SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, August 11, 2010

BAB PENUTUP PENYELIDIKAN (CONCLUDING REMARKS ON PREUNIVERSITY RESEARCH)

Mana-mana penyelidik pun akan menarik nafas lega apabila mula melangkah ke bab akhir penyelidikan yang kebiasaannya memuatkan perbincangan tentang dapatan penyelidikan, rumusan dan cadangan. Bab penutup penyelidikan tidak memperkenalkan sebarang maklumat baharu, tetapi meringkaskan semua perkara penting (baca: hindari membincangkan semua dapatan) yang dimasukkan dalam bab 1 hingga bab 4. Selain itu, hujah tentang implikasi penyelidikan dikaitkan dengan soalan penyelidikan, manakala dapatan atau keputusan yang masih belum jelas boleh dicadangkan untuk penyelidikan lanjutan.

Komponen penulisan bab penutup boleh disusun seperti berikut:

1   Pendahuluan

Secara sepintas lalu, nyatakan semula penyataan masalah penyelidikan, objektif penyelidikan  (bab 1), dan kaedah penyelidikan (bab 3) dalam maksimum dua perenggan.

2   Perbincangan

Beri tumpuan terhadap dapatan atau keputusan penyelidikan sepertimana yang dipaparkan dalam bab 4: analisis data, iaitu perbandingan, klasifikasi, tafsiran dan penilaian. Penyelidik juga cuba menganggarkan kesejajaran dapatan itu dengan fakta atau pengetahuan yang ditulis dalam bab 2: tinjauan bacaan. Akhirnya, penyelidik membuat ulasan implikasi penyelidikan terhadap kepentingan yang membabitkan pihak-pihak yang telah dinyatakan dalam bab 1: pengenalan.

3   Rumusan

Buat senarai dapatan penyelidikan berdasarkan sampel responden yang dipilih dan terangkan implikasinya, iaitu generalisasi terhadap populasi. Seboleh mungkin, penyelidik menulis ayat berlapik dengan menegaskan bahawa penggunaan sampel responden dalam penyelidikan hanyalah untuk menganggarkan parameter populasi. Maknanya, penyelidik telah menyebut tentang batasan penyelidikan sebagai ulangan sepertimana dalam bab 1.

4   Cadangan

Penyelidik muda prauniversiti boleh menyenaraikan beberapa cadangan kepada pihak yang berkepentingan dalam bidang penyelidikan yang telah selesai dilaksanakan, misalnya:

a.   pelajar prauniversiti;

b.   pengurusan prauniversiti di sekolah dan kolej;

c.   Kementerian Pelajaran Malaysia;

d.   masyarakat umum.

e.   Penyelidikan lanjutan yang boleh dilaksanakan oleh penyelidik lain. Memadai nyatakan tajuk atau bidang isu sahaja.


5   Rujukan / Bibliografi

Susunan berdasarkan abjad nama penulis bahan rujukan yang dipetik dalam penyelidikan. Kebanyakan penyelidik cenderung menggunakan gaya American Psychology Association (APA) Chicago. Sila rujuk contoh dalam bahagian akhir nota ini.

Perhatikan bahawa cara menulis nama orang Asia dengan orang Eropah adalah berbeza. Nama orang Asia ditulis sepenuhnya berdasarkan cetakan pada bahan rujukan, manakala nama orang Eropah mengambil surname dahulu sebelum ditulis pangkal nama mereka, serta dipisahkan dengan tanda koma (,). Seterusnya, catatkan tahun terbit dalam kurungan, judul bahan secara huruf condong, tempat terbit dan nama penerbit.


Kepentingan Bab Penutup

Laporan penyelidikan diterbitkan supaya dapatan penyelidikan boleh disebarluaskan. Walaupun penyelidik muda prauniversiti mungkin berasa bahawa hasil penyelidikan mereka  tidak sehebat mana, keputusan penyelidikan yang diperoleh sebenarnya masih berkemungkinan digunakan sebagai rujukan akademik kepada pelajar prauniversiti yang akan datang. Malah, keputusan penyelidikan yang diperoleh barangkali sangat berguna kepada pasukan pengurusan pengajian prauniversiti tingkatan enam dalam merancang persekitaran pembelajaran yang lebih baik, selain memanfaatkan data berkenaan terhadap usaha  mengenal pasti, serta menambah baik keperluan kebajikan pelajar prauniversiti.

Kebiasaannya, pembaca laporan penyelidikan akan membelek-belek abstrak dan bab penutup terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada hendak meneruskan pembacaan penuh. Hanya setelah berpuas hati bahawa keputusan penyelidikan adalah relevan, serta signifikan dengan bidang keprihatinan mereka, baharulah mereka berminat membaca bab-bab yang lain. Pendek kata, bab penutup bagaikan promosi sesuatu produk yang berkualiti tinggi.


Rujukan

Abdul Rashid Moten (1998). A Guide To Research Proposal and Report Writing. Kuala Lumpur: Research Centre, International Islamic University Malaysia

Babbie, Earl (2010). The Practice of Social Research. California, USA: Cengage Learning

Chua Yan Piaw (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: McGraw-Hill Education

Creswell, John W. (2008). Educational Research. New Jersey, USA: Pearson Education

Khalid Johari (2003).  Penyelidikan dalam Pendidikan - Konsep & Prosedur. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall 

Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia

Sabitha Marican (2009). Penyelidikan Sains Sosial - Pendekatan Pragmatik. Batu Caves: Edusystem Sdn. Bhd.

No comments: