SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, August 14, 2010

BERBUKA DI SURAU (BREAKING THE FAST TOGETHER)

Antara nikmat orang yang berpuasa ialah saat waktu berbuka. Sebaik azan Maghrib dikumandangkan, umat Islam disunatkan mengambil manisan, terutama buah kurma atau tamar barang seulas dua. Selepas meneguk air, mereka digalakkan bersegera menunaikan solat Maghrib yang singkat itu.
Buat ketika ini di Ipoh waktu berbuka puasa ialah sekitar pukul 7.31 petang. Masjid-masjid utama biasanya menganjurkan majlis berbuka puasa saban hari, manakala surau memilih hari tertentu. Jemaah akan hadir setengah jam lebih awal untuk bacaan zikir, doa dan tazkirah ringkas.
Majlis berbuka yang berkat dihadiri oleh anggota masyarakat yang kurang beruntung seperti anak-anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin, musafir, saudara baru, si bujang di perantauan dan pelajar yang tinggal berjauhan daripada ibu bapa. Bagi masyarakat tempatan, peluang ini menjadi medan untuk mengukuhkan semangat kejiranan dan persaudaraan. Kanak-kanak diberi pendedahan tentang adab menghadiri majlis yang melibatkan pelbagai peringkat usia.
Kanak-kanak menimba pengalaman beratur mengambil giliran untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. Mereka dilatih supaya mengambil jumlah hidangan yang berpada-pada, serta tidak melupakan orang lain selepas mereka. Pendidikan tidak rasmi seumpama ini umpama melentur buluh dari rebungnya.
Makanan dinikmati dengan penuh rasa syukur. Ketika negara kita mewah dengan rezeki yang melimpah ruah, nun di negara-negara tertentu terdapat insan yang menderita kebuluran, kelaparan dan kehausan. Mereka juga tidak memiliki tempat berlindung yang selayaknya, selain terdedah kepada ancaman wabak penyakit...

Thursday, August 12, 2010

SAMBUTAN BULAN MERDEKA SMI BERMULA (MERDEKA FLASHBACK BY MICHAELIANS)

Ipoh, Jumaat: 13 Ogos 2010 / 3 Ramadan 1431

Negara kita telah melewati sambutan jubli emas perayaan kemerdekaan. Bagi mengekalkan kesedaran betapa berharganya nilai kebebasan, kedaulatan dan maruah bangsa dalam kalangan generasi muda pascamerdeka, segala acara simbolik dan lambang perjuangan generasi terdahulu perlu dipaparkan khususnya menjelang 31 Ogos yang bersejarah. Begitulah yang berlaku di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) pagi tadi.
Program anjuran Panitia Sejarah itu penuh dengan gimik dan suntikan patriotisme. Pengetua SMI melancarkan sambutan peringkat sekolah dengan satu ucapan pensejarahan yang berkobar-kobar. Encik Phoon Chong Chee turut memuji daya usaha menyemarakkan kesedaran mengisi kemerdekaan yang sedang dikecapi.
Merdeka bukan sekadar teriakan. Merdeka mengangkat martabat dan harakat bangsa menuju persada kecemerlangan, penghormatan dan puncak kejayaan. Merdeka melepaskan sesuatu bangsa daripada belenggu atau cengkaman penjajah berwajah manis tetapi beracun.
Jalur gemilang berkibar megah. Bendera menjadi lambang dan panji-panji yang disanjung tinggi oleh semua masyarakat yang merdeka. Bendera ialah simbol kedaulatan sebuah entiti geopolitik yang mampu berdikari, serta tidak mengharap belas ihsan pihak lain.
Perasaan cintakan negara perlu meresap dalam denyut nadi generasi muda. Ikrar setia negara ialah suatu bentuk penzahiran luaran yang jelas. Moga mereka juga sentiasa menyimpan tekad berbakti kepada nusa dan pertiwi sepanjang masa.
Mempelajari sejarah bukanlah untuk mengungkit peristiwa silam. Kita hendak menelusuri akar umbi pembinaan bangsa dan kontrak sosial yang membentuk perlembagaan. Kita juga tidak menjadikan perasaan dendam kesumat sebagai penghalang hubungan antarabangsa.
Tahniah kepada semua guru dan pelajar SMI yang berjaya mempersembahkan pantomen kemerdekaan yang begitu hebat walaupun persediaannya tidak sampai seminggu. Program singkat berkenaan telah direka bentuk dengan tertib sehingga meninggalkan kesan yang signifikan kepada hadirin. Seorang guru memberitahu penulis blog betapa beliau berasa begitu teruja dan mencadangkan supaya aktiviti yang bertaraf berbintang-bintang itu dirakam dalam format audio-video untuk tatapan yang lebih mengesankan jiwa...

Wednesday, August 11, 2010

BAB PENUTUP PENYELIDIKAN (CONCLUDING REMARKS ON PREUNIVERSITY RESEARCH)

Mana-mana penyelidik pun akan menarik nafas lega apabila mula melangkah ke bab akhir penyelidikan yang kebiasaannya memuatkan perbincangan tentang dapatan penyelidikan, rumusan dan cadangan. Bab penutup penyelidikan tidak memperkenalkan sebarang maklumat baharu, tetapi meringkaskan semua perkara penting (baca: hindari membincangkan semua dapatan) yang dimasukkan dalam bab 1 hingga bab 4. Selain itu, hujah tentang implikasi penyelidikan dikaitkan dengan soalan penyelidikan, manakala dapatan atau keputusan yang masih belum jelas boleh dicadangkan untuk penyelidikan lanjutan.

Komponen penulisan bab penutup boleh disusun seperti berikut:

1   Pendahuluan

Secara sepintas lalu, nyatakan semula penyataan masalah penyelidikan, objektif penyelidikan  (bab 1), dan kaedah penyelidikan (bab 3) dalam maksimum dua perenggan.

2   Perbincangan

Beri tumpuan terhadap dapatan atau keputusan penyelidikan sepertimana yang dipaparkan dalam bab 4: analisis data, iaitu perbandingan, klasifikasi, tafsiran dan penilaian. Penyelidik juga cuba menganggarkan kesejajaran dapatan itu dengan fakta atau pengetahuan yang ditulis dalam bab 2: tinjauan bacaan. Akhirnya, penyelidik membuat ulasan implikasi penyelidikan terhadap kepentingan yang membabitkan pihak-pihak yang telah dinyatakan dalam bab 1: pengenalan.

3   Rumusan

Buat senarai dapatan penyelidikan berdasarkan sampel responden yang dipilih dan terangkan implikasinya, iaitu generalisasi terhadap populasi. Seboleh mungkin, penyelidik menulis ayat berlapik dengan menegaskan bahawa penggunaan sampel responden dalam penyelidikan hanyalah untuk menganggarkan parameter populasi. Maknanya, penyelidik telah menyebut tentang batasan penyelidikan sebagai ulangan sepertimana dalam bab 1.

4   Cadangan

Penyelidik muda prauniversiti boleh menyenaraikan beberapa cadangan kepada pihak yang berkepentingan dalam bidang penyelidikan yang telah selesai dilaksanakan, misalnya:

a.   pelajar prauniversiti;

b.   pengurusan prauniversiti di sekolah dan kolej;

c.   Kementerian Pelajaran Malaysia;

d.   masyarakat umum.

e.   Penyelidikan lanjutan yang boleh dilaksanakan oleh penyelidik lain. Memadai nyatakan tajuk atau bidang isu sahaja.


5   Rujukan / Bibliografi

Susunan berdasarkan abjad nama penulis bahan rujukan yang dipetik dalam penyelidikan. Kebanyakan penyelidik cenderung menggunakan gaya American Psychology Association (APA) Chicago. Sila rujuk contoh dalam bahagian akhir nota ini.

Perhatikan bahawa cara menulis nama orang Asia dengan orang Eropah adalah berbeza. Nama orang Asia ditulis sepenuhnya berdasarkan cetakan pada bahan rujukan, manakala nama orang Eropah mengambil surname dahulu sebelum ditulis pangkal nama mereka, serta dipisahkan dengan tanda koma (,). Seterusnya, catatkan tahun terbit dalam kurungan, judul bahan secara huruf condong, tempat terbit dan nama penerbit.


Kepentingan Bab Penutup

Laporan penyelidikan diterbitkan supaya dapatan penyelidikan boleh disebarluaskan. Walaupun penyelidik muda prauniversiti mungkin berasa bahawa hasil penyelidikan mereka  tidak sehebat mana, keputusan penyelidikan yang diperoleh sebenarnya masih berkemungkinan digunakan sebagai rujukan akademik kepada pelajar prauniversiti yang akan datang. Malah, keputusan penyelidikan yang diperoleh barangkali sangat berguna kepada pasukan pengurusan pengajian prauniversiti tingkatan enam dalam merancang persekitaran pembelajaran yang lebih baik, selain memanfaatkan data berkenaan terhadap usaha  mengenal pasti, serta menambah baik keperluan kebajikan pelajar prauniversiti.

Kebiasaannya, pembaca laporan penyelidikan akan membelek-belek abstrak dan bab penutup terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada hendak meneruskan pembacaan penuh. Hanya setelah berpuas hati bahawa keputusan penyelidikan adalah relevan, serta signifikan dengan bidang keprihatinan mereka, baharulah mereka berminat membaca bab-bab yang lain. Pendek kata, bab penutup bagaikan promosi sesuatu produk yang berkualiti tinggi.


Rujukan

Abdul Rashid Moten (1998). A Guide To Research Proposal and Report Writing. Kuala Lumpur: Research Centre, International Islamic University Malaysia

Babbie, Earl (2010). The Practice of Social Research. California, USA: Cengage Learning

Chua Yan Piaw (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: McGraw-Hill Education

Creswell, John W. (2008). Educational Research. New Jersey, USA: Pearson Education

Khalid Johari (2003).  Penyelidikan dalam Pendidikan - Konsep & Prosedur. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall 

Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia

Sabitha Marican (2009). Penyelidikan Sains Sosial - Pendekatan Pragmatik. Batu Caves: Edusystem Sdn. Bhd.

Tuesday, August 10, 2010

KEPENTINGAN SIJIL BERHENTI SEKOLAH (THE VALUE OF SCHOOL LEAVING CERTIFICATE)

Selain slip dan sijil peperiksaan awam, sijil berhenti sekolah, serta surat akuan dianggap sebagai sangat penting kepada setiap orang pelajar yang bakal menamatkan alam persekolahan. Segala maklumat yang tercatat seolah-olah berfungsi sebagi penarafan pihak sekolah terhadap bekas pelajarnya. Sijil berkenaan diangkat sebagai instrumen yang memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi memandangkan item dan kriteria yang ditetapkan telah melalui suatu proses rekod dan dokumentasi yang lengkap dengan bukti yang kukuh.
Memandangkan pentingnya sijil berhenti dan surat akuan, pelajar digesa supaya sentiasa mengambil berat tentang butiran yang dimasukkan. Pada kebiasaannya, proses menyediakan sijil berhenti yang muktamad hanya dilakukan sesudah melepasi beberapa kali tapisan draf. Di SMK St Michael, proses penyediaan sijil berhenti dan surat akuan dimulai dengan taklimat guru tingkatan dan taklimat murid.

Maknanya, peluang akses terhadap draf dokumen penting berkenaan diberikan kepada semua murid dan pelajar. Proses memuktamadkan dokumen sijil berhenti sekolah dan surat akuan terletak di bawah bidang tugas Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid. Di SMI, Encik Velupillai telah mereka bentuk satu sistem jaringan tempatan (local area network, LAN) dalam talian bagi memudahkan proses memasukkan segala maklumat pelajar untuk tujuan yang dimaksudkan.
Murid dan pelajar bukan sahaja berpeluang membuat semakan terhadap butiran yang sedia tercatat, bahkan boleh mencadangkan maklumat tambahan yang boleh meningkatkan nilai sijil berkenaan di mata bakal majikan, institut pengajian tinggi, serta masyarakat luas. Namun, butiran atau maklumat tambahan itu perlu mendapat pengesahan guru yang berkaitan. Jika membabitkan aktiviti kokurikulum dan kedudukan jawatan khas, maklumat yang sama mestilah telah tercatat dalam buku laporan kokurikulum pelajar.

Semua salinan draf perlu disertakan tandatangan pelajar dan guru tingkatan untuk tujuan rujukan jika timbul sebarang kemusykilan kemudian hari. Prinsip akauntabiliti, integriti dan ketelusan telah dipraktikkan kepada seluruh warga SMI. Secara tidak langsung, ciri sebuah masyarakat maju dan masyarakat madani telah disemai dengan bersungguh-sungguh di SMI...

TAZKIRAH RAMADAN DI SMI (FASTING TALK BY USTAZ SHAKIR)

Ipoh, Selasa; 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

Bulan puasa dijangka bermula esok. Umat Islam seluruh dunia bakal menjalani rukun Islam ketiga itu berdasarkan zon waktu masing-masing. Puasa bererti menahan lapar dan dahaga, serta menahan diri daripada segala perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam mata hari.

Puasa dilakukan justeru disyariatkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Dalam al-Quran ditegaskan tentang matlamat akhir puasa, iaitu mencapai tahap taqwa. Antara ciri insan yang bertaqwa ialah menghiasi peribadi dengan segala sifat terpuji (mahmudah), selain menjauhi segala sifat keji (mazmummah).
Demikian antara penegasan yang dilontarkan oleh Tuan Haji Ahmad Shakir bin Tayat, seorang guru Pendidikan Islam yang telah berkecimpung dalam dunia pendidikan melebihi dua dekad lamanya. Beliau menyatakan demikian di hadapan lebih 1,500 orang warga SMK St Michael, Ipoh (SMI) di tapak perhimpunan awal pagi ini. Tazkirah yang disampaikan mendapat perhatian hadirin, termasuk warga SMI yang bukan Islam.
 Seperti biasa, ulang kaji tentang niat puasa, dan segala hukum hakam asas puasa dijelaskan kembali. Ustaz Syakir juga menyebut dengan hikmah puasa dan amalan-amalan yang diutamakan sepanjang bulan Ramadan. Pelajar digesa mengerjakan solat tarawih mulai malam ini justeru ibadah berkenaan hanya khusus pada bulan Ramadan.

Monday, August 9, 2010

MAJALAH SEKOLAH LEBIH AWAL (THE MICHAELIAN WILL BE OUT EARLIER)

Keputusan peperiksaan STPM 2009 dikeluarkan lebih awal, iaitu pertengahan Februari, 2010. Majalah The Michaelian edisi ke-61 pula hanya terbit pada awal bulan Mac, 2010. Maka, tahap penyerahan majalah kepada bekas pelajar 6 Atas berkenaan tidak mencapai sasaran 100 peratus.

Berlainan pula dengan keputusan SPM yang konsisten pada pertengahan bulan Mac saban tahun. Namun, tidak mustahil keputysan SPM juga boleh diumumkan lebih awal. Dengan perkembangan teknologi pemprosesan data, selain keselamatan data dalam talian, kecekapan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia dijangka meningkat bagi memenuhi sasaran keberhasilan utama negara (NKRA) yang ditetapkan oleh setiap organisasi perkhidmatan awam.

SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah mengambil kira perkembangan terbaru itu. 

bersambung...

Saturday, August 7, 2010

MENGHARAP LAILATUL QADAR

                       Kau menjelma jua buat kesekian kalinya
                       Hadir mengubat rindu umat setahun menghilang
                       Menjanjikan kemenangan buat insan yang bersabar
                       Yang sanggup menempuh ujian getir lagi menggoncangkan
                       Demi mencapai martabat tertinggi

                       Kedatanganmu disambut penuh kegembiraan
                       Jentera tubuh sebahagiannya istirahat melepas lelah
                       Benteng minda dan rohani mengambil alih tugas rutin
                       Berkawal lagaknya bak sang soldadu yang selalu siap siaga
                       Mengusir daki jiwa, memadam lintasan durjana

                       Kaulah bulan pendidikan
                       Kaulah madrasah terulung
                       Kaulah perjalanan sang musafir
                       Kaulah guru yang menyalakan obor iman
                       Kaulah Ramadan yang kurindu...


                       

TUNAS MUDA BOLA SEPAK SMI (MICHAELIAN'S AFTERNOON SESSION SOCCER COMPETETION)