SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, October 25, 2013

BELANJAWAN 2014: BONUS, GULA DAN GST (ADJUSTING HIGHER SPENDING WITH GIVEN EARNING)

Pembentangan belanjawan negara (kini disebut sebagai bajet yang diambil terus daripada istilah bahasa Inggeris budget) pada Jumaat terakhir Oktober saban tahun dalam sidang parlimen mendapat perhatian segenap golongan pemimpin dan rakyat jelata. Sebagai penyata anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh setahun (2014), segala dasar, strategi dan teras yang dinyatakan bakal mempengaruhi kegiatan ekonomi dan kehidupan masyarakat. Usai pembentangan, sesi perbahasan akan berlangsung sebelum pengundian dibuat untuk mendapatkan kelulusan parlimen supaya belanjawan berkenaan boleh dilaksanakan.

Banyak perkara yang disentuh dalam pembentangan belanjawan, tetapi beberapa isu diberi tumpuan kerana berkait rapat dengan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, dan sangat mempengaruhi kos sara hidup yang meningkat dari masa ke masa. Teks ucapan belanjawan boleh dibaca di sini. Seperti biasa, maklum balas yang diterima akan berbelah bahagi justeru setiap pihak bakal menerima natijah yang berbeza rentetan perubahan yang diumumkan.  

Antara pengumuman yang ditunggu ialah pemberian bonus kepada kakitangan awam pada penghujung ucapan pembentangan belanjawan kira-kira pada pukul enam petang. Teka-teki jumlah bonus yang diterima sudah bertemu titik noktah, iaitu setengah bulan gaji pokok yang bakal dimasukkan ke dalam akaun gaji pada awal Januari hadapan. Para peniaga juga menarik nafas lega justeru sebahagian besar pendapatan tambahan kakitangan kerajaan itu akan masuk ke dalam kantung mereka!

Kerajaan juga bersetuju dengan proses pelarasan gaji kakitangan awam yang dijangka akan dimuktamadkan November ini merangkumi skim tangga gaji, kenaikan gaji tahunan (KGT) dan elaun. Sebelum ini, sumber membayangkan pelarasan gaji pokok antara 3 hingga 5 peratus di bawah Sistem Saraan Transformasi (SST) bagi menggantikan sepenuhnya jadual sistem saraan baru perkhidmatan awam (SBPA) yang telah dibatalkan, tetapi masih digunakan buat sementara, khususnya untuk kiraan KGT. Dalam keadaan biasa (kecenderungan mengguna sut, MPC = 0.75 - 0.8), maka antara 75 - 80 peratus tambahan pendapatan boleh guna (setelah ditolak cukai, Yd = Y - T), akan membesarkan saiz pusingan aliran pendapatan menerusi peningkatan perbelanjaan agregat.

Selain itu, belanjawan 2014 menyaksikan subsidi gula dimansuhkan sepenuhnya, atau bersamaan 34 sen. Namun, harga gula di pasaran akan dijual pada RM2.85 (naik 35 sen) berasaskan konsep penyelarasan harga kepada 5 sen yang terdekat. Alasan rasionalisasi subsidi gula itu ialah bagi menangani masalah kesihatan rakyat Malaysia yang mencatat peningkatan penghidap kencing manis dan kegemukan. 

Dari segi teori permintaan, gula dikategorikan sebagai barang mesti dan bersifat tidak anjal sempurna. Maksudnya, perubahan harga gula tidak akan memberi kesan kepada perubahan kepada kuantiti gula yang diminta, kecuali dalam julat yang sangat minimum. Sebagai bahan asas dalam proses penyediaan makanan dan minuman, pengguna boleh menjangka bahawa mereka perlu membayar harga yang lebih tinggi jika meneruskan amalan makan di luar rumah, atau membeli kuih-muih di gerai tepi jalan.

Pengenalan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa mulai bulan April, 2015 dijangka mencetuskan perdebatan, sama ada dalam sidang Dewan Rakyat, penganalisis ekonomi dan orang ramai yang prihatin. Memandangkan tarikh pelaksanaannya masih jauh, pengumuman yang dibuat barangkali lebih bersifat psikologi supaya kejutan tidak terlalu mendadak sebagaimana pengumuman kenaikan harga bahan api petrol dalam tempoh dua tiga jam sahaja. Mungkin juga akan berlaku ubah suaian dari segi modus operandi pelaksanaan GST kelak setelah mengambil kira maklum balas semua pihak yang berkepentingan, terutama pembayar cukai tidak langsung.

Pengalaman negara maju dan negara dunia ketiga yang telah melaksanakan GST perlu dipelajari dan diambil iktibar. Bagi golongan rakyat yang tidak memahami sistem GST, mereka hanya mengambil peduli tentang wang yang keluar daripada poket mereka macam air yang mengalir deras. Maka, langkah melonjakkan pendapatan isi rumah ialah jalan keluar yang paling berkesan, iaitu sejajar dengan konsep negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Hakikatnya banyak lagi pengumuman terdapat dalam pembentangan belanjawan 2014 (sila klik ringkasan sepintas lalu di sini). Misalnya, peruntukan untuk semua kementerian, BR1M, perumahan rakyat dan baucar buku bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat di bawah konsep pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan semula. Pelajar pengajian tinggi, termasuk program prauniversiti (tingkatan enam, matrikulasi, asasi dan setara) akan menikmati kenaikan amaun pemberian sebanyak RM50 daripada sejumlah RM250 sebelum ini.

Kini, pelaksanaan belanjawan 2014 hanya menunggu kelulusan parlimen setelah berakhirnya perbahasan dalam kalangan wakil rakyat. Berdasarkan sistem majoriti mudah dan pengundian berbelah bahagi, belanjawan 2014 dijangka memperoleh restu parlimen dan seterusnya dewan negara. Akhir sekali, proses perkenan DYMM Seri Paduka Badinda Yang Di-Pertuan Agong dengan penurunan cop mohor diraja membolehkan belanjawan 2014 berjalan seperti yang dihasratkan ...

No comments: