SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

MASA DEPAN PUSAT TUISYEN (POST-CHILD CARE)

Di negara-negara maju, tuisyen merujuk kepada kuliah pengajian tinggi, tetapi di negara kita tuisyen merujuk kepada program pembelajaran anjuran pihak swasta yang bermotif untung. Ibu bapa berebut-rebut mendapatkan tempat di pusat tuisyen yang menjadi buah mulut masyarakat supaya anak-anak mereka turut mampu mencatat keputusan terbaik semasa peperiksaan awam. Maka, setelah menghabiskan lebih separuh hari di sekolah, murid berusia remaja itu berkejar pula ke pusat tuisyen dan hanya berakhir lewat petang.

Terdapat juga pusat tuisyen yang beroperasi pada waktu malam. Apabila jam menunjukkan pukul 10 malam, maka berderet-deretlah kereta ibu bapa menunggu anak mereka di luar pusat tuisyen berkenaan. Selain pusat tuisyen di premis rumah kedai, terdapat juga kelas tuisyen ditawarkan di rumah persendirian.

Di kota-kota besar, tuisyen ialah satu bentuk perniagaan yang sangat menguntungkan. Bagi ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya masing-masing, pusat tuisyen juga dianggap sekali gus berfungsi sebagai pusat jagaan supaya mereka berasa tenteram akan keselamatan anak-anak mereka. Bayaran yuran tidak menjadi masalah besar buat mereka.

Motivasi murid ke pusat tuisyen mungkin sekali berbeza-beza. Ada yang benar-benar hendak belajar, tetapi ada juga yang didorong oleh peluang untuk bertemu kawan-kawan. Dalam kes ekstrem, ada yang mengambil kesempatan untuk bermain mata!

Keputusan kerajaan untuk memperkasa sistem pendidikan kebangsaan dengan konsep pentaksiran berasaskan sekolah nampak gayanya tidak akan menjejaskan perniagaan tuisyen, malah mungkin mengukuhkannya. Murid yang buntu mencari idea, atau mahu mengambil jalan pintas akan mendapatkan bimbingan guru tuisyen bagi menyiapkan kerja kursus atau tugasan yang diberikan. Sebagai entiti perniagaan yang akomodatif dan kreatif, pemilik pusat tuisyen tentulah mahu kekal relevan dan diterima dalam pasaran.

Pusat tuisyen akan terus wujud dan berkembang selagi ada permintaan. Maka, kalau murid sekolah sudah disibukkan dengan kerja kursus berasaskan sekolah dan kegiatan kokurikulum, pusat tuisyen akan mencari jalan supaya terus menggamit perhatian para ibu bapa yang juga sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Pelabur, pemilik dan pengelola pusat tuisyen sepenuh masa tentu tidak mahu gulung tikar, menjadi penganggur dan jatuh miskin.

Terdapat pusat tuisyen yang melantik panel penasihat pakar, termasuk pensyarah universiti dan profesional bagi meraih kepercayaan umum. Pusat tuisyen sedemikian juga menerbitkan modul spesimen peperiksaan edisi terhad, serta menganjurkan roadshow keliling Malaya dengan kerjasama portal maya tertentu bagi meluaskan punca pendapatan mereka. Setiap seminar yang dianjurkan boleh menjana pendapatan kasar sehingga RM20,000, belum termasuk jualan buku dan makanan kesihatan yang didakwa mencerdaskan minda.

Perniagaan tuisyen ialah kegiatan ekonomi yang sah dan dilesenkan. Malah, pihak kerajaan sendiri pernah memperuntukkan baucer tuisyen bernilai ratusan juta ringgit kepada murid-murid kurang berkemampuan. Dalam kata lain, sumbangan perniagaan tuisyen telah diiktiraf oleh pihak berkuasa pendidikan.

Barangkali, salah satu ciri generasi Y yang diungkapkan mutakhir ini termasuk remaja yang membesar di pusat tuisyen, selain di sekolah. Ibu bapa yang merupakan generasi X telah mengalihkan tugas kepimpinan dan pembelajaran informal kepada pihak ketiga. Dunia remaja sudah jauh berbeza berbanding dahulu... 

No comments: