Pemimpin ialah seseorang yang memiliki keupayaan mempengaruhi orang lain. Begitu banyak kajian tentang takrif kepimpinan, gaya kepimpinan dan ciri-ciri pemimpin. Seseorang itu sekurang-kurangnya menjadi pemimpin kepada diri sendiri atau sebagai ketua kepada sebilangan pengikut atau subordinat sesebuah kumpulan dan organisasi.
Dalam konteks organisasi dan masyarakat yang lebih besar dan rencam, kedudukan sebagai pemimpin sering menjadi rebutan. Puncanya ialah sebagai pemimpin, seseorang itu akan mempunyai akses kepada pelbagai sumber bagi melontar dan melaksanakan idea atau impian peribadi dalam skala yang lebih meluas sifatnya. Malah, peluang untuk lebih dikenali dan kemungkinan mencatat sejarah juga ada.
Laluan untuk mendaki tangga kepimpinan pula bermacam-macam hala. Ada yang bersih dan lurus, tetapi tidak kurang pula yang penuh drama, komplot, konspirasi, main wayang, tikam kawan dan berliku-liku. Orang politik misalnya sering mendakwa bahawa tiada rakan yang kekal, dan tiada musuh yang kekal.
Setelah berjaya menawan puncak kuasa, banyak juga pemimpin yang begitu mudah lupa diri. Mereka angkuh, bengis, berdolak-dalik, berlagak, cengih, degil, galak, haloba, rosak, tamak dan memandang orang lain seumpama hamba dan kuli layaknya. Penghormatan ditagih daripada semua orang, bukan diraih secara suci hati.
Bijak pandai zaman dahulu telah mewariskan peribahasa yang sangat tepat, iaitu ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Peribahasa berkenaan pada asalnya dinisbahkan kepada orang-orang berilmu supaya semakin merendah diri seiring dengan bertambahnya ilmu di dada. Orang berilmu seperti para sarjana menjadi pemimpin dalam bidang atau disiplin kepakaran masing-masing.
Ular yang menyusur akar juga tidak akan hilang bisanya. Mungkin ular tidak disenangi sebagai lambang kepimpinan. Namun, inti pati peribahasa yang itu lebih kurang sama dengan resmi padi, iaitu tidak ada ruginya bersikap santun terhadap subordinat atau orang bawahan.
Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disegani, bukan pemimpin yang ditakuti. Lagak autokratik hanya mampu bertahan dalam jangka pendek dan mendorong sikap pura-pura dalam kalangan subordinat. Sokongan yang diterima tidak bersifat tulen.
bersambung...
No comments:
Post a Comment