Baki (tempat kursus pengurusan sekolah). Mempunyai 4 orang anak.
Perbincangan
Tema: Kasih sayang anak terhadap ibu yang telah banyak berkorban.
Teknik penceritaan: sudut pandangan pertama (menurut kaca mata penulis cerpen)
: imbas kembali (kisah datuk dan embah semasa datuk masih hidup)
(kisah perniagaan ibu dan abah sebelum abah bersara)
Perwatakan: penyayang (ibu, mak cik, aku sangat prihatin terhadap kesihatan dan penderitaan embah)
cekal / gigih (ibu menjalankan perniagaan walaupun tidak mempunyai ilmu perniagaan)
patuh / taat (embah menuruti segala kehendak datuk, tidak pernah membantah walaupun mendatangkan mudarat)
sabar / tabah (embah memendamkan perasaan pilu kehilangan dua orang anak lelaki sekali gus kerana tegahan datuk)
tegas / autoktratik (datuk tidak suka dibantah; cubaan mak cik Rafiah menyembunyikan rambut keriting gagal)
Nilai: kasih sayang, kecekalan, kegigihan, kesabaran, ketabahan, ketegasan
Persoalan: Kasih sayang sesama keluarga
Kecekalan / kegigihan dalam menghadapi cabaran hidup
Kesabaran / ketabahan dalam menghadapi kerenah ahli keluarga
Ketegasan dalam pegangan / prinsip hidup datuk tidak suka suka dibohongi anak)
Pengajaran: Kita hendaklah menyayangi sesama keluarga
Kita hendaklah cakal / gigih dalam menghadapi cabaran hidup
Kita hendaklah sabar / tabah dalam menghadapi kerenah ahli keluarga
Kita hendaklah tegas dalam mempertahankan pegangan / prinsip hidup
Latar tempat: kampung = tempat tinggal embah, datuk, ibu dan aku; lokasi perniagaan ibu
masjid kampung Jelutong = tempat yang selalu dikunjungi datuk
darat / kebun = tempat datuk menoreh getah / embah mengutip susu getah
Kuala Lumpur = lokasi rumah mak cik menjaga embah selama 20 tahun
rumah ibu: bau hancing yang cuba diatasi dengan haruman nyata tidak berjaya
Ringkasan cerita / sinopsis:
Cerpen mengisahkan kasih sayang ibu yang mengambil alih tugas menjaga embah yang sering taruma daripada mak cik di Kuala Lumpur. Ibu hanya berpendidikan sekolah rendah, tetapi pandai berniaga dengan sokongan abah, seorang guru. Ibu sangat memahami trauma embah yang terpaksa bertahan dengan kerenah datuk yang bengis dan garang sehingga tidak berani meluahkan perasaan yang terbuku. Ibu sanggup menjaga embah yang makin uzur setelah terkena serangan jantung dan sedikit nyanyuk. "Aku" pila sering mengunjungi rumah ibu untuk menjenguk embah. Peranan abang sulung ibu, Mak Cik Rufiah (kakak ibu) dan adik perempuan bongsu ibu tidak jelas. Abah pula sentiasa di sisi ibu.
Tuesday, August 9, 2011
PENGURUSAN ORGANISASI KELAS PRAUNIVERSITI (CONFLICT AND INTRIGUE AMONG PEERS)
Sebagai kumpulan pelajar lepas menengah yang berusia 18 dan 19 tahun, pelajar tingkatan 6 seharusnya telah mencapai tahap pemikiran dan kod tingkah laku yang lebih matang dan tinggi nilainya. Semua mata pelajaran dan kegiatan luar bilik kuliah yang ditawarkan akan menjurus ke arah pengalaman pembelajaran tahap tinggi. Pelajar tingkatan 6 sudah boleh membuat keputusan atau menyelesaikan masalah dengan tenang lagi tertib.
Sesebuah kelas atau bilik kuliah prauniversiti ialah gambaran sebuah masyarakat yang bercirikan adab, disiplin dan ilmu. Apa-apa juga perbezaan yang sememangnya ada dianggap sebagai peluang, bukan musibah. Pendek kata, pelajar prauniversiti dalam sesebuah kelas atau bilik kuliah akan mara sebagai satu pasukan yang kuat, mantap, padu, sepakat dan unggul.
Secara individu, sepertimana dalam masyarakat biasa, masing-masing akan bersaing untuk berada pada kedudukan tertinggi, misalnya dalam pencapaian akademik, kepimpinan dan perkhidmatan. Namun, persaingan yang terjadi hendaklah dalam persekitaran yang sihat tanpa menimbulkan perkara-perkara yang menjejaskan organisasi kelas. Kalau boleh, biarlah persaingan itu berlangsung dalam suasana saling membantu, kerana cara terbaik untuk belajar ialah dengan mengajar orang lain.
Hakikat bahawa pengajian prauniversiti ialah persediaan akademik tahap tinggi, kepimpinan organisasi, kecekapan menggembleng sumber yang terhad, kesukarelaan dan sumbangan sosial mestilah diberi perhatian. Dalam tempoh setahun setengah pengajian, segala kualiti, kemahiran, nilai dan sikap yang dipupuk akan menjadi bekalan yang berharga untuk menghadapi cabaran persekitaran dewasa yang penuh liku, onak dan simpang-siur kelak.
Antara perkara asas dalam sesebuah organisasi kelas atau bilik kuliah ialah untuk akur kepada segala peraturan dan tatacara yang ditetapkan walaupun mungkin bertentangan dengan kecenderungan peribadi. Misalnya, amalan menghormati guru dan rakan supaya pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan licin. Biarlah setiap anggota organisasi kelas bagaikan binaan yang saling menyokong, bukan meruntuhkan.
Hierarki kepimpinan kelas juga hendaklah dihormati. Ketua kelas dihormati bukan kerana dirinya secara peribadi, tetapi dihormati kerana tugas dan tanggungjawab yang telah diserahkan. Maka, komunikasi yang terjalin sebenarnya ialah juga suatu proses pembelajaran, atau juga disebut sebagai kurikulum tersembunyi.
Kepintaran atau genius individu bukan tidak penting, tetapi kepintaran dan genius kumpulan sudah menjadi lebih penting. Kebanyakan urusan era maya ini memerlukan komunikasi jaringan dan rangkaian dalam konteks organisasi yang lebih luas hingga melewati batasan geografi. Malah, segala urusan perlu dilakukan dengan cepat, tetapi juga berhemat dan tepat.
Bukan pengalaman konflik dan krisis itu tidak berguna. Pelajar prauniversiti boleh berhujah, berbeza pendapat dan tegas dalam mempertahankan sesuatu prinsip yang beradab dan sah. Maksudnya ialah apabila perlu membuat pilihan, kepentingan organisasi mesti didahulukan daripada kepentingan peribadi...
Sunday, August 7, 2011
PROSA KLASIK "HIKAYAT RAJA SIAK" KOMSAS TINGKATAN 5 (THE REAL KING)
Pengenalan
Tuan Bujang, ialah waris Marhum Mangkat Dijulang. Baginda kemudian bergelar (Yang Dipertuan) Raja Kecik. Tuan Bujang @ Raja Kecik menempuh pelbagai dugaan, seperti di Mengkalis (memperoleh kesetiaan orang Minangkabau) dan seterusnya di Johor (menawarkan air masin, serta sokongan orang Bugis). Baginda akhirnya ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Raja Johor.
bersambung...
Saturday, August 6, 2011
PENILAIAN PRESTASI TAHUNAN IKTIRAF KECEMERLANGAN (PROFESSIONALISM OF SUPERIOR)
Pada minggu terakhir Julai, iaitu sebelum bermula puasa, kebanyakan agensi kerajaan selesai mengendalikan majlis anugerah cemerlang (APC) untuk kakitangan masing-masing. Selain sijil, penerima juga diberi ganjaran khas berjumlah RM1,000. Pada majlis berkenaan, para penerima anugerah akan berkumpul bersama kakitangan lain yang juga cemerlang untuk memungkinkan permulaan perkongsian pintar, di samping mungkin dikenal pasti oleh pegawai atasan yang hadir untuk dicalonkan peranan yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.
Sistem APC ialah gandingan kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebelum ini. Pencalonan APC dilakukan oleh ketua-ketua jabatan. Di sekolah, pengetua ialah penilai kedua yang akan mengesahkan markah prestasi yang dicadangkan oleh penolong kanan, dalam sesetengah kes, dibantu oleh guru-guru kanan.
APC tidak membabitkan pergerakan gaji, tetapi mencantikkan rekod perkhidmatan seseorang kakitangan untuk pertimbangan naik pangkat dan hadiah-hadiah lain seperti biasiswa menyambung pengajian, lawatan dan persidangan antarabangsa. Kursus kepimpinan sekolah dan kepengetuaan anjuran Institut Aminuddin Baki misalnya turut memberi merit yang tinggi terhadap penerima APC.
Pelaksanaan Prospek sebagai ganti peperiksaan PTK masih belum jelas. Mungkinkah APC akan dimansuhkan terus kerana wujud penilaian bertindan di peringkat dalaman organisasi? Setakat ini, hanya telahan dapat dibuat justeru tiada sebarang dokumen rasmi dikeluarkan atau ditandatangani oleh kakitangan awam untuk menyetujui opsyen Prospek, atau pilihan untuk kekal dengan sistem lama (Laporan Gaji Aziz, SSB dan SSM).
Terdapat kakitangan bertuah yang menerima APC berkali-kali, malah ada yang lebih bertuah kerana turut menerima anjakan gaji PTK secara serentak. Namun, lebih banyak kakitangan yang tidak bertuah kerana mereka tidak pernah dipandang walaupun sebelah mata. Ada kakitangan otai yang hampir pencen, tetapi tidak pernah merasa tempias APC kerana tidak menonjol di mata bos.
Memang benar bahawa penilaian prestasi tahunan kakitangan bukanlah bersifat giliran, atau atas dasar belas kasihan. Seseorang kakitangan yang hendak dikategorikan sebagai cemerlang haruslah menampilkan mutu dan kecekapan perkhidmatan yang menyumbang terhadap pencapaian organisasi. Kakitangan berkenaan juga seharusnya bersikap properubahan dan tidak terkongkong dalam putaran status quo.
Soalan sinis yang sering terpacul daripada kakitangan yang tidak pernah merasa APC, adakah penilai telah meletakkan prinsip keadilan sebagai teras penilaian mereka? Adakah penilai tidak menggunakan kuasa memberi markah penilaian untuk menyekat peluang pesaing mereka atau pesaing kumpulan tertentu untuk akses peranan yang lebih tinggi? Konflik kepentingan mungkin berlaku apabila pegawai penilai berada pada gred perjawatan yang setara atau gred lebih rendah daripada pegawai yang dinilai.
Harapan kakitangan awam terhadap Prospek barangkali amatlah tinggi. Panel penilai dalaman sebagai pihak yang memberi markah dan perakuan kecemerlangan kakitangan diharapkan lebih bersifat telus dan terbuka. Sebarang bentuk pakatan atau penetapan yang berkepentingan hendaknya tiada tempat lagi...
MASA DEPAN PUSAT TUISYEN (POST-CHILD CARE)
Di negara-negara maju, tuisyen merujuk kepada kuliah pengajian tinggi, tetapi di negara kita tuisyen merujuk kepada program pembelajaran anjuran pihak swasta yang bermotif untung. Ibu bapa berebut-rebut mendapatkan tempat di pusat tuisyen yang menjadi buah mulut masyarakat supaya anak-anak mereka turut mampu mencatat keputusan terbaik semasa peperiksaan awam. Maka, setelah menghabiskan lebih separuh hari di sekolah, murid berusia remaja itu berkejar pula ke pusat tuisyen dan hanya berakhir lewat petang.
Terdapat juga pusat tuisyen yang beroperasi pada waktu malam. Apabila jam menunjukkan pukul 10 malam, maka berderet-deretlah kereta ibu bapa menunggu anak mereka di luar pusat tuisyen berkenaan. Selain pusat tuisyen di premis rumah kedai, terdapat juga kelas tuisyen ditawarkan di rumah persendirian.
Di kota-kota besar, tuisyen ialah satu bentuk perniagaan yang sangat menguntungkan. Bagi ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya masing-masing, pusat tuisyen juga dianggap sekali gus berfungsi sebagai pusat jagaan supaya mereka berasa tenteram akan keselamatan anak-anak mereka. Bayaran yuran tidak menjadi masalah besar buat mereka.
Motivasi murid ke pusat tuisyen mungkin sekali berbeza-beza. Ada yang benar-benar hendak belajar, tetapi ada juga yang didorong oleh peluang untuk bertemu kawan-kawan. Dalam kes ekstrem, ada yang mengambil kesempatan untuk bermain mata!
Keputusan kerajaan untuk memperkasa sistem pendidikan kebangsaan dengan konsep pentaksiran berasaskan sekolah nampak gayanya tidak akan menjejaskan perniagaan tuisyen, malah mungkin mengukuhkannya. Murid yang buntu mencari idea, atau mahu mengambil jalan pintas akan mendapatkan bimbingan guru tuisyen bagi menyiapkan kerja kursus atau tugasan yang diberikan. Sebagai entiti perniagaan yang akomodatif dan kreatif, pemilik pusat tuisyen tentulah mahu kekal relevan dan diterima dalam pasaran.
Pusat tuisyen akan terus wujud dan berkembang selagi ada permintaan. Maka, kalau murid sekolah sudah disibukkan dengan kerja kursus berasaskan sekolah dan kegiatan kokurikulum, pusat tuisyen akan mencari jalan supaya terus menggamit perhatian para ibu bapa yang juga sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Pelabur, pemilik dan pengelola pusat tuisyen sepenuh masa tentu tidak mahu gulung tikar, menjadi penganggur dan jatuh miskin.
Terdapat pusat tuisyen yang melantik panel penasihat pakar, termasuk pensyarah universiti dan profesional bagi meraih kepercayaan umum. Pusat tuisyen sedemikian juga menerbitkan modul spesimen peperiksaan edisi terhad, serta menganjurkan roadshow keliling Malaya dengan kerjasama portal maya tertentu bagi meluaskan punca pendapatan mereka. Setiap seminar yang dianjurkan boleh menjana pendapatan kasar sehingga RM20,000, belum termasuk jualan buku dan makanan kesihatan yang didakwa mencerdaskan minda.
Perniagaan tuisyen ialah kegiatan ekonomi yang sah dan dilesenkan. Malah, pihak kerajaan sendiri pernah memperuntukkan baucer tuisyen bernilai ratusan juta ringgit kepada murid-murid kurang berkemampuan. Dalam kata lain, sumbangan perniagaan tuisyen telah diiktiraf oleh pihak berkuasa pendidikan.
Barangkali, salah satu ciri generasi Y yang diungkapkan mutakhir ini termasuk remaja yang membesar di pusat tuisyen, selain di sekolah. Ibu bapa yang merupakan generasi X telah mengalihkan tugas kepimpinan dan pembelajaran informal kepada pihak ketiga. Dunia remaja sudah jauh berbeza berbanding dahulu...
Friday, August 5, 2011
CERPEN "YURAN" KOMSAS TINGKATAN 1 (AMAZING COINCIDENCE)
Pengenalan
Amin, anak tunggal Mak Jah menghadapi dilema untuk ke sekolah justeru yuran sekolah dan yuran peperiksaan berjumlah RM60 masih belum mampu dilunaskan. Cikgu Arsad dan pengetua yang langsung tidak menyiasat latar belakang Amin terus mendesak, berserta amaran tersingkir daripada senarai calon peperiksaan. Akhirnya, Amin mengambil keputusan ponteng sekolah, tetapi anehnya, nasibnya berubah walaupun tindakan ponteng sekolah melanggar peraturan sekolah, kerana satu peristiwa...
Permulaan
Amin berasa sukar untuk bangun pagi, tetapi harus akur dengan Mak Jah. Usai mandi, Amin sekali lagi membangkitkan hal yuran yang mesti dibayar hari itu. Sambil Amin menikmati ubi kayu goreng dan kopi panas, Mak Jah mengatakan percubaan meminjam wang pak Long tidak berhasil kerana mereka juga miskin.
Perkembangan
Di bilik darjah, Amin berhadapan dengan Cikgu Arsad yang memberi kata dua. Pengetua juga berkata demikian, dan Amin hanya mampu mengesat air mata mengenangkan keadaan hidupnya yang susah sesudah Pak Akob, ayahnya tiada lagi. Amin masih berahsia masalahnya daripada Jazid, rakan sekelasnya.
Pergolakan / Konflik
Amin nekad ponteng sekolah, lalu menghala ke pekan. Sedang asyik memerhati pemuda bermain alat video di sebuah pasar raya, Amir dilanggar dari arah sisi menyebabkan buku sekolahnya bertaburan. Setelah menyusunnya kembali, Amin mengejar seorang peragut dan berjaya mengilas tangan pemuda itu. Polis tiba dan Amin diangkut sama ke balai polis. Wanita yang ditolongnya cuba berbual dengan Amin, tetapi Amin berlalu tanpa teringat bahawa beg sekolah ditinggalkan di situ.
Puncak / Klimaks
Amin tiba di rumah tanpa beg sekolah, lalu ditegur oleh Mak Jah menebak Amin telah ponteng. Mak Jah mengingatkan Amin tentang pesanan Pak Akob supaya Amin belajar bersungguh-sungguh bagi membela nasib Mak Jah. Kedua-dua beranak itu menangis. Tidak semena-mena sebuah kereta muncul di laman rumah mereka dan wanita yang ditolongi Amin tadi datang sambil membimbit beg sekolah Amin.
Peleraian
Wanita itu menceritakan duduk peristiwa sebenar, lalu menghulurkan sampul surat (berisi wang tunai) kepada Mak Jah. Kemudian Amin dipanggil, dan tangannya terketar-ketar menerima hadiah berkenaan walaupun disokong oleh Mak Jah. Amin menggenggam sampul surat itu bagaikan menggenggam harapan untuk meneruskan cita-citanya.
Tema
Keberanian / Kejujuran membawa tuah
Perwatakan
Patuh / taat: Amin tidak membantah suruhan ibunya untuk bangun pagi walaupun masih enak untuk meneruskan tidur.
Budiman / berani / suka menolong: Amin sanggup menolong seorang mangsa ragut walaupun tindakannya itu mungkin mengundang padah.
Mengenang budi / membalas jasa: Wanita yang ditolongi Amin menghadiahi Amin wang tunai.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang miskin: Amin dan Mak Jah tinggal tinggal di pondok buruk di kawasan tanah bersaiz sekangkang kera.
2. Masyarakat ibu tunggal: Mak Jah memelihara Amin seorang diri setelah kematian Pak Akob, suaminya.
3. Masyarakat murid sekolah: Amin dan Jazid bersekolah dalam tingkatan 3.
4. Masyarakat yang patuh / taat: Amin tidak membantah suruhan ibunya untuk bangun pagi walaupun masih enak untuk meneruskan tidur.
5. Masyarakat yang budiman / berani / suka menolong: Amin berjaya memberkas peragut semasa ponteng sekolah.
6. Masyarakat yang mengenang budi / membalas jasa: Wanita yang ditolongi Amin menghadiahi Amin wang tunai.
Nilai
1 Kepatuhan / ketaatan
2 Budiman / keberanian
3 Budi bahasa
Persoalan
1 Kepatuhan / ketaatan kepada ibu
2 Keberanian mencegah jenayah / membantu mangsa jenayah
3 Budi bahasa sesama masyarakat
Pengajaran
1 Kita hendaklah patuh / taat kepada suruhan ibu bapa
2 Kita hendaklah berani mencegah jenayah / membantu mangsa jenayah
3 Kita hendaklah berbudi bahasa sesama manusia
Thursday, August 4, 2011
DASAR FISKAL KAWAL AKTIVITI EKONOMI (GOVERNMENT EXPENDITURE AND TAXATION TO CURB FLACTUATION)
Sebagaimana dasar makroekonomi secara umum, matlamat utama dasar fiskal (DF) ialah bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang berterusan tanpa inflasi, tanpa pengangguran, serta agihan pendapatan yang setara. DF ialah proses campur tangan kerajaan secara tidak langsung bagi mempengaruhi tingkat aktiviti ekonomo dengan mengubah-ubah perbelanjaan kerajaan (G) dan cukai (T). Jurang KNK akan dapat ditutup menerusi pemantap automatik dan budi bicara.
Pemantap automatik (PA) bermakna dasar fiskal dan dasar kewangan sedia ada dikekalkan. Namun, PA hanya memperlahankan ayunan KNK, tetapi tidak menutup jurang KNK sepenuhnya. PA terdiri daripada:
1: cukai progresif / cukai proposional (cukai p & p)
kes ekonomi melambung (AE>AS): bagi mengurangkan tekanan AE, cukai p & p
dikenakan bagi menurunkan Yd (pendapatan boleh guna), seterusnya kuasa beli merosot,
AE jatuh dan P (harga umum) juga jatuh. Inflasi dapat dikawal.
kes ekonomi meleset (AE<AS): Kekurangan AE menyebabkan firma menurunkan tingkat
keluaran, dan mengurangkan penggunaan buruh yang bererti berlakunya pengangguran.
Cukai p & p mengakibatkan kutipan cukai pendapatan jatuh dengan merosotnya pendapatan
masyarakat. Maka Yd jatuh tidak begitu besar, AE juga jatuh lebih kecil.
2: bayaran pindahan kerajaan (elaun pengangguran)
melambung: kurangkan elaun --> AE naik tidak begitu besar
meleset: tambah elaun (sebab banyak penganggur) --> kejatuhan AE dikurangkan --> eko. pulih
3: dasar harga maksimum / minimum
melambung: dasar harga maksimum, iaitu harga di bawah harga keseimbangan pasaran, halang P naik lagi
meleset: dasar harga minimum, iaitu harga di atas harga keseimbangan pasaran, halang P turun lagi
Dasar Fiskal Budi Bicara
(kerjaan guna G, T bagi mencapai matlamat makro)
Terdiri daripada tiga jenis dasar: menguncup, mengembang, terimbang
1: kes melambung: turun G, naik T (satu-satu atau serentak) --> AE jatuh, P jatuh, inflasi dikawal (DF menguncup)
2: kes meleset: naik G, turun T --> AE naik --> keluaran naik --> AS naik --> peluang kerja --> Y naik (DF mengembang)
3: naik G = naik T. Semua hasil cukai dibelanjakan --> AE naik, pengangguran jatuh --> Y naik
(DF seimbang; pertumbuhan naik, deflasi turun)
Analisis Keynesian
1: Kes Lompang Inflasi (LI), turun G
LI bermakna Yf < Ye; Yf = pendapatan negara pada guna tenaga penuh
Ye = pendapatan negara pada keseimbangan (apabila AE memotong garis 45®)
Untuk kembali ke Yf, G mesti diturunkan sebesar LI. Maksudkan garis AE1 akan memotong bahagian
bawah LI secara selari dengan AEo.
Ertinya, lebihan suntikan dihapuskan apabila J1 diturunkan hingga memotong garis W di bahagian bawah LI
secara selari dengan Jo.
(gunakan huraian keluk hubungan geometrik menegak AE-AS, dan J-W)
2: Kes Lompang Inflasi (LI), naik T
sama seperti langkah turun G, cuma dalam AE-AS, T diganti dengan kesan jatuhnya C ,
manakala untuk J-W, berlaku peralihan W ke atas selari, J dimalarkan.
3: Kes Lompang Deflasi, naik G }
} langkah melukis keluk, huraian sama,
4: Kes Lompang Deflasi, turun T } cuma tukar kedudukan
Selain kes-kes di atas, analisis boleh dibuat dengan melaksanakan perubahan G, T serentak, sama ada dengan saiz yang sama, atau dengan saiz yang berbeza. Gambar rajah yang diperlukan hanyalah J-W. Kaitkan semula dengan jenis DF (menguncup, mengembang, terimbang). Selain kaedah gambar rajah, analisis secara persamaan juga boleh dilakukan...
Wednesday, August 3, 2011
GURU X, MURID Y? (GENERATION GAP IN SCHOOL)
Andainya seorang guru muda baru ditempatkan di sebuah sekolah, dia ialah kehadiran alaf dua (hujung 1980-an), manakala murid tahun empat sekolah rendah ialah kelahiran alaf tiga (2001). Guru paling veteran di sekolah pula ialah kelahiran sebelum merdeka, sedangkan pelajar prauniversiti 6 Atas ialah kelahiran 1990-an. Ringkasnya, pengalaman zaman kanak-kanak dan remaja antara guru dengan murid tentulah tidak sama.
Guru veteran mungkin pernah merasai zaman gagang telefon yang begitu berat, serta pernah beratur panjang sebeum mendapat peuang bercakap daam talian. Mereka juga merasai pengalaman hanya menonton saluran televisyen tunggal, iaitu TV1, serta mendengar siaran radio tunggal. Radio Malaysia (sekarang Klasik Nasional). Siaran televisyen dipancarkan dalam format hitam putih, sementelah radio hanya menggunakan gelombang analog yang kerap terganggu oleh angin.
bersambung...
Monday, August 1, 2011
PEMIMPIN KENA IKUT RESMI PADI (THE LEADERS THAT DRIVEN BY WISDOM)
Pemimpin ialah seseorang yang memiliki keupayaan mempengaruhi orang lain. Begitu banyak kajian tentang takrif kepimpinan, gaya kepimpinan dan ciri-ciri pemimpin. Seseorang itu sekurang-kurangnya menjadi pemimpin kepada diri sendiri atau sebagai ketua kepada sebilangan pengikut atau subordinat sesebuah kumpulan dan organisasi.
Dalam konteks organisasi dan masyarakat yang lebih besar dan rencam, kedudukan sebagai pemimpin sering menjadi rebutan. Puncanya ialah sebagai pemimpin, seseorang itu akan mempunyai akses kepada pelbagai sumber bagi melontar dan melaksanakan idea atau impian peribadi dalam skala yang lebih meluas sifatnya. Malah, peluang untuk lebih dikenali dan kemungkinan mencatat sejarah juga ada.
Laluan untuk mendaki tangga kepimpinan pula bermacam-macam hala. Ada yang bersih dan lurus, tetapi tidak kurang pula yang penuh drama, komplot, konspirasi, main wayang, tikam kawan dan berliku-liku. Orang politik misalnya sering mendakwa bahawa tiada rakan yang kekal, dan tiada musuh yang kekal.
Setelah berjaya menawan puncak kuasa, banyak juga pemimpin yang begitu mudah lupa diri. Mereka angkuh, bengis, berdolak-dalik, berlagak, cengih, degil, galak, haloba, rosak, tamak dan memandang orang lain seumpama hamba dan kuli layaknya. Penghormatan ditagih daripada semua orang, bukan diraih secara suci hati.
Bijak pandai zaman dahulu telah mewariskan peribahasa yang sangat tepat, iaitu ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Peribahasa berkenaan pada asalnya dinisbahkan kepada orang-orang berilmu supaya semakin merendah diri seiring dengan bertambahnya ilmu di dada. Orang berilmu seperti para sarjana menjadi pemimpin dalam bidang atau disiplin kepakaran masing-masing.
Ular yang menyusur akar juga tidak akan hilang bisanya. Mungkin ular tidak disenangi sebagai lambang kepimpinan. Namun, inti pati peribahasa yang itu lebih kurang sama dengan resmi padi, iaitu tidak ada ruginya bersikap santun terhadap subordinat atau orang bawahan.
Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disegani, bukan pemimpin yang ditakuti. Lagak autokratik hanya mampu bertahan dalam jangka pendek dan mendorong sikap pura-pura dalam kalangan subordinat. Sokongan yang diterima tidak bersifat tulen.
Bijak pandai zaman dahulu telah mewariskan peribahasa yang sangat tepat, iaitu ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Peribahasa berkenaan pada asalnya dinisbahkan kepada orang-orang berilmu supaya semakin merendah diri seiring dengan bertambahnya ilmu di dada. Orang berilmu seperti para sarjana menjadi pemimpin dalam bidang atau disiplin kepakaran masing-masing.
Ular yang menyusur akar juga tidak akan hilang bisanya. Mungkin ular tidak disenangi sebagai lambang kepimpinan. Namun, inti pati peribahasa yang itu lebih kurang sama dengan resmi padi, iaitu tidak ada ruginya bersikap santun terhadap subordinat atau orang bawahan.
Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disegani, bukan pemimpin yang ditakuti. Lagak autokratik hanya mampu bertahan dalam jangka pendek dan mendorong sikap pura-pura dalam kalangan subordinat. Sokongan yang diterima tidak bersifat tulen.
bersambung...
Subscribe to:
Posts (Atom)