SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, April 11, 2012

INSTITUSI YANG DI-PERTUAN AGONG TURUS NEGARA (CONSTITUTIONAL MONARCHY PRACTICE IN MALAYSIA)

Tanggal 11 April 2012 bersamaan 19 Jamadil Awal 1433 Hijriyyah mencatat satu lagi lembaran sejarah dalam sistem pemerintahan negara. Baginda Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, Sultan Kedah bersemayam di Istana Negara buat kali kedua setelah 42 tahun berlalu, iaitu sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-5. Baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14 bagi menggantikan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
sumber foto:  Berita Harian Online

Institusi Yang Di-Pertuan Agong (YDA) bukan sekadar lambang atau simbolik kedaulatan negara, bahkan segala urusan rasmi negara dijalankan atas nama YDA. Sebagai contoh, pelantikan Perdana Menteri, pegawai tinggi dan seluruh penjawat awam dibuat atas nama YDA. Begitu juga dengan segala khazanah kekayaan dan organisasi berkuasa negara diletakkan di bawah nama YDA.

Kes al-Maunah yang disebut di mahkamah sebagai memerangi YDA boleh menjelaskan hakikat berkenaan. Kejadian di depot senjata tentera di Kuala Kangsar itu dilabelkan sebagai usaha menentang sebuah organisasi berkuasa negara atas nama YDA. Dalam kata lain, YDA telah dirujuk sebagai institusi tertinggi pemerintahan negara, bukan sebagai tuan empunya tubuh badan.

Pemilihan YDA secara giliran lima tahun diputuskan oleh mesyuarat Majlis Raja-raja yang membabitkan 9 buah negeri di Semenanjung, kecuali Pulau Pinang dan Melaka. Baginda YDA akan dibantu oleh Timbalan YDA. Namun, Timbalan YDA tidak semestinya secara automatik menjadi YDA kerana mesti mengikut giliran negeri.

Sistem pemerintahan raja berpelembagaan bererti bahawa raja tidak diperuntukkan kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara. Walaupun demikian, YDA memiliki kedudukan yang sangat istimewa dari segi perjalanan pentadbiran negara yang dibuat atas nama baginda. Dalam doktrin persekutuan pula, terdapat senarai persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama yang menjelaskan lagi peranan YDA dan raja-raja Melayu dalam konteks kenegaraan kita...

"PECAHNYA TEMBELANG" BAB 15 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (THE TRUE CULPRIT)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  96 - 107

Watak utama:  Hartini Ayu / Tini / "aku" (pencerita / sudut pandangan orang pertama) (murid tingkatan 4)
Watak penentang / antagonis:  Junainah (teman sebilik Tini yang sengaja mencari pasal / penagih pil ecstacy)
Watak pembantu:  Nora (teman sebilik Tini di asrama SMK Puncak Wawasan, Raub)
                          :  Najmi  (teman sebilik Tini, Nora)
                          :  Cikgu Salmi  (guru fizik)
                          :  Abang Mat (budak pejabat)
                          :  Pengetua SMK Puncak Wawasan, Raub
                          :  Cikgu Norjihan (warden asrama)
                          :  Encik Kancho Tamang (pengawal keselamatan sekolah / ketua sidiket menjual pil ecstacy)
                          :  pegawai polis
                          :  papa / ayah Tini / Encik Hasrul
                          :  mama / ibu Tini / Puan Sarah
                          :  Pak Morit / ayah Satiah (dipanggil sebagai bapa oleh Tini)
                          :  Mak Sukin / ibu Satiah (dipanggil sebagai emak oleh Tini)
                          :  Satiah  (saudara angkat Tini / murid tingkatan 4 SMK Tanjung Bestari, Kuantan)

Latar tempat:  bilik asrama, SMK Puncak Wawasan, Raub
                   :  bilik darjah / makmal fizik
                   :  bilik pengetua
                   :  bilik tahanan / lokap / sel di balai polis Raub
                   :  dalam kereta (ketika Tini sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Jerantut)
                   :  pondok pengawal keselamatan (seperti yang diceritakan oleh papa tentang Kancho yang mencurigakan)
                   :  Kuantan (sekatan jalan raya untuk menjejak Kancho / restoran / lokap)

Latar masa:  malam (Tini berkemas untuk balik bercuti semester)
                 :  sesi persekolahan waktu pagi  (Tini, Nora, Najmi dipanggil ke bilik pengetua)
                 :  tiga hari tiga malam Tini ditahan di lokap

Ringkasan bab

Tini bersiap-siap untuk cuti semester dengan mengemas barang di asrama. Namun, keseokan harinya, dia bersama Nora dan Najmi dipanggil ke pejabat pengetua. Cikgu Norjihan dan pengetua menelan bulat-bulat cadangan Kancho Tamang untuk memeriksa bilik Tini. Puan Norjihan menjumpai pil ecstacy dalam laci Tini. Walaupun merayu, Tini tetap diseret ke lokap. Papa dan mama datang melawat serta memberitahu usaha mereka untuk membebaskan Tini. Sangat sukar untuk meyakinkan pengetua kerana dia kuat dipengaruhi oleh Puan Norjihan. Maklumat Tini tentang Junainah membantu papa membuat tindakan susulan. Setelah tiga hari di lokap, Tini dibawa ke ruang menunggu dan Satiah membawa khabar gembira bahawa papa berjaya mendapatkan bukti Tini tidak bersalah. Pengetua juga datang meminta maaf dengan suara bergetar. Dalam perjalanan pulang, papa menjelaskan dalang sebenar kes yang membabitkan Tini, iaitu Kancho Tamang dan Junainah. Pengetua berjaya memerangkap Kancho Tamang yang banyak helah supaya serbuan tidak dilakukan, tetapi Kancho menyuruh Junainah meletakkan bungkusan pil ecstacy di dalam laci Tini. Papa terpaksa merayu supaya pengetua bersetuju mengadakan pemeriksaan bilik asrama ketika murid sedang belajar di sekolah. Tiada penemuan di asrama, tetapi kebetulan gerak geri Kancho mencurigakan ketika dia membuang beg plastik ke dalam tong sampah. Kancho kemudia ditangkap ketika sedang berurusan menjual pil ecstacy di sebuah restoran di Kuantan setelah diekori polis berpakaian preman. Pak Morit memuji papa yang sanggup bersengkang mata di hotel dan sanggup bercuti bagi menyelesaikan kes Tini...

Perwatakan:  setia kawan (Nora, Najmi)
                  :  kurang cermat, kurang usul periksa (Cikgu Norjihan)
                  :  tidak mudah putus asa / tidak mjudah mengalah (papa)
                  :  sabar / tabah (Hartini)
                  :  mudah dipengaruhi / gelap mata (Junainah / Kanchoro Tamang)
                  :  penyayang  (papa, mama, Pak Morit, Mak Sukin, Satiah)
                  :  berfikiran sehala  (Pengetua SMK Puncak Wawasan, terpaksa diyakinkan oleh papa)

Latar masyarakat:  masyarakat yang setia kawan
                          :  masyarakat yang kurang cermat / kurang usul periksa
                          :  masyarakat yang tidak mudah putus asa / tidak mudah mengalah
                          :  masyarakat yang sabar / tabah
                          :  masyarakat yang mudah dipengaruhi / cepat gelap mata
                          :  masyarakat yang penyayang
                          :  masyarakat yang berfikiran sehala

Nilai murni:  kesetiakawanan, kecermatan / ketelitian, ketegasan, kesabaran / ketabahan, kasih sayang, berfikiran terbuka

Persoalan:  kesetiakawanan dalam menghadapi masalah bersama
               :  kecermatan / ketelitian dalam membuat kesimpulan / keputusan / pertimbangan
               :  ketegasan dalam mencari kebenaran / perkara yang betul
               :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi cabaran / dugaan
               :  kasih sayang sesama keluarga
               :  berfikiran terbuka dalam membuat keputusan / pertimbangan / tindakan

Pengajaran:  kita hendaklah menunjukkan semangat setia kawan dalam menghadapi masalah bersama
             :  kita hendaklah cermat / teliti // kita janganlah terburu-buru dalam membuat kesimpulan / keputusan / pertimbangan
                :  kita hendaklah tegas dalam mencari kebenaran / perkara yang betul
                :  kita hendaklah sbar / tabah dalam menghadapi cabaran / dugaan
                :  kita hendaklah menyayangi sesama anggota keluarga
                :  kita hendaklah berfikiran terbuka dalam membuat keputusan / pertimbangan / tindakan

kbkk:  konflik / pergolakan yang dihadapi oleh watak utama menimbulkan keinginan yang kuat untuk terus membaca novel

Tuesday, April 10, 2012

RIADAH BERSAMA KELUARGA (HAPPY OUTING)

Saban hari seisi keluarga sibuk dengan aktiviti dan urusan masing-masing. Kesempatan komunikasi biasanya berlaku di meja makan, di dalam kereta atau ketika bersiar-siar. Namun, jika masing-masing hanya melayan perasaan dan terbawa-bawa dengan peristiwa di tempat kerja atau pengajian, komunikasi mungkin terjejas.

Si ayah mungkin meluangkan masa untuk bermain badminton atau memancing dengan rakan-rakan, manakala si ibu pula sibuk dengan makan-makan dari rumah ke ke rumah atau di hotel. Anak-anak pula sibuk dengan kerja sekolah atau melekat di hadapan skrin televisyen dan komputer. Haluan dan kegemaran setiap anggota keluarga sudah begitu berbeza.

Kunjungan ke pasar raya mungkin disukai oleh orang dewasa, tetapi sangat membosankan bagi si anak melainkan diumpan dengan singgah di kedai buku atau kedai makanan segera. Pengendali pasar raya yang peka kerap menyediakan ruang aktiviti dan permainan kanak-kanak supaya masa yang panjang di situ akan berbaloi buat si cilik yang comel.

Antara saranan yang terbaik ialah solat berjemaah seisi keluarga atau bersama-sama menghadiri majlis ilmu. Ibu bapa selaku teraju keluarga hendaklah mengatur kesempatan yang tepat supaya seisi keluarga dalam berkumpul dalam suasana santai dan tenang tenteram. Masing-masing perlu bersabar meluahkan perasaan atau sekadar berkongsi cerita yang boleh mengukuhkan ikatan kekeluargaan.
Sebagai contoh, pada hujung minggu atau hari kelepasan am, seisi keluarga boleh merancang untuk mengunjungi taman rekreasi untuk kegiatan senaman ringan seperti berjalan kaki, bermain badminton di tempat terbuka dan bermain bola. Si anak pasti berasa sangat gembira hingga tertawa kerana mendapat layanan dan perhatian yang cukup mesra daripada ibu bapa. Kenangan seumpama itu akan melekat dalam ingatan mereka sampai bila-bila.

Ibu bapa boleh membenarkan si anak bermain papan gelungsur, memanjat struktur tertentu, jongkang-jongkit, buaian atau berkejar-kejaran di pondok. Namun, ibu bapa mesti tidak terlepas pandang terhadap pergerakan si anak kerana elemen bahaya ada di mana-mana. Selain bahaya dari segi fizikal, ibu bapa perlu peka dengan ancaman jenayah yang tidak dapat diteka.
Bagi mewujudkan keseronokan, ibu bapa hendaklah menyediakan persalinan pakaian yang sesuai untuk aktiviti senaman, terutama kasut yang sesuai supaya sentiasa sesuai dengan keperluan anatomi dan fisiologi si cilik. Bekalan air masak, tuala muka dan tikar lipat mungkin diperlukan apabila tiba masa untuk berhenti rehat. Kalau ibu bapa mahu suasana yang lebih ceria, mereka boleh mengadakan aktiviti teka-teki atau permainan ringan yang membabitkan seisi keluarga.

Bagi menandakan kesepakatan, sang ayah boleh berlagak sebagai kepala kereta api, si anak menjadi gerabak dan si ibu sebagai kepala kereta api simpanan di bahagian belakang. Kedudukan boleh ditukar bila-bila masa. Kemudian, anak-anak diberi giliran menjadi kepala kereta api dan ibu ayah yang menjadi gerabak.

Si anak juga diberi peluang berlagak menjadi "cikgu" atau melakonkan peranan guru pendidikan jasmani, manakala seisi keluarga yang lain menjadi murid. Kisah dongeng dan teladan yang mengandungi nilai-nilai murni menjadi pilihan untuk slot "uji bakat". Selepas itu, kuiz ringkas secara lisan boleh diadakan.

Kesimpulannya, kesempatan riadah seisi keluarga ialah saat yang sangat manis buat si anak. Ibu bapa hendaklah berkorban waktu dan sanggup turun ke tahap minda anak-anak supaya kemesraan yang menjadi kunci kebahagiaan dan hubungan jangka panjang seisi keluarga dapat dipupuk. Mudah-mudahan si anak akan meletakkan ibu bapa sebagai orang kepercayaan teratas mereka (selepas Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam) selain guru, rakan sebaya dan personaliti yang lain...

1,609 LULUSAN CEMERLANG SPM 2011 DAPAT DERMASISWA (THOSE EXCELLENCE DESERVED A TOKEN REWARD)

Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan pemberian dermasiswa (bursary) kepada sejumlah 1,609 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang memperoleh 9 A+ ke atas. Dermasiswa berkenaan akan dianugerahkan secara automatik tanpa mengambil kira latar belakang penerima. Bantuan kewangan berkenaan bagaimanapun ialah untuk kursus prauniversiti atau persediaan ijazah pertama.

Selain itu, 50 orang lulusan SPM 2011 paling cemerlang dalam senarai kementerian akan mendapat tajaan pengajian hingga peringkat ijazah pertama di universiti terkemuka dunia di bawah program biasiswa nasional (PBN). Kursus yang dipilih mesti tersenarai dalam daftar pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semakan status penerima boleh dibuat secara atas talian  di laman sesawang www.moe.gov.my mulai 16 April ini.

Pecahan statistik pencapaian 1,609 pelajar itu ialah 9A+ (1,020 orang), 10A+ (492 orang), 11A+ (90 orang) dan 12 A+  tujuh orang. Keputusan terbaharu kerajaan tentang dermasiswa pelajar cemerlang SPM terpakai untuk tahun ini sahaja dan tidak bersifat dasar yang tetap. Sudah tentu implikasi kewangan yang harus ditanggung telah diambil kira sebelum pengumuman dibuat.

Bantuan untuk pengajian prauniversiti  bererti bahawa SPM tidak lagi menjadi laluan khas kemasukan terus ke program ijazah sarjana muda, sebaliknya pelajar perlu mengikuti pengajian prauniversiti dengan jayanya terlebih dahulu. Maka, pelajar boleh memohon untuk mengikut program matrikulasi, tingkatan 6, asasi sains, A Levelfoundation dan international baccalaureate berdasarkan kursus dan universiti pilihan. Lulusan cemerlang prauniversiti kini memiliki peluang yang lebih besar untuk tajaan pengajian ijazah pertama masing-masing.


Ibu bapa dan pelajar mungkin tertanya-tanya akan perbezaan antara dermasiswa dengan biasiswa. Berdasarkan pengalaman penulis blog (PB) yang pernah menerima kedua-dua bentuk tajaan, iaitu dermasiswa semasa ijazah pertama dan biasiswa untuk ijazah sarjana, nilai biasiswa adalah lebih besar. Namun, dermasiswa juga tidak mensyaratkan pembayaran semula bantuan kewangan yang diberikan.

Maksudnya, biasiswa merangkumi tajaan dari segi sara hidup, yuran pengajian, elaun buku dan peralatan, serta tuntutan tertentu seperti bayaran harian tesis, seminar dan perjalanan. Penerima dermasiswa pula menerima bantuan kewangan secara sekali gus setiap tahun, tetapi baki bersih diperoleh setelah ditolak yuran pengajian. Selain itu, penerima dermasiswa tidak diberikan sebarang bentuk elaun atau kemudahan tuntutan yang lain.

Walaupun demikian, penerima dermasiswa boleh menganggap diri mereka sebagai sangat bertuah jika dibandingkan dengan penerima pinjaman tabung pengajian tinggi nasional (PTPTN) yang terikat kepada proses pembayaran balik sebaik tamat pengajian. Sebagai menghargai pembiayaan dermasiswa daripada pembayar cukai, penerima hendaklah menyemai kesungguhan untuk mencatat pencapaian terbaik sepanjang tempoh pengajian di universiti. Balasan dalam bentuk nilai modal insan terbaik itu akhirnya akan dipulangkan kepada masyarakat dalam bentuk daya pengeluaran dan daya saing yang tinggi.

Monday, April 9, 2012

MENGHORMATI AUTORITI ILMU (INTELLECTUAL AND CIVILIANS VIEW)

Dahulu seorang rakan mendakwa ilmu ekonomi bersifat sekular belaka dan bersumber kepada pemikiran yahudi semata-mata. Kemudian, seorang rakan lain menambah bahawa ilmu ekonomi tidak mesti boleh dipindahkan dalam bentuk alam nyata. Kononnya banyak ahli ekonomi kecundang dalam dunia perniagaan.

Kedua-dua hujah di atas jelas begitu dangkal dan hujah orang yang tidak tahu menghormati konsep mursyid atau autoriti dalam sesuatu disiplin ilmu pengetahuan. Seseorang jurulatih bola sepak tidak semestinya dapat mempraktikkan ilmu yang ada pada dirinya kerana faktor stamina dan usia. Hal itu tidak bererti jurulatih sudah tidak diperlukan dan pemain sudah menjadi hebat tanpa bimbingan jurulatih yang berpengalaman.

Ilmu ekonomi ialah kajian tentang cara manusia memperuntukkan sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak yang tidak terhad dengan cara yang paling cekap. Ringkasnya, ekonomi ialah sains kekurangan. Konsep-konsep ekonomi dapat menerangkan sesuatu fenomena yang rencam dengan cepat dan ringkas, tanpa perlu perbahasan yang berjela-jela tanpa tentu hujung pangkal.

Kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman, al-hikmah dholatul mukmin. Demikian potongan sebuah hadith tentang pemerolehan ilmu. Umat boleh mengambil ilmu tidak kira dari barat, timur, utara atau selatan. 

Sama ada berlaku kesepaduan ilmu (integrated sciences) atau pemetakan ilmu (compartmentalization), kesempurnaan memang sukar tercapai justeru tertakluk kepada faktor keupayaan dan usia manusia itu sendiri.  Dalam al-Qur'an diungkapkan bahawa andai kata habis air tujuh lautan dijadikan tinta untuk menulis ilmu Allah, masih belum cukup untuk berbuat demikian. Pengkhususan ilmu masih boleh dilakukan, asalkan terikat kepada prinsip asas al-ma'lum min-ad-din bi'd-darurah (perkara yang jelas dalam agama, iaitu dari segi aqidah, syariat dan akhlaq). 

Kegunaan sesuatu konsep, model, teori dan hukum dalam kajian ekonomi ialah sebagai modifikasi kepada sesuatu peristiwa dan fenomena yang bersifat rencam dan rumit. Andaian-andaian tertentu digunakan supaya tumpuan dapat diberikan terhadap pemboleh ubah satu per satu dengan membiarkan pemboleh ubah yang lain menjadi malar. Kaedah analisis juga biasa digunakan dalam disiplin ilmu yang lain sepertimana yang diringkaskan dalam gambar rajah piramid terbalik taksonomi Bloom.

Serangan serkap jarang kononnya ilmu ekonomi hanya menyambung lidah yahudi juga sangat keterlaluan. Tiga kegiatan teras ekonomi, iaitu penggunaan, pengeluaran dan pertukaran memang dapat menjelaskan urusan kehidupan manusia. Siapa yang berani berkata bahawa dia tiada kena-mengena dengan kegiatan ekonomi?

Imam al-Ghazali memberi peringatan yang sangat berguna tentang adab menuntut ilmu. Perbuatan mencela atau merendah-rendahkan bidang ilmu yang lain ialah perbuatan tercela. Jika manusia hendak mendambakan kebahagiaan hidup di dunia hendaklah dengan ilmu dan begitu juga jika hendak kebahagiaan akhirat juga dengan ilmu (sila semak mafhum al-hadith, man yurid'ud-dun ya fahua bi'l-ilm, man yurid'ul-akhirah fahua bi'l-ilm, ila akhir; au kama qala... yang berkaitan)...

Sunday, April 8, 2012

CERPEN "HARGA SEBUAH LUKISAN" KOMSAS TINGKATAN 3 (THE HEART OF A GENUINE WINNER)

Pengarang cerpen:  Baharudin A. Manan
Sumber rujukan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 79 - 89)

Watak utama:  Kamal Hijaz (murid tingkatan 2 Anggun, SMK Sirusa, Pasir Mas, Kelantan)
Watak penentang / antagonis:  Maryati  (rakan sekelas Kamal Hijaz / pesaing pertandingan melukis)

Watak pembantu:  Norlela (rakan sekelas Kamal Hijaz, Maryati)
                          :  pengawas pertandingan melukis
                          :  Pengetua, SMK Sirusa, Pasir Mas
                          :  Cikgu Salina (guru pendidikan seni)

Latar tempat:  SMK Sirusa, Pasir Mas (taman mini sekolah / kantin / kelas tempat pertandingan melukis / tapak perhimpunan)

Latar masa:  Sabtu (hari pertandingan melukis)
                 :

Sinopsis cerpen

Kamal Hijaz memasuki pertandingan melukis bersama rakan sekelas, Maryati. Pada hari pertandingan, Maryati membuat helah menyebabkan Kamal meninggalkan beg dan peralatan melukis untuk membasuh bekas makanan di kantin. Kesempatan itu digunakan oleh Maryati untuk menukar kertas lukisan Kamal menjadi kertas lukisan berlilin. Akibatnya, hasrat Kamal untuk melukis pemandangan tidak berjaya. Setelah setengah jam, Kamal meminta bantuan pengawas pertandingan untuk menukar kertas lukisan. Kamal menukar tajuk lukisan kepada pertarungan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Walaupun dikhianati dan kesuntukan masa, Kamal berjaya juga menyudahkan lukisan berkenaan dengan sempurna. Kamal tetap memperoleh gelaran juara, manakal Maryati di tempat kedua. Semasa perhimpunan, Kamal diberi kesempatan untuk membaca sajak yang menjadi justifikasi lukisannya. Maryati berasa dia disindir, walhal Kamal tidak tahu apa-apa. Maryati berjumpa Kamal untuk memohon maaf, dan Kamal dengan hati yang terbuka memaafkan Maryati tanpa syarat.


Perwatakan:  bijak, cekap, pemaaf (Kamal Hijaz), pendengki (Maryati), peka / prihatin / sensitif

Latar masyarakat:  masyarakat yang bijak
                          :  masyarakat yang cekap
                          :  masyarakat yang pemaaf
                          :  masyarakat yang pendengki / iri hati
                          :  masyarakat yang peka / prihatin / sensitif
                          :  masyarakat murid sekolah / warga sekolah

Nilai murni:   kebijaksanaan, kecekapan, kemaafan, kepekaan / keprihatinan

Persoalan:  kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran (Kamal Hijaz tidak buntu apabila lukisan awal tidak menjadi)
               :  kecekapan dalam pekerjaan  (Kanal Hijaz dapat menyiapkan lukisan dalam baki masa yang terhad)
               :  kemaafan terhadap perbuatan buruk  (kamal Hijaz memaafkan tindakan sabotaj Maryati)
               :  sikap iri hati membawa keburukan
               :  kepekaan / keprihatinan / sensitiviti dalam berkarya
             
Pengajaran:  kita hendaklah bijak dalam berhadapan dengan cabaran / halangan / kesukaran
                 :  kita hendaklah cekap dalam sesuatu urusan pekerjaan
                 :  kita hendaklah bersedia memaafkan rakan kita yang bersikap buruk
                 :  kita janganlah iri hati / dengki terhadap kebolehan orang lain
                 :  kita hendaklah peka / prihatin dan sensitif ketika berkarya

kbkk:  kematangan watak utama dalam menyelesaikan masalah

Friday, April 6, 2012

MERANGKAK DI GUA TEMPURUNG (THE ADVENTEROUS EXPERIENCE)

Pasukan kadet bomba Sekolah Menengah Teknik, Ipoh (SMI) yang memiliki keanggotaan melebihi 100 orang murid sentiasa mendapat bantuan pegawai dan anggota bomba dan penyelamat negeri Perak yang berpangkalan di Jalan Kompleks Sukan, bersebelahan Stadium Perak. Saban tahun aktiviti perkhemahan dilaksanakan, antaranya di Kuala Woh, Lata Kekabu, Papan dan Teluk Batik. Beberapa anggota pasukan juga terpilih menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan, termasuk di Karambunai Resort, Sabah.

Budak teknik hanya merangkumi tingkatan 4 dan 5 setelah kelas tingkatan 6 ditutup buat sementara pada tahun 1996. Maka, mereka hanya sempat mengambil peperiksaan asas (aneka pilihan) dalam tempoh setahun setengah kursus kawad dan teori. Guru penyelaras bertugas merancang dan memantau segala aktiviti pasukan, manakala latihan kawad dan teori dikendalikan oleh jurulatih Jabatan Bomba dan Penyelamat sendiri.

Antara aktiviti ekstrem yang sangat mencabar ialah ekspedisi Gua Tempurung melalui tahap kesukaran B, iaitu menggunakan laluan gelap dan sempit, bukan bersenang-lenang menggunakan trek peninjau. Jika lampu suluh dipadamkan, alamat jari sendiri pun tidak nampak. Ahli-ahli bomba yang sudah pakar berada di hadapan untuk memastikan keselamatan semua anggota kadet bomba daripada sebarang ancaman dan risiko.

Mula-mula masuk masih ada cahaya dan laluan juga luas. Makin lama makin gelap dan makin sempit. Masing-masing pasrah kerana untuk undur kembali sudah menjadi sukar.

bersambung...

Thursday, April 5, 2012

'KESABARAN JUGA ADA BATASNYA" BAB 14 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (THE CONSPIRACY)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  88 - 95

Watak utama:  Hartini / Tini / "aku" (pencerita / sudut pandangan pertama; murid tingkatan 3)
Watak penentang / antagonis: Junainah (penghuni asrama sebilik dengan Tini, Nora)
Watak pembantu:  Nora (teman sebilik Tini di asrama SMK Puncak Wawasan, Raub)
                          :  Najmi (juga teman sebilik Tini, Nora)
                          :  Puan Norjihan (warden asrma)
                          :  Pengetua SMK Puncak Wawasan, Raub)

Latar tempat:  bilik asrama SMK Puncak Wawasan, Raub
                   :  bilik pengetua

Latar masa:  malam  (Tini tidak boleh tidur ekoran peristiwa dia tertampar mulut Junainah hingga berdarah)
            :  10.30 pagi  (Tini, Nora dan Najmi dipanggil ke bilik pengetua, berhadapan Puan Norjihan, Junainah)

Ringkasan bab


Sudah tiga bulan Tini di asrama, hidup berdikari. Sudah empat pucuk surat Satiah diterima terselit bunga berwarna putih. Tini menulis surat setiap hari, tetapi dipos sekali gus seminggu. Nora mengerti keakraban Tini dengan Satiah, tetapi Junainah sengaja suka mencari pasal. Akibat berasa dihina, Tini mula melenting. Tini juga mematikan radio yang dipasang dengan kuat oleh Junainah. Demi Junainah meludah mukanya, Tini spontan menampar mulut Junainah, lalu berdarah. Junainah berjaya menarik perhatian Puan Norjihan untuk membawa kes itu ke pengetahuan pengetua, walaupun Tini merayu. Nora dan Najmi berjanji akan menyokong Tini. Malam itu, Tini gtidak dapat melelapkan mata walaupun sepicing. Tini ingin memohon maaf daripada Junainah, tetapi dia tidur di bilik lain. 

Di bilik pengetua keesokannya, Junainah cuba memancing emosi pengetua, tetapi dia gagal. Pengetua mahu berlaku adil dengan mendengar keterangan Tini, Nora dan Najmi pula. Malah, tanpa disangka, Najmi yang pendiam itu mengatakan dia memang bercadang membuat laporan tentang sikap Junainah pada masa yang sesuai. Akhirnya, pengetua membuat keputusan untuk memberikan amaran terakhir. Junainah diingatkan peraturan tiada kaitan dengan status keluarganya yang kaya. Tini diminta menggandakan kesabaran. Mereka disuruh bersalaman, namun Junainah seperti terpaksa melakukannya di hadapan pengetua.

Perwatakan:  setia kawan  (Tini menulis surat buat Satiah setiap hari; Nora, Najmi membela Tini yang dianiaya)
                  :  bongkak / sombong / mementingkan diri  (Junainah celupar, mengganggu teman sebilik)
                  :  tergesa-gesa / kurang usul periksa  (Puan Norjihan tidak membuat siasatan lanjut)
                  :  adil / tegas  (pengetua tidak mudah dipengaruhi oleh aduan Junainah, Cikgu Norjihan)

Latar masyarakat:  masyarakat yang setia kawan
                          :  masyarakat yang bongkak / sombong / mementingkan diri
                          :  masyarakat yang tergesa-gesa / kurang usul periksa
                          :  masyarakat yang adil / tegas / tidak mudah dipengaruhi

Nilai murni:  kesetiakawanan, kemesraan, ketelitian, keadilan / ketegasan

Persoalan:  kesetiakawanan dalam persahabatan
               :  sikap bongkak / sombong / mementingkan diri membawa keburukan
               :  sikap tergesa-gesa / kurang usul periksa menjejaskan wibawa diri
               :  keadilan / ketegasan dalam membuat keputusan / pertimbangan / kepimpinan

Pengajaran:  kita hendaklah setia kawan dalam persahabatan
                 :  kita janganlah bongkak / sombong / mementingkan diri dalam hidup bermasyarakat
                 :  kita janganlah tergesa-gesa / kurang usul periksa dalam menangani sesuatu perkara
                 :  kita hendaklah adil / tegas / tidak mudah dipengaruhi dalam membuat keputusan / pertimbangan / kepimpinan

kbkk:  cara watak utama menghadapi konflik 

Wednesday, April 4, 2012

BENARKAH KUASA MONOPOLI BERTENTANGAN DENGAN KEBAJIKAN PENGGUNA? (LOWER PRICE, HIGHER QUANTITY)

Pengenalan

Kuasa monopoli bermaksud bahawa firma monopoli boleh menentukan tingkat harga atau keluaran bagi memperoleh untung lebih normal. Maka, firma monopoli cenderung mengenakan harga yang lebih tinggi yang bererti tingkat keluaran lebih rendah apabila merujuk keluk permintaan = hasil purata (AR) yang bercerun negatif. Kerajaan yang berperanan untuk memaksimumkan kebajikan perlu campur tangan dengan melakukan kawalan langsung dan kawalan tidak langsung.

Pada tingkat keseimbangan hasil sut = kos sut (MR = MC), keluaran seimbang tercapai ketika keluk kos purata sedang menurun, yang bererti firma monopoli tidak beroperasi pada tahap keluaran optimum, iaitu pada titik kos purata minimum, atau AC = MC. Sebagai memenuhi peranan untuk memaksimumkan kebajikan, kerajaan boleh mengambil beberapa langkah seperti kawalan langsung menerusi penetapan harga selain harga dan kuantiti keseimbangan. serta kawalan tidak langsung menerusi cukai. Bahagian keuntungan lebih normal monopoli yang dikurangkan itu ialah satu bentuk agihan pendapatan yang lebih setara kepada semua anggota masyarakat.

Kawalan Langsung menerusi penetapan harga


a)  Dasar harga pulangan adil / pulangan modal

     Harga ditetapkan pada AR = AC, iaitu firma hanya menikmati untung normal. Pengguna akan menikmati
     tingkat harga yang lebih rendah dan keluaran yang lebih banyak jika dibandingkan dengan harga dan
     kuantiti seimbang.  (Lukis keluk, dan huraikan)

b)  Dasar harga optimum sosial

     Harga ditetapkan pada P = MC, iaitu tercapainya kecekapan peruntukan. Barang diingat bahawa harga
     bersamaan dengan keluk AR atau DD monopoli. Maka, titik silang antara AR dengan MC dipilih sebagai
     tingkat harga.

     Dalm kes firma monopoli masih menikmati untung lebih normal, atau sekurang-kurangnya untung normal,
     subsidi tidak perlu diberikan. Sebaliknya, jika firma monopoli, khususnya dengan struktur kos menurun,
     mengalami untung kurang normal atau rugi  disebabkan pada AR = MC, didapati AC > AR, maka subsidi
     perlu diberikan sebanyak kerugian yang ditanggung supaya firma boleh memperoleh untung normal dan
     meneruskan operasi.

     (lukis keluk dan huraikan)

c)  Dasar harga pada titik kecekapan pengeluaran.

     Harga ditetapkan pada AC minimum, atau AC = MC. Sama seperti kes harga optimum sosial, langkah
     kawalan dibahagikan kepada penetapan harga tanpa subsidi, iaitu selagi firma monopoli sekurang-
     kurangnya memperoleh untung normal supaya dapat terus beroperasi;  atau dengan subsidi bagi firma yang
     mengalami struktur kos menurun (monopoli semula jadi) sebanyak untung kurang normal yang ditanggung.

     (lukis keluk dan huraikan)

Kawalan Secara Tidak Langsung menerusi Cukai

Cukai ialah alat agihan semula pendapatan. Hasil kerajaan yang diperoleh menerusi pengurangan untung monopoli digunakan dalam bentuk penyediaan barang awam. Dengan itu, jurang pendapatan antara golongan kaya dengan golongan miskin dapat dirapatkan.

Cukai yang dikenakan kepada firma monopoli terbahagi kepada dua, iaitu cukai sekali gus dan cukai per unit keluaran. Cukai sekali gus hanya memindahkan keluk AC tanpa mengubah kedudukan MC. Cukai per unit akan mengalih kedua-dua keluk AC dan MC.

Dalam kedua-dua kes, keuntungan lebih normal monopoli akan merosot. Untuk cukai sekali gus, semua beban cukai akan ditanggung oleh firma monopoli, manakala untuk cukai per unit, tingkat keluaran akan berada pada bahagian keluk DD = AR = P yang anjal. Bahagian keuntungan lebih normal yang berkurangan itu merupakan hasil cukai kerajaan yang kemudiannya diagihkan semula kepada masyarakat menerusi penyediaan barang awam.

(lukis keluk dan huraikan)

Penutup

Keseluruhannya, kawalan monopli secara langsung dilaksanakan oleh kerajaan supaya matlamat kebajikan dapat dimaksimumkan menerusi tingkat harga yang rendah dan keluaran yang tinggi. Kawalan secara tidak langsung menerusi cukai akan menjadi hasil kerajaan untuk agihan semula dalam bentuk penyediaan barang awam. Pendek kata, kesan kuasa monopoli yang berlaku akibat sekatan kemasukan pasaran akan dapat dikurangkan.

Tuesday, April 3, 2012

NAIK PANGKAT BERDASARKAN TEMPOH PERKHIDMATAN (TIME-BASED MERIT ON THE PROMOTION EXCERCISE)

Kakitangan awam masih menunggu versi lengkap penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) sebagai ganti Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sudah dibatalkan. Tumpuan sudah pasti terarah kepada matriks tangga gaji dan proses naik pangkat gred perkhidmatan. Kakitangan yang lebih lama dalam perkhidmatan (senior) juga berharap bahawa tempoh perkhidmatan mereka akan diambil kira dalam pelantikan naik pangkat supaya tidak didahului berkali-kali oleh kakitangan lebih baharu (junior).

Laluan naik pangkat boleh jadi berdasarkan tempoh perkhidmatan (time-based), dan / atau laluan pantas (fast track). Kakitangan yang naik pangkat secara time-based biasanya diletakkan dalam kategori Khas Untuk Penyandang (KUP), melainkan jawatan pentadbiran. Laluan pantas atau jawatan pentadbiran pula biasanya dimasukkan sebagai hakiki.

KUP bererti bahawa penyandang jawatan berkenaan akan kembali ke gred hakiki apabila bersara. Misalnya, penyandang DG 48 (KUP) akan kembali ke gred DG 41 untuk tujuan faedah persaraan. Sebaliknya, penyandang hakiki akan kekal pada gred yang sama semasa bersara.

Apabila sistem matriks gaji sebaris diperkenalkan, terdapat sifir mudah, iaitu 8 + 8 + 6 + 3, iaitu 8 tahun pada gred 41, 8 tahun gred 44, 6 tahun gred 48 dan 3 tahun gred 52. Maknanya, dalam tempoh 22 tahun perkhidmatan, seseorang pegawai awam siswazah sudah layak berada pada gred 48 secara automatik tanpa menunggu kekosongan perjawatan. Tiada sekatan perubahan ke gred yang lebih tinggi, melainkan tidak memperoleh perakuan ketua jabatan masing-masing..

Dasar menarik bakat-bakat terbaik dalam perkhidmatan awam dibuat melalui kaedah laluan pantas. Misalnya, sifir laluan pantas ialah 5 + 3 + 3 + 3, iaitu hanya 17 tahun untuk mencapai gred 52, berbanding time-based yang memerlukan tempoh minimum 25 tahun. Namun, proses naik pangkat secara laluan pantas tertakluk kepada kekosongan jawatan, bukan secara automatik...