SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, November 8, 2013

TAUFAN HAIYAN BADAI FILIPINA (EXTREME GEOGRAPICHAL PHENOMENON)

Laman portal al-Jazeera (klik di sini) melaporkan bahawa bencana alam terbaharu di negara kepulauan Filipina mula memakan korban jiwa. Taufan Haiyan yang boleh mencecah kelajuan sehingga 400 kilometer satu jam itu membadai kawasan pantai berhampiran bandaraya Cebu. Penduduk kawasan berisiko telah dipindahkan ke kawasan yang selamat.

sumber ambilan imej: klik di sini

Taufan membawa bersama angin puting beliung yang sangat kencang dan membentuk pusaran yang boleh membawa kemusnahan harta benda yang dahsyat. Sebagai negara kepulauan yang terdedah kepada lautan terbuka, kawasan yang paling terjejas ialah sepanjang pantai. Apabila pergerakan angin terhalang oleh tampanan banjaran gunung-ganang, kelajuan angin akan mula berkurangan.

Bandaraya Manila dijangka tidak terbabit, tetapi sistem amaran bencana tetap diaktifkan. Sebagai ibu negara, reka bentuk perancangan bandaraya Manila sudah tentu mengambil kira fenomena alam yang silih berganti di negara kepulauan itu. Nadi kegiatan ekonomi, pendidikan dan pentadbiran Filipina itu menyediakan pelan luar jangka yang lebih tersusun.
pemandangan bandar Tacloban setelah dilanda bencana, sumber ambilan gambar di sini.

Laporan terkini menyatakan 942 orang mangsa taufan Haiyan di Filipina terkorban (klik Ibid) dan di sini. Di China, enam orang mangsa dilaporkan terkorban (klik di sini). Ramai mangsa yang masih hilang dan mangsa yang masih hidup tidak ubah seperti keadaan zombi (klik di sini).

Taufan Haiyan meneruskan pergerakan ke arah Nghe An, wilayah utara Vietnam. Pihak Jabatan Kawalan Ribut dan Banjir negara berkenaan sudah membuat persiapan awal dengan memindahkan 600,000 penduduk di kawasan berisiko (klik di sini). Teknologi hanya boleh memberi amaran dan ramalan, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa untuk menahan taufan Haiyan yang dahsyat itu!

Sumber Pertubuhan Bangsa Bersatu menganggarkan jumlah korban taufan Haiyan di Filipina mencecah angka 10,000 orang. Pergerakan taufan Haiyan merentasi lautan menuju tanah besar China dan pantai Indochina dijangka agak perlahan dan lemah. Namun, Filipina bakal terus dibadai pula oleh ribut tropika yang dinamakan sebagai Zoraida dengan kelajuan angin kencang 55 kilometer sejam (klik di sini). 

Walaupun dalam keadaan bencana, kegiatan kes kecurian tidak langsung berkurangan, malah meningkat pula. Penjenayah amatur dan kecil-kecilan tidak pernah ambil pusing tentang kesusahan orang lain, sebaliknya semakin giat mencuri. Nampaknya, nasib malang sudah bertimpa-timpa.

Sementara itu, gudang beras di Tacloban juga diserbu oleh penduduk awam dan pencuri hingga 100,000 kampit beras dilarikan. Petugas gudang tidak dapat berbuat apa-apa atas sebab keselamatan. Setiap kampit beras seberat 50 kilogram (klik di sini).

...

...

Thursday, November 7, 2013

SENARAI KERJA GURU MINGGU TERAKHIR PERSEKOLAHAN (CHECK-LIST FOR YEAR END)

Pejam celik, pejam celik, tahun persekolahan 2013 sudah tiba di penghujung jalan. Peperiksaan awam sudah bermula sejak 6 November, manakala sesi persekolahan secara rasminya berakhir pada tanggal 15 November. Keadaan di sekolah agak lengang justeru pelajar tingkatan 5 dan 6 Atas sudah tidak hadir ke sekolah seperti biasa, sedangkan murid tingkatan 3 juga mula 'menghilang' usai menduduki peperiksaan penilaian menengah rendah (PMR).

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bakal diumumkan pada hari Khamis ini. Murid tahun 6 juga mula sibuk dengan pendaftaran kemasukan ke tingkatan satu sekolah menengah. Bakal murid tahun satu sekolah rendah telah mula membuat persiapan tanpa rasa kekok justeru sudah biasa dengan kelas prasekolah mulai usia empat tahun lagi.

Semua urusan hujung tahun itu menjadikan guru bertambah sibuk dan tidak menang tangan walaupun sesi bilik darjah secara rasmi telah berkurangan sedikit. Senarai panjang tugas melengkapkan dokumentasi dan fail menanti mereka. Kira-kira 20 peratus guru terbabit dengan tugas pengawasan peperiksaan, manakala sebahagian besar lagi bersedia untuk bertugas sebagai pemeriksa pada musim cuti sekolah kelak.

...

...

...

...

...

...

...

Tuesday, November 5, 2013

PERSEDIAAN AKHIR STPM EKONOMI 1, ESEI BAB 1, 2 (SPOT QUESTIONS AND ANSWERS PLANNING)

SMK ST. MICHAEL, IPOH, LA1: SOALAN PERSEDIAAN AKHIR EKONOMI 1, BAB 1, 2 


1
(a)  Jelaskan perbezaan antara barang percuma dengan barang ekonomi.
[5 markah]

(b)  Mengapakah barang awam berbeza dengan barang persendirian?
[5 markah]



2
Terangkan tiga masalah asas ekonomi.
[10 markah]



3
Huraikan konsep kos lepas malar menerusi keluk kemungkinan pengeluaran.
[10 markah]



4
Jelaskan amalan sistem ekonomi campuran di Malaysia.
[10 markah]



5
Terangkan maksud keperluan campur tangan kerajaan bagi mengatasi kelemahan sistem ekonomi pasaran.

[10 markah]



6
(a)  Apakah maksud hukum permintaan?
[2 markah]

(b)  Mengapakah keluk permintaan bercerun negatif?
[8 markah]



7
Bagaimanakah harga barang lain mempengaruhi penawaran sesuatu barang?
[10 markah]



8
(a)  Apakah maksud keanjalan permintaan harga?
[2 markah]

(b)  Dengan menggunakan satu contoh darjah keanjalan harga, jelaskan
      hubungan antara jumlah perbelanjaan dengan keanjalan permintaan harga.

[8 markah]



9
(a)  Berikan takrif keanjalan permintaan silang.
[2 markah]

(b)  Dengan menggunakan contoh berangka, terangkan hubungan antara barang
       menerusi hitungan keanjalan permintaan silang.

[8 markah]



10
Huraikan tiga faktor yang mempengaruhi keanjalan permintaan harga.
[10 markah]



11
Dengan bantuan gambar rajah, terangkan pengaruh jangka masa terhadap
keanjalan penawaran.

[10 markah]



12
Dengan bantuan gambar rajah, jelaskan kesan cukai dan kesan subsidi ke atas penawaran anjal.

[10 markah]



13
(a)  Bagaimanakah dasar harga maksimum ditetapkan?
[4 markah]

(b)  Jelaskan dengan ringkas tiga cara bagi memastikan barang dapat diagihkan
       kepada pengguna menerusi dasar harga maksimum.

[6 markah]



14
(a)  Mengapakah dasar harga minimum dianggap penting?
[2 markah]

(b)  Jelaskan proses penetapan harga minimum dan peranan kerajaan.
[8 markah]



15
(a)  Berikan maksud permintaan dan penawaran.
[2 markah]

(b)  Dengan bantuan gambar rajah, terangkan proses keseimbangan
       di pasaran barang.

[8 markah]



16
Apakah yang akan berlaku terhadap lebihan pengguna dan lebihan pengeluar komputer tablet jika terjadi:
(a)  kemajuan teknologi komputer tablet.


[5 markah]

(b)  peningkatan kos pengeluaran komputer tablet.
[5 markah]


          © Azhar bin Mohd Rodzi, SmEkon (UKM), Dip.Ed (UIAM), M.Ed (Distinction) (Malaya)

Sunday, November 3, 2013

AZAM TAHUN BAHARU HIJRAH 1435 (THE PERMANENT ADDRESS OF TOMORROW)

Tahun berganti tahun, kini tanggal 1 Muharram 1435 Hijriyyah usai waktu Maghrib nanti, menandakan kita mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 1434 Hijriyyah. Marilah kita mengangkat tangan untuk memanjatkan doa mudah-mudahan dengan kesempatan usia yang masih ada, kita memanjatkan doa akan dilimpahi kesejahteraan dalam kehidupan dunia dan akhirat, bertaubat, serta dijauhi daripada tipu daya syaitan dan bala tenteranya. Marilah kita menjadikan doa akhir tahun 1434 dan awal tahun 1435 sebagai pedoman bagi merangka azam tahun baharu yang Islamik sifatnya.

Doa akhir tahun dibaca selepas solat Asar hingga sebelum solat Maghrib, manakala doa awal tahun dibaca usai solat Maghrib. Inti pati kedua-dua doa berkenaan perlu dihayati supaya tidak hanya tinggal sebagai upacara atau rutin tahunan semata-mata. Marilah kita berdoa dengan tulus ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam.

Doa akhir tahun dimulai dengan ucapan selawat dan seterusnya permohonan taubat terhadap dosa-dosa yang lalu yang tidak tertanggung jika tiada keampunan Ilahi. Marilah kita berharap agar Allah menerima taubat kita kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan Kehendak-Nya jua. Kita hanya makhluk kecil seumpama sebutir debu di padang pasir yang tidak mempunyai sempadan.

Mari kita muhasabah diri, melakukan introspektif diri dan penilaian kendiri atas segala kecuaian, kesilapan dan dosa yang lalu. Marilah kita berazam untuk tidak mengulangi perbuatan yang menjurus kepada keburukan, permusuhan dan dosa. Sebaliknya, marilah kita menuju ke arah kebaikan, kebaktian dan amalan soleh.

Doa awal tahun juga dimulai dengan selawat, lalu diikuti dengan permohonan agar dijauhi daripada gangguan syaitan laknatullah yang cuba menjerumuskan kita ke kancah kebinasaan, kehinaan dan kesesatan na'udhubillahu min dhalik. Sebaliknya, menerusi perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam, usaha mendekatkan diri dengan-Nya (taqarrub ilallah) menjadi mudah. Maka, insya-Allah, kita yakin bahwa Allah akan memakbulkan doa tahun baharu hijrah yang dipanjatkan itu.

Kalendar hijrah dihitung bersempena peristiwa hijrah akbar dari Makkah ke kota Madinah demi menjamin kelangsungan perkembangan Islam yang mendapat tentangan hebat kaum Quraisy Makkah. Anjakan status quo dan perubahan persekitaran yang harus dilalui ialah madrasah tarbiyyah yang paling unggul. Niat yang tulus ikhlas menjadi titik tolak dalam menjayakan peristiwa besar berkenaan, sebagaimana yang terungkap dalam hadith mutawattir, innamal a'malu bi'n-niah ...

Cabaran hijrah yang paling utama ialah melaksanakan Islam yang syumul dalam segenap sudut kehidupan, iaitu aqidah, syariat dan akhlaq. Kitab al-Quran menjadi perlembagaan yang mutlak dan tertinggi, lalu membatalkan segala perlembagaan ciptaan manusia yang didapati bercanggah dan memuja taghut. Sunnah Nabi Salallahu alaihi wasallam menerusi al-hadith dan sirah menjadi gambaran pelaksanaan setiap perintah dan larangan dalam al-Quran.

Marilah kita menuju redha Ilahi sebagai hala tuju yang kekal abadi. Janganlah kehidupan duniawi, harta benda dan anak pinak menghalang kita daripada mengingati Allah. Kaum lelaki hendaklah berusaha menunaikan solat berjemaah yang lebih bermakna daripada seisi dunia, manakala kaum wanita sentiasa menjaga kehormatan dan amanah ...

Friday, November 1, 2013

MUFLIS BUKAN PENGHUJUNG KEHIDUPAN (NO MONEY NO TALK)

Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI, klik di sini atau di sini) melaporkan lebih suku juta orang (251,209) disahkan muflis sejak tahun 1924. Data muflis antara tahun 2007 hingga 2013 menunjukkan arah aliran yang berterusan meningkat dengan membabitkan 116,488 kes. Purata kes muflis dalam tempoh berkenaan ialah 60 orang setiap hari (klik di sini untuk maklumat lanjut).

Golongan berusia seawal 25 tahun hingga 34 tahun mewakili 20.09 kes, iaitu ketiga tertinggi selepas kumpulan umur 35 - 44 tahun (34.31 peratus) dan kumpulan umur 45 - 54 tahun (26.49 peratus). Kumpulan warga emas (55 tahun dan ke atas; kini sudah diubah kepada 60 tahun dan ke atas) turut mencatat 11.77 peratus kes muflis. Kaum Melayu mewakili hampir separuh daripada jumlah kes (45.10 peratus), manakala punca muflis semuanya berkaitan dengan hutang bank dengan had RM30,000.

Perisytiharan muflis dibuat atas perintah mahkamah setelah berpuas hati dengan permohonan pihak pemiutang (bank yang memberi hutang) sebanyak 99.2 peratus atau permohonan suka rela sebanyak 0.8 peratus oleh individu yang gagal melunaskan hutang. MDI sedang berusaha untuk mempromosi konsep muflis yang baharu sebagai pelindung, bukan sebagai penghujung kehidupan.

Setakat ini MDI berjaya membantu sejumlah 28 peratus individu muflis untuk kembali kepada status sebelumnya. Mengapakah 72 peratus lagi tidak dapat dijejaki atau dikesan? Adakah tanggapan masyarakat terhadap status muflis begitu buruk?

Seorang bekas pegawai tinggi bank perdagangan memilih skim persaraan sukarela (VSS) apabila berlaku proses penggabungan institusi kewangan sedikit masa dahulu. Kemudian, dia menceburi bidang perniagaan dengan membuka sebuah kafe siber. Malangnya, beliau tidak mampu bertahan dengan taktik perniagaan sedia ada sehingga akhirnya diisytiharkan sebagai muflis.

Seorang ahli perniagaan lain pernah menikmati zaman kegemilangan pada era bullish run pasaran saham pada tahun 1993, kekal bertahan untuk beberapa lama, tetapi akhirnya bermasalah juga sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam tempoh muflis, beliau menerima tawaran menunaikan ibadah haji, tetapi tidak dapat berbuat demikian dengan status itu. Namun, rakan jemaah beliau di masjid tidak pernah menyisihkan beliau, malah tetap mesra seolah-olah tiada apa-apa yang berubah.

Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu? Demikian ibarat kepada individu yang menanggung status muflis. Walaupun pada zahirnya seorang muflis masih boleh boleh mengukir senyuman, tetapi rintihan hati nan pilu terpaksa ditanggung seorang diri.

Di negara maju, banyak usahawan berjaya pernah muflis beberapa kali, justeru status muflis ialah langkah menstruktur semula pembayaran hutang. Masyarakat juga bersikap terbuka tanpa melontarkan cemuhan secara melulu. Maka, MDI perlu mencari strategi yang paling baik bagi membetulkan tanggapan masyarakat kita terhadap status muflis. 

...

...

,,,

Thursday, October 31, 2013

PENDIDIKAN KHAS MURID BERMASALAH PEMBELAJARAN (DESIGNING INSTRUCTION FOR THE KIDS WITH NEUROLOGICALLY DIFFICULTY)

Petang semalam, ketika berurusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Ipoh, penulis blog (PB) sempat berbual ringkas dengan seorang remaja berusia 17 tahun yang datang dari Kampar. Dia sedang menunggu kad pengenalan baharunya siap setelah tercicir ketika membonceng sebuah motosikal. Dia mengaku baharu selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) walaupun rakan sebaya yang lain bakal menduduki SPM.

Secara pandangan mata kasar remaja itu tiada sebarang kekurangan fizikal, tetapi dia sendiri memohon program pendidikan khas bagi murid bermasalah pembelajaran. Walaupun petah berkata-kata dan bercerita, dia agak lambat menangkap isi pelajaran dalam kelas yang biasa. Dia berharap untuk terus ke kolej vokasional dalam bidang masakan sebaik memperoleh kelayakan PMR kelak.

Perbualan itu mengingatkan PB ketika hendak menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang beberapa tahun yang lalu. PB meninjau kawasan masjid terapung itu dan menuju ke satu kawasan wakaf (tempat rehat berbumbung). Tidak semena-mena sekumpulan remaja bertempiaran lari demi melihat susuk PB (yang berwajah garang dan serius?). 

Sebenarnya mereka ialah murid pendidikan khas bermasalah fizikal (cacat) dan hanya bimbang dimarahi guru yang membawa mereka. Bas yang membawa mereka diletakkan berdekatan dengan pagar masjid. Guru warden juga berada bersama mereka di situ.

Program pendidikan khas telah berkembang pesat di negara kita dan dikendalikan oleh sekumpulan guru yang mengkhusus dalam bidang berkenaan hingga peringkat sarjana dan doktor falsafah. Sebahagian hadiah latihan persekutuan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa ditawarkan untuk calon sarjana dan doktor falsafah pendidikan khas. Guru pendidikan khas menikmati elaun kritikal atas kesabaran dan sumbangan mereka membimbing murid yang berkeperluan itu untuk membawa diri dan berdikari dalam kehidupan.

Pendidikan khas diberikan secara percuma, bahkan setiap murid diberi bantuan kewangan (klik di sini). Pengesanan murid dengan keperluan khas tanpa sebarang kecacatan fizikal memerlukan kerjasama pihak ibu bapa dan guru. Kanak-kanak bermasalah pembelajaran di sekolah harian biasa mungkin pada zahirnya kelihatan biasa sahaja.

Reka bentuk pembelajaran murid pendidikan khas sudah tentu berlainan dengan murid biasa. Ketiga-tiga domain kognitif, afektif dan psikomotor masih menjadi asas perancangan aktviti bilik darjah, tetapi dengan pilihan pedagogi dan pentaksiran yang tersendiri. Wajaran setiap komponen tersebut mengambil kira keperluan pembelajaran murid pendidikan khas dan pencapaian mereka.

Program pemulihan yang dilaksanakan di sekolah harian biasa, serta dikendalikan oleh guru yang tidak mengkhusus dalam pendidikan khas mungkin lebih menjurus kepada murid yang mengalami kecelaruan sikap, kurang berdisiplin dan berpencapaian minimum, tetapi masih boleh diselamatkan. Maka, muncul program campur tangan (intervensi) seperti galus (gagal ke arah lulus) dan halus (harapan lulus). Sebaliknya, program pendidikan khas untuk murid bermasalah pembelajaran dikaitkan dengan tahap kesihatan mental (neuron) yang tertentu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Pendidikan Khas (klik di sini) turut melaksanakan program pengesanan dan saringan murid (outreach) yang sepatutnya mengikuti program pendidikan khas, tetapi tidak mempunyai akses untuk berbuat demikian. Instrumen yang merangkumi inventori pengesanan murid pendidikan khas juga perlu berada di sekolah harian biasa, khususnya di tangan unit bimbingan dan kaunseling. Potensi dan fakulti murid berkeperluan khas dan bermasalah pembelajaran juga perlu digembleng ke tahap optimum.

Khusus terhadap murid bermasalah pembelajaran, iaitu yang lambat dan perlahan dalam menguasai isi pelajaran, reka bentuk pembelajaran yang bersifat eksklusif boleh jadi lebih munasabah. Kewujudan sekolah model khas dan kelas pendidikan khas di sekolah harian biasa memberi gambaran betapa perhatian terhadap pendidikan khas begitu serius. Sebagai sebuah negara yang kian menghampiri status negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri, pembelaan terhadap golongan istimewa, kelainan upaya dan kurang beruntung merupakan salah satu penanda aras penting kebajikan rakyat di bawah prinsip masyarakat madani ...

Wednesday, October 30, 2013

UNIVERSITI MALAYA DAPAT NAIB CANSELOR BAHARU LAGI (HIGHER LEARNING LEADERSHIP)

Sejak Pak Ungku (Profesor Diraja Dr. Ungku Aziz) berundur dari kerusi naib canselor pada tahun 1988, iaitu setelah 20 tahun memegang amanah memimpin Universiti Malaya (UM), jawatan panas berkenaan lebih kerap bertukar tangan. Dalam tempoh yang sama (1988 - 2008), enam orang tokoh cendekiawan dan pentadbiran awam diberi peluang menerajui UM (senarai penuh: klik di sini). Profesor Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon tamat kontrak beliau sebagai naib canselor mulai 7 November ini.
sumber ambilan: di sini

Tempat Profesor Ghauth bakal diisi pula oleh Profesor Datuk Dr. Mohd Amin bin Jalaludin yang merupakan alumni UM pada tahun 1982 dalam bidang perubatan (klik di sini). Beliau juga memperoleh sarjana kepakaran (FRCS) dari Edinburgh, Scotland pada tahun 1989 dalam bidang otorhinolaringologi (pembedahan kepala, mata dan leher). Profesor Amin ialah naib canselor ketiga yang memiliki latar belakang perubatan setelah Profesor Dr. Anuar Zaini (2000) dan Profesor Dr. Hashim Yaacob (2003). 

Tugas sebagai naib canselor UM memang begitu mencabar memandangkan status selaku universiti tertua dan terulung di Malaysia. Selain mengekalkan kedudukan nombor satu itu, UM harus sentiasa mencari jalan untuk muncul sebagai antara universiti terbaik dunia (pernah berada pada kedudukan ke-89 ketika era Profesor Hashim Yaacob). Profesor Amin juga diharapkan akan dapat meningkatkan pencapaian UM menerusi pemantapan kepimpinan universiti, kualiti penyelidikan dan penerbitan, kualiti staf akademik, mahasiswa, kedudukan di peringkat antarabangsa serta penjanaan pendapatan.

Ketika universiti awam yang lain, serta institut pengajian tinggi swasta, sibuk dengan isu kebolehpasaran siswazah masing-masing, UM dijangka meneruskan tradisi kecemerlangan akademia yang menjurus kepada kepimpinan dan pembaharuan. Bersama empat buah lagi universiti penyelidikan (UKM, UPM, USM dan UTM), UM sentiasa menjadi penanda aras utama pengajian tinggi tempatan. Universiti komprehensif lain memberi tumpuan kepada hands-on (gunaan dan vokasional), tetapi universiti penyelidikan terus di hadapan sebagai pemimpin dan pencetus pembaharuan.

UM pasti terus menjadi pilihan utama pelajar cemerlang di dalam negara. Malah, UM juga membuka pintu kepada pelajar antarabangsa, terutama pengajian siswazah (sarjana dan doktor falsafah). UM telah pun memiliki Institut Asia-Eropah yang menghimpunkan sarjana dan penyelidik terkemuka dunia.

Walaupun UM berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan sebagai universiti bertaraf dunia, citra tempatan tidak harus dipinggirkan begitu sahaja. UM boleh sahaja mengambil seberapa banyak profesor pelawat antarabangsa mengisi kedudukan akademik di mana-mana jabatan dan fakulti, tetapi kesarjanaan tempatan harus tetap unggul. Kes penjenamaan semula Institut Kepengetuaan kepada Institut Kepimpinan Pendidikan dengan tenaga pensyarah antarabangsa hampir sepenuhnya mungkin perlu dikaji semula.

Tanpa menafikan kesarjanaan Profesor Alma Haris di peringkat antarabangsa dengan teori kepimpinan pendidikan teragih dan transaksional beliau, tetapi kepimpinan pengetua harus menerima sentuhan input sarjana tempatan, sekurang-kurangnya untuk peringkat sarjana secara kerja kursus. Barangkali program pengajian sarjana dan doktor falsafah mod penyelidikan boleh dibuka kepada calon siswazah tempatan dan antarabangsa. Keseimbangan antara strategi pengantarabangsaan dengan citra tempatan harus mendapat perhatian kepimpinan baharu UM.

Tugas besar sudah menanti Profesor Amin di kerusi panas naib canselor UM. Balasan terhadap kepercayaan ialah kesetiaan, kesungguhan dan pencapaian. Semoga Profesor Datuk Dr. Mohd Amin bin Jalaludin akan berjaya memacu UM di puncak kecemerlangan dengan kepercayaan yang diberi, amin ...

Saturday, October 26, 2013

PEMATUHAN TATACARA OPERASI PIAWAI, SOP DI SEKOLAH (ACHIEVING UNIFORMITY IN THE PERFORMANCE)

Apabila pihak tertentu cuba mempersoalkan tindakan menembak mati penjenayah berbahaya, pihak polis segera membuat kenyataan bahawa mereka berbuat demikian mengikut tatacara operasi piawai (TOP) atau dalam bahasa Inggeris, standard operating procedure, SOP. Demikian juga jawapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melepaskan air empangan hidroelektrik di Cameron Highland yang mengakibatkan banjir lumpur yang membabitkan korban nyawa dan kemusnahan harta benda baru-baru ini. Maka, alasan awal yang paling ampuh apabila berlaku sesuatu musibah atau bencana ialah pematuhan terhadap TOP.

Sekolah sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran juga tertakluk kepada TOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan menerusi kuat kuasa akta pendidikan (1996, pindaan dari masa ke masa), dasar pendidikan kebangsaan, dokumen pelan pembangunan pendidikan (PIPP 2006 - 2010; PPPM 2013 - 2025), tatacara kewangan dan perakaunan sekolah dan pelbagai pekeliling yang dikeluarkan. Tanggungjawab yang berat di sekolah terletak di bahu pengetua yang perlu menjaga semua hal ehwal perjalanan sekolah dari segi kemasukan murid, perjawatan guru dan kakitangan, kemudahan prasarana sekolah, kewangan, keselamatan dan banyak lagi. Dari segi TOP, pengetua ialah pemimpin yang sentiasa memberi bimbingan dan motivasi kepada semua warga sekolah supaya tetap berada dalam landasan TOP.

Konsep umum TOP boleh dibaca di sini.

...

...

...

...

...

...

...

Friday, October 25, 2013

BELANJAWAN 2014: BONUS, GULA DAN GST (ADJUSTING HIGHER SPENDING WITH GIVEN EARNING)

Pembentangan belanjawan negara (kini disebut sebagai bajet yang diambil terus daripada istilah bahasa Inggeris budget) pada Jumaat terakhir Oktober saban tahun dalam sidang parlimen mendapat perhatian segenap golongan pemimpin dan rakyat jelata. Sebagai penyata anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh setahun (2014), segala dasar, strategi dan teras yang dinyatakan bakal mempengaruhi kegiatan ekonomi dan kehidupan masyarakat. Usai pembentangan, sesi perbahasan akan berlangsung sebelum pengundian dibuat untuk mendapatkan kelulusan parlimen supaya belanjawan berkenaan boleh dilaksanakan.

Banyak perkara yang disentuh dalam pembentangan belanjawan, tetapi beberapa isu diberi tumpuan kerana berkait rapat dengan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, dan sangat mempengaruhi kos sara hidup yang meningkat dari masa ke masa. Teks ucapan belanjawan boleh dibaca di sini. Seperti biasa, maklum balas yang diterima akan berbelah bahagi justeru setiap pihak bakal menerima natijah yang berbeza rentetan perubahan yang diumumkan.  

Antara pengumuman yang ditunggu ialah pemberian bonus kepada kakitangan awam pada penghujung ucapan pembentangan belanjawan kira-kira pada pukul enam petang. Teka-teki jumlah bonus yang diterima sudah bertemu titik noktah, iaitu setengah bulan gaji pokok yang bakal dimasukkan ke dalam akaun gaji pada awal Januari hadapan. Para peniaga juga menarik nafas lega justeru sebahagian besar pendapatan tambahan kakitangan kerajaan itu akan masuk ke dalam kantung mereka!

Kerajaan juga bersetuju dengan proses pelarasan gaji kakitangan awam yang dijangka akan dimuktamadkan November ini merangkumi skim tangga gaji, kenaikan gaji tahunan (KGT) dan elaun. Sebelum ini, sumber membayangkan pelarasan gaji pokok antara 3 hingga 5 peratus di bawah Sistem Saraan Transformasi (SST) bagi menggantikan sepenuhnya jadual sistem saraan baru perkhidmatan awam (SBPA) yang telah dibatalkan, tetapi masih digunakan buat sementara, khususnya untuk kiraan KGT. Dalam keadaan biasa (kecenderungan mengguna sut, MPC = 0.75 - 0.8), maka antara 75 - 80 peratus tambahan pendapatan boleh guna (setelah ditolak cukai, Yd = Y - T), akan membesarkan saiz pusingan aliran pendapatan menerusi peningkatan perbelanjaan agregat.

Selain itu, belanjawan 2014 menyaksikan subsidi gula dimansuhkan sepenuhnya, atau bersamaan 34 sen. Namun, harga gula di pasaran akan dijual pada RM2.85 (naik 35 sen) berasaskan konsep penyelarasan harga kepada 5 sen yang terdekat. Alasan rasionalisasi subsidi gula itu ialah bagi menangani masalah kesihatan rakyat Malaysia yang mencatat peningkatan penghidap kencing manis dan kegemukan. 

Dari segi teori permintaan, gula dikategorikan sebagai barang mesti dan bersifat tidak anjal sempurna. Maksudnya, perubahan harga gula tidak akan memberi kesan kepada perubahan kepada kuantiti gula yang diminta, kecuali dalam julat yang sangat minimum. Sebagai bahan asas dalam proses penyediaan makanan dan minuman, pengguna boleh menjangka bahawa mereka perlu membayar harga yang lebih tinggi jika meneruskan amalan makan di luar rumah, atau membeli kuih-muih di gerai tepi jalan.

Pengenalan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa mulai bulan April, 2015 dijangka mencetuskan perdebatan, sama ada dalam sidang Dewan Rakyat, penganalisis ekonomi dan orang ramai yang prihatin. Memandangkan tarikh pelaksanaannya masih jauh, pengumuman yang dibuat barangkali lebih bersifat psikologi supaya kejutan tidak terlalu mendadak sebagaimana pengumuman kenaikan harga bahan api petrol dalam tempoh dua tiga jam sahaja. Mungkin juga akan berlaku ubah suaian dari segi modus operandi pelaksanaan GST kelak setelah mengambil kira maklum balas semua pihak yang berkepentingan, terutama pembayar cukai tidak langsung.

Pengalaman negara maju dan negara dunia ketiga yang telah melaksanakan GST perlu dipelajari dan diambil iktibar. Bagi golongan rakyat yang tidak memahami sistem GST, mereka hanya mengambil peduli tentang wang yang keluar daripada poket mereka macam air yang mengalir deras. Maka, langkah melonjakkan pendapatan isi rumah ialah jalan keluar yang paling berkesan, iaitu sejajar dengan konsep negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Hakikatnya banyak lagi pengumuman terdapat dalam pembentangan belanjawan 2014 (sila klik ringkasan sepintas lalu di sini). Misalnya, peruntukan untuk semua kementerian, BR1M, perumahan rakyat dan baucar buku bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat di bawah konsep pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan semula. Pelajar pengajian tinggi, termasuk program prauniversiti (tingkatan enam, matrikulasi, asasi dan setara) akan menikmati kenaikan amaun pemberian sebanyak RM50 daripada sejumlah RM250 sebelum ini.

Kini, pelaksanaan belanjawan 2014 hanya menunggu kelulusan parlimen setelah berakhirnya perbahasan dalam kalangan wakil rakyat. Berdasarkan sistem majoriti mudah dan pengundian berbelah bahagi, belanjawan 2014 dijangka memperoleh restu parlimen dan seterusnya dewan negara. Akhir sekali, proses perkenan DYMM Seri Paduka Badinda Yang Di-Pertuan Agong dengan penurunan cop mohor diraja membolehkan belanjawan 2014 berjalan seperti yang dihasratkan ...

Tuesday, October 22, 2013

ETIKA PERGAULAN DI SEKOLAH (REJECTING HEDONISM IN THE EDUCATIONAL SETTING)

Pernah suatu ketika dahulu isu sekolah campuran (co-education) atau pengasingan jantina menjadi tajuk pertandingan koakademik perbahasan. Sekolah yang mengasingkan jantina ialah sekolah bantuan modal seperti Methodist, Convent dan rangkaian La Salle. Sekolah campur pula menjadi identiti sekolah kebangsaan bantuan penuh kerajaan, sama ada rendah mahupun menengah.

Namun, terdapat juga sekolah kebangsaan dan berasrama penuh yang mengasingkan jantina seperti Sekolah Alam Shah, Sekolah Dato' Abdul Razak, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Seri Puteri, Sekolah Tun Fatimah dan Kolej Tunku Kurshiah. Begitu juga dengan sekolah negeri seperti Izzuddin Shah, Taayah dan Maahad Muhammadi. Kelonggaran berlaku di sekolah dominasi pelajar lelaki untuk program prauniversiti seperti kelas tingkatan enam dan institut baccaleureate (bakal dibuka di MCKK).

Hakikatnya kedua-dua jenis sekolah, sama ada bercampur atau berasingan jantina, menghadapi isu yang sama, iaitu pencapaian, sahsiah, disiplin dan kepimpinan. Terdapat andaian umum bahawa sekolah murid perempuan sepenuhnya lebih mudah diurus, dan masalah disiplin juga di tahap minimum. Murid perempuan, kecuali dalam kes terpencil, tidak terbabit dalam peristiwa kekasaran secara fizikal berbanding dengan murid lelaki. 

Bagaimanakah pula hanya dengan sekolah bercampur? Dengan pendedahan dunia maya secara masa sebenar dan akses jalur lebar mudah alih, kemesraan murid berlainan jantina sudah mengalami perubahan yang luar biasa, berbanding dengan murid sebelum era alaf tiga. Rasa segan silu atau kekok untuk bertegur sapa dan bergurau senda sudah menjadi sejarah.

Adakah aktiviti pembelajaran menerusi kaedah kerja kumpulan turut menyumbang terhadap runtuhnya sempadan segan silu berlainan jantina yang dibina oleh generasi silam? Kepastian hanya akan diperoleh menerusi satu penyelidikan yang autentik. Bagaimanakah pula dengan pengaruh siaran pendidikan seperti Oh My English yang memaparkan kemesraan pelajar berlainan jantina yang duduk rapat-rapat dan bersentuhan tanpa sebarang kejanggalan?

Sekolah ialah organisasi memupuk pembelajaran yang berteraskan nilai-nilai murni dan jati diri bagi menghadapi cabaran persekitaran dan zaman yang pesat berubah. Dalam keghairahan kita mencontohi kemajuan pendidikan Barat, perkara asas seperti akhlak dan sahsiah mesti terus menjadi asas dan benteng yang kukuh sebagaimana Wawasan 2020 yang mensasarkan pencapaian negara maju (berpendapatan tinggi) dengan acuan sendiri. Cukuplah mentaliti kekaguman terhadap bekas penjajah Inggeris yang masih belum luput dalam kalangan segelintir mat saleh celup memualkan kita.

...

...

...

...