SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, April 10, 2012

RIADAH BERSAMA KELUARGA (HAPPY OUTING)

Saban hari seisi keluarga sibuk dengan aktiviti dan urusan masing-masing. Kesempatan komunikasi biasanya berlaku di meja makan, di dalam kereta atau ketika bersiar-siar. Namun, jika masing-masing hanya melayan perasaan dan terbawa-bawa dengan peristiwa di tempat kerja atau pengajian, komunikasi mungkin terjejas.

Si ayah mungkin meluangkan masa untuk bermain badminton atau memancing dengan rakan-rakan, manakala si ibu pula sibuk dengan makan-makan dari rumah ke ke rumah atau di hotel. Anak-anak pula sibuk dengan kerja sekolah atau melekat di hadapan skrin televisyen dan komputer. Haluan dan kegemaran setiap anggota keluarga sudah begitu berbeza.

Kunjungan ke pasar raya mungkin disukai oleh orang dewasa, tetapi sangat membosankan bagi si anak melainkan diumpan dengan singgah di kedai buku atau kedai makanan segera. Pengendali pasar raya yang peka kerap menyediakan ruang aktiviti dan permainan kanak-kanak supaya masa yang panjang di situ akan berbaloi buat si cilik yang comel.

Antara saranan yang terbaik ialah solat berjemaah seisi keluarga atau bersama-sama menghadiri majlis ilmu. Ibu bapa selaku teraju keluarga hendaklah mengatur kesempatan yang tepat supaya seisi keluarga dalam berkumpul dalam suasana santai dan tenang tenteram. Masing-masing perlu bersabar meluahkan perasaan atau sekadar berkongsi cerita yang boleh mengukuhkan ikatan kekeluargaan.
Sebagai contoh, pada hujung minggu atau hari kelepasan am, seisi keluarga boleh merancang untuk mengunjungi taman rekreasi untuk kegiatan senaman ringan seperti berjalan kaki, bermain badminton di tempat terbuka dan bermain bola. Si anak pasti berasa sangat gembira hingga tertawa kerana mendapat layanan dan perhatian yang cukup mesra daripada ibu bapa. Kenangan seumpama itu akan melekat dalam ingatan mereka sampai bila-bila.

Ibu bapa boleh membenarkan si anak bermain papan gelungsur, memanjat struktur tertentu, jongkang-jongkit, buaian atau berkejar-kejaran di pondok. Namun, ibu bapa mesti tidak terlepas pandang terhadap pergerakan si anak kerana elemen bahaya ada di mana-mana. Selain bahaya dari segi fizikal, ibu bapa perlu peka dengan ancaman jenayah yang tidak dapat diteka.
Bagi mewujudkan keseronokan, ibu bapa hendaklah menyediakan persalinan pakaian yang sesuai untuk aktiviti senaman, terutama kasut yang sesuai supaya sentiasa sesuai dengan keperluan anatomi dan fisiologi si cilik. Bekalan air masak, tuala muka dan tikar lipat mungkin diperlukan apabila tiba masa untuk berhenti rehat. Kalau ibu bapa mahu suasana yang lebih ceria, mereka boleh mengadakan aktiviti teka-teki atau permainan ringan yang membabitkan seisi keluarga.

Bagi menandakan kesepakatan, sang ayah boleh berlagak sebagai kepala kereta api, si anak menjadi gerabak dan si ibu sebagai kepala kereta api simpanan di bahagian belakang. Kedudukan boleh ditukar bila-bila masa. Kemudian, anak-anak diberi giliran menjadi kepala kereta api dan ibu ayah yang menjadi gerabak.

Si anak juga diberi peluang berlagak menjadi "cikgu" atau melakonkan peranan guru pendidikan jasmani, manakala seisi keluarga yang lain menjadi murid. Kisah dongeng dan teladan yang mengandungi nilai-nilai murni menjadi pilihan untuk slot "uji bakat". Selepas itu, kuiz ringkas secara lisan boleh diadakan.

Kesimpulannya, kesempatan riadah seisi keluarga ialah saat yang sangat manis buat si anak. Ibu bapa hendaklah berkorban waktu dan sanggup turun ke tahap minda anak-anak supaya kemesraan yang menjadi kunci kebahagiaan dan hubungan jangka panjang seisi keluarga dapat dipupuk. Mudah-mudahan si anak akan meletakkan ibu bapa sebagai orang kepercayaan teratas mereka (selepas Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam) selain guru, rakan sebaya dan personaliti yang lain...

No comments: